Search This Blog

Saturday, February 12, 2011

Bilik hangus ketika solat Isyak



KUALA SUNGAI BARU - Sepasang warga emas yang sedang menunaikan solat Isyak berjemaah dikejutkan dengan bau hangit dan bunyi letupan beberapa kali sebelum menyedari sebuah bilik dalam rumahnya di Kampung Permatang, dekat sini, dijilat api.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, Sapiah Ngah, 66, yang sedang solat bersama suaminya, Osman Kelang, 74, bertindak berhenti daripada solat, lantas mencari punca bau hangit berkenaan dan menyedari terdapat api keluar daripada celah pintu bilik utama.

“Pada mulanya saya sangka bau asap berkenaan datang daripada jiran sebelah yang membakar sampah, namun mujur tergerak hati hendak berhenti solat dan cari punca bau. Saya dapati asap keluar daripada celah pintu dan terus minta suami berhenti solat.

“Saya terus menjerit minta tolong pada jiran dan suami pula sudah ke bawah untuk mengambil air bagi menjirus api yang semakin marak. Nasib baik ada sekumpulan budak lelaki yang turut sama membantu memadamkan api,” katanya.

Menurutnya, kedatangan salah seorang remaja lelaki yang berusaha memadamkan api dan naik ke atas rumah membantu dirinya yang ketika itu dalam keadaan panik dan membuka pintu bilik berkenaan menggunakan kunci selepas dihalang untuk menendang pintu berkenaan.

“Selepas pintu berjaya dibuka, berkepul-kepul asap menghala ke arah kami. Api pula semakin marak sehingga meminta bantuan penduduk yang ada untuk menghubungi pihak bomba,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian kira-kira jam 8.45 malam dan tiba 15 minit kemudian.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. Kerugian masih belum ditafsirkan tetapi daripada siasatan awal mendapati almari baju, katil, persekitaran bilik dan siling hangus terbakar.” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment