Search This Blog

Friday, December 24, 2010

Rumah terbakar: Keluarga tinggal sehelai sepinggang



24/12/2010 8:55pm

KUANTAN 24 Dis. – Sebuah rumah yang didiami satu keluarga di sini sejak 40 tahun lalu musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan jumlah kerugian kira-kira RM180,000 hari ini.
Kebakaran berlaku di Lorong Selamat, Tanjung Api pada pukul 5.30 petang. Ia menyebabkan semua harta benda keluarga itu musnah termasuk slip keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) milik anak mangsa terbabit. – Utusan

Selamat pulang: Derita 10 bulan 12 hari diculik berakhir



24/12/2010 8:54pm



KOTA KINABALU 24 Dis. – Selepas diculik sekumpulan lelaki bersenjata di selatan Filipina selama 10 bulan 12 hari, dua pekerja pelantar di ladang rumpai laut akhirnya tiba dari Filipina petang ini.
Tsen Vui Chung, 41, dan rakannya, Lai Wing Chou, 33, yang diculik di ladang rumpai air di Semporna pada 8 Februari lalu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang ini disambut ahli keluarga masing-masing.
Bagi Vui Chung, pembebasan mereka baru-baru ini cukup menggembirakan kerana segala penderitaan mereka sebagai tahanan kini telah berakhir.
Menurutnya, dengan tangan diikat selama 10 hari dan terpaksa berpindah randah lebih 100 kali bersama kumpulan pengganas merupakan pengalaman yang sukar dilupakan seumur hidup. – Utusan

Geng pecah kilang warga Vietnam diberkas





24/12/2010 5:32pm



MUAR 24 Dis. – Polis yakin berjaya menyelesaikan lima kes pecah kilang di sekitar daerah ini apabila memberkas lima warga Vietnam dalam satu sekatan di persimpangan lampu isyarat di Bukit Pasir di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.40 pagi itu, kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 30 tahun itu yang menaiki sebuah teksi cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menangkap mereka.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam jenayah pecah kilang di daerah ini sejak tiga bulan lalu. – Utusan

Rasuah: Sarjan trafik dipenjara 45 bulan, denda RM30,000



24/12/2010 4:46pm

KUANTAN - Seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan dijatuhi hukuman penjara 45 bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah, masing-masing RM500, antara November tahun lepas dan Januari lalu.
Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Malek Sulaiman, 43, dari Taman Kempadang Baru, di sini selepas mendapati pihak pembela gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.
Abdul Malek didakwa menerima suapan RM500 daripada Teoh Ting Keong di kafe sebuah hotel di sini, kira-kira pukul 5.44 petang pada 15 November tahun lepas sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik Teoh yang mengangkut pasir dan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.
Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Abdul Malek yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang didakwa menerima suapan masing-masing RM500, juga daripada Teoh atas sebab yang sama di kafe dua hotel berbeza kira-kira pukul 3.39 petang, 17 Disember tahun lepas dan 12.30 tengah hari pada 19 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, bagi setiap kesalahan. - Bernama

Bapa maut kena samun



IPOH – Seorang warga emas maut selepas ditikam dua lelaki bersenjatakan pisau yang menyamun kedai runcitnya di Taman Perpaduan di sini, malam semalam.

Mangsa, R Muniandy, 64, mati dalam perjalanan ke Hospital Pantai selepas mengalami kecederaan ditikam lelaki terbabit di rusuk kiri ketika bergelut dengan suspek.

Anak mangsa, M Tharmabalan, 24, berkata, ketika kejadian, ibunya, R Thevy bersama seorang pembantu turut berada dalam kedai itu.

“Saya difahamkan penjenayah itu berdua dan mereka tidak memakai topeng ketika melakukan samun itu.

“Mereka masuk ke bahagian kaunter untuk mendapatkan wang, tetapi bapa saya menghalangnya dan seorang daripada penyamun itu bertindak menikam bapa,” katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Tersusun Batu 6, Tambun di sini, semalam.

Menurut Tharmabalan, ketika kejadian suspek cuma menyerang bapanya, manakala ibu dan pembantu kedai hanya mampu melihat kejadian itu kerana takut.

Beliau berkata, identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti, bagaimanapun beberapa orang yang berada berhampiran kedai dapat melihat suspek melarikan diri.

“Selepas kejadian itu, beberapa orang datang membantu bapa untuk dihantar ke hospital, tetapi dia mati sebelum sempat mendapatkan rawatan.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku kerana kejadian itu meragut nyawa bapa saya yang tidak berdosa,” katanya ketika menceritakan kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.10 malam itu.

Sementara itu, adik mangsa, R Siva Sangaram, 44, berkata, kejadian yang berlaku itu sangat dikesali kerana sepanjang abangnya menjalankan perniagaan di situ sejak 23 tahun lalu tiada sebarang kejadian jenayah.

Menurutnya, mangsa seorang yang periang dan sangat disenangi masyarakat setempat.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya melalui telefon Ahad lalu untuk mengucapkan selamat hari jadi. Tak sangka perbualan telefon itu adalah yang terakhir saya dengan mendiang,” katanya.

Hadir sama mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim.

Menurut Rusnah, pihaknya simpati dengan apa yang berlaku ke atas keluarga mendiang Muniandy.

“Saya lihat sekarang ini trend jenayah semakin membimbangkan sehingga meragut nyawa. Kita akan minta kerjasama dengan pihak berkuasa untuk memantau kawasan tertentu yang dipercayai berpotensi menjadi sasaran penjenayah,” katanya.

Beliau berkata, selain polis, khidmat anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) diperlukan untuk memastikan kawasan kediaman dan pusat perniagaan selamat.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, pihaknya bercadang mengadakan sesi dialog dengan polis bagi bertukar pandangan dengan orang awam untuk mencari kaedah terbaik membanteras jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

3 pencawang haram diroboh



BUKIT MERTAJAM – Penduduk di sekitar Taman Alma Jaya, di sini, boleh menarik nafas lega apabila tiga pencawang telco yang beroperasi secara haram berhampiran kawasan rumah mereka dirobohkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), semalam.

Operasi membabitkan hampir 30 pegawai Bahagian Direktorat Penguatkuasaan dan Jabatan Bangunan diketuai Penolong Pengarahnya, Mohd Faidrol Mohd Radzi bersama kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penduduk, Lim Siew Lay, 50, ketika ditemui gembira dengan tindakan yang diambil MPSP itu dan menyifatkannya sebagai tindakan terbaik demi menyelamatkan nyawa penduduk.

“Saya lega kerana bantahan kami selama ini mengenai kewujudan pencawang telco di sini akhirnya mendapat perhatian dan hari ini dirobohkan.

“Selepas ini kami semua boleh hidup dalam keadaan yang lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis, Rynu Shanmugam berkata, operasi perobohan dilakukan selepas mendapat persetujuan daripada Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd Jait.

Menurutnya, ia dilakukan apabila pemilik didapati masih degil dengan tidak merobohkan atau memindahkan sendiri pencawang telco itu walaupun tempoh selama lebih dua bulan diberikan kepada mereka.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 70 & 72, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Sebenarnya, setelah mendapat aduan daripada orang awam pada September lalu, saya sendiri turun padang meninjau kawasan ini dan selepas itu memasukkannya ke dalam aduan MPSP pada 30 September lalu.

“Pada 5 Oktober, Jabatan Bangunan MPSP memberikan maklum balas dengan mengeluarkan notis kepada pemilik untuk meruntuhkan sendiri struktur yang dibina berikutan ia tidak mendapat kelulusan MPSP dan didapati dibina secara haram. Begitu pun, arahan itu tidak diendahkan dan MPSP sekali lagi mengeluarkan notis kepada mereka pada 20 Oktober lalu.

“Apabila kita mendapati mereka tidak memberikan jawapan, maka notis untuk merobohkan dikeluarkan pada 20 Disember lalu, dan YDP juga sudah memberikan persetujuan untuk operasi pada hari ini,” katanya.

Rynu dalam pada itu berkata, tindakan yang diambil bagi memberi pengajaran kepada pemilik syarikat telco lain supaya tidak sewenang-wenangnya membina pencawang telco, sedangkan ia perlu dipohon dan diluluskan MPSP terlebih dahulu.

Katanya, walaupun pemilik syarikat telco itu ada memohon dengan MPSP, namun mereka tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kita bukan terus mengambil tindakan dan MPSP tidak kejam, sebaliknya memberi peluang kepada mereka untuk meruntuhkan sendiri. Apabila mereka tidak mempedulikan arahan, baru kita mengambil tindakan dan ia perlu melalui beberapa proses sebelum boleh dilaksanakan. Justeru, saya berharap agar penduduk faham mengapa tempoh begitu lama diambil sebelum merobohkan kerana kita mempunyai prosedur tertentu,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian dalam laporannya pada 9 Oktober dan 17 Disember lalu menyiarkan tentang keluhan penduduk yang bimbang diancam masalah kesihatan berikutan kewujudan pencawang telco yang beroperasi berhampiran kawasan perumahan mereka.

Lebih membimbangkan, terdapat satu pencawang lagi sedang dalam proses pembinaan hanya beberapa meter sahaja dari lokasi pertama. Begitu pun, pencawang itu sudah mendapat kelulusan permit daripada MPSP.

Warga emas ditendang perompak



JENUN – Seorang warga emas yang menjalankan perniagaan barangan runcit di Pekan Kilang Kecil mengalami lebam di dagu dan mulut serta pecah di bahagian bibir akibat ditendang seorang lelaki yang cuba merompak duit di laci kedainya itu.

Mangsa, The Sok Hiang, 76, berkata, kejadian itu berlaku pada Ahad lalu kira-kira jam 3.30 petang ketika dia sedang menunggu pelanggan di kedainya, namun tidak menyangka pelanggan yang memasuki kedainya itu berniat ingin merompak.

Menurutnya, seorang perompak berkulit gelap lingkungan 30-an memasuki kedainya dengan memakai seluar jean bersama jaket berwarna hitam dan berkasut kulit berpura-pura ingin membeli sebotol cat sembur berwarna putih.

“Lelaki itu memasuki kedai dan meminta sebotol cat sembur menyebabkan saya bangun dari tempat duduk untuk menuju ke rak cat terbabit, namun tidak sempat mengambil cat dari rak itu tiba-tiba saya melihat lelaki itu sedang mengambil duit dari laci kedai.

“Ketika melihat lelaki itu sedang mengambil duit saya menjerit ‘perompak’ menyebabkan dia bertindak menendang bahagian dagu dan mulut saya sehingga saya terjatuh lalu dia menuju keluar dari kedai,” katanya.

Sok Hiang berkata, jeritan itu tidak didengari orang ramai terutamanya kedai-kedai berhampiran kawasan itu memandangkan keadaan kedainya itu berada agak dalam dan ketika kejadian tiada orang lain di dalam kedai terbabit.

“Ketika kejadian semua anak dan menantu keluar ke Alor Setar kerana ada urusan menyebabkan saya berniaga seorang diri, namun saya juga tidak menyangka kejadian itu akan berlaku memandangkan saya berniaga di sini lebih 50 tahun.

“Perompak itu berjaya mengambil duit dari laci itu berjumlah RM100 dan selepas beberapa minit dia keluar saya juga segera keluar dan mendapati dia sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, Sok Hiang berkata, selepas kejadian itu, dia dimaklumkan orang ramai bahawa ternampak sebuah kereta berwarna putih sedang menunggu berdekatan kedainya bersama tiga lagi suspek.

Dicekup dalam keadaan bogel



ALOR SETAR – Mungkin baru ingin melakukan hubungan intim apabila seorang wanita warga asing dari Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan dicekup dalam keadaan telanjang bulat dalam Ops Sapu yang dilakukan Jabatan Imigresen Kedah, semalam.

Ketika serbuan dijalankan di salah satu rumah sewa dua tingkat di Tanjung Kapor, Jitra, wanita berumur 35 tahun itu ditemui dalam keadaan bogel berdiri berhampiran almari selepas pasangannya yang berpakaian lengkap ditahan.

Manakala pada bahagian atas rumah itu pula, terdapat satu pasangan lagi yang turut ditahan ketika ingin melakukan hubungan intim.

Operasi yang diketuai Pengarah, Muhammad Hatta Kassim itu disertai 19 pegawai Imigresen telah melakukan serbuan di beberapa rumah sewa sekitar Jitra termasuk tapak pembinaan di Langgar.

Dalam operasi yang bermula jam 9 malam itu, 30 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk wanita berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun telah ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Muhammad Hatta berkata, ketika pemeriksaan dijalankan di tapak pembinaan, terdapat pekerja asing bersembunyi dalam rumah yang masih dalam pembinaan, malah ada juga cuba melarikan diri namun berjaya dihalang anggotanya.

Operasi yang berakhir jam 4 pagi itu berjaya menahan tujuh lelaki warga Bangladesh; 12 warga Indonesia termasuk empat wanita dan 11 warga Myanmar termasuk seorang wanita.

Daripada jumlah itu, sebanyak 19 Pati yang ditangkap telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali atau sebatan tidak lebih enam sebatan.

Manakala selebihnya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana menetap lebih tempoh dalam negara yang boleh sabit kesalahan dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Hatta berkata, semua Pati yang ditahan itu dipercayai bekerja sebagai buruh binaan.

Ini berdasarkan tempat tinggal mereka.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat lagi mengenai majikan dan tuan rumah yang mengupah mereka bekerja dan membenarkan Pati yang ditahan itu menyewa di rumah mereka.

Beliau berkata, semua Pati terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Bapa terkejut lihat anak tergantung



JEMPOL - Seorang penjaga tanah perkuburan Hindu di Rompin dekat sini terkejut apabila melihat tubuh anak lelakinya dalam keadaan tergantung atas pokok di lokasi berkenaan, kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, sebelum itu, lelaki terbabit ternampak kereta anaknya, S Saravanan, 37, di bawah bukit berhampiran tanah perkuburan berkenaan.

“Kemudian, dia naik ke atas bukit dan melihat Saravanan tergantung atas pokok.

“Dia seterusnya membuat laporan di balai polis berdekatan sebaik sahaja mendapati anaknya tidak lagi bernyawa,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu di sini, semalam.

Menurut beliau, siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan dan mangsa dipercayai tertekan akibat masalah dihadapinya.

Sementara itu, seorang wanita dipercayai kekasih mangsa berumur sekitar 20-an dilihat gagal mengawal perasaannya semasa tiba di lokasi kejadian.

“Saya menghubungi Saravanan beberapa kali untuk memujuknya pulang ke rumah tetapi dia tidak menjawab panggilan�. Dia (Saravanan) kelihatan murung sejak beberapa hari lalu. Saya sangat sedih melihat dia dalam keadaan begini,” katanya.

Menurut wanita itu, tiada sebarang masalah dalam hubungan mereka malah Saravanan pernah berjanji akan mengahwininya.

Rokok, duit lesap



BENTONG – Dua kedai di Jalan Loke Yew dekat sini dipecah masuk awal pagi semalam, menyebabkan kerugian hampir RM16,000.

Apa yang mengejutkan, dua kedai berkenaan terletak berhadapan dan hanya dipisahkan jalan utama dengan jarak kira-kira 12 meter.

Pemilik Rama Store, S Ramasamy, 61, berkata, dia menyedari kedainya dipecah masuk kira-kira jam 4.50 pagi iaitu ketika ingin memulakan perniagaan.

Menurutnya, dia berasa curiga apabila melihat pintu hadapan kedai terbuka dan mangga pintu dipotong.

“Selepas masuk, saya mendapati keadaan dalam kedai bersepah dan laci tempat menyimpan wang tunai sudah dikopak serta terdapat pemutar skru di atas meja.

“Selepas menjalankan pemeriksaan, saya mendapati pelbagai jenis rokok yang diletakkan dalam rak, wang tunai dan kad prabayar telefon bimbit serta pelbagai barang lain lesap,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramamsamy berkata, anggaran kerugian yang dialami sebanyak RM10,000 dan laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu.

Katanya, ini merupakan kali pertama kedainya dipecah masuk selepas hampir 20 tahun berniaga di situ.

“Sebelum ini kami sekeluarga tinggal di kedai, namun sejak lima bulan lalu, kami berpindah ke sebuah taman perumahan.

“Selepas ini saya akan berusaha meningkatkan lagi tahap keselamatan kedai ini bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi,” katanya.

Mangsa lemas PMR 8A



RAUB – Remaja yang maut dalam kejadian lemas pada 17 Disember lalu di Jengka 16 mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan rekod 8A keseluruhan mata pelajaran diambil.

Mohd Azhar Zulkhairi Hamzah yang juga pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Abdullah sejak Tingkatan Satu adalah pelajar aktif seimbang antara akademik dan kokurikulum.

Pengetua SM Sains Tengku Abdullah, Kamaruddin Kassim berkata, warga sekolah terkejut mendengar berita itu tetapi menerima dengan reda sebagai ketentuan Ilahi.

Menurutnya, warga sekolah turut merasai kehilangannya yang sentiasa mesra terutama bersama rakan sealiran dan guru yang mengajarnya.

“Kita berharap keluarga arwah sentiasa tabah dan sabar menghadapi dugaan ini dan mendoakan dia mendapat tempat di sisi Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SM Sains Tengku Abdullah, Ramlan Abdul Majid berkata, warga sekolah dan PIBG akan menyalurkan sumbangan di samping kutipan derma khairat.

Katanya, tabung derma khairat disediakan semasa pelajar mengambil keputusan PMR di dewan sekolah sebagai memberi peluang kepada rakan-rakan arwah untuk menyalurkan sumbangan kepada keluarganya.

“Kita akan sampaikan sumbangan daripada warga sekolah, PIBG dan kutipan rakan pelajar ini bersama sijil keputusan PMR terus kepada keluarganya.

“Takziah kepada keluarga arwah yang kehilangan anak pintar dan cemerlang mendapat 8A dalam PMR diumumkan hari ini (semalam),” kata Ramlan.

Allahyarham bercita-cita jadi tentera

Sementara itu di Jengka 16, majlis tahlil malam ketujuh kematian arwah Mohd Azhar Zulkhairi, yang lemas di sungai berhampiran ladang kelapa sawit dekat sini, semalam turut menjadi kenduri doa selamat tanda kesyukuran arwah memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam PMR.�

Keluarga mangsa ketika dihubungi Sinar Harian belum maklum berkenaan keputusan cemerlang arwah sebelum kakak arwah yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2, Fauziah Hamzah, 36, membuat pengesahan dengan seorang guru di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub.

Ibu arwah, Siti Aishah Ramli, 56, berkata, arwah sememangnya pendiam dan rajin malah apabila ditanya sasaran PMR, arwah yakin memperoleh keputusan cemerlang.

“Percubaan PMR sebelum ini arwah hanya memperoleh 3A, 5B namun arwah tidak putus asa malah yakin mendapat keputusan cemerlang untuk mencapai cita-citanya.

“Arwah pernah menyatakan hasratnya untuk menyambung pelajaran ke Maktab Tentera Diraja (MTD) kerana amat meminati kerjaya dalam pasukan beruniform,” katanya.

Wang hilang



SEREMBAN - Wang tunai berjumlah kira-kira RM200,000 disimpan dalam sebuah bank di Ampangan dekat sini dilaporkan hilang selepas kejadian kebakaran, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pengurus bank terbabit mendapati wang berkenaan yang diletakkan dalam peti simpanan sehari sebelum kejadian lesap.

Sepasang kekasih didakwa



SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tarikh perbicaraan sepasang kekasih yang dituduh memiliki pistol dan peluru secara tidak sah pada 21 dan 22 Februari depan.
 
Hakim Amran Jantan menetapkan tarikh perbicaraan itu setelah kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Anggota trafik dipenjara 45 bulan, denda RM30, 000 kerana rasuah RM1,500



KUANTAN -- Seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan dijatuhi hukuman penjara 45 bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah, masing-masing RM500, antara November tahun lepas dan Januari lalu.

Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Malek Sulaiman, 43, dari Taman Kempadang Baru, di sini selepas mendapati pihak pembela gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Abdul Malek didakwa menerima suapan RM500 daripada Teoh Ting Keong di kafe sebuah hotel di sini, kira-kira pukul 5.44 petang pada 15 November tahun lepas sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik Teoh yang mengangkut pasir dan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Abdul Malek yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang didakwa menerima suapan masing-masing RM500, juga daripada Teoh atas sebab yang sama di kafe dua hotel berbeza kira-kira pukul 3.39 petang, 17 Disember tahun lepas dan 12.30 tengah hari pada 19 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, bagi setiap kesalahan.

Irwan menjatuhkan hukuman 15 bulan penjara dan denda RM10,000 terhadap tertuduh bagi setiap kesalahan itu dan mengarahkan hukuman berjalan berasingan bermula hari ini.

Terdahulu, Abdul Malek dalam rayuannya menerusi peguam, Syed Azimal Syed Abu Bakar, Mohamad Saifuldin Ab Rahman dan Mohd Rosalman Fithri Salim memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman minima dengan alasan ia adalah kesalahan pertama tertuduh selain memiliki rekod perkhidmatan baik.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa SPRM, Raja Mohd Shasrizam Raja Nik Mahmood membantah rayuan berkenaan dan mahu tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal memandangkan rasuah adalah kesalahan serius malah tertuduh juga adalah penjawat awam.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara dan mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu dalam kes lain di mahkamah yang sama, seorang bekas Eksekutif Kewangan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) dijatuhi hukuman penjara berjumlah tiga tahun dan 11 sebatan selepas didapati bersalah atas 11 tuduhan pecah amanah antara Disember 2007 hingga Mac 2008.

Mohamad Yusnizam Mohamad, 30, dari Kampung Padang di sini dituduh melakukan kesalahan itu membabitkan 11 cek dengan jumlah keseluruhannya kira-kira RM260,700 di pejabat koperasi itu di Sri Kuantan Square, Jalan Teluk Sisek, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun dan dengan sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Irwan bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara dan mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Hidayatul Syuhada Shamsudin manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Hisham Abdul Rahim dan Zaharman Zainal Abidin. -- BERNAMA

Penduduk dakwa projek pangsapuri punca banjir



24/12/2010 5:07pm

KUALA LUMPUR - Setiap kali hujan lebat, lebih 1,000 penduduk Kampung Bharu Puchong akan dihantui perasaan bimbang kerana rumah mereka pasti dinaiki air.
Mereka mendakwa sisa binaan projek pangsapuri 21 tingkat berhampiran kampung itu telah menyebabkan sistem saliran tersumbat dan air melimpah ke rumah mereka setiap kali hujan lebat.
Keresahan mereka disuarakan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah yang meninjau kampung itu hari ini.
Murugiah berkata, beliau memandang berat masalah penduduk berkenaan yang mendakwa telah beberapa kali mengadu kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak dua tahun lepas, namun tidak ada sebarang tindakan diambil.
"Mereka (penduduk) cakap punca banjir ini adalah disebabkan oleh pembangunan untuk mendirikan dua blok pangsapuri setinggi 21 tingkat berhampiran tempat kediaman mereka, yang menyebabkan longkang sering tersumbat akibat sisa binaan.
"Apabila hujan lebat, longkang yang kecil ini tidak mampu untuk menampung jumlah air, dan menyebabkannya melimpah dan membanjiri kawasan kediaman mereka,” katanya. - Bernama

Pusat hiburan diserbu kali ke-22 tahun ini, 24 GRO asing ditahan





2010/12/24

GEORGETOWN: Polis menahan 23 pelayan pelanggan (GRO) warga China dan seorang warga Vietnam dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney di sini malam tadi. 

Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata pusat hiburan itu jelas tidak serik-serik menjalankan kegiatan tidak bermoral walaupun sudah 21 kali diserbu polis tahun ini.
Beliau berkata dalam serbuan Ops Noda pada kira-kira 11 malam itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga pusat hiburan berkenaan.
Katanya semua mereka yang dipercayai tidak mempunyai permit kerja yang sah di samping menyalahguna pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral. 

Katanya, semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali. 

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini Gan berkata pemilik premis itu pula akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen iaitu menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit. - BERNAMA

Ahamad Kuris bebas tuduhan rasuah


BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Ahmad Kuris Mohd Nor, 53, bersama isterinya ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini selepas dibebaskan atas empat tuduhan meminta dan menerima rasuah, tiga tahun lalu. - Foto Luqman Hakim Zubir

24/12/2010 3:45pm

SHAH ALAM 24 Dis. - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Datuk Ahamad Kuris Mohd. Nor dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada empat pertuduhan meminta rasuah tiga tahun lalu. - Utusan

'Doa saya dimakbul tuhan'



Oleh Suzianah Jiffar

2010/12/24

Isteri mangsa culik sejak lapan bulan lalu lega suami selamat

KOTA KINABALU: Sejak suami diculik, kedua-dua anak kami yang berusia 15 dan 11 tahun selalu menangis teringatkan bapa mereka. Hari-hari mereka bertanya mengapa bapa belum pulang ke rumah. 

Saya cuba pujuk mereka setakat yang mampu walaupun saya sendiri gusar mengenangkan nasib suami, kata Chua Mui Ling, 40, isteri kepada Tsen Vui Chong, 41, yang diculik di perairan Pulau Sebangkat, Semporna pada 8 Februari lalu.
Beliau mengakui diserang demam selama beberapa minggu kerana terlalu risaukan keselamatan suami, tetapi cuba menguatkan semangat kerana memikirkan anak mereka.
Katanya, dia menangis petang kelmarin sebaik mendengar suara Tsen di telefon yang memaklumkan sudah diselamatkan dan berada di Manila. 

Peringkat awal diberitahu suami saya diculik, fikiran saya jadi tidak keruan hingga jatuh sakit. Saya cuma berdoa supaya dia selamat dan kembali ke pangkuan keluarga. 

Saya menangis sebaik mendengar suaranya semalam (kelmarin). Doa saya sudah dimakbulkan Tuhan, katanya sambil menambah anaknya tidak sabar menunggu kepulangan bapa mereka kerana sudah lama menanggung rindu. 

Tsen dan sepupunya, Lai Wing Chau, 46, diculik ketika mengutip rumpai laut di perairan Pulau Sebangkat, Semporna oleh sekumpulan lima lelaki bersenjata jam 1.30 pagi pada 8 Februari lalu. 
Kedua-dua mangsa adalah pengurus syarikat dan penyelia projek penanam rumpai laut Syarikat Dynasty Marine Farm di Pulau Sebangkat. 

Penderitaan mereka bagaimanapun berakhir kelmarin selepas diselamatkan Pasukan Gerakan Khas Polis Filipina (PNP-SAF) yang mengintip pergerakan kumpulan penculik selama beberapa hari di sekitar perairan bandar Bongao di wilayah Tawi-Tawi, selatan negara jiran itu.

Banjir lumpur melanda highland, California


SEBUAH trak hampir tertimbus sepenuhnya di dalam lumpur selepas hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir lumpur melanda Highland, California, hari ini. - Foto Reuters
bharian


Kumpulan anarki Itali mengaku serang kedutaan asing di Rom



ANGGOTA polis mengawal pintu masuk ke kedutaaan Chile di Rome sambil anggota bomba dan penyelamat bersedia di luar bangunan itu selepas sepasang bom yang dibungkus meletup di kedutaan Swiss dan Chile semalam mencederakan dua mangsa yang cuba membukanya. Polis mengarahkan semua kedutaan di Rome diperiksa selepas satu panggilan bom palsu turut dilaporkan di Kedutaan Ukraine. - Foto AP


2010/12/24

ROME: Satu kumpulan anarki atau antiperlembagaan dikenali Informal Federation of Anarchy (FAI) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan dua kedutaan Switzerland dan Chile di Rom, malam tadi.

"Kami mengambil keputusan agar suara kami didengar dan diberi perhatian. Kami mahu memusnahkan sistem dominasi. Hidup FAI," menurut kenyataan yang dijumpai diletakkan dalam kotak kecil di sisi salah seorang mangsa yang cedera.
Dalam serangan mengejut ketika penduduk Eropah sedang bersiap menyambut Krismas, dua cedera apabila bom diletupkan di keduataan Switzerland dan Chile di tengah Rom.
Perbuatan itu dianggap perbuatan kumpulan anarki sama terbabit dalam beberapa siri letupan bom di Greece sebelum ini.

Menteri Luar Itali, Franco Frattini, berkata serangan itu adalah "satu ugutan serius" terhadap kedutaan asing manakala Duta Chile, Oscar Godoy Arcaya mengutuk perbuatan itu sebagai kejam dan tindakan pengganas.

Polis Rom berkata, pihaknya sedang melakukan pemeriksaan terhadap semua kedutaan asing di ibu negara Itali itu.

“Ini satu lagi bentuk keganasan terhadap kedutaan. Ia lebih membimbangkan berbanding serangan tunggal biasa," kata Datuk Bandar Rom, Gianni Alemanno kepada pemberita. 
Menteri Dalam Negeri Itali, Roberto Maroni, berkata anggota penyiasat sedang berusaha mengaitkan serangan hari ini dengan serangan yang sama di Greece pada November lalu. - AFP
bharian

DUN Tenang: Penamaan calon 22 Januari, mengundi 30 Januari





2010/12/24

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi menetapkan 22 dan 30 Januari 2011 sebagai tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, di Johor. 

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, ketika mengumumkannya berkata SPR menerima makluman rasmi daripada Speaker DUN Johor mengenai kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dlm darah dan kencing manis, pada 17 Disember lalu.
"Pilihan raya kecil ini menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009, digabungkan dengan Daftaf Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2010 yang dikemas kini sehingga Oktober lalu merangkumi seramai 14, 753 pemilih berdaftar termasuk 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di sini.
Pada pilihan raya umum lalu, Sulaiman mengalahkan Mohd Saim Siran (PAS) dengan majoriti 2,492 undi.

3 askar, 24 Taliban terbunuh serangan di sempadan Pakistan





2010/12/24

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya tiga askar dan 24 kumpulan penentang terbunuh dalam kejadian serangan terbaru di kawasan terpencil di utara Pakistan, hari ini. 

“Kira-kira 150 tentera Taliban menyerang satu pos pemeriksaan di Kampung Baidnami berdekatan sempadan Afghanistan,” kata seorang pegawai kanan keselamatan hari ini.

Pelajar, ibu maut kena rempuh lori

ANGGOTA bomba  menutup mayat Siti Aisyah  yang dihempap  lori pasir  di simpang tiga Kok Lanas, Kota Bahru, semalam.
ANGGOTA bomba menutup mayat Siti Aisyah yang dihempap lori pasir di simpang tiga Kok Lanas, Kota Bahru, semalam.


Remaja dalam perjalanan pulang ambil slip PMR

KOTA BHARU: Kegembiraan seorang pelajar memperoleh 4A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) berakhir dalam suasana menyayat hati apabila dia dan ibunya maut selepas dirempuh lori pasir yang terbalik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 1 tengah hari di simpang tiga Kok Lanas di sini, ketika pelajar Maahad Syamsul Maarif, Pulau Chondong, Siti Aisyah Zakaria, 15, membonceng motosikal ditunggang ibunya, Aziza Musa, 42, berhenti di persimpangan lampu isyarat menuju ke Selising.
Ketika itu, lori sarat muatan pasir keluar dari arah Selising ke Machang, hilang kawalan sebelum merempuh dua beranak terbabit.
Akibat rempuhan berkenaan, Aziza tercampak ke atas jalan raya, manakala Siti Aisyah dihempap tayar lori itu yang terbalik menyebabkan dua beranak itu mati serta-merta akibat cedera parah di kepala dan badan.

Kejadian malang itu membuatkan hati pesara tentera, Zakaria Mohamad, 43, luluh apabila melihat mayat isteri dan anaknya terbujur kaku sejurus berkejar ke lokasi sebaik dimaklumkan rakannya yang kebetulan melalui tempat kemalangan.

Ketika tiba di lokasi, saya tergamam melihat isteri terbujur kaku, manakala kepala dan tubuh anak kedua saya dihempap tayar lori.

Saya merancang meraikan kejayaan Siti Aishah, malah berjanji membawa keluarga bercuti lusa, katanya sambil menahan sebak keti-ka ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), semalam.
Zakaria yang ketika kejadian sedang menghantar bekalan baju, berkata isterinya yang bertugas sebagai Kerani Kewangan di Kem Desa Pahlawan, mengambil kesempatan pulang seketika pagi semalam, kerana menemani anak kedua daripada enam beradik itu mengambil slip keputusan PMR.

