Search This Blog

Loading...

Wednesday, January 19, 2011

Helikopter PDRM mendarat cemas


Beberapa mekanik membuat pemeriksaan terhadap sebuah helikopter polis yang mendarat di padang awam Jalan Teluki, Taman Bukit Sentosa, Rawang, semalam.


HULU SELANGOR 18 Jan. - Tindakan pantas seorang juruterbang Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendaratkan pesawat sebaik sahaja menyedari berlaku kerosakan pada enjin berjaya menyelamatkannya dan rakan setugas daripada nahas.
Helikopter milik Unit Udara PDRM terbabit dikesan mengalami masalah enjin semasa dalam perjalanan dari Pangkalan Sungai Besi dekat sini menuju ke Pulau Pinang pada pukul 1.30 petang, Selasa lalu.
Pesawat yang dinaiki oleh juruterbang bersama pembantunya dan seorang lagi anggota unit itu berlepas ke Pulau Pinang untuk melakukan satu operasi menyelamat.
Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Bakhtiar Md. Rasid berkata, ketika dalam perjalanan, juruterbang terbabit mendapati satu butang dalam pesawat menyala menunjukkan berlaku masalah kerosakan pada enjin.
"Dalam keadaan itu, juruterbang boleh memilih untuk meneruskan penerbangan sebelum sampai ke destinasi dan membuat pemeriksaan tetapi dia enggan mengambil risiko.
"Dia kemudian memilih untuk melakukan pendaratan cemas di padang awam Jalan Teluki, Taman Permata, Bandar Baru Bukit Sentosa di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Bakhtiar, tindakan melakukan pendaratan cemas itu adalah keputusan bijak kerana ia berjaya mengelak berlaku kejadian tidak diingini yang boleh membahayakan nyawa.
Beliau berkata, sebaik sahaja berjaya mendarat dengan selamat, kejadian itu segera dilaporkan ke Balai Polis Bukit Sentosa yang terletak hanya satu kilometer dari padang berkenaan.
Katanya, polis terpaksa menutup pesawat terbabit dengan plastik kanvas dan mengawalnya sehingga pagi ini bagi mengelak ia didekati oleh orang awam sementara menunggu dibaiki.
"Pagi ini, sepasukan mekanik dari Unit Udara PDRM dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan kerja-kerja membaiki helikopter berkenaan.
"Helikopter terbabit kemudian diterbangkan semula ke Pangkalan Unit Udara PDRM Sungai Besi sebaik sahaja kerja-kerja membaikinya selesai pada pukul 2.30 petang ini," ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui, Mohd Roslan Farid, 45, berkata, kehadiran helikopter PDRM di padang tersebut menimbulkan tanya tanda kepada penduduk.
"Kami hairan melihat sebuah helikopter PDRM tersadai selama tujuh hari di padang ini.
"Menambahkan lagi tanda tanya kenapa ia ditutup dengan kanvas dan dikawal rapi oleh polis," katanya sambil memberitahu persoalan itu akhirnya terjawab hari ini setelah diterangkan oleh anggota polis yang ditemui di tempat kejadian.
Mohd. Roslan berkata, melalui anggota polis terbabit, mereka mendapat tahu helikopter itu mengalami masalah teknikal.
Tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian mendapati, kawasan padang awam itu menjadi tumpuan penduduk yang berminat untuk melihat lebih dekat kerja-kerja membaiki helikopter berkenaan.
Malah, sebahagian penduduk dilihat mengambil kesempatan merakamkan gambar helikopter terbabit sebagai kenang-kenangan.

No comments:

Post a Comment