Search This Blog

Monday, December 20, 2010

3 jenis senjata diguna dalam pembunuhan pelajar





2010/12/20


BATU PAHAT: Siasatan polis mendapati tiga jenis senjata 
digunakan dalam pembunuhan seorang pelajar perempuan yang mayatnya ditemui di
ladang kelapa sawit, di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah, di sini, Jumaat lalu. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata senjata berkenaan merupakan sebilah parang, sebilah pisau lipat dan satu buku lima serta dua
guni dipercayai digunakan suspek bagi melakukan jenayah tersebut. 
"Kesemua barangan itu ditemui dalam serbuan polis terhadap salah 
seorang daripada tiga suspek yang ditahan Jumaat lepas. Polis turut menemui 
telefon bimbit milik mangsa di dalam rumah salah seorang suspek berkenaan," 
katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga pelajar perempuan 
berkenaan di Kampung Parit Ju Darat, di sini, hari ini. 
Mohd Mokhtar berkata kesemua barang yang dirampas itu kini dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan kertas siasatan mengenai kes berkenaan akan 
dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya selewat-lewatnya Khamis ini. 
"Saya menasihatkan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kes ini supaya 
tampil menyerah diri dan memberi keterangan sebelum mereka ditahan bagi membantu 
siasatan," katanya. 

Beliau turut meminta orang ramai supaya menghentikan sebarang spekulasi 
terhadap kes pembunuhan itu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan 
siasatan terperinci. 
Jumaat lepas, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, dijumpai mati dengan mayatnya 
disembunyikan di bawah timbunan daun kelapa sawit pada kira-kira pukul 5 petang 
dengan satu kesan tikaman di badan. 
Dia dipercayai dibunuh tidak jauh dari rumahnya sebelum diheret 50 meter ke 
dalam kawasan ladang terbabit. 
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra, Tongkang Pechah itu 
dilaporkan hilang pada Rabu lepas apabila dia tidak pulang ke rumah selepas 
memberitahu neneknya Mailiah Idris, 62, yang dia keluar untuk berjumpa dengan 
rakan-rakannya. 
Polis pada hari yang sama berjaya menahan tiga remaja lelaki berumur 14 
hingga 16 tahun sebelum menahan seorang lagi remaja lelaki berumur 14 tahun dan 
seorang lelaki berumur 44 tahun, semalam. 
Sementara itu, seorang daripada remaja lelaki yang ditahan itu dilihat 
dibawa ke lokasi pembunuhan itu petang ini. 
Suspek yang tiba kira-kira pukul 4.30 petang berada kira-kira satu jam di 
lokasi berkenaan sebelum dibawa keluar dari ladang kelapa sawit itu dengan kereta 
polis. -- BERNAMA

Polis tahan 12 lelaki disyaki ah long



20/12/2010 8:53pm

KUCHING – Polis menahan 12 lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan ceti haram, atau ”ah long” dan merampas kira-kira 250 keping kad ATM daripada mereka, di sini hari ini.
Menurut sumber, semua lelaki yang berumur antara 18 dan 36 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sini selepas polis mendapat maklumat daripada orang awam.
Dalam serbuan pertama, polis merampas 102 keping kad ATM selepas menahan lima lelaki di sebuah bank di Jalan Satok di sini pada pukul 5 pagi, dan kira-kira satu setengah jam kemudian, polis polis menahan tujuh lagi lelaki dan merampas 146 keping kad ATM di sekitar tempat yang sama.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kes itu dan berkata, polis sedang menyiasat sekiranya semua kad ATM yang dirampas adalah kad palsu atau tulen. – Bernama

Kebakaran: Operasi di terminal minyak mentah terhenti 3 jam



20/12/2010 9:04pm

MIRI 20 Dis. – Operasi di Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT) di Lutong, kira-kira 12 kilometer dari sini terhenti kira-kira tiga jam hari ini akibat kebakaran.
Petronas Carigali Sdn Bhd, anak syarikat cari gali perbadanan minyak negara Petronas, dalam kenyataan hari ini berkata, kebakaran itu yang bermula kira-kira 9.30 pagi ini berjaya dipadamkan dalam tempoh 10 minit.
Menurutnya, kebakaran itu bermula di “Free Water Knock-Out Vessel” MCOT yang menerima bekalan minyak dan gas dari luar pesisir.
"Tiada pekerja yang cedera dalam kebakaran itu,” menurut kenyataan itu dan menurutnya operasi di terminal itu disambung semula pada 1.15 tengah hari ini.
Punca kejadian sedang disiasat, menurut kenyataan itu. – Bernama

Cabul anak sendiri



KUALA PILAH – Seorang lelaki Melayu ditahan polis Daerah Kuala Pilah, di sini, Isnin lalu, selepas dipercayai mencabul anak perempuannya sendiri dalam kejadian berasingan bulan ini di Melang.

Lelaki berumur 43 tahun dan hanya bekerja kampung itu ditahan selepas menerima laporan daripada mangsa yang berumur 15 tahun.

Lelaki terbabit dikatakan mengambil kesempatan mencabul kehormatan anak gadisnya itu ketika mereka tinggal berdua di rumah berkenaan berikutan neneknya tiada di rumah.

Kejadian Isnin lalu bukanlah yang pertama kali kerana awal bulan ini, mangsa pernah berdepan kejadian sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, suspek meraba tubuh anak gadisnya termasuk meramas buah dada mangsa ketika memasuki bilik tidur pada waktu malam.

“Akibat terkejut dengan tindakan bapanya sendiri, mangsa melarikan diri ke rumah jirannya untuk mendapat perlindungan.

“Mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan terkutuk bapanya itu nekad membuat laporan polis selepas kejadian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

Pekedai runcit jadi mangsa dua penyamun



KUANTAN - Seorang peniaga kedai runcit di Kampung Cendering Baru dekat sini terpaksa berputih mata apabila wang hasil kutipan perniagaannya hampir RM1,000 lesap dikebas dua penyamun bertopi keledar, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, peniaga berusia 53 tahun turut berdepan detik mencemaskan apabila seorang perompak mengacukan sebilah pisau dan memberi amaran supaya diam dan tidak melawan.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, penjenayah juga turut melarikan sejumlah rokok daripada rak jualan sebelum melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

Menurutnya, ketika kejadian, peniaga itu berada dalam kedainya bersendirian sebelum didatangi dua ‘pelanggan’ yang berpura-pura ingin membeli tembakau.

“Seorang suspek bagaimanapun terus meluru ke arah kaunter dan membuka laci sebelum merampas wang tunai RM950 termasuk duit syiling RM150.

“Mangsa tidak dapat menghalang perbuatan lelaki itu kerana seorang suspek mengacukan sebilah pisau ke arahnya dan memberi amaran supaya tidak melawan,” katanya.

Noor Asyikin berkata, selepas mendapatkan habuannya, suspek terus melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

“Kejadian masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Warga emas rentung




BENTA - Seorang warga emas rentung selepas rumah yang didudukinya dipercayai dibakar dalam kejadian kira-kira jam 1.55 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa Chong Seng Chong, 82, terbakar hampir 90 peratus di bahagian badan, dipercayai dianiaya salah seorang penyewa di rumahnya yang kini menjadi suspek utama kejadian terbabit.

Menurutnya, mangsa yang tidak pernah berkahwin itu membenarkan dua bilik di rumahnya disewa oleh seorang lelaki dan suspek bersama isteri.

“Suspek bersama isteri menyewa bilik di rumah berkenaan sejak dua bulan lalu dan mempunyai masalah membabitkan pembayaran sewa rumah.

“Sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek. Siasatan awal yang kami peroleh, suspek dipercayai merancang membakar rumah berkenaan dan cuba melarikan diri bersama isterinya,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai kebakaran itu dan memaklumkan terus kepada Balai Bomba Lipis.

“Sepasukan polis turut pergi ke tempat kejadian dan setelah selesai operasi memadam, polis mendapati terdapat satu mayat dalam keadaan rentung dalam salah sebuah bilik di rumah terbabit.

“Keadaan rumah berkenaan yang dibina daripada kayu menjadi salah satu sebab api merebak dengan cepat dan ketiadaan rumah lain dalam jarak 200 meter menyukarkan orang ramai melihat kejadian itu,” katanya.

Abdul Razak berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan pakar forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang dipanggil bagi menjalankan siasatan.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek bersama isteri kini ditahan bagi membantu siasatan.

17 berdepan detik cemas




MARANG – Seramai 17 orang berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terbabit dalam dua kemalangan berasingan, dalam tempoh tujuh jam di Kilometer 13 dan Kilometer 57 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, di sini.

Dalam kejadian pertama, dua rakan niaga nyaris maut apabila dua kenderaan dipandu berlanggar sesama sendiri ketika dalam perjalanan ke Kuala Terengganu di Kilometer 13, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan berhadapan Restoran Maidah di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa yang memandu Perodua Myvi, Mohd Zaki Saibudin, 27, tidak sedarkan diri selepas kejadian manakala rakannya yang memandu Proton Persona, Mohd Izat Mulizuddin, 19, tidak mengalami kecederaan serius.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan dan mangsa terbabit dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang merupakan rakan kongsi sebuah syarikat menjual peralatan telekomunikasi di Bukit Payong sedang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

“Setiba di tempat kejadian, pemandu Mywi yang berada di belakang sebuah lagi kenderaan di lorong kiri melanggar bahagian kiri kereta jenis Proton Pesona semasa memotong yang berada di sebelah lorong kanan seiring dengan kenderaan berada di hadapan Myvi,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan itu terbabas ke kanan jalan lalu melanggar sebatang tiang lampu dan berpusing beberapa kali sebelum merempuh bahagian hadapan kedai menjual kraf tangan berdekatan Restoran Maidah Rusila di sini.

“Kedua-dua mangsa beralamat dari Kuala Terengganu itu kemudiannya dikejarkan ke HSNZ Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bagaimanapun kedua-dua mangsa dilaporkan stabil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian, sebuah bas dua tingkat yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu merempuh belakang sebuah lori terbalik di kilometer 57 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan di Rhu Kubur dekat Dungun di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, 12 penumpang dan dua pemandu nyaris maut selepas pemandu bas dua tingkat itu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebaik tiba di tempat kejadian lalu merempuh bahagian belakang lori yang terbalik di atas jalan.

Ahmad berkata, kedua-dua kenderaan dari arah Dungun ke Kuala Terengganu dan kemalangan dipercayai berpunca selepas pemandu lori gagal mengawal kenderaan apabila salah satu tayar lori berkenaan pancit menyebabkannya terbalik.

“Bagaimanapun, kesemua penumpang dan dua pemandu bas termasuk pemandu lori terbabit selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya.

Pada masa sama, wartawan Sinar Harian juga dihalang untuk membuat liputan dan mengambil gambar keadaan bas oleh tiga lelaki dipercayai kakitangan syarikat bas.

Sementara itu, Ahmad turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak berlaku kemalangan di daerah ini terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim tengkujuh.

Sindiket gores, menang tukar taktik




KEMAMAN – Sindiket gores dan menang dipercayai menukar taktik dengan turut menggunakan ilmu pukau bagi memudahkan mereka memperdaya serta mempengaruhi seorang warga emas agar menyerahkan semua barang kemas sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM5,500 dalam kejadian jam 12.45 tengah hari, di Jalan Gong Pauh, Chukai, kelmarin.

Mangsa, Teh Hamzah, 61, berkata, sebaik sahaja dua lelaki dipercayai dalam lingkungan 30-an berkenaan masuk ke dalam rumah dan bersalam dengannya, dia hanya mengikut apa sahaja yang diminta dua lelaki itu.

Malah, katanya, ketika didatangi salah seorang lelaki itu pada awalnya, lelaki terbabit membuat helah dia menjalankan kempen kitar semula, selain bertanya mengenai botol kosong atau barang kitar semula yang boleh dikumpulkan.

“Pada mulanya, seorang daripada lelaki itu datang ke rumah makcik dan memanggil. Makcik yang ketika itu baru selesai mandi menyahut, bagaimanapun makcik hanya berbual dengannya melalui tingkap dan tidak membuka pintu dan dia meminta makcik mengumpulkan semua barang yang boleh dikitar semula sebelum memberitahu akan datang semula untuk mengambilnya dengan lori,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, semalam.

Kata Teh yang ketika itu tinggal sendirian di rumah, kira-kira 10 minit kemudian, lelaki terbabit datang kembali sebelum masuk ke dalam rumah walaupun dia tidak mempelawa.

“Lelaki ini sangat ramah dan masuk ke dalam rumah dengan selamba sebelum duduk di ruang tamu serta segera menghulurkan tangan bersalam dengan mak cik.

"Biasanya makcik tak benarkan orang tidak dikenali masuk dalam rumah dengan mudah tetapi kali ini tidak terfikir untuk menghalangnya," katanya.

Sejurus itu, katanya, lelaki terbabit beria-ia mengatakan Teh memenangi hadiah sebuah mesin basuh atas kerjasamanya menyertai kempen kitar semula itu.

"Tetapi makcik mengatakan tidak mempunyai wang, namun kata lelaki itu mak cik tidak perlu menggunakan wang untuk menuntut hadiah itu, sebaliknya hanya perlu menunjukkan barang kemas.

“Malah, bagi meyakinkan kata-katanya betul, dia turut menelefon seseorang yang dia panggil ‘Pak Haji’ sebelum menyuruh mak cik bercakap dengan lelaki itu selama beberapa minit sehingga makcik percaya kerana menurut kata 'Pak Haji’ itu, sudah ramai yang bertuah seperti makcik dan mendapat peralatan elektrik,” katanya.

Menurut Teh, sejurus kemudian, datang seorang lagi lelaki Cina dan kedua-duanya meminta dia menanggalkan seutas gelang emas yang dipakainya ketika itu untuk melihat nombor siri emas untuk dicatatkan dalam satu borang bagi menuntut hadiah gores dan menang itu.

“Setelah dipujuk makcik akhirnya menyerahkan gelang emas yang dipakai dan selepas itu, mereka bertanya mengenai barang emas lain dan menyuruh makcik mengambilnya serta menyerahkan kepada mereka.

"Sebab tidak tahan dipujuk dan didesak, makcik kemudian mengambil seutas lagi gelang emas yang disimpan di dalam bilik dan diserahkan kepada mereka, namun makcik berat hati dan sampai sudah tidak menyerahkan rantai yang dipakai walaupun mereka berkali-kali memujuk makcik menanggalkannya sekejap,” katanya.

Menurut Teh, ketika kedua lelaki Cina itu masih memujuknya, tiba-tiba anak lelakinya, Mohd Faizal Musa, 30, yang bekerja di Teluk Kalong, Kijal pulang ke rumah untuk mengambil resit pembaikan televisyen.

“Ketika anak masuk ke rumah salah seorang lelaki Cina itu segera mendapatkannya dan bersalam. Malah, yang peliknya anak makcik tidak sepatah pun bertanya siapa kedua-dua lelaki itu kerana biasanya dia melarang makcik membawa masuk orang tidak dikenali ke rumah.

"Bahkan makcik sendiri pun ketika itu ‘berat mulut’ untuk menegur anak sebelum dia pergi semula bekerja,” katanya.

Kata ibu kepada empat anak ini, dua lelaki itu terus memujuknya menanggalkan rantai itu namun dia tetap enggan sebelum terdengar azan Zohor lantas meminta kebenaran untuk mengerjakan solat seketika, namun apabila dia ingin mengambil kembali gelang tangan itu kedua lelaki itu melarang dan menyuruhnya menunaikan solat dahulu.

“Selepas selesai solat di dalam bilik tiba-tiba makcik dapati mereka telah tiada di ruang tamu dan yang tinggal hanya kad pengenalan makcik di atas lantai ruang tamu.

"Mak cik yang masih bertelekung kemudian berlari mencari mereka di luar rumah dan bertanya jiran dan ketika itulah baru mak cik kembali sedar kejadian yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, kebetulan dia tinggal keseorangan disebabkan tiga lagi anak perempuannya termasuk anak bongsunya, Norul Huda, 24, ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Abdul Marlik Hakim Johar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta denda.

Penuntut politeknik maut




KOTA BHARU - Seorang penuntut Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas dekat sini, maut selepas mangsa melambung kira-kira dua meter setelah motosikal yang ditungganginya bertembung kereta, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 21 tahun maut di tempat kejadian setelah motosikal jenis 125Z yang ditunggangnya dari arah Lundang menuju ke Kota Bharu melanggar kereta Nissan Sentra berhampiran lampu isyarat di hadapan Pasar raya Billion dekat sini.

Difahamkan kereta berkenaan datang dari jalan berdekatan sebuah kedai serbaneka memasuki laluan yang salah dan berlanggar dengan motosikal berkenaan menyebabkan mangsa tercampak dan melambung kemudiannya terkena lampu isyarat.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu pecah kepala, patah paha kanan dan tangan kanan manakala pemandu kereta mengalami cedera ringan.

Manakala akibat rempuhan yang kuat tersebut motosikal mangsa terputus dua dan difahamkan ketika kejadian remaja yang tinggal di Wakaf Che Yeh berkenaan memakai topi keledar, tetapi turut mengalami kecederaan teruk kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II sebelum dituntut oleh keluarga mangsanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Superintendan Azli Md Noor ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian berkenaan.

Tukang rumah nyaris maut




TUMPAT - Seorang tukang rumah dekat sini, nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik dekat Jalan Gerong, Palekbang, di sini, petang kelmarin, hingga menyebabkannya tersepit di bahagian depan pemandu selama 25 minit sebelum dikeluarkan dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba Tumpat.

Kejadian kira-kita jam 5.30 petang itu berlaku apabila mangsa, Omar Ali, 48, tidak dapat mengawal kereta jenis Proton Saga selepas tayar belakang dipercayai meletup ketika dalam perjalanan pulang dari Wakaf Baru ke Kok Majid.

Kenderaan mangsa dipercayai berpusing beberapa kali sejauh 5 meter sebelum melanggar tiang elektrik di bahu jalan, bagaimanapun mangsa berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke Hospital Tumpat mendapatkan rawatan.

Saksi, Yusof Ibrahim, 40, berkata, ketika kejadian dia berada di balkoni rumah bersama saudara-mara hingga dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dari arah jalan raya dan ternampak sebuah kereta berpusing-pusing akibat hilang kawalan.

“Kami terkejut mendengar dentuman kuat menyebabkan kami bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kereta tersebut remuk melanggar tiang elektrik.

“Kami berusaha membantu mengeluarkan mangsa tetapi sukar kerana kedua-dua kaki mangsa tersepit, sebelum seorang dari kami menghubungi bomba,” katanya.

Ketua Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaacob Abdullah berkata, sebaik menerima panggilan, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa masih dalam keretanya dengan kaki tersepit di pintu bahagian pemandu yang remuk akibat pelanggaran.

“Anggota terpaksa memotong bahagian pintu menggunakan peralatan power unit Res Que bagi tujuan memudahkan mengeluarkan mangsa.

“Kami mengambil masa 25 minit memotong bahagian tersebut, dan mangsa dikeluarkan melalui pintu depan penumpang sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans,” katanya.

Pengarah syarikat hadapi 46 tuduhan tipu Affin Bank RM99 juta



KUALA LUMPUR - Seorang pengarah sebuah syarikat dagangan mengaku tidak bersalah terhadap 46 tuduhan menipu Affin Bank Berhad melibatkan RM99.1 juta dalam urus niaga petroleum dua tahun lepas.

Yahya Mohd Khalid, 53, dari Kuala Lumpur, didakwa menggunakan empat dokumen palsu sebagai tulen termasuk invois serta e-mel pembelian petroleum daripada Malaysian International Shipping Corporation (MISC) dalam memperdayakan bank itu untuk mengeluarkan "banker's acceptance" kepada syarikat Market Asia Link Sdn Bhd.

Akibat daripada itu, bank itu telah meluluskan permohonan daripada Yahya di antara RM1 juta dan RM2.9 juta bagi tempoh antara Oktober dan November 2008.

Yahya didakwa melakukan kesalahan itu di Trade Finance Centre, Affin Bank Berhad, Tingkat 2, Menara Affin Bank, Jalan Raja Chulan.

Kesemua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 yang membawa hukuman penjara satu tahun sehingga 10 tahun serta denda, jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya Nuur Fakhizaa Abu Bakar, yang mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin, berkata jumlah itu munasabah memandangkan dakwaan itu melibatkan jumlah yang besar.

Peguam Rajinder Singh memberitahu mahkamah bahawa jumlah itu terlalu tinggi memandangkan Yahya telah bekerjasama dengan polis serta telahpun menyerahkan pasportnya.

Beliau mencadangkan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua orang penjamin memandangkan anak guamnya sedang menghadapi beberapa tindakan sivil yang lain oleh Affin Bank serta MISC.

Hakim S. M. Komathy Suppiah menetapkan jaminan RM2 juta dengan dua orang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan mengarahkan Yahya melaporkan diri di balai polis sebulan sekali pada setiap minggu pertama.

Bagaimanapun, Komathy mengarahkan penjamin hanya perlu mendepositkan RM300,000 untuk tujuan jaminan.

Dua anak lelaki Yahya berumur 23 dan 25, telah membayar wang jaminan itu.- Bernama

Pekerja SESB maut terkena kejutan elektrik



SANDAKAN - Seorang pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sini, maut selepas terkena kejutan elektrik ketika membaiki kerosakan pada tiang elektrik di Taman Tshun Ngen di sini, awal pagi ini.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Johny Yap berkata, William Jimdad, 55, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan setugasnya Azamain Kassim, 26, hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.55 pagi semasa kedua-dua petugas SESB itu sedang membuat kerja-kerja pembaikan di tiang elektrik itu selepas bekalan elektrik di kawasan berkenaan terputus.

Katanya William terjatuh selepas terkena kejutan eletrik, manakala Azamain yang memakai tali keselamatan semasa bekerja, hanya mengalami kecederaan ringan.

Johny berkata, mayat William dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat.

12 lelaki ditahan suspek pengganas di Britain






2010/12/20

LONDON: Seramai 12 lelaki ditahan di Britain hari ini kerana disyaki sebagai suspek yang merancang melakukan keganasan besar-besaran di negara itu.

Pegawai Polis Cawangan Antipengganas di West Midlands, Asisten Komisioner John Yates, berkata lelaki terbabit berusia antara 17 dan 28 tahun ditahan kerana disyaki merancang, menyusun dan terbabit dalam kegiatan keganasan di United Kingdom.
“Ia hasil kejayaan menerusi perancangan yang besar dan rapi membabitkan perisikan pelbagai cawangan," katanya.
“Kita percaya perancangan mereka masih di peringkat awal dan ini membolehkan kita mengetahui lebih jelas tindak-tanduk suspek," katanya.

Rasuah: Bekas Timbalan KP kena 6 tahun penjara





2010/12/20

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Yusof Abu Bakar, 56, dihukum enam tahun penjara dan denda RM620,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana didapati bersalah atas 14 tuduhan rasuah. 

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Korban nahas bas di Simpang Pulai meningkat 28





2010/12/20

IPOH: Dua puluh tujuh pelancong Thailand dan seorang rakyat Malaysia terbunuh selepas bas pesiaran yang mereka naiki terbalik ke dalam longkang di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, jam 11.40 pagi tadi. 

Seramai 22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan dua lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa bas itu sedang dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur kerana rombongan pelancong itu dipercayai akan mengambil penerbangan pulang ke Bangkok.
Katanya siasatan awal mendapati pemandu bas itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum bas terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik dalam longkang. 

Katanya, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan pada tengah hari telah mengerakkan 100 anggota penyelamat dalam operasi menyelamat. 

Rakyat tempatan yang terbunuh itu dipercayai pemandu atau pembantu pemandu bas terbabit. 

Menurut sumber Tourism Malaysia pula, seramai 44 pelancong Thai menyertai pakej pelancongan ke Cameron Highlands menggunakan bas dua tingkat milik San Express Holiday dengan nombor pendaftaran AFX 2266 itu yang didaftar di Perak tetapi berpusat di Changloon, Kedah. 
Pengarah Urusan syarikat itu, Sor Eng Hock yang kini berada di Bangkok kerana urusan perniagaan, ketika dihubungi berkata bahawa sebelum ini tidak pernah berlaku kemalangan melibatkan syarikat itu. 

"Tak sangka jadi macam ini. Saya tak tahu punca...saya kena balik dan bincang," katanya. 

Syarikat yang didaftarkan pada 2007 itu mempunyai enam bas. 

Ditanya mengenai bentuk bantuan kepada mangsa, Sor berkata syarikat akan merancang sesuatu. 

"Buat masa ini saya amat sedih...saya memang terkejut. Saya tak tahu nak fikir atau buat apa-apa. Tapi kita akan rancang sesuatu untuk mangsa," katanya.
bharian

Mayat bergelimpangan, tercampak dari bas: Saksi




2010/12/20

IPOH: Seorang pelajar berkata dia melihat mayat bergelimpang di atas jalan raya sejurus selepas bas pesiaran yang membawa pelancong Thailand terbabas di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai menyebabkan 28 terbunuh setakat ini. 

"Saya juga nampak ada kanak-kanak terbaring di longkang dipercayai tercampak dari bas," kata Mohamad Shafwan Mohd Nan, 17, yang mengikuti rombongan sekolahnya dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands.
Mohamad Shafwan berkata ketika sampai di tempat kejadian, beliau nampak beberapa mangsa yang cedera dan berlumuran darah keluar dari bas yang terbalik itu.
Dua puluh tujuh pelancong Thailand dan seorang pemandu bas yang dikenali sebagai Omar Shahidan dari Kangar, Perlis, terbunuh apabila bas pesiaran itu terbalik ke dalam longkang ketika turun dari pusat peranginan itu pada jam 11.40 pagi tadi. 

Seramai 22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan dua lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini. 

Mereka yang cedera dibawa dengan ambulans ke hospital manakala mayat dibawa dengan lori polis dan Jabatan Pertahanan Awam. 

Setakat ini, polis telah mengesahkan mangsa yang mati adalah 12 lelaki dan 15 wanita manakala identiti seorang lagi belum dikenal pasti. 
Wartawan dan jurugambar yang bekejar ke tempat kejadian terpaksa berjalan tiga kilometer ke tempat kejadian kerana laluan itu telah ditutup kepada semua lalu lintas bagi memudahkan kerja menyelamat. 

Usaha untuk mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku semasa kejadian agak sukar kerana semua penumpang lain dan dua lagi rakyat Malaysia iaitu pembantu pemandu dan pemandu pelancong mengalami cedera parah. 

Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, yang mempunyai banyak cerun, dibuka kepada lalu lintas pada 2003 dan menjadi laluan alternatif ke Cameron Highlands selain jalan dari Tapah. 

Ia juga digunakan bagi mereka yang mahu pergi Gua Musang melalui Lojing di Kelantan. - BERNAMA
bharian

Nahas bas terburuk negara




2010/12/20

KUALA LUMPUR: Kemalangan bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, hari ini yang meragut 28 nyawa adalah yang paling dahsyat dalam sejarah negara. 

Dalam nahas pada 11.10 pagi tadi, 22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan dua lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
Kemalangan terburuk melibatkan sebuah pas sebelum ini berlaku pada 13 Ogos 2007, apabila 20 orang terbunuh dan sembilan cedera di KM229 Lebuh Raya Utara-Selatan, di Bukit Gantang dekat Taiping.
Berikut kemalangan bas yang berlaku tahun ini, tidak termasuk nahas pagi tadi. 

16 DIS -- Empat kakitangan Jabatan Penjara Tawau terbunuh apabila bas jabatan itu terbabas lalu terjatuh dalam gaung di Kampung Moyog, 35 kilometer dari Penampang dekat Kota Kinabalu. 

14 DIS -- Seramai 14 orang pekerja kilang cedera apabila bas kilang yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di Km 156.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Nibong Tebal, Pulau Pinang, selepas bergesel dengan sebuah treler yang turut terhumban ke dalam parit. 

11 DIS -- Tiga pelajar Institut Kemahiran Mara Jasin, Melaka parah apabila bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik di kilometer 304.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Gopeng, Perak. 
4 NOV -- Seorang maut dan dua cedera parah selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik ke dalam sebuah tali air di Kampung Sungai Miang, di km20 Jalan Pekan-Nenasi, Pahang. 

29 OKT -- Tujuh penumpang maut dan 39 cedera termasuk 17 parah apabila sebuah bas terlibat dalam kemalangan di KM36 Lebuhraya Karak ke Kuala Lumpur. 

10 OKT -- 13 penumpang maut dan 40 cedera apabila bas ekspres terlibat kemalangan di KM223 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat-Rembau. 

2 SEPT -- Lapan belas orang cedera apabila bas persiaran yang dinaiki terbabas dan terbalik di Km 35.1 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur. 

27 OGOS -- Seorang pemandu bas ekspres terbunuh manakala tiga cedera parah dan enam cedera ringan apabila bas yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Km306.2 Lebuhraya Utara-Selatan. 

17 APRIL -- Seorang penumpang patah tulang rusuk manakala enam yang lain cedera ringan apabila sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Baharu ke ibu negara terbabas di KM32 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Kulai Jaya, Johor. 

20 MAC -- 40 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut apabila kenderaan berkenaan terbabas dan terperosok ke dalam tali air di Km 42 Jalan Kuantan-Kemaman. 

4 FEB -- 15 penumpang bas Ekspres Konsortium yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur nyaris maut selepas bas berkenaan melanggar dua kenderaan lain di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang. - BERNAMA
bharian

CCTV lokasi pembunuhan warga emas diteliti



20/12/2010 5:32pm

GEORGETOWN - Polis sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di Jalan Gat Lebuh Gereja bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian bunuh seorang warga emas semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, polis telahpun mendapat salinan rakaman itu bagi melihat bagaimana kes pembunuhan itu berlaku.
"Berdasarkan keterangan beberapa saksi, ada seorang lelaki berbadan besar dan berpakaian t-shirt hitam dilihat keluar dari kereta mangsa dan mencampakkan sesuatu ke dalam longkang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Moey Guan Chin, 89, ditemui mati dalam sebuah kereta di tepi jalan Gat Lebuh Gereja dengan kesan kelar pada bahagian lehernya.
Kong Meng berkata, polis menemui sebilah pisau sepanjang 10 sentimeter dalam longkang berkenaan. - Bernama

Remaja tarik balik saman terhadap kerajaan



20/12/2010 5:35pm

KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki yang ditahan di bawah perintah kediaman terhad oleh Kementerian Dalam Negeri kerana disyaki mencuri motosikal, hari ini menarik balik samannya terhadap kerajaan selepas dia dihantar balik ke rumahnya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Zawawi Salleh merekodkan permohonan penarikan balik saman itu di dalam kamar yang dikemukakan oleh peguam Daniel Albert yang mewakili pemohon dalam kes berkenaan iaitu bapa remaja itu, Panir Selvam.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Albert memberitahu pemberita anak guamnya mengarahkan beliau menarik balik permohonan semakan kehakiman bagi diisytiharkan perintah Menteri itu batal dan tidak sah kerana anak lelaki anak guamnya yang diletakkan di bawah perintah tahanan kediaman terhad di Lenggeng telah dipindahkan ke kampungnya di Kajang.
Albert berkata, beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bersetuju untuk mengubah perintah Menteri untuk menghantar remaja itu ke rumah keluarganya.
Beliau berkata, tempoh perintah kediaman terhad itu ialah selama dua tahun dari Mac 2010 hingga Mac 2012. - Bernama

Tragedi bas pelancong: 3 rakyat Malaysia turut maut



20/12/2010 4:06pm



IPOH 20 Dis. – Tiga rakyat Malaysia turut terbunuh dalam nahas bas pelancong yang terbabas di Simpang Pulai hari ini.
Ini bermakna jumlah korban dalam tragedi bas tersebut meningkat kepada 26 orang.
Ketiga-tiga mereka adalah pemandu bas tersebut, Omar Shahidan, 48, serta pemandu kedua dan pemandu pelancong yang belum dikenal pasti identiti masing-masing.
Bas tersebut yang bernombor pendaftaran AFX 2266 membawa 34 penumpang warga Thailand ketika kejadian dan dipercayai dalam perjalanan dari Cameron Highlands. – Utusan

Bunuh pelajar: Remaja, bapa tiri ditahan bantu siasatan



20/12/2010 2:53pm

JOHOR BAHRU 20 Dis. – Polis menahan seorang remaja lelaki dan bapa tirinya semalam bagi membantu siasatan pembunuhan seorang pelajar perempuan yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit, di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah dekat Batu Pahat pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, remaja berusia 14 tahun itu ditahan pada 6.15 petang semalam di Kampung Parit Singgahan, Seri Medan, Batu Pahat, manakala bapa tirinya, seorang buruh berumur 44 tahun, ditahan pada 8.45 malam semalam, di Kampung Tebing, Tongkang Pechah.
Kedua-dua mereka direman sehingga Isnin depan. Penahanan mereka menjadikan lima orang ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes itu.
Siti Mazni Abdul Rahman, 14, dijumpai mati tersembunyi di bawah timbunan daun-daun kelapa sawit pada 5 petang Jumaat lepas dengan satu kesan tikaman di badan. – Bernama

Mayat 28 mangsa nahas bas terbalik dibawa ke hospital



20/12/2010 6:22pm



IPOH 20 Dis. – Sebanyak 28 mayat mangsa nahas bas pelancong yang terbalik ketika menuruni Cameron Highlands di Simpang Pulai di sini dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini petang ini.
Bagaimanapun, pihak hospital hanya mengesahkan 27 daripada mayat itu iaitu 10 lelaki, 14 perempuan, manakala tiga lagi mayat belum dikenal pasti. – Utusan

Air surut: Kemaman beransur pulih daripada banjir



20/12/2010 5:55pm

KUALA TERENGGANU 20 Dis. – Keadaan di beberapa kawasan di daerah Kemaman yang dilanda banjir semalam semakin pulih hari ini setelah air mulai surut petang ini.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pejabat Daerah Kemaman berkata, sehingga pukul 4 petang ini, 486 mangsa masih berada di pusat pemindahan berbanding 839 pagi tadi.
"Kita jangka lebih ramai akan dibenarkan pulang hari ini sekiranya cuaca terus bertambah baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jurucakap itu berkata, dua pusat pemindahan iaitu di kuarters Balai Polis Kerteh dan Balai Raya Batu 9 Kijal telah ditutup petang ini setelah semua mangsa dibenarkan pulang.
Di Kemasik, 279 mangsa masih lagi berada di pusat pemindahan, manakala di Kijal terdapat 74 orang. – Bernama

27 terbunuh kemalangan bas pelancong



20/12/2010 4:34pm

IPOH – Dua puluh tujuh orang, kebanyakannya pelancong dari Thailand, terbunuh selepas sebuah bas pesiaran membawa pelancong negara itu terlibat dalam satu kemalangan di KM 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pukul 11.40 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, 22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan seorang di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
Katanya, bas dua tingkat milik syarikat San Express Holiday yang beribu pejabat di Jitra, Kedah itu membawa 37 pelancong Thai, manakala pemandu, pembantu pemandu dan pemandu pelancong adalah rakyat Malaysia.
Zakaria memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan tengah hari telah mengerakkan 100 anggota penyelamat dalam operasi menyelamat.
Katanya, ketika kejadian, bas itu sedang dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur kerana pelancong itu dipercayai akan mengambil penerbangan pulang ke Bangkok.
Zakaria berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum bas terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik di longkang. – Bernama
kosmo

Anak dibebaskan dua jam selepas diculik



20/12/2010 4:22pm

KUANTAN – Anak perempuan Ketua Pemuda MCA Kuantan yang dipercayai diculik oleh dua lelaki ketika sedang bermain di hadapan rumahnya di Bukit Pelindung di sini petang semalam ditemui semula kurang dua jam selepas itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC T. Narenasegaran berkata, kejadian itu berlaku pada 5.45 petang ketika kanak-kanak itu bersama abangnya berusia 11 tahun sedang bermain di hadapan rumah mereka.
"Ketika sedang leka bermain, dua lelaki bertopi yang menaiki sebuah kereta Perodua Viva secara tiba-tiba berhenti dan melarikan budak perempuan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, 45 minit selepas kejadian, bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis dan budak perempuan itu ditemui sedang menangis oleh orang awam pada 7.30 malam, tiga kilometer dari rumahnya.
Katanya, budak itu tidak dicederakan tetapi terdapat kesan ikatan pada kaki dan tangannya.
Sehingga kini motif penculikan masih dalam siasatan, kata Narenasegaran. – Bernama
kosmo

Beruang menyerang mahu lindungi anak



20/12/2010 11:16am

JELI - Beruang yang menyerang seorang penoreh getah di Kampung Bukit Jong di sini petang Selasa lalu mungkin kerana ia mahu melindungi anak beruang yang baru dilahirkan di kawasan tersebut.
"Kemungkinan ketika kejadian, ada anak beruang yang baru dilahirkan di kawasan berkenaan menyebabkan beruang itu menjadi terancam dan cemas lalu menyerang manusia yang ada berhampiran.
"Bagaimanapun ianya merupakan satu kemungkinan dan pihak kita masih menjalankan siasatan lanjut," kata Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Pazil Abdul Patah selepas membuat pemantauan di kawasan kejadian hari ini.
Dalam kejadian itu, Osman Salleh, 35, cedera di kaki kanan akibat digigit beruang Malayan Sun Bear atau beruang madu ketika menunggang motosikal untuk pulang dari kebunnya.
Beliau kemudiannya dimasukkan ke Hospital Tanah Merah.
Menyifatkan kejadian tersebut sebagai jarang berlaku, Pazil berkata pihaknya akan mengenal pasti tindakan seterusnya bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang. - Bernama
kosmo

Kumpulan “Kangkar”: 10 lelaki ditahan



20/12/2010 2:57pm

JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan kumpulan “Kangkar” yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 46 kes samun, ragut dan curi motosikal di sekitar bandar raya ini selepas menahan 10 anggota kumpulan berkenaan, Rabu lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dua daripada mereka ditahan di sebuah rumah di Kampung Kangkar Tebrau, di sini, manakala lapan yang lain di sekitar bandar raya ini.
"Hasil siasatan yang dibuat, polis merampas sembilan motosikal yang dipercayai hasil curi, sebatang besi berbentuk T, tujuh batang besi tajam dan dua besi berbentuk L yang ditajamkan hujungnya yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Mokhtar berkata, siasatan mendapati dua daripada anggota kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, kesemua 10 suspek yang berumur 18 hingga 27 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut. – Bernama
kosmo

Angka korban bot pelarian karam di Australia 48 orang





2010/12/20

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Julia Gillard berkata tiada angka rasmi mengenai jumlah sebenar korban sebuah bot yang karam di perairan negara itu, minggu lalu tetapi ia dipercayai membabitkan kira-kira 48 pelarian. 

“Kita mungkin tidak tahu jumlah sebenar, tapi dianggarkan ketika ini sekitar 90 orang di dalam bot berkenaan ketika nahas," katanya kepada pemberita, hari ini.
“Malah, setakat ini kita mendapati kira-kira 18 orang lagi masih hilang," katanya.
Mayat yang sudah dijumpai setakat ini selepas tragedi Rabu lalu terdiri daripada 30 orang warga Iran, Kurdish and Iraq yang dipercayai pelarian. 

Seramai 42 penumpang lagi berjaya diselamatkan. 

Bot itu dijumpai karam selepas berlanggar dengan tebing batu di kawasan terpencil di Pulau Christmas yang menjadi tempat penempatan pelarian. - AFP

Peguam kanan bebas tuduhan gagal dedah maklumat harta





2010/12/20

KUALA LUMPUR: Peguam kanan, Rosli Dahlan bebas tanpa dipanggil membela diri selepas Mahkamah Sesyen di sini memutuskan pihak pendakwaan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal membuktikan kes prima facie terhadap kegagalannya mematuhi satu notis untuk mendedahkan segala maklumat mengenai asetnya. 

Hakim Abu Bakar Katar memutuskan bahawa notis yang ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM, Anthony Kevin Morais gagal membuktikan peguam itu merupakan seorang daripada sekutu bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Ramli Yusof.
Beliau juga memutuskan pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa Rosli secara sengaja gagal memberi maklum balas terhadap notis yang dikeluarkan Morais.
"Morais juga gagal membuktikan bahawa dia mempunyai asas untuk mengeluarkan notis itu," katanya. 

Pada 12 Oktober lalu, Rosli dihadapkan ke mahkamah kerana kerana dituduh gagal mematuhi notis untuk mendedahkan segala maklumat berhubung harta miliknya dalam tempoh dua bulan sebagaimana disyaratkan mengikut notis bertarikh 17 Julai, yang kemudiannya dilanjutkan ke 16 Ogos, satu kesalahan mengikut Seksyen 32 (2) Akta Pencegah Rasuah 1997. 

Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak melebihi RM100,000. 

Rosli, 46, rakan kongsi sebuah syarikat guaman terkenal dan seorang rakan karib Ramli, pada hari tuduhan dibaca ke atasnya pada 12 Okt, 2007 memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan terhadapnya sehari sebelum Hari Raya akan menyebabkan beliau menjadi bahan cemuhan jika ke masjid esoknya untuk bersolat raya. 
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, keputusan mahkamah hari ini membuktikan kebebasan badan kehakiman di negara ini. 

"Saya menunggu tiga tahun untuk menyangkal pertuduhan ini," katanya. 

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zulqarnain Hassan berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. 

Rosli diwakili Datuk M. Kumaraendran dan Chetan Jethwani. 

Pada 12 Mac tahun lalu, Ramli dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen terhadap tiga pertuduhan gagal mendedahkan maklumat mengenai pemilikan 20,000 unit saham Telekom Malaysia Berhad, 154,000 unit saham Permaju Industries Berhad dan dua lot pejabat di bandar, bernilai RM1,032,840. 

Pada 27 Julai, 2008, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu membebaskannya daripada tuduhan salah guna kuasa pada 2007, berhubung dakwaan menggunakan pesawat Cessna polis untuk kegunaan peribadi. 

Ramli hadir di mahkamah semasa perbicaraan hari ini. - BERNAMA