Search This Blog

Saturday, December 18, 2010

Pengawal temui makmal proses dadah dalam penjara di Brazil



18/12/2010 2:48am

RIO DE JANEIRO 18 Dis. - Sebuah makmal pemerosesan dadah dipercayai didalangi oleh satu sindiket penjenayah ditemui beroperasi di sebalik dinding palsu bilik berjeriji dalam penjara daerah Amazon di Brazil, kata para pegawai semalam.
Para pengawal yang membuat pemeriksaan harian ke bilik-bilik penjara itu turut menemui peralatan haram untuk pemerosesan dadah berupa sekilo serbuk kokain bersama 27 telefon dan 20 kontena bahan kimia seperti aseton dan gas dalam makmal serba lengkap di Caceres itu, kata jurucakap pengawal yang terlibat dalam pemeriksaan tersebut.
Leftenan kolonel Jadir Metelo, komander polis tempatan ketika mengesahkan menerima maklumat itu memberitahu akhbar O Globo, komplot itu menyediakan dadah itu untuk dijual dalam penjara berkenaan.
Warden penjara dikatakan terlibat atau tahu kewujudan makmal dadah didalam penjara itu, namun siasatan masih diteruskan oleh pihak pentadbir penjara. - AFP

Tindakan tegas terhadap pensyarah, penuntut terlibat ajaran Syiah



18/12/2010 3:59pm

JOHOR BAHRU 18 Dis. - Pentadbir institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pensyarah atau penuntut yang terlibat dalam ajaran Syiah, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, fahaman Syiah bercanggah dengan ajaran Islam di negara ini.

Katanya, kerajaan bimbang dengan penglibatan para pensyarah kerana perawakan mereka boleh membantu mengumpul ramai penyokong fahaman itu.

"Saya mahu pihak pentadbir universiti menumpukan kepada pensyarah kerana mereka mampu mempengaruhi orang lain terutamanya pelajar bagi menyekat ajaran ini daripada berleluasa," katanya di sini hari ini.

Mohamed Khaled diminta mengulas penahanan 200 pengikut Syiah di Selangor termasuk pensyarah dan penuntut institusi pendidikan tinggi Khamis lalu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu serbuan di tingkat empat sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor.
Anggota kumpulan itu, yang menggelarkan diri mereka Hauzah Ar-Ridha Alaihissalam meliputi golongan pensyarah, penuntut institusi pendidikan tinggi, peguam dan pegawai kerajaan. - Bernama

16 Pati berjaya ditahan




KANGAR – 16 penduduk asing tanpa izin (Pati) ditahan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Perlis, menerusi Ops Sapu awal pagi semalam.

Mereka yang berumur antara 15 hingga 40 dipercayai warganegara Myammar itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kubang Gajah, Arau di sini, jam 3.15 pagi.

Ketua Operasi Imigresen Perlis, Khalid Mohammad berkata, ketika serbuan dilakukan, semua mereka sedang nyenyak tidur bagaimanapun, salah seorang dari mereka cuba menyerang pegawai terlibat.

“Hasil risikan awal, kita mengenal pasti rumah tersebut didiami antara lima hingga tujuh pendatang sahaja bagaimanapun, ketika serbuan dibuat semuanya adalah 16 orang.

“Kita menghadapi situasi cemas kerana keadaan gelap ditambah dengan jumlah mereka lebih ramai dari yang dijangkakan. Tambahan pula mereka cuba bertindak agresif selain cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, semua mereka akhirnya berjaya ditahan dan dibawa pulang ke Imigresen Kuala Perlis sebelum dihantar ke depoh tahanan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Khalid berkata, siasatan awal pihaknya percaya semua Pati tersebut masuk ke negeri ini untuk bekerja dalam sektor pembinaan namun, lokasi sebenar tempat kerja mereka belum dikenal pasti.

Menurutnya, wanita berumur 23 yang turut ditahan bersama suaminya itu dipercayai bertindak sebagai tukang masak bagi kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, seorang dari mereka yang ditahan mempunyai pas lawatan kerja sementara, namun pas tersebut disyaki palsu dan lelaki berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 56 (1) (l) Akta Imigresen 1959/3.

Manakala 15 Pati terbabit didakwa mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Menurutnya, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali dan enam sebatan.

Tukang cuci jumpa bayi



SUNGAI PETANI - Seorang tukang cuci terkejut ketika menjalankan tugasnya sebelum pulang ke rumah di sebuah hospital di sini apabila mendapati di sebalik bungkusan tuala tebal yang dijumpai hadapan lobi hospital terbabit adalah bayi.

Tukang cuci berkenaan, M Anbalahan, 21, berkata, dia yang menjalankan tugas menyapu bahagian lobi hospital terbabit jam 6.45 pagi semalam sebelum menamatkan tugas jam 7 pagi terkejut apabila mendapati ada bungkusan dengan tuala tebal di hadapan lobi.

Menurutnya, bungkusan tuala tebal itu membuatkannya berasa pelik kerana ditinggalkan di hadapan lobi setelah pengawal keselamatan membuka pintu lobi, pagi itu.

“Saya kemudiannya menghampiri bungkusan itu kerana berasa pelik dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi seorang bayi malah bayi itu tidak bergerak dan tidak menangis.

“Saya kemudiannya memaklumkannya kepada kakitangan bahagian kecemasan hospital yang kemudiannya membawa bayi tersebut ke wad kanak-kanak untuk merawatnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Anbalahan berkata, bayi lelaki itu masih bertali pusat dan mempunyai sedikit kesan darah mungkin baru sahaja dilahirkan sebelum ditinggalkan di hadapan lobi hospital berkenaan.

Menurutnya, setelah selesai waktu kerja, dia kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan selepas itu polis membawa bayi terbabit untuk mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan laporan dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Bayi lelaki itu dijumpai di luar lobi hospital terbabit oleh seorang pekerja hospital dan keadaan bayi itu masih berdarah berkemungkinan baru sahaja dilahirkan.

“Kita masih menyiasat apakah bangsa bayi lelaki berkenaan dan siapa yang meninggalkannya di situ. Malangnya bayi itu ditinggalkan di luar lobi yang tidak diliputi kemera litar tertutup (CCTV) hospital berkenaan,” katanya.

Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi IPD Kuala Muda menerusi talian 04-4212222 bagi membantu siasatan.

