Search This Blog

Friday, December 17, 2010

'Brek tak makan, saya hanya mampu kawal stereng'

PENAMPANG: "Saya menekan brek berkali-kali ketika menghampiri selekoh, namun ia gagal berfungsi menyebabkan saya hanya mampu mengawal stereng dan cuba menukar kepada gear rendah," kata pemandu bas, Rizwan Samda Mudin, 40, yang terselamat selepas bas dipandunya terjunam ke dalam gaung di Kilometer 32, Jalan Penampang-Tambunan.
Menurut Rizwan, dia tidak mampu berbuat apa-apa ketika brek bas tidak berfungsi menyebabkan kenderaan dipandunya merempuh penghadang jalan lalu terjunam ke dalam gaung.

“Saya menyedari bas terhumban dan bergolek beberapa kali sebelum terhenti akibat tersangkut pada pokok.

“Selepas itu, saya tidak mampu bergerak kerana tersepit dan mendengar jeritan penumpang meminta tolong dan menjerit kesakitan,” katanya yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Penduduk kampung berhampiran tempat kejadian, Johnny Kobijing, 15, berkata, dia mendengar bunyi dentuman kuat sebelum disusuli bunyi seperti batu besar bergolek daripada bukit ketika mengutip sayur di kebun yang terletak 200 meter dari belakang rumahnya.

“Selepas mendengar bunyi dentuman, saya terkejut apabila mendapati bas dalam keadaan remuk dengan bumbung tertanggal tersangkut pada pokok.

“Saya nampak beberapa penumpang bas keluar menyelamatkan diri, selain ada menjerit kesakitan,” katanya yang membantu mengeluarkan mangsa.


Pemandu lori dikenali sebagai Albert, 30-an, berkata, bas berkenaan dilihat memotong beberapa kenderaan lain di hadapannya termasuk lori dipandunya sebelum kejadian.

Bagaimanapun, ketika mengambil satu selekoh, kenderaan itu dilihat terus meluncur ke dalam gaung sedalam 50 meter.

2 peragut diarak

SIBU: Angkara cubaan meragut tidak kesampaian, dua peragut bukan saja dibelasah orang ramai, malah diarak bagaikan pengantin menggunakan kereta sorong sejauh kira-kira satu kilometer dengan tangan bergari ke Balai Polis Sentral selepas mereka ditahan di Jalan Market di sini, semalam.
Kedua-dua penjenayah berkenaan terpaksa diletakkan di atas kereta sorong apabila salah seorang daripada suspek dipercayai patah kaki akibat dibelasah orang awam yang berang dengan tindakan mereka meragut rantai milik warga emas berusia 60-an di Pasar Central, jam 10.45 pagi.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama suaminya berjalan ke pasar berkenaan sebelum didatangi dua suspek menaiki motosikal lalu meragut rantai leher milik wanita berkenaan.

Bagaimanapun, ketika cuba melarikan diri, suami mangsa dengan pantas menarik tangan salah seorang suspek dan ketika itu, berlaku aksi tarik menarik sehingga motosikal dinaiki suspek terbabas.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shaffie Ismail berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu membantu sebelum berjaya memberkas kedua-dua suspek dan menyerahkannya kepada polis yang secara kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian.

Beliau berkata, selepas motosikal suspek terbabas, orang awam membantu menangkapnya, malah ada antara mereka terlalu geram lalu membelasah sehingga salah seorang patah kaki.


“Kedua-dua suspek memang dikehendaki polis kerana terbabit dengan jenayah ragut di sekitar sini sejak beberapa bulan lalu.

“Polis terpaksa meminjam kereta sorong milik seorang peniaga untuk menghantar mereka ke balai polis berhampiran kerana seorang daripadanya patah kaki,” katanya.

Shaffie berkata, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan polis sedang meneliti tindakan lebih berat mengikut langkah pencegahan khas kerana mereka terbabit dalam banyak kes ragut sekitar Bandaraya Sibu terutama dalam tempoh tiga bulan lalu.

Gurauan hidup sendiri

PASIR MAS: “Kalau saya pergi dulu, sanggup tak awak tinggal seorang diri,” tanya Nooramizzeran Nordin, 27, kepada isterinya, Siti Norafni Mat Zain, 24, sebelum dia maut dalam kemalangan di simpang tiga di Chica Tinggi, Lati, dekat sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 8.25 malam itu berlaku apabila mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 merempuh sebuah motosikal lain di hadapannya lalu tercampak ke tiang telefon di kiri jalan simpang berkenaan.

Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Lebai Akil, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian selepas mengisi minyak di kawasan berkenaan.

Menurut Siti Norafni, sehari sebelum kejadian suaminya membuat pertanyaan berkenaan dan dia menyangkakan itu gurauan.

“Kata-kata itu diluahkan suami malam Selasa lalu sebelum kami tidur.

“Pada masa sama, saya sempat bertanyakan dia hendak ke mana atau ingin bercerai, namun dia berdiam diri,” katanya. Beliau berkata, dia tidak menyangka kata-kata suaminya itu membawa petanda kematiannya.


Katanya, dia hanya mengetahui kemalangan itu menerusi keluarga mentua yang dihubungi penduduk kampung.

“Ahli keluarga suami bergegas ke tempat kejadian dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum polis datang dan membawa mayatnya ke Hospital Pasir Mas (HPM),” katanya.

Siti Norafni berkata, jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebai Akil, jam 11 pagi semalam.

Katanya, dia terkilan kerana suaminya tidak sempat menikmati makan malam berlaukkan daging kerbau dan sup kaki yang dimasak mentuanya sedangkan sebelum itu arwah beriya-iya ingin menikmatinya.

“Saya berserah kepada Allah dan menjaga anak tunggal kami, Muhammad Hadiq Haikal, 10 bulan,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kantin di Institut Kemahiran Mara Lubok Jong, dekat Rantau Panjang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim, berkata kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal bersendirian dan merempuh sebuah motosikal lain di depannya di simpang tiga kampung berkenaan.

Menurutnya, akibat kemalangan itu mangsa terjatuh dan terhantuk pada tiang telefon serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Terbayang ajal menjemput

DUNGUN: “Saya sedih kerana terpaksa melepaskannya dalam keadaan terkapai-kapai ditelan ombak biarpun rakan saya itu masih memanggil saya minta diselamatkan.
“Apakan daya saya, ketika itu saya sudah keletihan dan kejang kaki selain banyak terminum air laut,” kata Muhammad Sulaiman, 30, dari Kampung Pulau Serai, di sini.

Rakannya, Bahaman Yusof, 26, dari Pengkalan Nyereh, Besut, gagal diselamatkan dan ditemui lemas dalam kejadian di pantai Kuala Abang, di sini, pada jam 12.20 tengah hari semalam.

Menurut Muhammad, sebelum kejadian, Bahaman dan 11 rakannya yang aktif dalam kegiatan tabligh baru tiba di Masjid Kuala Abang kira-kira jam 7.30 pagi dari Surau Haji Yusof, Kampung Batu Tiong, di sini.

Katanya, dia dan Bahaman bersama tiga rakan ke pantai belakang masjid berkenaan untuk mandi pada jam 10 pagi sebelum mangsa dilihat terkapai-kapai kira-kira 30 meter dari pantai.

“Tanpa berlengah saya terus meredah ombak kuat dan berjaya memegangnya lalu menolaknya dari belakang untuk ke daratan, namun selepas 15 minit membantu saya terpaksa melepaskan mangsa meskipun dia masih memanggil nama saya kerana mengalami kekejangan kaki selain tidak berdaya berikutan banyak terminum air laut,” katanya.


Katanya, dia juga terbayang ajal menjemputnya kerana sudah tidak mampu berenang ke daratan dan dia ketika itu hanya berserah kepada takdir.

“Keadaan tiba-tiba berubah apabila kaki saya terasa memijak kawasan berpasir dan dengan perlahan-lahan saya ke daratan,” katanya.

Katanya, sebelum ke pantai mangsa sudah dibekalkan dengan pelampung, namun mungkin leka menyebabkan peralatan itu terlepas dari pegangannya.

Katanya, ketika kejadian mangsa jauh di tengah laut, manakala dia dan rakan lain mandi berhampiran pantai.

“Suara Bahaman yang sayu-sayu meminta saya menolongnya masih bermain di telinga. Saya sedih kerana tidak mampu membantunya,” katanya.

Katanya, mangsa aktif dalam kegiatan tabligh dan sudah berada di daerah itu 24 hari.

“Sebelum kejadian, seorang jemaah memberitahu bermimpi salah seorang daripada 12 jemaah dalam kumpulan itu tidak akan pulang selepas 40 hari di daerah ini,” katanya.

3 restoran ditutup

KOTOR...Shaari melihat kawasan belakang restoran yang menjelikkan.
KOTOR...Shaari melihat kawasan belakang restoran yang menjelikkan.


KUALA LUMPUR: Akibat tidak mematuhi peraturan kebersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tiga restoran berhadapan BB Plaza dan Plaza Low Yat, di sini, diarah memberhentikan operasi mereka sehingga diberitahu, berkuat kuasa hari ini.
Arahan itu dikeluarkan Pegawai Kesihatan Jabatan Kesihatan DBKL, Dr Noor Akma Shabuddin yang menyertai Ops Bersih di sekitar Jalan Bulan, dekat Bukit Bintang, semalam.
Dr Noor Akma berkata, ketiga-tiga restoran terbabit tidak mematuhi tahap kebersihan yang digariskan Jabatan Kesihatan terutama kawasan belakang restoran sangat kotor.
“Selepas penyiasatan dan pemeriksaan dilakukan jabatan saya dan Bahagian Cawangan Bukit Bintang DBKL, kami mendapati terdapat lipas, najis tikus dan longgokan sampah yang tidak terurus di belakang restoran.
“Justeru, kami mengeluarkan Notis Perintah Penutupan Premis mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 terhadap semua restoran terbabit,” katanya.

Satu daripada restoran itu dikenal pasti tidak mempunyai lesen perniagaan dan dikenakan tindakan Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 1985.
Dr Noor Akma berkata, dalam tempoh penutupan restoran itu, pemilik dikehendaki melakukan pembersihan dan pembaikan pada restoran.
Pengurus Kawasan Bahagian Cawangan Bukit Bintang DBKL, Shaari Ahmad Junid, berkata sudah banyak kali notis peringatan diberi kepada pemilik terbabit.
“Pemilik mengendahkan notis kami sehingga tindakan terpaksa diambil. Perbuatan mereka membuang sampah-sarap dan lemak tepu lebihan makanan restoran menyebabkan longkang tersumbat sehingga sistem perparitan di situ tidak mengalir lancar,” katanya.

Kaki tersepit 25 minit dalam kereta

TUMPAT: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan selama kira-kira 25 minit apabila tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta yang dipandunya terbabas melanggar tiang elektrik di Jalan Gerong, Palekbang, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang dikenali Omar Ali, 48, dalam perjalanan pulang dari Wakaf Bharu ke Kok Majid sebelum gagal mengawal kenderaannya akibat tayar belakang dipercayai meletup.

Berikutan itu, kenderaan mangsa berpusing beberapa kali sebelum melanggar sebatang tiang elektrik di bahu jalan.

Pasukan Penyelamat dari Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat yang tiba di tempat kejadian mengambil masa 25 minit untuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan memotong sebelum dikejarkan ke Hospital Tumpat.

Saksi, Yusof Ibrahim, 40, berkata ketika kejadian dia berada di beranda rumah bersama saudara-maranya sebelum dikejutkan letupan kuat dari jalan raya dan mendapati sebuah kereta hilang kawalan dan berpusing.

Peragut ancam Wangsa Maju

KUALA LUMPUR: Penduduk di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, bimbang berikutan banyak kejadian ragut berlaku di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini sehingga mendatangkan kecederaan selain kehilangan barang berharga.
Ini berikutan terdapat tiga kes ragut dilaporkan tidak sampai dua bulan
di laluan Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 2 selain empat kes sama di Jalan 27/37B.

Pengerusi MCA Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look, berkata pihaknya menerima aduan penduduk yang trauma selepas mengetahui banyak jenayah ragut berlaku di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Justeru, kami meminta polis kerap melakukan rondaan di kawasan berkenaan bagi mengekang jenayah,” katanya pada sidang media di Seksyen 2, Wangsa Maju, semalam.

RM20,000 kena samun

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga kerugian wang RM20,000 yang ingin disimpannya di bank apabila kepalanya ditetak dengan parang dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam.
Kejadian berlaku ketika mangsa warga tempatan berusia 44 tahun itu baru meletakkan keretanya di belakang sebuah bank, dekat Bandar Baru Kepong, di sini.
Namun, sejurus mangsa mematikan enjin keretanya, dia dihampiri seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta mewah Volkswagen GTI.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad, berkata suspek menerpa ke arah mangsa dan menetak kepalanya bertubi-tubi.


Katanya, mangsa parah di kepala dan tangan kiri membiarkan beg berisi wang
RM20,000 dilarikan supek.

Bayi ditinggal di lobi hospital

SUNGAI PETANI: Beberapa kakitangan sebuah hospital swasta di sini, yang mahu memulakan kerja syif pagi terkejut apabila menemui seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum itu, ditinggalkan di lobi hospital itu, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 pagi ketika beberapa kakitangan sokongan hospital swasta yang terletak di Jalan Angsana Sari yang mahu memulakan tugas ternampak satu bungkusan pelik di kaunter pendaftaran terletak di tepi pintu masuk hospital.

Menurut sumber, ketika ditemui, bayi lelaki yang cukup sifat dan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam berdasarkan tali pusat yang belum dipotong didapati berbungkus dengan kain.

“Sebaik dimaklumkan kakitangan, pengurusan hospital kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani,” katanya. sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian.

Bapa tangkap anak maksiat

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang baru selesai memadu kasih bersama teman lelakinya terkedu apabila ditangkap bapanya sendiri semasa memanjat tingkap bilik tidurnya untuk masuk ke rumahnya semula, dalam kejadian di Kampung Seberang Baruh, Selasa lalu.
Lebih mengejutkan, tangkapan pada jam 4.40 pagi itu membongkar rahsia gadis terbabit dirogol kekasihnya di sebuah rumah tumpangan di Pengadang Baru, Kuala Terengganu pada hari berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, selepas didesak berkali-kali, mangsa mengaku mengikut kekasihnya ke rumah tumpangan itu sebelum diajak memasuki sebuah bilik dan dirogol suspek di dalam bilik berkenaan.

“Mangsa dihantar untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada sebelah petang dan doktor mengesahkan mangsa dirogol,” katanya.

Serbu markas ketika ceramah



SEBAHAGIAN pengikut kumpulan yang diserbu JAIS di Taman Sri Gombak malam kelmarin.




GOMBAK - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya membongkar satu kumpulan ajaran sesat yang dipercayai mengamalkan fahaman Syiah dalam satu serbuan di Taman Sri Gombak di sini malam kelmarin.
Antara ajaran kumpulan tersebut dikatakan menghalalkan para pengikutnya bernikah secara kontrak dan membenarkan sembahyang jamak dilakukan pada bila-bila masa.
Pengikut ajaran tersebut juga percaya bahawa dosa mereka akan terhapus jika sanggup memukul dan mencederakan diri sendiri dengan rantai besi.
Ajaran yang dipercayai aktif sejak dua tahun lalu itu dikatakan lebih berbahaya daripada ajaran Al-Aqram (pertubuhan haram) kerana pengikutnya menganggap darah orang Islam yang lain adalah halal dan jika dibunuh dianggap sebagai jihad.
Dalam serbuan pukul 10.15 malam di premis kedai empat tingkat di Taman Sri Gombak itu, seramai 200 pengikut kumpulan tersebut termasuk wanita dan kanak-kanak warga tempatan sedang taksub mendengar ceramah yang disampaikan dalam bahasa Iran oleh seorang penceramah jemputan dari negara itu.
Turut serta dalam ceramah tersebut ialah seorang lelaki yang merupakan penterjemah.
Lebih mengejutkan, ada di kalangan pengikut ajaran tersebut terdiri daripada kakitangan awam serta pensyarah.

Maut ketika tunggu ambulans



KERETA Khor Chai Tong remuk selepas kemalangan di Kilometer 5.1 Jambatan Pulau Pinang arah Butterworth semalam.


GEORGE TOWN - Sikap kebanyakan pemandu memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan di atas Jambatan Pulau Pinang semalam dipercayai menjadi punca nyawa seorang lelaki gagal diselamatkan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, Khor Chai Tong, 25, meninggal dunia selepas kira-kira 20 minit dikeluarkan dari keretanya yang terlanggar tembok penghadang jambatan di Kilometer 5.1 arah Butterworth.
Sebuah ambulans hanya tiba kira-kira 45 minit selepas kejadian gara-gara kesesakan jalan raya sejauh lima kilometer akibat tindakan orang ramai memperlahankan

Israel tidak boleh kalahkan Hezbollah


JERUSALEM - Israel tidak mampu untuk menewaskan tentera pergerakan Hezbollah, kata bekas jeneral tentera Israel dan penasihat keselamatan negara itu, Giora Eiland.
Menurutnya, pegerakan Hezbollah itu mampu menghancurkan Israel sekiranya peperangan berlaku.
Beliau berkata, tentera pergerakan Hezbollah berjaya mengekang kemaraan Israel dan telah menembak 4,000 buah roket ke wilayah Israel ketika perangan pada 2006.
"Israel tidak tahu cara untuk kalahkan Hezbollah.
"Peperangan yang dicetuskan antara Israel dan Hezbollah mungkin kurang memberi ancaman kepada Hezbollah," katanya kepada Radio Israel.
"Namun, Hezbollah mampu melakukan lebih teruk lagi seperti yang pernah dilakukan empat setengah tahun lalu ke atas Israel," kata Eilend yang pernah berkhidmat dengan dua orang bekas perdana menteri Israel, Ariel Sharon dan Ehud Olmert.- Reuter

Jet Israel tembak belon misteri di reaktor nuklear


BAITULMUQADDIS - Sebuah jet tentera Israel semalam menembak sebuah belon yang tidak dikendalikan manusia yang melintasi pusat nuklear Dimona di negara itu, kata seorang pegawai keselamatan.
"Ia pastinya terbang melintasi Dimona walaupun kami masih cuba menentukan apa yang menyebabkan ia terbang dekat kawasan itu. Pihak tentera kini mengendalikan masalah itu," kata pegawai berkenaan.
Seorang jurucakap tentera menyatakan, sebuah jet tentera Israel menembak jatuh sebuah objek terbang yang diysaki kemungkinan belon di selatan Israel.
Media-media Israel melaporkan bahawa belon itu tidak dikendalikan manusia dan bergerak dengan menggunakan enjin.
Israel dipercayai telah membina lebih 200 kepala peluru berpandu nuklear. - Reuters

Pelajar politeknik maut dilanggar 4WD


17/12/2010 11:52am

TAPAH 17 Dis. - Seorang pelajar Politeknik Tanjung Malim, Mohamad Afzalizam Zizan, 18, terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 116 Jalan Ipoh-Kuala Kumpur dekat Tanjung Malim pada kira-kira pukul 5.40 petang semalam. - Bernama

Suami isteri maut dalam kemalangan


17/12/2010 11:49am

TAPAH - Sepasang suami isteri terbunuh selepas motosikal yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Km 7 Jalan Tapah-Changkat Petai
berhampiran pekan Tapah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Roslan Bek Ahmad berkata, yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 9 malam itu ialah Ahmad Azhar Hasan, 30, dan isterinya, Hazah Mohamad Yusof, 24. Mereka berasal dari Tapah.
Pasangan suami itu yang merupakan penjual buah-buahan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, katanya di sini hari ini.
Roslan berkata, motosikal yang ditunggang Ahmad Azhar dikatakan dirempuh dari arah hadapan menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan.
"Pemandu kenderaan terbabit menghilangkan diri," katanya. - Bernama

Kapal kargo terkandas di terumbu karang


17/12/2010 2:29pm

SANDAKAN 17 Dis. - Kapal kargo dari Vietnam yang terkandas di kawasan terumbu karang di perairan berhampiran Pulau Jambongan di Beluran sejak Isnin lepas berjaya keluar dari kawasan itu hari ini.
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Sandakan, Kapten Mohamad Onn Khalil berkata, kapal kargo membawa muatan 2,700 tan beras itu keluar dari kawasan terumbu karang berkenaan pada pukul 5 pagi.
Beliau berkata, kapal yang dapat keluar sendiri dari kawasan itu hanya mengalami kerosakan kecil pada kipas dan kini menuju ke Pelabuhan Sandakan di sini untuk pembaikan sebelum menerus perjalanan ke Pelabuhan Tawau.
Kapal APMM KM Serasan akan mengiringi kapal kargo itu sehingga ke Pelabuhan Sandakan dan dijangka tiba pukul 5 petang ini, katanya.
Kapal kargo itu terkandas selepas merempuh terumbu karang terletak di perairan kira-kira 70 batu nautika dari sini disebabkan kerosakan lampu boya yang tidak menyala di kawasan itu.
Ketika kejadian, kapal kargo berdaftar atas nama Hai Dong 27 dalam perjalanan dari pelabuhan Ho Chi Minh City di Vietnam menuju ke Pelabuhan Tawau untuk menghantar beras. - Bernama

Pengedar mati ketika lari dari polis


17/12/2010 2:29pm

SHAH ALAM - Seorang lelaki disyaki pengedar dadah mati setelah terjatuh dari tingkat empat sebuah rumah pangsa di Blok 39, Taman Bunga Negara Seksyen 27, di sini ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis.
Lelaki berusia 29 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mencuri dan penyalahgunaan dadah, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supritenden Zahedi Ayob.
Beliau berkata, mayat lelaki yang terjatuh itu ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah oleh anggota polis yang menjalankan pemeriksaan di laluan pejalan kaki di belakang kawasan blok flat itu.
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini untuk bedah siasat, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan pada kira-kira pukul 4.30 petang semalam, lelaki terbabit adalah antara dua lelaki yang melarikan diri melalui bahagian belakang rumah berkenaan apabila menyedari rumah itu diserbu polis.
"Empat lagi lelaki yang berada di ruang tamu rumah itu dan dua yang bersembunyi di dalam bilik ditahan dan polis merampas satu paket dadah jenis syabu seberat 0.5 gram yang dianggar bernilai RM50 daripada seorang dari empat lelaki itu," katanya.
Zahedi berkata, polis menjalankan ujian air kencing terhadap enam lelaki yang berusia antara 19 dan 27 tahun itu dan tiga daripadanya didapati positif dadah.
Tiga yang positif dadah itu ditahan untuk siasatan lanjut manakala tiga lagi yang hasil ujian air kencing mereka negatif, dibebaskan, katanya. - Bernama

Padah bertindak sendiri, 2 dipenjara 7 tahun


17/12/2010 6:34pm

SHAH ALAM — Gara-gara mengambil tindakan sendiri memukul seorang lelaki yang disyaki melakukan peras ugut, dua lelaki hari ini dijatuhi hukuman penjara masing-masing tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana menyebabkan kematian seorang lelaki pada Mei tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan supaya tertuduh, Muhammad Faizal Mohd Rosli, 23, dan Muhammad Idra Razuan, 19, menjalani hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah menyebabkan kematian Mohd Adzrul Ishak, 35.
Muhammad Faizal didakwa melakukan kesalahan itu dengan memukul kepala Mohd Adzrul menggunakan topi keledar manakala Muhammad Idra menggunakan pengunci stereng, dan perbuatan itu dilakukan di tepi Lingkaran Sultan Hishamuddin, Pelabuhan Klang, Klang dekat sini, pada pukul 1.30 pagi, 1 Mei 2009.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 4 Mei 2009. — Bernama

Wanita seludup dadah RM1.4 juta



ISHAK (tengah) menunjukkan dadah bernilai RM1.4 juta yang dirampas daripada seorang wanita Indonesia di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam semalam.


BUKIT KAYU HITAM – Seorang pekerja salon wanita warga Indonesia ditahan Kastam Diraja Malaysia Kedah ketika cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta di sini semalam.
Wanita yang dijadikan ‘keldai dadah’ berusia 28 tahun itu ditahan ketika beg dibawanya menunjukkan imej mencurigakan ketika pemeriksaan pengimbasan imej dibuat oleh kastam.
Pengarah Kastam Negeri Kedah, Ishak Ahmad berkata, ketika membuka kandungan beg tersebut, pihaknya menjumpai empat keping lukisan tangan berbingkai kayu dengan berat yang agak luar biasa.
“Hasil pemeriksaan ke atas empat bingkai gambar tersebut, kastam menemui 28 bungkus plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah jenis methaphetamin (syabu).
“Kesemua bungkusan ini disorok di dalam bingkai-bingkai gambar yang ditutupi dengan kayu di belakangnya,” katanya.
Ishak menambah, dengan tangkapan wanita terbabit, ia merupakan tangkapan terbesar pihaknya kerana berat syabu itu dianggarkan 5.5 kilogram dengan harga pasaran RM1.4 juta.

3maut dalam 3 kemalangan di Pahang


17/12/2010 6:37pm

KUANTAN — Tiga maut termasuk dua wanita warga emas dalam kemalangan berasingan di Pahang semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt. Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian pertama berlaku di Km 75 Jalan Chini-Kuantan awal pagi semalam dengan membabitkan seorang warga emas.
"Dalam kejadian 6.20 pagi itu melibatkan pelanggaran dua buah motosikal dari arah yang sama.
"Mangsa, Cik Noraini Abdul Rahman, 54, yang menunggang sebuah motosikal dipercayai telah merempuh sebuah motosikal lain di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang tidak memakai topi keledar meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Chini akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.
Kejadian kedua pula turut membabitkan seorang wanita warga emas dalam satu kemalangan yang melibatkan sebuah kereta Kancil dengan lori di Jalan Kuantan-Panching dekat Kem Tentera Udara Diraja Malaysia, Batu 10 di sini, pagi semalam.
Katanya, mangsa, Rikiah Aziz, 54, yang memandu kereta Kancil telah bertembung dengan sebuah lori ketika cuba memotong kenderaan lain. Fauzi berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan turuk di bahagian kepala.
Sementara itu, kejadian ketiga pada 7.10 malam semalam membabitkan seorang penjawat awam yang dipercayai dirempuh di Km 151 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan.
"Mangsa, Syed Muhamad Syed Omar, 46, yang bekerja di Jabatan Ukur dan Pemetaan Temerloh dikatakan dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Taman Mawar Indah, Bentong.
"Sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dilanggar atau bergesel dengan sebuah kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan meminta orang ramai yang ternampak kejadian itu supaya tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran. — Bernama

'Pulanglah, emak terlalu rindukan Hanum'


FATIMAH mencium pakaian Hanum (gambar kecil) untuk menghilangkan rindu di rumahnya di Endau, Mersing semalam.


MERSING - "Pulanglah Hanum, emak sudah puas mencari dan tak tahan lagi menanggung rindu."
Demikian rayu Fatimah Rasid, 55, ibu kepada Nur Farah Hanum Abdul Aziz, 16, atau lebih dikenali sebagai Hanum yang melarikan diri dari rumah di Endau di sini sejak 24 November lalu.
Fatimah berkata, sejak berita mengenai kehilangan anaknya disiarkan Kosmo! pada 3 Disember lalu, banyak maklumat diterima dan pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mengadakan solat hajat, namun sehingga kini Hanum masih belum ditemui atau pulang ke pangkuannya.
"Kali terakhir saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Hanum kira-kira seminggu lalu tetapi tidak menyatakan di mana dia berada," katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, mereka sekeluarga sedia memaafkan Hanum dan melupakan kejadian dia menghilangkan diri dari rumah.
Katanya, sekiranya anaknya itu mempunyai masalah, mereka sekeluarga sedia berbincang dan membantu Hanum menyelesaikannya.

Maut terkena kejutan elektrik


17/12/2010 5:04pm


SANDAKAN - Seorang pekerja Sabah Electricity Sdn. Bhd.(SESB) di sini maut selepas terkena kejutan elektrik ketika membaiki kerosakan pada tiang elektrik di Taman Tshun Ngen di sini awal pagi ini.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Johny Yap berkata, William Jimdad, 55, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan setugasnya, Azamain Kassim, 26, hanya mengalami kecederaan ringan.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.55 pagi semasa kedua-dua petugas SESB itu sedang membuat kerja-kerja pembaikan di tiang elektrik itu selepas bekalan elektrik di kawasan berkenaan terputus.
Katanya, William terjatuh selepas terkena kejutan eletrik manakala Azamain yang memakai tali keselamatan semasa bekerja, hanya mengalami kecederaan ringan.
Johny berkata, mayat William dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat. - Bernama

Pasangan kekasih ditahan miliki dadah


17/12/2010 6:40pm


GEORGE TOWN — Polis merampas lebih tiga kilogram dadah yang dipercayai bernilai lebih RM30,000 apabila menahan seorang lelaki tempatan bersama teman wanitanya, seorang wanita rakyat China dalam sebuah kereta di Tanjong Tokong di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Supt. S. Batumalai berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
Katanya, setelah menyoalsiasat kedua-dua suspek itu, polis memeriksa rumah mereka di Jelutong di sini.
"Hasil pemeriksaan dalam rumah, polis menemui dadah jenis Ketamin seberat 1.7 kilogram, heroin 3.2 kilogram, pil eramin sebanyak 112 biji dan pil ecstasy sebanyak 23 biji.
"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM4,000 dan sebuah komputer riba,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki dan teman wanitanya itu dalam lingkungan umur 20-an dan berdasrkan cara bungkusan dadah yang ditemui itu, polis percaya mereka cuba mengedar dadah itu.
Batumalai menambah, lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau pada awal tahun 2000 kerana memiliki dadah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori, katanya. — Bernama

Pasangan kekasih ditahan miliki dadah


17/12/2010 6:40pm

GEORGE TOWN — Polis merampas lebih tiga kilogram dadah yang dipercayai bernilai lebih RM30,000 apabila menahan seorang lelaki tempatan bersama teman wanitanya, seorang wanita rakyat China dalam sebuah kereta di Tanjong Tokong di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Supt. S. Batumalai berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
Katanya, setelah menyoalsiasat kedua-dua suspek itu, polis memeriksa rumah mereka di Jelutong di sini.
"Hasil pemeriksaan dalam rumah, polis menemui dadah jenis Ketamin seberat 1.7 kilogram, heroin 3.2 kilogram, pil eramin sebanyak 112 biji dan pil ecstasy sebanyak 23 biji.
"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM4,000 dan sebuah komputer riba,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki dan teman wanitanya itu dalam lingkungan umur 20-an dan berdasrkan cara bungkusan dadah yang ditemui itu, polis percaya mereka cuba mengedar dadah itu.
Batumalai menambah, lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau pada awal tahun 2000 kerana memiliki dadah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori, katanya. — Bernama

Sindiket palsu dokumen imigresen tumpas


17/12/2010 7:05pm

PUTRAJAYA — Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan pelbagai dokumen jabatan itu, selepas menahan tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita rakyat tempatan dalam Ops Serkap, petang semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen, Datuk Raja Mohd. Raja Ismail berkata, semua suspek ditahan pada kira-kira pukul 4.45 petang di Taman Desa, Kuchai Lama di Kuala Lumpur.
Katanya, dalam operasi itu pihaknya merampas 30 pasport asing, 817 pelekat keselamatan, 43 kad pekerja dan 15 cop palsu jabatan imigresen, dan nilai rampasan dianggar RM3 juta.
Beliau berkata, wanita yang ditahan itu merupakan pemilik premis berkenaan dan pihak imigresen sedang berusaha memburu lebih 10 lagi yang dipercayai anggota sindiket.
"Jumlah rampasan lebih RM3 juta itu merupakan yang terbesar dirampas oleh Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan sepanjang tahun ini,” katanya dalam satu persidangan akhbar di sini hari ini.
Raja Mohd. berkata, penahanan kesemua suspek adalah hasil intipan oleh pihaknya selama dua bulan, dan jabatan imigresen percaya sindiket ini sudah beroperasi sejak lebih setahun lepas.
Beliau berkata, semua suspek yang ditahan itu akan didakwa di bawah Akta Imigresen 1963 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM30,000 dan penjara 10 tahun serta enam sebatan. — Bernama

Pengarah syarikat hadapi 46 tuduhan tipu RM99j


17/12/2010 4:15pm


KUALA LUMPUR 17 Dis. - Seorang pengarah sebuah syarikat dagangan mengaku tidak bersalah terhadap 46 tuduhan menipu Affin Bank Berhad melibatkan RM99.1 juta dalam urus niaga petroleum, dua tahun lepas.
Yahya Mohd. Khalid, 53, dari Kuala Lumpur, didakwa menggunakan empat dokumen palsu sebagai tulen termasuk invois serta e-mel pembelian petroleum daripada Malaysian International Shipping Corporation (MISC) dalam memperdayakan bank itu untuk mengeluarkan “banker”s acceptance” kepada syarikat Market Asia Link Sdn. Bhd.
Akibat daripada itu, bank itu telah meluluskan permohonan daripada Yahya di antara RM1 juta dan RM2.9 juta bagi tempoh antara Oktober dan November 2008.
Yahya didakwa melakukan kesalahan itu di Trade Finance Centre, Affin Bank Berhad, Tingkat 2, Menara Affin Bank, Jalan Raja Chulan.
Kesemua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 yang membawa hukuman penjara satu tahun sehingga 10 tahun serta denda, jika disabitkan.
Timbalan Pendakwa Raya Nuur Fakhizaa Abu Bakar, yang mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin berkata, jumlah itu munasabah memandangkan dakwaan itu melibatkan jumlah yang besar.
Peguam Rajinder Singh memberitahu mahkamah bahawa jumlah itu terlalu tinggi memandangkan Yahya telah bekerjasama dengan polis serta telahpun menyerahkan pasportnya.
Beliau mencadangkan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua orang penjamin memandangkan anak guamnya sedang menghadapi beberapa tindakan sivil yang lain oleh Affin Bank serta MISC.
Hakim S. M. Komathy Suppiah menetapkan jaminan RM2 juta dengan dua orang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan mengarahkan Yahya melaporkan diri di balai polis sebulan sekali pada setiap minggu pertama.
Bagaimanapun, Komathy mengarahkan penjamin hanya perlu mendepositkan RM300,000 untuk tujuan jaminan.
Dua anak lelaki Yahya berumur 23 dan 25, telah membayar wang jaminan itu. - Bernama

Bapa dihukum gantung sampai mati bunuh anak


17/12/2010 11:03am

SHAH ALAM 17 Dis. - Seorang bapa dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh anaknya yang berusia dua tahun sembilan bulan, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki mensabitkan M. Murthy atas tuduhan membunuh anak kelimanya itu selepas mendapati keterangan tertuduh bahawa anaknya mati selepas terkena serangan sawan atas keterangan yang difikirkan kemudian (after thought). - Utusan

Pengusaha keli diserbu


SEREMBAN 16 Dis. - Sebuah premis rumah kedai dua tingkat yang beroperasi menternak ikan keli diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) apabila didapati menjalankan kegiatan mencuri air di Inland Port berhampiran Nilai 3 dekat sini pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, pengusaha terbabit didapati telah melakukan penyambungan air secara haram bagi digunakan untuk menjalankan aktiviti perusahaannya.
Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, operasi yang disertai oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Penguatkuasaan Sains bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu merupakan hasil maklumat orang awam.
''Hasil pemeriksaan, kami dapati premis berkenaan telah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 12 milimeter (mm) yang disambungkan secara haram ke paip utama milik Sains.
''Kami juga mendapati air yang dicuri itu disalurkan ke 19 buah kolam konkrit yang digunakan bagi menternak ikan keli dalam premis terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas Azlan, pihaknya juga telah menjalankan ujian klorin dan mendapati air yang dicuri itu sememangnya merupakan air terawat milik Sains.
Katanya, ketika serbuan, hanya seorang lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 40-an berada di premis berkenaan yang ditugaskan bagi mengendalikan operasi perusahaan terbabit.
''Semasa serbuan, pemilik perusahaan terbabit tidak berada di premis berkenaan, namun kita juga telah mengeluarkan notis pemberitahuan bagi tujuan menuntut semula kos air yang telah dicuri.
''Pada masa yang sama, pengusaha itu bakal berhadapan dengan tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA) 2006," tambah Azlan.
Menurutnya, jika disabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
''Sains akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan individu terlibat dengan kegiatan tersebut dapat dihadapkan ke muka pengadilan.
''Pihak kami amat menghargai bantuan orang awam dalam membendung kegiatan haram ini yang turut membabitkan bukan sahaja kes komersial malah di kelompok domestik," ujarnya.
Azlan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes kecurian air dengan menghubungi talian bebas tol Sains iaitu 1-800-88-6982.

Bapa mangsa OKU melecur ambil tindakan undang-undang


SHAH ALAM 16 Dis. - Keluarga Hassan Khamis, 23, orang kurang upaya (OKU) yang melecur seluruh badan dipercayai akibat alahan ubat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Taman Sinar Harapan (TSH), Tampoi, Johor Bahru atas dakwaan cuai menjaga kesihatan pemuda itu.
Bapanya, Khamis Haron, 51, berkata, dia dan keluarganya telah berbincang dengan peguam untuk meneliti bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap pihak pengurusan TSH.
Menurutnya, satu laporan polis juga akan dibuat berhubung kejadian yang menimpa Hassan.
''Saya mahu siasatan terperinci dilakukan agar nasib Hassan terbela dan perkara yang sama tidak menimpa orang lain," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan kejadian yang menimpa Hassan yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini.
Hassan dipindahkan ke HTAR selepas keluarganya kecewa dengan sikap TSH yang dianggap cuai dan lepas tangan.
Terdahulu, Hassan yang lumpuh sebelah kanan badan sejak berusia belasan tahun dihantar ke TSH pada Mei tahun lalu bagi membolehkannya mempelajari sesuatu bagi berdikari.
Tambah Khamis, walaupun berita mengenai keadaan anaknya disiarkan akhbar hari ini, sehingga petang ini tiada wakil TSH atau Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah yang melawat Hassan.
''Pagi ini saya datang awal ke HTAR pada pukul 10 pagi kerana bimbang sekiranya ada pihak yang bertanggungjawab datang melawat tetapi setelah menunggu sehingga pukul 1 petang, tiada siapa pun hadir.
''Saya begitu kecewa dengan pihak terbabit yang seolah-olah lepas tangan daripada masalah ini," ujarnya.
Mengenai perkembangan kesihatan anaknya itu, Khamis memberitahu, keadaan anak ketiga daripada lima beradik itu tidak banyak berubah dan dia masih tidak dapat menjamah makanan kerana kesan luka yang teruk pada mulutnya belum pulih.

4 staf penjara maut



Bas dinaiki 25 anggota penjara dan keluarga jatuh ke dalam gaung di Kilometer 32, Jalan Tambunan-Penampang di Kampung Ulu Moyog, Penampang, semalam. - utusan/ Hamden Ramli



PENAMPANG 16 Dis. - Empat kakitangan Penjara Tawau terbunuh selepas bas dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung di Kilometer 32 Jalan Kota Kinabalu-Tambunan dekat Kampung Ulu Moyog, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, seramai 18 lagi anggota Penjara Tawau dan tiga ahli keluarga mereka, masing-masing dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan cedera dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu.
Mangsa yang terbunuh ialah Madinah Alhamdulillah, 37, Selamat Idrus, 31, Muslimin Muhamad, 36, dan Sabirin Murad, 28.
Difahamkan bas yang membawa pasukan bola sepak Penjara Tawau itu sedang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu selepas menyertai pertandingan bola sepak Piala Pengarah Penjara Sabah, bermula 13 Disember lalu.
Bagaimanapun, ketika menuruni bukit dan selekoh tajam tidak jauh dari Kampung Ulu Moyog dekat sini, bas itu hilang kawalan sebelum terhumban dan berpusing beberapa kali ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter tersebut.
Kemalangan itu turut menyebabkan bumbung bas berkenaan tercabut.
Tiga jentera pasukan Bomba dan Penyelamat bersama 36 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa. Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 11.13 pagi.
Gerakan menyelamat yang turut dibantu pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mengambil masa tiga jam untuk mengeluarkan semua mayat.
Mayat terakhir berjaya dikeluarkan pada pukul 2.10 petang.
Ketua Polis Trafik negeri, Supritendan Bonjeen Ah Ron ketika dihubungi hari ini berkata, semua mangsa yang terbunuh meninggal dunia di tempat kejadian.
"Polis masih menjalankan siasatan bagi mencari punca sebenar kejadian itu," katanya.
Sementara itu, seorang mangsa yang terselamat, Mohd. Hafidz Ramli, 14, memberitahu, dia hanya menyedari dalam keadaan bahaya apabila bas itu melanggar tebing jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.
"Selepas berpusing beberapa kali, saya pengsan dan hanya sedar apabila pasukan penyelamat datang untuk membawa saya naik ke atas," katanya.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Noraihan Muslimin memberitahu, ketika kejadian, dia duduk di sebelah bapanya, Muslimin.
"Kejadian berlaku begitu pantas dan apabila sedar, saya telah berada di bahagian enjin bas," katanya.
Sementara itu, kakitangan Penjara Sandakan, Koperal Azranshah Abdullah berkata, sebanyak tiga bas membawa tiga pasukan bola sepak masing-masing dari Penjara Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan berlepas dari Keningau, pukul 8 pagi.
"Bas membawa kakitangan Penjara Tawau itu merupakan yang kedua bertolak dari Keningau. Ketika dalam perjalanan, kami mendapat panggilan telefon memaklumkan kejadian malang itu.
"Semasa kami sampai, pasukan penyelamat telah mula mengeluarkan mangsa dari dalam bas tersebut," katanya.