Search This Blog

Tuesday, February 1, 2011

JPJ Melaka saman 13 buah bas hasil Ops Penyamaran tahun baru Cina 2011




Mohd. Fadhil Hassan (kanan) mengedar borang aduan penumpang selepas melancarkan Operasi Tahun Baru Cina 2011 JPJ Melaka di Terminal Bas Melaka Sentral di Peringgit, semalam.


MELAKA 31 Jan. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 18 saman di samping mengenakan kompaun berjumlah RM4,900 ke atas 13 bas yang melakukan pelbagai kesalahan dalam Ops Penyamaran sempena Tahun Baru Cina yang bermula pada 7 Januari lepas.
Pengarahnya Mohd Fadhil Hassan berkata, kesalahan paling banyak dilakukan pemandu bas ialah menggunakan telefon bimbit semasa memandu tanpa menggunakan alat bebas tangan.
Beliau berkata enam saman dikeluarkan bagi kesalahan itu, manakala dua bagi kesalahan merokok ketika memandu dan selebihnya membabitkan kesalahan lalulintas seperti melanggar lampu isyarat, memotong garisan berkembar dan gagal mematuhi papan tanda lalu lintas.
Katanya, sepanjang tempoh itu juga, anggota JPJ Melaka menaiki 55 bas dari pelbagai syarikat bas secara menyamar, yang membabitkan dua destinasi iaitu Melaka-Kuala Lumpur dan Melaka-Johor Bahru.
"Operasi penyamaran akan diteruskan sehingga 20 Februari ini selaras dengan Ops Tahun Baru Cina 2011 JPJ Melaka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Operasi Tahun Baru Cina 2011 JPJ Melaka di Terminal Bas Melaka Sentral di Peringgit di sini, hari ini.
Mohd Fadhil berkata menerusi penempatan anggota JPJ di terminal bas Melaka Sentral sejak 21 Januari lepas hingga semalam, JPJ Melaka memeriksa 332 bas dan mengedar 446 keping borang aduan untuk penumpang bas.
Bagi operasi pemeriksaan di depoh bas, beliau berkata, antara 21 dan 28 Januari lepas, JPJ Melaka memeriksa 26 bas di lima depoh bas di Melaka.
Katanya, bagi Tahun Baru Cina juga JPJ Melaka akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di empat laluan yang dikenal pasti sebagai laluan berbahaya di Melaka iaitu di KM13-KM32 Jalan Melaka ke Muar, Jalan Bachang ke Pasir Putih, KM17-KM44 Jalan Gapam Bemban-Jasin-Chincin dan Jalan Melaka-Sungai Udang Klebang-Tengkera. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment