Search This Blog

Friday, February 18, 2011

Anak warden penjara maut




MARANG - “Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa apabila adik beria-ria ingin tinggal dengan ibu dan ayah di berek Penjara Marang, tetapi ia sebenarnya petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Tengku Alina Tuan Mustapha, 23.

Tengku Alina adalah kakak kepada Allahyarham Tuan Mohd Shafiq, 20, yang maut dalam kejadian kemalangan di Kilometer 26.5 jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Alur Tuman, Pulau Kerengga di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan itu, mangsa dipercayai maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kuala Terengganu apabila motosikal ditunggangnya merempuh seekor kerbau semasa tiba di tempat kejadian kira-kira 7.30 pagi.

Tengku Alina berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ibunya, Azizah Yusof, 40-an kira-kira 7.45 pagi bagi memaklumkan kejadian itu, namun dia masih tidak dapat menerima bahawa kejadian itu menimpa adik kesayangannya.

“Ibu menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai kejadian itu. Saya kemudiannya menghubungi suami saya untuk pergi ke tempat kejadian bagi melihat sendiri apa sebenarnya berlaku,” kata-nya kepada Sinar Harian.

Setiba di tempat kejadian Tengku Alina dan suaminya, Raimie Razali, 34, tidak dapat menahan air mata apabila melihat tubuh arwah adiknya masih terbaring di atas jalan raya.

Menurut Tengku Alina, arwah ialah pelajar di Politeknik Dungun dan baru mula bekerja dua hari lalu selepas cutinya berakhir Selasa lalu dan sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat swasta di Losong, Kuala Terengganu.



Kali terakhir kakak bonceng motosikal

Lebih menyedihkan kata Tengku Alina, sehari sebelum kejadian iaitu pada Rabu lalu dia juga menumpang motosikal adiknya itu untuk ke tempat kerja di Kuala Terengganu selepas kedua mereka bermalam di rumah keluarga di berek Penjara Marang.

“Saya tidak menyangka arwah menerima nasib sebegini malang kerana sehari sebelum kejadian saya juga membonceng motosikal bersamanya untuk ke tempat kerja dari rumah keluarga kami di berek Penjara Marang. Itulah kali terakhir saya bersama arwah,” katanya yang turut memberitahu bahawa adiknya bercuti selama empat hari kerana membantu melancarkan urusan perkahwinannya Jumaat minggu lalu.

Malah kata anak warden penjara ini, selepas cuti adiknya berakhir Selasa lalu, arwah seolah-olah tidak mahu tinggal di rumah sewanya di Losong bersama rakannya sehingga sanggup balik ke rumah keluarga di berek Penjara Marang sehari sebelum kemalangan untuk menonton perlawanan bola sepak.



Kawasan berisiko kemalangan

Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan, Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengenai kejadian itu berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dilaporkan dalam perjalanan ke arah Kuala Terengganu.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga manakala kerbau terbabit dipercayai masih hidup, tetapi gagal dikesan selepas kejadian.

Dalam pada itu, Ahmad Mazlan turut mengingatkan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan utama dari Pulau Kerengga ke Kelulut di sini, sentiasa berhati-hati terutama penunggang motosikal kerana risiko kemalangan mudah berlaku di kawasan itu.

“Semua pengguna jalan raya perlu sentiasa prihatin terhadap keadaan jalan, pejalan kaki, penunggang motosikal dan basikal termasuk haiwan yang melintas bagi mengelak kejadian seperti ini berulang.

“Lebih-lebih lagi dengan keadaan jalan yang bengkang-bengkok sepanjang Pulau Kerangga ke Kelulut,” katanya yang turut menyifatkan kawasan berkenaan mudah berlaku kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal.

Sementara itu, seorang pengguna jalan raya, Siti Maisarah Taib, 30, berkata, selain pihak berkuasa, masyarakat khususnya pemilik haiwan ternakan harus berganding bahu menangani masalah yang seakan-akan tidak berpenghujung ini.

Menurut Penyelaras Puteri UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang ini, masalah haiwan ternakan berkeliaran di atas jalan raya bukan satu masalah baru dan ia tidak seharusnya diletakkan di bahu satu pihak sahaja.

“Dalam hal sebegini, kita tidak boleh menuding jari kepada pihak berkuasa kerana pemilik haiwan juga perlu bertanggungjawab. Kemalangan seperti ini dapat dielakkan apabila semua pihak bekerjasama,” katanya.

Sementara, Abdullah Aziz, 34, berkata, apa yang dilakukan pihak berkuasa bukan sahaja untuk mencegah haiwan peliharaan mereka tidak berkeliaran, tetapi untuk kebaikan semua pihak terutama pengguna jalan raya.

Difahamkan, haiwan ditangkap dikenakan bayaran kompaun RM250 seekor manakala denda sebanyak RM10 sehari sepanjang di bawah jagaan pihak berkuasa tempatan.
SH

No comments:

Post a Comment