Search This Blog

Monday, December 27, 2010

Ribut salji yang melanda Brookly


PEJALAN kaki terpaksa meredah laluan yang diliputi salji teruk susulan ribut salji yang melanda Brooklyn borough, New York, hari ini. - Foto REUTERS


4 ditahan bantu siasatan kes bunuh sub-kontraktor





2010/12/27

KUANTAN: Polis menahan empat individu, dua daripadanya wanita dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran, bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang sub-kontraktor di Lorong Sekilau 34, Bukit Sekilau di sini, Khamis lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata empat individu itu termasuk seorang lelaki berusia 25 tahun dari Felda Lepar Hilir Dua, di sini, yang menemui mayat mangsa, Chan Kin Wai, 45, dengan kesan tetakan di rumahnya.
"Seorang lagi lelaki berusia 29 tahun berasal dari Kampung Masjid, Pekan selain dua wanita masing-masing berusia 25 tahun dipercayai pelacur," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata mangsa dipercayai mendapatkan khidmat seks sebelum kejadian namun seorang daripada wanita terbabit bertindak mencuri wang miliknya menyebabkan mangsa memukul wanita itu. 

Katanya wanita itu kemudian menghubungi seorang lelaki dikenali sebagai "Black" yang kemudian tiba lalu menyerang mangsa dengan parang. 

Polis kini sedang mengesan Black atau nama sebenarnya, Mohamad Husin Mat Sib, 25, beralamat di 204-17-2, Sri Saujana Condo, Jalan Bandar Dalam, Sentul Kuala Lumpur bagi membantu siasatan, kata Narenasagaran. 

Polis mendapati Black mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kes jenayah memiliki dan penyalahgunaan dadah serta rogol. - BERNAMA

Tiga nelayan hilang bot karam di muara Kuala Dungun





2010/12/27

KUALA TERENGGANU: Sekurang-kurangnya enam nelayan selamat dan tiga lagi dipercayai masih hilang dalam kejadian bot karam di muara Kuala Dungun, petang tadi. 

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 petang dan usaha mencari masih diteruskan.

Khidmat gugur janin

SIASAT...pegawai KKM menyoal siasat kakitangan klinik  yang diperiksa.
SIASAT...pegawai KKM menyoal siasat kakitangan klinik yang diperiksa.

KUALA LUMPUR: Sebuah klinik swasta di ibu kota disiasat pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas disyaki menjalankan kegiatan menggugurkan janin kepada mana-mana gadis terlanjur dengan kadar bayaran RM2,000.
Sumber berkata, klinik berkenaan yang dimiliki seorang doktor berusia 50-an disiasat selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan dijalankan di klinik itu.

Difahamkan, hasil maklumat mendapati klinik berkenaan menjadi tumpuan wanita yang ingin menggugurkan kandungan.

“Susulan maklumat itu, seramai lebih 10 pegawai KKM memeriksa klinik berkenaan kira-kira jam 5 petang kelmarin selepas maklumat mengatakan operasi terbabit kerap diadakan pada lewat petang hingga waktu malam.

“Ketika serbuan dilakukan, seramai lebih 10 orang awam sedang menunggu di tingkat atas klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum pegawai KKM segera memeriksa wad klinik itu yang terletak di tingkat bawah,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan itu menemui satu wad khas yang dilengkapi dengan bilik pembedahan dan katil.


“Bagaimanapun ketika serbuan dilakukan, tiada pesakit ditemui di dalam wad bersalin, sekali gus menimbulkan seribu tanda tanya berhubung operasi klinik berkenaan.

“Sepatutnya klinik bersalin itu mempunyai sekurang-kurangnya beberapa pesakit di kalangan wanita yang baru melahirkan bayi sekiranya ia betul-betul menawarkan perkhidmatan berkenaan. Bagaimanapun agak ganjil apabila wad bersalin itu kosong,” katanya.
Susulan itu, pegawai KKM bertindak memeriksa fail pesakit yang pernah bersalin di klinik berkenaan dan mendapati rekod yang disimpan tidak teratur.

“Sewaktu pemeriksaan dilakukan doktor lelaki yang disoal siasat diarahkan supaya membuka semua bilik di dalam klinik berkenaan untuk pemeriksaan. “Pemeriksaan hampir dua jam itu turut membabitkan lokasi tempat ubat-ubatan klinik berkenaan disimpan selain mengambil keterangan daripada beberapa jururawat,” katanya.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati klinik berkenaan melakukan kesalahan serius apabila ubat-ubatan yang disimpan di kaunter tingkat atas tidak direkodkan seperti disyaratkan KKM.

“Susulan itu pihak KKM bertindak merampas ubat-ubatan yang tidak direkodkan berkenaan selain memberi peringatan kepada doktor berkenaan supaya mematuhi arahan diberikan terutama penyelenggaraan ubat-ubatan,” katanya.

Pihak KKM memandang serius sebarang aktiviti pengguguran bayi secara haram terutama jika ia membabitkan golongan doktor bertauliah yang didaftarkan dengan KKM selain tidak teragak-agak menggantung lesen amalan perubatan mana-mana doktor yang melakukan kesalahan.

Anak ahli politik dirakam ketika mandi di resort




ALOR GAJAH: Anak perempuan seorang ahli politik Johor mendakwa menjadi mangsa rakaman video telefon bimbit seorang lelaki tidak dikenali ketika beliau mandi di bilik air di sebuah resort di Alor Gajah, Melaka, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata mangsa berusia 22 tahun itu berkata kejadian berlaku 12 tengah hari di sebuah banglo penginapan di resort tersebut.Menurut wanita itu, yang mahu dikenali hanya sebagai Ika, beliau ternampak tangan suspek memegang telefon bimbit dari atas tingkap kecil di bilik air lalu beliau menjerit ketakutan dan suspek melarikan diri.Ika bercuti di resort itu bersama keluarganya, seramai 37 orang, sejak Selasa lalu. ACP Raja Shahrom enggan mengulas mengenai identiti ibu bapanya, yang dikatakan ahli politik.Ika sekarang bimbang seandainya gambar atau video klip yang dirakam suspek disebar menerusi telefon bimbit atau Internet. -- BHM, Harian Metro.

Pelbagai peralatan pejabat kerajaan Melaka hilang semasa pindah

ENSEL PINTU DIBAWA PINDAH?: Semasa membuat pemeriksaan di Wisma Persekutuan Datuk Seri Mohd Ali antara lain mendapati ensel sebuah pintu ditanggalkan. -- Foto NST

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka telah menghentikan pemindahan peralatan pejabat dari Wisma Persekutuan di Jalan Hang Tuah di sini selepas banyak peralatan hilang.Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, telah mengarahkan Jabatan Audit menyiasat perkara itu selepas beliau mendapati peralatan seperti pintu, kipas ekzos, papan siling, wayar elektrik dan bal lampu dialihkan semasa perpindahan.Beliau mengetahui perkara itu semasa membuat pemeriksaan ke atas operasi pemindahan 14 pejabat jabatan kerajaan negeri ke lokasi baru di Menara Persekutuan di Ayer Keroh.Datuk Seri Mohd Ali, yang sangat marah, naik dari tingkat satu hingga sembilan menggunakan tangga bagi memeriksa semua pejabat. Beliau mendapati cuma dua pejabat, salah satu daripadanya Jabatan Audit, masih utuh peralatannya.'Saya telah memanggil semua pengarah jabatan untuk bermesyuarat bagi memastikan apa yang sebenarnya berlaku. Saya mahu tahu sama ada peralatan itu dicuri atau diambil oleh jabatan.'Jika barangan itu diambil atas arahan jabatan, saya mahu tahu ke mana peralatan itu dibawa. Ini kerana pejabat baru sudah dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan asas. Saya sangsi barangan yang hilang itu dibawa ke sana.'Malah wayar elektrik pun dipindahkan. Saya tak fikir bangunan baru akan menggunakan wayar, bal lampu, papan siling dan pintu lama,' kata beliau, yang ditukil akhbar New Straits Times kelmarin.'Pemindahan akan dihentikan serta-merta bagi siasatan. Saya telah meminta senarai barangan yang hilang disiapkan oleh Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Jabatan Kerja Raya dan syarikat keselamatan yang mengawal bangunan ini.'Firma keselamatan sudah diminta menyiapkan satu senarai barangan yang dibawa keluar oleh kontraktor. Jika mereka tak ada rekod, kami akan gantikan perkhidmatan mereka dengan syarikat lain,' tambah Datuk Seri Ali.Menyusuli insiden itu, beliau mengarahkan Majlis Perbadanan Melaka Bersejarah memasang ka- mera pemantau di pintu masuk, dan Pengurus Besar CMI, Encik Baharam Mohd, membuat laporan polis. -- NST.

‘Mana anak aku...’

REMUK...penyiasat trafik IPD Pasir Mas memeriksa kereta yang terbabit dalam kemalangan.
REMUK...penyiasat trafik IPD Pasir Mas memeriksa kereta yang terbabit dalam kemalangan.



BUKTI...Asyrizulkifli menunjukkan kawasan kemalangan.
BUKTI...Asyrizulkifli menunjukkan kawasan kemalangan.


PASIR MAS: “Mana anak aku...mana anak aku!“ jerit Abdul Aziz Abdullah, 42, sebaik tiba di lokasi kemalangan yang mengorbankan empat nyawa termasuk dua anaknya selepas sebuah kereta dinaiki lima sepupu terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kampung Kenjong, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, lima sepupu terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Cabang Tiga Chetok, Jalan Tok Uban, dekat sini, untuk ke pusat tuisyen di bandar ini menaiki kereta Peugeot 406 dipandu Amir Asyraf Abd Aziz, 22.

Saksi, Asyrizulkifli Che Hasan, 22, berkata sejurus kemalangan hanya Amir Asyraf ditemui penduduk kampung dalam keadaan cedera parah selepas tercampak tidak jauh daripada kenderaan dipandunya dan tidak lama kemudian Abd Aziz tiba di lokasi kejadian. Menurutnya, selepas menyertai penduduk kampung mencari empat penumpang kereta itu, bapa terbabit hanya mampu meraung sebaik melihat anak sulungnya, Afiq Izwan 17, ditemui sudah meninggal dunia di bawah kereta dinaikinya.

Katanya, lebih memilukan, anak kedua Abdul Aziz, Irsyanudin, 13, meninggal dunia dalam parit di tempat kejadian bersama sepupunya, Isyraf Ibrahim, 11. “Sebaik melihat mayat kedua-dua anaknya, saya lihat dia (Abdul Aziz) tidak dapat mengawal perasaan lalu meraung sebelum ditenangkan orang ramai yang membantu mengeluarkan mangsa,” kata Asyrizulkifli.

Seorang lagi mangsa, Nur Qistina Hanafi, 11, yang parah di kepala, ditemui dalam jarak kira-kira dua meter daripada Irsyanudin dan Isyraf, namun dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas. Asyrizulkifli berkata, sebelum kejadian, kenderaan dinaiki lima bersaudara itu memotong Proton Iswara dipandunya ketika dia dalam perjalanan ke majlis kenduri saudaranya di pekan ini.

“Dalam tempoh hanya beberapa saat kemudian, saya melihat kereta Peugeot berwarna merah itu terbabas dan merempuh sebatang pokok sebelum terjunam ke kawasan parit di kawasan itu.


“Ketika itu saya lihat kereta itu cuba memotong kenderaan lain, namun gagal disebabkan ada kenderaan lain di depan sebelum ia melencong jauh sehingga terbabas dan melanggar pokok,” katanya.

Pelajar jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu berkata, dia kemudian memberhentikan kenderaannya di bahu jalan dan beberapa penduduk kampung berhampiran juga tiba di tempat kejadian memberi pertolongan.
“Kami menyuluh ke dalam kereta untuk melihat keadaan mangsa, tetapi tidak ada sesiapa di dalamnya dan kemudian menemui pemandu kereta itu (Amir Asyraf) tercampak di luar kereta.

“Saya kenal Amir kerana dia rakan sekampung. Pada mulanya, saya dan penduduk kampung yang membantu menyangka hanya dia yang terbabit dalam kemalangan, rupa-rupanya ada empat lagi mangsa lain menyebabkan usaha mengesan mereka dilakukan di kawasan sekitar itu,” katanya.

Asyrizulkifli berkata, dia menghubungi datuk Amir Asyraf dan tidak lama kemudian Abdul Aziz tiba di lokasi.

“Kami berusaha mencari mangsa lain dan menemui mangsa ketiga (Afiq Izwan) terhempap di bawah kereta, dua (Irsyanudin dan Isyraf) di dalam parit manakala seorang lagi (Qistina), kira-kira dua meter dari situ,” katanya.

Difahamkan, Afiq Izwan belajar di Sekolah Tahfiz Repek, Rantau Panjang, Irsyanudin pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Uban, manakala Qistina dan Isyraf murid Sekolah Kebangsaan Chetok, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, Peugoet 406 itu dipercayai terbabas sebelum merempuh pokok di kiri jalan menghala ke Pasir Mas.

Empat ditahan bantu siasatan kes bunuh



27/12/2010 7:36pm

KUANTAN – Polis menahan empat individu, dua daripadanya wanita dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran, bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang subkontraktor di Lorong Sekilau 34, Bukit Sekilau di sini, Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC T. Narenasagaran berkata, empat individu itu termasuk seorang lelaki berusia 25 tahun dari Felda Lepar Hilir Dua, di sini, yang menemui mayat mangsa, Chan Kin Wai, 45, dengan kesan tetakan di rumahnya.
"Seorang lagi lelaki berusia 29 tahun berasal dari Kampung Masjid, Pekan selain dua wanita masing-masing berusia 25 tahun dipercayai pelacur,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa dipercayai mendapatkan khidmat seks sebelum kejadian, namun seorang daripada wanita terbabit bertindak mencuri wang miliknya menyebabkan mangsa memukul wanita itu.
Katanya, wanita itu kemudian menghubungi seorang lelaki dikenali sebagai “Black” yang kemudian tiba lalu menyerang mangsa dengan parang.
Polis kini sedang mengesan Black atau nama sebenarnya, Mohamad Husin Mat Sib, 25, beralamat di 204-17-2, Sri Saujana Condo, Jalan Bandar Dalam, Sentul Kuala Lumpur bagi membantu siasatan, kata Narenasagaran. – Bernama

6 ditahan: Geng samun “Riki” ditumpas



27/12/2010 7:38pm

KUALA LUMPUR — Satu geng samun yang dipercayai aktif di sekitar Ampang di sini sejak enam bulan lalu dikenali sebagai geng “Riki” tumpas selepas polis menahan lima lelaki dan seorang wanita serta merampas pelbagai jenis barangan bernilai RM100,000 Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata kejayaan polis memberkas anggota kumpulan itu yang berusia antara 31 dan 39 tahun adalah hasil maklumat orang ramai.
"Ekoran daripada tangkapan yang dijalankan ke atas mereka, polis akhirnya berjaya menyelesaikan 27 kes samun dan pecah rumah di sekitar daerah Ampang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata serbuan ke atas sebuah rumah di Pandah Indah di sini dilakukan setelah polis berjaya menahan seorang lelaki yang melakukan kes samun ke atas seorang lelaki warga Taiwan di sebuah Kondominium di Jalan Bukit Pandan Bestari 5, Bukit Permai, pada pukul 5.30 petang.
"Akibat kejadian samun tersebut lelaki Taiwan itu cedera di bahagian dada dan lengan akibat ditikam oleh lelaki yang menyamun tersebut.
"Ekoran daripada tangkapan yang dibuat ke atas lelaki yang menyamun tersebut juga, satu pasukan polis kemudian telah menyerbu sebuah kondominium dan berjaya menangkap dua lelaki dan seorang wanita warga Thailand,” kata Amiruddin.
Menurutnya ekoran daripada tangkapan tersebut, polis kemudian membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Pandan Cahaya, Ampang dan berjaya menangkap dua lelaki.
Beliau berkata kesemua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan orang ketika melakukan rompakan. - Bernama

Tudung wanita diseludup dirampas



27/12/2010 9:07pm

TUMPAT – Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubur, dekat sini, merampas 710 helai tudung wanita bernilai RM17,750 yang dipercayai diseludup dari Thailand di sebuah pangkalan haram Kampung Pulau Tengkorak, Jumaat lepas lepas.
Pegawai Pemerintah pasukan itu, DSP Tan Cheng San berkata, kejayaan itu hasil intipan anggotanya berikutan maklumat daripada orang ramai di kawasan tebing Sungai Golok, kira-kira pukul 8 malam.
Katanya, barangan rampasan tanpa pemilik itu dijumpai ditinggalkan penyeludup yang menggunakan bot enjin galah untuk membawa barang tersebut dari negara jiran untuk di seludup dan dipasarkan ke negara ini.
"Kesemua barang tersebut diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini. – Bernama

Rasuah: Ketua jabatan, pengurus kanan ditahan SPRM



27/12/2010 5:01pm

GEORGETOWN 27 Dis. — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini menahan seorang ketua jabatan berpangkat pengarah dan seorang pengurus kanan sebuah perbadanan kerajaan negeri kerana dipercayai terlibat dalam rasuah.
Pengarahnya, Datuk Latifah Md. Yatim berkata, pihaknya menahan pengarah berusia 44 tahun yang bertugas di Seberang Perai itu pada kira-kira pukul 10 pagi di pejabat SPRM negeri.
“Pengurus kanan itu ditahan pada pukul 1 petang di sebuah balai polis di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pengarah yang telah berkhidmat sebagai penjawat awam sejak 20 tahun itu ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang kontraktor pada tahun 2008 dan 2009.
"Dia yang bertugas di negeri ini sejak 2008 disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM16,325 sebagai deposit sebuah kenderaan daripada seorang kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembaikkan dan penyelenggaraan pejabatnya,” katanya.
Katanya, pengarah itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah esok, katanya.
Beliau berkata, manakala pengurus kanan berusia 53 tahun itu disyaki telah memalsukan dokumen pada Ogos 2008.
"Dia yang diberi tanggungjawab menguruskan bahagian kewangan melalui satu memo telah membayar tuntutan yang dibuat oleh sebuah syarikat berhubung dengan pembekalan alatan modul komunikasi bernilai RM5,700 untuk dipasang dalam sistem perakam waktu sedangkan alatan tersebut tidak dibekalkan,” katanya.
Beliau berkata, pengurus kanan itu juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown di sini esok. - Bernama

Parti Cinta Malaysia mahu polis siasat ahlinya diugut



27/12/2010 7:33pm

GEORGETOWN 27 Dis. — Parti Cinta Malaysia (PCM) mahu polis menyiasat segera kejadian pemimpin-pemimpin parti itu yang diugut oleh pihak tertentu sejak setahun lepas.
Setiausaha Politik PCM, Dr. Chin Wee Loon berkata, ia bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku terhadap anggota parti berkenaan.
"Saya harap pihak polis dapat siasat segera kerana ramai anggota diugut, kami juga mahu keselamatan anggota PCM terjamin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kes terbaru membabitkan Ketua Pasukan Tindakan Khas PCM, Tham Weng Fatt yang kelmarin didatangi dua lelaki berusia 40-an memberi amaran kepadanya supaya tidak lagi mencampuri urusan pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang atau bakal menerima nasib buruk jika masih berdegil.
Weng Fatt yang merupakan bekas Ketua Pasukan Bertindak DAP Pulau Pinang kemudian membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani di sini. - Bernama

Bayi lelaki baru lahir ditemui atas tangki air perumahan



27/12/2010 7:59pm



TUARAN 27 Dis. – Seorang bayi lelaki yang dibungkus dengan kain ditemui di atas sebuah tangki air di Blok 15, Perumahan Sri Rugading di sini awal pagi ini.
Bayi seberat 1.9 kilogram itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 4 pagi dalam keadaan berdarah.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Suhaimi Wiro berkata, bayi yang masih bertali pusat itu kini selamat dan dirawat di Hospital Tuaran. – Utusan

Makmal proses dadah kena serbu



MUAR – Sebuah rumah di Jalan Daud yang dipercayai menjadi makmal memproses dadah diserbu sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar pada jam 5.30 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, dalam serbuan tersebut, polis berjaya menahan dua lelaki di dalam bilik ketika sedang leka memproses dadah.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 25 dan 27 tahun itu sangat dikehendaki kerana bergiat aktif dalam kegiatan mencuri kereta dan menjual dadah di sekitar Muar dan luar daerah Muar.

“Hasil pemeriksaan di seluruh rumah suspek, polis menjumpai dan merampas 20 plastik lut sinar pelbagai warna yang disyaki serbuk ecstasy, enam plastik lutsinar mengandungi 2500 pil ecstasy, satu plastik mengandungi dadah jenis ketamin, satu plastik lutsinar mengandungi dadah jenis sya bu dan satu botol kaca berwarna gelap berisi bahan cecair disyaki untuk memproses dadah.

“Pada masa yang sama, polis turut menjumpai botol kaca berwarna cerah berisi bahan cecair untuk memproses dadah, 13 botol plastik pewarna pelbagai warna, tiga alat sealer, wang tunai RM1,409 dan pengepit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di sini, kelmarin.

Katanya, kereta Proton Perdana warna hitam juga dijumpai dipercayai kereta curi di Larkin, Johor yang dilaporkan hilang pada 2008.

“Nilai rampasan kesemua dadah ini dianggarkan lebih daripada RM70,000.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut seksyen Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dua remaja maut, seorang cedera parah apabila basikal dirempuh sebuah van



KEADAAN basikal yang dirempuh van dalam kemalangan di depan Kompleks Penghulu Sungai Balang, Jalan Muar-Batu Pahat, awal pagi tadi. Dua remaja maut, manakala tujuh yang lain cedera termasuk seorang cedera parah ketika mereka berkonvoi ke Taman Tema Wet World Batu Pahat. - Foto Junita Mat Rasid 



JOHOR BAHARU - Dua remaja lelaki maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera parah apabila basikal yang dinaiki dirempuh sebuah van dalam kejadian di Jalan Muar-Batu Pahat, berhadapan Kompleks Penghulu Sungai Balang, dekat Muar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Mohamad Nasir Ramli berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi tadi ketika ketiga-tiga mangsa bersama enam rakan yang lain menaiki basikal secara berkumpulan untuk ke Taman Tema Wet World, di Batu Pahat.

"Mangsa yang terbunuh adalah Mohd Sufi Johari, 15, dan Mohd Amirul Nizam Awang Nudin, 17. Mohd Sufi maut di tempat kejadian manakala Mohd Amirul Nizam meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) kira-kira pukul 11 pagi tadi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohamad Nasir berkata, mangsa yang cedera parah dan belum dikenal pasti identitinya pula dilaporkan dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital yang sama.

Beliau berkata, enam lagi kumpulan remaja itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Menurut Mohamad Nasir, siasatan awal mempercayai van dari arah Parit Jawa, Muar menuju ke Batu Pahat itu merempuh kelompok basikal berkenaan yang menyebabkan sebahagian mangsa terpelanting bersama basikal mereka.

Rempuhan yang kuat itu, katanya turut menyebabkan cermin hadapan van berkenaan pecah.

"Pemandu van berkenaan yang berusia 24 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Rahman Remi di 06-9526222 bagi membantu siasatan.

Pesakit dakwa teraniaya



ALOR GAJAH - Sudahlah terlantar di hospital sejak dua bulan lalu, seorang mangsa kemalangan jalan raya mendakwa dirinya seolah-olah menjadi bahan uji kaji pihak hospital.

Ini kerana, selepas membelanjakan lebih RM15,000 untuk pembedahan, kecederaannya dikatakan semakin teruk, malah pihak hospital meminta sejumlah lagi wang untuk melakukan pembedahan kedua selepas pembedahan pertama tidak berkesan.

Mohd Adzan Nor Hashim, 33, mengalami kecederaan parah di bahagian kaki selepas motosikal ditungganginya terbabit dengan kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dekat bulatan berhampiran Dataran Keris, Alor Gajah, kira-kira dua bulan lalu.

Akibat kemalangan itu, juruteknik di A'Famosa Resort itu patah kedua belah kaki serta tangan kiri.

Difahamkan, peha kanan Mohd Adzan patah empat.

Menurut Mohd Adzan, kira-kira RM4,500 sudah dikeluarkan peguam yang mengambil kes kemalangannya untuk rawatan di hospital, selain beberapa siri rawatan menjadikan jumlahnya mencecah RM15,000.

“Peha kanan saya sebelum ini memang sudah patah dan pernah dimasukkan besi selepas terlibat dalam kemalangan masa sekolah dulu.

"Bagaimanapun, selepas dua bulan besi dimasukkan kedua-dua belah kaki, masih tiada sebarang kesan, malah sakitnya semakin menjadi-jadi," katanya.

Menurutnya, dia sudah memaklumkan kepada doktor yang merawat berkaitan kesakitan itu, pihak hospital menetapkan tarikh temujanji 3 Januari depan.

Bagaimanapun, katanya, tarikh itu hanya untuk pemeriksaan dan bukan melakukan pembedahan.

“Doktor beritahu besi yang dipasang masa kemalangan dahulu perlu digantikan dengan lain dan memerlukan dia membayar wang sebanyak RM6,700 lagi untuk pembedahan kali kedua.

“Bukan saja saya terpaksa tanggung sakit belum pulih, tetapi selepas berbelanja beribu ringgit, belum nampak saya akan pulih, tetapi hospital mahu wang lagi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya dekat Taman Jati Indah, Simpang Ampat, di sini,

Mohd Adzan yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak hospital seolah-olah menjadikannya sebagai bahan uji kaji.

Menurutnya, doktor yang merawat menyatakan dia perlu mengambil tulang punggung untuk disambungkan di tulang peha.

"Sudahlah rawatan diberikan tidak berkesan, sekarang tulang punggung pula nak diambil menambahkan lagi kesakitan sedia ada.

"Kesakitan saya alami semakin teruk hingga saya terpaksa mengambil ubat tahan sakit setiap hari sebelum tidur," katanya.

Mohd Adzan berkata, sekiranya dia tahu hospital terbabit tidak mampu merawat kecederaannya, adalah lebih baik dia mendapatkan rawatan di hospital lain saja.

Dua anggota polis ditahan bantu siasat kes pukul, ambil duit


 



PETALING JAYA – Dua polis konstabel ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang lelaki dia dipukul beberapa anggota polis Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, mereka berusia 25 dan 27 tahun.

Katanya, penahanan itu tidak bermakna mereka sudah bersalah, tetapi untuk siasatan lanjut bagi memastikan sama ada mereka terbabit dalam kes itu atau tidak.

“Kita (polis) memandang serius perkara ini kerana ia boleh mencemarkan imej pasukan keselamatan.

“Oleh itu, kami menubuhkan pasukan khas daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi menyiasat kes ini,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.

Menurutnya, pasukan itu ditubuhkan Khamis lalu, iaitu hari yang sama laporan dibuat mangsa.

Tun Hisan berkata, polis juga membuat laporan berhubung aduan itu kerana dipercayai palsu.

Jumlah keseluruhan laporan dibuat adalah enam, termasuk laporan tangkapan.

Katanya, siasatan dijalankan secara adil bagi memastikan sama ada anggota polis itu terbabit dalam salah laku berdasarkan bukti, bukan emosi.

“Kita merakamkan keterangan 20 orang termasuk pegawai, anggota polis, doktor dan orang awam bagi membantu siasatan.

“Polis turut menjalankan kawad cam terhadap enam individu dan mangsa mengenal pasti beberapa individu kelmarin,” katanya.

Tun Hisan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 303 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut esok (hari ini).

Terdahulu, kereta mangsa ditahan anggota polis yang sedang mengadakan sekatan jalan raya di Petaling Jaya Utara kerana dipercayai membawa dadah.

Mangsa mendakwa polis mengambil duitnya sebanyak RM13,000 sebelum dia dibawa ke Balai Polis Dataran Sunway dan di situ, dia mendakwa dipukul, ditendang dan dipijak oleh tujuh anggota polis sehingga dia muntah darah dan cedera.

Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan sebelum dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk direman. Dia dibebaskan Rabu lalu.

SPRM Pulau Pinang tahan ketua jabatan dan pengurusan kanan disyaki rasuah



GEORGE TOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini menahan seorang ketua jabatan berpangkat pengarah dan seorang pengurus kanan sebuah perbadanan kerajaan negeri kerana dipercayai terlibat dalam rasuah.

Pengarahnya Datuk Latifah Md Yatim berkata, pihaknya menahan pengarah berusia 44 tahun yang bertugas di Seberang Perai itu pada kira-kira pukul 10 pagi di pejabat SPRM negeri.

Pengurus kanan itu ditahan pada pukul 1 petang di sebuah balai polis di sini, katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengarah yang telah berkhidmat sebagai penjawat awam sejak 20 tahun itu ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang kontraktor pada tahun 2008 dan 2009.

"Dia yang bertugas di negeri ini sejak 2008 disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM16,325 sebagai deposit sebuah kenderaan daripada seorang kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembaikkan dan penyelenggaraan pejabatnya," katanya.
Latifah berkata, pengarah berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di Kulim, Kedah.

Katanya pengarah itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dia akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah esok, katanya.

Beliau berkata, manakala pengurus kanan berusia 53 tahun itu disyaki telah memalsukan dokumen pada Ogos 2008.

"Dia yang diberi tanggungjawab menguruskan bahagian kewangan melalui satu memo telah membayar tuntutan yang dibuat oleh sebuah syarikat berhubung dengan pembekalan alatan modul komunikasi bernilai RM5,700 untuk dipasang dalam sistem perakam waktu sedangkan alatan tersebut tidak dibekalkan," katanya.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Beliau berkata, pengurus kanan itu juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen George Town di sini esok. - Bernama

45 orang terkorban dalam serangan bom



KHAR - Seorang pengebom berani mati wanita yang berpakaian purdah melontarkan bom tangan, kemudian meletupkan diri sendiri di tengah-tengah orang ramai di sebuah pusat bantuan, menyebabkan sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh di Pakistan, kelmarin.

Polis percaya bahawa serangan itu adalah yang pertama oleh militan Islam menghantar seorang wanita untuk melaksanakan serangan berani mati di Pakistan, di mana perang yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan menentang al-Qaida dan militan Taliban terus berlaku walaupun Islamabad sudah beberapa kali mencapai kemenangan mereka di sempadan.

Polis Pakistan melaporkan wanita itu berlari ke arah sekumpulan 300 orang sedang berbaris di luar pusat pengagihan makanan di bandar Khar, melontarkan dua bom tangan sebelum meletupkan dirinya.

Serangan di Khar, bandar utama di daerah Bajur, barat laut Pakistan, berlaku sehari selepas 150 militan melancarkan serangan terhadap lima pos keselamatan di wilayah Mohmand, timur laut Afghanistan.

Pertempuran berdarah itu menyebabkan seramai 11 anggota tentera dan 24 anggota militan terkorban, satu pertempuran luar biasa itu.

Kuarters balai polis terbakar



BATU 9, CHERAS – Empat sekeluarga terselamat dari kebakaran yang dipercayai bermula di bilik belakang di Tingkat 2, Kuarters Balai Polis Batu, 9 Cheras, Hulu Langat yang berlaku kira-kira jam 8.15 pagi semalam.

Ketika kejadian difahamkan empat sekeluarga berkenaan yang terdiri dari ibu dan tiga anaknya sedang tidur di bilik utama manakala ayahnya keluar menjalankan tugas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob berkata, kejadian hanya disedari anak perempuan mangsa yang terbau asap dari bilik belakang sebelum memaklumkan kepada ibunya.

“Menyedari bilik berkenaan dipenuhi asap, ibu bersama anak segera keluar dari rumah.

“Jiran mangsa yang menyedari kejadian tersebut bertindak menghubungi kebomba,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Ahmad Syauqi Abdullah berkata, bomba menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 8.31 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

“Seramai 22 anggota dengan empat jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran berjaya dikawal 20 minit kemudian. Siasatan terperinci akan dijalankan,” katanya.
sinarharian

Mati mengejut dalam hotel 



MERSING - Seorang warga emas rakyat Indonesia ditemui mati dipercayai akibat sakit tua di sebuah hotel terkemuka, di Jalan Abu Bakar, di sini, kelmarin.

Mangsa, Hasrun Said, 61, berasal dari Sulawesi, Indonesia dipercayai sedang bercuti dan menyewa seorang diri di bilik hotel berkenaan ditemui rakannya yang mahu mengajak mangsa bersarapan pagi.

Menurut rakannya yang enggan dikenali itu, dia membuka pintu bilik mangsa yang tidak berkunci setelah beberapa ketukan tiada jawapan.

Sejurus membuka pintu, dia terkejut melihat mangsa terbaring di bawah katil dan terus memberitahu pihak pengurusan hotel.

Seorang saksi, Husin Ali, 56, berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada pihak pengurusan hotel memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, sebaik tiba di hotel, dia dimaklumkan seorang penghuni menyewa bilik hotel itu meninggal dunia secara mengejut.

“Saya membantu pemilik hotel itu menghubungi Hospital Mersing supaya menghantar pegawainya memeriksa mangsa. Seorang pembantu hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia sejak malam lagi.

“Sebaik saja mendapat pengesahan itu, saya terus membuat laporan di Balai Polis Mersing berhubung kejadian itu,” katanya.

Husin berkata, dia mengenali mangsa lebih tiga tahun lalu dan kali terakhir menemuinya minggu lalu ketika mangsa menginap di hotel sama.

“Kali terakhir saya berjumpanya minggu lalu. Waktu itu, keadaannya baik saja,” katanya ketika ditemui di Unit forensik Hospital Mersing, pagi semalam.

Menurutnya, mangsa dipercayai mendapat taraf penduduk tetap dan belum berkeluarga dan bekerja di sebuah kelong di Pulau Sibu di perairan daerah ini lebih 30 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden, Mohd Nor Rasid berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia disebabkan sakit tua dan tiada unsur jenayah selepas pemeriksaan dibuat.

Mayat seorang lagi mangsa bot karam di Tanjung Leman ditemui



MERSING - Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menemui satu lagi mayat dalam kejadian bot karam berhampiran Jeti Tanjung Leman di sini petang semalam, menjadikan jumlah yang terkorban empat orang setakat ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Mohd Nor Rashid berkata, mayat Tor Soon Kwee, 41, ditemui sekitar pukul 7 pagi kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

"Mayat lelaki warga Singapura itu dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha mencari seorang lagi penumpang, Eng Kian Tek, 44, masih diteruskan sekalipun pasukan mencari dan menyelamat berhadapan dengan keadaan angin kuat dan ombak besar.

Gerakan itu disertai kira-kira 80 anggota dari Polis Diraja Malaysia, Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, bot kayu berukuran 40 meter panjang dan 10 meter lebar yang membawa 29 penumpang terbalik dan karam dipukul ombak kuat ketika dalam perjalanan dari sebuah kelong memancing ikan berhampiran Pulau Sibu menuju ke Jeti Tanjung Leman, di sini.

Kesemua penumpang yang terdiri daripada sembilan rakyat tempatan, 19 rakyat Singapura dan seorang warga China pergi ke kelong terbabit pada pagi Sabtu untuk bercuti.

Tiga penumpang yang ditemui maut semalam ialah seorang wanita dikenali Low Lee Jun, 33, dan dua lelaki iaitu Chua Lim Khoon, 45, dan Adrian Tan, 67.

Kesemuanya warga Singapura.

Ekoran kejadian itu, polis menahan reman seorang tekong berusia 67 tahun dan pengusaha kelong berumur 58 tahun bagi membantu siasatan.

Lori masuk longkang



IPOH - Baru seminggu negara dikejutkan dengan kemalangan membabitkan bas persiaran yang mengorbankan 27 nyawa di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands, Jumaat lalu seorang pemandu nyaris maut selepas lori muatan tar dipandunya terbalik kira-kira lapan kilometer dari lokasi kemalangan ngeri itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, sebuah lori bermuatan tar terbalik dan terbabas dalam longkang di kiri jalan selepas kenderaan itu hilang kawalan ketika mengelak sebuah kereta datang dari arah bertentangan berhampiran Kilometer 7 Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands.

Lori berkenaan secara kebetulan terbalik berhampiran dua papan tanda ‘Awas, Selekoh Berbahaya di Hadapan’ dan ‘Kurangkan Laju 50 KM/J’.

Difahamkan, lori itu dalam perjalanan dari arah Simpang Pulai ke Cameron Highlands sebelum sebuah kereta dari arah bertentangan tiba-tiba memotong kenderaan lain tanpa menyedari sebuah lori berada di laluan bertentangannya.

Pemandu lori itu terpaksa mengelak dari merempuh kereta berkenaan menyebabkan ia terbabas dan terbalik ke longkang.

Bagaimanapun, pemandu itu bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun semua tayar lori berada di atas.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Pada 20 Disember lalu, sebuah bas persiaran jenis high decker yang dinaiki 35 pelancong Thailand dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands hilang kawalan dan terbabas menyebabkan 27 penumpang termasuk pemandu bas serta pemandu pelancong maut.

Nahas itu menyebabkan separuh daripada bas hancur dan mayat tercampak serta bergelimpangan di tengah jalan raya. Kemalangan itu adalah yang terburuk dalam sejarah negara.

Polis buru tiga lelaki bersenjata



BAYAN BARU- Tiga lelaki warga Indonesia bersenjatakan pistol dan parang dipercayai terbabit dengan satu kejadian samun di sebuah rumah di sini membabitkan kerugian kira-kira RM10,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin berkata, polis kini sedang memburu ketiga-tiga lelaki berkenaan yang memecah masuk rumah Mohd Fadzil Mohd Rani,34, petang kelmarin.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang ketika mangsa berada dalam rumah seorang diri dan didatangi ketiga-tiga lelaki itu yang memecah masuk rumahnya.

“Mangsa diacu pistol dan pisau dan diikat kaki dan tangan serta matanya ditutup dengan menggunakan kain tudung serta mulutnya ditampal dengan pita pelekat,” katanya.

Fah Hin berkata, siasatan awal mendapati mangsa disamun tiga lelaki yang dipercayai warga Indonesia bersenjatakan pisau dan pistolyang melarikan diri bersama wang tunai, dompet dan sebuah telefon bimbit.

“Kerugian dianggarkan RM10,000,” katanya kepada media kelmarin.

Menurutnya, mangsa berjaya melepaskan diri daripada ikatan kaki dan tangan selepas tiga jam dan meminta jirannya menghubungi polis.

Semasa kejadian, ahli keluarga mangsa tiada di rumah kerana menghadiri kenduri kahwin di Ipoh, Perak.

“Polis akan mengesan suspek menerusi penemuan cap jari di tempat kejadian,” katanya.

Jadi mangsa urusan jual beli tanah



CHANGLUN - Seorang pesara sebuah syarikat swastamendakwa menjadi mangsa dalam sebuah urusan jual beli tanah yang melibatkan beberapa individu lain yang hanya dikenali dalam satu tempoh yang pendek.

Beliau yang ingin dikenali sebagai A M Abdullah, 61, mendakwa dia menjadi mangsa dalam urusan jual beli tanah itu sekitar Mei tahun ini yang melibatkan bekas pegawai yang bekerja di syarikat yang sama dengannya pada suatu ketika dahulu dengan seorang tuan tanah di daerah ini.

Menurutnya, bagaimanapun hubunganny dengan bekas pegawai itu tidaklah begitu rapat pada ketika mereka bekerja di syarikat yang sama memandangkan status jawatan mereka yang berbeza.

“Namun pada Mei tahun ini, saya didatangi oleh bekas pegawai berkenaan yang kebetulan pada masa itu baru sahaja beberapa hari dibebaskan daripada pertuduhan rasuah di ibu kota dan kemudiannya dia tinggal selama hampir dua minggu bersama saya di sini.

“Dijadikan cerita, selama tempoh dua minggu dia di sini, dia mula berkenalan dengan dua orang jiran saya dan kemudiannya dia dikenalkan dengan seorang tuan tanah di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, dia dimaklumkan bahawa bekas pegawai berkenaan ingin membuat urusan jual beli tanah namun tiada dokumen lengkap yang disediakan dan tiada tandatangan pemilik tanah pada dokumen itu.

Menurutnya, bagaimanapun bekas pegawai berkenaan telah menghilangkan diri selepas memberikan wang pendahuluan RM1,000 kepadanya untuk diberikan kepada pemilik tanah berkenaan.

“Namun saya tidak menyerahkan wang berkenaan memandangkan tiada dokumen lengkap yang ditandatangani kerana ia hanya akan mendatangkan masalah kepada saya kelak.

“Malah sebelum itu saya juga difahamkan bahawa bekas pegawai itu telah pergi untuk membuat kaveat tanah berkenaan,” katanya.

Dia berkata, selepas beberapa bulan, pada November lalu, dia bersama tuan tanah dan dua orang jiran yang memperkenalkan tuan tanah kepada bekas pegawai itu pergi ke rumah bekas pegawai berkenaan untuk memohon supaya dia membatalkan kaveat tanah berkenaan.

Bagaimanapun apa yang dikesalkan apabila kehadiran kami mendapat layanan yang kurang baik dan beberapa minggu selepas itu saya dimaklumkan oleh jiran saya di Sungai Petani (rumah keluarga di sana) bahawa mereka menerima salinan laporan polis yang dibuat oleh bekas pegawai itu yang cuba mendakwanya sebagai penipu dalam urusan jual beli tanah di Changlun itu.

“Saya percaya tujuannya untuk memalukan saya kepada jiran-jiran dan berasa kesal apabila dituduh sedemikian dan menjadi mangsa keadaan sedangkan saya tidak ada kaitan dengan urusan jual beli tanah itu,” katanya.

Rumah pusaka hangus



SUNGAI SIPUT (U) – Sebuah rumah pusaka milik 12 beradik di Felda Lasah, di sini, ranap dalam satu kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

Bagaimanapun, ketika kejadian tiada sesiapa berada di rumah itu kerana kesemua mereka tinggal di tempat lain.

Mangsa, Syed Mohamad Syed Chear, 33, berkata, dia dimaklumkan oleh jiran mengenai kebakaran itu dan bergegas ke tempat kejadian.

:Menurutnya, kemungkinan kejadian itu terjadi akibat litar pintas dan difahamkan api merebak bermula dari bahagian belakang rumah.

:"Semua barang di dalam rumah musnah dan anggaran kerugian yang kami tanggung berjumlah RM150,000 termasuk tujuh komputer bernilai RM20,000,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Hadir sama meninjau lokasi kejadian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam, dan Penyelaras Barisan Nasional (BN) Sungai Siput, Datuk R Ganesan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Sungai Siput, Mohamad Idris, mengesahkan kejadian kebakaran itu.

Menurutnya, beliau menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 5.41 petang dan sampai di tempat kejadian 15 minit kemudian.

"Seramai tujuh anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba Sungai Siput dikejarkan ke lokasi kebakaran.

"Api dapat dikawal 20 minit dan berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 8 malam sementara punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

:Ketua Kampung Felda Lasah, Ibrahim Ahmad Noor berkata, beliau akan merujuk kejadian itu kepada pihak berkenaan supaya bantuan dapat dihulurkan kepada keluarga mangsa.

Hilang di Perak, jumpa di Kulim




KULIM - Sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dilaporkan hilang di Kampung Sungai Aceh, Setiawan Perak pada 23 Disember lalu ditemui semula.

Mengikut laporan dibuat oleh pemilik kereta, dia meletakkan keretanya di parkir tempat dia bekerja jam 8 pagi pada 22 Disember. Selepas tamat waktu bekerja kira-kira jam 7 petang, mangsa mendapati keretanya tiada.

Pada 24 Disember kira-kira jam 1.50 pagi, unit peronda MPV 2 dari Balai Polis Trafik Kulim, yang sedang membuat rondaan pencegahan jenayah telah menemui sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan. Dari pemeriksaan dibuat mendapati kereta itu mengalami kerosakan di bahagian kanannya setelah merempuh pembahagi jalan.

Jurucakap polis berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan terhadap nombor kenderaan dan mendapati ia merupakan kereta yang dilaporkan hilang pada 23 Disember lalu.

“Kereta itu ditinggalkan dalam keadaan pintu terbuka dan lampu menyala. Pemeriksaan awal mendapati tayar di bahagian kanannya rosak dan tidak boleh bergerak.

“Polis melakukan pemeriksaan dan mendapati penjenayah terlibat telah menukar nombor pendaftaran bagi mengaburi pandangan polis.

“Kereta itu telah ditunda ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut,” katanya.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian berkata, penjenayah telah melarikan diri setelah terlibat dalam kemalangan dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil berwarna putih.

Polis yang dibantu oleh Ahli Pertubuhan Prihatin dan Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) cuba mencari kereta terlibat di sekitar Kulim tetapi gagal menemuinya.

Empat lelaki positif dadah ditahan




SUNGAI PETANI - Seramai empat lelaki ditahan kerana positif dadah dalam Operasi Res-Q Bersepadu Antara Lain-Lain Jabatan yang diadakan Rabu lalu membabitkan pelbagai agensi dan jabatan.

Ketua Cawangan Penguatkuasaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda, Masiri Abd Rahman berkata, dua daripada yang ditahan didapati positif morfin, satu positif metamfetamin dan satu lagi positif ganja.

Menurutnya, semasa operasi terbabit AADK dengan kekuatan 11 anggota menjalankan operasi bersama jabatan lain seperti Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Muda, Pejabat Agama Islam Daerah Yan, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan Cawangan Khas Tentera.

“Operasi diadakan membabitkan pusat hiburan seperti karaoke dan hotel bajet. Dua daripadanya ditahan di hotel bajet di Padang Temusu, seorang di Pusat Karaoke Jalan Kalai, Jeniang dan seorang lagi di Pusat Karaoke di Bukit Selambau.

“Kita menahan seramai enam individu, dua wanita dan empat lelaki namun, hanya empat lelaki terbabit positif dadah,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Masiri berkata, urin empat lelaki berkenaan akan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan pengesahan daripada doktor.

Menurutnya, jika urin mereka disahkan mengandungi dadah itu, mereka akan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 6 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan 1983) Pindaan 1998.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 6 (a) akta sama mereka boleh ditahan dua tahun di pusat pemulihan atau di bawah Seksyen 6 (b) diletakkan di bawah pengawasan AADK,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi, ustaz Zaiferi Zainol Abidin dari Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Muda berkata, operasi itu berlangsung bermula jam 10 malam hingga 5 pagi.

Menurutnya, operasi terbabit akan diadakan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan maksiat dan dadah serta pusat hiburan melampau.

“Seramai 41 anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan menyertai operasi ini namun, tiada tangkapan maksiat dan khalwat, yang ada hanya empat lelaki positif dadah,” katanya.

Tercampak dari motosikal



JEMPOL - Gara-gara seekor lembu, seorang wanita warga emas maut setelah motosikal diboncengnya berlanggar dengan haiwan berkenaan di Kilometer 5, Jalan Bahau-Rompin dekat sini, kira-kira jam 4.20 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, mangsa, Tan Nyok Li, 71, dan suaminya menaiki motosikal jenis Honda EX5 menuju ke kebun getah berhampiran.

"Pasangan suami isteri itu dikatakan dalam perjalanan untuk menoreh getah dan tidak menyedari seekor lembu yang berada di atas jalan.

"Suami mangsa yang menunggang motosikal dipercayai gagal mengelak lalu merempuh haiwan berkenaan,” katanya ketika mengesahkan kejadian berkenaan di sini, semalam.

Menurut beliau, rempuhan� itu menyebabkan Nyok Li tercampak dari motosikal ke atas jalan.

Kata Mohd Sabri, mangsa kemudian maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala.

"Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Jempol dekat sini untuk bedah siasat.

"Suaminya yang cedera juga kini masih menerima rawatan di hospital sama. Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.

Bahana dendam lama adik nyaris maut



KUALA TERENGGANU – Akibat dendam, dua beradik nyaris maut apabila diserang dua lelaki yang datang ke rumah mereka di Kampung Jeram, Manir, di sini, kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Berikutan kejadian yang tidak diduga itu, kedua-dua beradik berkenaan yang masing-masing berusia 25 dan awal 30-an itu cedera di bahagian anggota badan setelah diserang dua lelaki tersebut yang dipercayai akibat dendam lama dengan salah seorang abang mereka.

Difahamkan, dendam itu berkaitan dengan pekerjaan abang mangsa sebagai penarik kereta yang ketika kejadian berada di Raub, Pahang, menghadiri kenduri.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner, Zamri Shamsuddin ketika dihubungi berkata, pada mulanya salah seorang suspek mengetuk pintu rumah dan bercakap secara baik selama beberapa minit.

“Perbualan bertukar menjadi pertengkaran apabila dua suspek naik ke atas rumah itu dengan membawa dua bilah pedang samurai kerana tidak puas hati apabila diberitahu orang yang dicari tiada di rumah.

“Sejurus itu, kedua-dua suspek melibas pedang secara membabi buta hingga terkena bahagian kaki dan tangan dua mangsa sebelum mereka melarikan diri, manakala tiga lagi rakan suspek yang menunggu di luar rumah tidak berbuat apa-apa tetapi beredar bersama dua suspek yang menyerang mangsa sebelum itu, ” katanya.

Menurutnya, beberapa ahli keluarga yang melihat tragedi itu tidak sempat berbuat apa-apa kerana keja-dian berlaku terlalu pantas dan mereka kemudiannya menghantar kedua-dua mangsa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Zamri, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan dan mengesan kesemua suspek yang boleh membantu siasatan kes tersebut.

Nahas dua bas ekspres, lori



KUALA KRAI - Seorang penumpang bas ekspres pengsan apabila bas dinaikinya terbabit kemalangan dua bas dan sebuah lori di Kilometer 81, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam daerah, Cif Inspektor Wan Azizi Wan Ahmad berkata, kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi itu membabitkan bas ekspres Transnasional; bas Ekspres Shamisha dan sebuah lori.

Menurutnya, nahas di kaki Bukit Ah Kim, dekat sini, berlaku ketika ketiga-tiga kenderaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Katanya, ketika kejadian, bas Ekspres Shamisha dinaiki 68 penumpang, termasuk penumpang yang pengsan manakala manakala bas Ekspres Transnasional membawa 69 penumpang sementara lori dengan seorang pemandu.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori yang berada di hadapan dua bas ekspres ini dipercayai memperlahankan kenderaannya selepas melihat satu kemalangan membabitkan dua kereta.

“Pemandu bas Ekspres Transnasional di belakang lori juga memperlahankan kenderaan tetapi mungkin pemandu bas Ekspres Shamisha tidak perasaan lalu merempuh bas Transnasional sebelum bas itu pula melanggar lori,” katanya, semalam.

Wan Azizi berkata, laporan mengenai kejadian dibuat pemandu lori di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai pada jam 8 pagi.

Sementara itu, salah seorang penumpang bas Shamisha Express, Roslan Mohamad berkata, ketika pelanggaran berlaku, keadaan penumpang dalam bas menjadi kelam kabut.

“Bas yang kami naiki dipandu agak laju, pemandunya tidak sempat mengelak sebuah bas di hadapan lalu merempuhnya,” katanya yang mengalami kecederaan ringan di tangan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri, Mohd Azlisham Abd Rahman menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi ciri-ciri keselamatan ketika memandu bagi mengelak terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Sambil menyatakan kekesalan dan sedih dengan beberapa kes kemalangan jalan raya di negeri ini kebelakangan ini, beliau berkata adalah perlu orang awam mengambil berat aspek keselamatan ketika memandu.

“Masyarakat Kelantan jangan ambil mudah isu keselamatan jalan raya seperti menukar laluan tanpa memberi isyarat, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, tidak menukar tayar kenderaan yang sudah tidak berbunga dan sebagainya.

“Berdasarkan fakta kes kecuaian manusia seperti mengantuk menyumbang kematian kepada kes kemalangan yang berlaku walaupun keadaan fizikal kenderaan dan jalan raya juga turut mempengaruhi,” katanya.

Dalam kejadian di Pasir Mas kelmarin, empat sepupu maut selepas kereta yang dinaiki terbabas manakala enam cedera, dua daripadanya patah tulang rusuk apabila sebuah bas Ekspres Mahligai dua tingkat dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur terbabas di Kilometer 363, Jalan Raub-Bentong, awal pagi semalam.

Mohd Azlisham berkata, terdapat beberapa kes pemandu mengantuk sehingga menyebabkan kemalangan berlaku dan orang lain yang menjadi mangsa.

“Kadang-kadang orang tidak bersalah yang menjadi mangsa, oleh itu sebagai pemandu kenderaan sepatutnya tidak memandu ketika mengantuk.

“Walaupun tidak dinafikan jalan-jalan di negeri ini masih peringkat penambahbaikan dan sebagainya tetapi sikap dan aspek fizikal kenderaan yang dinaiki juga perlu diutamakan bagi mengelak kemalangan berlaku,” katanya.

Pelajar dakwa dirogol bergilir-gilir



SEKINCHAN – Padah mengikut nafsu, lapan remaja, termasuk seorang pelajar menengah atas, bakal berdepan tindakan mahkamah kerana disyaki mencabul dan merogol seorang pelajar 14 tahun secara bergilir dalam kawasan sawah berhampiran Parit Pakat Tali Air 6, di sini, 18 Disember lalu.

Suspek berusia antara 16 dan 22 tahun itu berjaya dijejaki dan diberkas polis setelah menerima aduan daripada mangsa, seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Tanjung Karang, Kuala Selangor.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, semua suspek ditahan reman sebelum pertuduhan dibacakan hari ini di Mahkamah Seksyen Klang dan Mahkamah Majistret Kuala Selangor mengikut Seksyen 376 dan 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dan mencabul.

Menurut beliau, dalam kejadian antara jam 4 dan 5 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki motosikal bersama seorang rakan sebaya sebelum dihampiri kumpulan lelaki berkenaan yang bertindak mengganggu dan menghalang perjalanan.

“Mangsa terperangkap dan dipercayai dirogol secara bergilir oleh lapan suspek berkenaan. Rakannya berjaya menyelamatkan diri.

“Kami tidak menolak kemungkinan semua suspek penduduk tempatan dan mereka adalah kumpulan lepak di kawasan itu,” katanya.

Laporan polis dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Sabak Bernam.

Noor Mushar berkata, buat masa ini, mangsa berada dalam keadaan stabil dan menumpang buat sementara di kediaman rakannya di sini.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu dapat dielakkan sekiranya ibu bapa mengambil berat mengenai aktiviti ahli keluarga, lebih-lebih lagi re:maja.:

Jelasnya, meskipun pada musim cuti sekolah, kegiatan anak perlu sentiasa dipantau dan diawasi apatah lagi membabitkan anak perempuan.

“Sebagai ibu bapa kita mesti tahu di mana dan dengan siapa mereka berkawan, jangan terlalu mudah melepaskan anak keluar apatah lagi membiarkan mereka keluar sehingga lewat malam,” katanya.

Ibu maut, tiga anak cedera dalam kemalangan



KUANTAN - Seorang ibu maut manakala tiga anak prempuannya cedera termasuk seorang parah, apabila sebuah kereta jip dikatakan bertembung dengan kereta yang dipandu wanita tersebut di Km7, Jalan Jerantut-Temerloh semalam.

Zuwita Zawawi, 41, yang cedera di kepala meninggal di tempat kemalangan sementara anaknya yang berumur 17 cedera parah dan yang berumur 11 serta 22 tahun cedera ringan.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, Zuwita memandu kereta Proton tersebut dan mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Krau menghala ke Jerantut apabila kemalangan itu berlaku pada 7.30 malam.

"Sampai di tempat kejadian, sebuah kenderaan jip yang datang dari arah bertentangan dikatakan telah memasuki laluan mangsa, ketika pemandu jip itu cuba memotong kenderaan lain.

"Bagaimanapun pemandu itu gagal berbuat demikian lalu dia bertembung dengan kenderaan yang dipandu Zuwita," katanya.

Empat lelaki Taiwan terlepas daripada tuduhan edar dadah



JOHOR BAHARU - Empat lelaki rakyat Taiwan terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepaskan dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar dadah jenis nimetazepam seberat 43,033 gram, Mac tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman M. Gunalan membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan kesemua tertuduh, Chung Sheng Wen, 37, Chang Yen Min, 36, Chang Yun Sheng, 32, dan Wu Sheng Yuan, 32, yang berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Keempat-empat mereka didakwa melakukan kesalahan secara bersama itu di sebuah kilang beralamat nombor 12, Jalan Angkasa Emas 6, Kawasan Perindustrian Tebrau 2, di sini, kira-kira pukul 5.30 pagi, 22 Mac 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu merupakan pertuduhan pindaan selepas kesemua mereka pada 3 April tahun lepas dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, atas kesalahan mengedar sejumlah 1,439 kilogram dadah jenis Eramin 5, di kilang itu pada tarikh dan waktu yang sama.

