Search This Blog

Tuesday, February 8, 2011

10 rumah sederet musnah terbakar






KLANG - “Jeritan kuat jiran berdekatan mengejutkan saya daripada tidur yang kepenatan selepas mengikuti Tarian Naga. Sepantas kilat saya berlari keluar masuk rumah beberapa kali kerana terlalu panik. Sebaik menyedari ruang tamu rumah terbakar, baru saya sedar saya dalam bahaya,” itulah reaksi seorang mangsa kebakaran, Wong Che Hou yang ketika itu sedang keseorangan di kediamannya memandangkan semua ahli keluarga sedang bercuti di Seremban.

Dalam kejadian malam kelmarin, 10 rumah sederet yang berusia kira-kira 24 tahun hangus terbakar di Jalan Keretapi Lama, Kampung Sungai Pinang, Rantau Panjang manakala dua lagi rosak teruk.

Berikutan kejadian itu, hampir 100 ahli keluarga hilang tempat tinggal yang mana membabitkan keluarga berketurunan Cina, Melayu dan India.

Keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah RM500,000 tidak termasuk peralatan dan barangan milik mangsa.

Apa yang menyedihkan semua hangus dalam sekelip mata termasuk barangan berharga, dokumen penting, pakaian dan peralatan sekolah.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota Bomba menyelamatkan beberapa rumah berdekatan dan kilang terletak beberapa meter daripada lokasi kejadian.

Sinar Harian yang berada di lokasi kejadian sempat melihat beberapa penghuni berdekatan berlari menyelamatkan diri sambil mengangkut peralatan rumah dan dokumen penting.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang (Klang Utara), Ishak Bakar berkata, Bomba menerima panggilan kira-kira jam 7.40 malam mengenai kebakaran 10 unit rumah yang didiami 10 keluarga pelbagai bangsa dan keturunan.
SH

No comments:

Post a Comment