Search This Blog

Monday, February 28, 2011

PKFZ: Lagi bekas menteri didakwa



28/02/2011 2:55pm

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Dia didakwa mengikut Seksyen 417, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Difahamkan, Kong Choy yang berada di luar negara pulang beberapa hari laku selepas diminta oleh pihak berkuasa.
Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman membenarkan Kong Choy diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes.
Kong Choy merupakan bekas Menteri Pengangkutan yang kedua yang didakwa berhubung skandal PKFZ selepas Tun Dr. Ling Liong Sik.
Pada 29 Julai, 2010 Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen yang sama terhadap tuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal PKFZ melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion lapan tahun lepas.
Liong Sik, 67, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 Sept 2002 dan 6 Nov 2002. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Dua wanita jadi mangsa ragut



28/02/2011 5:55pm

KUANTAN – Dua wanita menjadi mangsa ragut dalam masa selang 10 minit di dua kawasan perumahan di Bentong ketika masing-masing membuka pintu pagar rumah.
Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian pertama berlaku kira-kira 10.30 pagi membabitkan seorang guru berusia 56 tahun yang baru pulang ke rumahnya.
Wanita itu diragut ketika mahu masuk semula ke dalam keretanya selepas membuka pintu pagar rumah di mana secara tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi keledar meluru ke arahnya dan menarik rantai di lehernya, katanya.
Katanya mangsa tidak sempat berbuat apa-apa kerana terkejut dan hanya mampu melihat suspek dan rakannya melarikan diri dengan sebuah motosikal bersama rantainya bernilai RM3,000.
Kejadian kedua pula, katanya berlaku kira-kira 10 minit kemudian apabila seorang jururawat berusia 55 tahun diragut ketika membuka pintu pagar rumahnya di Taman KSM, Bentong.
"Mangsa juga dihampiri dua lelaki bermotosikal dan memakai topi keledar yang bertindak meragut rantai leher bernilai RM15,000,” katanya.
Beliau berkata polis percaya kedua-dua kes dipercayai dilakukan oleh suspek yang sama. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Lelaki edar kanabis ke tali gantung



28/02/2011 6:25pm

SHAH ALAM – Seorang pekerja kilang yang bakal menyambut hari jadinya yang ke-25 esok, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana mengedar 295.01 gram kanabis, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Mohd Kamarulzaman Irwan Shah, 24, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
"Awak ditawarkan pertuduhan pilihan pada peringkat awal kes, tetapi awak tolak dan ini merupakan perjudian yang amat serius serta berbahaya.
"Berdasarkan keterangan, jelas awak ada kawalan dan pengetahuan terhadap dadah itu. Justeru, awak didapati bersalah dan hanya ada satu hukuman di bawah undang-undang iaitu awak dihukum mati,” katanya.
Sejurus selepas Hakim Mohtarudin membacakan keputusan itu, Mohd Kamarulzaman yang berdiri dalam kandang tertuduh kelihatan tenang sementara anggota keluarganya di galeri awam menangis teresak-esak.
Mohd Kamarulzaman didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Kenanga Sari 3A, Bandar Sungai Buaya, Rawang dekat sini, kira-kira 7 pagi pada 16 Mei 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Hakim Mohtarudin juga berkata pembelaan tertuduh bahawa kunci tombol pintu biliknya rosak adalah sesuatu yang difikirkan kemudian.
Beliau berkata berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, bilik Mohd Kamarulzaman berkunci dan anak kunci dipegang oleh tertuduh.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar mengemukakan 11 saksi manakala pembelaan yang diwakili peguam Adi Harman Mawardi, memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan dalam kes itu. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Lelaki larikan peti besi 100kg diburu




KEMAMAN – Sebuah peti besi seberat 100 kilogram mengandungi geran kenderaan dilarikan dari sebuah syarikat insurans dalam kejadian pecah masuk bangunan pejabat itu semalam.
Pemilik syarikat insurans berkenaan, Azmi Ismail, 43, berkata 15 keping geran pelbagai jenis kereta dan motosikal milik pelanggan dilarikan dalam kejadian itu.
Katanya beliau dimaklumkan mengenai kejadian oleh pemilik premis bersebelahan pejabatnya di Jalan Da’ Omar di sini, kira-kira pukul 5 pagi semalam setelah menyedari pintu pejabat syarikat insurans itu dipecahkan.
"Setelah pemeriksaan dibuat, saya dapati peti besi yang diletakkan di bawah meja berhadapan pintu yang dipecahkan telah lesap.
"Turut dilarikan wang tunai sebanyak RM300 yang disimpan dalam peti besi itu, bagaimanapun barangan yang lain seperti komputer dan kamera video masih berada di tempat yang sama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya laporan polis berhubung kejadian dibuat pada hari yang sama.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Abdullah Sani Salat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.
Katanya seorang suspek telah dikenal pasti bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Korea Utara ugut serang Seoul


SEOUL 27 Feb. - Korea Utara akan melancarkan serangan merentasi sempadan jika Seoul meneruskan propaganda antirejim di kawasan sempadan yang memisahkan dua negara itu, lapor media kerajaan hari ini.

Menurut agensi berita rasmi Korea Utara (KCNA), tentera Korea Utara tidak teragak-agak melepaskan tembakan ke kawasan sempadan di mana aktivis dan tentera Korea Selatan melepaskan belon-belon yang membawa risalah antikerajaan serta cakera padat digital (DVD).

"Tentera kami yang berada dalam keadaan mempertahankan diri akan melancarkan serangan terus ke lokasi aktiviti menyebarkan propaganda anti republik tersebut, jika aktiviti itu terus dijalankan walaupun amaran telah dikeluarkan," menurut KCNA.

Korea Utara menerusi laporan KCNA, menggesa Korea Selatan menghentikan perang psikologi itu dengan segera.

Ketegangan dijangka berterusan di semenanjung Korea dengan pelancaran latihan tentera bersama antara Amerika Syarikat (AS) dengan Korea Selatan yang akan berakhir 10 Mac ini dan Pyongyang mendakwa keadaan itu boleh membawa kepada perang.

Amaran tersebut dibuat beberapa hari selepas seorang penggubal undang-undang mendakwa tentera Korea Selatan menyebarkan berita tentang kebangkitan rakyat menentang rejim yang berlaku di Asia Barat dan Afrika Utara.

Ahli politik parti pembangkang, Song Young-sun yang memetik laporan Kementerian Pertahanan berkata, belon membawa bekalan ubat-ubatan serta pakaian telah dilancarkan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Jom Heboh: Wanita dicekup ketika meragut

Utusan Malaysia Online - Jenayah: "

KUALA TERENGGANU 27 Feb. - Orang ramai ke Karnival Jom Heboh di sini, dengan niat untuk berhibur, namun lain pula dilakukan wanita ini apabila ke karnival itu dengan tujuan meragut.

Tindakannya bagaimanapun memakan diri apabila dia dicekup ketika cuba meragut rantai emas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun semalam.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zamri Samsuddin berkata, suspek berusia 39 tahun dan berasal dari Pulau Pinang berjaya dicekup orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis.

'Berikutan penahanan wanita itu, polis percaya dapat menyelesaikan tiga kes ragut sepanjang karnival terbabit, sejak kelmarin,' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada masa sama, Zamri berkata, pihaknya berjaya menghalang satu cubaan untuk mencuri motosikal pada hari kedua karnival itu.

'Saya ingin berterima kasih kepada orang ramai dan semua pihak kerana turut sama membantu polis bagi mencegah kegiatan jenayah,' katanya."

Lelaki mati dipercayai ditikam



SUNGAI PETANI 27 Feb. – Seorang lelaki dibunuh kejam apabila ditikam dan mayatnya dicampak di bahu jalan di bawah jejantas Jalan Lencongan Barat berdekatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini malam tadi.
Mangsa, K. Maran, 31, ditemui pukul 10.30 malam oleh penunggang motosikal dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan parah di kepala selain terdapat kesan tikaman di belakang badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa mungkin dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan di kawasan itu.
“Mangsa ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah. Ketika ditemui, mangsa masih memakai pakaian dan tali leher berwarna emas.
“Kita menolak kemungkinan motif samun kerana barangan peribadi lain dan wang tunai masih berada bersama mangsa.
“Polis percaya mangsa dibunuh dalam tempoh tidak lebih lima jam sebelum mayatnya ditemui,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.
Menurut Mohd. Zakaria, berdasarkan semakan awal, mangsa tinggal di Taman Bandar Baru Sungai Lalang, kira-kira lima kilometer dari lokasi mayatnya ditemui.
Katanya, pemeriksaan polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.
Polis katanya, setakat ini mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” jelasnya.
Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat mengenai kes itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, sebelum kejadian mangsa keluar bersembahyang di sebuah kuil berdekatan rumahnya.
Bagaimanapun, dia mendakwa, sekumpulan lelaki muncul secara tiba-tiba dan memanggil mangsa keluar dari kuil.
“Selepas itu, berlaku pergelutan dan kumpulan lelaki tersebut kemudian membawa Maran naik kereta,” katanya.
Dia memberitahu, ahli keluarga kemudian dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

8 maut gelanggang laga anjing dibom


2011/02/28

KANDAHAR: Letupan bom berkembar membunuh sekurang-kurangnya lapan rakyat Afghanistan semalam ketika perlawanan laga anjing haram diadakan di selatan negara itu.

Letupan semalam berlaku di daerah Arghandab, di pinggir Kandahar, di mana pasukan tentera NATO dan Afghanistan berusaha menghapuskan Taliban dan mengembalikan ketenteraman.
Walaupun perlawanan laga anjing diharamkan di bawah undang-undang Afghanistan, ia masih menjadi biasa dan sering diabaikan oleh pihak berkuasa.
Dalam kes ini bagaimanapun, polis yang mengetahui mengenai perlawanan itu tiba untuk meleraikannya apabila sebutir bom meletup, kata ketua polis daerah, Niaz Mohammad. Manakala satu lagi kejadian letupan berlaku sebaik saja pasukan keselamatan keluar dari kenderaan mereka, kata Mohammad.

“Lima polis cedera dalam kejadian itu tetapi tidak ada antara mereka yang maut,” katanya.

Tidak diketahui dengan jelas, siapa sasaran serangan walaupun seorang saksi berkata, polis mungkin bukan sasaran mereka.

“Taliban juga tidak membenarkan laga anjing,” kata Ismail Alokozai yang berada di kawasan itu ketika letupan pertama dan membantu mereka yang cedera. Ini bukan kali pertama letupan berlaku di kawasan laga anjing.

Katanya, beliau melihat beberapa mayat terbaring dan dianggarkan bahawa ada kira-kira 10 mayat di situ.

Sabtu lalu, empat orang terbunuh di barat laut negara itu apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan bom dalam jaketnya di sebuah padang sukan. – AP
Berita Harian Online

Arwah seorang periang, rajin: Ibu




BUKIT BERUNTUNG - “Arwah seorang yang periang dan mudah didekati malah rajin bekerja walaupun baru enam bulan bekerja di bengkel ini,” kata Kamanshah Md Rejab, 41, rakan mangsa kemalangan maut, Allahyarham Saiful Azidi Radzali, 41.

Kamanshah berkata, Saiful Azidi tidak pernah mengeluh bila ditugaskan untuk mendapatkan bekalan alat ganti jentera berat di sekitar Lembah Klang yang menjadi tugas utamanya.

Malah katanya, anaknya itu tidak merungut walaupun menyedari tugas itu akan mengambil masa hingga ke tengah malam.

“Arwah biasanya ditugaskan untuk ke beberapa kedai pembekal alat ganti jentera seperti di Puchong, Cheras, Shah Alam dan sekitar Kuala Lumpur.

“Kerja ini biasanya selesai sehingga ke waktu malam walaupun waktu bekerja setakat jam 5 hingga 7 petang sahaja, tetapi arwah tidak pernah mengeluh,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan.

Saiful Azidi meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala setelah tersepit dalam kenderaan pikap dipandunya yang terbabit kemalangan di Kilometer 432 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Bukit Beruntung kira-kira jam 7.56, malam, semalam.

Kamanshah berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya pada jam 1 petang kelmarin untuk bertanyakan keadaannya setelah mendapat tahu mangsa pulang lewat daripada kerja malam hari sebelumnya.

Menurutnya, rutin harian arwah membuktikan komitmen anaknya dalam kerjanya.

“Kami sedih kerana arwah meninggal di usia muda dan masih belum berkeluarga.

“Khidmatnya masih diperlukan kerana dia seorang yang baik hati, rajin dan tidak pernah membantah,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa yang hanya dikenali sebagai Blaat, 32, berkata, pada kebiasaannya Saiful Azidi akan menghubunginya untuk memaklumkan kunci motosikal yang ditinggalkan di bengkel sebelum keluar menggunakan kenderaan syarikat.

Namun, kelmarin Blaat memberitahu, arwah langsung tidak menghubunginya dan berkemungkinan membawa bersama kunci motosikalnya.

“Biasanya motosikal ditinggalkan di bengkel dan saya yang selalu jaga. Tetapi, pagi tadi (kelmarin) dia tidak beritahu apa-apa.

“Dan, kami terkejut setelah mendapat tahu dia terlibat dalam kemalangan dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Kesemua rakan Allahyarham sepakat menghubungi ibu bapanya ketika itu bagi memaklumkan mengenai kejadian malang berkenaan.
SH

“Tiba-tiba kami dirempuh”




BUKIT BERUNTUNG - Walaupun terkejut dengan kemalangan yang dialami, pemandu kereta Peugeot, Idris Mohd Isa, 47, ketika ditemui bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, ibu mentuanya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh kerana kecederaan di kepala akibat terhantuk.

“Saya amat terkejut dengan kejadian ini kerana tiba-tiba saja kereta kami dirempuh dari tepi sebelum berpusing beberapa kali lalu terbabas ke dalam longkang.

“Ketika itu, saya bersama isteri, ibu mertua dan kakak ipar dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas melawat saudara sakit di Kuala Lumpur,” katanya yang bertugas sebagai pegawai bank di Ipoh, Perak.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Superintendan Mohd Taib Songoh berkata, mangsa yang maut memandu bersendirian dan berdasarkan siasatan awal mangsa cuba untuk memotong kereta dipandu Idris namun gagal lalu bergesel di tepi kanan kereta sebelum terbabas.

Menurutnya, pikap mangsa yang terbabas melanggar pengadang lebuh raya sebelum terhumban ke longkang dan berpusing lalu terbalik ke lorong kiri jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan mati ditempat kejadian. Mayatnya dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat," katanya.
SH

Rumah tiada elektrik terbakar




LONDANG - Sebuah rumah papan pusaka peninggalan ibu bapa kepada seorang warga emas yang tinggal bersendirian rentung dalam kebakaran di Jalan Pokok Tanjung, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Buang Md Zin, 58, yang tiada di rumah dikejutkan dengan musibah menimpanya oleh penduduk.

Menurutnya, rumah berkenaan yang didiami tanpa bekalan elektrik hangus dalam sekelip mata, disedari satu keluarga berhampiran selepas terdengar bunyi dentuman kuat dipercayai zink rumah yang terjatuh.

Saksi kejadian, Zimah Joned, 50-an, berkata, kejadian disedari salah seorang anaknya yang segera keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut mendapati rumah warga emas terbabit terbakar sebelum memanggil bapanya.

“Anak saya melihat api sudah marak dan terus memanggil ayahnya, yang kemudian cuba memadamkan api tetapi tidak berjaya.

“Kemudian, menantu saya memaklumkan kejadian kepada kakak Buang yang ketika itu solat Isyak dan penduduk mengesyaki Buang ada di dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, mereka cuba memanggil Buang beberapa kali sebelum seorang penduduk menemuinya dalam perjalanan pulang dari kedai.

“Mujur ketika itu ada sekumpulan remaja yang duduk berkumpul menyedari api mulai marak dan terus menghubungi bomba,” katanya.

Buang ketika ditemui berkata, dia ke kedai minum berdekatan sejak jam 5.30 petang dan sudah memastikan rumah berkunci, selain tidak pernah memasang pelita.

“Pada mulanya saya tidak percaya rumah terbakar dan terus ke rumah kakak yang tinggal berhampiran dengan kediaman,” katanya.

Menurutnya, dari rumah kakaknya api dilihat semakin marak tetapi dia tidak berani mendekatinya kerana risau jika berlaku letupan.

“Mujur semua dokumen penting seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan ada di rumah kakak,” katanya.

Buang yang sudah biasa hidup bergelap sejak lima tahun lalu bimbang sekiranya pemasangan bekalan elektrik menyebabkan kebakaran dan tidak menyangka meskipun tanpa bekalan elektrik, kebakaran tetap berlaku.

Sementara itu, Sidang Kampung Londang, Ramli Naaman, melahirkan kekesalan atas masalah talian telefon yang berlaku menyebabkan dia mengetahui kejadian dua jam selepas itu, iaitu kira-kira jam 10 malam.

“Saya difahamkan, ada juga penduduk gagal menghubungi balai bomba gara-gara masalah talian telefon. Jika tidak, mungkin rumah Buang dapat diselamatkan meskipun cuma sebahagian daripadanya,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Bajiyen a/l Ramiah berkata, pihak bomba menerima panggilan orang awam jam 9 malam dan mengarahkan lapan anggota dan satu jentera ke lokasi kejadian.

“Hampir keseluruhan rumah papan berkenaan hangus dan kejadian dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka di kawasan berdekatan,” katanya.
SH

Isteri trauma dilanggar van




PEDAS - Seorang pemandu van cedera ringan selepas kenderaannya berlanggar dengan Proton Iswara Aeroback di kilometer 20.5 Jalan Seremban-Tampin dekat Pekan Pedas, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, van yang dipandu mangsa remuk teruk selepas melanggar belakang kereta berkenaan.

Suami kepada pemandu kereta terbabit, S Sitra, 28, yang enggan dikenali berkata, isterinya keluar rumah di Taman Sedia Raja, Chembong kira-kira jam 8 malam untuk membeli barang di kedai runcit Pekan Pedas.

“Saya bergegas ke tempat kejadian apabila dimaklumkan rakan bahawa isteri saya terlibat kemalangan.

“Mujurlah dia selamat dan tidak mengalami kecederaan namun trauma akibat kejadian berkenaan,” katanya.

Sementara itu jurucakap polis berkata, punca sebenar kejadian masih disiasat namun siasatan awal mendapati pemandu van dari arah Tampin ke Seremban dipercayai mengekori terlalu rapat lalu gagal mengawal kenderaan dan berlanggar dengan kereta.

“Akibat kejadian, pemandu van mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau menerusi talian 06-685 1999 atau 06-685 2222 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Sinar Harian difahamkan, pemandu van berkenaan masih belum membuat laporan polis.
SH

Gagal bunuh diri




KULIM - Seorang warga emas berusia 62 tahun cuba membunuh diri dengan menggantungkan dirinya menggunakan wayar di sebuah rumah kedai yang telah lama ditinggalkan, kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, bagaimanapun warga emas itu berjaya diselamatkan oleh ahli PPKM yang berada di tempat kejadian.

Menurutnya, ini merupakan kes pertama beliau melibatkan cubaan membunuh diri dan mangsa dapat diselamatkan.

“Seorang peniaga masuk ke rumah kedai itu untuk membuang air. Dia terkejut apabila ternampak seorang lelaki sedang berdiri di atas meja dan lehernya diikat dengan wayar.

“Dia berlari keluar dan memaklumkan kejadian itu kepada ahli PPKM. Ahli PPKM kemudiannya menghubungi saya dan meminta bantuan.

“Apabila saya sampai di tempat kejadian, saya dapati lelaki itu sudah bersedia untuk terjun dari meja dengan lehernya terikat dengan wayar. Saya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk memujuknya sebelum dibawa turun oleh ahli PPKM,” katanya.

Eng Khim berkata, setelah diselamatkan, mangsa mengadu dia sudah ditipu dan sekarang ini tidak mempunyai wang dan tempat tinggal.

Kerana takut berhadapan dengan masalah terbabit, dia mengambil tindakan untuk membunuh diri.

“Saya ada bertanya kepadanya bantuan apakah yang diperlukan, memandangkan dia sudah kehilangan kesemua harta benda.

“Dia mahu diberikan kerja dan tempat berlindung. Saya kemudiannya menghubungi ahli PPKM dan mereka bersedia memberikan pekerjaan sebagai tukang masak serta tempat tinggal.

“Saya berterima kasih kepada semua ahli PPKM dan orang ramai yang terlibat dalam memberikan bantuan segera kepada mangsa. Pada fikiran saya, sekiranya PPKM sampai sedikit lewat, pasti mangsa telah mati,” katanya.
SH

Bunuh diri angkara cinta




JELUTONG – Dipercayai kerana cinta, seorang remaja berusia 17 tahun nekad terjun dari aras 11 pangsapuri di Lorong Madrasah, Jelutong malam kelmarin.

Lee Li Cheng, 17, yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui mati di tingkat dua kawasan tempat letak kereta dalam keadaan terlentang serta mengalami pendarahan teruk di seluruh anggota badan termasuk kepala, kaki dan tangan.

Seorang penghuni yang enggan namanya disiarkan berkata, mangsa yang juga pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Phortay, di Bagan Jermal sebelum itu dilihat bertengkar dengan seorang lelaki yang dipercayai kekasihnya sebelum terjun dari aras 11 kediaman itu.

“Setelah menyedari mangsa terjun, lelaki itu melarikan diri yang mana sebelum itu, terdengar bunyi dentuman kuat dan membuatkan kami bergegas ke tempat kejadian untuk melihat punca dentuman itu. Kami terkejut kerana bunyi dentuman itu rupanya daripada kesan mangsa terjatuh.

“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dan kami terus menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya kepada media di tempat kejadian kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya gagal menemui sebarang dokumen diri pada tubuh mangsa selain sekaki payung yang dijumpai di tingkat 11, tempat mangsa terjun.

“Mangsa ditemui jirannya kira-kira jam 7.30 malam dan mayat di hantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita sedang mengesan identiti lelaki yang berada bersama mangsa ketika kejadian berlaku.

“Keputusan bedah siasat akan diambil untuk menentukan sama ada terdapat perbuatan jenayah terhadap mangsa dan kita akan jalankan siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya.
SH

Dua saman dalam masa seminit



AIR KUNING - Ketika semua pengguna jalan raya menggunakan kesempatan terakhir hari ini, untuk membayar saman trafik, namun berlainan pula yang berlaku kepada seorang pengguna dari Kampung Sungai Kroh, di sini.

Tiga saman dalam tempoh 18 minit diterima di laluan sama menyebabkan timbulnya kekeliruan selain kategori kenderaan yang berbeza.

Pengguna, Khairul Anuar Mustapha, 49, berkata, semasa membuat semakan saman, dia terkejut kerana menerima tiga saman dalam sehari iaitu pada 25 Disember 2009 lalu.

Menurutnya, lebih menimbulkan kekeliruan apabila dua saman dikenakan dalam tempoh seminit dan jenis kenderaan yang dikenakan saman juga berbeza dari segi kategori kerana dua saman menunjukkan kategori kenderaan motokar, manakala satu lagi adalah kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Saya di saman di Kilometer 46 Jalan Ipoh - Teluk Intan di sini, dan saman pertama pada jam 12.33 tengah hari.

“Saman kedua pula dikenakan pada jam 12.50 tengah hari dan saman ketiga pada jam 12.51 tengah hari, kesemuanya saman ini adalah di laluan yang sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul Anuar berkata, dia hanya memandu kenderaan jenis Perodua Viva, namun salah satu saman yang dikenakan menggunakan nombor pendaftaran yang sama tapi atas kategori MPV.

“Bagaimana pula perkara ini boleh berlaku sedangkan kereta yang saya gunakan adalah kereta biasa dan tempoh saman seminit ini juga mengelirukan,” katanya.

Katanya, saman yang dikenakan ke atasnya diterima dengan hati terbuka dan masih perlu dijelaskan pembayarannya.

“Namun sebagai pengguna, kami mahukan kepastian mengapa perkara ini boleh berlaku dan pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan kepastian tetapi gagal.

“Maklumat yang diterima daripada bahagian trafik berkaitan saman dalam tempoh seminit juga mengelirukan kerana mereka menyatakan kemungkinan saya melakukan pusingan U namun, jika difikirkan kembali, bagaimana saya boleh memecut dengan kadar segera dalam tempoh seminit selepas membuat pusingan U,” katanya.
SH

Berperangai pelik sebelum hilang




SERI ISKANDAR - “Saya tidak menyangka sikap anak yang agak berlainan sebelum kami keluar memancing menjadi tanda dia akan hilang,” demikian kata bapa saudara kepada mangsa hilang, Amang Jamil Ngah Lambut, 30, di kawasan hutan lombong Bandar Universiti pada 25 Februari lalu.

Bapa saudara, Ngah Man Ngah, 54 berkata, pada hari kejadian, dia bersama anaknya, dua rakan dan Amang Jamil keluar untuk memancing di lombong Bandar Universiti.

Menurutnya, mereka berlima yang tinggal di Kampung Sungai Perah, Parit sampai di lombong itu kira-kira jam 6 petang.

“Setibanya di sini, Amang mengikut saya dari belakang.

“Tiba-tiba dia mahu membuang air, lalu anak saya menemaninya sementara saya bersama dua lain, Kunar Baharum, 37 dan Yunus Hitam, 50 meneruskan perjalanan,” katanya ketika ditemui semasa gerakan mencari mangsa.

Ngah berkata, anaknya, Musandi Ngah Man, 24, berasa bimbang apabila mangsa tidak muncul dan pergi mencari Amang di tempat dia membuang air namun, tiada.

:Menurutnya, anaknya memberitahu mengenai perkara itu kepadanya lalu mereka berusaha mencari mangsa.

“Kami mencari pula di tempat letak kereta dan menjumpai selipar kepunyaan Amang.

“Kami mengambil keputusan melaporkan kehilangan itu kepada pihak polis pada 26 Februari (kelmarin),” katanya.

Dia berkata, sikap Amang berubah sebelum mereka berlima keluar memancing pada petang itu.

Katanya, Amang tidak banyak bercakap mungkin bersedih dengan kehilangan neneknya seminggu yang lalu.

“Saya bimbangkan keselamatannya kerana Amang mempunyai masalah mental,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa jam 1 tengah hari pada 26 Februari dan gerakan mencari segera dilakukan di kawasan terlibat.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat diteruskan dengan dibantu 93 orang termasuk Ikatan Relawan Rakyat (Rela), pertubuhan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Universiti, masyarakat Orang Asli, unit anjing pengesan dan Pasukan Gerakan Am.

“Operasi dihentikan pada jam 2.45 petang setelah orang hilang dijumpai di Seri Iskandar,” katanya.
SH

SH

Maut terbabas


KUALA KANGSAR - Seorang remaja, Wong Kai Sin, 21, maut akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 4 Jalan Kuala Kangsar menuju ke Manong, di sini, awal pagi kelmarin.

Difahamkan, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) setelah berjaya dikeluarkan daripada tempat duduk kenderaan jenis Proton Wira dipandunya kerana tersepit.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, kemalangan berkenaan hanya melibatkan sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki yang dalam perjalanan menuju arah Manong.

Menurutnya, kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas sendiri apabila tiba di sebuah kawasan perkuburan Cina di Jerlun serta terlanggar tiang elektrik.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 pagi dan ketika itu mangsa memandu seorang diri, siasatan awal mendapati kenderaan dipandunya terbabas sendiri melanggar tiang dari arah bertentangan dan kemudiannya tersadai di sebatang pokok.

“Mangsa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan bantuan kecemasan selepas berjaya dikeluarkan daripada tempat duduknya tetapi gagal diselamatkan apabila maut dalam perjalanan,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan bertulis, di sini, semalam.

Abdul Gaffar berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan serius di kepala.

“Faktor kemudahan lampu jalan juga mungkin menjadi penyebab kepada punca kemalangan ini selain cuaca yang tidak baik sewaktu kemalangan.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Terkejut lihat pemilik rumah bogel



BALIK BUKIT – “Ketika keluar dari rumah, saya terkejut melihat api sudah menjulang tinggi dan marak membakar rumah mangsa, selain pemilik rumah tersebut pula berbogel di luar rumah,” demikian menurut jiran terdekat, Ismail Abdul Rahman, 52.

Menurut Ismail, keja­dian itu disedari apabila anak sulung mangsa yang berumur 16 tahun datang ke rumah meminta pertolongan dengan mengatakan bapanya telah membakar rumah bermula dari bengkel membaiki motosikal.

“Sejurus selepas itu saya segera ke rumah mangsa dan hanya sempat menyelamatkan dua buah motosikal, sebiji tong gas dan sebuah kompresor penyembur angin yang terletak di luar rumah, manakala barangan lain hangus sementara menunggu anggota bomba memadamkan api.

“Pemilik rumah yang membakar rumahnya sendiri telah diberi bantuan oleh orang kampung kerana dipercayai melecur pada bahagian kakinya akibat terkena api,” katanya.

Ismail berkata, kejadian itu memang tidak disangka sama sekali kerana rumah yang didiami itu adalah rumah pusaka arwah ibu mangsa, dan mereka telah tinggal di situ sejak berpuluh tahun lalu.

“Kemungkinan kebakaran yang berlaku berpunca daripada tekanan perasaan kerana sejak seminggu belakangan ini, saya pernah melihat mangsa sentiasa merapu seorang diri.

“Kadang-kadang segala kerja yang dilakukannya juga seakan-akan tidak kena walaupun tiada sebarang gangguan daripada orang lain.

“Namun, saya tidak mengesyaki apa-apa walaupun berada paling hampir dengan rumahnya sehinggalah dikejutkan dengan kejadian kebakaran pada Jumaat lalu,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, hubungan mangsa dan keluarganya dengan jiran terdekat tiada apa-apa masalah setakat ini walaupun masing-masing sibuk dengan kerja.

“Biarpun sebelum ini pernah mendengar mangsa memarahi isteri dan anak-anak, namun saya menganggap ia lumrah dalam kehidupan berumah tangga dan tidak pernah mencampuri urusan keluarga mereka,” katanya.
SH

Peragut Jom Heboh kantoi




KUALA TERENGGANU - Kantoi! Hasrat seorang peragut yang ingin mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjadikan pengunjung Karnival Jom Heboh yang berlangsung di Dataran Shahbandar di sini sebagai mangsa, tidak kesampaian setelah dia berjaya ditangkap orang awam ketika sedang melakukan kegiatan itu, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, peragut wanita itu yang berasal dari Pulau Pinang ditangkap sendiri oleh orang awam setelah gagal memboloskan diri selepas meragut rantai pada leher salah seorang kanak-kanak di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner (ACP) Zamri Shamsuddin berkata, penangkapan peragut wanita berusia 39 tahun itu diyakini mampu menyelesaikan masalah tiga lagi kes jenayah ragut yang dilaporkan sepanjang dua hari iaitu pada 25 dan 26 Februari lalu.

“Hasil siasatan awal, kami dapati kanak-kanak berumur lapan tahun ke bawah menjadi mangsa sasaran utama suspek, mungkin untuk memudahkan kerjanya,” katanya.

Menurut Zamri, selain berjaya menangkap peragut wanita, kerjasama daripada orang awam juga berjaya mematikan hasrat seorang lelaki yang cuba mencuri motosikal pengunjung di situ.

“Alhamdulillah, dengan kejayaan ini membuktikan hasrat ingin menjalinkan kerjasama yang baik di antara anggota polis dan orang awam tercapai seperti mana yang diuar-uarkan sebelum ini.

“Jadi, saya dengan berbesar hati mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua masyarakat termasuk Kerajaan Negeri yang sentiasa bekerjasama memerangi jenayah di negeri ini,” katanya.
SH

Warung terbakar




ALOR TEMPOYAK - Sepasang suami isteri terpaksa berdepan ujian paling getir apabila warung makan yang menjadi tempat mencari nafkah bagi menyara enam anak, lima daripadanya masih bersekolah, musnah dalam satu kebakaran dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu dipercayai berlaku ketika Shafie Ismail, 39, dan isterinya, Sanisah Mat Rani, 42, sedang tidur di rumahnya yang letaknya kira-kira 80 meter dari warungnya yang terbakar itu.

Sanisah berkata, sebelum kejadian, dia bersama suami melakukan kerja mengemas di warung tersebut sebelum pulang ke rumahnya kira-kira jam 12 malam.

Katanya, ketika sedang nyenyak tidur, tiba-tiba dia dikejutkan oleh jirannya memaklumkan ternampak api besar memusnahkan warung makan miliknya yang terletak berhampiran stesen minyak itu.

“Sebaik dimaklumkan jiran mengenai kejadian kebakaran itu, saya bergegas ke warung terbabit, namun api menjulang tinggi menyebabkan saya gagal menyelamatkan barang bernilai dan pelbagai peralatan lain dalam warung berkenaan.

“Saya tidak mampu melakukan apa-apa, segalanya musnah, warung yang menjadi sumber rezeki kami sebelum ini kini tinggal abu,” katanya.

Sanisah berkata, fikirannya buntu memikirkan bagaimana cara mencari pendapatan selepas warung makan yang dibina dengan tulang empat kerat lebih 10 tahun lalu itu kini sudah menjadi ‘padang jarak padang tekukur’.

“Lima anak kami masih bersekolah termasuk seorang daripadanya akan memasuki universiti tahun depan.

“Kejadian ini benar-benar membuatkan saya trauma, selain memikirkan anak, saya juga perlu mencari modal permulaan untuk membeli peralatan bagi membina semula warung yang musnah itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Penolong Penguasa Suki Annuar berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu jam 2.05 pagi lalu bergegas ke lokasi.

Bagaimanapun, katanya, api yang marak dengan cepat memusnahkan hampir keseluruhan warung yang kebanyakannya dibina daripada papan itu.

“Api dipercayai berpunca dari bahagian dapur. Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak kami,” katanya.
SH

Dua sahabat mati tersepit dalam kemalangan ngeri




MARANG - Dua lelaki maut selepas terbabit dalam satu kemalangan ngeri dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Chendering, Kuala Terengganu di Kilometer 13.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan dekat Rusila di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, pemandu, Mohammad Shukri Awang, 41, bersama penumpang, Ismail Ibrahim, 38, maut di tempat kejadian apabila Toyota Corona dipandu terbabas, lalu terbalik selepas merempuh belakang lori yang diletakkan di tepi jalan.

Kereta mangsa terbalik dan remuk teruk pada bahagian hadapan akibat rempuhan kuat, menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dalam keadaan mengerikan, dan disahkan meninggal dunia selepas dikeluarkan dari kenderaan terbabit.

Nenek Ismail yang beralamat dari Kampung Bukit Batu Putih, Chendering, Kuala Terengganu, Sulong Abdullah, 82, ketika ditemui terkejut mendengar berita kematian cucunya itu selepas dimaklumkan mengenai kejadian terbabit oleh ahli keluarganya selepas kejadian.

Menurut Sulong, dia tidak menyangka cucu yang dijaga sejak kecil itu akan pergi buat selama-lamanya selepas kali terakhir melihat cucu kesayangannya keluar rumah untuk mendapatkan alat ganti motosikal, kira-kira dua minggu lalu.

“Dia (Ismail) minta wang sebanyak RM60 untuk beli barang motosikal sebelum keluar rumah pada hari itu tapi Tok ki beri dia RM100, takut tidak cukup untuk beli barang lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, semalam.

Sulong berkata, dia tidak menyangka sikap cucunya yang beria-ria untuk mendapatkan alat ganti motosikal baru di Kemaman sebelum kemalangan itu berlaku adalah tanda cucunya akan pergi meninggalkannya dan keluarga buat selama-lamanya.

Mangsa yang tidak bekerja merupakan anak kedua daripada lima beradik dan tinggal bersama Sulong.

Malah, Sulong turut menjaga tiga lagi adik mangsa manakala seorang lagi tinggal bersama anaknya, iaitu ibu mangsa di Kemaman selepas kematian bapa mereka.

Mangsa dalam proses dapat pas kerja

SEMENTARA itu, abang kepada pemandu, Mohammad Shukri dari Kampung Pengkalan Rajawali, Chendering, Kuala Terengganu, Mohammad Nazri Awang, 42, berkata, kehilangan adiknya itu begitu mengejutkan dan menyedihkan mereka sekeluarga.

Menurutnya, semua ahli keluarga masih tidak dapat menerima pemergian anak kelima daripada 12 beradik itu.

“Perkara paling menyentuh hati kami sekeluarga apabila terkenang dia (Mohammad Shukri) ketika ini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan dan dalam proses untuk mendapat pas bekerja sebagai pengimpal besi di pelantar minyak,” katanya.

Mohammad Nazri berkata, adiknya bekerja sebagai pengimpal secara kontrak dengan syarikat-syarikat cari gali minyak yang beroperasi di darat mahupun di pelantar minyak sekitar perairan di Kemaman sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka adiknya itu akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya memandangkan arwah begitu rapat dengan ibu mereka, Kuntum Said, 70-an selepas kematian bapa mereka beberapa tahun lalu.

“Saya jarang berjumpa dengan arwah kerana tinggal berasingan dengan ibu. Arwah juga jarang balik ke rumah ibu di Chendering kerana mempunyai rumah sewanya sendiri di Chendor dekat Kemaman,” katanya yang ditemui di HSNZ.

Sinar Harian juga difahamkan, kedua-dua mangsa mempunyai pertalian persaudaraan dan sangat rapat, malah Muhammad Shukri sering membawa Ismail tinggal bersama di Chendor.

Sahabat baik disemadi dalam satu liang

DATUK saudara Ismail, Hassan Mohamad, 67, turut merasai kehilangan kedua-dua mangsa memandangkan kedua-duanya bersahabat sejak kecil dan semakin rapat selepas Ismail terlibat dalam satu kemalangan beberapa tahun lalu.

“Kehilangan dua sahabat baik itu begitu dirasai semua ahli keluarga memandangkan mereka berdua adalah sahabat yang baik dalam ikatan persahabatan kerana setiap masalah yang mereka hadapi akan diselesaikan bersama,” katanya.

Hassan berkata, kedua-dua jenazah akan disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Chendering, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kemalangan yang berlaku di kilometer 13.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Rusila itu.
SH

Nelayan ditemui terapung




BACHOK – Hasrat nelayan pinggir pantai membawa balik hasil tangkapan ke rumah tidak kesampaian apabila dia dikatakan lemas selepas dipercayai terjatuh bot ketika memasuki kuala Pantai Senok di sini, semalam.

Mayat Raja Ibrahim Raja Hussin, 66, dari Kampung Tok Mekong ditemui rakannya yang keluar mencari selepas menemui bot mangsa terapung.

Mat Janin Mat Jusoh, 44, berkata, dia menemui bot mangsa terapung-apung di kuala jam 10 pagi, selepas menangkap ikan bersama seorang lagi rakan.

Menurutnya, dia mengenali bot tanpa tuan yang terapung di kuala itu dan mula mengesyaki sesuatu berlaku apabila gagal menemui pemiliknya di kawasan berkenaan.

“Saya menunda botnya ke jeti dan memanggil rakan-rakan untuk keluar mencarinya, kami bernasib baik kerana tidak lama selepas itu, mayat pemilik bot itu ditemui terapung kira-kira 500 meter dari kuala.

“Saya mengecam bot itu milik dia (Raja Ibrahim) dan jangkaan saya benar apabila melihat mayatnya,” katanya yang kemudiannya menghubungi polis, bomba dan Jabatan Perikanan.

Mat Janin berkata, dia percaya, mangsa terjatuh akibat dipukul ombak ketika memasuki kuala selepas mendapati ikan masih berada dipukatnya dalam bot tersebut.

“Saya terpaksa mengikat mayat dengan pelampung kerana khuatir ia tenggelam sementara menunggu pihak berkuasa datang,” katanya yang kemudiannya bawa mayat ke pangkalan Jabatan Perikanan di Tawang.

Isteri mangsa, Kalthom Yusof, 61, berkata, arwah sudah biasa keluar menangkap ikan sendirian di sungai dan pesisir pantai.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap bimbang keselamatan suaminya dan sering menasihati arwah supaya berhati-hati kerana laut masih bergelora.

Penduduk, Mohamad Ibrahim, 50, berkata, kuala itu tidak terlalu berbahaya bagi mereka yang mahir mengendalikan bot.

“Adakalanya, ombak datang secara mengejut dari arah belakang ketika bot memasuki kuala, mungkin dia (mangsa) dipukul ombak sehingga terjatuh dari bot dan lemas,” katanya.
SH

Pencuri pecah kereta ketika pemilik solat Isyak

JEDDAH: Polis menggiatkan usaha memburu sekumpulan pencuri yang memecah masuk banyak kereta diletakkan berhampiran sebuah masjid ketika pemiliknya mendirikan solat Isyak di Salamah.
Sumber polis berkata, mereka menerima aduan daripada mangsa yang kehilangan wang dan barang berharga.

“Polis dibantu pakar forensik menjalankan siasatan dan mengumpul bukti dari kenderaan itu.

“Setakat ini beberapa cap jari dapat dikesan,” katanya.

Sumber itu berkata, pencuri terbabit mengambil kesempatan daripada keadaan yang lengang ketika orang ramai mendirikan solat. - GN
metro

Menipu untuk jadi pilot

NEW DELHI: Seorang juruterbang pesawat penumpang warga India yang mendarat menerusi bahagian roda di muncung memalsukan dokumen bagi memperoleh lesen dan mempunyai rekod pendaratan yang buruk, lapor akhbar, semalam.
Parminder Kaur Gulati yang menggunakan roda di bahagian muncung pesawat ketika mendarat dan bukan roda belakang dibatalkan lesennya. Dia berbuat demikian ketika memandu pesawat dari New Delhi ke Goa bulan lalu, lapor akhbar The Times of India.

Siasatan dilakukan ke atas prestasi tugasannya menunjukkan dia mendarat secara salah antara 10 hingga 15 kali, lapor akhbar itu memetik kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DGCA). Parminder yang bekerja di syarikat pesawat bajet IndiGo didapati memalsukan dokumen untuk memperoleh lesen juruterbang pengangkutan Udara. (ATPL). - AFP
myMetro

Rakyat tawan telaga minyak


MEMBANTAH REJIM KEJAM...seorang penunjuk perasaan membawa poster mengecam Gaddafi ketika menyertai protes di Geneva, semalam.
MEMBANTAH REJIM KEJAM...seorang penunjuk perasaan membawa poster mengecam Gaddafi ketika menyertai protes di Geneva, semalam.


TRIPOLI: Penunjuk perasaan dilaporkan menguasai telaga minyak Libya ketika beribu-ribu yang lain berarak ke ibu negara bagi menuntut Muammar Gaddafi disingkirkan.
Menurut akhbar al-Youm semalam, telaga minyak itu bukan lagi di bawah kawalan rejim Gaddafi.

Kelmarin, penunjuk perasaan di timur Libya mendakwa, kebanyakan telaga minyak di bandar Ras Lanuf dan Brega kini berada dalam penguasaan rakyat.

Laporan menyatakan, tentera yang berpaling tadah turut membantu mengawal kawasan berkenaan.

Jurutera petroleum syarikat Agico - yang dimiliki kerajaan Libya - Abdessalam Najib, berkata hampir semua telaga minyak di bandar itu kini berada dalam kawalan orang awam dan kerajaan tidak berdaya berbuat apa-apa.


Sumber industri petroleum di luar negara pula berkata, penghantaran minyak mentah dari Libya - negara pengeksport ke-12 terbesar di dunia - hampir terhenti sama sekali.

Katanya, faktor keselamatan dan kekurangan pekerja di pelabuhan menyumbang kepada keadaan itu.

Sementara itu, ahli Majlis Bandar Raya Benghazi berkata, orang ramai melantik seorang bekas Menteri Keadilan bagi mengetuai sebuah wilayah yang dikuasai mereka.

Menurut Fathi Baja, penentang Gaddafi menamakan Mustafa Abdel-Jalil sebagai pemimpin wilayah berkenaan.

“Mustafa dilantik jawatankuasa yang mentadbir sebuah bandar di timur Libya yang kini dikuasai penentang Gaddafi,” katanya.


Kelmarin, Duta Libya ke Amerika Syarikat berkata, penentang Gaddafi bersatu menyokong usaha membentuk kerajaan alternatif diketuai Mustafa. Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan sejauh mana sokongan diterima pentadbiran di wilayah berkenaan.


Selepas kebangkitan rakyat menentang rejim Gaddafi bermula di Benghazi pada 15 Februari lalu, sebahagian besar wilayah timur Libya kini jatuh ke tangan pemberontak. - AP
myMetro | Rakyat tawan telaga minyak

14 lelaki ditahan

JOHOR BAHRU: Seramai 14 lelaki berusia 20-an hingga 30-an ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kejadian cubaan ragut yang menyebabkan seorang wanita warga emas, R Alamelu, 52, maut di lokasi kejadian di Jalan Skudai-Jalan Tun Razak di sini, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, beberapa suspek ditahan sekitar bandar raya ini didapati di bawah pengaruh dadah selain memiliki rekod terbabit kes ragut dan samun sebelum ini.

“Kami yakin penahanan mereka yang dibuat selepas tragedi itu dapat membantu polis dalam usaha memberkas penjenayah sebenar yang terbabit dalam kejadian itu.

“Selain itu, maklumat daripada saksi kejadian juga akan dijadikan petunjuk bagi memburu kumpulan penjenayah terbabit dan kami berharap dapat membuat tangkapan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, M Asojan berkata, kejadian menimpa Alamelu perlu membuka mata orang ramai supaya lebih berhati-hati terutama ketika menunggang dan membonceng motosikal.


Beliau berkata, orang ramai tidak sepatutnya memberi ruang kepada penjenayah dengan membawa barangan berharga dalam keadaan terdedah.

“Langkah pencegahan dan nasihat polis tidak boleh dipandang remeh kerana boleh mengundang tragedi. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap penjenayah dapat ditahan segera.

“Pengguna jalan terutama mereka yang sering melaluinya pada waktu lengang atau awal pagi diminta lebih berhati-hati selain tidak memakai barangan kemas atau membawa beg berisi barangan berharga secara terdedah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa dikatakan membonceng motosikal bersama adik iparnya, D Ganesh, 36, sebelum mereka dihimpit tiga penunggang motosikal dipercayai warga asing.

Kumpulan penjenayah itu dikatakan cuba meragut beg pinggang mangsa menyebabkan wanita itu terjatuh dan mati di tempat kejadian.
myMetro | 14 lelaki ditahan

Pengsan lihat bibir anak sumbing

MERSING: “Saya pengsan sebaik mendapati anak yang baru dilahirkan sumbing,” kata Siti Jumanah Marjuki, 41, ketika ditemui di rumahnya di Felda Endau di sini, semalam.
Menurutnya, bayinya baru berusia dua minggu, Mohamad Faiz Irfan Rozali dilahirkan cacat dan ketika hamil, doktor tidak dapat mengesan sebarang masalah dihadapi kandungannya itu.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap bersyukur dan menganggap ia sebagai ujian Allah.

“Kini, paling membimbangkan saya risiko bakal dihadapi Mohamad Faiz jika dibedah kerana menurut doktor, dia kemungkinan hilang pendengaran atau mengalami masalah pertuturan.

“Lebih banyak masalah bakal dihadapi jika bayi saya tidak dibedah menyebabkan kami bimbang dengan masa depannya,” katanya.


Katanya, bayinya itu kini hanya mampu menyusu menggunakan botol dan perlu sentiasa diperhatikan memandangkan mungkin tersedak akibat saluran pernafasannya yang sempit.

“Doktor belum lagi memaklumkan tarikh pembedahan tetapi ada mengatakan kebanyakannya berjaya dan kami sekeluarga sentiasa berdoa semoga ia mampu mengurangkan sengsara Mohamad Faiz.

“Buat masa sekarang, saya terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kantin di Sekolah Kebangsaan Lembaga Endau kerana perlu memberikan sepenuh perhatian kepada Mohamad Faiz,” katanya.

Menurutnya, suaminya, Rozali Abd Rahman, 48, adalah bekas tentera dan tidak mempunyai pendapatan tetap manakala keluarga mereka juga menerima bantuan daripada Baitulmal.

“Kami berharap ada pihak sudi membantu bagi membolehkan Mohamad Faiz menjalani pembedahan,” katanya.
myMetro | Pengsan lihat bibir anak sumbing

Bunuh: Remaja berusia 15 tahun ditahan

NIBONG TEBAL: Remaja lelaki berusia 15 tahun antara enam suspek ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung ke bunuh seorang pemuda berusia 21 tahun yang dipercayai ditikam ketika bergaduh dengan sekumpulan lelaki di Lima Kongsi, Sungai Bakap, awal pagi Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata empat lelaki ditahan beberapa jam selepas kejadian, manakala dua lagi suspek termasuk seorang remaja ditahan pagi kelmarin di sekitar kawasan Lima Kongsi.

Katanya, semua yang ditahan itu berusia lingkungan 15 hingga awal 20-an dan mereka ditahan reman hingga 4 Mac ini.

“Selepas empat suspek ditahan, kami menubuhkan pasukan khas memburu saki-baki mereka yang terbabit.

“Kami melakukan serbuan di lima rumah dan dapat menahan dua suspek yang pertama jam 4 pagi hari ini (kelmarin) dan seorang lagi suspek setengah jam kemudian,” katanya ketika melawat ahli keluarga mangsa, kelmarin.


Shafien berkata, polis masih mencari beberapa suspek yang dipercayai sebahagian kumpulan itu berusia antara 21 dan 24 tahun.

“Kami sudah mengenal pasti suspek terbabit dan sedang berusaha memburu mereka untuk melengkapkan lagi siasatan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan senjata yang digunakan dalam kejadian itu belum ditemui,” katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan U Yuganthan, 21, maut ditikam dipercayai dengan senjata tajam berikutan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan beberapa lelaki bermotosikal.myMetro | Bunuh: Remaja berusia 15 tahun ditahan

Maut ditikam depan isteri

SUNGAI PETANI: Angkara dendam, seorang lelaki maut ditikam di bahagian belakang ketika bersembahyang bersama isterinya di sebuah kuil Hindu di Taman Bandar Baru sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan di Jalan Amanjaya berhampiran Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Maran, 31, ditemui orang ramai dalam keadaan terbaring dan berseluar dalam di tepi jalan menuju ke HSAH jam 10 malam.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika mangsa bersembahyang bersama isterinya, beberapa lelaki memasuki kuil itu sebelum menikam mangsa dengan senjata tajam di bahagian belakang.

“Tikaman itu menyebabkan mangsa rebah dan dipercayai mati di tempat kejadian. Penyerangnya kemudian dipercayai membawa mangsa dari kuil itu sebelum mencampak mayatnya di tepi jalan,” katanya.

Isteri mangsa yang terkejut dengan kejadian di depan matanya itu, bertindak melarikan diri.


Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati kumpulan lelaki terbabit terhadap mangsa kerana pada malam Khamis lalu berlaku pergaduhan kecil antara mangsa dengan sekumpulan lelaki.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu siasatan.myMetro | Maut ditikam depan isteri

Tangisan ibu di sisi mayat anak

MUAR: Seorang remaja terbunuh ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang dipesan ibunya di Sungai Raya, Bukit Pasir di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Zulfakar Abd Aziz, 16, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Terap selepas membeli barangan di Pekan Bukit Pasir.

Mangsa yang menunggang motosikal dari Bukit Pasir menuju Muar dipercayai merempuh belakang sebuah kereta.

Akibat rempuhan itu, mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum terjatuh atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, malah barangan dibelinya turut bertaburan di jalan.

Orang ramai yang melihat kejadian turut membantu menghubungi ambulans, namun mangsa disahkan meninggal dunia sejurus kemalangan.


Jurucakap polis berkata, mangsa yang mengalami pendarahan di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu mangsa yang tiba di tempat kejadian beberapa ketika kemudian menangis pilu membuatkan suasana menjadi sedih.myMetro | Tangisan ibu di sisi mayat anak

Dua anak maut, ibu bapa parah

SEGAMAT: Dua beradik berusia lima tahun dan empat bulan maut manakala ibu mereka parah dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 59, Jalan Jementah-Muar di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kereta Proton Satria dipandu bapa mangsa, Mazhar Mat Darus, 34, dikatakan bertembung dengan lori.

Jurucakap polis berkata, tiga mangsa terbabit dipercayai sedang tidur ketika kemalangan.

“Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Mohd Farhan dan adiknya, Mohd Naufal yang disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Segamat.

“Ibu mereka, Noorzalita Rosmani, 32, yang cedera parah masih kritikal dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut,” katanya.


Mazhar yang turut cedera parah dan mengalami pendarahan di kepala dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Menurut jurucakap itu, keluarga berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke Keratong dari Melaka.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
myMetro | Dua anak maut, ibu bapa parah

14 kena cekup

KOTA BHARU: Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menahan 14 orang yang terbabit dengan pemilikan 12 senjata api termasuk pistol, senapang angin, pistol tiruan dan bom tangan tiruan dalam kejadian berasingan di negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng, berkata suspek berusia antara 23 dan 30 tahun ditahan kerana didapati memiliki senjata api berkenaan ekoran laporan diterima bermula awal Januari hingga 25 Februari lalu.

“Berdasarkan maklumat, polis merampas empat pistol berikutan laporan di Balai Polis Jeli, Nilam Puri, Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Kastam (KIK) Bukit Bunga dan Badang, Pantai Cahaya Bulan (PCB).

“Tiga senapang angin pula dirampas berdasarkan laporan diterima Balai Polis Nilam Puri, Machang dan Tanah Merah. Lima kes pemilikan pistol tiruan dan dua bom tangan tiruan pula bersabit laporan diterima di Balai Polis Rantau Panjang,” katanya di IPK, Kelantan, di sini, semalam.

Katanya, kes terbaru membabitkan penahanan tiga lelaki tempatan termasuk seorang berketurunan Siam kerana memiliki sepucuk pistol jenis .357 Magnum bersama enam butir peluru.


“Bertindak atas maklumat orang awam pada 25 Februari lalu iaitu kira-kira jam 4.25 pagi, sepasukan D9 IPK Kelantan membuat serbuan di sebuah chalet di sebuah resort di Jalan PCB dekat sini.

“Seorang daripada lelaki yang ditangkap dan berusia 30 tahun adalah individu paling dikehendaki kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian jenayah di negeri ini termasuk cubaan bunuh dan menyebabkan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, penahanan tiga individu terbabit dalam rampasan senjata api terbaru itu membolehkan anggotanya menyelesaikan empat kes jenayah yang dilakukan inidividu terbabit di sekitar bandar ini sejak 2008.
myMetro | 14 kena cekup

Polis bebas 101 orang

KUALA LUMPUR: Seramai 101 orang, yang ditahan polis kerana menyertai demonstrasi haram membantah novel ''Interlok'' di sini, hari ini, dibebaskan secara berperingkat.
Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, ASP
Suffian Sulaiman, berkata mereka dibebaskan selepas pihak polis selesai

menjalankan siasatan terhadap mereka.

Bagaimanapun, katanya siasatan ke atas lapan orang lagi, dipercayai pemimpin

kanan Hindraf dan Hak Asasi Manusia (HRP), masih diteruskan.

"Pihak polis kini sedang melengkapkan siasatan dan akan membebaskan
mereka sebaik sahaja siasatan selesai," katanya dalam kenyataan.

Kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan antara 18 dan 66 tahun
ditahan di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Jalan Pudu di sini sejak
8 pagi tadi.
myMetro | Polis bebas 101 orang

Dua pelajar maut motosikal tercampak ke dalam longkang

IPOH: Dua pelajar terbunuh apabila motosikal yang ditunggangi mereka terbabas dan tercampak ke dalam longkang di kawasan Kampung Tersusun Aatin Sungkai, 100 km dari sini.
Ketua Polis Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata, mangsa yang
terbunuh dalam kejadian pada pukul 1 petang semalam, penunggang motosikal Mohd

Amirul Asraf Osman, 15 dan pemboncengnya Mohd Azuan Nursimriyadi, 13.

Mohd Amirul meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala

dan dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala Mohd Azuan yang juga
cedera parah di kepala meninggal dunia pada pukul 7.30 petang semalam di

Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Wan Abdullah berkata, kedua-dua mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Sungkai.
myMetro | Dua pelajar maut motosikal tercampak ke dalam longkang

Aggota polis diperintah bela diri

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan anggota polis, Koperal Jenain Subi membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, pada April tahun lepas.
Hakim Latifah Mohd Tahar berkata beliau membuat keputusan itu selepas
berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap

tertuduh.

Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2

pagi 26 April tahun lepas di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaaan yang membawa
hukuman penjara sehingga 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit
kesalahan.
myMetro | Aggota polis diperintah bela diri