Katanya, beliau mengetahui Siti Aisyah memperoleh keputusan 4A, 1B dan 2C selepas dimaklumkan guru yang menghubunginya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata susulan kemalangan berkenaan, pihaknya kini sedang menyoal siasat pemandu lori terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
bharian

Sime Darby saman bekas CEO RM92 juta



24/12/2010 2:19pm

KUALA LUMPUR - Sime Darby Bhd. dan tiga subsidiarinya hari ni memfailkan saman sivil terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid dan dua eksekutifnya memohon ganti rugi sekurang-kurangnya RM92.2 juta kerana pecah amanah dan tanggunggjawab berhubung projek Bakun.
Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Dagang Baru pagi ini menerusi firma guaman Tetuan Zaid & Co.
Ini merupakan saman kedua difailkan oleh Sime Darby terhadap mereka.
Plaintif dalam saman itu adalah Sime Darby Berhad, Sime Engineering Sdn. Bhd., Sime Darby Holdings Berhad dan Sime Darby Energy Sdn. Bhd. manakala defendan adalah Ahmad Zubir, bekas Naib Presiden Eksekutif Bahagian Tenaga dan Utiliti Datuk Mohamad Shukri Baharom dan bekas Ketua Pegawai Kewangan Bahagian Tenaga dan Utiliti Abdul Rahim Ismail. - Bernama

Polis siasat dakwaan lelaki dipukul di balai



24/12/2010 3:39pm

KUALA LUMPUR - Polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki kononnya dia dipukul beberapa anggota polis di balai Dataran Sunway pada Sabtu lepas menyebabkan kedua-dua matanya lebam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh Chua Buang Hing, 34, yang turut mendakwa dia ditumbuk oleh tiga anggota polis lain sebelum itu.
Chua memberitahu pemberita hari ini bahawa pada 11 malam Sabtu lepas, beberapa anggota polis yang sedang mengadakan sekatan jalan raya di Petaling Jaya Utara telah menahan keretanya kerana tidak mempamerkan cukai jalan.
"Saya telah akui kesilapan saya kerana tidak menampal cukai jalan yang baru dihidupkan dan rela disaman. Saya terkejut seorang anggota polis itu terus menyeluk poket saya yang mengandungi RM7,000 dan meminta wang saya, namun saya tidak mahu memberi dan ini membuat dia marah. Tiga daripada mereka kemudian menumbuk muka dan mata saya serta menggari saya,” katanya. - Bernama
kosmo

Polis Tawau cari Muzakkir bantu siasatan



24/12/2010 3:57pm

TAWAU - Polis Tawau sedang mengesan seorang lelaki bernama Muzakkir Abdul Hak bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan seorang doktor klinik swasta di Taman Bunga Tulip di sini 8 Dis lepas.
Pemangku Ketua Polis Tawau Supt Imran Abdul Rahman berkata polis memerlukan kerjasama lelaki berusia dalam lingkungan 20an itu bagi melengkapkan siasatan berhubung pembunuhan Dr. Lim Tow Kiat, 49, yang dijumpai mati di rumahnya pada 9 pagi.
Lim, yang berasal dari Johor, dipercayai mati akibat perselisihan faham.
Imran berkata, alamat terakhir Muzakkir ialah di TB 3653, Taman Ria 1, Tawau.
Orang awam yang mengenalinya diminta menghubungi ASP Afendy Main di Balai Polis Tawau. - Bernama
kosmo

Kenderaan KPDNKK Perak disembur cat ketika operasi


PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak, Mohd Hilmi Mohd Noor menunjukkan kenderaan pacuan empat roda pegawai penguatkuasa yang disembur cat hitam dipercayai dilakukan oleh kumpulan 'tonto'. - Foto Ikhwan Munir 

24/12/2010 4:03pm

IPOH - Sebuah kenderaan pacuan empat roda Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak disembur cat hitam di bahagian belakang dan kanan dalam satu kejadian malam tadi ketika pegawai-pegawai penguatkuasanya sedang membuat pemeriksaan di sebuah premis di Greentown di sini.
Pengarah KPDNKK Perak Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, ia dipercayai dilakukan oleh kumpulan ”tonto” yang mengekori operasi pemeriksaan premis di Pusat Perniagaan Greentown dari 8 hingga 10 malam tadi.
Beliau berkata, operasi itu dilakukan bagi mengumpul maklumat berkaitan pemilik premis dan aduan penjualan cakera optik tanpa pelekat hologram, tanda harga, nama dan alamat pengeluar.
Mohd. Hilmi berkata, kejadian itu merupakan yang pertama berlaku di Ipoh dan kali kedua di Perak selepas insiden serupa di Taiping pada Ogos lepas. - Bernama

Wanita warga emas ditangkap khalwat



Oleh Zuliaty Zulkiffli

2010/12/24

Dicekup dalam bilik hotel bersama lelaki Iraq

ALOR SETAR: Seorang wanita berusia lewat 50-an yang juga isteri orang, dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki warga Iraq di sebuah hotel empat bintang di pekan Kuah, Langkawi, malam kelmarin. 

Wanita beranak dua yang berasal dari Selangor itu dikatakan dalam proses perceraian dengan suaminya, dicekup Pejabat Agama Daerah Langkawi (PADAL) kira-kira jam 11.50 malam selepas menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat pasangan terbabit.
Sumber berkata, ketika serbuan seorang lelaki berusia 46 tahun yang berpakaian lengkap membuka pintu bilik selepas diketuk anggota penguatkuasa PADAL.
Katanya, lelaki warga asing itu yang terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota penguatkuasa PADAL membenarkan pemeriksaan dijalankan dan hasil siasatan menemui seorang wanita di dalam bilik hotel itu dalam keadaan panik dan takut. 

"Selepas disoal siasat mereka mengaku bukan mahram atau suami isteri dan PADAL mengesyaki pasangan itu melakukan maksiat di bilik hotel itu," katanya. 

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati, wanita itu mengaku masih bersuami, manakala pasangannya mendakwa belum berkahwin dan menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di pulau itu. 

Katanya, lebih mengejutkan anggota penguatkuasa turut menemui dua kondom yang dipercayai sudah digunakan ketika membuat pemeriksaan di dalam bilik itu, sekali gus mengukuhkan bukti mereka melakukan maksiat. 
"Wanita yang berasal dari Selangor itu memberi alasan dia datang ke Langkawi atas urusan perniagaan. Walaupun menyewa di hotel mahal dan bertaraf empat bintang, mereka tidak akan terlepas daripada dicekup berkhalwat kerana kita akan membuat serbuan berdasarkan aduan yang diterima. 

"Pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuah, Langkawi untuk dibuat laporan tangkapan, sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk siasatan lanjut," katanya. 

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duaan.

'Menyesal masuk hutan'



Oleh Suhana Roslan

2010/12/24

MOHD FAIZAL AMIN  (tengah) dan Mustaqim  (kanan) keluar dari Hutan Gunung Nuang di Hulu Langat, selepas diselamatkan  anggota JPAM semalam.
MOHD FAIZAL AMIN (tengah) dan Mustaqim (kanan) keluar dari Hutan Gunung Nuang di Hulu Langat, selepas diselamatkan anggota JPAM semalam.
Pelajar UPM sesat 12 jam ketika daki Gunung Nuang

HULU LANGAT: Walaupun badan terlalu penat, saya menahan diri supaya tidak tidur bagi mengelak otot kejang kerana cuaca sangat sejuk, kata Mustaqim Mohd Hamid, 22, antara lima mangsa yang sesat hampir 12 jam di Gunung Nuang berhampiran Sungai Congkak di sini, semalam.

Beliau yang melahirkan kekesalannya kerana memasuki hutan pada waktu senja, bagaimanapun bersyukur kerana ditemui.
Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau tidak menjamah makanan dibawa termasuk air, roti dan mi segera kerana tiada selera makan walaupun lapar dan dahaga.
Saya bersama rakan, Faizal Mohd Amin Sarifuddin, 22, tiba di kaki Gunung Nuang pada jam 1.45 petang tetapi sesat dan hanya ditemui pada ketinggian 1,489 meter sebelum dibawa ke Hospital Kajang bagi rawatan susulan.

Kami bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius, katanya.

Rakan mereka, Mohd Shafiq Mohd Yusof, 22, Mohd Fathi Akmal Mohd Khir, 22, dan Mohd Afifie Hisham, 15, selamat tiba di kaki gunung itu pada jam 2 pagi, semalam.

Mohd Shafiq berkata, mereka berpecah kepada dua kumpulan kerana tidak pasti laluan, manakala Mustaqim pula cuba menghantar SMS kepada bapanya. 
Saya dan Mohd Fathi berpatah balik kerana Mohd Afifie mahu mengambil keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini (semalam), manakala Mustaqim dan Faizal meneruskan perjalanan ke puncak gunung.

Sepanjang berjalan, kami bertiga berdoa selamat tiba kerana cuaca sangat sejuk dan hanya membawa bekalan roti dan air. Kami bernasib baik ditemui pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan memaklumkan lokasi dua lagi rakan yang menuju ke puncak, katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat JPAM, Shahrul Kamar Mohd Johari, berkata pihaknya menerima panggilan bapa seorang daripada mangsa pada jam 8.24 malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 10 malam.

Gempa sederhana landa barat Pasifik





2010/12/24

SYDNEY: Gempa sederhana berukuran 5.6 magnitud melanda dasar lautan berhampiran Kepulauan Vanuatu di barat Pasific, awal hari ini, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS). 

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikeluarkan manakala belum ada laporan mengenai kerosakan yang berlaku.
USGS melaporkan, gempa berlaku jam 3.28 waktu tempatan (1629 GMT) dengan pusat gegaran di 97 kilometer dari Isangel, di Pulau Tanna.
Vanuatu, yang terletak antara Fiji dan Australia dan di utara New Zealand, termasuk dalam rantaian pusat gempa bumi dan gunung berapi aktif. 

Sejak Julai lalu, sekurang-kurangnya empat gempa bumi berlaku berukuran 6.0 mangnitud yang melanda negara yang mengandungi 83 pulau itu. 

Pada Mei, kepulauan itu digegarkan dengan gempa kuat 7.2 magnitud disusuli dengan amaran tsunami. - AFP

Assange akui kemungkinan dibunuh di penjara AS





2010/12/24

LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange berkata terdapat kemungkinan besar bahawa dia akan dibunuh di dalam penjara Amerika Syarikat (AS) sekiranya dia diekstradisi dari Britain kerana membocorkan maklumat sulit AS. 

Warga Australia itu kini dibebaskan dengan di Britain turut berdepan diekstradisi ke Sweden atas tuduhan melakukan jenayah seks dan perkosaan.
Assange semalam memberitahu akhbar The Guardian bahawa adalah mustahil dari segi politik sekiranya Britain akan menghantarnya menyeberangi Atlantik (ke AS) dan yakin kerajaan pimpinan Perdana Menteri Britain, David Cameron tidak mahu tunduk dengan telunjuk Washington.
“Secara perundangan, UK mempunyai hak untuk tidak mengekstradisi bagi kes jenayah politik seperti ini. 

"Membocorkan maklumat dalam kes klasik membabitkan jenayah politik," katanya. 

Beliau mendakwa pihak berkuasa AS sedang berusaha melakukan 'rundingan pengakuan bersalah' dengan Bradley Manning, seorang askar AS yang ditangkap kerana disyaki membekalkan maklumat kabel AS kepada WikiLeaks. 

Assange berkata, sekiranya AS berjaya mengekstradisinya dari Britain atau Sweden ada peluang yang besar dia akan dibunuh ala pembunuhan “Jack Ruby” di penjara Amerika. 

Ruby, seorang pemilik kelab malam ditembak Lee Harvey Oswald di Balai Polis Dallas, Texas, sehari selepas Oswald diberkas kerana disyaki terbabit dalam komplot pembunuhan Presiden AS, John F. Kennedy pada 1963. - AFP