Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Gempa bumi kuat di Laut Banda




2010/12/15

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter berlaku di Laut Banda, Indonesia, pada 7.29 malam ini. 

Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam satu kenyataan, menyatakan pusat gempa itu terletak di 483 kilometer ke tenggara Ambon, Indonesia, dan 1,842 kilometer ke tenggara Tawau, Sabah. - BERNAMA

Rosak angkara lembu





TUPAI – Sebuah kereta Toyota Camry yang baru dibeli lima bulan lalu, rosak teruk apabila terlanggar seekor lembu sedang melintas di hadapan Petronas Jalan Tupai, di sini 

Pemandu, Putra Tassaruddin, 24, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam, apabila dia terlanggar lembu yang sedang melintas jalan. 

Menurutnya, lembu itu kemudiannya terpelanting di atas bumbung kereta menyebabkan cermin hadapan kemik dan retak. 

“Saya ada berjumpa dengan tuan punya lembu tetapi dia tidak mengaku bahawa itu lembunya. 

"Ramai orang yang melihat kemalangan ini dan tahu siapa yang ambil lembu itu semula,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Putra berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik lembu kerana membiarkan ternakannya berkeliaran dan berharap masalah itu tidak akan berulang. 

Katanya, selepas menghantar ke pusat servis, kos membaiki keretanya sekitar RM25,000. 

Sementara itu, Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh berkata, setiap haiwan dicadangkan perlu mempunyai tag lesen supaya dapat mengelakkan dari pemilik yang tidak bertanggungjawab.

Peniaga kasut dipenjara empat tahun



JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kasut di pasar malam dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas kesalahan merompak sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM200. 

Lee Khai Ching, 27, berasal dari Ipoh, Perak, bersama seorang rakan subahat yang masih bebas dituduh melakukan rompakan di sebuah kedai di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram kira-kira pada jam 11.30 malam, 29 Julai lalu. 

Menurut fakta kes, tertutuh bersama seorang rakan mengacu sebilah pisau di leher mangsa sebelum mangsa wang tunai sebanyak RM100 dan S$50 bersama kunci kereta Toyota Vios berwarna hitam. 

Tertuduh berjaya ditahan polis di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram pada 26 Ogos lalu, kira-kira jam 10.10 malam. 

Hasil siasatan, seorang daripada mereka sedang diburu polis dan pada 9 September lalu, kes dirujuk kepada Pendakwa raya, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly dan tertuduh diarah dibicarakan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. 

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan atau kedua-duanya sekali. 

Keputusan pertuduhan dibacakan Hakim, Habibah Mohd Yusof dan tertuduh tanpa diwakili peguam dipenjara bermula dari tarikh dia dibicara pada 2 November lalu.

Lima lelaki ditahan





SEGAMAT - Polis menahan lima lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini dalam Ops Lejang yang dilakukan, di sini. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintenden M Anuar Ismail berkata, dua suspek ditahan setelah polis mendapati mereka menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan. 

Menurutnya, kedua-dua suspek itu telah ditahan pada 7 Disember lalu, di Buloh Kasap. 

“Dua suspek berkenaan yang berusia 20 dan 22 tahun didapati telah melakukan kesalahan dengan menggu�nakan motosikal curi. 

“Mereka juga didapati menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu. 

“Hasil siasatan mendapati motosikal yang digunakan mereka pernah dilaporkan hilang di Gemas Baru pada 23 Oktober 2010,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, semalam. 

Beliau berkata, hasil siasatan turut menemui lapan bangkai motosikal dalam kebun kelapa sawit di sekitar Felda Pemanis. 

Pihak polis percaya kedua-dua suspek terbabit dengan menjual motosikal yang dicuri pada harga yang murah. 

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar meng- gunakan kunci tambahan apabila meninggalkan motosikal masing-masing supaya keselamatannya lebih terjamin,” katanya.

Juruteknik tidak mengaku salah





KANGAR – Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan mencabul dan mencederakan isterinya Roziah Sidi di jalan pada minggu lalu. 

Mazni Osman, 45 yang sudah tidak tinggal bersama isterinya sejak 2008 lalu itu dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10 malam di Jalan Tanjung Gelam, Simpang Empat di sini, pada 6 Disember lalu. 

Tertuduh yang juga seorang juruteknik meminta kes berkenaan dibicarakan selepas memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Noraishah Ahmad. 

Pertuduhan dilakukan wakil Timbalan Pendakwa Raya, Inspektor Azwan Irwan Yaakop manakala tertuduh diwakili Peguam Zuhir Ahmad Zakuan. 

Berdasarkan keterangan kes, Mazni dituduh menggunakan kekerasan ke atas Roziah dengan niat mencabul kehormatan mengikut kesalahan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.� 

Tuduhan kedua iaitu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mencederakan Roziah dalam kejadian sama. 

Mengikut pertuduhan pertama, Mazni boleh dikenakan penjara 10 tahun atau denda dan sebatan manakala bagi kesalahan kedua iaitu penjara setahun atau denda jika didapati bersalah. 

Azwan dalam pendakwaan itu meminta mahkamah mengenakan wang ikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu kerana kesalahan terbabit adalah serius. 

Namun, Zuhir merayu agar ikan jamin itu dikurangkan memandangkan tertuduh berpendapatan rendah selain terpaksa menjaga tiga orang anak dan bapanya yang sakit. 

Noraishah memutuskan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan sebutan kes itu diadakan pada 12 Januari tahun depan.

