Search This Blog

Thursday, December 30, 2010

Kereta rempuh rumah



SEBERANG TAKIR – Tiga beradik nyaris maut apabila rumah mereka yang terletak di Pantai Teluk Ketapang, di sini, dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu laju di laluan berselekoh kira-kira jam 9 malam, semalam.

Sinar Harian difahamkan lokasi berkenaan sering berlaku kemalangan berikutan laluan berselekoh dan lebih membahayakan lagi apabila musim hujan, ditambah keadaan jalan yang licin.

Kejadian yang berlaku dalam keadaan hujan renyai-renyai itu turut mengakibatkan bahagian anjung depan dan ruang tamu rumah berkenaan rosak teruk berikutan rempuhan kuat serta kereta yang dipandu terperosok ke bawah.

Menurut Isruan Ismail, 30, ketika kejadian dia bersama seorang abangnya, Hishamuddin Ismail, 38, sedang menonton televisyen di bahagian tengah rumah, manakala adik perempuanya, Hidayana Ismail, 17, berada di dalam bilik tidurnya.

Wanita bersalin dalam tandas cekik bayi





2010/12/30

DUBAI: Seorang wanita bersalin di dalam tandas sebelum mencekik bayi berkenaan dan menghumbannya ke dalam tong sampah. 

Ibu terbabit, dipercayai keturunan Habsyah dan berusia pertengahan 30 tahun, menaiki pesawat sebelum mayat bayi itu dijumpai oleh pencuci tandas di lapangan terbang antarabangsa Dubai.
Wanita itu memutuskan tali pusat bayi itu dengan tangannya sendiri dan kemudian melilit lehernya dengan kain sebelum membuangnya.
Dia dikenal pasti menerusi gambar kamera keselamatan dan sedang diburu polis. 
Bayi itu dijumpai apabila seorang wanita lain memaklumkan tukang cuci di lapangan terbang mengenai darah mengalir dari sebuah tandas. – Agensi

Tiga penyerang letupkan diri





2010/12/30

Ketua polis bahagian maut, ibu pejabat runtuh dalam serangan di Baghdad 

BAGHDAD: Tiga penyerang bunuh diri meletupkan diri masing-masing di ibu pejabat polis di Mosul semalam, meruntuhkan bangunan itu dan membunuh ketua polis bagi bahagian utara negara itu dan beberapa yang lain.
Serangan di bekas kubu kuat al-Qaeda itu bermula apabila tiga lelaki memakai ves sarat dengan bahan letupan menyusup masuk ke dalam perkarangan kawasan kediaman Batalion per tama polis Iraq itu pada jam 6 pagi waktu tempatan, kata polis.
Polis menembak mati salah seorang penyerang terbabit di kawasan terbuka dan ves yang dipakainya meletup. 

Namun ketika keadaan kucar-kacir yang menyusul dua lagi penyerang bunuh diri merempuh masuk bangunan ibu pejabat polis. 

Salah seorang daripada penyerang memasuki pejabat tingkat bawah komander batalion itu, Lt. Kol. Shamil al-Jabouri yang sedang tidur di dalam pejabatnya ketika itu dan meletupkan dirinya, membunuh ketua polis itu serta merta, kata seorang anggota polis yang menyaksikan insiden itu. 

Seorang lagi penyerang pula meletupkan dirinya selepas letupan pertama itu. Kekuatan kedua-dua letupan meruntuhkan bangunan itu dan komander polis berkenaan bersama-sama beberapa anggota lain tertindih di bawah runtuhan. 

Pegawai hospital mengesahkan kematian dan berkata mereka merawat beberapa lagi anggota polis yang lain. 

Pasukan penyelamat bekerja keras mengangkat runtuhan untuk mencari mangsa yang lain. 

Seorang pegawai kanan keselamatan di wilayah Mosul, Abdul-Raheem al-Shemeri berkata beliau percaya al-Jabouri yang sebelum ini bertanggung jawab mengusir keluar militan al-Qaeda dari Mosul, menjadi sasaran serangan itu. 

Militan sebelum ini beberapa kali cuba membunuh al-Jabouri dengan terbaru pengawal komander polis itu menembak mati seorang penyerang bunuh diri yang cuba meletupkan dirinya berhampiran ketuanya itu. 

Belum ada mana-mana pihak mengaku bertanggung jawab terhadap serangan semalam. – AP

Keluarga minta Amaluddin pulang





2010/12/30

pix_gal0
SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang pada 24 Disember lalu, dirayu pulang ke pangkuan keluarga berikutan ibu bapanya bimbang akan keselamatannya. 

Kehilangan Mohd Nor Amaluddin Alias (atas), 10, mula disedari ibunya, Nor Zilah Abas, 34, apabila dia tidak pulang ke rumah selepas keluar bermain kira-kira jam 9.30 pagi di taman permainan Flet Sri Perantau, Pelabuhan Klang.
Abang tirinya, Nurhishamudin Alias, 26, berkata beliau dan keluarga sudah bertanya rakan sepermainan adiknya, tetapi mereka tidak tahu ke mana adiknya pergi.
“Kami khuatir dia dilarikan orang atau tersesat sehingga terlupa jalan pulang ke rumah. Kami juga risau kerana dia kanak-kanak lembam dan namanya sendiri pun tidak ingat. 

“Poster gambarnya sudah ditampal di beberapa tempat awam seperti stesen komuter dan kawasan perumahan berhampiran, tetapi sehingga kini tiada seorang pun terjumpa adik saya itu,” katanya ketika tampil membuat aduan di Balai Berita Shah Alam, di sini. 

Bagaimanapun satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Pelabuhan Klang pada 25 Disember lalu mengenai kehilangan pelajar Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Klang berkenaan. 

Nurhishamudin meminta orang ramai yang terjumpa adiknya segera menghubungi balai polis berdekatan atau bapanya, Alias Yahya di talian 016-2845591 atau ibu saudaranya, Samsiah Yahya, 03-31652776.

10 orang awam maut letupan di Afghanistan





2010/12/30

KABUL: Lebih 10 orang awam terbunuh, manakala beberapa lagi dilaporkan cedera dalam satu letupan yang dipercayai serangan puak militan di Wiilayah Helmand, selatan Afghanistan. 

Pihak keselamatan menganggarkan angka kematian melebihi 10 orang, manakala jurucakap wilayah, Daud Ahmadi memberitahu bahawa mangsa yang maut dan cedera adalah 16 orang. - AFP

-bharian

64 mangsa banjir di Pahang di pusat pemindahan



30/12/2010 6:28pm

KUANTAN 30 Dis. – Pusat pemindahan banjir pertama dibuka di Pahang hari ini dengan menempatkan seramai 64 orang mangsa yang terdiri daripada 14 keluarga di daerah Kuantan.
Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, kesemua mangsa mula dipindahkan pada 10.30 pagi tadi ke Sekolah Kebangsaan Sungai Karang Darat selepas kawasan penempatan mereka di Sungai Karang Darat dinaiki air setinggi satu meter.
"Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan selain daerah-daerah lain di negeri ini masih belum terjejas,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sehingga 5 petang tadi, jalan di Km 18 Jalan Gebeng-Kuantan masih ditenggelami air sedalam 0.5 meter dan hanya dibuka kepada kenderaan berat, manakala jalan di Km 23 Jalan Gebeng-Kuantan yang turut dinaiki air sedalam 0.3 meter pagi tadi kini boleh dilalui oleh semua kenderaan. – Bernama

Tragedi angkara permainan seks

OKLAHOMA: Seorang lelaki muda yang mengaku sering mengacukan pistol ke kepala isterinya yang jauh lebih tua daripadanya ketika terbabit dalam permainan seks, kini menghadapi tuduhan membunuh apabila pistol itu meletup dan membunuh wanita berkenaan.
Arthur Sedille Yan, 23, yang begitu fanatik terhadap pistol memberi kerjasama kepada polis selepas ditahan dan memberitahu mereka, dia sering mengacu senjata itu pada kepala Rebecca, 50, ketika permainan seks di kediaman mereka di Oklahoma City.

Namun, Sedille mendakwa dia tidak tahu pistolnya berisi peluru pada malam kejadian dia mengacu pistol itu pada kepalanya, baru-baru ini.

Pistol itu meletup dan Rebecca mati serta-merta.

Sedille mungkin menghadapi tuduhan membunuh berhubung kematian Rebecca.

Menurut kertas pertuduhan yang disediakan polis, Sedille mendakwa kejadian itu tidak disengajakan dan menelefon 911 sebaik kejadian berlaku.


Penyiasat sebelum ini memutuskan untuk menangkap Sedille atas tuduhan membunuh dengan sengaja.

Bagaimanapun, mereka menimbang semula keputusan itu dan melakukan siasatan semula. Sedille akan ditahan dipenjara sehingga siasatan selesai.

Dalam ruangan minat laman Facebooknya, tersenarai laman mengenai anjing pitbull, raifal AK-47 dan raifal Carbine M-1 yang popular ketika Perang Dunia Kedua. - Agensi

Warga emas cedera diragut lelaki bermotosikal



30/12/2010 3:29pm

KUALA LUMPUR - Seorang warga emas cedera di kepala selepas bergelut dengan seorang peragut yang menaiki sebuah motosikal di Jalan Tun Sambathan di sini hari ini.
Wanita, yang hanya dikenali sebagai Rageswary, 60, dan tinggal di Taman Melawati itu, kemudiannya dibawa oleh ambulans ke Hospital Kuala Lumpur selepas dilihat terbaring di jalan raya dan kepalanya berlumuran darah.
Seorang saksi berkata, kejadian berlaku pada 1.45 petang tadi apabila Rageswary yang berjalan seorang diri di hadapan Wisma Tun Sambathan di sini diragut dua lelaki bermotosikal.
"Pergelutan berlaku apabila dia enggan melepaskan beg tangannya dan berlaku tarik menarik sebelum dia ditolak,” katanya. - Bernama

Keluarga dakwa didera diseru buat laporan



30/12/2010 6:34pm

SEREMBAN – Polis meminta sepasang suami isteri yang mendakwa didera majikan mereka supaya membuat laporan dan tampil membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, ACP Hamdan Majid berkata, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan sebagaimana dakwaan mereka.
"Jika benar dakwaan mereka itu, kenapa perlu bersembunyi atau takut untuk tampil,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini bagi mengulas laporan sebuah akhbar pada 25 Disember lepas bahawa polis tidak mengambil tindakan berhubung aduan yang kononnya telah dibuat di beberapa balai polis di Jempol oleh keluarga itu.
Menurut laporan akhbar itu, keluarga berkenaan mendakwa telah didera majikan dan dipaksa bekerja tanpa gaji di sebuah ladang dekat Bahau, manakala anak-anak mereka berusia empat hingga 10 tahun turut didera dengan rotan.
Mereka juga mendakwa telah membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam dan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap majikan berkenaan.
Hamdan berkata, selain polis, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menjalankan siasatan dan mereka juga tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan keluarga itu. – Bernama

Pendakwaan tutup bicara kes





SHAH ALAM 29 Dis. - Pihak pendakwaan hari ini menutup perbicaraan kes terhadap Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian remaja, Aminulrasyid Amzah selepas saksi terakhir, Koperal Zainon Harun selesai memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar yang mengetuai pasukan pendakwaan turut menawarkan 30 saksi daripada senarai saksi mereka kepada pihak pembelaan sekiranya tertuduh dipanggil membela diri.
Hakim Latifah Mohd. Tahar menetapkan 28 Januari ini untuk kedua-dua pihak berhujah di akhir kes pendakwaan.
Jenain, 48, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.
Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bermula pada 12 Oktober lalu dengan 39 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Ahmad.
Sementara tertuduh diwakili tiga peguam bela, M. Athimulan, Salim Bashir dan Halim Asghar.
Terdahulu, pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Abd. Halim Ismail yang menyambung keterangannya mengesahkan tembakan yang dilepaskan bagi menghentikan kereta dipandu Aminulrasyid pada malam kejadian adalah satu tindakan yang sah di sisi undang-undang.
Katanya, ia berdasarkan keadaan yang mana Aminulrasyid melakukan pelbagai kesalahan termasuk menghimpit dua kereta peronda polis sehingga hampir terbabas di samping tiada cara lain untuk memberhentikan kenderaan tersebut.
Semasa disoal oleh Mohd. Dusuki, beliau menyatakan bahawa cara terbaik dan selamat untuk menahan kereta yang dipandu laju adalah dengan tiga kereta peronda polis mengejar dan cuba memberhentikan kenderaan tersebut sekiranya mampu.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis hanya boleh menggunakan senjata api sekiranya pihak yang cuba ditahan melepaskan tembakan atau dalam keadaan terancam.
"Kesalahan Aminulrasyid pada malam kejadian tidak melibatkan penggunaan senjata api.
"Bagaimanapun mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara, dalam keadaan kita terancam dan perlu guna senjata api, boleh lepaskan tembakan," jelasnya.
Abdul Halim turut mengesahkan Aminulrasyid melakukan sekurang-kurang lapan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 semasa memandu kereta Proton Iswara BET 5023 pada malam kejadian.
Ia termasuk memandu secara berbahaya, tidak memberhentikan kenderaan apabila berlaku kemalangan, tidak mematuhi arahan berhenti dan menggunakan kenderaan tanpa izin pemilik.
Beliau yang bertugas di Cawangan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkata, kesalahan-kesalahan itu tidak memerlukan waran untuk membolehkan remaja itu ditahan.
Sementara itu, saksi ke-39 iaitu saksi terakhir pendakwaan, Zainon memberitahu, dia berusaha mendapatkan sebuah trak penunda untuk membawa kereta Proton Iswara terbabit ke IPD Shah Alam pada 26 April lalu.
Katanya, dia tidak membuat permohonan untuk mendapatkan trak tunda polis kerana ia perlu melalui beberapa prosedur sedangkan kereta itu perlu segera dibawa keluar dari tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

Suami isteri dihukum mati





Sepasang suami isteri dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, dua tahun lalu.


