Search This Blog

Friday, January 28, 2011

Pelbagai mercun dirampas



KAJANG – Helah seorang peniaga yang berselindung di sebalik jualan peralatan sembahyang kaum Cina terbongkar apabila polis berjaya merampas pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai kira- kira RM10,000 di Bangi Lama, Rabu lalu.

Hasil rampasan di kedai berkenaan, telah membawa kepada pemeriksaan lanjut polis di rumah suspek yang terletak di taman berhampiran premis perniagaan berkenaan dan menjumpai pelbagai jenis mercun lain.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob berkata, bertindak atas maklumat awam, polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menyerbu kedai berkenaan kira-kira jam 1.15 petang Rabu lalu.

Menurutnya, pasukan diketuai Cif Inspektor Zamsari Zainal telah membuat serbuan di premis itu yang terletak di Jalan Besar Bangi Lama dan menyoal siasat seorang wanita berbangsa Cina berusia 40-an dipercayai penjaga kedai berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, pelbagai jenis mercun didapati disorokkan di atas rak barang serta belakang meja kaunter.

“Susulan dari pemeriksaan itu polis kemudiannya melakukan pemeriksaan di rumah wanita terbabit dan menemui pelbagai jenis mercun disembunyi dalam bilik tidur utama tingkat bawah rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan berasingan pada 15 Januari lalu, polis berjaya merampas pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai kira-kira RM5,000 di kawasan Kajang.

“Berdasarkan siasatan dijalankan ke atas dua kejadian berkenaan, difahamkan mercun berkenaan untuk pasaran tempatan sempena musim perayaan.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh di penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Azman berkata, masyarakat yang mengetahui sebarang aktiviti penjualan dan penyeludupan mercun bolehlah menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

“Kerjasama masyarakat menyalurkan bantuan amatlah dihargai sebarang maklumat bolehlah menghubungi talian 03 87362222 /87336580 ,” katanya.

No comments:

Post a Comment