Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan RIDZWAN RAMLI
utusankedah@utusan.com.my
 |
PENDUDUK hanya menyaksikan api yang sedang marak memusnahkan 59 buah rumah masing-masing di Bukit Malut, Langkawi, malam semalam. - BERNAMA
|
LANGKAWI 28 Dis. - Kira-kira 260 penduduk perkampungan nelayan Bukit Malut di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila 59 rumah mereka musnah dalam kebakaran malam tadi.
Perkampungan sama turut mengalami kejadian serupa pada Januari 2005 menyebabkan 140 keluarga hilang tempat tinggal diikuti Februari 2007, melibatkan 1,000 penduduk.
Dalam kejadian terbaru pukul 11.30 malam yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM1 juta itu, kebanyakan mangsa sedang berehat dan tidur di rumah masing-masing.
Api dikatakan merebak dengan cepat ekoran cuaca yang panas dan kering selain angin bertiup agak kencang.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi,
Yaakob Hassan berkata, lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuah dengan 40 anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pukul 11.40 malam.
Menurutnya, turut membantu 30 anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela Langkawi.
"Kita mengambil masa sejam mengawal api daripada merebak ke 243 lagi rumah berdekatan dan berjaya menyelamatkan harta benda dianggarkan bernilai RM4 juta. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, seorang mangsa yang ditemui,
Halimah Kasim berkata, dia dan ahli keluarganya sedang nyenyak tidur ketika kebakaran mula merebak.
Katanya, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar jeritan jirannya bahawa api sedang marak.
"Ketika sedang nyenyak tidur, saya terdengar suara orang menjerit api, api!. Saya terus mengejutkan semua ahli keluarga untuk keluar dari rumah. Syukur kerana kami sekeluarga selamat," katanya.
Seorang lagi mangsa,
Khadijah Mustafa, 32, yang bekerja sebagai peniaga mendakwa kehilangan semua harta benda termasuk peralatan sekolah anak-anak.
"Saya sedang menidurkan anak pukul 11.30 malam. Kemudian saya terhidu bau hangit, pada mulanya saya ingatkan suami saya merokok.
"Tiba-tiba saya dengar jeritan dan nampak api mula menyambar beberapa rumah di luar. Kami terus menyelamatkan dokumen penting dan lari keluar menyelamatkan diri," katanya.