Search This Blog

Friday, January 28, 2011

2 beranak bebas tuduhan ceroboh pejabat Gerakan



KOTA BHARU – Dua beranak yang didakwa melakukan perbuatan khianat serta menceroboh Pejabat Parti Gerakan di sini, empat tahun lalu, terlepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Ong Mun Hong, 59 bersama anaknya, Ong Chun Keat, 29, yang hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan tersebut tersenyum puas selepas Majistret Nur Zakiyah Shamsudin membaca keputusan tersebut.

Nur Zakiyah dalam keputusannya yang dibacakan pada prosiding jam 11.30 pagi itu berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas kedua-dua tertuduh.

“Atas alasan itu kedua-duanya tidak bersalah serta dibebaskan dan dilepaskan serta merta,” katanya.

Mun Hong yang ditemui di perkarangan mahkamah semalam, jelas sekali gembira dengan keputusan tersebut.

“Saya anggap keputusan yang menyebelahi kami ini adalah hadiah sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan tiba enam hari lagi,” katanya.

Mereka sebelum itu, dituduh secara bersama merosakkan pintu gril yang bernilai RM80 serta menceroboh pejabat Parti Gerakan di Aras Mezzanin, Jalan Temenggong, 29 Julai 2006 lalu.

Selepas kesnya dituduh di bawah Seksyen 427 dan 443/511 Kanun Keseksaan itu, Mun Hong yang sebelum ini Pengerusi Biro Kebajikan dan AJK Parti Gerakan negeri itu berkata, beliau tidak berhasrat untuk terus menyandang jawatan tersebut.

“Saya sudah tidak berminat dengan jawatan itu lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment