Search This Blog

Thursday, December 16, 2010

Sebutan kes bunuh Sosilawati 27 Januari


TERTUDUH kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, Pathmanabhan, 41, bersama pekerja ladangnya, T Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Kathavarayan, 30, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pagi tadi, selepas mahkamah menangguhkan sebutan kes itu kepada 27 Januari depan. - Foto Rosdan Wahid

16/12/2010 2:14pm

KUALA LANGAT 16 Dis. - Sebutan kes bekas peguam N. Pathmanabhan yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya ditangguhkan sehingga 27 Januari depan.
Penangguhan tersebut adalah berikutan prosiding semakan dan rayuan seorang pekerja ladang bekas peguam itu yang mendakwa pengakuan bersalah terhadap tuduhan melupuskan mayat Sosilawati dan tiga lagi dibuat pada 15 Oktober lalu, dibuat secara paksaan, masih belum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. - Utusan

23 pegawai penjara cedera bas jatuh gaung

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan bas terhumban ke dalam gaung di KM30 Jalan Penampang-Tambunan di Moyog, Penampang, hari ini. Empat pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara Tawau maut manakala 21 lagi cedera dalam nahas itu. - Foto Datu Ruslan Sulai

16/12/2010 12:49pm


PENAMPANG 16 Dis. - Sekurang-kurangnya 23 pegawai dan anggota Penjara cedera apabila bas yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 30 Jalan Kota Kinabalu - Keningau berhampiran Kampung Moyog kira-kira pukul 10.30 pagi ini.
Usaha mengeluarkan mangsa sedang giat dijalankan. - Utusan

Empat maut, 19 cedera bas jatuh gaung


16/12/2010 2:47pm


PENAMPANG 16 Dis. - Empat anggota Jabatan Penjara disahkan terbunuh manakala 19 lagi cedera selepas bas yang mereka naiki terhumban ke dalam gaung setinggi 100 meter di kilometer 30 Jalan Kota Kinabalu - Keningau dekat Kampung Moyog di sini hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 10.30 pagi, bas berkenaan dipercayai mengalami kerosakan brek sebelum terbabas ke dalam gaung ketika menuruni bukit.
Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Keningau ke Tawau selepas menghadiri perlawanan bola sepak anjuran jabatan berkenaan. - Utusan

4 kakitangan penjara maut dikenal pasti


16/12/2010 2:51pm

PENAMPANG 16 Dis. - Empat kakitangan Penjara Tawau terbunuh dalam satu kemalangan apabila bas kepunyaan jabatan itu terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di Kampung Moyog dekat sini dikenal pasti.
Mengikut senarai yang dipamerkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian, mereka yang terbunuh adalah Madinh Alhmdullah, Selamat Idris, Muslimin Muhammad dan Sabirin Murad.
Mereka merupakan antara 25 penumpang bas itu yang sedang dalam perjalanan dari Keningau ke Kota Kinabalu selepas menyertai kejohanan bolasepak Piala Pengarah Penjara Sabah di Keningau. - Bernama

JAIS tahan tujuh wanita asing


Oleh Halina Mohd Noor

2010/12/16

SERDANG: Bertalu-talu mesej diterima telefon bimbitnya bertanyakan khidmat urut batin yang ditawarkan, tetapi dua wanita warga Indonesia yang diserbu anggota Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) baru-baru ini, tetap menafikan kegiatan haramnya. 

Selepas didesak berikutan penemuan banyak minyak urut Lintah Tapa dalam bilik dipercayai dijadikan tempat mengurut, mereka akhirnya mengaku tetapi masih beralasan kononnya menggantikan tugas mengurut daripada rakan yang pulang ke kampung di Sabah.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Eliana, 36, berkata kerja mengurut badan selama sejam dikenakan bayaran RM50 tetapi enggan mengulas lebih lanjut. Bagaimanapun, berdasarkan tuala yang disidai di ampaian, lebih enam pelanggan sudah mengunjungi premis berkenaan.“Saya hanya menggantikan rakan yang kebetulan sedang bercuti di kampungnya,” katanya yang ditahan bersama seorang lagi wanita dikenali sebagai Yanti, 32. 

Ketika diserbu, kedua-duanya sedang menawarkan khidmat urutan kepada seorang penguat kuasa MPSJ yang menyamar sebagai pelanggan dan mereka dikesan menyalahgunakan dokumen perjalanan yang dikeluarkan untuk bekerja di ladang di utara. 

Pegawai berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Morgan, berkata dia menghubungi nombor tukang urut berkenaan dan mereka bersetuju menawarkan khidmat mengurut badan dengan caj RM50 sejam dan urut batin pada harga RM70. 

Mereka antara tujuh wanita Indonesia dan seorang wanita tempatan yang ditahan penguat kuasa JAIS dan MPSJ yang menjalankan Operasi Cegah Maksiat di sebuah pangsapuri di Taman Pinggiran Putera, Seri Kembangan dan dua pangsapuri di Serdang Perdana. 
Operasi selama dua jam bermula 5 petang itu diketuai Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan dan Penolong Pengarah Penyelaras dan Operasi JAIS, Zaaba Zakaria. Seramai 60 anggota MPSJ dan enam anggota JAIS terbabit dalam operasi bersepadu berkenaan. 

Adnan berkata, operasi dilancarkan selepas mendapat aduan orang ramai yang memberi maklumat mengenai kegiatan tidak senonoh di tiga premis berkenaan. 

“Sebelum serbuan dibuat, anggota MPSJ membuat penyamaran dengan menghubungi nombor telefon diberikan hasil maklumat orang ramai dan kemudian menyamar sebagai pelanggan,” katanya. 

TIMBALAN Ketua Pengarah I Jabatan Imigresen dituduh rasuah

TIMBALAN Ketua Pengarah I Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar, 56, (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, hari ini dengan diiringi peguamnya atas kesalahan 14 pertuduhan rasuah berjumlah RM121, 500 bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warga negara China. Mahkamah menetapkan 20 Disember ini untuk menjatuhkan hukuman terhadapnya. - Foto Ghazali Bujang


RM63,750 'hangus'

KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan air liur, seorang lelaki bertindak licik apabila mendakwa memiliki agensi pelancongan untuk memperdayakan 78 mangsa dengan melarikan wang percutian mereka ke Bali dan Filipina bernilai lebih RM63,750.
Lebih 70 mangsa dari Kampung Sungai Kertam, Maran, Pahang itu melaburkan duit mereka selepas terperangkap taktik ‘janji manis’ penipuan agensi pelancongan yang dikatakan terletak di Jalan Sultan Yussuf, Perak. Dengan tawaran pakej percutian serendah RM850, lelaki terbabit mudah menarik minat penduduk kampung berkenaan namun, sebaik saja bayaran dibuat, lelaki terbabit memberi pelbagai alasan untuk membatalkan percutian itu kononnya mengalami masalah teknikal sebelum menghilangkan diri.

Seorang mangsa, Lew Pu Yok, 50, dia bersama 77 mangsa buntu apabila diberitahu percutian mereka ke Bali, Indonesia yang dijadualkan November lalu dibatalkan tanpa alasan munasabah. “Lelaki itu yang memperkenalkan diri sebagai Anthony, 40-an menawarkan pakej murah untuk ke Bali dan Filipina hanya dengan membayar RM850 termasuk kos penerbangan dan penginapan di sana. “Memandangkan pakej itu murah, saya membantu mempromosikan kepada jiran dan rakan lain dan mendapat sambutan kerana mereka terlalu teruja untuk melancong,” kata Lew ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam. Menurut Lew, setiap kali menerima bayaran peserta rombongan itu, dia akan menyerahkan kepada Anthony sebagai bayaran untuk semua yang mahu menyertai percutian itu. Namun, kegembiraan mereka untuk melancong ke Bali selama empat hari tiga malam tidak lama apabila dimaklumkan Anthony, syarikat agensi pelancongannya terpaksa membatalkan percutian itu dan ditangguhkan pada Mac tahun depan kerana agensi terbabit mengalami masalah dalaman. “Berita mengejutkan itu diterima pada Oktober lalu, sebulan sebelum mereka berangkat ke tempat percutian sedangkan rombongan itu sudah dirancang sejak tiga bulan lalu. Saya cuba meminta penjelasan, namun Anthony enggan menjawab panggilan telefon,” katanya.

Berasakan dirinya ditipu, Lew bersama rakan lain ke Kementerian Pelancongan di Perak untuk membuat aduan mengenai kegiatan penipuan agensi pelancongan itu, namun sehingga kini tiada jawapan diperoleh. “Saya kemudian terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk membuat laporan mengenai kegiatan jahat lelaki itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, sehingga kini, dia menerima lebih 100 kes penipuan daripada pelanggan yang ditipu agensi pelancongan.

“Saya minta masyarakat di luar sana lebih berhati-hati untuk pergi melancong bersama agensi pelancongan, dan hanya memilih yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia saja,” katanya.

Warga Iran dijel sehari, denda

KUALA LUMPUR: Hanya berbaki beberapa jam sebelum visa miliknya tamat tempoh, seorang lelaki Iran terpaksa menangguhkan hasrat pulang ke negaranya semalam apabila dihukum penjara sehari serta denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan mencuri dua unit pemacu cakera keras, dua minggu lalu.
Majistret Siti Shakirah Mohktarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ali Kermani Habibollah, 33, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan dalam bahasa ibundanya oleh jurubahasa mahkamah. Mengikut pertuduhan, Ali Kermani didakwa mencuri dua pemacu cakera keras 2.5 inci berjenama Samsung milik Viewnet Computer System Sdn Bhd di Plaza Low Yat, Bukit Bintang, di sini, 2 Disember 2010. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda atau boleh juga disebat untuk kesalahan kali kedua dan berikutnya. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Muhammad Abu Hassan Ramli manakala tertuduh diwakili peguam, S Suresh. Terdahulu, dalam rayuan mengurangkan hukuman, Suresh memohon mahkamah mempercepatkan proses hukuman kerana tertuduh perlu pulang ke Iran petang semalam kerana visa miliknya hampir tamat.

'Kuda putih' lari

KUALA LUMPUR: Beberapa pelacur warga asing dari Ubezkistan di sekitar Jalan P Ramlee dan Jalan Sultan Ismail di sini, bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran polis yang membuat serbuan kira-kira jam 2 pagi semalam.
Sumber polis berkata, dalam operasi itu sepasukan anggota polis dari Bahagian Perjudian, Kongsi gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, terlebih dulu melakukan intipan di beberapa pusat hiburan dan disko di kawasan berkenaan sebelum mengesan kelibat beberapa wanita warga asing dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai melacurkan diri.

“Mereka yang berpakaian seksi dilihat menyapa beberapa pengunjung disko dan dipercayai menawarkan perkhidmatan seks. Malah ada tanpa segan silu menahan lelaki lalu-lalang sambil menarik tangan mana-mana lelaki disukai,” katanya.

Selepas yakin aktiviti pelacuran dijalankan, beberapa anggota polis berpakaian awam bertindak mendekati gadis pelacur terbabit sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Menyedari mereka diserbu polis, pelacur warga asing terbabit bertempiaran melarikan diri menyebabkan anggota polis terpaksa mengejar semua gadis berkenaan dan menahan enam wanita warga Ubezkistan,” katanya.

Siasatan lanjut mendapati mereka ditahan berusia 20-an dan tiada dokumen perjalanan masuk secara sah.

Sementara itu, pihak polis yang menyamar sebagai pelanggan turut memberkas seorang wanita warga Vietnam berhampiran sebuah disko di Jalan P Ramlee di sini selepas dikesan turut menjalankan kegiatan pelacuran.

Wanita itu tanpa segan silu menawarkan khidmat seks dengan harga RM250 selain berjanji memberikan perkhidmatan terbaik.

Keterangan mangsa rogol meragukan

SHAH ALAM: Seorang bekas broker rumah sewa dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, daripada dua pertuduhan merogol gadis bawah umur, di sebuah rumah di Hulu Selangor, dekat sini, lapan tahun lalu.
Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaacob membuat keputusan itu terhadap Mohd Zal Aljefree, 26, selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Lelaki itu yang tidak bekerja kelihatan tenang sebaik keputusan dibacakan. Wan Mohd Norisham dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati keterangan mangsa ketika tampil sebagai saksi amat meragukan dan ini katanya dapat dilihat oleh bahasa tubuh gadis itu. “Keterangan saksi lain juga boleh dipersoalkan. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya. Bagi tuduhan pertama, Mohd Zal didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, jam 9 malam.

Kasih sayang, bimbingan atasi trauma kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak seawal usia empat tahun yang berhadapan dengan kejadian traumatik, secara tidak sedar mampu mengingati pengalaman mengerikan itu, namun dengan bimbingan, sokongan dan kasih sayang padu daripada orang sekeliling, mereka mampu membesar dengan tenang.
Pakar Perunding Pediatrik Klinik Pakar Kanak-Kanak Junina, Mutiara Damansara, Dr Yong Junina Fadzil berkata, walaupun usia empat tahun dikira terlalu muda dan tidak memahami banyak perkara, mereka masih mampu mengingati pengalaman traumatik secara sedar ataupun tidak.
Katanya, kanak-kanak kecil yang menyaksikan kejadian trauma seperti pembunuhan ibu bapa kemungkinan besar menyimpan memori itu secara pendam dan menjadi gentar jika melihat aksi atau objek yang boleh dikaitkan dengan kejadian.

“Contohnya, jika dia itu melihat ibunya ditikam, dia mungkin fobia terhadap benda tajam atau hilang kepercayaan kepada orang asing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Dr Yong Junina merujuk kepada laporan Harian Metro semalam mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui kelaparan dan tidak bermaya di sisi ibunya yang sudah berulat dipercayai mati akibat dibunuh kira-kira tiga hari lalu di sebuah rumah teres di Jalan Hua Kee, di Sibu.

Tumpang kasih ibu saudara

SIBU: Kanak-kanak yang ditemui di sisi ibunya yang sudah tidak bernyawa kini menumpang kasih sayang bersama ‘ibu’ baru’ selepas dipelihara ibu saudaranya.
Wanita berusia 30-an itu menyatakan kesudian untuk memelihara kanak-kanak perempuan berusia empat tahun berkenaan selepas mendapat tahu berita kematian adiknya dipercayai dibunuh, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Zamani Hamdan berkata, kakak mangsa tidak sanggup membiarkan anak saudaranya kehilangan kasih sayang apatah lagi bapanya yang berusia 37 dipercayai suspek utama kini direman.

“Ibu saudara kanak-kanak terbabit menyatakan kesudian sebaik mengetahui kejadian menimpa keluarga adiknya. “Buat masa sekarang, kanak-kanak itu masih dirawat di Hospital Sibu dan keadaan dilaporkan stabil.

“Pada masa sama, kanak-kanak itu ditemani wanita berkenaan, manakala polis masih menjalankan pemantauan termasuk menempatkan anggota di hospital,” katanya.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan seorang kanak-kanak ditemui dalam keadaan kelaparan tidak bermaya di sisi mayat ibunya yang berulat dipercayai meninggal dunia kira-kira tiga hari lalu di sebuah rumah teres di Jalan Hua Kee di sini, semalam.

Kanak-kanak terbabit ditemui bersama mayat ibunya, Madeline Chadon jam 4.30 petang kelmarin, dilihat duduk dalam keadaan tidak bermaya di sisi jasad ibunya yang terlentang di atas tilam dalam bilik tidur dengan kesan kecederaan di badan dan telinga kanan dipercayai dibunuh.

Kejadian itu disedari selepas polis bergegas ke lokasi berikutan laporan daripada tuan rumah yang didiami wanita berumur 36 tahun itu apabila terhidu bau busuk.
Pemilik rumah berkenaan pada mulanya ke rumah yang didiami ibu tunggal terbabit untuk memungut sewa bulanan sebelum curiga apabila panggilannya tidak bersahut selain terhidu bau busuk yang meloyakan dari dalam rumah berkenaan.

Dengan bantuan polis, pintu rumah itu dibuka dan sebaik masuk anggota terbabit melihat sekujur tubuh dalam keadaan berulat terlentang di atas tilam di dalam bilik tidur.

Di sisi mayat kelihatan seorang kanak-kanak perempuan duduk dalam keadaan lemah dan tidak bermaya dipercayai kerana tidak makan dan minum sejak beberapa hari lalu.

Siasatan polis menemui beberapa kesan kecederaan pada kepala dan telinga kanan mangsa dan tidak menolak kemungkinan wanita yang berasal dari Sibu itu menjadi mangsa pembunuhan.

Dalam pada itu, Zamani berkata, lelaki yang juga bekas suami mangsa direman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

“Kami sudah mendapat perintah mahkamah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

2 tahun tipu bank

GEORGETOWN: Sembilan lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berusia 26 tahun ditahan di dua bilik hotel, di sini, selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pemalsuan kad kredit, Isnin lalu.
Dalam serbuan Ops Helang kira-kira jam 10 malam itu, semua suspek lelaki berusia antara 21 dan 25 tahun yang menjadikan hotel berkenaan sebagai pusat operasi mereka sejak sebulan lalu berjaya dicekup.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, sindiket berkenaan dipercayai terbabit dalam kegiatan pemalsuan kad kredit membabitkan kerugian RM3.16 juta dan berdasarkan siasatan, sindiket itu bergerak secara kumpulan.

Katanya, kumpulan itu akan memalsukan kad kredit sebelum mendaftar dengan beberapa institusi perbankan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, 171 kad kredit kononnya keluaran pelbagai syarikat perbankan dirampas dengan setiap kad mempunyai had kredit AS$5,000 (RM18,500).

“Turut dirampas empat pasport Hong Kong dan satu pasport Singapura, satu unit komputer riba, sebuah buku cek dan satu salinan pasport Vietnam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, semalam. Hadir sama Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng.

Ayub berkata, siasatan juga mendapati, setiap kad dikeluarkan sindiket itu akan digunakan di luar negara termasuk Thailand, Singapura dan Hong Kong dengan membeli pelbagai barangan sebelum dibawa pulang dan dijual murah di Malaysia.

Kumpulan itu dipercayai sudah wujud sejak dua tahun lalu dengan melakukan pengklonan kad kredit dan hasil semakan dengan institusi perbankan mendapati ia palsu.
“Kami percaya mereka kini sedang meluaskan kawasan kegiatan ke negara lain di Asia dan siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau sebat dan denda,” katanya.

Menurut Ayub, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 474 kanun sama kerana memiliki kad kredit palsu yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Nahas maut pertama babit R44

IPOH: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan helikopter terhempas yang meragut nyawa seorang pelatih juruterbang Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan lombong tinggal di Malim Nawar, Kampar, kelmarin adalah yang pertama membabitkan helikopter jenis Robinson 44 (R44) di negara ini setakat ini.
Malah, pesawat itu juga adalah pesawat tunggal yang turut digunakan sekumpulan lapan pegawai polis Unit Udara PDRM yang sedang mengikuti kursus penerbangan di ITNS.
Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, berkata, satu pasukan penyiasat ditubuhkan bagi menjalankan penyiasatan berhubung nahas itu diketuai Kapten Md Jani Md Dom selain turut mendapat kerjasama ITNS dan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kampar.

Lata Renyut dicemari virus kencing tikus


16/12/2010 4:21pm

JELI - Kawasan rekreasi dan perkelahan Lata Renyut di sini disahkan dicemari virus leptospirosis atau kencing tikus.
Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Wan Mansor Wan Hamzah berkata, virus itu dikesan berada dalam kandungan air sungai di situ sejak tiga bulan lalu dan pemeriksaan berskala dijalankan setiap masa.
"Sekarang ini belum ada penduduk dijangkiti virus itu. Namun kami menasihatkan agar orang ramai berhati-hati apabila berada di kawasan itu,"
katanya di sini hari ini.
Wan Mansor berkata, Jabatan Kesihatan tidak dapat menutup kawasan itu kerana ia merupakan tumpuan orang ramai namun semua hospital dan klinik swasta di Jeli telah diminta agar memaklumkan segera kepada pihak berkuasa jika terdapat pesakit yang dijangkiti virus itu.
Antara simptom serangan virus itu ialah demam yang teruk, mengalami sakit badan dan warna kekuningan kelihatan pada kulit badan.
Penyakit itu boleh mendatangkan bahaya kerana ia akan menyerang ginjal pesakit dan boleh membawa maut. - Bernama

Suami isteri maut dalam kemalangan


16/12/2010 4:44pm

IPOH — Sepasang suami isteri terbunuh dalam kemalangan jalan raya di km 4.6 Jalan Felda Lasah-Sungai Siput malam tadi.
Ketua Polis Trafik Negeri, Supt. Wan Abdullah Ishak berkata, yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 8.56 malam itu ialah penunggang motosikal Mokhtar Putih Ahmad, 60, dan isterinya Piah Husin 52, yang berasal dari Kampung Suak Pelang, Sungai Siput.
Mereka meninggal dunia di tempat kejadian.
Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari rumah ke pekan Sungai Siput dan bertembung dengan sebuah kereta.
Pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis, katanya. — Bernama

Ahli tabligh mati lemas di Rantau Abang


16/12/2010 6:23pm

KUALA TERENGGANU 16 Dis. — Seorang anggota kumpulan jemaah tabligh mati lemas ketika mandi di pantai Batu Pelanduk Kuala Abang, Dungun hari ini.
Jenazah Che Bahaman Md Yusof, 26, yang berasal dari Kampung Nyirih Kampung Raja, Besut dijumpai pukul 12.20 tengah hari oleh pasukan penyelamat.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Dungun, Nurali Omar berkata, jenazahnya dijumpai beberapa meter daripada tempat kejadian dan di hantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Beliau berkata, Che Bahaman tiba di Rantau Abang malam tadi bersama-sama sekumpulan 10 orang ahli tabligh dan bermalam di Masjid Kampung Baru Kuala Abang.
"Che Bahaman bersama empat rakannya mandi di pantai itu pada kira-kira pukul 9 pagi dan dia secara tiba-tiba dihanyutkan ombak besar,” katanya. — Bernama

Anwar digantung, pembangkang keluar Dewan Rakyat


KEKECOHAN berlaku di dalam Dewan Rakyat apabila sebahagian Ahli Parlimen pembangkang bertikam lidah sebelum keluar beramai-ramai kerana membantah penggantungan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), pagi tadi. - Foto Sairien Nafis



2010/12/16

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan tiga lagi Ahli Parlimen pembangkang daripada persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd. 
Usul untuk menggantung Anwar diluluskan tanpa sebarang perbahasan apabila semua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, mengemukakan usul kedua, untuk menggantung tiga yang lain, iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) kerana menghina dewan.
Terdahulu, persidangan menjadi kecoh sebaik usul menggantung Anwar dikemukakan oleh Mohamed Nazri.Perang mulut berlaku apabila wakil rakyat pembangkang mendakwa usul yang dikemukakan itu tidak adil kerana Anwar serta tiga lagi yang menghadapi tindakan sama tidak diberi peluang membela diri. 

Wakil pembangkang juga mempamerkan kad manila yang mengandungi pelbagai perkataan antaranya "BN sokong Apco", "Selamatkan Dewan", "Hidup Ketua Pembangkang" dan "Kangaroo". 

Pakatan pembangkang juga menjadikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang membicarakan kes Anwar-Apco "mangsa serangan" kerana didakwa tidak memainkan peranan dengan adil. 

Pandikar Amin yang tenang di kerusi Speaker, membiarkan kekocohan berterusan tetapi sesekali mencelah dengan mengatakan: "Keputusan saya muktamad." 
Cubaan barisan pembangkang untuk mengetepikan usul berkenaan bagaimanapun gagal apabila kekecohan yang ditimbulkan itu menyebabkan Pandikar Amin memberi kata dua, iaitu sama ada untuk membahaskan usul penggantungan Anwar atau terus mengundi untuk meluluskannya. 