Lelaki terbunuh nahas ketika ke tempat kerja



LUNAS - Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke tempat kerja, maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Sungai Seluang, di sini, 7.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Trafik Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, Ilias Min, 46, dari Taman Mahsuri, Padang Serai, ketika itu mengekori sebuah kereta dan cuba memotong kereta tersebut.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai tergesel kereta yang dipotongnya menyebabkan motosikalnya terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda itu yang datang dari arah Kilang Lama,” katanya.

Ismail berkata, Ilias mati di tempat kejadian. Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Sementara itu, seorang penduduk yang tinggal berdekatan tempat kejadian, Md Saad Hamidon berkata, pihak berkenaan sepatutnya meletakkan garisan kuning di laluan itu kerana kemalangan sering berlaku di situ.

“Jalan ini merupakan kawasan berisiko kemalangan terutama pada waktu pagi dan lewat petang. Ini juga laluan utama ke Padang Serai dan Sungai Petani dari arah Kulim,” katanya.

Md Saad juga meminta polis menggiatkan pemantauan di laluan itu terutama bagi mengawasi mereka yang memandu secara merbahaya.

“Kemalangan sering berlaku ketika orang ramai ke tempat kerja dan ketika pulang kerja. Ramai yang memandu melulu dan tergesa-gesa dan kerana itu, pemantauan perlu digiatkan,” katanya.

Nahas jet-ski bunuh tiga




JEDDAH: Tiga wanita rakyat Arab Saudi terbunuh akibat satu kemalangan jet ski (skuter air) di pantai Durrat Al-Arous, utara Jeddah, Rabu lalu.Tiga mayat itu terdiri daripada seorang wanita Saudi berusia 40 tahun dan dua anak gadisnya berusia 14 dan 12 tahun, lapor laman berita Arab News semalam.'Si ibu memecut laju dengan sebuah jet ski. Beliau secara tak sengaja memecut ke arah pantai berbatu karang.Rempuhan itu menyebabkan beliau dan dua anaknya terpelanting. Mereka mati akibat kecederaan parah,' kata jurucakap Pasukan Pengawal Sempadan. -- Agensi.

Al-Qaeda bunuh 3 askar Yaman




ADEN (Yaman): Militan Al-Qaeda yang menunggang motosikal menembak mati tiga askar Yaman dan mencederakan tujuh yang lain dalam satu serangan ke atas sebuah kem di wilayah Abyan, selatan negara itu, kata seorang pegawai keselamatan.Beliau berkata serangan ke atas kem Bashhara itu berlaku subuh semalam di Zinjibar, ibu kota wilayah Abyan.Seorang askar yang terselamat memberitahu laman berita News Yemen penyerang yang menaiki dua bas mini dan tiga motosikal itu menggunakan mesingan dan pelancar roket. -- AP, AFP.

Kes denggi terus meningkat, 133 kematian tahun ini





2010/12/18

PAPAR: Jumlah kes denggi di Malaysia tahun ini meningkat daripada 39,597 kes dan 84 kematian pada 2009 kepada 45,037 dan 133 kematian sehingga 17 Disember, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 

Beliau berkata, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 15,964 kes dan 44 kematian, diikuti Johor 4,299 kes dan 12 kematian, dan Sarawak dengan 4,174 kes dan 14 kematian.
Katanya, Sabah pula berada dalam tahap sederhana dengan 2,063 kes dan tiga kematian setakat ini.
"Tetapi ia tidak bermakna kita harus leka dan tidak prihatin untuk melakukan pencegahan," atanya selepas melancarkan Karnival Mesra anjuran Hospital Daerah Papar dekat sini. 

Lima kawasan di Sabah masih dianggap kawasan aktif denggi iaitu Kampung Pasir Putih dan Kampung Jawa di Tawau, Taman Wira Jaya dan Kampung Limbungan di Tuaran dan Kampung Lipong di Beluran. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penyakit kardiovaskular adalah antara penyebab utama kemasukkan di hospital kerajaan pada 2009, menyumbang 6.9 peratus daripada keseluruhan punca kemasukkan ke hospital. 

Daripada segi kematian akibat penyakit, katanya, penyakit kardiovaskular merupakan punca utama kematian dengan 16.1 peratus, diikuti septisemia 13.8 peratus dan kanser 10.9 peratus. 
"Pada 2008, beliau berkata didapati 47 peratus kematian di hospital kerajaan adalah akibat sakit jantung dan serangan angin ahmar membabitkan golongan yang masih produktif," katanya. 

Sehubungan itu, Rosnah mengingatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan mereka dengan mengambil pemakanan seimbang dan amalan gaya hidup sihat. - BERNAMA

Jirat Cina kasino mini kaki judi



18/12/2010 1:22pm

BUKIT MERTAJAM - Seramai 23 lelaki termasuk warga emas ditahan ketika sedang leka berjudi di jirat Cina di Kampung Baru di sini petang semalam.
Jurucakap polis berkata, jirat Cina itu dijadikan mini kasino yang menjadi tumpuan kaki judi pada setiap malam, namun operasi itu tidak dapat diteruskan lagi kerana berjaya dihidu oleh polis hasil maklumat orang ramai dan intipan sejak seminggu lepas.
Katanya, sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menyerbu tempat berkenaan kira-kira pukul 6 petang semalam.
"Kesemua mereka berusia antara 34 tahun dan 70 tahun, ditahan ketika sedang leka berjudi," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai RM900 di atas meja judi, sebiji mangkuk, tiga biji dadu, 78 keping cip judi, tiga buah meja panjang dan 20 buah kerusi.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua lelaki yang ditahan itu, polis berjaya merampas RM39,771 wang tunai yang dipercayai digunakan untuk berjudi," katanya.
Kesemua yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali. - Bernama

8 GRO warga asing, 6 pelanggan ditahan



18/12/2010 4:55pm

GEORGETOWN - Polis menahan lapan pelayan pelanggan (GRO) warga China, enam pelanggan dan seorang penjaga pusat hiburan dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan yang baru beroperasi beberapa bulan lepas di Ayer Hitam di sini kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.
Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka yang ditahan berumur antara 20 dan 30 tahun dan premis tersebut baru pertama kali diserbu sepanjang berlangsungnya Ops Noda.
"Siasatan mendapati setiap GRO itu boleh dibawa keluar untuk perkhidmatan seks dengan bayaran antara RM110 dan RM150 dan setiap pelanggan perlu melanggan mereka terlebih dahulu sebelum dibawa keluar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.
Katanya, kesemua mereka akan disiasat mengikut seksyen 39B Peraturan Imigresen manakala pemilik premis hiburan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963. - Bernama

Lagi dua mayat dijumpai pasukan penyelamat

LUAR NEGARA  TRAGEDI BOT KARAM DEKAT PULAU CHRISTMAS 

SYDNEY: Angka korban tragedi bot pelarian yang karam di Pulau Christmas, Australia, meningkat kepada 30 orang selepas dua lagi mayat dijumpai oleh pasukan penyelam polis, demikian disahkan pihak berkuasa semalam.
Menteri Ehwal Dalam Negeri Australia, Encik Brendan O'Connor, berkata mayat seorang lelaki berusia 20-an tahun dan seorang budak lelaki berusia 11 tahun dijumpai para penyelam dekat badan bot yang karam kelmarin.Mereka yang terkorban termasuk 13 lelaki, sembilan wanita, empat kanak-kanak dan empat bayi.Sejauh ini, 42 orang telah diselamatkan termasuk 25 lelaki, lapan wanita dan sembilan kanak-kanak.Perdana Menteri Australia, Cik Julia Gillard, semalam berkata harapan kini tipis untuk menjumpai penumpang lain yang terselamat.'Kita harus menerima hakikat bahawa semakin tipis kemungkinan untuk menjumpai ada lagi penumpang yang terselamat,' kata beliau di Sydney semalam, seperti yang ditukil Australia Associated Press.Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan hingga tengah malam. Kemudian pasukan kecemasan akan memutuskan sama ada akan meneruskan operasi atau tidak pada hari ini.Menteri Imigresen, Encik Chris Bowen, ditukil Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) sebagai berkata: 'Hakikatnya sekarang ialah masa kita mengalih perhatian pada operasi mencari mayat daripada mencari mangsa yang terselamat.'Tiga warga Indonesia yang disyaki penyeludup pendatang haram termasuk antara penumpang yang terselamat. Mereka kini disoal oleh polis Australia.Polis Indonesia semalam berkata tidak ada unsur jenayah terlibat dalam insiden bot karam itu.Pegawai Kementerian Luar Indonesia semalam berkata mereka masih menunggu maklumat daripada kerajaan Australia yang berkata tiga kru rakyat Indonesia termasuk antara mangsa yang terselamat.Jurucakap polis Indonesia, Encik Boy Rafli Amar, berkata insiden itu bukan urusan Indonesia.'Kemalangan berlaku di wilayah Australia. Jadi bukan tugas Indonesia untuk menyiasat. Ia satu kecelakaan, bukan jenayah,' tegas beliau. -- AP, AFP, Reuters.

Pesanan terakhir pemanjat kelapa




GEORGETOWN - “Uncle pesan pada saya, jangan datang dekat, takut ditimpa buah kelapa. Sebelum jatuh, dia sempat berikan saya sebiji kelapa untuk diminum,”kata seorang kanak-kanak selepas menyaksikan saat-saat akhir nyawa seorang pemetik kelapa yang mati akibat terjatuh dari pokok.

Jeeva ,12 yang membantu ibunya berniaga air kelapa muda berhampiran tempat kejadian berkata, dia sedih kerana tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan nyawa Tan Ah Kaw, 62, yang terjatuh dari pokok kelapa berketinggian 10 meter di Jalan Gangsa, Greenlane, di sini, semalam.

“Waktu itu kira-kira jam 2.15 petang, saya nampak Uncle membawa kereta sorongnya untuk memetik kelapa berhampiran dengan sungai namun dia melarang saya menghampirinya kerana takut saya ditimpa kelapa.

“Saya tetap berdegil dan mahu melihat Uncle memanjat pokok. Selepas d memetik beberapa biji kelapa, dia turun lalu memberikan saya sebiji kelapa itu sebelum meminta saya beredar,”katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Selepas menerima kelapa daripada Ah Kaw, Jeeva akur dengan arahanya lalu pergi ke gerai ibunya.

Tiba lama kemudian, Jeeva diminta ibunya supaya meminta sebiji lagi kelapa daripada Ah Kaw kerana kelapa yang diberinya sebelum itu begitu manis dan sedap. Tanpa banyak bertanya, kanak-kanak itu terus berlari ke arah Ah Kaw.

“Saya nampak Uncle sedang memetik kelapa dan dia berjaya jatuhkan beberapa tandan.

Tiba-tiba, saya lihat Uncle tidak dapat mengimbangi badannya lalu terjatuh dari pokok yang tinggi itu.

“Selepas jatuh, dia terus tak sedarkan diri. Saya menjerit minta tolong dan orang ramai yang berada di sekitar tempat itu datang,”katanya.

Sementara itu, anak saudara Ah Kaw, Chan Lai Kuan,27 berkata, bapa saudaranya itu sudah 10 tahun menjual air kelapa muda berhampiran rumahnya dan dia menurunkan sendiri kelapa untuk dijual.

Lai Kuan berkata, pagi semalam dia sempat berjumpa dengan bapa saudaranya itu namun tiada sebarang perubahan sikap ditunjukannya.

“Pak cik adalah bapa saudara yang baik. Walaupun dia tidak pernah berkeluarga tetapi dia anggap kami macam anak-anaknya sendiri dan saya amat menyayanginya,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Buruh kena hukum gantung bunuh anak


Oleh Rafidah Mat Ruzki

2010/12/18

Mangsa disumbat dalam beg, dibuang ke longkang

SHAH ALAM: Seorang buruh dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini semalam selepas didapati bersalah membunuh anak lelakinya berusia dua tahun, tiga tahun lalu. 

M Murthy, 32, didapati bersalah membunuh anaknya, Ruthren di sebuah rumah Lot 1848, Jalan Sungai Pinang, di sini, pada jam 4.15 petang 20 Januari 2007.
Tertuduh kemudian mengambil beg baju dan menyumbat kanak-kanak malang itu ke dalamnya sebelum membuang beg berkenan ke dalam sebuah longkang berhampiran Pelabuhan Klang. Mayat mangsa ditemui nelayan dalam beg pakaian di perairan berhampiran Pulau Sembilan, Teluk Intan, Perak pada 1 Februari 2007.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohtarudin Baki, berkata mahkamah mendapati dakwaan pihak pembelaan bahawa mangsa mengalami sawan dan terjatuh dalam kolah kemudian lemas adalah satu pembelaan bersifat ‘difikirkan semula’ atau after thoughts berikutan ia tidak ditimbulkan pada peringkat pendakwaan. 

Katanya, keterangan pembelaan berkenaan juga tidak disahkan ketika Saksi Pendakwaan (SP) ke-12 dan ke 13, iaitu anak tertuduh, M Thinesh, 11, dan isterinya, K C Selvi memberi keterangan pada peringkat pendakwaan. 

“Pembelaan sepatutnya menimbulkan isu ini pada peringkat awal perbicaraan. Jika mangsa diserang sawan atau terjatuh yang akhirnya membawa kepada kematian, ia sudah pasti keadaan yang serius. 
“Tertuduh menyatakan dirinya seorang bapa yang bertanggungjawab. Sebagai bapa bertanggungjawab seperti yang digambarkan tertuduh, sudah tentu beliau akan ke hospital dengan segera tetapi tertuduh pergi ke ruang tamu untuk menghisap rokok dan ini tidak langsung menunjukkan keadaan cemas,” katanya. 

Rumah jadi abu




HULU BERNAM - Gara-gara bermain api, 16 sekeluarga Orang Asli di Kampung Serigala di sini tinggal sehelai sepinggang setelah rumah didiami musnah dalam kebakaran yang berlaku lewat petang semalam.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu, kesemua ahli keluarga terbabit sedang berehat dan bersembang di beranda rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran yang melihat api dari dalam rumah.

Bagaimanapun, api katanya merebak pantas dan gagal dikawal menyebabkan rumah terbabit musnah.

Ketua keluarga, Arip Samangkan, 45, berkata, kejadian itu berpunca daripada anak bongsunya berusia lima tahun yang bermain api di ruang tamu rumahnya.

Menurutnya, dia tidak mengetahui dari mana anaknya mendapatkan api terbabit tetapi, yakin kejadian itu disebabkan kecuaian anaknya.

“Masa itu, kami semua ada di rumah dan bersembang-sembang di beranda depan rumah sebelum salah seorang jiran menjerit mengatakan rumah terbakar.

“Saya terkejut dan bergegas mendapatkan anak saya sebelum cuba memadamkan api. Tetapi, api merebak terlalu pantas menyebabkan kami gagal menyelamatkan barangan rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Arip berkata, dia hanya sempat menyelamatkan televisyen sementara barangan lain seperti perabot, peralatan elektrik dan dokumen musnah sama sekali.

Menurutnya, motosikal yang digunakan untuk menoreh getah bersama sebuah basikal anaknya turut musnah dalam kebakaran itu.

“Rumah ini telah lama kami diamai dan salah seorang anak saya dalam perancangan untuk tinggal di rumah baru yang sedang dalam pembinaan.

“Tetapi, bila sudah jadi begini, terpaksalah kami semua tinggal di rumah baru itu pula apabila ia siap tahun depan,” katanya.

Wanita dalang pemalsuan



Oleh Haika Khazi

2010/12/18

 RAJA MOHD (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dokumen yang dirampas ketika  Ops Serkap  pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, semalam.
RAJA MOHD (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dokumen yang dirampas ketika Ops Serkap pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, semalam.


Sindiket raih ratusan ribu ringgit sebulan jual dokumen palsu

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan seorang wanita tempatan berusia 43 tahun kerana disyaki menjadi dalang sindiket pemalsuan pelbagai jenis dokumen termasuk pelekat keselamatan, kad pekerja (I-kad) dan pasport pelbagai negara dalam satu serbuan Ops Serkap di sebuah bengkel kimpalan di Taman Desa, Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.45 petang itu, imigresen turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 30 hingga 40 tahun dan merampas sebanyak 817 pelekat keselamatan imigresen, 43 I-kad dan 30 pasport palsu pelbagai negara, termasuk 17 pasport Bangladesh, 10 pasport palsu Indonesia, dua Pakistan dan satu China serta 15 cap keluar-masuk palsu.
Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Imigresen, Datuk Raja Mohd Raja Ismail, berkata serbuan berkenaan dilakukan selepas imigresen melakukan intipan lebih dua bulan terhadap sindiket terbabit.

Curi dua enjin pesawat F5-E


TENANG... Sarjan N Tharmendran, 42, keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini selepas mahkamah menolak permohonannya untuk menggugurkan perintah penggantungan kekal terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5-E. - Foto BERNAMA


Ketua CIA Pakistan dipanggil balik





2010/12/18

ISLAMABAD: CIA mengeluarkan perisik utama di Pakistan selepas penyamaran beliau didedah dan nyawanya diancam. 

Sementara itu, 54 suspek militan dibunuh dalam serangan peluru berpandu yang dilancarkan pesawat kawalan jauh Amerika Syarikat, sekali gus menunjukkan masalah dalam hubungan antara sekutu dalam perang terhadap keganasan itu.
Keputusan CIA mengeluarkan ketua stesen Islamabad dibuat ketika waktu penting di mana Pentadbiran Presiden Barrack Obama menekan Pakistan untuk menghapuskan militan di wilayah barat lautnya walaupun bantahan awam di negara itu meningkat berikutan pengakuan agensi perisikan AS bahawa ia menggunakan pesawat kawalan jauh itu.
Penarikan ketua setesen itu menimbulkan persoalan sama ada perkhidmatan perisikan Pakistan mungkin mendedahkan makluat itu. - AP

141 banduan lolos penjara Mexico di sempadan AS





2010/12/18

MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 141 banduan melarikan diri dari sebuah penjara Mexican berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS), sekali gus meningkatkan kebimbangan di wilayah yang dibelenggu keganasan kumpulan pengedar dadah. 

“Siasatan awal menunjukkan banduan terbabit melepaskan diri menerusi laluan penyelenggaraan untuk kenderaan dan dibantu kakitangan penjara," kata Setiausaha Keselamatan Awam, Antonio Garza.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 141 banduan melarikan diri dari penjara di Nuevo Laredo itu, mengurangkan anggaran awal 159 banduan yang dinyatakan pegawai penjara.
Laporan media menyatakan 190 banduan lolos. 

Wadar "disenaraikan sebagai hilang" selepas kejadian itu. - AFP 

23 lelaki ditahan lekas berjudi di jirat Cina





2010/12/18

BUKIT MERTAJAM: Seramai 23 lelaki, termasuk warga emas, ditahan ketika sedang leka berjudi di jirat Cina di Kampung Baru di sini petang semalam. 

Jurucakap polis berkata, jirat Cina itu dijadikan mini kasino yang menjadi tumpuan kaki judi pada setiap malam, namun operasi itu tidak dapat diteruskan lagi kerana berjaya dihidu oleh polis hasil maklumat orang ramai dan intipan sejak seminggu lalu.
Katanya, sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menyerbu tempat berkenaan kira-kira 6 petang semalam.

Anggota sindiket DVD haram panjat loteng

KUALA LUMPUR: Bagi menghilangkan kebosanan, seorang anggota sindiket pengedaran cakera padat digital (DVD) cetak rompak dikesan menghabiskan masa terluang dengan menonton ribuan keping gambar gadis bogel yang disimpan di dalam komputer peribadinya ketika bersendirian di dalam bilik stor sulit.
Bagaimanapun, suspek yang sedang leka menonton gambar lucah terbabit kelam-kabut melarikan diri dengan memanjat ke atas bumbung stor simpanan DVD cetak rompak itu, sejurus menerima maklumat berhubung kehadiran sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang menyerbu lokasi berkenaan di sebuah pusat beli-belah di Kepong.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang semalam, suspek yang berusia 24 tahun itu sempat memanjat loteng bangunan sebelum menyembunyikan diri di bahagian atas bumbung terbabit berhampiran dengan saluran kumbahan.

Namun taktik terbabit gagal apabila pegawai KPDNKK Wilayah Persekutuan berjaya menemui laluan sulit digunakan suspek sebelum memberkasnya bersama dua lagi suspek lain.

Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Wilayah persekutuan, Othman Nawang berkata, kejayaan membongkar stor DVD haram berkenaan hasil dari tindakan cekap anggotanya menyamar sebagai pembeli.

Tak hirau periksa

KUALA LUMPUR: Ketika pelajar lain sibuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dua pelajar sebaliknya mencuri dan melapah motosikal di hadapan rumah.
Dalam kejadian jam 9.30 malam kelmarin, dua pelajar berusia 17 tahun terbabit meleraikan motosikal Honda EX 5 yang dicuri bersama tiga ahli geng lain di beranda rumahnya di Kampung Kuantan, Setapak di sini.

Sumber polis berkata, tindakan suspek memisahkan komponen motosikal di pekarangan rumah berkenaan menarik perhatian beberapa jiran berhampiran untuk menghubung polis.

Menurutnya, susulan itu, sepasukan empat anggota dari Balai Polis Sentul bergegas ke tempat kejadian sebelum melihat kelibat beberapa remaja mengerumuni sebuah motosikal.

“Selepas yakin kumpulan remaja belasan tahun terbabit menceraikan komponen motosikal curi itu, anggota polis menyerbu kawasan berkenaan sebelum menahan semua remaja terbabit.

“Kehadiran mendadak anggota polis menyebabkan kumpulan remaja itu tidak sempat melarikan diri sebelum diberkas dan digari,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati dua suspek berusia 17 tahun dan dua lagi yang berusia 16 tahun terbabit aktif melakukan jenayah curi motosikal di daerah Sentul sebelum motosikal dicuri itu dibawa pulang ke rumah seorang suspek untuk dileraikan.

“Polis percaya, komponen motosikal seperti enjin, tayar, brek dan bahagian lain sengaja diceraikan sebelum dijual kepada pihak tertentu.
“Semua suspek yang diberkas itu dibawa ke Balai Polis Setapak untuk diambil keterangan sebelum dihantar ke lokap polis Bukit Jalil dan direman sehingga lusa,” katanya.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kumpulan remaja curi motosikal terbabit pernah melakukan kes curi membabitkan berpuluh motosikal.

“Polis kini mencari lokasi rangka motosikal curi terbabit dibuang suspek selepas komponen yang diinginkan diambil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi wartawan Harian Metro mengesahkan menerima laporan berhubung tangkapan remaja terbabit.

Pemandu henti kereta empat jam rupanya sudah meninggal

KUCHING: Kemusykilan seorang wanita dengan kehadiran sebuah kereta yang berhenti selama empat jam di depan rumahnya di Lorong Setia Raja 12, Jalan Stutong, di sini, tanpa mematikan enjin terjawab apabila mendapati pemandunya sudah meninggal dunia.
Pemandu dikenali sebagai Peter Phang, 29, berasal dari Kampung Damai, Sungai Rait, Bakam, Miri itu ditemui n tidak sedarkan diri kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Menurut wanita berusia 20- an terbabit yang enggan namanya disiarkan, dia ternampak sebuah Proton Saga berhenti tidak jauh dari rumahnya kira-kira jam 9.30 malam ketika hendak keluar bertemu rakan.

“Saya sangka pemandunya menunggu seseorang, namun selepas kembali ke rumah kira-kira sejam kemudian saya dapati kereta itu masih berada di situ,” katanya.

Namun, beberapa jam kemudian dia mendapati kereta berkenaan belum beredar dan pemandu terbabit tidak mematikan enjin keretanya.

“Saya mendekati kereta berkenaan dan terkejut mendapati pemandunya berbaring dan menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan“ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kok Keong, berkata lelaki yang bekerja sebagai tukang paip itu dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira empat jam sebelum ditemui penduduk perumahan berkenaan.

6 jahitan penangan penyapu

SAKIT...Chariah menunjukkan kepala anaknya, Adam Syah yang cedera.
MELAKA: Seorang pelajar terpaksa menerima enam jahitan di kepala serta cedera di beberapa bahagian badan selepas diserang sekumpulan lelaki di rumahnya di Tanjung Keling, dekat sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu menyebabkan pelajar berusia 17 tahun terbabit trauma selepas dipukul dengan kayu penyapu oleh beberapa lelaki berusia antara 13 dan 20-an.

Difahamkan kejadian dipercayai berpunca selepas perbalahan kecil membabitkan mangsa, Adam Syah Harun, 17, dengan beberapa kanak-kanak berusia 12 hingga 13 tahun yang mandi di pantai berdekatan.

Menurut mangsa, puncanya dia meminta bantuan kanak-kanak berkenaan untuk mengambil bola terpelanting ke laut selepas ditendangnya, namun mereka enggan membantu selain menunjukkan isyarat lucah.

“Saya menunggu mereka di satu kawasan di belakang tong sampah. Saya melihat seorang kanak-kanak tadi balik bersama abangnya sambil menunjukkan isyarat lucah kepada saya.

“Saya cuba bertanya kepada seorang lagi kanak-kanak mengapa enggan membantu. Namun, saya berasa marah kerana dia juga menunjukkan isyarat lucah sebelum saya membuang basikalnya ke dalam tong sampah,” katanya ketika ditemui.

Adam Syah berkata ketika berada di rumah dia didatangi dua lelaki dalam keadaan marah dan mendakwanya memukul ahli keluarga mereka.

Katanya, dia tidak tahu tujuan kedatangan mereka yang menumbuk mukanya lalu berlaku pergelutan. “Seorang daripada mereka memukul saya dengan batang penyapu menyebabkan kepala saya berdarah. Kemudian datang seorang lagi lelaki yang memukul saya di muka dan seluruh badan,” katanya.
Menurutnya, muncul pula seorang wanita cuba memukulnya, namun berjaya dihalang ibunya, Chariah Abdul Rahman, 40.

“Tiga lelaki itu memukul saya bertubi-tubi sehingga saya berasa sakit di seluruh badan dan berdarah di belakang kepala.

“Nenek dan ibu saya datang meleraikan pergaduhan sebelum mereka beredar sambil berkata akan datang lagi kerana tidak berpuas hati dengan saya,” katanya.

Katanya, dia dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan oleh keluarganya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah mengesahkan menerima laporan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih disiasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Lelaki curi CD dipenjara 24 jam

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM600 di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri pelbagai barang termasuk beberapa keping cakera padat (CD) lagu Krismas di sebuah pasar raya, lima hari lalu.
Majistret Aidatul Akmal Maharani menjatuhkan hukuman itu selepas Koong Boon Chung, 30, mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah bersama seorang wanita yang dipercayai isterinya kelihatan hanya menundukkan wajah ketika hukuman itu dijatuhkan.

Boon Chung didakwa mencuri empat keping cakera padat lagu Krismas pelbagai tajuk, beberapa helai baju dan barang permainan kanak-kanak yang keseluruhan bernilai RM499.00 di Pasaraya Jusco, Midvalley, Brickfields di sini, jam 4.30 petang, 13 Disember lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda atau boleh juga disebat untuk kesalahan kali kedua dan berikutnya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang bertugas di tingkat satu bahagian permainan kanak-kanak, ternampak tertuduh berada dalam keadaan mencurigakan bertindak mengekori mangsa dan ternampak Boon Chung mengambil beberapa barang mainan kanak-kanak yang dimasukkan ke dalam beg berwarna coklat.

Tertuduh juga mengambil beberapa helai baju di bahagian baju lelaki dan kemudian dilihat ke kawasan cakera padat dan mengambil beberapa keping cakera padat sebelum keluar daripada pasar raya itu tanpa membuat sebarang pembayaran. Ketika ditahan di luar pasar raya itu, Boon Chung gagal mengemukakan resit pembelian dan mengaku mencuri barang itu.

Terdahulu Boon Chung dalam rayuannya memohon hukuman terhadapnya dikurangkan dengan mengambil kira dia perlu menyara dua anak dan isteri.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Abu Hassan Ramli memohon hukuman setimpal dikenakan tertuduh, untuk memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh malah kepada masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.

Bayi dikandung gagal diselamat

PILU...ibu mangsa, Tuminah  (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya di HSI, semalam.
PILU...ibu mangsa, Tuminah (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya di HSI, semalam.


KOTA TINGGI: Seorang remaja berusia 17 tahun yang hamil kini bertarung dengan maut di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat ditikam 19 kali serta disimbah asid oleh seorang lelaki dikenalinya di rumahnya di Kampung Baru Sungai Redan, Ulu Tiram, di sini, pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 pagi ketika mangsa, Nur Ain Ashikin Jemedi berada di rumah bersama adik perempuannya, Nurrehan Jemadi, 13, serta anak saudara apabila pintu rumah ditendang penyerang lalu berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditikam bertubi-tubi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata sebahagian besar tikaman mengenai perut mangsa dan pihak hospital mengesahkan kandungan mangsa berusia enam bulan sudah meninggal dunia, namun mangsa masih terselamat.

Menurutnya, selepas menikam mangsa, lelaki yang melakukan serangan itu keluar dan mengambil asid dipercayai ditinggalkan di belakang pokok berhampiran sebelum dia memasuki rumah mangsa dan mengisi cecair itu ke dalam gayung.

“Dia masuk semula ke dalam rumah lalu menyimbah asid mengenai kepala serta badan mangsa. Mangsa menyelamatkan diri dengan berlari ke bilik air, tetapi lelaki itu mengekorinya dan menikam mangsa di kaki serta tangan.

“Lelaki itu meninggalkan rumah mangsa dan menyerah diri di Balai Polis Ulu Tiram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.

Menurut Muhammad, suspek yang berumur 44 tahun ditahan untuk siasatan dan pihaknya sudah menemui pisau yang dipercayai digunakan menikam mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motif serangan itu ialah cemburu dan polis sudah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan.
“Dua jam sebelum kejadian, suspek datang ke rumah mangsa dan berlaku pertengkaran sebelum lelaki terbabit pulang ke rumahnya yang terletak berdekatan. Tidak lama kemudian, suspek kembali ke rumah mangsa lalu menyerang wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, kini kritikal kerana hampir 70 peratus badannya melecur selain kecederaan akibat tikaman.

“Suspek yang bekerja sendiri dan berasal dari Kampung Air Puteh, Nam Heng, kini direman hingga 23 Disember ini. Polis masih meneruskan siasatan berkaitan kematian janin mangsa berikutan tiada kesan tikaman mengenainya,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan 326 Kanun Keseksaan.

Angkara anak laju

pix_middle
GOMBAK: Angkara si anak yang gemar memandu kereta dengan laju, seorang wanita terpaksa melangsaikan 30 saman trafik berjumlah lebih RM 4,000 bagi mengelakkan namanya disenarai hitam atau diheret ke mahkamah.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 58, berkata, dia sudah kerap merayu anaknya supaya menjelaskan semua saman tertunggak itu secara ansuran namun tidak diendahkan.

“Puas saya memujuknya namun anak lelaki saya yang berusia 27 tahun tetap degil dengan alasan tak ada duit. Saya tiada pilihan dan terpaksa membayar semua saman itu kerana ia dihantar atas nama saya berikutan kereta yang digunakan anak saya adalah milik saya,” katanya yang ditemui di perkarangan Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, baru-baru ini. Nor berkata, dia tiba di IPD Gombak sekitar jam 9.30 pagi semalam dan terkejut apabila mendapati nama saya dikaitkan dengan 30 saman trafik yang rata-ratanya adalah saman ekor akibat memandu dalam keadaan melebihi had laju.

“Selepas ditolak dengan tawaran diskaun, saya perlu membayar RM4,000 bagi membersihkan nama saya daripada sebarang saman. Kesesakan di kaunter menyebabkan saya terpaksa menunggu lebih tujuh jam sebelum berjaya membayar semua saman tertunggak itu.

“Orang yang berasak mahu membayar saman terlalu ramai. Nombor giliran diberikan kepada saya adalah 2268 sedangkan nombor yang terpapar di skrin pada jam 9.30 pagi adalah 2048. Ini bererti saya perlu menunggu 220 orang sebelum tiba giliran saya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan kaunter semakan dan pembayaran saman trafik di IPD Shah Alam, Gombak, Ampang dan Jalan bandar dipenuhi orang ramai yang berpusu-pusu mahu menjelaskan saman trafik seawal jam 7 pagi lagi.

Kesesakan luar biasa terbabit turut berlaku di kaunter trafik Bukit Aman apabila kebanyakan pemilik kenderaan sanggup menunggu berjam-jam bagi menjelaskan saman tertunggak pada kadar yang dianggap lebih menguntungkan.

Melalui tawaran ditetapkan, semua saman trafik sebelum 1 Disember 2010 diberikan insentif kadar munasabah membabitkan potongan diskaun 50 peratus.

Ibu simpan ‘anak ikan’

PUTRAJAYA: Seorang ibu tunggal dicekup bersama lelaki muda atau ‘anak ikan’ belaannya di sebuah rumah di Presint 9, di sini awal pagi kelmarin selepas diserbu penguat kuasa agama yang bertindak atas aduan anak wanita itu sendiri.
Serbuan dilakukan pada jam 2.50 pagi oleh sekumpulan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Putrajaya hasil maklumat anak wanita itu mengenai ibunya berusia 40-an yang sering membawa balik teman lelakinya berusia 20-an dan tidur bersama sejak beberapa bulan lalu.

Sumber berkata, pasangan berkenaan sebelum ini bijak menyembunyikan perbuatan terkutuk mereka kerana rumah itu turut dihuni anak perempuan terbabit yang berusia 20 tahun serta dua anak lelaki belasan tahun.

Menurutnya, mungkin meluat dan tidak mahu bersubahat dengan sikap ibunya yang bergelumang dosa, anak perempuan itu sendiri yang membuat laporan supaya ibunya ditahan.

“Ketika serbuan wanita itu membuka pintu rumah dan membenarkan penguat kuasa masuk seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan. “Dia cuba menipu penguat kuasa dengan memberitahu mendakwa teman lelakinya yang ketika itu sudah berpakaian lengkap adalah saudara terdekat yang menumpang buat sementara sebelum memperoleh pekerjaan tetap,” katanya.

Bagaimanapun, penguat kuasa Jawi yang curiga dengan penjelasan wanita terbabit menyoal anak perempuannya dan ketika itulah rahsia jijiknya terbongkar. “Anak perempuan wanita itu memberitahu sebelum serbuan dilakukan lelaki terbabit tidur di bilik ibunya dan mereka sudah melakukan perbuatan itu sejak beberapa bulan lalu. “Kata gadis itu, dia sudah berbuih mulut menasihati ibunya supaya menghentikan perbuatan terkutuk itu, tetapi tidak dipedulikan, menyebabkan dia nekad membuat laporan kepada kami,” katanya.

Sumber itu berkata, mendengarkan kata-kata anak gadisnya wanita terbabit cuba berdalih dan mendapat simpati dengan memberitahu dia bakal mengahwini teman lelakinya dan lelaki itu juga memberi kenyataan serupa dengan pengakuan mereka merancang berkahwin dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, alasan itu gagal mengelakkan mereka ditahan dan ketika disoal siasat wanita terbabit memberitahu dia menjalinkan hubungan intim dengan teman lelakinya selepas berkenalan melalui laman sembang di Internet.
“Wanita itu juga memberitahu sudah bercerai dengan suami, tetapi gagal menunjukkan dokumen perceraian apabila diminta penguat kuasa,” kata sumber itu.

Menurutnya, pasangan terbabit kemudian dibawa ke pejabat Jawi Putrajaya untuk diambil keterangan lanjur sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 (a)(b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000, jika didapati bersalah.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Rohaizan Ismail, ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan terbabit dan memberitahu mereka akan didakwa di mahkamah syariah dalam tempoh terdekat.

Assange bimbang diekstradisi ke AS



JULIAN ASSANGE menunjukkan dokumen mahkamah semasa dia muncul di depan sekumpulan pemberita selepas dibebaskan dengan ikat jamin di Mahkamah Tinggi di London kelmarin.


LONDON - Pengasas laman web WikiLeaks, Julian Assange kelmarin menyatakan dia pernah mendengar khabar angin bahawa dirinya dituduh sebagai seorang pengintip oleh Amerika Syarikat (AS).
Kenyataan itu dikeluarkan selepas dia dibebaskan dengan ikat jamin oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini selepas ditahan pada 7 Disember lalu atas dakwaan merogol dan mencabul dua wanita.
Assange kini menjadi amat popular selepas laman webnya itu menimbulkan kemarahan AS kerana ia mendedahkan lebih 250,000 kabel diplomatik AS yang mengandungi maklumat sulit.
Ia mendedahkan pandangan-pandangan diplomat AS mengenai isu-isu global dan pemimpin-pemimpin dunia.
Dia yang ditemui di sebuah rumah agam rakannya di Suffolk juga menyatakan kebimbangannya bahawa prosiding ekstradisinya ke Sweden merupakan satu helah untuk membawanya ke AS.
Assange membuat dakwaan itu kerana prosiding perbicaraan itu berlaku dalam cara yang pelik.
Peguam pengasas WikiLeaks itu, Mark Stephens sebelum ini pernah mendakwa satu jemaah juri rahsia telah dibentuk di Virginia untuk mengemukakan tuduhan-tuduhan yang boleh dikenakan terhadap Assange.
"Saya tidak takut untuk diekstradisi ke Sweden. Saya lebih bimbang jika diekstradisi ke AS," kata Assange.
Para peguam berpendapat, tindakan mengekstradisi Assange ke Sweden adalah bermotifkan politik.
Namun, para pendakwa raya Sweden menyatakan permintaan ekstradisi itu tiada kena mengena dengan WikiLeaks.
Assange yang bercakap kepada para penyokongnya di luar mahkamah berikrar akan terus mendedahkan maklumat rahsia.
Dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak 200,000 pound (RM978,477) dengan syarat yang ketat.
"Adalah sesuatu yang hebat untuk menghidu udara bersih di London semula," kata Assange yang dikerumuni sekumpulan jurugambar yang mahu merakamkan gambarnya. - Agensi

Tipu kelayakan untuk masuk Universiti Harvard





GAMBAR yang disiarkan akhbar Boston Globe kelmarin menunjukkan Adam Wheeler bersama ibu bapanya sebelum perbicaraannya diadakan di sebuah mahkamah di Boston.



BOSTON - Seorang pemuda berusia 24 tahun, Adam Wheeler mengaku bersalah berhubung 20 dakwaan terhadapnya termasuk penipuan identiti sebagai usahanya untuk memasuki Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Boston Globe kelmarin.
Wheeler memberitahu hakim sebuah mahkamah di sini bahawa dia berasa malu dengan perbuatannya.
Dia diarahkan diletakkan dalam pemerhatian pihak berkuasa selama 10 tahun dan membayar AS$45,800 (RM143,651) sebagai ganti rugi selain menjalani sesi kaunseling.
Pemuda itu juga dilarang untuk cuba mendapatkan sebarang keuntungan dengan menjual kisahnya.
Pihak pengurusan Universiti Harvard mula menyiasat Wheeler pada September lalu selepas seorang profesor yang meneliti semula permohonannya untuk biasiswa Rhodes dan Fulbright.
Profesor itu mendapati bahawa pemuda tersebut telah memplagiat hasil kerja akademik yang dilakukan oleh pelajar lain.
Pihak pengurusan universiti itu mendapati Wheeler memalsukan transkrip Universiti Harvard supaya ia menunjukkan dia mendapat banyak A bagi membolehkannya layak mendapat biasiswa.
Pemuda itu kemudiannya diberikan geran penyelidikan lebih AS$45,000 (RM141,142), biasiswa dan bantuan kewangan dengan menggunakan hasil kerja akademik yang diplagiat.
Dia yang memasuki kursus utama bahasa Inggeris itu dibuang dari universiti tersebut pada tahun lalu selepas profesor tersebut membongkar penipuannya.
Semasa perbicaraan, dia mengaku menggunakan surat perakuan palsu dan memalsukan transkrip peperiksaan sekolah tinggi dan kolej.
Universiti Harvard merupakan universiti berprestij di AS dan salah seorang bekas pelajarnya ialah pengasas laman web Facebook, Mark Zuckerberg. - Agensi

Dakwa bukan anak kandung




SAAT bahagian Ryan (kiri) dan Daphne bersama anak mereka, Isobel Daniella sebelum perkahwinan mereka bercerai pada 2009.




KUALA LUMPUR - Bekas suami model dan pengacara televisyen, Daphne Eleanor Iking mengejutkan Mahkamah Majistret di sini semalam dengan memberitahu bahawa Isobel Daniella Iking-Chong, 2, adalah bukan anak kandungnya.
Ryan Chong Yiing Yih, 32, saksi pertama kes ketika menyambung keterangannya pada prosiding semalam berkata, dia mula mengesyaki perkara itu selepas membaca kiriman e-mel di antara Pengarah Urusan Adidas, Darren Choy Khin Ming, 45, dan Daphne, 31.
Ryan memberitahu mahkamah, dia menjumpai siri kiriman e-mel antara mereka berdua pada 10 Ogos 2008 dalam komputer milik isterinya. Mereka berbalas e-mel sejak 13 September 2006, iaitu sebelum berkahwin dengan Daphne dan situasi itu berterusan sehingga mereka berkahwin.
Katanya, dalam e-mel tersebut, kiriman Daphne kepada Darren antara lainnya turut menyebut, muka anak tersebut lebih mirip kepada Darren.
"Dalam e-mel tersebut ada menyebut anak tersebut mungkin bukan anak kandung saya. Jadi saya membawa Isobel ke sebuah klinik di Petaling Jaya untuk membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan perkara itu.
"Sampel spesimen tersebut kemudian dihantar ke Australia untuk diuji. Berdasarkan daripada laporan perubatan tersebut menerangkan bahawa saya bukan bapa kepada Isobel," dakwanya ketika disoal oleh peguamnya, Wong Kian Kheong.

Guna air tercemar




Mohd. Rizam menunjukkan air sungai yang dicemari virus kencing tikus di Lata Renyuk, Jeli semalam.




JELI – Penduduk di sekitar Lata Renyuk di sini terus menjadikan air sungai itu sebagai sumber air untuk memasak dan minum walaupun mengetahui kawasan rekreasi dan perkelahan tersebut telah dicemari virus leptospirosis atau kencing tikus.
Ini kerana penduduk tidak mempunyai sumber air yang lain selain air hujan untuk aktiviti harian.
Seorang penduduk, Nik Norainudin Nik Jik, 41, berkata, walaupun menggunakan air sungai itu sejak sekian lama, belum ada lagi penduduk yang mengalami sebarang masalah kesihatan.
“Mungkin juga hanya bahagian bawah air yang dicemari virus kerana kawasan air yang disalurkan ke kawasan rumah penduduk terletak kira-kira 500 meter daripada kawasan bawah lata ini.
“Walaupun belum ada laporan penduduk yang sakit kerana minum air ini, penduduk sentiasa berwaspada termasuk memantau tahap kesihatan ahli keluarga dan memasak air terlebih dahulu sebelum diminum atau untuk memasak,” katanya ketika ditemui semalam.