Search This Blog

Sunday, December 19, 2010

Mayat nelayan dibaham buaya ditemui



19/12/2010 6:24pm

KUCHING – Mayat seorang nelayan berusia 66 tahun yang dibaham buaya, telah ditemui hari ini dalam keadaan bercerai-cerai di tebing Sungai Samarahan, tempat haiwan itu dilihat semalam.
Bahagian perut dan tangan kiri Sidi Samat ditemui pasukan mencari yang terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Perhutanan Sarawak dan Rela pada 8.45 pagi.
Anak mangsa, Musa berkata, ibunya menjadi bimbang selepas warga emas itu tidak pulang-pulang selepas keluar menjala udang awal pagi semalam, kira-kira 25 meter dari rumah mereka.
Sekitar pukul 11 pagi itu, seorang penduduk kampung dilaporkan ternampak kelibat seekor buaya berukuran 18 kaki berhampiran kawasan itu.
Mayat Sidi kemudian dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Reban. – Bernama

Kaki kanan penoreh getah digigit beruang



19/12/2010 7:06pm

TANAH MERAH – Kaki kanan seorang penoreh getah berlubang apabila seekor beruang tiba-tiba menyerang lalu menggigit kakinya dalam satu kejadian di ladang rakyat di Bukit Jong, Jeli, lima hari lalu.
Mangsa, Osman Salleh, 35, yang masih dirawat di Hospital Tanah Merah (HTM) berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 petang Selasa lepas ketika dia dalam perjalanan dari ladang ke jeti untuk ke pekan berhampiran bagi membeli bekalan makanan.
"Sudah menjadi kebiasaan buat saya dan ayah, Salleh Mahmud, 72 tahun, untuk masuk ke kebun yang boleh dihubungi melalui bot dan berada di sana selama beberapa hari. Saya akan keluar ke pekan berhampiran apabila bekalan makanan kami habis.
"Bagaimanapun Selasa lalu ketika saya dalam perjalanan ke jeti menaiki motosikal, enjin motosikal saya rosak menyebabkan saya terpaksa berhenti di tengah hutan. Tiba-tiba saya terdengar bunyi dengusan sebelum berpaling dan melihat seekor beruang setinggi tiga kaki sedang menuju ke arah saya,” katanya yang menetap di Kuala Balah, Jeli kepada pemberita di HTM hari ini.
Katanya, seorang rakan yang dikenali sebagai Halim kemudian membawanya ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke HTM untuk rawatan lanjut. – Bernama

32 maut bot karam di Bangladesh




2010/12/19

DHAKA: Sekurang-kurangnya 32 maut, yang semuanya wanita dan kanak-kanak selepas bot yang mereka naiki karam di sebuah sungai di kawasan pedalaman di utara Bangladesh, hari ini. 

Bot berkenaan yang membawa puluhan pekerja dikatakan berlanggar dengan sebuah bot kargo sebelum karam di tengah Sungai Surma di Alipur dalam daerah Sunamganj, 240 kilometer dari ibu negara Dhaka.
Seorang sup-inspektor polis kenali Saraj, berkata mereka yang terkorban itu adalah masing-masing 16 wanita dan kanak-kanak.

Seorang polis tempatan, Jane Alam, berkata nahas berlaku di salah satu kawasan terpencil di Bangladesh dan ia memerlukan beberapa jam untuk pihak berkuasa sampai ke situ. 

“Kami diberitahu bot itu karam kira-kira jam 9 malam waktu tempatan dan ia dipercayai disebabkan membawa muatan berlebihan. - AFP

15 dikhuatiri maut hotel terbakar di Filipina





2010/12/19

MANILA: Lebih 15 orang dikhuatiri maut, manakala 12 lagi parah apabila sebuah hotel di utara Filipina, terbakar awal hari ini. 

Polis berkata, kebakaran yang berlaku kira-kira empat jam itu membabitkan bangunan hotel lima tingkat dikenali Bed and Breakfast Hotel di Bandar Tuguegarao.
Ketua Polis Wilayah, Senior Superintenden Mao Aplasca, berkata pihaknya masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Dianggarkan 15 orang terperangkap dalam bangunan berkenaan dan kami percaya semuanya terkorban," katanya. 

Pihak berkuasa tempatan berkata, antara mangsa yang terkorban ialah penuntut satu kolej kejururawatan dari Santiago, yang menginap di hotel berkenaan untuk mengambil satu peperiksaan. - AFP

Dua maut kena rempuh, terbabas





PASIR MAS – Dua kemalangan maut berlaku di dua tempat berasingan membabitkan dua motosikal di Jalan Chicha Tinggi dan Kampung Kelar, Pasir Mas, semalam.

Dalam kejadian pertama, seorang warga emas, Abdul Majid Saleh, 65, tidak sempat untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Kampung Kelar, apabila dia dilanggar motosikal dari arah Tanah Merah pada jam 7.05 malam.

Ketua Polis Balai Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, Abdul Majid yang menunggang motosikal Honda EX5 memberhentikan motosikal di pertengahan jalan, untuk membelok ke lorong masjid berkenaan, namun dilanggar Mohd Faiz Roslan yang penunggang motosikal jenis RXZ.

“Perlanggaran kuat itu menyebabkan warga emas terbabit terjatuh seterusnya menyebabkan motosikal RXZ terbakar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Haliludin berkata, warga emas terbabit mengalami kecederaan parah meninggal di tempat kejadian manakala Mohd Faiz patah tangan, dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam kejadian kedua, juga melibatkan dua motosikal yang ditunggang Nur Amin Nordin, 27, maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas ke bahu jalan pada jam 8.24 malam, semalam.

Haliludin berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang setelah mengisi petrol, mengekori motosikal hadapan dengan terlalu dekat sehingga menyebabkannya tidak boleh mengawal kenderaan lalu terjatuh ke bahu jalan seterusnya terlanggar tiang telefon.

“Dia maut kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat tidak memakai topi keledar. Beliau meninggalkan seorang balu dan seorang anak yang berusia 10 bulan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Nadzri Ali berkata, dalam kejadian pertama, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.24 malam, dengan sebuah jentera bersama kekuatan lima anggota dihantar ke tempat kejadian. Kita berjaya mengawal kebakaran dalam masa lima minit.

Rokok seludup dalam bangsal





KOTA BHARU 18 Dis. - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubor berjaya merampas rokok seludup bernilai RM70,000 dalam satu serbuan yang dilakukan anggotanya di sebuah bangsal tidak berpenghuni di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, bangsal itu dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok seludup berkenaan sebelum dipasarkan untuk pasaran tempatan.
"Bertindak atas maklumat orang awam, pasukan UPP Pengkalan Kubor dengan menggunakan kenderaan pasukan telah pergi ke Kuala Terengganu, baru-baru ini.
"Serbuan dilakukan kira-kira pukul 1.30 pagi di sebuah bangsal di bandar berkenaan dengan melakukan intipan kira-kira 30 minit untuk melihat sama ada bangsal berkenaan dikunjungi suspek. Namun tiada sesiapa yang muncul," katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui beberapa plastik hitam berisi 740 karton rokok kretek dalam plastik hitam yang belum lulus pemeriksaan kastam, dianggarkan bernilai RM70,000.
Mazlan berkata, rokok tersebut dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan kesemua rampasan tersebut telah dibawa ke pejabat UPP Pengkalan Kubor sebelum diserahkan ke Jabatan Kastam Bahagian Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan operasi bagi mencegah sebarang kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan terutama menjelang perayaan Krismas dan sambutan tahun baru.

Kereta rempuh tiang elektrik, remaja cedera ringan



KEADAAN KENDERAAN PACUAN EMPAT RODA,NISSAN FRONTIER YANG DINAIKI MOHD.NOR aZAM rAZALI REMUK SETELAH TERLIBAT DALAM KEMALANGAN DI KAMPUNG KUBANG BATU, PASIR MAS, SEMALAM.


PASIR MAS 18 Dis. - Berpantang maut sebelum ajal. Itulah nasib yang menimpa Mohd. Nor Azam Razali, 18, yang terbabit dalam kemalangan di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi di Kampung Kubang Batu, Tok Uban di sini, kenderaan pacuan empat roda Nissan Frontier yang dinaiki remaja terbabit terbabas lalu menggelongsor kira-kira 10 meter sebelum merempuh bahagian tepi jalan kira-kira dua kilometer dari rumahnya.
Rempuhan tersebut menyebabkan dua tiang elektrik dan sebuah tiang telefon milik Telekom Malaysia tumbang, manakala sebuah wakaf yang dibina untuk menunggu bas pula ranap.
Walaupun kemalangan tersebut agak teruk, Mohd. Nor hanya mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Nazri Ali ketika dihubungi berkata, dua anggotanya yang secara kebetulan melalui kawasan kemalangan itu segera memberikan bantuan.

Sindiket curi kereta tumpas





KOTA TINGGI 18 Dis. - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di sini setelah menahan empat lelaki di Felda Lok Heng Barat, dekat sini malam semalam.
Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, semua suspek yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan ketika bertengkar di kawasan berdekatan rumah penduduk.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan, Muhammad Shamsuddin berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian ekoran aduan orang ramai mengenai pertengkaran itu dan mendapati kumpulan lelaki itu sedang membincangkan sesuatu.
"Suspek didapati bertengkar kerana tidak berpuas hati mengenai urusan jual beli membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
"Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati terdapat sebuah kereta yang hilang di Kolej Komuniti Bandar Penawar di sini, 15 November lalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, setelah memeriksa nombor pendaftaran kenderaan itu, didapati ia adalah kereta curi dan suspek dibawa ke balai polis.
Katanya, empat suspek itu berasal dari Felda Simpang Waha, Felda Bukit Easter, Felda Air Tawar 1, di sini dan Kuantan, Pahang.
Menurut Muhammad, pihaknya menemui kereta Mercedes Benz E270 Cdi, Hyundai Sonata GLS(A) dan Toyota Lexus.
"Kereta Mercedes itu berdaftar di Pulau Pinang manakala Hyundai (Perak) dan Toyota (Negeri Sembilan)," ujarnya.
Semua suspek katanya, ditahan reman sehingga Isnin ini.
Tambahnya, mereka disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Undang-Undang Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan barangan yang dimiliki.

Kurier DVD cetak rompak



M. Guna Seelan (dua kiri) melihat cakera padat digital yang dirampas dari sebuah syarikat kurier di Seberang Jaya pada akhbar di pejabat PDNKK Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, semalam.


BUKIT MERTAJAM 18 Dis. - Berselindung di sebalik nama sebuah syarikat kejuruteraan, sindiket pengedaran video cakera digital (DVD) cetak rompak membuat penghantaran menggunakan syarikat perkhidmatan kurier dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.
Sementara penerima kiriman di negeri ini pula menggunakan kod-kod rahsia seperti KKK, Jepun dan banyak lagi selain nama samaran serta alamat yang tidak lengkap bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Namun, semuanya terbongkar apabila pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Pulau Pinang menyerbu sebuah syarikat kurier di Seberang Jaya di sini hari ini.
Hasil serbuan tersebut, mereka berjaya merampas 32 kotak bungkusan berisi DVD cetak rompak filem-filem Inggeris dan Mandarin selain cakera pakat (CD) lagu-lagu Mandarin serta CD permainan komputer untuk diedarkan di negeri ini.
Ketua Pegawai Penguat kuasa negeri kementerian tersebut, M. Guna Seelan berkata, kegiatan berkenaan dipercayai berleluasa di Seberang Perai sejak enam bulan lalu pada setiap hari kecuali Ahad dan Isnin.
"Pada tahun lalu, pihak kami telah membuat serbuan di syarikat kurier di Georgetown dan kini sindiket itu beralih ke Seberang Perai pula.
"Selain syarikat kurier, mereka juga dikesan menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk mengedar dan menghantar DVD dan CD cetak rompak ke Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Tambah Guna Seelan, jumlah rampasan dianggarkan sebanyak RM50,000 dan pihaknya telah menahan pemandu syarikat terbabit serta mengambil keterangan daripada salah seorang penyelia di situ.
Menurut beliau, pihaknya menghadapi kesukaran mengesan pengirim bungkusan berkenaan kerana tiada alamat lengkap diberi selain nombor telefon yang tidak dapat dihubungi.
Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya akan terus memantau dan membuat siasatan rapi untuk mendakwa mereka yang terlibat.
"Kes ini disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 untuk setiap keping atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kita juga akan merujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mendakwa syarikat kurier terbabit di mahkamah," ujarnya.

Keluarga Nur Ain tidak maafkan



JOHOR BAHRU 18 Dis. - Ahli keluarga Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, tidak akan memaafkan tindakan zalim anak angkat mereka yang bertindak menikam gadis tersebut dalam kejadian di Kampung Sungai Redan, Kota Tinggi kelmarin dan berharap hukuman berat dikenakan terhadapnya.
Kakak mangsa, Marlina Jemedi, 30, berkata, dia berasa sangat sedih melihat keadaan adiknya yang sedang kritikal di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dan menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang sangat kejam.
"Meskipun suspek merupakan anak angkat keluarga kami sejak lebih 10 tahun lalu, perbuatan kejam terhadap adik saya itu tidak akan dapat dimaafkan.
"Kami sekeluarga berharap dia akan dikenakan hukuman gantung. Adik saya kini kritikal dan berkemungkinan hilang penglihatan akibat kejadian itu," katanya ketika ditemui di HSI di sini hari ini
Dalam kejadian 9.15 pagi itu, mangsa ditikam bertubi-tubi di beberapa bahagian tubuh termasuk kiri dan kanan punggung, belakang badan, kedua-dua belah tangan dan kaki selain melecur hampir 70 peratus akibat disimbah cuka getah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan seorang suspek berusia 42 tahun berasal dari Kampung Air Putih, Nam Heng, Kota Tinggi yang dikatakan tidak dapat menerima hakikat cintanya ditolak selain perasaan cemburu.
Marlina memberitahu, suspek sememangnya menaruh hati sejak sekian lama terhadap adik angkatnya dan sanggup menghabiskan wang termasuk membeli makanan dan barangan yang diingini Nur Ain.
Katanya, perbuatan itu kelihatan ketara ketika adik angkatnya memasuki sekolah menengah, bagaimanapun cinta itu tidak berbalas.
"Sebelum kejadian, suspek juga pernah mengugut untuk memotong kepala adik saya sekiranya masih berdegil keluar rumah dengan lelaki yang tidak disukainya.
"Dua hari sebelum kejadian, suspek pernah memukul mangsa menggunakan topi keledar hingga mencederakan tangan adik saya sebelum berlalu pergi," katanya.

Mangsa dibenar bawa senjata api



KUALA LUMPUR 18 Dis. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan penolong penguasanya yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2) semalam memiliki senjata api kerana sedang bertugas.
Penguasa Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Nurhasmah Mohamed Kassim berkata, Jackson Mingat Pinol, 24, adalah pegawai yang bertugas di bahagian keselamatan.
Menurutnya, ketika kejadian dekat susur Taman Connaught, mangsa sedang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menyerahkan pistol jenis Glock 9mm itu selepas selesai melakukan tugas rasmi.
"Untuk makluman, semua pegawai SPRM dibenar membawa dan mengendali senjata api semasa menjalankan tugas.
"Berikutan itu SPRM berharap isu penemuan senjata api tersebut tidak menimbulkan sebarang kekeliruan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, kereta dipandu mangsa merempuh tembok konkrit pembahagi jalan sebelum berpusing beberapa kali dan menggelongsor sejauh kira-kira 50 meter.
Beliau menambah, pegawai terbabit juga telah lulus kesemua prosedur dan peraturan yang ditetapkan untuk mengendali senjata api.

Wanita berusia 31 dan 27 mengaku jadi mangsa Assange





2010/12/19

STOCKHOLM: Dua wanita Sweden yang menuduh pengasas WikiLeaks, Julian Assange merogol dan memperkosa mereka, masing-masing berusia 31 dan 27 tahun, menurut sumber di sini.

Wanita berusia 31 tahun itu adalah seorang aktivis, manakala mangsa kedua adalah seorang wanita yang amat terpikat dengan perwatakan dan kebolehan Assange.
Sejak dakwaan yang disifatkan Assange sebagai kempen menjatuhkannya, kedua-dua wanita berkenaan menjauhi daripada publisiti.
Selah seorang daripadanya berpindah ke Palestin untuk satu misi mubaligh Kristian dan seorang lagi memutuskan talian telefon.

AFP tidak memberikan butiran lanjut identiti mereka yang masih dirahsiakan pihak pendakwaan Sweden.

Mereka dipanggil sebagai Miss A dan Miss W, nama yang diberikan di Mahkamah Britian ketika pertuduhan terhadap Assange didengar di London.

Kedua-dua wanita berkenaan dikatakan mula mengenali Assange pada satu majlis pada 14 Ogos lalu. 
Pada hari berkenaan, Assange, warga Australia berusia 39 tahun itu sedang mengendalikan satu seminar di Stockholm anjuran sebuah sayap Kristian Parti Sosial Demokratik bertajuk “The First Casualty of War is Truth”. 

Miss A ketika itu bekerja dengan sayap parti berkenaan dan bertindak sebagai pegawai tidak rasmi antara Assange dengan wartawan sepanjang lawatannya ke Sweden.

Dia juga dikatakan membenarkan Assange tinggal bersamanya ketika tiba di Stockholm pada 11 Ogos, menurut transkrip polis yang diperoleh AFP.

Miss A dan Assange dikatakan beberapa kali mengadakan hubungan seks di rumahnya di sebuah rumah pangsa di Stockholm, menurut sebuah akhbar tabloid Sweden.

Wakil pendakwaan Sweden memberitahu mahkamah di Britain bahawa berlaku 'seks paksaan' pada 14 Ogos apabila Assange mengurung Miss A untuk memehuni nafsunya.

Pada 18 Ogos pula berlaku satu lagi kes apabila Assange melakukan 'seks luar tabii' terhadap Miss A tanpa memakai kondom walaupun Miss A membenarkan dengan syarat menggunakan kondom.

Bagaimanapun, Assange masih tinggal di rumah pangsa Miss A sehingga 20 Ogos, termasuk menemaninya dalam satu majlis keraian pada 15 Ogos.

Miss W pula juga pernah menghadiri majlis ceramah Assange pada 14 Ogos dengan duduk di barisan paling depan bersama beberapa wartawan lalu.

Latar belakang dan pekerjaannya tidak banyak diketahui tetapi punca dan sebab dia terpikat dengan Assange banyak dijelaskan dalam kenyataannya kepada polis.

Miss W mengakui sangat terpegun dan terpikat dengan Assange apabila menonton satu siran televisyen mengenai Assange yang memperkatakan mengenai pembocoran maklumat Amerika pada Perang Afghanistan.

Apabila mengetahui pengasas WikiLeaks itu memberi ceramah di Stockholm pada 14 Ogos, dia meluangkan masa sepanjang petang itu untuk bersama Assange dan rakannya, sebelum kedua-duanya menonton wayang bersama.

Dua hari kemudian, kedua-duanya pergi ke rumah Miss W di Enkoeping, kira-kira 50 kilometer di barat daya Stockholm dan di rumah itu, Miss W mendakwa Assange merogolnya tanpa menggunakan kondom ketika dia sedang tidur. - AFP

Penoreh getah cedera diserang beruang seberat 50kg



19/12/2010 4:41pm



TANAH MERAH 19 Dis. – Seorang penoreh getah cedera diserang seekor beruang seberat 50 kilogram dan setinggi kira-kira dua meter ketika menyemai anak benih getah di kebunnya di Kampung Kuala Balah, Jeli, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, lelaki terbabit, Osman Salleh, 35, terpaksa bergelut dan bertarung menggunakan sebilah parang sepanjang 30 sentimeter selama kira-kira 15 minit dengan haiwan liar tersebut.
Dalam pergelutan tersebut, mangsa berjaya mencederakan bintang berkenaan dengan menetaknya bertubi-tubi sehingga memaksa beruang itu yang dikatakan tersesat ke kebunnya, masuk semula ke kawasan hutan berhampiran.
Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di sebelah kaki kanannya akibat digigit binatang buas itu.
Dia kemudiannya menghubungi bapanya, Salleh Mahmud, 70, yang berada kira-kira empat kilometer daripada tempat kejadian untuk mendapatkan bantuan.
Osman kemudiannya dibawa pulang ke rumah oleh bapanya sebelum dirujuk oleh seorang ahli keluarga ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk mendapatkan rawatan lanjut sejam kemudian. – Utusan

Gadis 14 tahun mangsa bunuh

SMS akhir
BATU PAHAT: Mangsa pembunuhan kejam yang ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, kelmarin, dikatakan sempat menghantar SMS nyawanya terancam kepada seorang rakan ketika kejadian, Rabu lalu.
Malangnya, mangsa, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra Tongkang Pechah, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, gagal memberi lokasi menyebabkan rakannya itu tak dapat memberikan bantuan dan mendiamkan diri.
Nenek mangsa, Mailiah Idris, 62, berkata perkara itu dimaklumkan bapa arwah, Abdul Rahman Hassan, 43, apabila dia mencari anak sulung daripada empat beradik itu sehari selepas dilaporkan hilang.

“Saya ada di rumah ketika kejadian dan Siti Mazni memberitahu ingin keluar rumah untuk bertemu rakan di kawasan berhampiran pada kira-kira jam 5 petang.

Lelaki terpaksa berguling elak ditanduk kerbau liar

BALING: Seorang lelaki terpaksa merebahkan badannya dan bertindak berguling di atas tanah bagi mengelak daripada terus diserang seekor kerbau liar yang tiba-tiba menyerangnya dalam kejadian di Kampung Paya Siput, mukim Siong, di sini petang semalam.

Ketika kejadian 4.20 petang itu, Ismail Husain, 53, sedang membersihkan kebun getahnya di kawasan Kebun Sera yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.
Akibat serangan itu, Ismail lebam di tangan dan badan akibat disondol kerbau yang dipercayai baru beranak itu tidak jauh dari kawasan belukar di situ.
Ismail berkata beliau langsung tidak sedar sekumpulan kerbau liar berada di kawasan itu dan tiba-tiba salah seekor daripadanya bertindak menyerangnya.

Katanya beliau sempat menghayun parang yang mengenai mulut kerbau itu dan beliau kemudian berguling-guling di atas tanah mengelak daripada ditanduk kerbau itu menyebabkan kerbau tersebut meninggalkannya.

"Saya hanya tersedar bahagian belakang saya ditanduk dan saya terguling di atas tanah serta menghayun parang ke arah kepala kerbau itu dan mengenai mulutnya," katanya.

Katanya kumpulan kerbau liar yang berkeliaran di kawasan itu dalam jumlah hampir 10 ekor itu dipercayai tiada bertuan dan pernah dua tahun lalu menyerang saorang pemburu babi hutan hingga mati akibat cedera parah ditanduk di bahagian paha dan badan.
Ismail berharap supaya Jabatan Haiwan Daerah Baling dan pihak lain yang bertanggungjawab bertindak menembak kerbau liar berkenaan daripada terus berkeliaran di kawasan bukit berdekatan Kampung Telok Temelah, Kampong Luas dan Kampung Paya Siput sebelum berlaku lagi kejadian yang tidak diingini.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Paya Siput, Shaffie Che Mey, 62, mahu kumpulan kerbau liar yang boleh mengancam nyawa terutama penoreh getah dan pekerja hutan di sekitar itu ditembak kerana sejak lebih 10 tahun ini tiada sesiapa yang mengakui kumpulan kerbau liar itu milik mereka.

"Kejadian pemburu babi hutan yang diserang dan maut akibat ditanduk dua tahun lalu dan kejadian semalam patut diambil perhatian oleh pihak berkenaan sebelum ada lagi kejadian yang boleh meragut nyawa berpunca dari serangan kerbau liar itu, " katanya. - BERNAMA

Mangsa 19 tikaman sedar



Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/12/19

NUR AIN memberi reaksi positif selepas sedar dari koma di HSI, semalam.
NUR AIN memberi reaksi positif selepas sedar dari koma di HSI, semalam.

NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa   tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.
NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.

Buang sel kulit mati Isnin

JOHOR BAHRU: Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, mangsa 19 tikaman dan disimbah asid akan menjalani rawatan membuang sel kulit mati Isnin ini selepas 70 peratus bahagian badan termasuk mukanya melecur teruk.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor, Senator Datuk Sharifah Azizah Syed Zin, berkata keadaan mangsa semakin stabil dan masih perlu menerima rawatan susulan berikutan kecederaan teruk yang dialaminya.
“Nur Ain sudah sedar dari komanya dan boleh membuka matanya. Malah, ketika menegurnya, dia memberi maklum balas yang positif dan faham apa yang sedang berlaku ke atasnya.

“Ini satu perkembangan yang baik dan saya berharap dia akan cepat sembuh seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.

Katanya, Pergerakan Wanita UMNO negeri akan sedia membantu Nur Ain apabila sembuh kelak termasuk memberi bantuan kaunseling serta pertolongan lain yang sewajarnya bagi membantu mangsa meneruskan kehidupannya.

“Saya sedih perkara sebegini boleh berlaku. Saya dan ahli Wanita UMNO yang lain berdoa supaya Nur Ain cepat sembuh kerana usianya masih muda dan perjalanannya menuju alam dewasa juga masih jauh.
“Saya juga berharap keluarganya bersabar dalam menghadapi dugaan yang melanda dan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya dapat mengharunginya dengan mudah,” katanya.

Sharifah Azizah sebelum itu turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa bertujuan meringankan beban yang ditanggung mereka.

Akhbar semalam melaporkan Nur Ain yang mengandung enam bulan koma, manakala bayi dalam kandungannya meninggal dunia selepas ditikam bertubi-tubi serta disimbah cuka getah dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram, dekat sini Khamis lalu.

Mangsa diserang seorang lelaki berusia 42 tahun dipercayai akibat menolak cinta lelaki terbabit. Suspek dikatakan mengenali mangsa sejak dia berusia 12 tahun lagi malah, suspek juga dipercayai adalah anak angkat kepada keluarga mangsa.

Mangsa dilaporkan parah selepas ditikam 19 kali kebanyakannya di bahagian perut selain melecur di muka, belakang badan, tangan dan kaki.

Ustaz Mohd Fauzi kerugian RM10,000





2010/12/19

KUALA LUMPUR: Perantara program Al-Kulliyyah terbitan TV3, Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa, kerugian hampir RM10,000 selepas rumahnya dipecah masuk perompak dalam kejadian di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, malam kelmarin. 

Dalam kejadian itu, sebuah TV plasma 42 inci yang digerudi di dinding ruang tamu rumahnya turut dilarikan bersama sebuah pemain cakera padat digital (DVD).
Mohd Fauzi yang juga penceramah bebas menyedari kejadian itu kira-kira jam 11.30 malam sebaik tiba di rumah selepas pulang dari majlis di Damansara, di sini, apabila mendapati jeriji besi rumahnya dipecahkan.
“Sebaik masuk ke dalam rumah, saya dapati keadaan ruang tamu berselerak dengan TV Plasma yang digerudi pada dinding sudah lesap bersama pemain DVD. 

“Ini kali pertama rumah saya dipecah masuk, tetapi di Seksyen 8 ini beberapa pernah dilaporkan berlaku kes pecah rumah,” katanya yang membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kajang jam 12.30 malam kelmarin. 

Sementara itu, sumber Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dibuat.

Dua ditahan kes bunuh Siti Mazni





2010/12/19

BATU PAHAT: Polis menahan dua remaja selepas disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di mana mayatnya ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya di sebuah kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, kelmarin. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon, berkata suspek berusia 15 dan 16 tahun itu ditahan selepas salah seorang daripadanya membuat laporan berhubung kejadian itu mendakwa dia menyaksikan rakannya membunuh mangsa di kebun berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit dalam kes pembunuhan itu. Hasil soal siasat, mereka kemudiannya membawa polis ke satu lokasi di kebun sawit di mana mayat mangsa ditemui kira-kira jam 5 petang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Adnan berkata, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, dipercayai dibunuh di kebun sawit terbabit Rabu lalu berdasarkan laporan kehilangannya. 

Difahamkan, mangsa ditikam menggunakan objek tajam kira-kira 100 meter dari rumahnya sebelum diheret ke dalam kebun terbabit. 

"Mayat mangsa ditemui tersembunyi di bawah timbunan daun kelapa sawit dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu kesan tikaman pada badan mangsa. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Batu Pahat untuk dibedah siasat," katanya. 

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 
"Polis akan menjalankan siasatan lanjut termasuk menjalankan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek. Dengan penangkapan dua suspek terbabit, polis percaya kes ini selesai," katanya. 

Siti Mazni, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Putra dilaporkan hilang selepas berjumpa rakannya Rabu lalu. 

Sementara itu, nenek mangsa, Mailiah Idris, berkata kehilangan Siti Mazni dimaklumkan bapa arwah, Abdul Rahman Hassan, 43, apabila beliau mencari anak sulung daripada empat beradik itu sehari selepas dilaporkan hilang. 

"Saya ada di rumah ketika kejadian dan Siti Mazni memberitahu ingin keluar rumah untuk bertemu rakan di kawasan berhampiran pada kira-kira jam 5 petang. 
"Selepas itu dia tidak pulang ke rumah dan saya menganggap dia terus membantu ibu bapanya berniaga roti canai di Tongkang Pechah. 

"Bagaimanapun, apabila ibu bapanya pulang dan mencarinya, barulah kami sedar kehilangannya dan membuat laporan polis di balai Tongkang Pechah keesokan harinya," katanya.

SMS akhir

BATU PAHAT: Mangsa pembunuhan kejam yang ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, kelmarin, dikatakan sempat menghantar SMS nyawanya terancam kepada seorang rakan ketika kejadian, Rabu lalu.
Malangnya, mangsa, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra Tongkang Pechah, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, gagal memberi lokasi menyebabkan rakannya itu tak dapat memberikan bantuan dan mendiamkan diri.
Nenek mangsa, Mailiah Idris, 62, berkata perkara itu dimaklumkan bapa arwah, Abdul Rahman Hassan, 43, apabila dia mencari anak sulung daripada empat beradik itu sehari selepas dilaporkan hilang.

“Saya ada di rumah ketika kejadian dan Siti Mazni memberitahu ingin keluar rumah untuk bertemu rakan di kawasan berhampiran pada kira-kira jam 5 petang.

“Selepas itu dia tidak pulang ke rumah dan menganggap dia terus membantu ibu bapanya berniaga roti canai di Tongkang Pechah.
“Bagaimanapun, apabila ibu bapanya pulang dan mencarinya, barulah kami sedar kehilangannya dan membuat laporan polis di balai Tongkang Pechah keesokannya,” katanya.

Menurutnya, selain membuat laporan polis bapa arwah menghubungi beberapa rakan dan salah seorang daripada mereka memberitahu, arwah sempat menghantar SMS mengatakan dia akan dibunuh.

Bagaimanapun, katanya, rakannya itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana arwah tidak sempat memberitahu lokasi dia berada.

“Kami hanya tahu arwah berada di kebun sejauh kira-kira 100 meter dari rumah apabila sepasukan polis datang ke kawasan itu jam 5 petang kelmarin,” katanya.

Mak cik mangsa, Arina Syairah Muhammad Fauzi, 18, berkata dia bermimpi arwah bergelut dengan lelaki selama tiga malam berturut-turut, sebelum diberitahu arwah ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kebun kelapa sawit.

Katanya, kali terakhir dia bertemu mangsa Jumaat lalu sebelum pergi ke Kuala Lumpur bersama rakan sekolah.

Menurutnya, bermula Ahad hingga Selasa, dia bermimpi arwah yang memakai kemeja-t berwarna merah jambu, bergelut dengan lelaki menyebabkannya bimbang dan menghubungi arwah pada Selasa lalu.

“Kali terakhir kami berbual, saya dapati dia ceria seperti biasa menyebabkan saya tidak menyangkakan apa-apa kejadian buruk akan berlaku terhadapnya.

“Bagaimanapun, saya diberitahu dia hilang sejak Rabu lalu seolah-olah mengiyakan mimpi buruk yang saya alami itu, sebelum ditemui meninggal dunia Jumaat lalu,” katanya.

Menurutnya, mereka yang rapat sejak kecil tidak menyangka kejadian itu akan berlaku terhadap mangsa dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memberkas penjenayah terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, bapa mangsa membuat laporan polis kehilangan anak perempuan berusia 14 tahun Khamis lalu dan sepasukan polis menyiasat aduan berkenaan.

“Bagaimanapun, tengah hari kelmarin suspek berusia 15 tahun datang ke balai polis membuat laporan mengatakan dia melihat satu pembunuhan dilakukan seorang rakannya, di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, menyebabkan kami menahan suspek kedua berusia 16 tahun itu.

“Namun, hasil siasatan mendapati suspek pertama turut terbabit sebelum kami dibawa ke lokasi pembunuhan dan menemui mangsa pada kira-kira jam 5 petang kelmarin,” katanya.

Ibu mangsa bunuh ditembak

CIUDAD JUAREZ: Rasa marah, kecewa dan tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan Mexico terus membuak selepas seorang ibu yang berjuang menuntut supaya pembunuh anaknya didakwa sejak hampir setahun lalu, ditembak mati - dipercayai oleh pembunuh sama - semalam.
Rakaman video menunjukkan, sebuah kereta dinaiki sekumpulan lelaki bertopeng berhenti di depan pejabat gabenor di utara Chihuahua, kelmarin. Seorang daripada mereka bertengkar dengan mangsa, Marisela Escobedo Ortiz, yang berkabung di situ sejak sekian lama bagi mendesak pihak berkuasa menahan pembunuh anak perempuannya.

Marisela kemudian melarikan diri ke seberang jalan tetapi lelaki bertopeng itu mengejar dan menembak kepalanya.

Wanita itu dikejarkan ke hospital tetapi mati beberapa minit kemudian.

Semalam, sekumpulan penunjuk perasaan berkumpul di luar Jabatan Dalam Negara di Mexico City membantah pembunuhan Marisela.

Protes sama turut diadakan di Ciudad Juarez, bandar sempadan yang menyaksikan anak perempuan Marisela berusia 17 tahun dibunuh dan dibakar sebelum mayatnya dicampak dalam tong sampah pada Jun tahun lalu.

Seorang suspek ditahan dan didakwa di mahkamah, tetapi tiga hakim yang bersidang mengarahkan lelaki itu dibebaskan pada April lalu kerana kekurangan bukti. - AP

Bukan kerja ISI

ISLAMABAD: Pakistan menafikan terbabit membongkar penyamaran ketua medan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS di Islamabad sehingga memaksa Washington memanggil pulang pegawai berkenaan.
Identiti pegawai terbabit terdedah apabila seorang lelaki Pakistan menyaman CIA atas kematian anak lelaki dan saudaranya dalam serangan misil AS pada 2009.

Peguam yang terbabit dalam saman itu berkata, nama pegawai CIA itu diperoleh daripada wartawan.

Agensi perisikan Pakistan - dikenali sebagai ISI - memang menjalin hubungan akrab dengan media bagi memudahkan kegiatan serta propaganda mereka mendapat liputan meluas.

Beberapa pihak berkata, saman itu mungkin tindak balas Pakistan selepas agensi perisikan mereka dikaitkan dalam serangan pengganas di Mumbai, India pada 2008, menyebabkan 166 orang maut.

Seorang pegawai Pakistan berkata, tuduhan agensi perisikan negara itu terbabit mendedahkan identiti pegawai CIA itu adalah satu penghinaan.

“Cerita tidak berasas itu boleh mencetuskan salah faham di antara pertubuhan perisikan kedua-dua negara,” katanya.

Ketua medan CIA di Islamabad bertindak sebagai pegawai tentera dalam kempen AS memerangi pengganas di sempadan Pakistan - Afghanistan.
Dia juga bertanggungjawab menguruskan serangan udara menggunakan pesawat tanpa juruterbang dan mensasarkannya ke atas suspek pengganas. - AP

Maut langgar bas

GEORGETOWN: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah bas awam di Jalan Paya Terubong, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Law Chun Wei, 24, dalam perjalanan dari pusat bandar ke kawasan Relau melalui Jalan Paya Terubong.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu melalui satu selekoh sebelum hilang kawalan ke atas kenderaannya kerana jalan yang licin selepas hujan lebat dan melanggar bas di jalan bertentangan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum dituntut ahli keluarganya pagi semalam.

Padah bertengkar

KOTA TINGGI: Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah nasib empat pakar curi kereta yang diberkas polis akibat tindakan mereka bertengkar sesama sendiri berhubung urusan jual beli sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Felda Lok Heng, di sini, awal pagi kelmarin.
Susulan penangkapan itu, polis berjaya menemui semula tiga lagi kereta termasuk Hyundai Sonata, Toyota Lexus dan Mercedes Benz yang dilaporkan hilang di sekitar Felda Lok Heng Barat, di sini, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, semua suspek berusia dalam lingkungan 20-an dan 40-an itu ditahan selepas berlaku pertengkaran antara mereka dalam kejadian jam 3 pagi.

“Sebuah unit peronda (MPV) diarahkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan berhubung sekumpulan empat lelaki bertengkar di tepi jalan hingga menimbulkan gangguan penduduk di Felda Lok Heng.

“Polis kemudian menjalankan pemeriksaan terhadap kereta terbabit, bagaimanapun semakan terhadap cukai jalan dan nombor pendaftarannya mendapati kereta berkenaan dilaporkan hilang pada 15 November lalu di kawasan Kolej Komuniti Bandar Penawar, di sini,” katanya.

Shamsuddin berkata, polis terpaksa menahan keempat-empat lelaki terbabit dan hasil siasatan lanjut, seorang daripada empat suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah lokasi di Felda Lok Heng Barat di mana tiga lagi kereta yang turut dilaporkan hilang berjaya ditemui.

“Pada mulanya, lelaki terbabit mengaku tiga kereta itu adalah miliknya namun kecekapan polis berjaya menghidu taktik lelaki terbabit apabila nombor pendaftaran kereta itu tidak sama dengan nombor casisnya.

“Semua suspek kini direman sehingga 20 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana memiliki kenderaan curi dan Seksyen 29 (1) Undang-Undang Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan mengenai barangan yang dimiliki,” katanya.
Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Keluarga senyap

JOHOR BAHRU: Keluarga remaja perempuan berusia 17 tahun masih membisu siapa bertanggungjawab terhadap kehamilan anaknya yang masih berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas ditikam 19 kali dan disimbah asid oleh seorang lelaki dikenali, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, hingga kini pihaknya juga masih tidak menerima sebarang maklumat mengenai pasangan mangsa terbabit.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya terdapat keperluan, ia menjadi tugas pihak hospital bagi menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Menurutnya, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat mendakwa suspek berusia 44 tahun ditahan kelmarin mempunyai sebarang kaitan dengan kandungan enam bulan mangsa yang disahkan meninggal dunia selepas remaja perempuan itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

"Mengenai soal sama ada suspek bertanggungjawab ke atas kehamilan mangsa, hanya dapat diketahui sekiranya ada ujian DNA dilakukan terhadap janin itu kerana hingga kini keluarga tidak memberi maklumat.

"Malah polis masih meneruskan siasatan berkaitan kematian kandungan mangsa itu," katanya yang enggan mengulas sama ada mangsa sudah berkahwin.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan kisah malang seorang bakal ibu berusia 17 tahun yang hamil terpaksa bertarung dengan maut di ICU akibat ditikam 19 kali serta disimbah asid oleh seorang lelaki dikenali di rumahnya di Kampung Baru Sungai redan, Ulu Tiram, di sini, pagi kelmarin.

Buaya lambung ayah

BELUM JUMPA... penduduk  mencari mayat mangsa  dibaham buaya, Sidi Samat di Sungai Samarahan Kampung Reban, semalam.

BELUM JUMPA... penduduk mencari mayat mangsa dibaham buaya, Sidi Samat di Sungai Samarahan Kampung Reban, semalam.


KOTA SAMARAHAN: Seorang anak hanya mampu menitiskan air mata apabila melihat dengan mata sendiri ayah kesayangan dilambung seekor buaya sepanjang lima meter selepas dia dilaporkan hilang ketika pergi menjala udang di Sungai Samarahan, pagi semalam.
Sidi Samad, 66, dipercayai dibaham buaya selepas anaknya, Musa Sidi, 38, melihat sendiri reptilia terbabit timbul sebanyak tiga kali di permukaan sungai berkenaan sambil menggigit tubuh mangsa.

“Ketika itu, saya menyeru buaya terbabit supaya ‘pulangkan’ bapa saya dan reptilia terbabit mula bergerak perlahan menuju ke tebing.

“Saya perasan bapa saya berada di mulut buaya selepas melihat kedua-dua kakinya lalu memanggil buaya berkenaan. Bagaimanapun, buaya itu hanya bergerak separuh dari tempat mula-mula saya nampak sebelum membenamkan badannya ke dasar sungai.

“Selepas itu, saya terus memanggil namun buaya berkenaan terus tidak timbul,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Reban, semalam.

Menurutnya, kerja menjala udang di sungai berhadapan rumahnya menjadi kebiasaan sejak beberapa tahun lalu, namun dia tidak menyangka kejadian menimpa ayahnya.

“Ayah saya sering ke sungai berkenaan dan setiap kali terserempak dengan buaya itu, dia akan ‘meminta kebenaran’ untuk melaluinya,” katanya.

Sidi yang juga Imam Masjid Darul Ehsan di kampung berkenaan dikatakan keluar menjala udang di sungai berkenaan bersendirian dengan menaiki perahu kira-kira jam 6.40 pagi.
Sebelum keluar, isterinya, Dayang Salha Awang Sharul, 64, sempat menikmati sarapan pagi bersama mangsa dan kehilangannya mula disedari selepas tidak pulang ke rumah kira-kira jam 10 pagi.

“Kebiasaannya, suami saya akan pulang selewat-lewatnya sejam dari waktu dia turun ke sungai. Tapi, hari ini (semalam) saya risau selepas kelibatnya tidak muncul sehinggalah saya menghubungi Musa untuk meminta bantuan mencari ayahnya.

“Ini kerana, saya dimaklumkan ada individu ternampak suami saya dibaham buaya. Itulah yang menyebabkan saya meminta bantuan daripada anak dan penduduk kampung,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan arwah suaminya 45 tahun lalu.

Katanya, pada malam sebelum kejadian, suaminya beriya-iya mengajaknya ke majlis tahlil berikutan terdapat salah seorang penduduk kampung meninggal dunia beberapa hari lalu.

“Suami saya menyuarakan hasrat untuk membawa saya menunaikan umrah April tahun depan. Kami sudah mengumpul duit untuk menunaikan hajatnya,” katanya.

Dalam pada itu, ketika usaha mencari dan menyelamat dilakukan, penduduk hanya menemui perahu dipercayai digunakan untuk menjala selain hasil tangkapan iaitu udang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada salah seorang penduduk memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, susulan itu, polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung melancarkan gerakan mencari Sidi namun sehingga jam 7 malam belum ditemui.

Bapa sedih bayi cedera di rumah pengasuh



MELAKA 18 Dis. - Hati ibu bapa mana yang tidak tersentuh apabila melihat bayi mereka yang masih kecil hanya mampu terbaring di atas katil manakala pelbagai wayar berselirat melilit tubuh di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Begitulah keadaan yang dirasai seorang juruteknik hotel, Rafiee Nairat@Mhera, 31, yang kini bingung memikirkan nasib anak bongsunya, Muhamad Israq Zafran (gambar), lima bulan, yang kini terlantar di ICU Hospital Melaka (HM) setelah dimasukkan ke wad itu Rabu lalu.
Semuanya bermula setelah anak keduanya itu mengalami kecederaan semasa berada di rumah pengasuh di Taman Tasik Utama di sini Rabu lalu.
Menurut Rafiee, hatinya bagaikan tidak keruan apabila mendapat tahu Muhamad Israq Zafran tidak henti-henti menangis selepas mengalami kecederaan yang tidak diketahui puncanya.
''Pengasuh memberitahu anak sulung saya, Muhamad Irfan Zaquan, dua tahun telah menghempap Zafran di rumahnya.
''Selepas diberitahu mengenai perkara itu kira-kira pukul 4.30 petang, saya kemudian meminta isteri mengambil kedua-dua anak di rumah pengasuh," katanya ketika ditemui di wad ICU HM di sini, hari ini.
Menceritakan lebih lanjut mengenai insiden malang tersebut, kata Rafiee, dalam keadaan panik itu, dia segera menghantar Muhamad Israq Zafran ke sebuah poliklinik di Ayer Keroh namun pihak poliklinik meminta rawatan lanjut dirujuk ke HM.
Katanya, selepas tiba di HM dan melihat sendiri keadaan Muhamad Israq Zafran, hatinya begitu tersentuh apabila keadaan bayinya itu menangis tersedu-sedu dan matanya pula seperti terkena sawan.
Rafiee memberitahu, hasil pemeriksaan doktor mendapati Muhamad Israq Zafran mengalami pendarahan di bahagian otak dan perlu dirawat dengan rapi.
Ekoran kejadian itu, Rafiee kemudian membuat laporan polis pada pukul 2 pagi Khamis lalu selepas pihak hospital menasihatkan dia berbuat demikian untuk siasatan.
Namun, katanya, dia tidak menyalahkan sesiapa dalam insiden yang menimpa ke atas anaknya itu dan menganggap kejadian yang berlaku sebagai ketentuan takdir.
''Saya juga mempercayai apa yang dikatakan oleh pengasuh saya iaitu Muhamad Israq Zafran dihempap oleh abangnya dan saya tidak menyalahkan dia.
''Apa pun, biarlah polis menjalankan siasatan terhadap kes ini," katanya yang mengenali pengasuh itu sejak tiga bulan yang lalu.
Ini kerana, jelas Rafiee sepanjang tempoh tiga bulan menjaga Muhamad Israq Zafran dan abangnya, dia tidak pernah nampak ada masalah pada kedua-dua anaknya seperti dipukul atau sengaja dicederakan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Senior Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Pelajar tunggu keputusan PMR lemas di Sungai Jengka



KUALA KRAU 18 Dis. - Seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Raub yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), lemas ketika sedang mandi di Sungai Jengka di Felda Jengka 16 dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, mangsa, Mohd. Azhar Zulkhairi Hamzah (gambar), 15, yang berasal dari Felda Jengka 16, lemas ketika sedang mandi bersama tiga rakannya di sungai yang terletak dalam ladang sawit di tanah rancangan tersebut.
Mayat mangsa ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Jengka di sini di sebuah lubuk berhampiran tempat mangsa tenggelam sebelum dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.
Turut mandi bersama mangsa dalam kejadian itu ialah Mohd. Hanis Harun, 15, Boharizuan Mohd. Sanusi, 15, dan Muhd. Nurbadran Jamaludin, 15, yang kesemuanya pelajar tingkatan tiga dari sekolah yang berlainan.
Menurut ayah mangsa, Hamzah Hashim, 62, dia dimaklumkan oleh rakan-rakan anaknya, Mohd. Azhar Zulkhairi yang pandai berenang, tiba-tiba mengadu kakinya kejang ketika sedang mandi.
Katanya, ketiga-tiga rakan mangsa cuba sedaya upaya membantu termasuk menghulurkan kayu tetapi tidak berjaya kerana air sungai itu dalam dan deras akibat hujan.
''Rakan-rakan arwah yang menggunakan pelbagai cara membantu tetapi Mohd. Azhar Zulhairi tidak dapat diselamat dan tenggelam di lubuk Sungai Jengka," katanya ketika ditemui di Hospital Jengka di sini.
Menurut Hamzah, mangsa bersama tiga rakannya itu bersepakat untuk mandi dan memancing di Sungai Jengka selepas solat Jumaat pada pukul 3.30 petang.
Katanya, ketiga-tiga sahabat itu menaiki motosikal ke Sungai Jengka yang terletak di dalam ladang yang bersempadan dengan Felda Jengka 15.
''Arwah memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2007 sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sains Raub dan sedang menunggu keputusan PMR yang dijangka diumumkan pada 23 Disember ini,'' katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, dia sekeluarga reda dengan musibah yang berlaku terhadap anak pintarnya itu.

Pulau Yeonpyeong akan diserang sekali lagi



19/12/2010 2:15am

SEOUL 19 Dis. - Korea Utara memberi amaran situasi di sempadan kedua-dua negara itu akan ‘meletup’ sekiranya Korea Selatan masih lagi menjalani latihan ketenteraan di pulau sempadan.
Korea Utara telah melancarkan serangannya terhadap pulau Yeonpyeong selepas latihan yang sama dijalankan Korea Selatan bulan lalu.
Serangan yang lebih dahsyat akan dilancarkan pihak Korea Utara sekiranya sesi latihan ketenteraan yang dijadualkan bermula semalam sehingga 21 Disember ini terus dijalankan oleh Korea Selatan. - AFP

Nelayan China bertembung penguatkuasa Korea Selatan, seorang maut



19/12/2010 2:15am

SEOUL 19 Dis. - Seorang nelayan China terbunuh manakala dua lagi dilaporkan hilang selepas perahu mereka bertembung dengan kapal penjaga pantai Korea Selatan, semalam.
Empat anggota pengawal pantai Korea turut tercedera dalam cubaan mereka untuk menangkap nelayan tersebut kerana menangkap ikan secara haram di Pulau Eocheong di Laut Kuning.
Menurut agensi berita Yonhap, kumpulan nelayan China tersebut menyerang anggota kumpulan pengawal pantai menggunakan besi paip dan pemukul. - AFP

Bank Amerika tidak mahu berurusan dengan WikiLeaks



19/12/2010 2:18am

CHARLOTTE 19 Dis. - Bank Amerika turut mengikut langkah beberapa institusi kewangan lain yang telah memberhentikan perkhidmatan mereka dengan laman web WikiLeaks.
Bank tersebut dalam kenyataannya berkata, laman tersebut digunakan untuk sebarang aktiviti lain yang dilihat bercanggah dengan polisi pihaknya.
Bank Amerika mengikut langkah yang diambil oleh pihak MasterCard dan PayPal yang menamatkan proses pembayaran mereka kepada laman web tersebut. - AGENSI

35 orang dikuatiri terbunuh dalam insiden bot karam



19/12/2010 2:15am

DHAKA 19 Dis. - Sekurang-kurangnya 35 orang dikuatiri terbunuh apabila bot yang mereka naiki tenggelam di sebatang sungai di sebelah timur laut India, hari ini.
Menurut seorang pegawai tadbir kerajaan, Mohammad Abul Hashem berkata, perahu tersebut yang membawa puluhan pekerja, melanggar sebuah kapal kargo dan karam di tengah sungai Surma di Alipur, di daerah Sunamganj, 240 kilometer dari timur laut Dhaka. - AFP