Search This Blog

Wednesday, February 2, 2011

Cubaan seludup manusia tumpas, 2 tekong ditahan



PELABUHAN KLANG 1 Feb. - Kecekapan Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini dan negara jiran dengan penahanan 24 warga Indonesia dan tiga tekong di perairan laut Sungai Haji Dorani, Sungai Besar awal pagi ini.
Daripada jumlah itu, 16 PATI dipercayai ingin diseludup keluar menuju ke Indonesia manakala lapan lagi cuba dibawa masuk ke negara ini.
Pegawai Pemerintah Markas Pemerintahan PGM, Pelabuhan Klang, Deputi Supritendan Norzaid Muhammad Said berkata, hasil risikan pihaknya, satu operasi khas dilancarkan pada pukul 1 pagi dan berjaya menahan sebuah bot pom-pom dan sampan bersama dengan PATI terbabit.
Menurut beliau, ketika kejadian, anggota PGM yang membuat pemantauan melihat sebuah bot pom-pom dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan ke atas bot pom-pom itu, PGM menemui seorang wanita, lima lelaki dan seorang tekong laut manakala pada sampan tersebut pula menemui 15 PATI termasuk dua wanita.
"Dua tekong lagi ditemui dalam sampan itu dipercayai bertindak sebagai tekong darat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Norzaid berkata, tangkapan itu berjaya dilakukan ketika proses pemindahan keluar masuk PATI dari sampan ke bot pom-pom di perairan tersebut.
Katanya, operasi itu melibatkan dua bot ronda PGM dan sebuah bot penyamaran bersama 12 anggota.
Beliau menjelaskan, PATI yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 dan tekong pula di bawah Seksyen 56 (1) (c) akta sama.

No comments:

Post a Comment