Search This Blog

Tuesday, February 1, 2011

4 pengedar dadah, 6 pencuri kereta ditahan


KAJANG: Seramai 10 lelaki termasuk empat terbabit dalam pengedaran dadah manakala selebihnya geng curi kereta ditahan dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini, Khamis dan Jumaat lalu.
Dalam serbuan pertama kira-kira jam 5.30 petang, Jumaat lalu, tiga lelaki yang sibuk membungkus syabu hampir satu kilogram dalam sebuah rumah di Kampung Teras Jenang, di sini, ditahan. Pemangku Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata ketiga-tiga lelaki berusia 22 hingga 26 tahun berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu dipercayai menjadikan rumah terbabit sebagai tempat pengedaran dadah, kira-kira tiga bulan lalu. “Kami percaya rumah itu dijadikan ‘port’ untuk remaja membeli dadah berdasarkan aduan penduduk kampung, malah nilai semua rampasan dianggarkan RM230,000,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan di hadapan sebuah kilang di Taman Taming Jaya, di sini.

Dalam operasi kira-kira jam 7 petang itu, suspek dipercayai menunggu pelanggan untuk mendapatkan heroin.

Sementara itu, polis turut menahan enam suspek dipercayai sindiket curi kereta yang aktif di Balakong Jaya, Khamis lalu. “Enam lelaki berusia 20 hingga 35-an itu ditahan di kawasan berkenaan dipercayai memerhatikan kereta untuk dicuri.

“Polis merampas sebuah BMW, dua Proton Waja dan dua Proton Gen.2 serta tiga komputer riba,” katanya.

No comments:

Post a Comment