Cadangan itu mencetuskan kemarahan wakil pembangkang yang melaungkan perkataan "undur'' dan "zalim" ke arah Speaker itu, manakala Karpal mengugut untuk membawa kes itu ke mahkamah sebelum semua barisan pembangkang bertindak keluar dewan. 

Usul untuk menggantung Karpal, Sivarasa dan Azmin kemudiannya dibahaskan beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan wakil Bebas tanpa sebarang gangguan. 

Antara yang mengambil bahagian ialah Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju), selain pencelahan oleh Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu), Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) dan Zulkifli Nordin (Bebas-Kulim Bandar Baru). 

Abdul Rahman, ketika membahaskan usul itu, menafikan Anwar tidak diberi peluang untuk membela diri, sebaliknya Ketua Pembangkang itu tidak menggunakan peluang yang diberi. 

Mencelah perbahasan Abdul Rahman, Shamsul Anuar berkata apa yang dilakukan ialah budaya jalanan yang dibawa oleh pembangkang ke Dewan itu sebagai taktik untuk melengah-lengahkan keputusan mengenai kes Anwar itu. 

Ibrahim pula mahu media memainkan peranan untuk memperjelaskan apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini sebaik mungkin bagi membolehkan rakyat membuat penilaian terhadap Anwar dan pakatan pembangkang. 

"Saya tidak memihak kepada mana-mana tetapi rakyat harus pertimbangkan dengan cara yang betul. Ketua Pembangkang ini tidak ada pilihan untuk survival politik beliau, jadi dia gunakan cara ini. 

"Jadi rakyat harus diberitahu adakah tuduhan 1Malaysia sama dengan Apco itu benar, adakah betul Anwar tidak diberi peluang untuk membela diri, dan apakah usul ini dikemukakan untuk menganiayai Anwar," katanya. 

Zulkifli pula membangkitkan pendedahan mengenai Anwar termasuk oleh Karpal sendiri yang mengakui tahu mengenai salah laku seks Ketua Pembangkang itu dan pernah meminta Anwar bertaubat dan berundur selaku Ketua Pembangkang. 

"Selepas tak jadi 16 September, Bukit Gelugor (Karpal) minta Anwar bertaubat. Jadi dengan semua ini boleh tak kita kata DAP atau Karpal dengan pengetahuan (perlakuan liwat) telah mengugut Anwar untuk agenda sempit mereka," katanya ketika mencelah perbahasan Ibrahim. 

Bersetuju dengan kenyataan itu, Ibrahim berkata pembangkang sememangnya sedia maklum mengenai perlakuan Anwar tetapi berlagak seolah-olah tidak mengetahui perkara itu. 

Bung Moktar pula berkata, isu penggantungan ahli Dewan adalah perkara biasa malah turut berlaku di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak dan Kedah. 

Mohamed Nazri yang sepatutnya menggulung perbahasan usul itu, melangkaui proses berkenaan dan meminta usul menggantung tiga Ahli Parlimen pembangkang itu diluluskan. 

"Tidak perlulah hendak gulung, orang yang nak digulung pun tak ada, nak lipat pun tak boleh. Jadi saya ucapkan terima kasih dan kita teruskan lulus usul ini," katanya yang membacakan usul itu untuk kali ketiga sebelum diluluskan dengan suara majoriti. - BERNAMA 

Gempar aksi panas 2 beradik

MEMALUKAN...aksi dua remaja dipercayai adik-beradik tersebar melalui telefon bimbit.
MEMALUKAN...aksi dua remaja dipercayai adik-beradik tersebar melalui telefon bimbit.


BUTTERWORTH: Penyebaran rakaman aksi seks sepasang kanak-kanak yang didakwa adik-beradik melalui telefon bimbit menggemparkan penduduk sekitar bandar ini serta mencetuskan kebimbangan mengenai semakin parah keruntuhan moral masyarakat negara ini.
Ini kerana usia pasangan terbabit masih terlalu muda. Budak lelaki terbabit dipercayai berusia antara 11 dan 12 tahun manakala pasangan perempuan antara 13 dan 14 tahun.
Aksi berahi mereka dirakam dari pelbagai sudut dipercayai dalam bilik hotel atau motel oleh pihak ketiga berdasarkan katil dan keadaan sekitar.

Kakitangan swasta dikenali sebagai Azman, 25, yang memperoleh video itu melalui bluetooth daripada rakannya, berkata dia terkejut sebaik melihat aksi pasangan terbabit kerana mereka terlalu muda dan dipercayai masih bersekolah.


“Budak lelaki itu seperti murid tahun lima atau enam manakala remaja perempuan mungkin dalam tingkatan satu atau dua. Kemungkinan mereka adik-beradik kerana fizikal remaja lelaki lebih kecil berbanding pasangannya.

“Saya menggeleng kepala sebaik melihat aksi mereka yang tidak ubah seperti orang dewasa. Bayangkan apa akan jadi kepada mereka pada masa depan dan bagaimana penerimaan ibu bapa mereka jika mengetahui perkara ini,” katanya, semalam.

Menurutnya, tindakan pasangan kanak-kanak itu menggambarkan keadaan moral masyarakat yang semakin merosot dan keadaan ini yang menyumbang peningkatan kes pembuangan bayi hasil hubungan luar nikah.

“Jika murid sekolah rendah sudah pandai beraksi lucah dan dirakam pihak lain, bagaimana orang dewasa.

“Apa akan jadi kepada moral masyarakat beberapa tahun akan datang jika gejala penyebaran aksi seks melalui telefon bimbit semakin berleluasa,” katanya.

Justeru, dia berharap pihak berkuasa segera melakukan sesuatu sebelum gejala penyebaran aksi seks melalui telefon bimbit menjadi ‘wabak’ yang sukar dikawal.

Cari kerbau jumpa mayat

USUNG... anggota polis mengangkat mayat lelaki yang ditemui di kawasan ladang getah, kelmarin.
USUNG... anggota polis mengangkat mayat lelaki yang ditemui di kawasan ladang getah, kelmarin.

JITRA: Seorang pemuda yang mencari kerbau milik bapanya di ladang getah berhampiran Kampung Nyior Kelubi, di sini, kelmarin terkejut apabila mendapati objek yang disangkanya bangkai kerbau sebenarnya mayat manusia.
Mayat yang masih berpakaian lengkap berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditemui tertiarap di atas pelapik plastik hitam oleh lelaki terbabit kira-kira jam 3.30 petang.

Izham Daud, 21, berkata pada mulanya dia terhidu bau busuk seperti bangkai dan cuba menjejaki bau berkenaan di ladang getah itu sebelum menemui mayat lelaki yang sudah berulat dan dihurung lalat.

Katanya, dia kemudian menghubungi bapanya dan polis untuk memaklumkan penemuan itu.

“Mulanya saya ingat bangkai kerbau sebab saiznya yang besar, tetapi apabila menghampiri pada jarak kira-kira 20 meter saya dapati objek itu sebenarnya mayat manusia.

“Saya nampak ada kesan cedera di belakang leher mangsa, tetapi tak berani mendekati kerana terlalu takut.

“Saya rasa mangsa sudah meninggal dunia beberapa hari lalu disebabkan baunya yang begitu meloyakan selain ulat yang banyak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Anggota polis yang tiba tidak lama kemudian memeriksa kawasan itu dan menemui beberapa dokumen serta beberapa peket dipercayai dadah berhampiran mayat terbabit.
Izham berkata, dia jarang ke ladang getah itu dan hanya ke situ untuk mencari lebih 100 kerbau milik bapanya yang dilepaskan.

“Kawasan ini jarang dilalui orang jika ada pun hanya penoreh, tetapi tak sangka saya pula menemui mayat di sini,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat itu.

Katanya, polis juga masih menyiasat mengenai penemuan beberapa paket dadah dan kaitannya dengan

Beristeri tiga masih tak puas

TAHAN...pasangan ditangkap khalwat di motel, semalam.
TAHAN...pasangan ditangkap khalwat di motel, semalam.


ALOR SETAR: Biarpun sudah mempunyai tiga isteri, ia ternyata masih belum cukup memuaskan nafsu seorang lelaki apabila ditahan penguat kuasa agama kerana disyaki berkhalwat dengan remaja berusia 18 tahun di motel murah di Pantai Chenang, Langkawi, awal pagi kelmarin.
Lelaki berusia 41 tahun yang juga ahli perniagaan itu ditahan bersama pasangannya, penuntut institusi pengajian tinggi awam oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) yang membuat serbuan di motel murah berkenaan dalam operasi maksiat di pulau pelancongan itu kira-kira jam 2 pagi.
Ketika disoal siasat, lelaki terbabit mendakwa pergi ke pulau itu bersama remaja wanita berkenaan untuk bercuti selama tiga hari dan baru tiba jam 1 tengah hari pada hari tangkapan dibuat.

Mereka dikatakan menjalin hubungan cinta sejak beberapa bulan lalu dan ahli perniagaan berkenaan mendakwa akan berkahwin dengan pasangannya yang berasal dari Kelantan dalam tempoh terdekat sebagai isteri keempat.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jaik, Syeikh Muhammad Suhaimi Salleh berkata, ketika serbuan lelaki terbabit yang berkemeja-T dan berseluar pendek membuka pintu bilik serta membenarkan pemeriksaan dijalankan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan seorang wanita yang hanya berkemban didapati turut berada di dalam bilik, tetapi kedua-dua mereka mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri.

“Pasangan itu ditahan kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuah, Langkawi untuk dibuat laporan tangkapan. Mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal) untuk diambil keterangan,” katanya.

Menurutnya, pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988 kerana disyaki berkhalwat yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Awas wang kertas RM100 palsu


16/12/2010 1:25pm

TAWAU - Masyarakat di sini, khususnya peniaga, diingatkan supaya berwaspada ketika menerima wang kertas RM100 berikutan kes pengedaran wang kertas RM100 palsu di Kem Luasong, kira-kira 120 kilometer, dari sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, kegiatan itu terbongkar apabila seorang peniaga pasar minggu di Kem Luasong membuat laporan polis semalam setelah menyedari 10 keping wang kertas RM100 yang diperoleh hasil daripada jualannya adalah palsu.
Beliau berkata, peniaga berkenaan hanya menyedari mengenai wang palsu itu selepas dimaklumkan oleh pihak bank ketika hendak memasukkan wang berkenaan di sebuah bank di sini semalam.
Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab. - Bernama

Wanita ditikam enggan beri nombor telefon


16/12/2010 2:03pm

KUANTAN - Seorang wanita cedera dipeha dan lengan kiri selepas ditikam bekas teman lelakinya di simpang jalan kawasan Bandar Jengka, Maran dekat sini.
Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Supritenden Noor Asyikin Shamsuri berkata, ketika kejadian pukul 9.30 pagi semalam itu, suspek, 28, telah pergi menemui mangsa, 23, di sebuah kedai makan.
"Ketika itu, mangsa, seorang jurujual baru keluar dari kedai makan sebelum bekas teman lelakinya datang dan meminta nombor telefon baru mangsa.
"Mangsa enggan beri dan terus ke motosikal sebelum beredar dari situ. Lelaki berkenaan kemudiannya mengekori mangsa sebelum tiba di simpang jalan kawasan Bandar Jengka berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, mereka kemudianya terus bertekak sebelum suspek bertindak mengeluarkan pisau dan menikam mangsa di bahagian peha dan lengan kiri.
Noor Asyikin berkata, mangsa kemudiannya meminta suspek membawanya ke hospital. - Bernama

Janin bayi ditemui ditanam


16/12/2010 2:06pm

KUANTAN - Polis menahan seorang wanita berumur 20 tahun selepas menemui janin bayi berusia kira-kira empat bulan yang ditanam di sebelah sebuah rumah di Felda Selancar 6, Rompin, semalam.
Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner Noor Asyikin Shamsuri berkata, anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat awam mengenai perkara itu pada pukul 11.45 pagi.
Beliau berkata, polis yang memeriksa kawasan itu kemudiannya menemui janin bayi yang dipercayai berusia empat bulan, ditanam di sekitar kawasan rumah wanita berkenaan.
"Hasil soal siasat, wanita itu mengaku yang dia mengalami sakit perut pada hari Selasa lepas sebelum berlaku keguguran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Berdasarkan siasatan awal, suspek yang panik dengan kejadian itu menghubungi seorang rakan lelaki yang turut sama membantunya menanam janin berkenaan.
Noor Asyikin berkata, wanita itu kini ditahan untuk siasatan lanjut. - Bernama

100 guru enggan pindah


16/12/2010 2:08pm

KUALA LUMPUR - Seramai 100 orang guru di Selangor yang terlibat dalam penyusunan semula tidak mahu berpindah ke daerah lain, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan.
Mereka terdiri 84 guru opsyen Bahasa Inggeris dan 16 orang guru opsyen Bahasa Melayu yang digerakkan dari satu daerah ke daerah yang lain, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, faktor-faktor berlakunya penyusunan semula itu adalah kerana kekurangan guru Bahasa Inggeris di kawasan luar bandar berikutan pelaksanaan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia Dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBM MBI) untuk guru-guru Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris Sekolah Rendah Dan Menengah 2009–2010.
Hashim berkata, berdasarkan pengalaman beliau, tindakan menukar guru berkenaan akan menimbulkan lebih banyak masalah daripada menyelesaikan masalah sedia ada.
Katanya, kementerian perlu mengambil kira faktor usia, penyakit serta masalah keluarga dalam menimbang rayuan oleh kesemua 100 guru yang diarah pindah daerah. - Bernama

Lelaki maut kereta terbabas, terbakar


16/12/2010 3:18pm

GEORGETOWN - Seorang lelaki terbunuh apabila kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar di Jambatan Pulau Pinang di sini awal pagi tadi.
Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Supritenden Abdul Rahim Md Din berkata, kejadiaan dipercayai berlaku pada 1 pagi di kilometer 5.1 atas jambatan menghala ke Butterworth.
"Pemandu yang maut itu dikenali sebagai Khor Chai Tong, 25, yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala, mati sejurus dikeluarkan dari keretanya oleh rakannya yang mengekori kereta beliau," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Chai Tong yang berasal dari Nibong Tebal dipercayai memandu laju sebelum terbabas berikutan kesan tayar sepanjang 4.8 meter yang kelihatan berhampiran tempat kejadian.
Anggota Bomba dan Penyelamat Prai mengambil masa lima minit untuk memadamkan kebakaran kereta itu.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. - Bernama