Search This Blog

Saturday, January 1, 2011

Korban taun Haiti naik kepada 3,333



PORT-AU-PRINCE 31 Dis. - Angka korban wabak taun di negara ini meningkat kepada 3,333 orang sejak penyakit itu mula dikesan di Haiti pada pertengahan Oktober lalu, menurut data terbaru yang dikeluarkan semalam.
Data sehingga 26 Disember itu menunjukkan, sebanyak 432 lagi kematian dicatat berbanding data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sebelum ini, sekali gus memperlihatkan pertambahan mendadak jumlah kematian.
Menurut data itu, lebih 100 maut akibat taun pada 19 Disember sahaja, jauh lebih ramai berbanding jumlah korban harian tertinggi sebelum ini yang dicatat pada pertengahan November dengan 80 kematian.
Lebih memburukkan, purata angka korban harian juga kembali meningkat kepada 50 seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Bilangan individu yang dijangkiti taun juga naik mendadak melebihi 150,000 orang di Haiti dan pihak berkuasa negara jiran, Republik Domonica melaporkan, sebanyak 139 kes turut dikesan di negara itu namun ia tidak menyebabkan kematian.
Wabak tersebut yang bermula sekitar Oktober mencetuskan rusuhan antiPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila penduduk menyuarakan kemarahan mereka terhadap tentera pengaman dari Nepal yang didakwa membawa masuk taun ke negara ini.
Pakar berkata, penyebaran penyakit tersebut mungkin berpunca daripada manusia dari luar wilayah itu dan PBB telah menjanjikan satu siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca wabak tersebut tersebar. - afp
Pertubuhan Kesihatan Seluruh Amerika awal bulan ini berkata, Haiti mungkin menyaksikan pertambahan kes taun sehingga 400,000 dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan separuh daripadanya dijangka berlaku hanya dalam masa tiga bulan. - AFP

No comments:

Post a Comment