Search This Blog

Friday, January 28, 2011

Ibu dua anak kena penjara



KUANTAN - Seorang ibu kepada dua anak dijatuhkan hukum penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan menculik cucu seorang kontraktor ladang di hadapan sebuah kedai di Kampung Seri Fajar, Gambang dekat sini, 27 Disember tahun lalu.

Hukuman ke atas Miss Peesa, 38 dari Batu 6 Pulau Manis, Jalan Tun Razak dekat sini diputuskan Majistret Adibah Abdul Kadir selepas beliau menerima pengakuan bersalah tertuduh terhadap tuduhan itu.

:Dalam hujahnya, Adibah berkata, mahkamah boleh mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan terhadap tertuduh kerana pengakuan bersalahnya membantu menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Menurutnya, mahkamah bagaimanapun terpaksa menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh sebagai satu pengajaran selepas mengambil kira faktor kesalahannya yang agak serius.

Tertuduh yang juga seorang warga Thailand sebelum itu merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia mempunyai suami dan dua anak.

Dia yang mendakwa tidak bekerja dan ditanggung suami sepenuhnya kelihatan agak kelu ketika membuat rayuan ringkas itu.

Tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada 10 Januari lalu terpaksa ditahan reman selepas pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin ekoran dokumen perjalanannya tamat tempoh pada hari dia ditangkap 28 Disember tahun lalu.

Dalam kertas pertuduhan yang dikemukakan Pegawai pendakwa, Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin itu, tertuduh bersama seorang rakannya Rabiah Andy, seorang warga Indonesia didakwa atas tuduhan menculik bayi perempuan berusia satu tahun dua bulan daripada jagaan ibunya kira-kira jam 5 petang 27 Disember 2010.

Tertuduh bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah semalam manakala Rabiah dari Otak Desa, Indonesia yang turut hadir dalam sebutan kes itu semalam mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut .

Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak menawarkan ikat jamin ke atas tertuduh kedua itu dan dia terpaksa ditahan reman sehingga 9 Februari depan untuk mendengar arahan Timbalan Pendakwa Raya terhadap kesnya.

Berdasarkan fakta kes, kontraktor ladang wanita berusia 53 tahun (pengadu) dari Rumah Kakitangan Felda Lepar Hilir 1 dekat sini membuat laporan polis di Balai Polis Gambang selepas cucunya disyaki dilarikan dua wanita yang dikenali.

Kejadian itu berlaku ketika anak perempuannya berusia 27 tahun membawa mangsa ke kedai sebelum didatangi tertuduh bersama seorang rakannya.

Tertuduh mendapatkan kanak-kanak itu dan bermain seketika sebelum meminta kebenaran untuk membawanya keluar berjalan-jalan dengan menaiki sebuah kereta Proton Iswara.

Anak perempuan pengadu membenarkannya bagaimanapun tertuduh gagal menghantar kanak-kanak itu seperti yang dijanjikan.

Kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada pengadu kira-kira jam 5 petang hari yang sama.

Pengadu yang bimbang keselamatan cucunya membuat laporan polis dan susulan itu, tertuduh berjaya dikesan dan ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment