Search This Blog

Tuesday, December 21, 2010

Kedai komputer diserbu



TELUK INTAN - Sebuah kedai menjual peralatan komputer di Taman Juta Intan 2 diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Teluk Intan, semalam kerana menjual komputer menggunakan perisian cetak rompak.

Ketua Cawangan KPDNKK, Omar Ismail berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengeluar perisian yang mendapati terdapat aktiviti menjual komputer dimasukkan dengan perisian cetak rompak di kawasan tersebut.

Menurutnya, pihaknya membuat siasatan dan penyamaran bagi mendapatkan kepastian sebelum serbuan dijalankan kira-kira 4.30 petang semalam.

Katanya, serbuan diketuai Mohammad Nizam Yunan bersama empat pegawai, menyerbu ketika urus niaga dijalankan pihaknya yang menyamar sebagai pelanggan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati pemilik kedai tersebut menjual komputer dengan dimuat turun perisian cetak rompak.

“Kami merampas sebuah komputer riba, sebuah komputer (CPU) dan empat unit perisian komputer dari kedai tersebut.

“Kami juga menahan seorang pengurus dan seorang pekerja kedai untuk diambil keterangan,” katanya kepada pemberita di banguan KDPNKK di sini, semalam.

Omar berkata, ini adalah kes pertama melibatkan cetak rompak perisian komputer bagi tahun ini.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Hakcipta 1987 yang boleh membawa hukuman denda RM2000 hingga RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya bagi pihak individu manakala pihak syarikat boleh dikenakan denda sebanyak RM4,000 hingga RM40,000.

“Pihak kami akan sentiasa memantau pergerakan aktiviti cetak rompak di kawasan ini dan tidak bertolak ansur sekiranya perkara ini berlaku di kawasan ini.

“Kami juga akan menjalankan pemeriksaan masa ke semasa bagi memastikan aktiviti cetak rompak ini dapat dibanteras malahan maklumat yang disalurkan oleh orang awam adalah dialu-alukan,” katanya.

Dua penganggur didakwa




IPOH - Dua penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam, terhadap semua pertuduhan ke atas mereka.

Tertuduh pertama, T Chandran, 29, dari Lahat, dekat sini, dituduh melakukan kesalahan tersebut apabila cuba mencederakan orang lain dengan menggunakan senjata tajam.

Chandran dituduh melakukan perbuatan berkenaan terhadap Low Kean Ket, di hadapan sebuah premis di Menglembu sekitar 7 petang pada 15 Oktober lalu.

Akibat perbuatan berkenaan, Chandran didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tiga tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi penganggur, K Selvam, 25, menghadapi dua pertuduhan berasingan kerana memiliki dadah jenis eramin 5 serta syabu.

Bagi pertuduhan pertama, Selvam didakwa memiliki dadah jenis Pil Eramin 5 yang dianggarkan seberat 1.7 gram di hadapan sebuah rumah di Taman Mas Jaya, Ipoh sekitar 2.30 pagi pada 18 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Selvam didakwa memiliki dadah jenis syabu, seberat 2.0 g, di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Berikutan kesalahan berkenaan, Selvam boleh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta yang sama (Akta 234).

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan mohon untuk dibicarakan.

Majistret, Roslinda Razali, membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Januari 2011 untuk sebutan semula kedua-dua kes berkenaan.

Pati sembunyi atas bumbung




PUCHONG – “Saya terdengar suara riuh rendah di luar sebelum mendengar bunyi tapak kaki orang di atas bumbung tingkat atas rumah yang kami diami sekeluarga,” kata seorang kanak-kanak yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd ketika menceritakan kejadian enam warga Indonesia melarikan diri ke atas bumbung bagi mengelakkan mereka dicekup penduduk lewat malam kelmarin.

Difahamkan, kesemua warga asing terbabit menyembunyikan diri di atas bumbung pangsapuri Sri Begonia Bandar Puteri, untuk mengelakkan mereka diberkas dalam operasi dijalankan k polis dan Jabatan Imigresen sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, kesemua mereka ter’kantoi’ apabila penduduk terserempak dengan seorang daripada mereka yang dikatakan memanjat ke bumbung pangsapuri lima tingkat itu dengan membawa bungkusan makanan.

Sinar Harian dimaklumkan, kesemua mereka dipercayai antara penyewa tingkat empat blok yang sama namun bersembunyi kerana bimbang diri mereka dicekup dalam operasi dijalankan.

Mohd berkata, ketika kejadian, dia menonton televisyen bersama neneknya selepas kedua ibu bapanya ke surau.

Katanya, dia kemudian terkejut apabila mendengar suara bising jiran di luar rumah pangsapuri lima tingkat yang dihuni sebelum membuka pintu untuk melihat apa yang berlaku.

“Sebaik sahaja membuka pintu, saya nampak orang berlari-lari dan ada di antaranya di atas bumbung.

Saya kemudian masuk ke dalam rumah dan lihat siling ruang tamu pecah selain dapat melihat orang berjalan melaluinya.

“Bimbang sesuatu yang buruk, saya kemudian keluar dari rumah sehinggalah mendapati pihak polis sudah tiba di tempat kejadian,” katanya.

Ibu Mohd yang hanya mahu dikenali sebagai Siti pula berkata, dia kelam-kabut pulang ke rumah selepas mendapat tahu kejadian terbabit melalui jirannya.

“Memang terkejut melihat siling sudah berlubang angkara warga Indonesia yang cuba melarikan diri kerana takut dicekup penduduk,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, enam yang ditahan di atas bumbung tingkat empat blok F pangsapuri terbabit termasuk empat wanita berusia antara 19 dan 26 tahun.

“Warga asing terbabit dicekup penduduk sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana memasuki dan tinggal di negara ini tanpa pas dan permit yang sah.

Suami isteri maut



PENDANG – Ibarat sehidup semati itulah ungkapan yang dapat digambarkan terhadap pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Batu 20 Jalan Padang Pusing di sini, petang kelmarin.

Suami isteri itu, Abdul Hamid Hassan, 48, dan Fauziah Bahari, 48, dari Kampung Padang Kabu Sungai Tiang maut di tempat kejadian ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Sinar Harian difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira 4.20 petang yang membabitkan kereta jenis Proton Wira dengan sebuah lori batu.

Pemangku Ketua Polis Ibu Pejabat Polis daerah Pendang, L Pubadi berkata, kereta mangsa datang dari arah Pendang ke Sungai Tiang manakala lori berkenaan datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku dipercayai kereta mangsa terbabas dan masuk ke laluan lori menyebabkan kedua kenderaan itu bertembung.

“Kereta terbabit dinaiki sepasang suami isteri dan dua anak mereka manakala lori terbabit dipandu seorang lelaki.

“Bagaimanapun, dua anak mangsa hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu lori tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.

L Pubadi berkata, seorang anak mangsa berada di tempat duduk hadapan manakala seorang lagi berada di belakang sebelah kiri kereta bersama ibu mereka yang turut duduk di bahagian belakang.

“Keadaan kereta remuk teruk manakala lori terbabit hanya remuk sedikit di bahagian depan.

“Keadaan jalan tidak menyebabkan faktor kemalangan ini berlaku dan kemalangan ini disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan jalan 1987. Saya berharap orang ramai yang melihat kejadian ini tampil ke ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berpesan agar orang ramai sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Wanita terjun Sungai Johor



KOTA TINGGI - Angkara cemburu buta terhadap suami yang dikatakan menjalin cinta dengan wanita lain, seorang wanita nyaris lemas apabila bertindak terjun ke Sungai Johor, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Samsuddin berkata, dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, mangsa yang berusia 39 tahun itu dikatakan keluar seorang diri dari rumah menuju ke sebuah jambatan bagi cubaan membunuh diri.

Bagaimanapun katanya, tindakan wanita itu berjaya dihidu seorang pemilik kedai berdekatan apabila mengesyaki sesuatu setelah wanita itu bertindak menuruni sebuah tangga menuju ke tebing sungai tersebut.

“Seorang saksi yang kebetulan baru membuka kedai terkejut melihat seorang wanita menuruni tangga menuju ke tebing sungai tersebut sebelum bertindak meminta bantuan orang kampung.

“Penduduk yang ke tempat kejadian terkejut apabila wanita itu sudah terapung di dalam sungai sebelum mereka berjaya menyelamatkan mangsa yang ketika itu dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad berkata, mangsa dihantar ke Hospital Daerah Kota Tinggi bagi menjalani rawatan kecemasan.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati wanita itu dipercayai menghadapi tekanan perasaan akibat cemburu kononnya suaminya itu mempunyai kekasih lain.

“Kebiasaannya, suami wanita itu menghantarnya ke Perhentian Bas Tembioh, Kota Tinggi, tetapi pada hari kejadian, wanita terbabit bertindak keluar seorang diri sebelum menghubungi salah seorang anaknya dan menyatakan hasrat untuk membunuh diri,” katanya.

“Terkejut dengan keadaan itu, suami mangsa terus ke perhentian bas terbabit, namun hampa selepas isterinya tidak ditemui sebelum ke tempat kejadian,” katanya.

Polis difahamkan wanita terbabit berkemungkinan mempunyai tekanan perasaan dan dikatakan sering memarahi suaminya yang bekerja sebagai pemandu van pekerja di salah sebuah kilang di sini.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 309 kanun keseksaan kerana cubaan membunuh diri.

Kerani dipedaya RM8,000



JOHOR BAHRU - Seorang kerani bank di Singapura menjadi mangsa terbaru apabila diperdaya RM8,000 dalam kegiatan sindiket gores dan menang.

Mangsa, Taw Ie Wen, 29, mendakwa, dia didatangi oleh seorang individu pada Sabtu lalu kira-kira jam 3 petang, yang menawarkan peraduan gores dan menang ketika melewati sebuah pusat beli belah di Johor Bahru sekembalinya dari bekerja.

Menurutnya, seorang lelaki telah memujuknya untuk membuka sekeping kertas cabutan bertuah dan mengatakan ramai individu sebelum ini juga telah melakukannya, namun tidak mendapat hadiah.

“Saya bersetuju untuk menggores kad diberikan dan telah memenangi hadiah istimewa. Kemudiannya lelaki terbabit mengajak saya ke pejabat mereka di Taman Molek bagi menebus hadiah tersebut,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kelab Akhbar Cina Johor Bahru, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi MCA Johor Bahru yang juga Ketua Khidmat MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck.

Ie Wen berkata, pada mulanya dia enggan mengikuti lelaki terbabit kerana mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, namun helah individu terbabit berkata-kata dan pujukan membuatkan dirinya akur.

Setibanya di pejabat syarikat tersebut, Ie Wen mendapati ada lapan petugas syarikat di samping beberapa pelanggan lain di situ.

Beliau dibantu seorang lelaki lain yang hanya di kenali sebagai Ah Kit yang memberi penerangan dengan memberitahu beliau perlu membayar RM7997 bagi menebus ha�diah yang dimenangi.

“Saya perlu membayar hampir RM8,000 bagi bayaran kos kerajaan dan kos iklan yang akhirnya dibawa Ah Kit ke kedai emas bagi mengeluarkan wang saya menerusi dua kad kredit dimilikinya,” katanya kesal.

Ie Wen dikatakan memenangi hadiah berupa Jed Matress, ketuhar gelombang mikro, set teater rumah dan periuk memasak.

Beliau juga disuruh memberikan wang RM8,000 tersebut kepada Ah Kit dan diberitahu barang yang dimenanginya akan dihantar ke rumah.

“Apabila sampai ke rumah, saya dapati barang dimenangi tidak setimpal dengan nilai bayaran yang dibuat. Saya juga ada menghubungi talian pelanggan jenama produk tersebut dan ianya tiada dalam perkhidmatan. Saya yang berasa tertipu terus membuat laporan polis,” katanya.

Akibat insiden itu, Ie Wen terpaksa menanggung hutang RM8,000 menerusi dua kad kreditnya.

Sementara itu, Song Tuck berkata, pusat beli belah terbabit dan beberapa kawasan di Plentong dan Perling dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan sindiket terbabit yang menyasarkan pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura.

Katanya, bagi tempoh seminggu ini, sebanyak lapan kes sindiket gores dan menang dilaporkan kepadanya.

Mekanik terseret 30 meter



CHEMBONG - Seorang lelaki maut digilis lori treler di Kilometer 21.2 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Taman KSNS, Chembong kira-kira jam 12 tengah malam, malam semalam.

Mangsa yang juga mekanik di bengkel motosikal di Pekan Rembau, M Babu, 35, dikatakan dalam perjalanan ke rumahnya di Taman KSNS selepas keluar makan.

Babu meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dari arah Seremban dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu masuk ke arah bertentangan dan merempuh bahagian depan lori.

“Rempuhan itu menyebabkan motosikal mangsa terperosok masuk di bahagian depan lori dan terheret sejauh 30 meter dari tempat kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan, sementara mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau menerusi talian 06-685 1999 atau 06-685 2222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Motosikal langgar tembok



BENTONG – Seorang pelajar Tingkatan Empat maut dalam kemalangan di Kilometer 38 jalan susur ke Hentian Rehat Genting Sempah, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, mangsa, Mohamad Noor Idham Nordin, 16, menaiki motosikal bersama seorang rakan, Mohamad Nur Alif Rosli, 16.

Menurutnya, mereka menaiki motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong kira-kira pada jam 1 petang.

“Ketika melalui susur itu, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditungganginya menyebabkan mereka terbabas lalu melanggar tembok batu di sebelah kiri jalan.

“Mohamad Noor Idham mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong lebih kurang jam 5.50 petang,” katanya.

Rosli berkata, pembonceng motosikal pula mengalami kecederaan parah iaitu patah kaki dan tangan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSAS).

Menurutnya, siasatan berhubung kejadian itu masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya mengingatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan anak mereka yang tidak mempunyai lesen memandu atau menunggang kenderaan kerana ia bukan sahaja berbahaya malahan boleh dikenakan tindakan.

“Tindakan saman boleh diambil kepada pemilik kenderaan kerana membenarkan anak-anak mereka memandu tanpa lesen yang sah,” katanya.

Rosli berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memastikan keselamatan anak mereka terjamin dan tidak sesekali akur dengan desakan anak-anak untuk membeli atau menggunakan kenderaan sekiranya mereka masih belum mempunyai lesen memandu yang sah.

Kereta rempuh kedai


MENGABANG PANJANG – Kemalangan membabitkan dua Proton Wira, semalam, diibaratkan berpantang maut sebelum ajal apabila tujuh mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu hanya cedera ringan biarpun salah sebuah kereta merempuh kedai runcit.

Saksi kejadian, Mohd Suhaimi Mohd Sobri, 28, berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1 tengah hari itu disebabkan kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berumur 20-an dipandu laju dengan memotong dua kenderaan lain sebelum merempuh kereta yang ingin memasuki lorong sebelah kanan.

“Pada waktu itu, kereta Proton Wira yang ingin memasuki lorong sebelah kanan memberi isyarat tetapi memandangkan kereta yang meluru laju itu tidak dapat membrek, terus melanggar pintu sebelah pemandu sebelum tersasar dan merempuh kedai.

“Kemalangan yang berlaku begitu pantas itu menyebabkan kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tersepit di tempat duduk pemandu dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan. Bagaimanapun seorang penumpang dalam kereta sama tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

Menurutnya, kelima-lima individu yang berada dalam sebuah kereta Proton Wira yang merempuh kedai terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya luka kecil sahaja.

Sementara itu, menurut pemandu kereta Proton Wira, Nik Othman Nik Ramli, 20, kejadian yang berlaku sangat pantas dan ia seolah-olah bagai satu mimpi kerana tidak menyangka akan terlibat dalam kemalangan.

“Memang tidak dinafikan saya memandu laju untuk ke tapak projek di Tembila, Besut selain mencari rumah sewa di sana. Tetapi tidak menyangka kejadian hari ini (semalam) adalah paling buruk sejak berulang-alik dari Bukit Payong ke Tembila.

“Bagaimanapun saya sangat bersyukur kerana kemalangan ini tidak melibatkan kehilangan nyawa biarpun saya rasa seperti mati hidup semula,” katanya.

Menurutnya, kemalangan kali ini memberi pengajaran kepada diri sendiri untuk lebih berhati-hati dan dalam masa yang sama turut menyesal kerana tidak memiliki lesen memandu lagi.

“Selain itu, cukai jalan kereta juga telah tamat tempoh sejak seminggu lalu dan keadaan ini memberi tekanan kepada saya untuk membuat laporan polis,” katanya.

PROJEK KANTOI



SERI KEMBANGAN – Dua wanita warga Thailand hanya sempat membalut tubuh genit mereka dengan sehelai tuala apabila premis yang dijadikan tempat pelacuran diserbu anggota Penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), malam kelmarin.

Difahamkan, wanita terbabit dipercayai baru sahaja melakukan ‘projek’ bersama pelanggan masing-masing berikutan penemuan beberapa kondom terpakai.

Sinar Harian dimaklumkan sebelum itu niat asal sepasukan anggota penguat kuasa MPSJ ke premis itu sebenarnya untuk menyerbu sebuah pusat hiburan.

Namun, anggota yang menjalankan serbuan di Jalan PSK 4, Pusat Perdagangan Seri Kembangan di sini terkejut apabila menemui dua wanita terbabit dalam keadaan separuh bogel.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, anggota memecah masuk sebuah premis kira-kira jam 10 malam kelmarin selepas menerima aduan pengusaha menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Bagaimanapun, katanya ketika operasi dijalankan, anggota menemui satu lorong tangga yang mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan terperinci di tingkat atas premis tersebut.

“Mengejutkan apabila pemeriksaan dijalankan di tingkat atas rumah kedai itu menemukan anggota dengan 12 ruang yang dibuat sekatan seperti bilik dan ditandakan dengan nombor 1 hingga 12.

“Pemeriksaan dijalankan dari bilik ke bilik sebelum wanita warga Thailand yang dipercayai menjalankan khidmat pelacuran ditemui dalam bilik bernombor 10 dan 12,” katanya.

Zulkurnain berkata, hasil pemeriksaan turut menjumpai kondom yang sudah digunakan di dalam bilik sama wanita berkenaan dicekup.

“Pengusaha premis dan dua wanita itu diserahkan kepada pihak pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Bagaimanapun pelanggan yang dipercayai melanggan kedua-dua wanita itu dapat meloloskan diri.

“Manakala Majlis mengambil tindakan di bawah Undang-undang Kecil 3 Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan Dan Perindustrian MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM1,000,” katanya

Kata beliau lagi tindakan memecahkan sekatan di dalam premis tingkat atas turut dijalankan kerana premis tersebut tidak mendapat kelulusan yang sah daripada MPSJ.

Rumah tradisional musnah






MELAKA - Salah sebuah rumah tradisional Melayu di Lorong Tun Mamat, Kampung Morten, dekat sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku tengah hari, semalam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan rumah berkenaan kosong tidak berpenghuni sejak empat bulan lalu.

Salah seorang saksi yang juga sidang kampung berkenaan, Abdullah Tamby Hussin berkata, dia diberitahu mengenai kejadian itu oleh seorang penduduk, kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Menurutnya, dia pada mulanya menyangka kepulan asap di udara berpunca daripada kerja pembakaran sampah oleh penduduk kampung tetapi sebenarnya adalah kebakaran membabitkan sebuah rumah di kawasan berkenaan.

“Apabila saya sampai sahaja di rumah terbabit, saya lihat asap sudah memenuhi bahagian dapur rumah dan api sudah mulai marak.

“Saya terus menghubungi bomba dan pada masa sama cuba menghubungi pemilik rumah berkenaan yang dipercayai kini menetap di Kampung Bachang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Abdullah berkata, rumah itu sebelum ini mengalami masalah keretakan dan agak condong sedikit berikutan kerja menaik taraf Sungai Melaka hampir dua tahun lalu.

Dadah: Penganggur dijel tujuh bulan





KOTA BHARU – Seorang penganggur dipenjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan menagih dadah jenis pil kuda.

Muhamad Arobi Ibrahim, 27 mengaku salah dalam pertuduhan pertama memberikan diri sendiri dadah jenis ‘methamphetamine’ ketika ditahan di pejabat narkotik Kota Bharu, pada jam 8.41 pagi, 3 Jun lalu.

Tertuduh dari Kampung Padang Seri Paduka, Kubang Kerian turut mengaku salah dalam pertuduhan kedua memberikan diri sendiri dadah jenis sama di Padang Seri Paduka, jam 10.40 pagi pada 29 Mac 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Majistret Nur Zakiyah Shamsudin menjatuhkan hukuman masing-masing penjara lima bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara tujuh bulan bagi pertuduhan kedua mulai tarikh tangkapan.

Muhamad Arobi turut dikenakan perintah pengawasan selama dua tahun di Balai Polis Kubang Kerian.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad.

Mekanik kereta miliki 200 pil kuda



SURA – Helah seorang mekanik yang menjadikan bengkel kereta miliknya sebagai 'port' untuk memasarkan pil kuda terbongkar hasil serbuan polis, pagi semalam.

Mekanik berumur 30-an yang ketika itu sedang tidur dalam kereta yang diletakkan di bengkelnya bagaimanapun terpinga-pinga sebaik sahaja menyedari kehadiran tetamu tidak diundang itu.

Pemeriksaan lanjut polis ke atas suspek akhirnya membawa kepada penemuan 400 biji pil kemerahan disyaki dadah jenis pil kuda.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, mekanik terbabit menjadi buruan polis kerana disyaki dalang aktiviti pengedaran pil kuda kepada penagih sekitar.

Ismail berkata, dalam serbuan sama, pihaknya juga berjaya menahan empat lagi rakannya, disyaki penagih dadah berdekatan bengkel kenderaan tersebut.

“Penemuan sejumlah dadah jenis pil kuda dalam poket seluar milik suspek melalui operasi bersepadu itu menguatkan bukti bahawa dia terbabit dengan aktiviti itu.

“Mekanik yang sudah berkeluarga itu kini ditahan reman mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala empat lagi rakannya disahkan positif dadah dan ditahan mengikut Seksyen 15(1) akta yang sama,” katanya.

Peniaga didenda RM19,000 rasuah penguatkuasa



21/12/2010 1:37pm

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengenakan hukuman satu hari penjara dan denda RM19,000 terhadap seorang peniaga kerana memberi suapan kepada seorang pegawai penguatkuasa pada Disember tahun lepas.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh mengenakan hukuman itu terhadap Eu Wee Siang, 27 kerana memberi suapan RM9,950 kepada seorang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Nazrul Hisham Hamadi di Wee Siang Trading, No 296 Bt 11 Jalan Klang Banting, Teluk Panglima Garang, Selangor pada 30 Disember tahun lepas.
Wee Siang dituduh melakukan kesalahan itu sebagai balasan supaya Nazrul tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual gas masak tanpa lesen.
Tertuduh pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun pada minggu lepas, dia mengaku bersalah setelah ditawarkan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

Keadaan banjir di Kemaman bertambah baik



21/12/2010 12:23pm

KUALA TERENGGANU - Banjir yang melanda beberapa kawasan di Kemaman beransur surut dan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan berkurangan kepada 243 berbanding 353 orang petang semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kemaman berkata, mangsa yang masih berada di 12 pusat pemindahan adalah 152 orang di kawasan Kemasik dan 91 orang di kawasan Kijal.
"Mangsa belum boleh pulang kerana kawasan rumah mereka masih digenangi air," katanya di sini pagi ini.
Jurucakap itu berkata, paras air sungai Kemaman berada dalam keadaan normal kecuali di Kerteh, iaitu di Batu Putih kini meningkat ke tahap amaran 2.84 meter (amaran 2.5 meter).
Katanya, cuaca di Kemaman kembali mendung pagi ini dan hujan sekali sekala.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri memaklumkan keadaan paras sungai di semua sungai utama di Terengganu pagi ini berada dalam keadaan normal. - Bernama

Mangsa nampak asap di bahagian luar bas sebelum nahas





2010/12/21

IPOH: Salah seorang pelancong Thai yang terselamat dalam kemalangan maut semalam di laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands ternampak asap di bahagian luar tepi bas pesiaran sebelum ia terbabas. 

"Sewaktu bas menuruni kawasan bukit itu, anak saya menceritakan yang dia nampak asap di bahagian luar tepi bas berkenaan," kata Nasir Ismail, 51, yang anaknya Areena Songserm (nama Islam Areena bt Nasir) antara 10 yang cedera.
Nasir berkata, Areena memberitahunya apabila bas merempuh pembahagi jalan dan terus terbalik di dalam longkang besar, dia cuma ingat yang dia cuba merangkak keluar.
Nasir tiba kira-kira 9 pagi tadi di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk melawat Areena yang mengalami cedera ringan di bahagian kepala dan badan dan kini dirawat di wad biasa hospital. 

"Anak saya beritahu, selepas dia merangkak dan dapat keluar dari badan bas, dia kata dia masih dapat melihat asap pada bas berkenaan. Bagaimanapun dia tidak dapat pastikan tahap kelajuan bas terbabit semasa sedang menuruni kawasan bukit itu," katanya kepada pemberita. 

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana anaknya masih hidup walaupun senarai yang dikeluarkan semalam menunjukkan anaknya yang juga pelajar tahun tiga jurusan Undang-undang di Walailak University, Nakhon Sithamarat terkorban. 

Seramai 27 orang, kebanyakannya pelancong Thai, terbunuh apabila bas itu terbalik dalam kejadian 11.40 pagi semalam. 
Aida Muhamad, 36, bersyukur emak saudaranya Darunee Songserm (nama Islam Dariah Ismail) berada dalam keadaan stabil walaupun sedang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU). 

Katanya Darunee mempunyai pengalaman sebagai pemandu pelancong sejak 10 tahun lalu. 

"Saya rasa ibarat mati hidup semula, apabila polis memberitahu mak saudara saya terselamat dalam kemalangan tersebut...dan syukur alhamdulillah semuanya selamat," katanya. 

Sementara itu, anak sulung Darunee, Faisal Ismail, 40, berkata melihat keadaan ibunya yang kini berada di ICU beliau hanya berdoa dan menyerahkan kepada takdir. 

"Saya tiba di sini semalam (12 tengah malam) terus ke rumah mayat untuk menuntut mayat (ibu) tetapi tidak dibenarkan sebab bilik mayat dah tutup, tetapi syukur hari ini dapat tahu ibu saya masih hidup," katanya. 

Faisal yang bekerja sebagai pemandu pelancong dan guru bahasa Inggeris di Patani menganggap kejadian ini adalah sejarah dalam keluarganya. 

Aswadi Abdulullah, 31, yang juga saudara kepada pemandu bas yang maut, Omar Shahidan, berkata Omar pernah bercerita sebelum ini mengenai Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai ini tidak selamat dan tidak sedap hati bila melaluinya. 

Aswadi berkata, arwah menceritakan tentang minyak yang terdapat di jalan berkenaan dan nyaris menjadi mangsa disebabkan permukaan jalan yang licin. 

"Tetapi beliau tidak menuduh terdapat unsur khianat dari perbuatan itu ataupun sebab-sebab lain, melainkan menyatakan perkara buruk akan berlaku sekiranya tiada pemantauan pihak berkuasa. 

"Saya juga seorang pemandu bas dan saya minta pihak berwajib memantau perkara ini...dan jangan hanya menuding jari kepada pemandu bas selepas berlakunya kemalangan," katanya. 

Aswadi berkata beliau berpendapat Omar tidak memandu secara melulu kerana bas yang dipandunya membawa pelancong dari luar negara. 

Katanya, pasaran pelancong dari negara jiran Thailand itu amat memberangsangkan dan pemandu mungkin kehilangan pekerjaan sekiranya tidak menjalankan tugas dengan baik. 

"Omar mengambil alih tugas membawa pelancong ini dari sebuah hotel di ibu negara dan membawa mereka ke Cameron Highlands sebelum menghantar mereka pulang ke Kuala Lumpur semalam," katanya. 

Jenazah Omar dituntut keluarganya malam tadi dan dibawa pulang untuk disemadikan di Taman Seri Manis, Kangar manakala mayat pemandu pelancong, Soontorn Kian, 38, pula dibawa ke Alor Setar. - BERNAMA

SK Murni nafi bas persiaran milik syarikat itu



21/12/2010 6:25pm

JITRA 21 Dis. — Syarikat SK Murni Tours & Travel Sdn. Bhd. hari ini menafikan bahawa bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam, adalah milik syarikat itu.
Pengarah Urusannya, R. Shanmugam berkata, syarikat itu tidak terlibat langsung dengan kemalangan berkenaan serta menafikan bahawa pemandu bas yang maut iaitu Omar Shahidan, 48, adalah pekerjanya.
"Saya juga keliru kenapa syarikat saya turut dilibatkan dalam kes kemalangan ngeri itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, segala urusan perjalanan pelancong Thailand itu diuruskan sepenuhnya oleh syarikat San Express Holiday (SEH) kerana syarikat tersebut mempunyai cawangan di Bangkok.
"Saya tahu tentang percutian itu, malah semasa perbincangan antara syarikat saya dan SEH sebelum ini, mereka (SEH) mengakui mampu untuk menguruskan sendiri percutian tersebut,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di pejabat SEH di Changlun dekat sini mendapati syarikat tersebut tidak beroperasi hari ini.
Semalam, Kementerian Pelancongan mengeluarkan kenyataan bahawa bas persiaran bernombor pendaftaran AFX 2266, yang terlibat dalam nahas jalan raya terburuk negara, adalah milik syarikat SK Murni Tours & Travel Sdn. Bhd.
Menurut kenyataan itu, ia telah didaftarkan sebagai kenderaan pelancongan pada 30 November 2009 dan tempoh sah lesen bas persiaran itu ialah sehingga 30 November 2012.
Kemalangan membabitkan bas persiaran itu, yang membawa sekumpulan pelancong Thailand, berlaku pada 11.40 pagi semalam dan meragut 27 nyawa, termasuk dua rakyat tempatan.
Mereka yang terkorban ialah pemandu bas dan pemandu pelancong, serta 25 pelancong warga Thailand. - Bernama

Polis sahkan tumpahan minyak bukan punca nahas



21/12/2010 6:43pm



IPOH 21 Dis. – Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof menolak dakwaan terdapat tumpahan minyak hitam bas yang menjadi punca nahas kemalangan bas terburuk di Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands semalam.
Beliau tetap mengatakan bahawa nahas itu berkemungkinan besar disebabkan oleh pemandu atau kerosakan mekanikal.
“Kesemua 25 warga Thailand yang maut disahkan akan dituntut keluarga masing-masing esok.
“Polis akan mengeluarkan senarai nama 27 mangsa terkorban bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – Utusan

2,000 ekor haiwan eksotik cuba diseludup keluar



21/12/2010 6:46pm



KUBANG PASU 21 Dis. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya merampas hampir 2,000 ekor haiwan eksotik seperti kura-kura, biawak, ular tedung selar dan ular senduk bernilai RM24,000 yang cuba diseludup keluar di pintu sempadan negara ini semalam.
Kesemua haiwan itu ditinggalkan dalam sebuah lori kira-kira pukul 6.40 pagi semalam di kawasan Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam.
Pengarahnya, Ishak Ahmad berkata, lori tersebut ditinggalkan tanpa pemandu dalam keadaan mencurigakan sebelum pihaknya memeriksa dan menemui haiwan-haiwan berkenaan. – Utusan

Samun guna pistol mainan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dicekup hanya 15 minit selepas menyamun mangsanya dengan bersenjatakan sepucuk pistol mainan berwarna kuning di Lorong Haji Taib, di sini, kelmarin.
Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, mangsa iaitu seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai buah dan berusia 40-an berjalan kaki bersendirian sebelum ditahan suspek.

“Suspek yang berusia awal 20-an mendakwa dia anggota polis namun gagal menunjukkan kad kuasa ketika diminta mangsa. Pada masa sama, mangsa sempat melihat sepucuk pistol diselitkan di belakang badan suspek.

“Suspek dengan angkuhnya memberitahu pistol berwarna kuning itu adalah senjata api ‘hidup’ dan digunakan untuk mencari makan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian menyerahkan wang tunai sebanyak RM150 selepas diugut akan ditembak jika tidak mahu memberikan wang diminta.

Katanya, mangsa kemudian melaporkan kejadian kepada seorang anggota polis yang kebetulan berada di sekitar kawasan itu dan suspek berjaya ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaana.

Sementara dalam kes berasingan, seorang daripada dua lelaki ditahan selepas merompak seorang buruh binaan warga Bangladesh yang menunggu bas di perhentian Bas Klang, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Mangsa yang berusia 32 tahun, dihampiri dua lelaki terbabit sebelum dipukul dan dompet berisi wang tunai RM1,000 serta telefon bimbitnya dirampas.

Anggota polis yang kebetulan melalui lokasi kejadian berjaya manahan seorang daripada suspek yang berusia 35 tahun dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Suara makin perlahan

IPOH: “Sayu hati saya dan rakan setugas sejurus tiba di lokasi kejadian apabila mendengar beberapa mangsa yang tersepit mengerang kesakitan dan suara mereka semakin perlahan sebelum keadaan menjadi sunyi.
“Lebih menyayat hati apabila beberapa mangsa lain bergelimpangan di atas jalan selain ada yang terhumban dalam longkang.
“Kebanyakan mangsa mengalami kecederaan parah seperti patah anggota badan dan pecah kepala dengan serpihan otak serta daging bertaburan atas jalan,” kata Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, Ahmad Aminuddin Abdul Rahim.

Beliau bersama 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh antara pasukan penyelamat terawal tiba di lokasi kemalangan bas yang mengorbankan 27 nyawa berhampiran Kampung Juang, Simpang Pulai, dekat sini, semalam.


Menurut Ahmad Aminuddin, pasukannya yang tiba di tempat kejadian jam 12.10 tengah hari, turut terkejut melihat keadaan kemalangan yang disifatkan antara paling teruk pernah dilihatnya.

“Keadaan mangsa yang bergelimpangan atas jalan dan terhumban dalam longkang begitu teruk kerana ada antara mereka yang pecah kepala.

“Namun kami terpaksa mengetepikan perasaan sedih demi melaksanakan tanggungjawab dan fokus terhadap usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam bas terlebih dulu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Seramai 52 anggota membabitkan 14 dari Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, (18) Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng (enam). Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai (14) terbabit dalam operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Yahaya Madis berkata, pihaknya terpaksa menggunakan alat hidraulik dan mesin pemotong serta sebuah kren bagi kerja mengeluarkan mangsa.

“Kebanyakan mangsa yang tercampak atas jalan dan terhumban dalam longkang mengalami kecederaan parah di kepala serta semua mangsa dalam keadaan tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Mangsa pertama yang cedera dikeluarkan jam 12.13 tengah hari manakala mangsa terakhir jam 2.55 petang,” katanya.
hmetro

22 maut serta-merta

IPOH: Dua puluh dua penumpang bas yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, semalam mati di tempat kejadian manakala lima lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah dua rakyat tempatan iaitu pemandu bas dan pemandu pelancong manakala 10 lagi cedera parah.
Pada awal kejadian, keadaan di lokasi begitu mengerikan apabila lebih 10 mayat dilihat bergelimpangan atas jalan raya dan dalam longkang manakala selebihnya termasuk yang cedera tersepit dalam bas yang terbalik.

Kedua-dua tayar depan bas berkenaan tercabut dan tercampak ke longkang di laluan bertentangan manakala bumbungnya pula ranap sama sekali dengan beberapa barangan milik penumpang turut tercampak keluar.


Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata dua daripada 27 pemandu bas dan pemandu pelancong warga tempatan yang terbunuh ialah pekerja syarikat Murni Travel & Tours iaitu Omar Shahidan, 48, dari Kangar, Perlis dan Soontorn a/l Kian, 38, yang berketurunan Siam.

“Bas persiaran dua tingkat yang terbabit dalam kemalangan itu milik syarikat San Express Holiday yang beribu pejabat di Jitra, Kedah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Beliau berkata, pasukan penyelamat terdiri daripada 100 anggota dan pegawai polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah hari dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas dipandu laju menuruni bukit di satu selekoh tajam sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

“Pemandu bas dipercayai hilang kawalan menyebabkan bas itu terbalik dan terjatuh ke dalam longkang di tepi lebuh raya.

“Ada antara penumpang tercampak dan tersepit di tempat duduk menyebabkan kebanyakan mereka meninggal dunia di tempat kejadian. Mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mengambil penerbangan pulang ke Bangkok,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lebih lima jam apabila polis terpaksa menutup kedua-dua laluan bagi menyekat aliran trafik untuk melancarkan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa.
hmetro

Siasat syarikat pelancongan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan sudah memulakan siasatan ke atas syarikat SK Murni Tours & Travel Sdn Bhd termasuk mengemukakan surat tunjuk sebab bagi mendapatkan penjelasan mengenai kemalangan jalan raya berhampiran Kampung Kawai, Km15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada jam 11.40 pagi, semalam.
Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelancongan dalam satu kenyataan berkata, siasatan terperinci perlu dijalankan selaras dengan peruntukan mengikut Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999. "Tindakan penggantungan atau pembatalan lesen bas persiaran ditentukan selepas mengambil kira hasil siasatan yang dijalankan semua agensi kerajaan yang terbabit dalam menyiasat kemalangan itu.

"Bas persiaran bernombor pendaftaran AFX 2266 milik syarikat SK Murni Tours & Travel didaftarkan sebagai kenderaan pelancongan pada 30 November 2009 dan tempoh sah lesen bas persiaran sehingga 30 November 2012," menurut kenyataan itu. Sementara itu, kementerian melahirkan rasa simpati ke atas mangsa yang terbabit dan keluarga mereka.

Polis setakat ini mengeluarkan senarai nama dua rakyat Malaysia dan 24 rakyat Thailand daripada 27 orang yang terbunuh dalam kemalangan itu. - Bernama
hmetro

'Sangat laju, bergoyang'

IPOH: “Bas itu bergerak sangat laju dan bergoyang-goyang menyebabkan saya yang pada mulanya rasa mengantuk sukar melelapkan mata kerana takut,” kata seorang penumpang yang terselamat dalam kemalangan yang meragut 27 nyawa di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands, dekat sini, semalam.
Lelaki warga Thailand itu yang yang hanya dikenali It Lok berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan dia hanya mampu menjerit apabila bas dinaikinya terbalik sebelum terhumban ke dalam longkang.
Dia yang ditemui di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hanya mampu bertutur dalam bahasa Thailand dan lebih banyak menggunakan bahasa isyarat ketika ditemubual kerana tidak memahami bahasa Inggeris.

Ditanya sama ada dia serik untuk ke Cameron Highlands selepas kejadian itu, It Lok menggelengkan kepala dengan menunjukkan isyarat tidak mahu.


Dia yang cedera di bahagian badan dan kedua-dua tapak kaki masih trauma dengan kejadian itu dan sesekali kelihatan termenung memandang siling selain enggan bercakap banyak.

It Lok turut terkejut dan sedih apabila ditunjukkan dengan tangan angka 27 iaitu jumlah mangsa yang mati dalam kemalangan ngeri itu.

Sementara itu, kehadiran misteri sekawan burung gagak yang muncul tiba-tiba sebaik bas persiaran yang membawa 35 pelancong Thailand tiba di hotel penginapan mereka di Cameron Highlands kelmarin, kini menjadi bahan bualan di kalangan penduduk tempatan termasuk kakitangan hotel berkenaan.

Ia berikutan kumpulan gagak berkenaan turut dilihat beredar pada masa sama bas membawa pelancong terbabit beredar selepas menginap semalaman di hotel itu dan tidak lagi kelihatan sebelum berita mengenai kemalangan mengorbankan 27 penumpang bas itu diketahui penduduk di Cameron Highlands.

“Kehadiran kawanan gagak itu yang seperti mengiringi ketibaan dan kepulangan bas yang membawa pelancong berkenaan seolah-olah membawa petanda mala petaka akan berlaku.

“Namun ia bukan perkara elok untuk diperkatakan lebih lanjut bagi menjaga aib mangsa yang terkorban dalam kemalangan ngeri itu,” kata seorang penduduk berhampiran hotel penginapan pelancong terbabit yang hanya mahu dikenali Sham, 30.

'Perjalanan berdarah'

SEREMBAN: Rombongan menghantar pengantin yang disertai seorang juruteknik sebuah kilang bertukar menjadi ‘perjalanan berdarah’ selepas dia maut dalam kemalangan di Kilometer 24.8 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Mohd Azrai Mohd Azni, 21, mati serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas kereta Proton Satria Neo dipandu rakannya terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan.

Ketika kejadian, mangsa bersama pemandu dan dua yang lain menaiki kereta itu untuk pulang ke rumahnya di Batu 13, Hulu Langat, Selangor selepas selesai menghantar pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan di Felda Bukit Rokan, Gemas, dekat sini.

Seorang ahli rombongan berkenaan, Roslan Rosman, 48, berkata dia mengetahui kejadian selepas dihubungi rakannya yang memaklumkan seorang ahli rombongan maut, manakala tiga yang lain cedera parah.

“Ketika itu, saya berada di rumah seorang saudara terus bergegas datang ke lokasi untuk melihat kejadian itu dan terkejut kerana ia membabitkan kehilangan nyawa.

“Saya bersama beberapa penduduk menaiki kira-kira 15 kereta bertolak dari Batu 13 Hulu Langat untuk menghantar rombongan pengantin pagi tadi (Ahad),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, Mohd Azrai yang duduk di kerusi penumpang depan maut di tempat kejadian, manakala dua yang lain termasuk pemandu kereta berusia 19 tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, peserta rombongan menghantar pengantin itu mula bertolak pulang kira-kira jam 4 petang selepas majlis selesai.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu.

“Berdasarkan kepada siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku selepas kenderaan berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan.

“Berikutan perlanggaran itu, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang depan mati di tempat kejadian kerana parah di kepala, manakala pemandu dan dua lagi penumpang yang duduk di belakang mengalami kecederaan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu. Tinjauan Harian Metro di tempat kejadian mendapati enjin Proton Satria Neo itu turut tercabut akibat rempuhan berkenaan.
hmetro

Pemandu lori dicampak ke ladang sawit sebelum disamun



21/12/2010 3:23pm



KUANTAN 21 Dis. – Seorang pemandu mengalami detik cemas apabila diikat dan dicampak ke ladang sawit sebelum lori treler dipandunya membawa muatan bahan plastik bernilai RM90,000 dilarikan dua lelaki bersenjata parang di Chengal Lempong, Beserah di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi, mangsa yang berusia 46 tahun dan berasal dari Chengal Lempong turut mengalami kecederaan di leher dan tangan. – Utusan

Ain buang kulit mati

JOHOR BAHRU: Selepas lima hari dirawat, Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, mangsa serangan ganas anak angkat keluarganya, menjalani pembedahan membuang kulit mati akibat disimbah asid di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.
Kakak mangsa, Suraidah Jemedi, 27, berkata, Ain menjalani pembedahan itu pada jam 11 pagi dan prosedur berkenaan tamat tiga jam kemudian.
“Mengikut perancangan awal, doktor membuang kulit mati dan menampal kulit gantian diambil dari belakang badannya.

“Bagaimanapun, keadaan Ain masih kritikal menyebabkan doktor membuang kulit mati saja dan terpaksa menunggu tarikh lain sebelum melakukan proses menampal kulit gantian di bahagian terjejas,” katanya ketika ditemui di HSI di sini, semalam.

'Kami datang untuk dapatkan nasihat'

KUALA LUMPUR: “Kami datang untuk mendapatkan nasihat dan penjelasan mengenai serbuan ke premis kami, baru-baru ini,” kata seorang pengikut ajaran Syiah, Mohd Haidar Mohd Hashim, ketika ditemui di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), di sini, petang semalam.
Mohd Haidar antara 128 yang disoal siasat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan ke sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Sri Gombak, dekat sini, yang dipercayai menjadi kubu kuat pengikut ajaran Syiah di Selangor, 15 Disember lalu.
“Kami tidak dapat menjelaskan butiran perbincangan bersama pihak Suhakam itu, tetapi tujuan kami untuk menyatakan pendirian sebagai pengikut ajaran Syiah,” katanya.

Mohd Haidar berkata, pihaknya akan mengadakan sidang media dalam tempoh terdekat bagi menyatakan pendirian berhubung isu penangkapan mereka.

Dia yang ditemani tiga pengikut ajaran Syiah lain masuk ke perkarangan pejabat Suhakam di Menara Tun Razak kira-kira jam 2.30 petang dan keluar sejam kemudian.
Ketika serbuan minggu lalu, semua pengikut Syiah terbabit menghadiri ceramah khas yang disampaikan seorang lelaki warga Iran.

Ceramah itu bersempena tarikh 10 Muharam dalam kalendar Islam yang dianggap mulia oleh pengikut Syiah sebagai memperingati kematian Saidina Husain.

Sindiket hantar pembantu rumah guna visa orang lain

TAHAN...Chandran (kanan) bersama warga Indonesia yang ditahan, kelmarin.

TAHAN...Chandran (kanan) bersama warga Indonesia yang ditahan, kelmarin.


PELABUHAN KLANG: Seorang lelaki yang pernah ditipu tiga kali oleh pembantu rumah warga Indonesia terus mengalami nasib sama apabila diperdayakan sindiket penipuan ejen pembantu rumah dari Indonesia yang aktif mencari mangsa di negara ini.
Dalam kejadian terbaru, mangsa mendakwa mendapatkan khidmat seorang ejen pembantu rumah dari Indonesia untuk mendapatkannya seorang amah dengan berunding melalui Internet.

Melalui ejen berkenaan, mangsa mendapatkan biodata dan gambar pembantu rumah sebelum menguruskan sendiri proses mendapatkan visa rujukan dari Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya bagi membawa masuk pembantu rumah berkenaan.

Namun, selepas menghabiskan RM7,500 untuk menguruskan kemasukan pembantu rumah berkenaan, mangsa mengetahui dia ditipu ejen palsu terbabit berikutan diberikan pembantu rumah berbeza dengan gambar diberikan.

Penipuan ejen terbabit terbongkar apabila pegawai penguat kuasa Imigresen Jeti Pulau Ketam di Pelabuhan Klang, di sini, memberkas seorang wanita Indonesia kerana kesalahan menggunakan visa rujukan milik orang lain pada jam 4.30 petang kelmarin.

Ketua Pelabuhan Selatan (Jeti Pulau Ketam) Timbalan Penolong Pengarah Imigresen M Chandran, berkata hasil maklumat dan risikan, pihaknya menahan tiga lagi wanita dan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit penipuan itu.

Menurutnya, keempat-empat warga Indonesia berusia 30-an ditahan imigresen sebaik memasuki negara ini melalui jeti di sini.

“Melalui pembantu rumah yang ditahan itu, imigresen mendapati suspek menggunakan visa milik orang lain untuk memperdaya mangsa warga tempatan itu.

“Ketika disiasat, suspek mendakwa dipaksa ejen pembantu rumah di negaranya menggunakan visa rujukan orang lain untuk memasuki Malaysia dan bekerja dengan mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang diperdaya memaklumkan ini kali keempat dia ditipu pembantu rumah Indonesia. Dia pernah menghadapi masalah apabila pembantu rumah melarikan diri.

Chandran berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ejen pembantu rumah palsu terbabit sengaja meminta suspek menggunakan visa orang lain kerana pemilik asal menghadapi masalah disenarai hitam atau terbabit kes jenayah.

Bagi mengelak dikesan, katanya, ejen terbabit memilih menghantar pembantu rumah yang mempunyai wajah hampir seiras wanita dalam gambar di Internet.

Peragut rantai kena belasah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan dan dibelasah orang awam selepas cuba meragut rantai emas milik seorang lelaki yang menjamu selera bersama isterinya di sebuah restoran di Taman Connought, Cheras, di sini, kelmarin.
Selepas ditahan dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, suspek berusia 28 tahun memberi alasan melakukan jenayah terbabit berikutan kesempitan wang untuk memberikan makanan kepada dua anaknya yang masih kecil.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, berkata, suspek menghampiri mangsa dari arah belakang sebelum meragut rantai leher milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM2,000.
hmetro

Guna 4 jenis senjata

BATU PAHAT: Polis percaya empat jenis senjata digunakan dalam pembunuhan kejam Siti Mazni Abdul Rahman, 14, di kebun kelapa sawit di Kampung Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, ia membabitkan parang, pisau lipat, buku lima serta guni.

“Ia digunakan untuk menutup muka, memukul, menikam serta mengelar mangsa sebelum diseret sejauh 50 meter ke dalam kebun itu.

“Semua senjata terbabit ditemui pada seorang daripada tiga suspek yang ditahan Jumaat lalu,” katanya ketika melawat rumah keluarga mangsa di Kampung Parit Ju Darat, semalam.

Mayat Siti Mazni ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah, manakala mayatnya ditutup menggunakan pelepah kelapa sawit di kebun tidak jauh dari kediamannya.

Menurut Mohd Mokhtar, selain senjata, telefon bimbit mangsa turut ditemui di kediaman seorang suspek.

Semua barangan terbabit dirampas dan dihantar ke jabatan kimia untuk ujian bagi menentukan sama ada ia digunakan dalam pembunuhan atau sebaliknya.

“Hasil siasatan, kami menahan dua remaja berusia 14 dan 16 tahun di sekitar Tongkang Pechah, tengah hari Jumaat lalu.

“Ia membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 16 tahun di kawasan berkenaan pada malam hari yang sama,” katanya.

Berikutan tangkapan dan siasatan susulan, polis membuat dua lagi tangkapan iaitu seorang remaja berusia 14 tahun pada jam 6.15 petang kelmarin, di Sri Medan dan bapa tirinya yang berusia 44 tahun di sekitar Tongkang Pechah, kira-kira pada jam 8.40 malam hari yang sama. “Siasatan mendapati, seorang daripada tiga remaja yang ditahan Jumaat lalu mempunyai rekod salah guna dadah.

“Lelaki berusia 44 tahun itu positif dadah dan mereka ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saya mahu kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa raya selewat-lewatnya Khamis ini,” katanya.

Selain itu, seorang suspek turut dibawa ke lokasi pembunuhan bagi membantu siasatan pada kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Dalam lawatan setengah jam itu, Mohd Mokhtar menerangkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa, selain mengunjungi lokasi pembunuhan.

Mohd Mokhtar meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi dan membiarkan polis menjalankan siasatan.

“Kami percaya lima suspek itu memainkan peranan tersendiri dan berusaha bersungguh-sungguh memastikan semua individu terbabit dihadapkan ke mahkamah.

“Berikutan itu, saya nasihatkan kepada sesiapa mempunyai kaitan dengan kes ini supaya tampil dan menyerah diri serta memberi keterangan sebelum mereka ditahan,” katanya.
mymetro

Telan 1,280 pil ecstasy

DENPASAR: Seorang wanita Thailand didakwa menelan lebih 1,200 biji pil ecstasy yang dibungkus dengan plastik dalam cubaannya menyeludup dadah itu ke Pulau Bali, kata pegawai keselamatan, semalam.
Menurut Ketua Kastam Bali, I Made Wijaya, wanita berusia 24 tahun itu, Shopawat Ueamduean , kelihatan gementar ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Khamis lalu.

Menurutnya, pegawai kastam kemudian menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas wanita yang baru tiba menaiki pesawat dari Bangkok itu.

“Ketika itu didapati perut wanita terbabit lebih keras daripada biasa,” katanya.

Shopawat, katanya, kemudian dibawa ke hospital dan pemeriksaan membolehkan kastam mengesan 1,280 pil ecstasy di dalam perutnya.

“Semua pil itu dibungkus dalam 90 bungkusan,” katanya.

Menurut Made Wijaya, nilai dadah seberat 402 gram itu kira-kira RM157,000.

Ketika disoal siasat, Shopawat mengaku seorang lelaki Israel menawarkan upah RM2,000 untuk menyeludup pil berkenaan ke Bali.

Jika bersalah, Shopawat boleh dipenjara seumur hidup atau dihukum mati. - AFP

Nahas bas: Dua penumpang dalam senarai maut masih hidup





2010/12/21

IPOH: Polis kini menjalankan siasatan terhadap identiti mangsa yang maut dalam nahas bas persiaran di Simpang Pulai-Cemeron Highlands, semalam apabila dua nama dalam senarai awal didapati masih hidup. 

Kedua-dua mangsa berkenaan cedera dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ipoh di sini.
Mereka dikenali sebagai Duranee Songsem, 59, dan anak saudaranya, Areena Songsem, 19, dari Kampung Jambu, Patanni, di Selatan Thai.
Sementara itu, bapa kepada Areena, Nasir Ismail, 51, ketika ditemui di Hospital Ipoh, pagi ini berkata anaknya yang tersenarai sebagai mangsa yang maut sebenarnya masih hidup. 

Katanya, Areena, penuntut tahun tiga jurusan undang-undang cedera di kepala dan mungkin dibenarkan keluar hospital petang ini.
mymetro

Tiga perompak larikan RM1j

KUALA LUMPUR: Sekumpulan tiga perompak bersenjatakan pistol melarikan wang dianggarkan mencecah RM1 juta yang di simpan dalam sebuah van keselamatan di depan sebuah pusat beli-belah di Kepong, di sini, petang semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu kumpulan perompak terbabit melarikan van berkenaan ketika tiga pekerja kawalan keselamatan berusia antara 20 hingga 30-an itu memasuki pusat beli-belah itu untuk memungut wang hasil perniagaan. Tiga pekerja kawalan keselamatan terbabit meninggalkan van dalam keadaan enjin tidak dimatikan dan terkejut apabila melihat kenderaan itu dilarikan.

Sumber polis berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia antara 20 hingga 30-an itu mengejar van itu, namun berhenti apabila dua daripada tiga suspek yang berada di dalam van mengacukan senjata api ke arah mereka.

“Berikutan itu, seorang daripada pekerja kawalan keselamatan terbabit menghubungi polis dan hasil tindakan segera, polis menemui van terbabit di laluan belakang sebuah bangunan kurang 100 meter daripada pusat beli-belah itu kira-kira sejam kemudian.

“Bagaimanapun, semua wang di dalam van terbabit sudah dilarikan. Mereka dipercayai memindahkan beberapa karung dan beg yang mengandungi wang itu ke dalam sebuah kereta yang menunggu di kawasan berkenaan,” katanya.

Difahamkan, ketiga-tiga pekerja syarikat kawalan keselamatan itu akan ditahan bagi membantu siasatan.

Bekas Pengurus Kanan didakwa terima rasuah RM200,000



21/12/2010 11:15am

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Bekas Pengurus Kanan kebolehan Marin Sime Darby Engineering Sdn. Bhd., Mahazni Jamaludin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari atas tuduhan didakwa menerima rasuah RM200,000 daripada seorang pemilik syarikat pembinaan kapal, dua tahun lalu.
Rasuah tersebut adalah sebagai upah bagi mencadangkan MLC Shipbuildings Sdn. Bhd. untuk mendapatkan kontrak pembinaan dan penjualan tiga buah kapal tunda (barge) bernilai AS$134.2 juta.
Upah tersebut juga adalah sebagai balasan tertuduh mengesahkan bayaran tertentu bagi pembinaan kapal-kapal tersebut. - Utusan

Penerbangan khas ke Bangkok bawa pulang mayat mangsa kemalangan bas



IPOH -- Kedutaan Thailand sedang menguruskan supaya satu penerbangan khas dari sini ke Bangkok dapat dilakukan bagi membawa pulang mayat 24 rakyatnya yang terbunuh dalam kemalangan bas di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam.

Duta Thailand ke Malaysia Thana Duangrana, yang ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, berkata pihaknya berharap penerbangan khas itu dapat dilakukan secepat mungkin.

Katanya pihak kedutaan akan memohon kepada kerajaan Thailand supaya sebuah pesawat khas dapat diterbangkan ke Malaysia bagi tujuan itu.

Beliau berkata pihaknya akan membuat persediaan termasuk mempercepatkan urusan dokumentasi supaya penerbangan khas itu dapat disegerakan. Katanya beliau akan mengusahakan supaya penerbangan khas itu dilakukan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini.

Kemalangan terburuk itu berlaku pada 11.40 pagi semalam apabila sebuah bas dua tingkat membawa 37 pelancong dari Thailand sedang menuruni bukit.

Tiga rakyat tempatan terdiri pemandu bas, penolong pemandu dan seorang pemandu pelancong turut terbunuh.

Suasana di hospital kelihatan sibuk bagi urusan dokumentasi mayat tetapi kaunter khidmat polis yang dibuka sejak kemalangan itu berlaku agak tenang.

Setakat ini waris kepada mangsa yang maut dan cedera mula hadir ke Jabatan Forensik untuk menuntut mayat dan mendapatkan maklumat mengenai anggota keluarga mereka yang terlibat.

Seorang petugas jabatan berkenaan berkata pihaknya juga masih menunggu maklumat daripada polis.
-- BERNAMA

Mayat mangsa nahas bas dibawa pulang ke Thailand



21/12/2010 12:14pm

IPOH 21 Dis. - Duta Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana berkata, pihaknya akan membuat persiapan membawa pulang mayat mangsa yang terlibat dalam nahas kemalangan mengerikan di jalan Cameron Highlands - Simpang Pulai semalam melalui pesawat khas yang berkemungkinan berlepas dari Ipoh. - Utusan

Kementerian siasat Murni Tours





2010/12/21

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan sudah memulakan siasatan terhadap SK Murni Tours & Travel Sdn Bhd (Murni Tours) yang basnya terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 15 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, semalam. 

Dalam kenyataan semalam, kementerian itu berkata, siasatan terperinci dilaksanakan selaras peruntukan Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999.
Selain itu, surat tunjuk sebab sudah dihantar kepada syarikat terbabit bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian itu.
“Tindakan penggantungan atau pembatalan lesen bas persiaran itu ditentukan selepas mengambil kira hasil siasatan agensi berkaitan,” katanya. 

Bas persiaran bernombor pendaftaran AFX 2266 milik SK Murni Tours itu didaftarkan sebagai kenderaan pelancongan pada 30 November tahun lalu dan tempoh sah lesen berakhir 30 November 2012. 

Kementerian Pelancongan turut mengucapkan takziah dan bersimpati kepada keluarga mangsa.
bharian

Polis Johor selesai 46 kes samun, ragut





2010/12/21

JOHOR BAHRU: Polis negeri berjaya menyelesaikan 46 kes samun, ragut dan curi motosikal sekitar bandar raya ini sepanjang tahun ini selepas menahan 10 lelaki ahli Geng Kangkar pada Rabu minggu lalu. 

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, menahan dua lelaki dipercayai ahli kumpulan itu di Kangkar Tebrau, di sini pada kira-kira jam 12 tengah hari.
Katanya, hasil penahanan dua suspek, pihaknya menahan lapan lagi lelaki dipercayai ahli kumpulan sama di beberapa lokasi sekitar bandar raya secara berperingkat.
Katanya, pihaknya menemui dan merampas beberapa barangan dipercayai hasil jenayah serta digunakan melakukan jenayah termasuk sebatang besi berbentuk T, batang besi tajam (7), spanar (8) dan dua besi tajam berbentuk L. 

“Sekumpulan 10 suspek berusia 18 hingga 27 tahun ini dikenali Geng Kangkar aktif melakukan jenayah samun, ragut dan curi motosikal sekitar bandar raya,” katanya.

bharian

Yusof kena penjara 56 tahun, denda


YUSOF keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas dijatuhkan hukuman, semalam.

YUSOF keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas dijatuhkan hukuman, semalam.

Hukuman bekas Timbalan Pengarah Imigresen dilaksana serentak 

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengarah I, Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar dihukum penjara berjumlah 56 tahun dan denda RM620,000 oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas didapati bersalah atas 14 tuduhan rasuah membabitkan RM121,500, dua tahun lalu.
Hakim Abu Bakar Katar memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dan Yusof, 56, hanya perlu menjalankan hukuman penjara enam tahun bermula daripada tarikh dia didapati bersalah pada 16 November lalu.
Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Yusof, Mohammed Azmi Mohd Said untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi nanti. 

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantah permohonan itu kerana pihak pembelaan gagal menunjukkan sebarang keadaan istimewa dalam membuat permohonan lisan berkenaan. 

Abu Bakar membenarkan permohonan dengan syarat notis rayuan perlu difailkan pagi ini dan jika gagal, mahkamah akan menarik semula pelaksanaan hukuman. 

Tertuduh dituduh menerima rasuah antara RM500 hingga RM18,500 daripada pengurus jualan bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warga China, dua tahun lalu. 
Yusof dituduh melakukan semua kesalahan itu di pejabatnya di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang dan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta sama, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi. 

Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara paling rendah di antara dua tahun dan denda RM10,000, serta maksimum enam tahun dan denda RM92,000 bagi setiap tuduhan.
bharian