Search This Blog

Monday, February 21, 2011

Enam pelajar MMU sesat dalam hutan

myMetro


RAWANG: Keseronokan enam pelajar Multimedia University (MMU) Cyberjaya bersiar-siar di Hutan Lipur Templer, di sini, buat pertama kali bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka tersesat, semalam sebelum diselamatkan lima jam selepas itu.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pelajar terbabit yang berusia awal 20-an menghabiskan masa cuti hujung minggu dengan datang ke taman berkenaan kira-kira jam 9 pagi untuk bersiar-siar sebelum tersesat.


Menurutnya, pelajar terbabit yang menyedari tersesat kemudian menghubungi talian 999 bagi meminta bantuan menyelamatkan mereka.

“Berikutan laporan itu, sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), unit penyelamat Balai Bomba Selayang dan polis bergegas ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mereka.


“Hasil pencarian beberapa jam kemudian, semua pelajar terbabit ditemui kira-kira dua kilometer dari jalan raya berhampiran Bukit Tukun, di sini,” katanya.


Abdul Rahim berkata, pelajar terbabit ditemui dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan.


“Semua mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Rawang untuk diambil keterangan sebelum dihantar pulang ke Kuala Lumpur,” katanya."

1 comment: