Search This Blog

Friday, January 28, 2011

Bekas banduan dituduh edar dadah



KUALA TERENGGANU 27 Jan. - Walaupun pernah dipenjara selama 34 tahun dan disebat 16 kali, seorang warga emas tidak pernah serik melakukan kesalahan membabitkan najis dadah.
Hari ini, bekas banduan tersebut bakal berhadapan dengan hukuman di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua tuduhan mengedar dadah pada pertengahan bulan ini.
Abdul Jalal Daud, 56, dari Kampung Alor Peroi, Kuala Besut didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 46.32 gram di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai di sini pada pukul 6 petang, 13 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mengedar heroin seberat 50.63 gram pada pukul 6.30 petang hari yang sama di hadapan Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.
Majistret Nor Azizah Yusof menetapkan 28 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Sebelum ini, media melaporkan tertuduh yang merupakan seorang penagih tegar pernah menjalani hukuman penjara 34 tahun dan dikenakan 16 kali sebatan berkaitan jenayah yang sama.
Ketika ditahan polis di masjid tersebut, polis menemui sembilan botol berisi dadah jenis heroin dalam poket seluar dan 10 botol lagi ditemui dalam kereta milik lelaki itu.
Kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai RM30,000.

No comments:

Post a Comment