Search This Blog

Friday, January 28, 2011

Kilang VCD, DVD haram diserbu





FAHMI Kasim (kanan) melihat sebahagian peralatan proses DVD haram dalam "Operasi Gerak Gempur Cetak Rompak" di kawasan Industri Kecil D' Ambang Kota, Port Dickson, kelmarin.


TELOK KEMANG 27 Jan. - Kegiatan sebuah kilang mencetak cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) yang beroperasi secara haram di Ambang Kota, Lukut sejak tiga bulan lalu lumpuh apabila ia diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) petang semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.20 petang, pihak berkuasa merampas dua mesin pengeluar cakera optik dan mesin pencetak yang dianggarkan berjumlah RM6 juta.
Ketua Pasukan Petugas Khas Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, Fahmi Kasim memberitahu, dalam serbuan itu juga, pihaknya turut merampas sejumlah 300 keping VCD dan DVD yang baru diproses di premis berkenaan.
"Serbuan petang ini dilakukan hasil intipan pihak kami dan juga maklumat daripada orang awam yang mencurigai kegiatan di premis tersebut.
"Hasil siasatan awal, kilang tersebut beroperasi di kawasan yang agak tersorok untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi itu semalam.
Fahmi berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 31 hingga 65 tahun yang bekerja di premis berkenaan.
Kata beliau, siasatan lanjut mendapati kilang tersebut tidak mencetak VCD dan DVD dengan jumlah yang banyak tetapi berdasarkan permintaan sahaja.
"Kilang itu hanya mencetak cakera optik berdasarkan permintaan pasaran iaitu filem-filem yang mendapat sambutan hebat di pawagam sahaja.
"Kita percaya dalam sehari, kilang ini mencetak sekitar 10,000 keping VCD dan DVD serta hanya aktif beroperasi pada sebelah malam," jelasnya.
Tambah beliau, bagi mengawasi kegiatan mereka agar tidak dihidu oleh pihak berkuasa, premis itu dilengkapi dengan tujuh kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah berjaga-jaga.
Semua VCD dan DVD yang dicetak ini dipercayai diedarkan untuk pasaran Lembah Klang dan juga negeri ini, katanya.
Sehubungan itu, kata Fahmi, pihaknya akan mengesan pemilik kilang terbabit selain mendapatkan maklumat daripada ketiga-tiga pekerja yang ditahan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Cakera Optik 2000 dan jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda RM250,000 atau penjara tiga tahun.

No comments:

Post a Comment