PULAU PINANG 29 Dis. – Sepasang suami isteri dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, dua tahun lalu.
Hakim Nurmala Salim menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Shahrizal Said, 33, dan Zarimah Yusoff, 30, setelah kedua-duanya gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.
Semasa keputusan dibacakan, Zarimah yang merupakan suri rumah serta suaminya seorang peniaga, kelihatan tenang.
Keputusan itu bagaimanapun membuatkan suasana bertukar pilu apabila ahli keluarga pasangan dari Alor Setar, Kedah itu yang memenuhi galeri awam tidak dapat menahan kesedihan mereka.
Kedua-dua tertuduh disabitkan bersalah mengedar dan memiliki heroin seberat 91.86 gram, 73.76 gram monoacetylmorphines dan 148.6 gram methamphetamine di rumah mereka di Blok 5-6-18, Desa Riang, Batu Uban di sini pada pukul 3.45 petang, 3 Februari 2008.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, hakim mendapati Timbalan Pendakwa Raya, K. Prem berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap suami isteri terbabit.
“Mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh bersalah bagi kesalahan mengedar dadah.
“Oleh kerana di bawah undang-undang di negara ini, hanya ada satu hukuman iaitu hukuman mandatori maka kedua-dua tertuduh digantung sampai mati,” katanya.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, G. Ravi Shankar.
Semasa prosiding membela diri, Shahrizal memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi manakala isterinya memberi keterangan secara bertulis tanpa mengangkat sumpah.

Pertempuran Di Selatan Thai, Seorang Lelaki Maut, 4 Anggota Polis Cedera

Seorang lelaki bersenjata maut, manakala empat anggota polis cedera dalam satu pertempuran di Pattani, selatan Thailand.

Insiden berlaku selepas sekumpulan lelaki menembak pasukan polis yang sedang meronda di Jalan Makrut-Khokpo, jam dua pagi tadi.

Pertempuran turut menyebabkan beberapa penduduk kampung bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Khokpho.

Lelaki yang maut itu dipercayai berusia antara 25 dan 30 tahun.

Ketua Polis Wilayah Pattani, Pichet Pitiserttapan mengarahkan operasi memburu lelaki bersenjata lain yang lari dan dipercayai cedera selepas pertempuran.

Polis turut berjaya menahan seorang suspek yang dikehendaki.

Suspek dikenali sebagai Azmi Yunus, 30 tahun, diberkas bersama senjata api jenis M16 dan 50 butir peluru, di sebuah rumah di Kampung Klongmai.

Dia didakwa mempunyai kaitan dengan beberapa kes tembakan dan membakar sekolah di daerah Yarang, Pattani.

kes Roslin-Faizah diteruskan


BEKAS pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim (kiri), bersama peguam dan bekas isteri, Faizah Mohamad (kanan), keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, pagi ini selepas keputusan rayuan bantahan terhadap permohonan Faizah Mohamad supaya dilanjutkan tempoh memfailkan rayuan di luar masa kes tuntutan ganti rugi. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Prosiding kes tuntutan ganti rugi perkahwinan antara jaguh badminton negara, Roslin Hashim dan bekas isteri yang dinikahinya pertama kali, Faizah Mohamad akan diteruskan pada 11 Januari ini.
Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini memutuskan demikian selepas menolak permohonan Faizah, 33, untuk merayu di luar masa yang ditetapkan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang mengetepikan bantahan awalnya.
Dengan keputusan tersebut, kes tuntutan itu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada tarikh berkenaan.
Ketetapan tersebut diputuskan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut yang bersidang bersama Hakim Syarie, Datuk Mohd. Yusof Che Teh dan Datuk Hussin Harun.
Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Syarie, Mohd. Yusof, mahkamah berpendapat Faizah telah cuai dalam memilih forum yang tepat untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada 25 Januari lalu.
Faizah memfailkan kebenaran untuk merayu di luar masa berikutan tempoh 14 hari yang dibenarkan untuk memfailkan rayuan telah berakhir.
‘‘Mahkamah mendapati tindakan Faizah selaku pemohon yang diwakili Peguam Syarie, Mohd. Amir Nazli Hussin memfailkan permohonan semakan kehakiman adalah tidak tepat kerana dia sepatutnya membuat permohonan rayuan jika tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan.
“Kami tidak ragu-ragu untuk merumuskan bahawa pemohon telah cuai dalam memilih proses yang tepat,” ujar beliau.
Mahkamah turut menolak alasan bahawa tiada garis panduan yang jelas mengenai prosedur yang sewajarnya memandangkan perkara itu telah dinyatakan dalam arahan amalan Mahkamah Syariah dan perlu diketahui oleh semua pengamal undang-undang.
Pada prosiding hari ini, Faizah hadir bersama ahli keluarganya manakala Roslin datang berseorangan.
Isu rumah tangga bekas pasangan suami isteri itu hangat diperkatakan umum apabila Roslin menceraikan Faizah selepas 12 hari mereka berkahwin.
Roslin, 34, yang diwakili Peguam Syarie, Roslizam Rahim, dalam prosiding pengesahan perceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, turut bersumpah bahawa tiada hubungan kelamin berlaku dalam tempoh 12 hari perkahwinan mereka.
Selepas mereka disahkan bercerai pada 12 Mei 2009, Roslin bertindak memfailkan tuntutan ganti rugi perkahwinan sebanyak RM53,460 terhadap Faizah pada 12 Ogos tahun lalu.
Roslin menuntut semua perbelanjaan yang dikeluarkan semasa merisik, bertunang dan berkahwin termasuk cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).
Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080); bayaran jurunikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500); barang hantaran (RM11,465); baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).
Turut dituntut ialah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).
Mereka bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 30 Januari 2009 dan lapan hari kemudian majlis bertandang di rumah Roslin di Kampung Sirih, Kota Bharu dengan wang hantaran RM15,000.

AS dilanda ‘malapetaka salji’



Seorang pekerja, Justin Kirsch menggunakan penyodok bagi membersihkan salji yang menutupi kereta Honda miliknya di luar rumahnya di barat West 73rd Street, New York City, kelmarin. – AFP


NEW YORK 29 Dis. – Perjalanan di pantai timur Amerika Syarikat (AS) terus terjejas hari ini selepas beratus-ratus penerbangan dibatalkan ekoran cuaca sejuk yang disifatkan sebagai ‘malapetaka salji’ yang melanda wilayah itu.
Para penumpang juga masih terkandas selepas ribut salji terburuk dalam tempoh beberapa tahun itu melanda kawasan pinggir laut di bahagian timur dari Carolina Utara dan Selatan hingga ke wilayah maritim Kanada.
Ribut salji tersebut membawa salji tebal setebal 80 sentimeter yang mengakibatkan ramai penumpang terutamanya yang menaiki pesawat terkandas.
Syarikat-syarikat penerbangan menyambung semula operasi dengan jumlah penerbangan yang terhad, tetapi kira-kira 800 penerbangan terpaksa dibatalkan semalam kebanyakannya di New York ekoran ribut yang melanda kawasan tersebut Ahad lalu dan kelmarin.
Jentolak pembersih salji juga sukar digunakan di Manhattan berikutan keadaan salji setinggi paras lutut di jalan-jalan.
Pegawai menjangkakan, keadaan buruk ini akan berterusan beberapa hari lagi sebelum New York dan hab-hab pengangkutan utamanya boleh kembali beroperasi seperti biasa selepas mengalami ribut salji paling buruk dalam sejarah kota itu.
“Ribut kali ini amat luar biasa berbanding yang pernah berlaku sebelum ini.
“Jentolak salji tidak boleh digunakan sehingga kita dapat mengalihkan semua ambulans, jentera bomba dan kereta yang terkandas di dalam salji tebal,” kata Datuk Bandar, Michael Bloomberg.
Polis New York dalam pada itu telah mengalihkan 1,000 kenderaan daripada tiga buah jalan yang sesak, namun itu hanyalah sebahagian kecil kenderaan yang terkandas di jalan-jalan raya New York.
Tiga lapangan terbang utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, LaGuardia dan Newark telah dibuka semula malam kelmarin, tetapi pembatalan lebih 5,000 penerbangan sebelum mengakibatkan lebih banyak kelewatan. – AFP
-utusan

Banjir di Queensland semakin buruk



Beberapa orang peniaga Queensland menggunakan bot berpindah dari kedai mereka yang ditenggelami banjir di Chinchilla, Queensland, semalam. - AFP


SYDNEY 29 Dis. - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard hari ini mengeluarkan amaran terhadap kemungkinan banjir lebih buruk akan berlaku selepas seluruh bandar di timur laut negara ini terputus hubungan akibat ditenggelami air dan pihak tentera telah memindahkan beratus penduduk menggunakan helikopter.
Hujan lebat akibat hujan tropika menyebabkan banyak kawasan di Queensland ditenggelami air dengan 1,000 penduduk setakat ini telah dipindahkan dan 38 daerah diisytihar sebagai kawasan bencana alam.
Gillard melancarkan tabung bantuan dan menjanjikan bantuan kerajaan berjumlah AS$1 juta (RM3.09 juta) bagi membantu mangsa banjir dahsyat itu.
"Sebilangan masyarakat menyaksikan banjir kali ini lebih besar daripada banjir yang pernah berlaku beberapa dekad sebelum ini, manakala sebilangan lagi tidak pernah mengalami situasi seperti ini," kata Gillard kepada wartawan.
Beratus-ratus mangsa banjir meninggalkan kediaman mereka di bandar pesisir Bundaberg, manakala kawasan berhampiran bandar Theodore telah dikosongkan oleh anggota tentera menggunakan helikopter Black Hawk.
Kawasan ini dilihat seperti laut luas di pedalaman dengan tanaman dan kawasan ladang bernilai berbilion dolar ditenggelami banjir, kata seorang Ahli Parlimen tempatan, Vaughan Johnson.
"Saya meninjau dari kawasan Alpha ke Barcaldine dengan menaiki helikopter semalam, dan saya tidak pernah melihat situasi sebegini teruk sebelum ini," kata Johnson kepada radio ABC. - AFP

PBB kecam Thailand usir pelarian Myanmar



Beberapa pelarian Myanmar termasuk kanak-kanak menaiki lori pikap sebelum menyeberangi sempadan dari Mae Sot ke bandar Myawaddi pada 9 November 2010. - REUTERS


GENEVA 29 Dis. - Tindakan Thailand mengusir 166 orang pelarian Myanmar kembali ke negara itu pada Sabtu lalu, walaupun mengetahui mereka adalah mangsa pertempuran antara tentera kerajaan dengan pemberontak etnik di perkampungan mereka di tenggara Myanmar, memaksa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) mengeluarkan teguran, semalam.
Daripada jumlah itu, 50 adalah wanita, 70 kanak-kanak dan 46 orang lagi adalah lelaki dari perkampungan Wa Lay di wilayah Tak telah dipaksa kembali ke Myanmar, kata UNHCR dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, agensi tersebut memuji dasar Thailand yang membenarkan pelarian Myanmar itu memasuki Thailand ketika pertikaian itu tercetus.
UNHCR berpendapat, sekiranya Thailand ingin menghantar kembali pelarian itu, mereka perlu kembali secara sukerala dan berada dalam keadaan selamat.
"Mereka melarikan diri akibat pertempuran antara pihak kerajaan dan pemberontak di tenggara Myanmar, pelarian ini dikenali sebagai Karen," kata jurucakap UNHCR, Babar Baloch kepada Reuters di Geneva.
Tiada wakil Thailand pada persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva tampil untuk memberikan sebarang komen berhubung perkara tersebut.
Pemerintah Myanmar telah lama dituduh menganiaya kaum minoriti di negara tersebut, yang turut mencetuskan perpindahan berlanjutan penduduknya.
Terdapat seramai 150,000 pelarian Myanmar menetap di khemah-khemah rasmi di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar. - REUTERS

Kekacauan berterusan di selatan Thai




Anggota keselamatan Thailand memeriksa mayat seorang lelaki yang dipercayai suspek militan selepas satu serbuan di wilayah Pattani, selatan Thailand, kelmarin. – REUTERS


NARATHIWAT 29 Dis. – Satu letupan kenderaan menggegarkan wilayah selatan Thailand hari ini menyebabkan tujuh orang cedera, sehari selepas kerajaan menarik balik perintah darurat di satu daerah di kawasan bergolak ini.
Menurut pihak berkuasa, bom buatan sendiri yang mempunyai kira-kira 15 kilogram bahan letupan telah dimasukkan ke dalam alat pemadam api dan kemudiannya diletupkan menggunakan telefon bimbit di hadapan pejabat jabatan lebuh raya di Narathiwat.
Tiga pegawai kerajaan dan empat penduduk kampung cedera dalam letupan yang turut merobek bumbung kenderaan itu.
Dalam kejadian berasingan di wilayah Yala, suspek pemberontak meletupkan bom di tepi jalan dan cuba menyerang hendap pegawai peronda keselamatan, tetapi tiada yang cedera.
Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata, pergolakan terbaru itu tidak akan mengubah rancangan kerajaannya untuk menarik balik perintah darurat di sebuah daerah di wilayah itu sebagai ujian kepada wilayah yang dihuni majoriti penduduk Islam ini.
“Kami akan menilai dari satu kawasan ke satu kawasan dan membuat penilaian secara umum,” katanya kepada wartawan di Bangkok.
Abhisit juga melahirkan keyakinannya sambutan tahun baru di Bangkok akan berjalan secara aman. – AFP

36 terbunuh tidak guna jejantas di KL



30/12/2010 6:35pm

KUALA LUMPUR - Seramai 36 pejalan kaki di ibu negara terbunuh antara Januari dan November tahun ini disebabkan pelbagai faktor antaranya tidak menggunakan jejantas ketika melintas jalan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muhammad Heeza Hassan berkata, jumlah itu meningkat 50 peratus berbanding 24 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Bercakap kepada pemberita ketika mengadakan Kempen Advokasi dan Penguatkuasaan Keselamatan Jalan Raya kepada Pejalan Kaki yang tidak menggunakan jejantas di sepanjang Jalan Chow Kit di sini hari ini, kempen itu bertujuan meningkatkan kesederaan masyarakat tentang risiko pejalan kaki ketika menggunakan jalan raya.
Pada operasi hari ini, 24 saman dikeluarkan oleh polis trafik dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pejalan kaki yang gagal menggunakan jejantas ketika melintas di Jalan Chow Kit.
Seramai lima orang anggota polis trafik, 19 orang anggota penguatkuasa DBKL dan 20 orang kakitangan JKJR menyertai operasi itu. - Bernama

Gadis diculik, dirogol tiga lelaki



KUALA TERENGGANU 29 Dis. - Seorang gadis berusia 16 tahun bukan sahaja menjadi mangsa culik malah dirogol oleh tiga lelaki gara-gara masalah hubungan abangnya dengan seorang wanita.
Dalam satu kejadian di Kampung Belukar Gorek, Bukit Payung, Marang di sini awal pagi kelmarin, mangsa dilarikan dari rumah oleh dua lelaki yang tidak dikenali.
Pelajar tingkatan empat itu kemudian dibawa ke sebuah rumah kosong di Pasir Panjang dekat sini sebelum dirogol bergilir-gilir oleh semua suspek termasuk salah seorang daripadanya dipercayai rakan abangnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, mangsa yang tinggal bersama ibunya berusia 53 tahun didatangi oleh dua lelaki yang meluru masuk ke rumah selepas pintu diketuk.
"Setelah pintu dibuka, mereka terus menarik mangsa keluar dan membawa masuk ke dalam sebuah kereta. Ibu mangsa yang tidak sempat berbuat apa-apa melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
"Kakak mangsa kemudian menerima satu panggilan daripada seorang perempuan kira-kira pukul 10 pagi kelmarin dan memaklumkan akan menghantar pulang adiknya itu.
"Beberapa jam selepas itu, dia menerima satu lagi panggilan dipercayai orang sama memaklumkan akan menghantar mangsa dan abangnya bersama dengan selamat.
"Ekoran maklumat itu, polis telah mengesan perempuan yang menghubungi kakak mangsa dan menahan gadis berusia 14 tahun di Kampung Pulau Rusa, Manir tidak lama selepas itu," katanya.
Manoharan berkata, hasil soal siasat, polis telah menyerbu sebuah kedai runcit di kampung itu dan menahan dua lagi suspek lelaki pada pukul 12.10 tengah hari.
Jelasnya, sejurus selepas itu polis menerima panggilan memaklumkan bahawa mangsa dan abang mangsa telah dibebaskan oleh seorang lagi suspek yang juga rakan kepada abang mangsa.
Katanya, suspek terakhir ditahan berdekatan tempat kejadian bersama-sama abang mangsa berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penjual rokok.
Kesemua suspek iaitu lelaki berusia 27 tahun dari Pasir Mas yang bekerja sebagai buruh, peniaga kedai runcit dari Bachok (26 tahun) dan peniaga rokok dari Kuala Lipis (20 tahun) dan abang mangsa ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

5 pelajar kolej ditahan





ANGGOTA polis membuat ujian air kencing ke atas pelajar yang ditahan dalam Ops Tapis di Kampung Pengkalan Pandan, Kemaman, semalam.


KEMAMAN 29 Dis. - Lima pelajar sebuah kolej perkapalan dekat sini, ditahan setelah didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Pandan, dekat sini awal pagi ini.
Mereka yang ditahan dalam serbuan Ops Tapis kira-kira pukul 2 pagi itu berusia dalam lingkungan 18 hingga 22 tahun.
Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Abdul Marlik Hakim Johar berkata, kesemua pelajar berkenaan menyewa rumah tersebut.
"Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1953," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, pihaknya turut menahan 82 orang berusia 18 hingga 50 tahun atas pelbagai kesalahan dalam operasi cegah jenayah bermula pukul 11 malam semalam hingga 9 pagi ini.
Katanya, daripada jumlah itu, seorang lelaki ditahan kerana tidak mempunyai pengenalan diri, dua ditahan di bawah Seksyen 12(2) dan bakinya di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1953.
Jelasnya, dalam operasi yang diketuai Asisten Supritendan Hamzah Awang Dollah bersama 11 pegawai dan 59 anggota itu sebanyak 70 rumah dan 149 orang diperiksa.

Warga emas ditemui mati lemas



KOTA BELUD 29 Dis. - Seorang warga emas yang disangkakan keluar rumah kerana meraikan Hari Krismas ditemui mati lemas di Sungai Kampung Tambulion, dekat sini, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Derin Maridum berkata, mayat mangsa, Dasoh Lekion, 65, ditemui pihaknya yang menjalankan gerakan mencari sejurus menerima laporan dari keluarga mangsa pada hari sama.
"Difahamkan kejadian berlaku pada pukul 7.30 pagi. Siasatan awal kita mendapati mangsa sebenarnya telah pergi mencuci kain secara berseorangan di sungai berkenaan.
"Mangsa kemudian dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai lalu dihanyutkan oleh arus deras.
"Keluarga mangsa pada mulanya menyangka dia keluar untuk merayakan Hari Krismas di rumah jiran dan menyedari kehilangan mangsa sebelah waktu malam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Derin berkata, keluarga mangsa yang menyedari kehilangannya keluar mencari sebelum menemui selipar mangsa di tepi sungai
Katanya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Kota Belud untuk dibedah siasat.

31 beg bahan letupan hilang di stor kuari batu



KUCHING 29 Dis. - Sebuah stor menyimpan bahan letupan di tapak kuari di Batu 16, Jalan Kuching-Serian dekat sini semalam, dipecah masuk menyebabkan sejumlah 31 beg berisi bahan berkenaan bernilai RM1,500, hilang.
Kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan ketika melakukan rondaan pukul 8.30 pagi ini dan ternampak rantai serta mangga pintu stor terbabit dipotong menggunakan gunting besi.
Dia kemudian melaporkan kejadian tersebut kepada seorang pekerja di tapak kuari itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Siburan, dekat sini.
Difahamkan, kejadian berlaku antara waktu malam semalam dan pagi ini kerana stor menempatkan bahan letupan jenis ANFO (Ammonium Nitrate/Fuel Oil) tersebut telah diperiksa dan dalam keadaan baik petang semalam.
Bahan letupan itu digunakan oleh syarikat kuari di kawasan berkenaan untuk memecahkan batu sebelum dikisar menjadi saiz yang lebih kecil.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan bahan letupan terbabit.
Menurutnya, pihaknya akan menyiasat kejadian tersebut memandangkan ia membabitkan bahan letupan.
Difahamkan bahan letupan jenis tepung itu perlu dicampurkan dengan bahan-bahan lain sebelum boleh berfungsi.

Lelaki ditetak di leher, tangan





ANGGOTA polis mengangkat mayat Jalidin Dalim yang mati ditetak di Batu 6 Jalan Utara, Sandakan, kelmarin.


SANDAKAN 29 Dis. – Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditetak dengan parang di belakang leher dan tangannya di sebuah tapak pembinaan di Batu 6 Jalan Utara, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis daerah, Supritendan Fadzil Mohd. Ali berkata, mangsa, Jalidin Dalim, 34, ditemui berlumuran darah oleh seorang pengawal keselamatan di kawasan itu kira-kira pukul 7 pagi.
“Berdasarkan laporan, pengawal keselamatan itu ternampak mangsa dikejar oleh seorang lelaki bersenjatakan parang.
“Dia kemudian bergegas untuk mendapatkan bantuan. Kira-kira 10 minit kemudian, dia ke lokasi itu semula dan melihat mangsa berlumuran darah.
“Pengawal itu lalu menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat.
Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal pihaknya percaya motif pembunuhan adalah akibat dendam.
“Namun kita masih menyiasat dan memburu suspek yang dipercayai berada di daerah ini,” katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya tampil memberi maklumat kepada pihak polis.

Pencuri motosikal akhirnya ditangkap pemilik



KUANTAN 29 Dis. - Tindakan seorang pemuda menunggang motosikal yang dicurinya membawa padah apabila dia ditahan pemilik kenderaan itu dengan kerjasama orang ramai di Lorong Kampung Padang dekat Taman Impianku di sini semalam.
Motosikal Honda EX-5 itu sebelum ini dilaporkan hilang di hadapan rumah pemiliknya di Indera Mahkota 15 di sini, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, pemilik motosikal berusia 34 tahun itu hanya menyedari kehilangan motosikalnya semasa bangun keesokkan harinya.
"Motosikal itu dipercayai hilang antara pukul 10 malam dan 6 pagi (Isnin)," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis daerah di sini hari ini.
Kata Kamaruzzaman, bagaimanapun secara kebetulan pemilik motosikal itu bertembung dengan kenderaan miliknya yang dipandu suspek berusia 19 tahun ketika melalui jalan di Taman Impianku, pada pukul 6.45 petang semalam.
"Pemiliknya mengecam motosikal itu sebelum meminta bantuan orang awam untuk menangkap suspek yang cuba melarikan diri.
"Suspek sempat menukar nombor plat pendaftaran palsu dan siasatan awal mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Tambah beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

4 remaja ditahan siasat kes gaduh



BATU PAHAT 29 Dis. - Empat remaja lelaki berusia antara 16 dan 20 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah kawasan taman perumahan sekitar Yong Peng, dekat sini, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Adnan Azizon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu yang berlaku di taman perumahan tersebut, pukul 10 malam.
"Bertindak atas maklumat itu, kita menemui seorang lelaki dalam keadaan separuh sedar di tepi sebatang jalan.
"Terdapat beberapa luka kecil di lengan kiri, lutut dan belakang badan mangsa dan dia dihantar ke hospital untuk rawatan," kata pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah dekat sini semalam.
Menurutnya, hasil maklumat daripada mangsa, pihak polis berjaya mengesan kereta Proton Waja yang dinaiki suspek.
"Hasil pemeriksaan kita merampas sebilah parang dan sebatang besi di dalamnya," katanya.
Adnan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

3 termasuk 2 pelajar maut nahas



IPOH 29 Dis. - Tiga termasuk dua pelajar terbunuh dalam tiga kemalangan yang berlaku di sekitar Perak malam tadi.
Ketua Polis Trafik negeri, Supt. Wan Abdullah Ishak berkata, kejadian pertama berlaku pukul 9.55 malam di Kilometer 13 Jalan Ulu Kenas-Kuala Kangsar membabitkan pertembungan dua buah motosikal yang ditunggang dua pelajar.
Dalam kejadian itu Ahmad Khairani Ahmad Daud, 15, terbunuh, manakala seorang lagi penunggang yang hanya dikenali sebagai Aidil, 17, cedera, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, Ahmad Khairani yang juga pelajar Sekolah Menengah Raja Muda Musa meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar kerana kecederaan parah di kepala akibat tidak memakai topi keledar.
Beliau menambah, kemalangan kedua berlaku pukul 10.30 malam di Jalan Kampung Gudang Jelai-Batu Kurau.
Dalam kejadian itu penunggang motosikal, Ahmad Amirul Al-Hafiz Ahmad Zaman Akman, 16, maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Sementara itu, satu lagi kemalangan membabitkan kes langgar lari yang mengakibatkan seorang pemuda R. Baskeran, 23, maut.
Wan Abdullah berkata, pemuda dari Taman Jati itu cedera parah di kepala selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Jelapang-Chmeur.
Polis kini mengesan pemandu kereta tersebut yang melarikan diri dari tempat kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500. - BERNAMA

Suami isteri maut, dua anak cedera kemalangan



30/12/2010 11:58am

GERIK 30 Dis. - Sepasang suami isteri terbunuh manakala dua anak perempuan mereka cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di Km 10 Lebuh Raya Timur-Barat dekat sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, DSP Wan Jamil Wan Chik berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 5.30 petang semalam ialah Quah Beng Aun, 37, dan isterinya Hing Soo Kian, 35, berasal dari Jalan Siakap, Bagan Serai.
Kedua-dua mangsa mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.
Dua anak pasangan itu, Quah Chun Wei, 8, dan Quah Wi Peng, 9, cedera di badan dan dirawat di hospital yang sama.
Pemandu sebuah lagi kereta, Syed Azmi Syed Hamid, 54 berasal dari Jitra, Kedah, turut mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di hospital yang sama. - Bernama

3 dari sebuah keluarga mati lemas ketika berkelah



30/12/2010 4:47pm

HULU SELANGOR 30 Dis. – Keseronokan sebuah sekeluarga dari Klang berkelah di kolam Sungai Sendat di sini, berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka mati lemas ketika sedang mandi hari ini.
Dalam kejadian pukul 1 petang itu, mereka yang maut ialah Tan Ching Wee, 10, Tew Chew Ying, 13, dan Kok Soo Dee, 19.
Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru (KKB) untuk dibedah siasat. – Utusan

DBKL roboh sarang pelacuran sekitar KL



30/12/2010 6:34pm

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 sarang pelacuran di sekitar Jalan Petaling dan Jalan Silang di sini hari ini dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membanteras kegiatan rumah pelacuran.
Timbalan Penguasa Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Tanda Usoh berkata, seramai 156 anggota termasuk wakil daripada beberapa agensi menyertai operasi tersebut termasuk dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Imigresen mulai tengah hari hingga 3 petang.
"Tindakan hari ini adalah memecah atau merobohkan bilik-bilik yang telahpun dipecahkan sebelum ini sebanyak sembilan kali,” katanya kepada pemberita. Tiada tangkapan yang dibuat.
"Mulai esok, kita akan menempatkan lima anggota serta seorang pegawai untuk memantau premis-premis berkenaan. Kita akan pantau dan lihat selepas premis-premis ini dipecahkan.
“Kalau ada individu yang dilihat membuka kembali premis ini, tindakan akan diambil.
"Memang tiada kesudahannya aktiviti ini, kita hanya boleh pecah dan tahan lesen perniagaan mereka, tapi kita tidak boleh robohkan sesebuah bangunan 100 peratus macam itu sahaja, itu di luar bidang kuasa kita,” kata Tanda. – Bernama

Kabel lif tergelincir, ramai pemain ski terhumban


CUBA TERJUN: Gambar yang dibekalkan oleh Al Noyes ini menunjukkan seorang pemain ski cuba terjun daripada sebuah kerusi kabel yang terhenti. -- Foto AP
Mudah cetak
E-mel

30 Dis 2010

LUAR NEGARA




CARRABASSETT VALLEY (Maine, Amerika Syarikat): Lif ski berusia 35 tahun mengalami kerosakan sewaktu angin kencang di pusat peranginan ski Pergunungan Sugarloaf di Maine, kelmarin, menyebabkan ramai pemain ski terhumban dari ketinggian sehingga 9 meter.
Bagaimanapun, salji tebal di atas tanah menyebabkan hentakan tidak sekuat yang dijangka. Namun lapan orang dilaporkan cedera, tiga daripada mereka kanak-kanak.Sekurang-kurangnya 220 orang terkandas di 100 kerusi kabel selama lebih sejam, sebelum mereka dapat diselamatkan, kata seorang pengurus pusat peranginan tersebut.Jurucakap Sugarloaf Ski Resort, Encik Ethan Austin, ditukil media setempat sebagai berkata satu kabel yang menampung lif ski di menara Spillwat East tergelincir daripada landasan sekitar 10.30 pagi.Akibatnya lima kerusi kabel terhumban ke bumi dari ketinggian 7.5 hingga 9 meter, kata Encik Austin.Punca kerosakan masih disiasat tetapi angin dilapor bertiup sekencang 64 kilometer sejam ketika kemalangan berlaku.Operasi menyelamat selesai petang kelmarin. Menurut laporan, penumpang terpaksa dibawa turun satu persatu. Mereka kemudian menggunakan ski ke kaki gunung dalam suhu bawah had beku.Cik Rebecca London, seorang pemain ski yang turut terhumban, memberitahu Associated Press bahawa muka beliau terhantuk sebatang palang besi tetapi gogel mengelakkan beliau daripada kecederaan parah.Menurutnya, salji setebal 50 sentimeter melembutkan pendaratan mereka sehingga tidak berlaku kecederaan parah.'Nasib baik mereka tidak bersihkan salji itu semalam,' kata beliau.Kebanyakan pemain ski yang terhumban kelihatan terkejut tetapi mereka tidak mengalami sebarang kecederaan. Pasukan peronda tiba di tempat kejadian dalam masa beberapa minit merawat mangsa yang cedera, kata beliau.Lapan mangsa dibawa sejauh 56 kilometer ke Hospital Franklin Memorial di Farmington; seorang daripada mereka terpaksa diterbangkan ke Pusat Perubatan Maine di Portland, kata Encik Gerald Cayer, naib presiden eksekutif hospital berkenaan.Dua inspektor dari Lembaga Keselamatan Maine sudah dihantar ke Sugarloaf untuk menyiasat.Pusat peranginan berkata lif ski itu, yang memulakan perkhidmatan pada 1975 dan baru-baru ini lulus pemeriksaan, sudah sampai masa hendak diganti, terutama disebabkan tiupan angin yang selalunya kencang. -- Agensi.

Ahli perniagaan didenda RM13j kes cetak rompak



Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
2010/12/30

Dituduh miliki 6,500 VCD, DVD karaoke di kediaman 

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan didenda RM13 juta oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini, pada 23 Disember lalu selepas didapati bersalah memiliki 6,500 video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD) karaoke cetak rompak membabitkan koleksi lagu artis popular tempatan dan antarabangsa, pada 23 Disember lalu.
Ia sekali gus menjadi jumlah denda tertinggi pernah dikenakan ke atas pesalah cetak rompak sejak Akta Hak Cipta diluluskan Parlimen, seterusnya dikuatkuasakan 23 tahun lalu.
Ahli perniagaan, Tee Min Hock, 35, turut berdepan hukuman dua tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan selepas disabitkan kesalahan itu mengikut Seksyen 41 (1) (d) Akta Hak Cipta 1987. 

Mengikut keterangan fakta kes, VCD dan DVD karaoke cetak rompak itu ditemui disembunyikan di rumah ahli perniagaan terbabit dalam serbuan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) pada 27 September 2007. 

Difahamkan, serbuan dilakukan berdasarkan laporan yang dibuat oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), dengan VCD dan DVD karaoke cetak rompak itu dipercayai mahu digunakan untuk tujuan komersial. 

Timbalan Ketua Pengarah KPDNKK, Iskandar Halim Sulaiman, berkata tindakan itu adalah pengajaran terbaik kepada semua pihak yang tidak menghormati hak cipta, selain cuba mengaut keuntungan dari kegiatan cetak rompak. 
“Walaupun sudah banyak kali kerajaan mengeluarkan amaran berhubung kegiatan haram ini, masih ada pihak tidak mengendahkannya dan cuba mengambil kesempatan. 

“Hukuman dikenakan ke atas ahli perniagaan terbabit dianggap setimpal dengan kesalahan pelanggaran hak cipta dilakukannya, sekali gus menjadi pengajaran kepada mereka yang masih berdegil dan tidak menghormati undang-undang,” katanya. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Anti Cetak Rompak (APAC), berkata mahkamah memandang serius kegiatan pelanggaran hak cipta oleh ahli perniagaan terbabit dengan menetapkan denda minimum RM2,000 bagi setiap salinan lagu. 

“Mengikut Akta Hak Cipta 1987, denda maksimum yang dibenarkan boleh mencecah RM20,000 bagi setiap lagu dan penjara lima tahun jika disabitkan kesalahan. 

“Kita akan bekerjasama dengan RIM dan organisasi lain yang berkaitan dalam usaha memerangi kegiatan cetak rompak ini melalui tindakan serbuan dan pemeriksaan lebih kerap,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RIM, Tan Ngiap Foo, berkata usaha perlu diteruskan bagi membersihkan negara daripada menjadi sarang cetak rompak. 

“Sejak 2001, kerajaan mengharamkan penjualan cakera optik, terutama VCD dan DVD di pasar malam di seluruh negara, namun usaha itu tidak menampakkan kesannya. 

“Ia dikesan semakin berleluasa di Kuala Lumpur, dengan setiap pasar malam dikatakan mempunyai sekurang-kurangnya 30 gerai menjual karya muzik dan filem cetak rompak. Walaupun sudah banyak kali perkara ini diadukan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tiada tindakan diambil,” katanya.

4 terbunuh serangan bom berani mati di Iraq





2010/12/30

MOSUL: Empat anggota polis terkorban akibat serangan dua pengebom berani di sebuah balai polis di Mosul, utara Iraq, semalam. 

Polis turut menembak mati pengebom ketika sebelum berjaya meledakkan bahan letupan yang dibawanya untuk menyerang Lefternan Kolonel, Shamil Ahmed Oglah, yang mengetuai satu operasi membanteras markas al-Qaeda, minggu lalu.
Serangan bom pada awal bagi itu bagaimanapun turut mengorbankan Oglah dan tiga anggota polis, kata sumber Kementerian Dalam Negeri.
Dalam serangan itu, balai polis Qabr al-Binat di Wilayah Mosul turut musnah. - AFP

Zainuddin MZ belum berani

JAKARTA: Perdamaian antara KH Zainuddin MZ dengan artis jelita, Aida Saskia tidak mungkin terjadi dalam masa terdekat ini kerana penceramah agama terkenal itu belum bersedia untuk muncul di depan media dan orang ramai.
Walaupun Zainuddin, atau lebih terkenal dengan gelaran Pendakwah Sejuta Umat sudah berbincang mengenai perkara itu dengan Alamsyah di sebuah restoran di Jakarta baru-baru ini, tidak ada tarikh ditetapkan untuk dia berbuat demikian. Aida, penyanyi dangdut yang terkenal dengan lagu Ayam Jago, mendakwa diperkosa oleh Zainuddin ketika dia berusia 16 tahun.

Alamsyah ketika diwawancara wartawan berkata, Zainuddin dalam pertemuan tempoh hari memohon supaya dia dibenarkan memohon maaf kepada Aida tanpa kehadiran media dan juga orang ramai.

“Saya menolak permintaan itu. Dia mengaku keberatan untuk berdepan dengan media. Saya yakin mentalnya belum kuat,” kata peguam berkenaan.

Aida tidak hadir pada pertemuan berkenaan.

Majlis perdamaian yang diatur sebelum ini tidak dihadiri oleh Zainuddin dengan alasan sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital. - Agensi

Cekup kaki temberang

KUANTAN: Kegiatan licik seorang lelaki yang bijak menyamar serta menipu golongan wanita terutama warga emas berakhir apabila dia ditahan sepasukan anggota polis di Felda Sungai Koyan 1, dekat Kuala Lipis, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa dia dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Raub datang ke rumah mangsa di Kampung Sungai Pasu, dekat Raub untuk membuat taksiran mengenai bantuan yang perlu dihulurkan.

Bagaimanapun, selepas hampir setengah jam berada dalam rumah mangsa, kaki temberang terbabit kemudian meminta mangsa membayar wang pendahuluan RM1,150 untuk tujuan kos penghantaran barang bantuan kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsuddin Wan Osman berkata, selepas meyakinkan mangsa berusia 60 tahun itu, lelaki terbabit menerima wang pendahuluan sambil disaksikan suami dan anak perempuan mangsa yang kebetulan berada di rumah.

Menurutnya, bagaimanapun, lelaki terbabit kemudian berjanji akan datang semula ke rumah mangsa dengan seorang jurugambar untuk merakamkan gambar bersama barang bantuan dijanjikan kepada mangsa.

Katanya, bagaimanapun, selepas seharian menunggu, mangsa bersama suaminya kemudian menyedari dirinya tertipu sebelum anak perempuan mangsa menghubungi JKM untuk membuat pengesahan bantuan itu.


Laporan berhubung kejadian terbabit dibuat mangsa bersama suaminya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Raub, kelmarin.

“Sepasukan anggota polis yang menjalankan gerakan memburu berjaya mengesan suspek terbabit Felda Sungai Koyan 1 di Lipis pada jam 6.30 petang, kelmarin sebelum dibawa ke IPD Raub untuk siasatan.

“Susulan tertangkapnya lelaki terbabit, polis yakin dapat menyelesaikan tiga kes jenayah membabitkan penipuan di daerah ini sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tidak lebih 10 tahun penjara, sebat atau denda atau kedua-duanya sekali.

Wan Samsuddin berkata, polis menasihatkan orang awam terutama warga emas tidak mudah terpedaya pujukan segelintir individu tidak dikenali.