Pendakwaan kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar hari ini memberitahu mahkamah bahawa kesemua tertuduh yang ditahan di kilang berkenaan terbabit dalam memproses dan mengedar dadah berkenaan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Naran Singh dan G.K. Sritharan berkata, ketika serbuan terhadap kilang berkenaan dilakukan, kesemua tertuduh berada di tingkat atas bangunan dan tidak mengetahui sebarang aktiviti yang berlaku di bahagian bawah kilang.

"Pihak pendakwaan hanya bergantung kepada sesetengah bukti sahaja. Selain itu, tiada bukti khusus yang boleh mengaitkan mereka terlibat secara langsung dengan kegiatan pemprosesan dadah atau mengetahui tentang perkara itu," katanya.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga gagal memanggil saksi utama iaitu pengawal keselamatan dan penyewa bangunan berkenaan untuk memberikan keterangan.

Gunalan dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan gagal membuktikan penglibatan tertuduh dalam kes berkenaan.

"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa kesemua tertuduh berada di kilang berkenaan tetapi gagal membuktikan bahawa mereka terlibat dengan kegiatan memproses dadah berkenaan.

"Mereka juga gagal membuktikan penglibatan tertuduh secara langsung dalam memiliki peralatan dan bahan bukti yang dirampas daripada premis berkenaan. Oleh itu, kesemua tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan," katanya.-Bernama

Bas ekspres melambung



RAUB – Sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas sebelum melambung ke dalam parit di kanan jalan dekat Kilometer 363 Jalan Raub-Bentung, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian pada jam 5.20 pagi itu mengakibatkan lapan penumpang, termasuk seorang kanak-kanak cedera dan mendapat rawatan di Hospital Raub.

Menurutnya, bas tersebut berlepas dari Kota Bharu untuk ke Kuala Lumpur pada jam 9.30 malam mengikut rutin harian dengan jumlah 44 penumpang.

“Pada jam 4.30 pagi bas ini melalui pemeriksaan dalam sekatan jalan raya di Benta dan Penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan tiga daripada penumpang yang didapati positif dadah.

“Tiba di tempat kejadian, dipercayai pemandu tidak dapat mengawal kenderaan sehingga terbabas ke laluan bertentangan sebelum terbalik ke dalam parit,” katanya ketika ditemui di sini.

Wan Mohd Samsudin berkata, semasa kejadian keadaan jalan agak licin selepas hujan dan cuaca gelap.

“Pihak Hospital Raub mengesahkan hanya dua mangsa dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Seorang cedera di kepala dan patah tulang rusuk manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh kerana cedera dalam perut. Enam lagi dibenarkan pulang,” katanya.

Katanya, pemandu bas sudah pun menjalani ujian air kencing dan didapati negatif dadah.

Beliau berkata, seramai 25 anggota menyelamat, termasuk unit MPV, Trafik, Bomba, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) dan paramedik Hospital Raub, tiba ke tempat kemalangan untuk membantu mangsa,” katanya.

Suami isteri dipenjara lapan tahun pecah amanah wang syarikat



KUALA LUMPUR - Seorang bekas setiausaha Syarikat TP Indah Sdn Bhd, Chong Siu Ling hari ini dipenjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah berjumlah RM424,389.53 milik syarikat itu.

Turut menerima nasib yang sama adalah suaminya, Hew Kun Loo, yang didapati bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan isterinya, dipenjara lapan tahun dan tiga kali sebatan.

Hakim Noradidah Azman membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Siu Ling, 43, dan Kun Loon, 38, di akhir kes pembelaan.

Noradidah memerintahkan hukuman itu bermula hari ini. Bagaimanapun beliau membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sehingga selesai proses rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan mengenakan syarat tambahan iaitu wang jaminan dinaikkan kepada RM25,000 terhadap setiap tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Siu Ling yang kini suri rumah didakwa melakukan kesalahan itu terhadap 18 keping cek syarikat itu berjumlah RM424,389.53 dan kemudian memindahkannya ke dalam dua akaun miliknya.

Ibu kepada tiga anak itu didakwa melakukannya di Syarikat TP Indah Sdn Bhd, No 21A, Tingkat, Hulu Langat di sini, mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 14 tahun, sebat dan denda, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, suaminya didakwa bersubahat dengan memasukkan kesemua cek itu ke dalam dua akaun di cawangan Oriental Bank (yang kini dikenali EON Bank) di Taman Cheras Indah dan Bukit Beruntung, yang tiada kena mengena dengan syarikat itu yang mana kemudiannya menggunakan wang itu untuk kepentingan sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama, antara 10 Sept 1998 sehingga 8 Jun 2000 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela Peter Siew yang mewakili suami isteri itu memohon hukuman yang ringan dengan mengambil kira kerjasama yang diberikan oleh mereka sepanjang prosiding perbicaraan.

Pegawai Pendakwa ASP Dr A. Vasu mengemukakan seramai 10 saksi pendakwaan manakala dua saksi pembelaan dipanggil.-Bernama

Majikan pukau pekerja





2010/12/27

LONDON: Seorang tukang kasut yang enggan membeli alat pemanas untuk dipasang di kedainya di Bromsgrove, Worcester, mengupah tukang pukau untuk memukau pekerjanya supaya berfikir mereka bekerja dalam keadaan selesa di kedai berkenaan. 

Martin Connellan mulanya membeli baju kot untuk pekerjanya selepas suhu mencecah di bawah 13 darjah Celcius, lapor akhbar The Sun. Tetapi, pekerjanya masih rasa sejuk kerana pintu kedai berkenaan biasanya dibiarkan terbuka.
Bagaimanapun, selepas sesi lima minit dengan tukang pukau, James Kerwin, pekerja Connellan kini memakai seluar pendek dan kemeja-T. – Agensi
bharian

Ketua Mossad sedia mohon maaf





2010/12/27

LONDON: Ketua baru perkhidmatan risikan Israel, Mossad dikatakan bersedia memohon maaf kepada Britain di atas tindakan ejennya menggunakan pasport palsu Britain ketika melaksanakan pembunuhan seorang pemimpin Hamas di Dubai awal tahun ini. 

Tamir Pardo yang mengambil alih tampuk kepimpinan Mossad awal bulan ini juga bersedia berjanji kepada London bahawa ejennya tidak akan lagi dibenarkan menggunakan pasport palsu negara itu dalam operasinya di luar negara.
Akhbar Britain, Daily Telegraph memetik sumber Mossad sebagai berkata Pardo akan menyatakan komitmennya itu kepada pegawai kanan Britain di London dan dalam pertemuan persendirian dengan setiausaha luar William Hague dan setiausaha dalam negara Theresa May, sebagai usaha memulihkan hubungan dengan kerajaan United Kingdom.
Pada Mac lalu, Britain mengusir ketua biro Mossad di London selepas penyiasatan mengesahkan badan risikan itu memalsukan 12 pasport Britain untuk digunakan ejennya dalam melaksanakan operasi membunuh Mahmoud al Mabhouh Januari lalu. 

Pardo, 57 yang ketika itu adalah timbalan pengarah Mossad tidak bersetuju dengan , penggunaan pasport berkenaan, bersama-sama pasport palsu Ireland dan Australia. 

Bagaimanapun Meir Dagan, ketua Mossad ketika itu yang meletak jawatan awal bulan ini, tetap mahu menggunakan pasport palsu berkenaan berikutan ramai pengunjung dari negara Barat terbabit melawat Dubai. 

Pardo yang digelar ‘T’ oleh rakan sejawatnya menganggap pengusiran dari London adalah satu tamparan hebat kepada badan itu. 
Walaupun kerjasama di antara agensi keselamatan dalam negara MI5 dan luar negara Britain MI6 terjejas teruk selepas pengusiran itu, Dagan enggan memohon maaf. – Agensi