Search This Blog

Friday, January 28, 2011

Wanita trauma kereta diserang




WANGSA MAJU - Seorang wanita bukan sahaja mengalami trauma malah hidupnya sentiasa berada dalam ketakutan selepas dia membeli sebuah kereta terpakai jenis Honda City berwarna merah sejak Mei tahun lalu.

Mangsa yang bekerja sebagai setiausaha syarikat swasta, Lim Chew Peng, 30, berkata, empat bulan selepas membeli kereta, ada individu yang tidak dikenali membaling pasu bunga sehingga menyebabkan cermin keretanya hampir pecah.

Menurutnya, kejadian itu tetap berulang biarpun dia telah membuat laporan polis.

Katanya, sejak dari itu dia sentiasa berada dalam keadaan ketakutan lebih-lebih lagi dia masih bujang dan risau jika suspek menyerangnya ketika dia sedang bekerja.

“Saya sendiri tak pasti apa motif mereka berbuat demikian sedangkan saya tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa atau meminjam ah long.

“Tapi sejak beli kereta terpakai lapan bulan lalu hidup saya berubah dan sentiasa berada dalam ketakutan sehinggakan nak keluar rumah pun risau dan rasa tidak selamat,” katanya kepada media ketika membuat aduan di Pusat Khidmat Masyarakat Datuk Yew Teong Look di sini semalam.

Chew Peng berkata, jirannya pernah ternampak dua suspek menunggang motosikal dan kemudian seorang daripada mereka turun lalu membaling pasu bunga termasuk batu bata di kawasan rumahnya pada waktu malam.

“Lepas kejadian pertama saya mengambil tindakan memasang CCTV (kamera litar tertutup) namun mereka masih berani melakukannya,” katanya.

Sementara itu, Teong Look berkata, dia berharap polis akan lebih prihatin dengan kes sedemikian dan mengambil tindakan segera kepada mereka yang mengganggu keamanan dan keselamatan orang lain.

“Mangsa risau keselamatannya terancam dan saya sendiri bersedia bertemu dengan individu yang terlibat dalam kes ini di pejabat saya jika ada sebarang ketidakpuasan hati sekali gus menyelesaikan segala kekusutan yang melanda,” katanya.

No comments:

Post a Comment