Search This Blog

Saturday, January 29, 2011

Kisah derita empat beradik



KAMPUNG BERIS TOK KU - Nasib empat beradik yang bertindak melarikan diri kelmarin dipercayai kerana tidak tahan dengan perangai bapa mereka yang disifatkan panas baran telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk sesi kaunseling dan rawatan lanjut.

Empat beradik itu dijumpai orang awam setelah mendapati mreka dalam keadaan tidak bermaya akibat keletihan.

Setelah membuat laporan polis, kanak-kanak itu mendakwa telah lama menjadi mangsa penderaan bapanya namun terpaksa bersabar walaupun hidup tertekan.

Sebaik laporan dibuat, pihak polis bertindak menahan bapa kepada kanak-kanak tersebut yang lebih dikenal sebagai Pak Nik.

Bertindak atas kisah itu, Sinar Harian mendapatkan pandangan penduduk serta pihak berkenaan bagi mengulas lanjut mengenai kes tersebut.

“Memang sebelum ini sikap panas baran Pak Nik oleh penduduk setempat terhadap anak sudah diketahui tetapi memandangkan sikapnya yang tidak suka bergaul dan marah apabila mencampuri urusan keluarga menyebabkan semua penduduk tidak ambil kisah,” demikian menurut penduduk yang mahu dikenal sebagai Kak Mah, 40-an.

Menurut Kak Mah, jika melihat keadaan anak Pak Nik yang lebam di beberapa bahagian badan dan mempunyai kesan parut memang timbul perasaan kasihan dan bersimpati untuk membantu.

“Namun disebabkan memikirkan sikap bapa mereka yang terlalu garang dan marah apabila mengetahui orang kampung mencampuri urusan mereka menyebabkan masing-masing berdiam diri.

“Selain itu, kehadirannya di kampung ini juga seolah-olah pendatang kerana sebelum ini dia pernah tinggal di Kampung Saujana sebelum menetap di sebuah pondok projek tanaman herba Jabatan Pertanian untuk mengusahakan tanaman mas cotek,” katanya.

Kak Mah berkata, apa yang menyedihkan jika diperhatikan, mereka semuanya dilayan seperti hamba ayah sendiri kerana pada waktu pagi telah disuruh bekerja menanam pokok dan mencangkul tanah di kawasan sekitar sedangkan pada waktu itu kanak-kanak lain pergi ke sekolah.

“Kadang-kadang daripada apa yang diberitahu remaja lelaki yang bermain bola di belakang rumahnya, mereka pernah melihat Pak Nik mengayun golok ke arah anaknya sehingga mereka lari bertempiaran menyelamatkan diri.

“Saya pernah bertanya kepada empat beradik mengenai :keselamatan semasa berada di bawah jagaan bapanya dan mereka memberitahu sentiasa menjadi mangsa penderaan setiap kali ayahnya tidak berpuas hati,” katanya.

Menurut Kak Mah, empat beradik itu juga pernah tidak mengaku Pak Nik sebagai ayah kandung kerana sikapnya yang terlalu garang dan sentiasa memukul tanpa sebab munasabah.

Kak Mah memberitahu, sebelum isteri Pak Nik meninggalkan pondok itu, semua anak dibawa bersama ke Johor Bahru kerana tidak tahan dengan sikap Pak Nik.

“Bagaimanapun, ia tidak lama kerana Pak Nik berjaya menjejaki anaknya semula dan membawa pulang ke sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment