Search This Blog

Tuesday, December 28, 2010

Penjenayah cuba serang anggota polis cedera ditembak



28/12/2010 3:19pm



KUALA LUMPUR 28 Dis. – Seorang penjenayah yang cuba menyerang anggota polis dengan mengundurkan keretanya cedera terkena dua das tembakan, hari ini.
Kejadian yang berlaku pukul 11.15 pagi di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Intan Baiduri, Kepong itu turut mencederakan tiga orang awam selepas dilanggar kenderaan yang dinaiki suspek.
Ia berlaku semasa anggota yang meronda menggunakan motosikal terserempak dengan suspek berhampiran bulatan Batu Caves lalu mengarahkannya berhenti.
Bagaimanapun suspek bertindak memecut sejauh empat kilometer sebelum berhenti di kawasan PPRT tersebut lalu cuba melanggar anggota terbabit sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas.
Anggota itu kemudian melepaskan dua das tembakan yang mengenai suspek. – Utusan

Alat ganti tiruan antara punca kemalangan bas - TWU



28/12/2010 3:17pm

PETALING JAYA 28 Dis. — Alat ganti tiruan kini dikategorikan sebagai antara faktor utama kemalangan melibatkan bas ekspres di negara ini.
Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU), Datuk Zainal Rampak berkata, penggunaan alat ganti seperti itu berleluasa dalam kalangan syarikat bas kerana ia lebih menjimatkan kos selain mudah didapati.
"Benda ini sudah lama berlaku namun tidak banyak pihak meluahkannya pada pihak berkuasa dan kini pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu memberi perhatian serius terhadap isu ini,” katanya kepada pemberita di pejabat TWU di sini hari ini.
Zainal berkata, antara alat ganti tiruan yang digunakan secara meluas ialah cakera brek yang kadangkala diguna semula selain alat ganti yang tidak sesuai dengan model bas mereka.
"Cakera brek tiruan ini, bila ditekan berkali-kali ketika menuruni bukit contohnya, akan menjadi panas dan akhirnya akan menjadi lembut serta gagal berfungsi pada saat kecemasan,” katanya. - Bernama

Pengarah bomba Pulau Pinang didakwa atas tuduhan rasuah



28/12/2010 4:06pm

SUNGAI PETANI 28 Dis. — Pengarah Jabatan Bomba Pulau Pinang, Ahmad Izram Osman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,325 pada Februari tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Izram, 44, dituduh menerima suapan RM3,000 iaitu sebahagian bayaran pendahuluan bagi pembelian kenderaan Toyota Vios nombor pendaftaran PS52 daripada Hasmawi Ahmad dan pertuduhan kedua menerima RM13,325 sebagai baki bayaran pendahuluan kereta itu daripada Hasmawi.
Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di pejabat Telagamas Motors Sdn Bhd, Jalan Petaling, Taman Seri Petaling, Kulim, Kedah pada 17 Februari 2009.
Suapan itu adalah sebagai upah untuk beliau kononnya mendapatkan kontrak kerja pembaikan dan penyelenggaraan pejabat tingkat 2 dan 3, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang bernilai RM150,016 dan sebagai dorongan kerana membantu mendapatkan kontrak kerja pembaikan dan penyelenggaran bilik standby lelaki Ibu Pejabat jabatan itu di Pulau Pinang bernilai RM198,000 kepada syarikat Rohaya Gemilang Enterprise.
Ahmad Izram juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menggunakan kedudukannya menerima untuk diri sendiri wang tunai berjumlah RM16,325 tanpa balasan daripada Hasmawi pada Februari 2009.
Wang itu adalah bayaran pendahuluan untuk pembelian kereta Toyota Vios tersebut.
Hakim Rusita Md Lazim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu. - Bernama

Pertempuran Di Selatan Thai, Seorang Lelaki Maut, 4 Anggota Polis Cedera

Seorang lelaki bersenjata maut, manakala empat anggota polis cedera dalam satu pertempuran di Pattani, selatan Thailand.

Insiden berlaku selepas sekumpulan lelaki menembak pasukan polis yang sedang meronda di Jalan Makrut-Khokpo, jam dua pagi tadi.

Pertempuran turut menyebabkan beberapa penduduk kampung bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Khokpho.

Lelaki yang maut itu dipercayai berusia antara 25 dan 30 tahun.

Ketua Polis Wilayah Pattani, Pichet Pitiserttapan mengarahkan operasi memburu lelaki bersenjata lain yang lari dan dipercayai cedera selepas pertempuran.

Polis turut berjaya menahan seorang suspek yang dikehendaki.

Suspek dikenali sebagai Azmi Yunus, 30 tahun, diberkas bersama senjata api jenis M16 dan 50 butir peluru, di sebuah rumah di Kampung Klongmai.

Dia didakwa mempunyai kaitan dengan beberapa kes tembakan dan membakar sekolah di daerah Yarang, Pattani.

3 Orang Cedera Dirempuh Kereta Pengedar Dadah

Tiga orang termasuk seorang kanak-kanak 9 tahun, cedera selepas dirempuh kereta dipandu seorang pengedar dadah.

Semuanya gara gara si penjenayah mahu lari daripada polis.

Motosikal peronda  polis terserempak dengan suspek berhampiran bulatan batu caves.

Sedar diekori, kereta suspek cuba melanggar anggota polis terbabit  menyebabkan motosikal anggota polis berkenaan terbabas.

Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah suspek.

Suspek yang gagal mengawal keretanya, merempuh mangsa yang berada di gerai berhampiran rumah pangsa PPR Intan Baiduri, Kepong ini.

Kejadian berlaku jam 11.15 pagi tadi.

Polis menemui tujuh paket heroin di dalam poket suspek.

Dua termasuk bayi 6 bulan maut setelah MPV terbalik



28/12/2010 8:07pm

KOTA TINGGI 28 Dis. – Dua termasuk seorang bayi terbunuh setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terbalik berhampiran Felcra Sungai Ara, di sini hari ini.
Mangsa ialah Kamariah Daud, 39 dari Pasir Mas, Kelantan yang maut di tempat kejadian serta anak saudaranya, Nurul Atisha Humairah Aziz, enam bulan, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaruh Dua.
Manakala ibu bayi terbabit, Noorhaliza Ismail, 36, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.
Sementara itu dua lagi penumpang iaitu anak Kamariah, Farah Halim, 5, dan Razali Jusuh, 39, terselamat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Suprintendan Osman Muhammad Sebot berkata, dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu, MPV yang dipandu Razali dalam perjalanan dari Kelantan ke Johor Bahru.
“Setibanya di tempat kejadian, MPV yang dinaiki hilang kawalan lalu memasuki bahu jalan yang curam sejauh 40 meter sebelum terbalik," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Jenazah kedua-dua mangsa kini ditempatkan di unik forensik Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh waris mereka. - Utusan

Rasuah: Warga Indonesia dipenjara sebulan



28/12/2010 2:21pm

SHAH ALAM – Seorang peniaga buah-buahan warga Indonesia dihukum penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan cuba memberi suapan RM400 kepada seorang pegawai penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), 10 hari lepas.
Suapan itu bagi tujuan mendorong pegawai penguat kuasa APMM, Mohd Faudzi Fadzil yang membuat pemeriksaan di atas feri penumpang Boeing Sky King II di perairan Pelabuhan Klang dekat sini tidak mengambil tindakan ke atasnya yang cuba menyeludup keluar kira-kira 4,000 keping daging burger yang menyalahi akta kastam.
Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membuat keputusan itu selepas Erlianto, 40, mengaku salah melakukan perbuatan itu di atas feri berkenaan di antara 10 pagi dan 2.45 petang, 18 Disember lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau yang mana lebih tinggi. – Bernama

Wanita dakwa ditumbuk semasa kemalangan



28/12/2010 4:21pm

KUALA LUMPUR — Seorang wanita mendakwa ditumbuk dan dimarahi seorang lelaki selepas kereta yang dipandunya terlanggar kereta lelaki terbabit di hadapan Ampang Point di sini 20 Disember lalu.
Malah lelaki itu turut mengugut untuk mencederakan anak wanita itu yang merakamkan pergaduhan tersebut, kata Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Michael Chong.
Katanya kejadian berlaku pada tengah hari ketika Wong Lai Yee, 43, yang sedang dalam perjalanan bersama seorang anak perempuan berusia 12 tahun dan seorang anak lelaki berusia 20 tahun, terlanggar bahagian belakang kereta lelaki itu semasa membelok ke satu simpang.
"Selepas perlanggaran itu lelaki berumur 40-an itu memarahi Lai Yee dan mengatakan bahawa dia bersikap kurang ajar lalu menumbuk lengan kanannya serta menendang pintu hadapan sebelah kanan keretanya sehingga kemek,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata Lai Yee, yang tidak berpuas hati dengan perbuatan lelaki itu, telah menyuruh anak lelakinya merakamkan pergaduhan itu namun diugut oleh lelaki tersebut.
Chong berkata, selepas pergaduhan itu lelaki itu melarikan diri manakala Lai Yee membuat laporan polis di balai Ampang Jaya. - Bernama

Isteri didakwa cederakan suaminya



28/12/2010 4:05pm

SHAH ALAM – Seorang isteri kepada anggota polis dan seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan parah kepada suaminya, pada awal bulan lepas.
Tertuduh pertama, Steven Athimoloo, 22, dan tertuduh kedua, Kasturi Saminathan, 27, didakwa bersama-sama sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Balai Polis Rawang, Vimal Raj Gangatharan, 25, iaitu suami Kasturi, dengan menggunakan kayu.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan Hulu Yam, Selayang, Gombak, Selangor, kira-kira pukul 1 pagi, 11 November lepas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan. – Bernama

Rasuah: Jurusolek diperintah bela diri



28/12/2010 4:25pm

PETALING JAYA — Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan seorang jurusolek membela diri terhadap pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM50,000 daripada seorang wanita yang kononnya bagi pihak seorang pegawai kanan polis Selangor.
Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), berjaya membuktikkan kes prima facie terhadap Ong Lai Fong, 37, atau nama Islamnya, Nur Hidayah Jasmin Abdullah, dari Shah Alam itu membela diri.
Lai Fong yang diwakili peguam bela R. Rajakumar dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran makanan segera di Bandar One Utama di sini pada 7 dan 10 Jun 2004.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta RM50,000 daripada seorang ahli perniagaan Yeow Wai Yee yang kononnya bagi pihak Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ketika itu, SAC II Abu Bakar Mustaffa, sebagai dorongan bagi membebaskan suami Wai Yee, Chung Siew Ling, yang ditahan dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Bagi tuduhan kedua, Lai Fong didakwa menerima RM50,000 daripada Wai Yee bagi tujuan yang sama. - Bernama

UPP rampas 14,000kg beras wangi Siam



28/12/2010 5:21pm

TUMPAT – Strategi penyeludup yang menggunakan invois palsu untuk membawa 14,000 kilogram beras wangi Siam ke pantai barat Semenanjung, berjaya dihidu Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubur yang menahan treler membawa muatan itu di Kampung Pek, Machang awal pagi ini.
Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, beras bernilai RM42,000 itu diisi dalam 280 kampit dan dipercayai untuk pasaran di Kuala Lumpur.
"Penyeludup menggunakan invois palsu yang menyatakan beras itu beras Super Malaysia untuk diedarkan kepada peniaga di Pasar Besar Gua Musang, sedangkan ia adalah beras wangi Siam yang dibungkus dalam kampit bercop keluaran tempatan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Mazlan berkata, pihaknya percaya kegiatan itu didalangi sindiket penyeludupan beras dari Thailand yang menggunakan pangkalan haram di sempadan Sungai Golok.
"Beras itu dipercayai diseludup secara berdikit-dikit melalui pangkalan haram sebelum diisi ke dalam treler sebelum dibawa ke sesuatu destinasi,” katanya. – Bernama

“Pengedar dadah” cedera ditembak polis



28/12/2010 5:24pm

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah, cedera di leher akibat ditembak polis dalam satu kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri di Kepong hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu bermula apabila beberapa anggota polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan Batu Caves dengan menaiki tiga buah motosikal melihat kelibat sebuah kereta Kancil yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Kereta itu dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan anggota kita telah meminta lelaki itu untuk memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan, namun dia enggan berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.
Beliau berkata, suspek kemudian cuba melarikan diri dengan memandu keretanya dengan laju menyebabkan kereta suspek turut melanggar kenderaan yang lain.
"Satu daripada tiga buah motosikal peronda kita berjaya mengekori suspek sejauh 4km sehingga ke kawasan perumahan ini (Taman Intan Baiduri).
"Suspek kemudian bertindak melanggar motosikal anggota kita hingga menyebabkan anggota kita terjatuh. Melihat keadaan yang terancam, anggota terpaksa melepaskan dua das tembakan yang mana satu dari tembakan itu kena pada leher suspek,” katanya. – Bernama

Ibu tunggal pecah amanah dipenjara setahun



28/12/2010 6:51pm

KUALA LUMPUR — Seorang ibu kepada tiga anak dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap terhadap tuduhan pecah amanah membabitkan RM41,518.50 milik Persatuan Kumpulan Sumber Keluarga Ibu Kuala Lumpur.
Hakim Datuk Jagjit Singh membuat keputusan itu terhadap Genevieve Christeta Bois, 36, bekas setiausaha persatuan itu, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir pembelaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Genevieve dituduh melakukan pecah amanah melalui 10 keping cek Maybank yang diamanahkan kepadanya di persatuan yang beralamat No 128, Jalan Terasik 8, Bangsar, Brickfields di sini antara 9 Jun 2004 dan 7 Sept 2004.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Jagjit dalam penghakimannya berkata tertuduh, yang merupakan ibu tunggal kepada tiga anak berusia 15, 12 dan 8 tahun, telah menyalahgunakan dana persatuan tersebut untuk kepentingan sendiri bukan untuk tujuan amal. - Bernama

Rogol pelajar: Tiga suspek direman



28/12/2010 8:13pm

KUALA TERENGGANU – Tiga suspek yang didakwa menculik dan merogol seorang pelajar berumur 16 tahun awal pagi semalam di sebuah kampung di Marang, kini ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K. Manoharan berkata, ketiga-tiga suspek itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 376 kerana merogol.
Polis juga menahan abang mangsa yang dipercayai mempunyai masalah dengan ketiga-tiga suspek itu, untuk membantu siasatan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, polis masih menyiasat hubungan seorang pelajar berumur 14 tahun dengan suspek berkenaan dan bagaimanapun remaja itu kemudian dibebaskan.
Manoharan juga berkata, pelajar tersebut turut menyatakan abang mangsa yang berumur 31 tahun berada bersama-sama ketiga-tiga suspek yang berumur antara 20 dan 27 tahun yang berasal dari Pasir Mas dan Bachok, Kelantan dan seorang lagi dari Kuala Lipis, Pahang. – Bernama

Isu syiah: Rakyat Iran dinasihat hormati undang-undang



28/12/2010 6:57pm

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Rakyat Iran yang berada di Malaysia dinasihatkan supaya menghormati undang-undang dan peraturan di negara ini selain melakukan aktiviti yang didasarkan kepada perpaduan dan persaudaraan Islam.
Menurut kenyataan Konsul Kebudayaan Kedutaan Iran di sini, apa yang harus diutamakan ialah prinsip amalan umat Islam berhubung kerjasama, persefahaman dan rundingan.
"Kami yakin prinsip ini lebih penting daripada berbalah mengenai perbezaan yang kecil,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan berikutan bantahan terhadap laporan media mengenai pengikut ajaran Islam tertentu.
Konsul itu berharap kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengikis kesan negatif daripada dakwaan terhadap ajaran itu dan mengelaknya daripada berulang. – Bernama

Penganggur hadapi lima tuduhan merogol gadis



SHAH ALAM - Seorang penganggur yang ditangkap ibu bapa teman wanitanya ketika tidur berpelukan di bilik tidur remaja perempuan itu, didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas lima tuduhan merogol.

Mohd Zainu Man, 20, mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh, yang berasal dari Dabong, Kelantan, didakwa merogol remaja berusia 15 tahun itu kira-kira jam 2 pagi akhir Ogos lalu dan didakwa mengulangi perbuatan itu kira-kira jam 2.30 pagi, awal September lalu.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan itu jam 2 pagi, pada akhir September dan awal Oktober lalu, manakala pertuduhan terakhir menyatakan tertuduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2 pagi, November lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh. Bagaimanapun Wan Mohd Norisham membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Beliau juga menetapkan syarat tambahan untuk tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap Sabtu pertama setiap bulan.

Kes disebut semula 24 Januari ini.

Tertuduh adalah lelaki yang ditangkap ibu mangsa ketika tidur bersama seorang anak perempuannya berusia 15 tahun di rumah mereka, Rabu lalu.

Ketika kejadian, seorang lagi adik mangsa berusia 13 tahun didapati tidur bersama teman lelakinya yang juga remaja bawah umur di dalam bilik yang sama.

200 Hilang Kediaman Dalam Kebakaran Di Langkawi



28/12/2010 12:09:01
Kira-kira 200 mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di perkampungan nelayan Bukit Malut, Pulau Langkawi musnah dijilat api malam tadi. Ia disifatkan kebakaran terburuk di Langkawi tahun ini, kali ini membabitkan kerugian RM1 juta. 

Ini kali ketiga perkampungan ini musnah dalam kebakaran selepas kebakaran besar tahun 2005 dan 2007. Ketua Polis Daerah Langkawi, Suprintendan Ishak Hasan berkata, kebakaran bermula jam 11.40 malam membabitkan 70 rumah. Pasukan bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia digegaskan ke lokasi untuk membantu memadamkan kebakaran sebaik menerima panggilan kecemasan. 

Kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah rumah kosong terletak berhampiran pantai. Api dapat dikawal sejam kemudiannya. Tiada kemalanga
n jiwa dilaporkan

Kebakaran di Langkawi, kerugian lebih RM1 juta


KIRA-KIRA 200 keluarga nelayan tinggal sehelai sepinggang apabila kebakaran memusnahkan kira-kira 70 rumah di perkampungan nelayan Bukit Malut, Langkawi, Kedah, malam tadi. - Foto Hamzah Osman-bharian



Sebanyak 57 buah rumah musnah dan hampir 400 orang hilang tempat tinggal dalam kebakaran di kawasan penempatan Bukit Malut, Mukim Ulu Melaka Langkawi malam tadi.

Kerugian ditaksirkan lebih RM1 juta. Tiada kecederaan dilaporkan.

Ketua balai bomba Langkawi Yaakob Hassan, yang juga pegawai operasi, berkata lima jentera dari balai bomba Jalan Persiaran Putra dan Jalan Ayer Hangat dengan 40 anggota dan dibantu 30 anggota Polis Langkawi, Jabatan Pertahanan Awam serta Rela Langkawi dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan pada pukul 11.39 malam.

Kecekapan anggota bomba dan agensi lain berjaya menyelamatkan 243 buah rumah berdekatan dan harta benda bernilai RM4 juta.

Punca kebakaran masih dalam siasatan, kata Yaakob ketika ditemui di Langkawi hari ini.

Kebakaran itu merupakan kejadian ketiga seumpamanya, selepas yang pertama dan kedua pada 2006 dan 2007 membabitkan lebih 200 buah rumah musnah.

--Bernama
-malaysiakini

Dr Asri dibenar rayu pemindahan kes ajar agama tanpa tauliah



28/12/2010 12:49pm

SHAH ALAM 28 Dis. - Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini memberi kebenaran kepada bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin untuk merayu berhubung isu pemindahan kes mengajar agama Islam tanpa tauliah dari Mahkamah Rendah ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Panel tiga Hakim, Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Aidi Mokhtar dan Datuk Md. Yusup Che Teh sebulat suara membuat keputusan itu dengan alasan ia melibat persoalan undang-undang yang berkaitan dengan kepentingan awam.
Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini menerima permohonan pihak pendakwaan untuk memindah dan membicarakan kes mengajar agama Islam tanpa tauliah dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur ke mahkamah itu. - Utusan

Serangan kapal Gaza: Netanyahu tak mahu minta maaf





2010/12/28

JERUSALEM: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini memberitahu beliau tidak akan memohon maaf kepada kerajaan Turki berikutan serangan tentera Israel terhadap kapal misi Gaza yang mengorbankan sembilan aktivis warga Turki, Mei lalu. 

“Kami tidak akan memohon maaf tapi kami hanya melahirkan rasa kecewa (terhadap serangan itu) kepada Turki," kata pemimpin Israel itu dalam satu temubual stesen televisyen swasta, Channel 10.
“Kami tidak mahu askar kami dipersalahkan sebelum keputusan tribul antarabangsa. Askar kami bertindak mengikut prosedur biasa," katanya.
Beliau berkata, tindakan meminta maaf hanya menimbulkan salah tafsiran seolah-olah negara itu memikul tanggungjawab penuh atas serangan itu. 

Penjelasan Netanyahu menyusul sehari selepas Menteri Luarnya, Avigdor Lieberman mengumumkan bahawa negara Yahuhi itu tidak sekali-kali meminta maaf kepada Turki berhubung serangan komandonya pada 31 Mei lalu. 

“Tiada siapa yang akan meminta maaf kepada kerajaan Turki yang menyokong pengganas. Tiada permohonan maaf daripada Israel," katanya. 

Hubungan Israel-Turki terjejas berikutan kejadian serangan terhadap Mavi Marmara - kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserang komando Israel bagi menghalangnya daripada memasuki wilayah Palestin itu. - AFP

TERLEPAS TALI GANTUNG




JOHOR BAHRU – Empat lelaki Taiwan terlepas hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini memerintah mereka dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah jenis nimetazepam seberat 43,033 gram.

Empat lelaki terbabit adalah Chung Sheng Wen, 37; Chang Yen Min, 36; Chang Yun Sheng, 32; dan Wu Sheng Yuan, 32.

Pada 22 Mac 2009 kira-kira jam 5.30 pagi, mereka didakwa melakukan kesalahan bersama mengedar dadah jenis itu di sebuah kilang beralamat nombor 12, Jalan Angkasa Emas 6, Kawasan Perindustrian Tebrau 2, di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Dakwaan itu merupakan pertuduhan pindaan selepas perbicaraan awal bertarikh 3 April tahun lalu mendapati mereka mengedar sejumlah 1,439 kilogram dadah jenis Eramin 5.

Pesuruhjaya Kehakiman, M.Gunalan membuat keputusan itu selepas pendakwa raya, Umar Saifuddin Jaafar gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes terbabit.

Umar Saifuddin memberitahu mahkamah bahawa kesemua tertuduh yang ditahan di kilang berkenaan terbabit dalam memproses dan mengedar dadah berkenaan.

Namun, peguam bela tertuduh, Naran Singh dan G K Sritharan membidas dengan menyatakan, kesemua tertuduh berada di tingkat atas bangunan dan tidak mengetahui sebarang aktiviti yang berlaku di bahagian bawah kilang ketika serbuan dijalankan.

“Pihak pendakwaan hanya bergantung kepada sesetengah bukti sahaja. Selain itu, tiada bukti khusus yang boleh mengaitkan mereka terlibat secara langsung dengan kegiatan pemprosesan dadah atau mengetahui tentang perkara itu,” katanya.

Jelasnya, pihak pendakwaan juga gagal memanggil saksi utama iaitu pengawal keselamatan dan penyewa bangunan berkenaan untuk memberikan keterangan.

Gunalan dalam penghakimannya pula berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan gagal membuktikan penglibatan tertuduh dalam kes berkenaan.

”Pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa kesemua tertuduh berada di kilang berkenaan tetapi gagal membuktikan bahawa mereka terlibat dengan kegiatan memproses dadah berkenaan.

”Mereka juga gagal membuktikan penglibatan tertuduh secara langsung dalam memiliki peralatan dan bahan bukti yang dirampas daripada premis berkenaan. Oleh itu, kesemua tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Kedai pendingin hawa bertukar ‘panas’



GEORGETOWN - Tindakan pantas 44 anggota bomba dan penyelamat dibantu beberapa pasukan bomba sukarela dari Seri Tanjung, Air Itam dan Kampung Pisang berjaya menyelamatkan sebuah kedai elektrik yang menjual pendingin hawa daripada hangus dalam kebakaran, semalam.

Kejadian yang berlaku jam 5.55 petang semalam mengakibatkan 50 peratus kedai tiga tingkat di Jalan Irving itu musnah dan ratusan set pendingin hawa rosak.

Pegawai Operasi Bomba negeri, Wan Azmi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.58 petang dan sampai di tempat kejadian tiga minit kemudian.

“Sewaktu kami tiba kelihatan asap hitam keluar dari tingkat tiga bangunan berkenaan.

"Namun pemeriksaan yang dibuat mendapati api marak di tingkat bawah sekali.

“Pihak kami juga mengalami sedikit kesulitan untuk kerja-kerja pemadaman kerana terlalu banyak perkakas yang terdapat dalam kedai selain puluhan set pendingin hawa yang diletakkan di pintu belakang premis itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Wan Azmi berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.12 petang dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.35 petang.

“Sewaktu kejadian tiada orang dalam premis berkenaan dan operasi memadamkan kebakaran lancar.

“Punca kejadian dan kerugian masih lagi dalam siasatan unit siasatan kebakaran (FIO). Bagaimanapun, kami bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa,” katanya.

Lelaki maut ditetak empat lelaki



KLANG - Beberapa orang saksi hanya mampu melihat seorang lelaki maut ditikam berhampiran sebuah Restoran Mamak di Persiaran Raja Muda Musa, Pandamaran, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi, mangsa, Wan Zakaria Wan Hamat, 36, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, tangan, belakang badan dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam.

Sebelum kejadian. beberapa saksi yang sedang menjamu selera di restoran berkenaan melihat mangsa yang menunggang motosikal dikejar sebuah kereta dinaiki empat lelaki sebelum motosikal mangsa dihimpit dan terkena kiri sebuah bas yang sedang berhenti di situ.

Mangsa yang ketika itu tidak cedera kemudian cuba melarikan diri ke arah restoran itu, bagaimanapun dikejar salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asis-ten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata, mangsa gagal melarikan diri sebelum ditikam dan maut di tempat kejadian.

“Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kereta Proton Wira bewarna merah dan motosikal mangsa ditemui tidak jauh dari tempat kejadian.

“Senjata yang digunakan dalam kejadian ini tidak ditemui dan usaha mengesan kesemua suspek terbabit sedang giat dilakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohamad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Difahamkam mangsa yang tinggal di Pelabuhan Klang itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Tukang cermin terima padah



KOTA BHARU - Seorang tukang buat cermin yang juga ayah kepada enam anak dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas mengaku bersalah memiliki 330.28 gram dadah (Kanabis), akhir tahun lalu.

Rosdi Mahmood, 37, menghadapi pertuduhan pilihan dalam perbicaraan akhir yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Hussin di hadapan hakim Azman Abdullah.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, Muhammad Hasif Hasan memakai kemeja T berwarna putih dilihat tenang dan tertunduk di kandang pesalah ketika hukuman dijatuhkan namun disahut esak tangis oleh anak, isteri dan ahli keluarganya yang duduk di galeri awam.

Tertuduh yang berasal dari Tumpat, mempunyai anak berusia dua hingga 14 tahun itu dituduh pada 17 Disember 2009 lebih kurang jam 8.20 malam di tepi jalan, kampung Bunohan, Tumpat memiliki dadah berbahaya seberat 330.28 gram jenis kanabis dan dengan itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39 A(2) Akta yang sama.

Hukuman tersebut memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau satu tempoh tidak kurang lima tahun dan ia juga boleh dihukum sebat tidak kurang 10 kali sebatan.

Hakim, Azman Abdullah kemudian mengarahkan hukuman berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian dua anggota polis yang mengadakan rondaan di Kampung Jubakar Darat menuju ke Cabang Empat Tumpat melalui jalan Pengkalan Kubor terserempak sebuah kereta kancil yang dinaiki dua lelaki.

Menyedari dihampiri kereta polis, mereka memecut melarikan diri dan dikejar polis, tetapi berjaya meloloskan diri.

Ketika mengejar, polis terlihat satu bungkusan telah dibaling keluar melalui tingkap kiri kereta kancil tersebut dan akhirnya kedua-duanya berjaya ditahan.

Tertuduh duduk di tempat kerusi pemandu dan hasil siasatan mendapati di dalam bungkusan beg merah yang dicampak keluar itu mengandungi beg plastik hitam dan di dalamnya dua ketulan tumbuhan kering disyaki dadah dibalut aluminium.

Turut dijumpai satu bungkusan lain berisi seketul tumbuhan kering yang dipercayai dadah dan hasil analisis kimia mendapati ianya dadah seberat 330.28 gram jenis kanabis.

Terdahulu dalam rayuan melalui peguam bela, tertuduh memohon dikenakan hukuman penjara dan sebatan paling minima memandangkan kesalahan pertama serta mempunyai anak seramai enam orang yang masih dalam tanggungan.

Bagaimana pun peguam bela tersebut ditegur hakim apabila menyatakan dadah jenis kanabis yang dikaitkan dalam kes tersebut sebagai “soft drug” dan bukan tulen dan merbahaya seperti heroin.

Hakim menjelaskan sekiranya ia dikaitkan dengan dadah ia tetap berbahaya kerana ia boleh menjurus membunuh anak bangsa dan bagi Azman kerajaan juga terpaksa berbelanja besar bagi membanteras kegiatan dadah di negara ini.

Beliau juga menegur sikap tertuduh yang mementingkan diri sendiri berbanding kepentingan ahli keluarga termasuk anak-anak, isteri dan ahli keluarga apabila melibatkan diri dengan dadah.

“Perbuatan awak sangat keji kerana membuka diri terlibat dengan jenayah kerana di Malaysia belum ada lagi kes kebuluran tidak cukup makan tetapi jika memilih cara cepat memiliki duit inilah jadinya.

“Tuhan masih memberi peluang kepada awak sekali lagi kerana kes ini tidak dikenakan hukuman mati dan tiada siapa yang boleh insafkan awak kecuali dirinya sendiri, fikirlah tentang keluarga,” katanya.

Ribut salji landa Eropah






 


Keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan salji tebal dan cuaca sejuk melanda di beberapa negara di Eropah seterusnya menjejaskan jadual perjalanan penerbangan dan lalu lintas di beberapa kawasan.

Musim sejuk yang melanda Eropah kali ini dikatakan paling terburuk dalam tempoh satu abad dan suhu dicatatkan menurun sehingga 0 darjah Celcius.

Ribut salji tersebut turut mendatangkan masalah kepada penduduk di benua Eropah tetapi keadaan cuaca yang tidak menentu itu mula kembali seperti biasa selepas sambutan Hari Natal pada 25 Disember lalu.

Ibu dua anak dihukum penjara 8 bulan simpan kereta curi milik kakitangan MBSA


 

KLANG - Ibu kepada dua anak dijel lapan bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyimpan kereta curi milik kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Rosida Abdullah, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Afifah Mamat@Yusof sebaik saja pertuduhan dibacakan terhadapnya semalam.

Afifah memerintahkan hukuman penjara itu bermula pada tarikh tangkapan iaitu 17 Oktober lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.40 pagi, 17 Oktober lalu, di Jalan Johor Jaya, Seri Alam, Johor, dengan curang menyimpan harta curi, iaitu sebuah Perdana berwarna hitam, milik Nurul Akmal Ismail, 27, yang boleh dipercayai harta itu adalah miliknya.

Rosida didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan dan tidak kurang lima tahun atau didenda.

Terdahulu, Rosida, dalam rayuannya, memohon mahkamah memberikan hukuman penjara memandangkan dia tidak mampu membayar denda.

Selain itu, dia turut meminta mahkamah mempertimbangkan kesempitan hidup yang dialaminya memandangkan suaminya meringkuk dalam penjara dan anak dijaga ibunya di kampung.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hashim, dalam hujahnya, memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Lima lagi famili dijadikan hamba dek hutang




KUALA LUMPUR: Sekurang- kurangnya lima keluarga lagi dipercayai dikurung dan dijadikan hamba di Bahau, Negeri Sembilan, kerana tidak mampu lunas hutang.
Ini didedahkan seorang mangsa yang berjaya melarikan diri bersama isteri dan tiga anaknya lalu membuat aduan kepada Yayasan Astivaaram 19 Disember lalu.Ketua Biro Pengaduan Awam Yayasan Astivaaram, Encik Sri Sanjeevan, berkata perbuatan itu dipercayai sudah lama berlaku, terutama membabitkan mangsa kaum India yang bekerja sebagai buruh ladang.'Biasanya gaji buruh estet rendah dan mereka terpaksa meminjam wang tauke untuk meneruskan hidup. Difahamkan kebanyakan mangsa tahu pinjaman itu dikenakan kadar bunga tinggi.'Namun apa pilihan yang mereka ada bagi menyara isteri dan anak-anak. Bila hutang bertambah dan tidak mampu dibayar, mereka akhirnya diperangkap menjadi hamba,' katanya kepada Berita Harian Malaysia dalam satu laporan semalam.Menurutnya, kebanyakan mangsa dikurung bersama isteri dan anak mereka di lokasi tertentu sebelum dipaksa bekerja sebagai buruh ladang tanpa gaji.Ada mangsa turut 'dijual' kepada kontraktor lain bagi menebus hutang, sekali gus menguntungkan majikan asal mereka, ujarnya.'Difahamkan, ada anak- anak itu didera. Ini perbuatan tidak berperikemanusiaan dan menentang hak asasi manusia. Tidak sangka dalam keadaan moden hari ini masih wujud kegiatan perhambaan di Malaysia,' kata Encik Sanjeevan.Beliau menggesa pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan polis, mengambil tindakan segera membanteras kegiatan itu.

Syiok sabung ayam hingga diserbu polis


-- Foto UTUSAN MALAYSIA


KUALA LUMPUR: Orang-orang ini sebahagian daripada 17 kaki judi laga ayam yang ditahan pihak berkuasa dalam sebuah gelanggang ayam dalam satu serbuan baru-baru ini.
Polis menyerbu pusat judi laga ayam itu, yang terletak di Batu 23, Sungai Lui, Hulu Langat, dekat sini, pada Sabtu lalu. 

Dua polis ditahan kerana disyaki pukul peniaga dalam tahanan




KUALA LUMPUR: Dua anggota polis ditahan kelmarin kerana dipercayai memukul seorang lelaki yang ditahan semasa sekatan jalan raya sebab disyaki membawa dadah Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata dua konstabel berumur 25 dan 27 tahun Balai Polis Kota Damansara itu ditahan selepas dikenal pasti oleh lelaki berkenaan, Encik Chia Buang Hing, kelmarin.'Dalam kawad cam itu, enam orang telah dicam dan daripada jumlah itu dua telah ditahan,' katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.Datuk Tun Hisan berkata sebelum itu satu pasukan khas dibentuk bagi menyiasat laporan yang dibuat Encik Chia, seorang ahli perniagaan berumur 34 tahun, berhubung kejadian tersebut.'Polis melihat kes ini sebagai serius dan wujudnya penyalahgunaan kuasa di kalangan anggota polis, dan tiada sebarang diskriminasi jika mereka bersalah,' katanya.Bagaimanapun, Datuk Tun Hisan berkata siasatan mendapati terdapat elemen palsu dalam laporan polis lelaki tersebut.'Selepas itu, satu laporan telah dibuat oleh pasukan itu tentang laporan lelaki tersebut yang dipercayai mempunyai elemen palsu.'Seramai 20 orang telah direkodkan percakapannya, termasuk doktor yang menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis yang ditahan serta orang awam,' katanya.Beliau berkata penahanan kededua anggota polis yang telah berkhidmat selama empat tahun itu bukan bermakna mereka bersalah, tetapi bagi membantu siasatan. Mereka akan ditahan reman mulai semalam.Kes itu disiasat di bawah Kanun Keseksaan.Encik Chia mendakwa Sabtu lalu bahawa beliau dipukul beberapa anggota polis ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Petaling Jaya Utara kerana disyaki membawa dadah.Beliau mendakwa juga bahawa wangnya sebanyak RM13,000 ($5,476) telah diambil anggota polis tersebut. -- Bernama.

Lebih lima puluh buah rumah musnah dalam kebakaran



28/12/2010 12:39pm

LANGKAWI 28 Dis. – Sebanyak 57 buah rumah musnah dan hampir 400 orang hilang tempat tinggal dalam kebakaran di kawasan penempatan Bukit Malut, Mukim Ulu Melaka Langkawi di sini malam tadi.
Kerugian ditaksirkan lebih RM1 juta. Tiada kecederaan dilaporkan.
Ketua balai bomba Langkawi, Yaakob Hassan, yang juga pegawai operasi, berkata, lima jentera dari balai bomba Jalan Persiaran Putra dan Jalan Ayer Hangat dengan 40 anggota dan dibantu 30 anggota Polis Langkawi, Jabatan Pertahanan Awam serta Rela Langkawi dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan pada pukul 11.39 malam.
Kecekapan anggota bomba dan agensi lain berjaya menyelamatkan 243 buah rumah berdekatan dan harta benda bernilai RM4 juta.
Punca kebakaran masih dalam siasatan, kata Yaakob ketika ditemui di sini hari ini.
Kebakaran itu merupakan kejadian ketiga seumpamanya di kawasan itu, selepas yang pertama dan kedua pada 2006 dan 2007 membabitkan lebih 200 buah rumah musnah. – Bernama

Isteri, penarik kereta dituduh belasah suami sampai koma



28/12/2010 12:52pm

SHAH ALAM 28 Dis. – Isteri seorang anggota polis dan penarik kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membelasah suaminya sehingga koma selama sebulan pada pertengahan November lalu.
S. Kasturi, 27, dan A. Stevan, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lans Koperal G. Vimal Raj di tempat letak kereta Hulu Yam, Selayang dekat sini pada pukul 1 pagi, 11 November lalu.
Kedua-duanya dibenarkan dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM7,000 dengan seorang penjamin dan kes itu akan disebut semula pada 28 Januari tahun depan. - Utusan

Empat bersaudara maut lepas kereta rempuh pokok


PERGI BERSAMA: Jenazah empat mangsa nahas di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah dikebumikan dalam satu liang lahad. Semua mangsa termasuk dalam parit lepas kereta yang dinaiki mereka merempuh pokok dan remuk. -- Foto-foto HARIAN METRO

PASIR MAS (Kelantan): Hajat empat bersaudara menghadiri kelas tuisyen bersama di bandar ini tidak kesampaian apabila mereka maut setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh pokok di Kilometer 7, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, dekat sini, malam kelmarin.
Kesemua mangsa, termasuk pemandu kereta, Encik Amir Ashraf Abdul Aziz, 22 tahun, tercampak ke dalam parit besar.Tiga daripada mereka - Afik Izzuddin Abdul Aziz, 17 tahun, adiknya, Mohd Irshaduddin, 13 tahun, dan sepupu mereka, Mohd Ashraf Ibrahim, 11 tahun - mati di tempat kejadian akibat lemas.Seorang lagi mangsa, Nurul Qistina Hanafi, 11 tahun, meninggal dunia di Hospital Pasir Mas akibat cedera parah di kepala.Seorang lagi, Encik Amir Ashraf kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital itu dalam keadaan kritikal.Kejadian berlaku sekitar 8 malam ketika kereta itu dalam perjalanan dari rumah Encik Amir Ashraf di Simpang Empat Tok Uban ke bandar Pasir Mas bagi menghantar empat sepupunya itu ke sebuah pusat tuisyen.Ketua Polis Daerah, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Haliluddin Rahim, berkata kereta Peugoet 406 itu dikatakan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok di kiri jalan.Akibat rempuhan kuat, kesemua mangsa tercampak keluar dan jatuh ke dalam parit yang mempunyai air kira-kira 30 sentimeter dalam.Cik Roshimaliza Mazlan, 22 tahun, ketika ditemui di bilik mayat hospital itu berkata kesemua sepupunya itu dalam perjalanan ke pusat tuisyen di bandar Pasir Mas kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka.'Saya difahamkan mereka keluar dari rumah agak lewat, iaitu kira-kira pukul 7.55 malam dan kelas tuisyen itu bermula pukul 8 malam. Amir mungkin memandu kereta dalam keadaan laju kerana hendak mengejar masa,' katanya.Jenazah empat mangsa itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tok Uban di sini, semalam. -- Utusan Malaysia.

Ribut salji lumpuhkan Amerika


DILANDA CUACA BURUK: Ribut salji yang melanda New York menyebabkan perkhidmatan pengangkutan terjejas semasa musim cuti Krismas. -- Foto AFP

Berjuta-juta penduduk terkandas apabila semua sistem pengangkutan terjejas


BOSTON (Amerika Syarikat): Berjuta-juta penduduk setempat terkandas apabila sistem pengangkutan udara, darat dan kereta api terjejas selepas ribut salji buruk melanda di serata wilayah timur Amerika Syarikat, semalam.
Sedang para penumpang dari Eropah mula pulang ke rumah masing-masing apabila penerbangan kembali pulih pada hari Krismas Sabtu lalu, kini tiba giliran penduduk Amerika pula berdepan dengan cuaca buruk.Cuaca buruk itu melanda ketika berjuta-juta penduduk Amerika sibuk melawat anggota keluarga atau melancong sempena musim cuti Krismas.Syarikat kereta api Amerika, Amtrak, berkata ia telah menghentikan perkhidmatan di antara New York dengan Boston, menyebabkan beribu-ribu penumpang terkandas.'Ekoran ribut salji buruk yang menjejas sebahagian besar wilayah pantai timur dan buat masa ini menjejas kawasan New York dan New England, Amtrak telah membatalkan perkhidmatan di antara Boston dengan New York malam ini, 26 Disember, tanpa menyediakan perkhidmatan pengangkutan alternatif,' kata syarikat itu.Jurucakap Amtrak, Encik Cliff Cole, berkata perkhidmatan beberapa laluan sibuk akan disambung semula semalam.'Perkhidmatan kereta api akan disediakan setiap jam tetapi bilangan perkhidmatan tidak sebanyak seperti hari-hari biasa,' kata Encik Cole.Ribut salji di wilayah pantai timur itu telah menyebabkan lebih 2,000 penerbangan dibatalkan.Kawasan pesisir dari New England hingga bandar New York dijangka diselimuti salji sedalam 50 sentimeter.Di New York, sekitar 2,400 pekerja pembersihan telah dikerahkan untuk menyodok salji daripada jalan-jalan raya, kata Datuk Bandar, Encik Michael Bloomberg.Boston, di Massachuesetts, pula dilanda sehingga 55 sentimeter salji semalam, dengan angin sekencang 72 kilometer sejam.Hampir 60,000 penduduk Massachusetts dilaporkan telah terputus bekalan elektrik lewat kelmarin selepas dilanda ribu salji.Gabenor Encik Deval Patrick telah mengisytiharkan keadaan darurat di wilayah itu dengan memberi amaran ribut salji itu dijangka menyebabkan paras penglihatan rendah, angin kencang, bekalan elektrik terputus dan keadaan banjir di kawasan pesisir.Secara keseluruhan, enam wilayah, termasuk Massachusetts dan Maine, telah mengisytiharkan keadaan darurat.Ais dan salji sudah pun menghalang lalu lintas di darat di beberapa negeri di tenggara Amerika, termasuk kawasan pergunungan di utara Georgia di mana salji setebal 15 sentimeter dilaporkan hujung minggu lalu.Asheville di North Carolina mengalami salji tebal 17 sentimeter dan jabatan pengangkutan negeri itu melaporkan sebahagian lebuh raya diliputi salji dan ais.Delta Air Lines berkata, pihaknya telah membatalkan 500 penerbangan di seluruh negara disebabkan ribut.Pembatalan itu termasuk 300 daripada 800 penerbangan dari hab Delta di Atlanta, yang teruk terjejas akibat dilanda ribut. -- AFP, Reuters.

Paut pada pelampung dengan tiga penumpang lain untuk selamat


KEJADIAN NGERI: Cik Teo dan Encik Lim tidak dapat melupakan kejadian bot karam di Mersing. Mereka selamat selepas berpaut pada pelampung dan kotak ais. -- Foto TAUFIK A. KADER
SINGAPURA

Dua penumpang Singapura cerita saat bot kayu yang dinaiki tenggelam dekat Mersing

Oleh
Azahar Mohd

Dari Mersing, Johor: CIK Xenn Teo, 25 tahun, terpaksa berpaut pada pelampung dengan tiga penumpang lain apabila bot kayu yang membawa 29 penumpang dari sebuah kelong di Pulau Sibu dekat Mersing, Johor, terbalik kirakira 300 meter dari jeti Tanjung Leman kelmarin.
Teman lelakinya pula, Encik Daniel Lim, 35 tahun, sempat berpaut pada kotak ais sebelum diselamatkan tidak lama kemudian.'Kami dalam perjalanan dalam keadaan air pasang apabila air mula masuk ke dalam bot kayu itu.'Tekong bot kemudian mengarahkan kami supaya bergerak ke depan bot kayu itu apabila bot itu mula senget dan dimasuki air. Kami menuruti arahannya dan bergerak ke depan.'Namun pada saat itu lebih banyak air laut mula mengalir masuk dan secara tiba-tiba bot kayu itu senget ke belakang dan tiba-tiba terbalik,' ujar Cik Teo semasa ditemui di Hospital Mersing petang semalam.Beliau adalah antara 19 pelancong Singapura, sembilan pelancong Malaysia dan seorang warga China yang pergi bercuti di sebuah kelong di Pulau Sibu.Bot yang melebihi dua kali ganda muatan yang dibenarkan itu terbalik selepas dipukul ombak di perairan Mersing, 300 meter dari Jeti Tanjung Leman sekitar 1.30 tengah hari.Cik Teo ke sana bersama Encik Lim dan sembilan anggota keluarganya bagi merai cuti Krismas.Mereka ke kelong itu pada pagi Sabtu dan dijadualkan pulang ke jeti Tanjung Leman tengah hari kelmarin.'Apabila bot itu karam naluri pertama yang berdetik ialah saya tidak ingin mati pada waktu itu.'Walaupun saya tidak pandai berenang, saya kuatkan diri untuk keluar dari tingkap dan melompat keluar sebelum cepat-cepat berpaut pada pelampung dengan tiga penumpang lain,' cerita Cik Teo, seorang ekesekutif pentadbiran.Menurut Cik Teo, ini kali pertama beliau pergi ke kelong untuk bercuti.'Daripada pemerhatian saya, memang sah bot itu agak sarat dengan penumpang,' kata beliau.Menurut Encik Lim, seorang eksekutif khidmat pelanggan, sewaktu kejadian cuaca agak baik tetapi keadaan laut agak bergelora.'Apabila bot itu karam, saya cuba mencari apa yang tercapai untuk terapung. Mujur saya dapat berpaut pada kotak ais. Selepas terapung-apung saya hampir berputus asa, mujur saya berjaya diselamatkan kemudian,' ujarnya.Dua daripada sembilan anggota keluarganya maut dalam kejadian itu.Mereka ialah sepupunya, Encik Chua Lim Khoon, 45 tahun, dan Cik Low Lee Jun, 33 tahun.Cik Teo dan Encik Lim mengaku mereka tidak memakai jaket keselamatan apabila bot kayu itu terbalik.Ketika diminta menyingkap pengalaman mereka yang hampir terlepas dari maut, Encik Lim berkata beliau amat bersyukur dapat diberi peluang kedua.'Kejadian ini sememangnya mengajar saya untuk lebih menghargai kehidupan. Sudah pasti saya tidak akan mensia-siakannya,' kata beliau.

Dihukum jel dan denda dek 'kawan meninggal'

SINGAPURA




SEORANG penganggur dihukum penjara satu setengah bulan dan denda $4,500 setelah mengaku bersalah menipu penduduk di kawasan Bukit Timah.
Mahkamah diberitahu bahawa Vijayakumar Ramalingam, 47 tahun, memberitahu penduduk di situ dia pekerja sebuah syarikat mengangkat sampah dan tiada kutipan sampah esoknya kerana rakan sekerjanya, seorang pemandu trak, meninggal dunia.Vijayakumar mengutip $622 daripada penduduk di Lorong Pisang Batu, Binjai Park, Namly Hill, Fifth Avenue dan Hua Guan Avenue kononnya sebagai derma untuk kawannya itu.Namun mangsa berasa curiga apabila trak mengangkat sampah masih menjalankan tugas seperti biasa esok. Apabila menghubungi syarikat itu, mereka diberitahu tiada pekerja meninggal dunia.Polis dihubungi dan Vijayakumar ditangkap.Polis turut merampas wang tunai $170, sebatang pen dan buku nota daripada Vijayakumar.

Lelaki parah dipercayai dibelasah 15 remaja

SINGAPURA



Oleh
Nurul Dayana Simangoon

SEORANG lelaki berusia 23 tahun kini dalam keadaan kritikal di wad Unit Jagaan Rapi (ICU) selepas dipercayai dibelasah seramai 15 remaja pada malam Krismas di Orchard Road.
Lelaki tersebut, Encik Muhammad Fazwan Abdul Hamid, yang dikatakan seorang anggota perkhidmatan negara (NS) polis, cedera teruk di kepala dan kini dirawat di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).Polis ketika dihubungi semalam berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.50 malam, Ahad lalu, mengenai kejadian yang berlaku berdekatan Takashimaya itu.'Polis diberitahu seorang lelaki berusia 23 tahun dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat masuk utama Takashimaya.'Setibanya polis di sana, mangsa yang cedera di kepala, dikejarkan ke TTSH,' kata seorang jurucakap polis.Namun, polis berkata mereka tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa cedera teruk akibat perkelahian atau kegiatan samseng.Bahkan menurut polis lagi, sejauh ini tiada sesiapa diberkas berhubung dengan kes itu dan polis masih menyiasat.Seorang kenalan mangsa, yang mengenalkan dirinya sebagai Encik Fizrani Kareem dan mendakwa seorang saudara mangsa, memberitahu Berita Harian menerusi e-mel bahawa mangsa telah dibelasah oleh 15 remaja.Encik Fizrani mendakwa, mangsa dibelasah sekitar 11 malam pada Ahad lalu di Orchard Road berdekatan Takashimaya.'Saya berharap pihak media membuat liputan tentang penglibatan samseng remaja yang bermaharaja lela tanpa belas kasihan terhadap si mangsa,' ujar Encik Fizrani dalam e-melnya.Kunjungan BH ke TTSH petang semalam mendapati ada sekitar 15 anggota keluarga dan sanak saudara Encik Muhammad Fazwan.Salah seorang sepupu mangsa yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata mangsa masih dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan ke hospital Ahad lalu.'Ibu Fazwan masih kebingungan dan trauma akibat tragedi yang menimpa anaknya itu.'Beliau sukar menerima hakikat dan lebih banyak menangis sejak Fazwan dimasukkan ke ICU,' ujarnya.Ibu Fazwan, yang kelihatan sebak enggan ditemuramah.