Search This Blog

Tuesday, February 1, 2011

Klinik tidak berdaftar disita




KEPALA BATAS - Sejak dibuka hampir setahun lalu, klinik yang terletak di Taman Aman Putra, Jalan Kedah di sini menjadi tumpuan pesakit kerana mengenakan bayaran perkhidmatan yang rendah berbanding klinik lain.

Malah perkhidmatan yang disediakan secara homeopati dan alternatif turut dikatakan menjadi punca ramai pesakit mengunjunginya.

Namun semalam, klinik yang terletak di bangunan rumah kedai itu diarah tutup kerana didapati melanggar arahan berkaitan amalan perubatan.

Arahan dan pelaksanaan penutupan klinik itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Unit Kawalan Perubatan Swasta (UKAPS) Kementerian Kesihatan (KK) selepas melakukan serbuan hasil maklumat orang ramai yang sangsi dengan perkhidmatan yang disediakan selama ini.

Hasil serbuan itu mendapati klinik yang diusahakan bersama dengan seorang rakannya yang berkelulusan kedoktoran dari Universiti Malaya itu sebenarnya tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Perubatan Malaysia (MPM).:

Doktor itu sebenarnya hanya seorang pengamal perubatan homeopati tetapi turut menjalankan pelbagai jenis rawatan moden di premisnya termasuk nebuliser bagi pesakit lelah, ujian kehamilan, ujian elektrokardiogram (ECG), ujian kencing manis dan darah tinggi.

Dalam serbuan yang disertai tiga pegawai polis, UKAPS turut merampas dokumen peribadi miliknya, pelbagai jenis ubat dan peralatan pemeriksaan kesihatan moden bernilai RM60,000 yang digunakan selama ini selain mengarahkannya menutup operasi sehingga selesai penyiasatan dijalankan.

Seorang pegawai UKAPS yang enggan mendedahkan namanya berkata, pihaknya mendapat maklumat berkaitan operasi klinik ini selepas seorang pesakit yang pernah mengunjungi klinik ini meragui kesahihan ubat yang diterimanya.

“Pesakit itu keliru apabila menerima ubat yang berbeza jenis selepas beberapa kali mengunjungi klinik itu untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit yang sama dihidapinya.

“Selepas memantau hampir seminggu kita melakukan serbuan semalam dan mendapati doktor berusia 40an itu tidak pernah mendaftar dengan KMM dan MPM selama ini dan ia adalah kesalahan dari segi amalan perubatan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan siasatan lanjut untuk mengetahui mengapa doktor itu tidak mendaftar dengan kedua-dua pihak berkenaan termasuk menyiasat statusnya selama ini.

Dalam pada itu, doktor berkenaan yang ditemui ketika melihat proses menyita kliniknya oleh pegawai UKAPS, mengakui tidak pernah mendaftar dengan KKM dan MPM selama ini.

“Saya memberikan kerjasama penuh kepada pegawai terbabit dan membenarkan mereka mengambil beberapa jenis ubat dan peralatan perubatan untuk disiasat. :

“Saya akan menurut arahan notis yang dilekat di hadapan klinik ini selama 21 hari disita mengikut Subseksyen 91 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan Mohd Shukri Awang yang dihubungi mengesahkan menerima laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU mengenai sebuah klinik swasta yang beroperasi tanpa kebenaran daripada KK.

“Saya dimaklumkan UKAPS menyita klinik berkenaan sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan,” katanya enggan mengulas lanjut kerana kes itu di bawah bidang kuasa KK.

No comments:

Post a Comment