Search This Blog

Friday, January 14, 2011

Banjir Brisbane belum surut, ribut siklon menyusul


BRISBANE 13 Jan. - Brisbane, bandar raya ketiga terbesar Australia dan bandar-bandar lain di pantai timur Australia yang dilanda banjir paling buruk dalam tempoh 50 tahun kini berhadapan dengan ancaman baru dilanda ribut siklon di luar kawasan pantai di wilayah itu.
Situasi yang bertambah buruk itu menyebabkan Brisbane dan wilayah-wilayah lain yang musnah akibat banjir itu bakal berhadapan dengan proses pembinaan semula yang mungkin mengambil masa selama beberapa tahun.
Ibu negeri Queensland ini bertukar menjadi seperti tasik berlumpur, dengan seluruh kafe di tepi pantai dipenuhi sisa runtuhan yang dihanyutkan oleh Sungai Brisbane.
Banjir tersebut turut menenggelamkan 12,000 rumah di bandar raya ini, yang mempunyai seramai dua juta penduduk dan mengakibatkan 118,000 bangunan terputus bekalan elektrik.
Dengan 35 bandar kecil lain turut landa banjir, kebanyakan bahagian Brisbane kelihatan seperti Venice disebabkan penduduknya terpaksa menggunakan bot untuk bergerak di sekitar bandar raya ini di jalan-jalan yang masih ditengelami air.
"Apa yang saya lihat, beberapa kawasan kelihatan ibarat sebuah kawasan perang.
"Saya hanya dapat melihat bumbung rumah mereka, sementara di bahagian bawah setiap bumbung rumah itu ialah satu kisah yang menakutkan.
"Pagi ini ketika saya melihat bukan sahaja di ibu negeri Queensland, tetapi juga di tiga perempat daripada negeri saya, kami berdepan dengan usaha-usaha pembinaan semula sama seperti era selepas perang," kata Ketua Menteri Queensland, Anna Bligh.
Pihak berkuasa memberi amaran mengenai risiko banjir buruk dalam beberapa minggu akan datang ekoran musim hujan yang berlarutan selama dua bulan lagi dan air empangan yang melimpah memerlukan tujuh hari untuk kembali kepada paras asal bagi menghadapi lebih banyak hujan lebat.
Biro Meteorologi berkata, ribut monsun di Laut Coral di luar pesisir pantai utara Queensland dijangka berlaku dalam masa antara 24 hingga 48 jam, tetapi ketika ia akan membawa banyak lagi hujan ke Queensland, ia dijangka beredar dari pantai.
Queensland menerima terlalu banyak hujan bagi tempoh dua bulan lalu, di mana kebanyakan kawasan ditenggelami air dan paras air empangan berada melebihi tahap bahaya. - REUTERS

No comments:

Post a Comment