Search This Blog

Tuesday, February 1, 2011

Jalan utama ditenggelami air



PALONG SATU - Akibat hujan tanpa henti, jalan utama ke Palong Satu ditenggelami air dan seramai 100 penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

Penyelia Pembangunan Desa dan Perhubungan Kemas Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Norzilah Basiran berkata, mereka yang dipindahkan terdiri daripada 16 keluarga sekitar Palong Satu.

Menurutnya, banjir pernah berlaku di kawasan berkenaan sebelum ini.

“Mereka telah dipindahkan ke dewan dan surau Sekolah Kebangsaan (SK) Palong Satu.

“Penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif lain untuk masuk ke Palong Satu kerana jalan utama telah ditenggelami air,” katanya.

Difahamkan, air mulai naik sekitar jam 9 pagi dan menyebabkan penduduk sekitar tidak sempat menyelamatkan barang elektrik di dalam rumah.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk VS Mogan turut turun padang melihat keadaan mangsa banjir, malam kelmarin.

Semua mangsa banjir dipindahkan dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak polis, anggota bomba dan penyelamat, Angkatan Relawan Rakyat (Rela), ahli jawatankuasa kampung, Kemas dan Felda.

Sementara itu, mangsa banjir, Azura Mohd Karim, 30, berkata, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku akibat bencana berkenaan.

“Keluarga saya bermalam di Dewan SK Palong Satu.

“Saya sempat menyelamatkan buaian anak sebelum dipindahkan,” katanya.

Imam Masjid Palong Satu, Amat Kamarudin Ali, 74, pula berkata, dia sempat menyelamatkan surat nikah tiga pasangan bakal pengantin .

“Dokumen berkenaan penting kerana pasangan pengantin dijadualkan bernikah Jumaat ini.

“Alhamdulillah sempat diselamatkan, namun saya tidak dapat tidur lena memikirkan keadaan rumah yang ditenggelami air,” katanya.

No comments:

Post a Comment