Search This Blog

Tuesday, February 1, 2011

Ezam bersama beratus-ratus pelajar Malaysia terkandas



KUALA LUMPUR 31 Jan. - Ratusan pelajar Malaysia kini terkandas di lapangan terbang di Kaherah apabila hampir semua penerbangan keluar dari ibu negara Mesir itu dibatalkan akibat keadaan kucar-kacir yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor yang turut terkandas di Kaherah berharap kerajaan segera berusaha untuk membawa kesemua pelajar dan rakyat Malaysia keluar dari negara itu.
Bagaimanapun, katanya, keadaan kesemua pelajar Malaysia itu adalah terkawal dan mereka mempunyai semangat yang tinggi dalam menghadapi situasi tidak menentu di Mesir.
Katanya, Kedutaan Malaysia di Kaherah juga kini berusaha menyediakan makanan kepada pelajar-pelajar terkandas itu.
"Hampir semua penerbangan keluar dari Kaherah dibatalkan dan tidak dapat dipastikan bila kami dapat berlepas keluar dari sini.
"Bagaimanapun, saya berharap kerajaan Malaysia melakukan usaha untuk membawa kesemua pelajar dan rakyat Malaysia keluar dari sini dengan segera. Saya juga sedang berusaha mencari jalan membawa seramai mungkin rakyat Malaysia pulang," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.
Keadaan di Mesir kucar-kacir berikutan suasana politik yang tidak menentu di negara itu akibat demonstrasi jalanan mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.
Sejak Selasa lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilapor di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura.
Daripada 11,319 pelajar Malaysia di negara itu, 6,135 sedang mengikuti jurusan pengajian Islam dan selebihnya dalam bidang perubatan.
Mohamad Ezam berkata, beliau berada di Kaherah sejak beberapa hari lalu bagi mempromosikan buku terbaru tulisannya, Islam dan Rasuah.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat (AS) kini sudah memulakan usaha bagi membawa keluar rakyatnya ekoran keadaan kucar-kacir itu yang dijangka terus berlarutan.
Katanya, keadaan dijangka lebih serius dan tidak menentu selepas usaha membawa rakyat AS keluar dilakukan.

No comments:

Post a Comment