Search This Blog

Friday, January 28, 2011

Waran tangkapan ke atas bekas presiden Tunisia




TUNIS: Interpol telah mengeluarkan satu waran tangkapan ke atas bekas Presiden Tunisia yang disingkirkan, Zine El Abidine Ben Ali, sedang bantahan-bantahan yang menuntut pemisahan terus daripada rejim lama semakin meningkat menjelang pembaharuan kabinet semalam.
Agensi polis rentas sempadan itu berkata negara-negara anggotanya, termasuk Arab Saudi - tempat Ben Ali melarikan diri - telah diminta 'mencari, mengenal pasti lokasi dan memberkas Ben Ali buat sementara,' bagi menanti satu permintaan ekstradisi rasmi dari Tunis.Waran itu dikeluarkan bagi Ben Ali dan enam ahli keluarganya, termasuk isterinya, Leila Trabelsi, yang tidak digemari ramai, kata satu kenyataan.Ben Ali, isteri dan keluarganya yang dulu berkuasa, dituduh memperolehi aset secara haram dan memindahkan dana ke luar negara, sepanjang 23 tahun pemerintahannya, kata Menteri Kehakiman, Encik Lazhar Karoui Chebbi, di Tunis.'Tiada siapa akan terlepas daripada undang-undang,' katanya kepada wartawan.Jabatan Negara Amerika Syarikat enggan menyatakan pendiriannya dalam hal itu.Namun kedua-dua presiden Amerika dan Russia berkata kekacauan di Tunisia itu adalah satu pengajaran bagi semua.'Tidak kira negara mana sekalipun, apabila pihak berkuasanya tidak dapat memenuhi harapan masyarakat, akibatnya nanti amat buruk,' kata Perdana Menteri Russia, Encik Dmitry Medvedev, di Davos, Switzerland.Presiden Barack Obama pula berkata dalam ucapan Kedudukan Negaranya bahawa 'kehendak rakyat akhirnya akan terbukti lebih kuat daripada perintah bertulis seorang diktator'.Ben Ali telah meletak jawatan secara mendadak dan melarikan diri pada 14 Januari setelah kes bunuh diri seorang pemuda yang menganggur mencetuskan bantahan di seluruh negara yang membantah kenaikan harga, pengangguran yang meningkat serta amalan rasuah yang menular.Seramai 33 anggota keluarga Ben Ali telah ditangkap di Tunisia. -- AFP.

No comments:

Post a Comment