Search This Blog

Monday, January 10, 2011

Dua pelajar ditemui mati lemas



KOTA BHARU 9 Jan. - Dua pelajar ditemui lemas dalam kejadian berasingan di negeri ini petang ini.
Dalam kejadian pertama, seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Cabang Empat lemas selepas dipercayai mandi bersama seorang rakan di sebuah sungai berdekatan rumahnya di Kampung Talak, Cabang Empat, di sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Mohd. Farid Zulkifli, 17, dikatakan mandi selepas memukat ikan di sungai tersebut.
Seorang saksi, Shaari Kadir, 35, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan dapat melihat mangsa bersama dua lagi rakannya sedang mandi.
"Sejurus kemudian, saya nampak salah seorang daripada mereka tenggelam dan tidak timbul-timbul menyebabkan saya mengesyaki sesuatu perkara buruk telah berlaku," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini petang ini.
Tambahnya, dia kemudiannya terus berlari ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku dan memberikan bantuan kepada mangsa.
"Sebaik sahaja sampai, rakan mangsa yang berada di tempat kejadian memberitahu rakannya itu lemas dan saya kemudiannya terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal.
"Selang beberapa minit kemudian, orang kampung datang memberikan bantuan dan menjalankan operasi mencari mangsa," ujarnya.
Shahri memberitahu, dia bersama beberapa penduduk kampung menemui mayat mangsa di sungai itu kira-kira setengah jam kemudian.
Ibu mangsa, Salma Jusoh, 39, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat bersama keluarganya di rumah.
Menurutnya, dia dimaklumkan berhubung kejadian tersebut oleh salah seorang rakan anaknya beberapa minit kemudian selepas kejadian berlaku.
Sementara itu di Bachok, seorang kanak-kanak, Mohd. Haiqal Sabri, 8, turut lemas selepas dikatakan tergelincir dari atas jambatan Sungai Lubuk Kuin, Gunong dekat sini.
Ketika kejadian, mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jelawat 2 dikatakan berjalan seorang diri melalui jambatan berkenaan sebelum tergelincir ke dalam sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Che Malek Che Omar berkata, mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira empat meter dari tempat dia tergelincir pada pukul 6.30 petang.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.59 petang dan 17 anggota termasuk unit skuba segera ke situ untuk memberikan bantuan kepada mangsa," katanya.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment