Search This Blog

Tuesday, February 1, 2011

KPDNKK rampas 2,860 gulung ‘aluminium foil’ tiruan




GEORGETOWN - Sebanyak 2,860 gulungan kertas ‘aluminium foil’ tiruan dirampas dalam serbuan ke atas dua premis di Lebuh Presgrave di sini dan Perai, Seberang Perai Tengah berikutan aduan yang diterima.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang, M Gunaselan berkata, serbuan yang dilakukan pegawainya setelah menerima aduan daripada wakil pengedar kertas ‘aluminium foil’ jenama ‘Diamond’.

“Pada 27 Januari lalu, kami menyerbu dua premis dan merampas 672 gulungan di Lebuh Presgrave, Georgetown manakala 2,188 gulungan di Perai.

“Siasatan awal menunjukkan ia bukan sahaja diedarkan di sini (Pulau Pinang) malah negeri lain. Kita memandang serius perkara ini kerana pengguna ditipu dengan dibekalkan barang tiruan tetapi mengikut harga barang asli,” katanya kepada media di pejabatnya semalam.

Menurutnya, ada beberapa perbezaan yang boleh dikenal pasti oleh pengguna agar tidak tertipu dengan ‘aluminium foil’ palsu antaranya ejaan pada perkataan yang tertera pada kotaknya.

“Antara perbezaan pada kertas berukuran 25 kaki persegi iaitu perkataan ‘storing’ pada kotak yang asli berbanding kotak tiruan yang ditulis ‘stering’.

“Untuk kertas 37.5 kaki persegi, tiada perkataan ‘storing’ pada kotaknya namun pengguna boleh memeriksa label pembekal yang dilekatkan di hujung kotak kerana kertas tiruan tiada label pembekal,” katanya.

Gunaselan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 3 (1) (b) Akta Perihal Dagangan 1972 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya manakala syarikat boleh didenda RM250,000.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu, 224 kes di bawah akta sama disiasat dengan nilai rampasan RM1,444,678. Jumlah kompaun dan denda yang dikutip adalah RM391,600.

“Dengan jumlah itu, KPDNKK memandang serius perkara ini dan meminta orang ramai mempunyai maklumat atau aduan boleh menghubungi pejabat melalui talian 1-800-886-800,’ katanya.

No comments:

Post a Comment