Search This Blog

Friday, January 14, 2011

Dadah: Tiga beranak ditahan


Baharom Abu menunjukkan dadah yang di sembunyikan dalam kasut yang berjaya dirampas pada sidang media di IPD Kota Setar, semalam.


ALOR SETAR 13 Jan. - Polis menahan empat orang termasuk tiga beranak kerana disyaki menjadi pengedar dan penagih dadah di rumah mereka di Kuala Kedah semalam.
Difahamkan, suspek yang merupakan peniaga laksam di Kuala Kedah dan dua anaknya yang bekerja sebagai nelayan dipercayai telah lama terlibat dalam kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di kawasan tersebut.
Seorang lagi suspek yang berusia 23 tahun dipercayai turut terlibat dalam kegiatan sama.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu berkata, dalam tangkapan pukul 2.15 petang itu, kesemua suspek dalam keadaan khayal di ruang tamu.
"Kami menemui 26 peket dadah jenis heroin di ruang tamu rumah itu. Berat dadah tersebut dianggarkan 79.27 gram dengan harga pasaran RM8,000," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan keluarga tersebut pada awal bulan ini.
"Pihak kami percaya bekalan dadah tersebut diambil dari Pulau Pinang. Kesemua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya," katanya.
Dalam kes berasingan, Baharom berkata, seorang lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan ditahan kelmarin kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
"Lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 6 petang di sebuah rumah di sebelah stor JKR Jalan Putra di sini. Ketika ditahan suspek cuba melarikan diri dan melempar kasut buruk yang mengandungi dadah," ujarnya.
Namun lelaki tersebut berjaya ditahan polis dan hasil pemeriksaan menemui 11 peket dadah jenis heroin seberat 33.40 gram di dalam kasut itu.
"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam," katanya.

No comments:

Post a Comment