Search This Blog

Saturday, January 1, 2011

Operator kilang rogol pelajar dipenjara lima tahun



SHAH ALAM 30 Dis. - Seorang operator kilang dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang pelajar tingkatan satu di sebuah kawasan rekreasi, dua tahun lalu.
Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob memerintahkan hukuman terhadap Wan Shahrin Wan Mohd Salim, 25, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian.
Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim tersebut turut menasihatkan tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu serta berharap ia merupakan kesalahan terakhir lelaki berkenaan.
Wan Shahrin mengaku merogol mangsa yang berusia 13 tahun enam bulan di Air Terjun Sakai, Kuang, Gombak dekat sini pada pukul 5.30 petang, 1 Disember 2008.
Tertuduh yang telah berkahwin ketika kejadian didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Esther Tan memohon agar Wan Shahrin dikenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanya berusia 23 tahun dan boleh dianggap sebagai pesalah muda ketika kejadian.
Beliau turut memaklumkan tertuduh telah ditinggalkan oleh isterinya selepas ditangkap polis dan ditahan di penjara sejak dua tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abd. Rahim pula memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh berdasarkan kejadian rogol yang semakin kerap dilaporkan berlaku di Selangor.
Katanya, mangsa yang hanya berusia 13 tahun enam bulan juga harus diambil kira dalam menjaga kepentingan awam selain laporan perubatan mengesahkan koyakan baru pada kemaluan mangsa serta kawad cam yang positif.
Sementara itu, penghantar barang ganti kenderaan, Muhammad Zulkifli Ab. Wahid, 22, pula mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa yang sama di kawasan rekreasi itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Muhammad Zulkifli yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan diwakili oleh peguam Abu Dzarr Ab. Karim dan Mohd. Ashadi Saiman.
Mahkamah menetapkan 22 Februari ini untuk perbicaraan terhadap Muhammad Zulkifli.

No comments:

Post a Comment