Search This Blog

Friday, January 28, 2011

Guna rumah sewa cetak DVD haram



KUALA LUMPUR 27 Jan. - Kegiatan dua lelaki yang menjadikan sebuah rumah sebagai premis memproses cakera padat digital (DVD) dan video cakera padat (VCD) cetak rompak terbongkar apabila diserbu oleh polis Ampang Jaya, baru-baru ini.
Polis yang membuat intipan selama dua jam pada Isnin lalu, menyerbu rumah terbabit yang disewa oleh dua lelaki terbabit.
Hasil serbuan berdasarkan maklumat orang awam itu, polis mendapati rumah itu dijadikan pusat memproses dan membungkus cakera optik cetak rompak sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Ampang.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, sewaktu serbuan dilakukan, suspek yang berusia 34 dan 40 tahun berada di dalam rumah tersebut.
"Dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah 135,000 keping VCD dan DVD cetak rompak yang dianggarkan bernilai hampir RM300,000.
"Kebanyakan VCD dan DVD cetak rompak itu dalam bentuk perisian komputer, permainan dan lagu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini.
Kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 41 (1) (D) Akta Hak Cipta 1987 dan direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.
Mengikut seksyen itu, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Amiruddin memberitahu, pelbagai peralatan seperti sebuah komputer, dua unit mesin cetak, sebuah mesin pengimbas dan sebuah mesin menyalin dan 7 buah unit pusat pemprosesan komputer (CPU) turut dirampas.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mengaku bekerja di premis tersebut sejak setahun lalu.

No comments:

Post a Comment