Search This Blog

Thursday, January 27, 2011

Protes di Mesir kian merebak, enam maut





2011/01/27

KAHERAH: Dua lagi dilaporkan terbunuh manakala beratus penunjuk perasaan ditahan selepas gerakan memprotes bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur semakin merebak sejak kelmarin.

Malah, penunjuk perasaan dikatakan tidak berganjak dengan jumlah mereka semakin besar meskipun ratusan daripada mereka sudah ditahan pihak berkuasa Mesir serta jumlah kematian meningkat kepada enam orang dalam masa dua hari.
Semalam, seorang anggota polis dan seorang penunjuk perasaan maut di Kaherah selepas penunjuk perasaan bertindak liar dengan membaling batu ke arah polis.
Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan perhimpunan besar-besar di jalan raya di sekitar ibu negara berkenaan.

Malah, keadaan tidak berkawal apabila penunjuk perasaan berasak-asak untuk memasuki pekarangan Kementerian Luar selepas disembur gas pemedih mata oleh polis.

Demonstrasi di utara bandar pelabuhan Suez pula menyaksikan mereka bertindak membaling bom minyak tanah ke arah bangunan kerajaan menyebabkan kebakaran berlaku.

Turut dibaling bom minyak tanah ialah bangunan Ibu Pejabat Parti Demokratik Kebangsaan.
Berpuluh penunjuk perasaan ditahan di bandar kedua terbesar, Alexandria apabila mereka cuba menguasai dataran pinggir laut.

Demonstrasi antikerajaan itu dikatakan mendapat inspirasi daripada Gerakan Revolusi Jasmine yang berjaya menggulingkan Presiden Tunisia, awal bulan ini. - AFP 

No comments:

Post a Comment