Search This Blog

Friday, January 28, 2011

40 pengguna kena tipu

MERSING - Enam daripada 40 yang tertipu dengan penawaran lesen memandu tampil membuat laporan ekoran lesen yang dibuat tidak sah di sisi undang-undang.

Difahamkan, enam mangsa terbabit menyedari perkara berkenaan setelah salah seorang daripada mereka ditahan polis ketika menunggang motosikal di bandar ini dan mendapati lesen yang dimiliki adalah palsu.

Pengerusi Biro Ekonomi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Daerah, Aliah Mahamad berkata, beliau mendapat tahu masalah tersebut daripada jirannya dan mengambil inisiatif mengumpul individu terbabit bagi mencari jalan penyelesaian.

Menurutnya, beliau bersama enam individu terbabit membuat penyemakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan ini dan mendapati semua lesen yang dimiliki itu adalah palsu.

Sehubungan itu, atas nasihat pihak yang berkenaan mereka yang terbabit perlu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) petang semalam.

Beliau menasihatkan mereka yang terbabit berada di luar daerah ini membuat laporan polis di balai polis berhampiran tempat mereka tinggal.

“Minta kepada orang ramai yang terlibat dalam masalah ini agar tampil dan membuat laporan agar ada yang tidak tertipu dengan kejadian seperti ini,” katanya ketika ditemui.

Salah seorang mangsa, Muhamad Amir Abdul Majid, 20, berkata, pada mulanya dia menyangka lesen yang diperolehi itu adalah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan sah digunakan selepas membayar RM800.

Bagaimanapun, menurutnya, selepas mendapati salah seorang rakan yang ditahan polis mendapati lesen itu palsu baru dia mengetahuinya.

“Selama ini saya tidak menyangka dan selepas mendapat lesen ini lebih tiga bulan lalu, saya rasa tidak bimbang untuk menunggang motosikal kerana telah memiliki lesen yang sah, tetapi sebaliknya pula yang berlaku,” katanya.

Dia berkata, masih ramai lagi rakannya yang mendapatkan lesen berkenaan sedangkan mereka bekerja di luar daerah ini.

“Selepas seorang rakan ditahan polis mendapati lesen berkenaan adalah palsu, baru saya menyedarinya dan terus mencari mereka yang terbabit, namun mereka sudah menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Dia bersama rakan lain membuat laporan di IPD Mersing dua hari lalu mengenai pemalsuan lesen berkenaan.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Ayu Masniza Razman, 18, berkata, dia hanya perlu menjelaskan bayaran antara RM800 hingga RM900 setiap seorang dengan cara berperingkat-peringkat antara Januari hingga Jun tahun lalu kepada seorang penganggur yang disyaki dalang lesen palsu berkenaan.

Menurutnya, lesen tersebut diperoleh kononnya sama dengan lesen warga emas yang dilancarkan baru-baru ini.

“Dia memberitahu lesen ini boleh diselitkan dengan skim lesen untuk warga emas untuk motosikal. Dalam masa tiga bulan nama akan masuk dalam sistem JPJ, namun sehingga kini baru saya tahu ianya adalah penipuan,” katanya.

Dia berkata, duit RM900 hasil daripada wang simpanan itu hanya hangus begitu sahaja dan meminta agar tindakan segera diambil ke atas dalang sebalik sindiket tersebut.

“Wang yang saya bagi itu adalah simpanan saya sewaktu saya bekerja dan separuh adalah duit daripada ibu saya. Saya agak terkilan dan kecewa apabila kami semua ditipu. Ingatkan dia adalah salah seorang ejen di sekolah memandu.

“Saya meminta kepada rakan terbabit supaya tampil membuat aduan polis bagi membolehkan mereka yang menipu itu disiasat dan diambil tindakan,” katanya.

Beliau juga meminta agar orang yang terbabit agar membayar semula wang berkenaan bagi membolehkannya membuat lesen motosikal yang baru dan sah.

:Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Mohd Toff Maroff mengesahkan menerima laporan itu dan akan menyiasat kes ber:kenaan.

No comments:

Post a Comment