Search This Blog

Tuesday, January 18, 2011

Lari 500m minta bantuan

KANGAR: “Saya tersedar daripada tidur apabila terdengar bunyi pintu jeriji rumah digoncang kuat. Saya kemudian bangun untuk melihat apa sebenarnya berlaku.
“Saya terkejut apabila mendapati seorang mangsa yang berlumuran darah dengan kesan terbakar pada badan dan kaki merayu supaya dia dan rakannya dihantar ke hospital segera,” kata Lee Chee Aik, saksi kejadian dua remaja lelaki berusia 17 dan 20 tahun yang dibakar hampir keseluruhan badan dalam kejadian di Jalan Raja Syed Alwi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, remaja berusia 17 tahun itu parah selepas terbakar hampir 70 peratus keseluruhan badannya, manakala rakannya yang berusia 20 tahun pula terbakar 30 peratus di bahagian belakang badan dan kaki.

Lee, 22, yang juga pekerja sebuah syarikat jubin dekat sini berkata, mangsa dipercayai berusia 20 tahun itu masih mampu bercakap, manakala rakannya berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan apabila hampir seluruh badannya terbakar.

Katanya, mangsa yang terbakar teruk didapati sudah pengsan dan tertiarap di hadapan pintu rumahnya, malah dia nampak jelas kesan kebakaran teruk kedua-dua mangsa berkenaan.

“Tanpa melengahkan masa, saya mengejutkan rakan serumah untuk memberi bantuan dan membawa mereka menggunakan kereta saya ke wad kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

“Saya tidak banyak bercakap dengan mangsa dan mereka hanya menyatakan dibakar individu tertentu. Bau hangit kesan terbakar menusuk hidung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Penghujung Taman Seri Bakau, di sini, semalam.

Lee berkata, mangsa berlari dari arah depan taman perumahan itu di Jalan Raja Syed Alwi, sejauh 500 meter sambil memapah rakannya yang teruk terbakar sebelum rakan berkenaan terjatuh di hadapan rumahnya.

“Mungkin mereka tidak berupaya untuk berjalan dan terpaksa meminta bantuan kami untuk dihantar ke hospital, malah kesan darah salah seorang mangsa terlekat di kusyen motosikal milik rakan serumah,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Lee berkata, dia dan rakan serumahnya tidak mengenali mangsa, tetapi membantu atas dasar perikemanusiaan.

Katanya, polis yang menyiasat kes terbabit kira-kira dua jam selepas kejadian bertindak membawa motosikal rakannya yang ada kesan darah ke balai polis untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment