Search This Blog

Saturday, February 19, 2011

Enggan dedah angkara siapa




DUNGUN – Seorang penjual sayur dekat sini terpaksa berdepan ujian getir apabila isteri yang dikahwini sejak tujuh tahun lalu menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Menurut Ismail, dia menyedari isterinya itu mempunyai hubungan cinta dengan lelaki lain apabila wanita itu sering berhubung dengan lelaki terbabit melalui telefon bimbit dan ia difahamkan dilakukan secara tersembunyi.

“Kemuncak kecurangannya ialah dia memberitahu saya ingin keluar rumah dan tidak ingin tinggal sebumbung lagi dengan saya.

“Saya memberi amaran, jika keluar rumah, akan jatuh talak, namun dia tetap berdegil dengan membawa bersama satu beg mengandungi pakaiannya sebelum berlalu pergi,” katanya.

Ismail berkata, seminggu selepas peristiwa itu, isterinya pulang semula ke rumah dan meminta kebenaran untuk mengambil anak lelakinya.

Katanya, tanpa bercakap panjang, isterinya membawa anaknya yang berusia tujuh tahun dan membawa pulang ke rumahnya di Felda Kerteh.

Menurut Ismail, beberapa hari selepas kejadian itu, dia menerima panggilan telefon daripada isterinya untuk menghantar semula anaknya dan menyuruh Ismail menunggunya di stesen bas Kuala Dungun.

“Saya menunggu kedatangannya, kira-kira jam 3.30 petang dia tiba bersama anak lelaki saya. Selepas mengambil Faizal daripadanya, saya terkejut apabila mendapati ada kesan kecederaan pada kaki serta badan Faizal.

“Ketika ditanya, Faizal enggan memberitahu, namun setelah puas mendesak, dia memberitahu telah dipukul oleh teman lelaki ibunya,” katanya.

Ismail berkata, berikutan kecederaan dialami anak lelakinya itu, dia menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, sebelum membuat laporan di Balai Polis Dungun.

“Saya tidak kesal dia meninggalkan saya, namun saya kesal apabila dia tidak melindungi anak kandungnya sendiri apabila didera teman lelakinya.

“Walaupun saya orang kampung dan tidak berpelajaran, namun saya tidak akan berdiam diri dan akan membawa kes ini ke pihak berkenaan,” katanya.

Difahamkan, Ismail juga sudah memfailkan permohonan cerai dengan wanita terbabit di Mahkamah Rendah Syariah Dungun.

Menurutnya, pihak polis sudah mengambil keterangannya dan dia kini sedang menunggu proses undang-undang agar individu yang terbabit dengan perbuatan itu dihadapkan ke mahkamah.
SH

No comments:

Post a Comment