Mayat dalam longkang





KLANG - “Saya sempat bermain mahjong bersama Lai Fat (mangsa) di rumah salah seorang abang kami kira-kira jam 9 malam kelmarin. Sejam kemudian kami beredar pulang ke rumah masing-masing. Saya tidak tahu apa yang berlaku padanya sehinggalah pagi ini (semalam) saya mendapat panggilan memaklumkan dia mati.” Begitulah reaksi Chong Chee Keong, 46, yang juga pemilik sebuah bengkel motosikal di sekitar Pelabuhan Klang selepas dimaklumkan adiknya, Chong Lai Fat, 42, ditemui mati dalam sebuah longkang di kawasan Perindustrian Fasa 4, Bandar Sultan Sulaiman, semalam. 

Dalam kejadian pagi semalam berhampiran sebuah kilang komponen kenderaan, Lai Fat, 42, yang bekerja sebagai mekanik ditemui mati dalam sebuah longkang sedalam kira-kira 1.8 meter. 

Manakala kereta jenis Proton Arena dipercayai milik mangsa turut terbakar yang terletak kira-kira 30 meter dari mayat mangsa ditemui. 

Menurutnya, Lai Fat memang minat memancing dan dia seringkali menghabiskan masa dengan aktiviti itu sejak bercerai dengan isteri. 

“Apabila tamat kerja dia mesti pergi memancing. Tapi saya tidak sangka dia meninggal dalam keadaan begini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohamad Shukor Sulong berkata, siasatan awal mendapati tiada kesan terbakar atau kecederaan pada mayat mangsa. 

"Mangsa yang masih lengkap berpakaian itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebaik menyedari keretanya tiba-tiba terbakar. Ketika itu mungkin mangsa sedang asyik menjala ikan berdasarkan penemuan ikan pada jala yang dipercayai milik mangsa,” katanya. 

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 

“Saksi kejadian diminta tampil ke IPD Klang Utara bagi membantu siasatan,” katanya.

'Call girl' dicekup





SERDANG – Mempunyai visa pekerjaan untuk bekerja di ladang namun beberapa wanita warga asing di sini giat menjalankan khidmat urutan batin kepada pelanggan melalui iklan yang ditampal di tepi jalan dan juga di dada akhbar. 

Difahamkan, ‘call girl’ terbabit hanya berurusan dengan pelanggan mereka melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk melakukan sebarang rundingan. 

Sinar Harian difahamkan, selepas bersetuju dengan kadar bayaran dikenakan, pelanggan akan diberi tunjuk arah melalui percakapan dalam telefon ke lokasi mendapat khidmat urutan. 

Bagaimanapun, perniagaan tidak bermoral terbabit tumpas, apabila premis yang dijadikan lubuk lelaki hidung belang melepas nafsu diserbu pihak berkuasa tempatan, semalam. 

Tukang urut berusia antara 20 hingga 40-an itu pada mulanya enggan mengakui menjalankan kegiatan dijalankan namun ‘kantoi’ apabila ada pelanggan menghantar SMS kepada salah seorang daripada mereka bertanyakan kadar urutan dalam tempoh sejam. 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Adnan Md Ikshan berkata, bertindak atas maklumat awam, 60 anggota penguat kuasa MPSJ dan enam penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu tiga premis masing-masing di Serdang Perdana dan Taman Pinggiran Putra Seri Kembangan. 

Katanya, dalam serbuan itu lapan wanita ditahan termasuki seorang daripadanya warga tempatan yang dipercayai terbabit dengan kegiatan urutan batin. 

“Kami mendapati, mereka ini mensasarkan rumah bertingkat di tingkat paling atas untuk mengaburi mata orang awam dan pihak berkuasa daripada menghidu kegiatan dijalankan. 

“Hasil penyamaran dilakukan, premis dikenal pasti dan mengecewakan apabila kebanyakan pekerja hanya mempunyai visa bekerja di ladang namun tergamak bekerja di sini,” katanya yang memaklumkan tukang urut itu mengenakan caj RM150 bagi pakej lengkap urutan batin. 

Beliau berkata, tindakan diambil kepada pemilik premis di bawah Akta 133 Perancang Bandar dan Desa 1971 Peruntukan 70 (12). 

“Kesemua yang ditahan diserahkan kepada Jais untuk tindakan lanjut manakala pemilik premis berdepan tindakan kompaun maksimum RM12,500,” katanya. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Penyelarasan dan Operasi Jais, Zaaba Zakaria berkata, ketika serbuan dua perempuan dicekup bersama seorang lelaki bukan Islam. 

“Wanita yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguat kuasa dan bakal didakwa di bawah Seksyen 29 (1) (b) kerana bersama lelaki bukan Islam. 

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Rumah urut haram diserbu





BUKIT TINGGI - Kedudukannya yang strategik dan suasananya agak eksklusif menjadikan sebuah rumah urut di Bukit Tinggi menjadi tumpuan sejak sebulan lalu. 

Namun, tidak ramai yang menyedari rumah urut berkenaan beroperasi tanpa lesen dan menjalankan perniagaan secara haram tanpa menghiraukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguat kuasa yang lain. 

Pengarah Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Andry Arman Masrom berkata, pihaknya menjalankan risikan berjaya memperoleh maklumat mengenai kewujudan rumah urut itu yang kian mendapat perhatian daripada penduduk setempat kerana menawarkan pelbagai pakej menarik kepada pelanggannya 

Menurutnya, satu operasi secara bersepadu telah diadakan dan tindakan sita ke atas premis itu yang beroperasi secara haram tanpa kebenaran majlis telah dikenakan. 

“Semua barangan telah disita dan kita sedang mengusahakan pendakwaan ke atas pemilik premis yang secara jelas melanggar peraturan ditetapkan. 

“Malah, hasil kecekapan maklumat risikan mendapati, beberapa premis juga turut diserbu untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 

Menurutnya, premis berkenaan mempunyai lima pekerja warga China dan hasil pemeriksaan, semua mereka mempunyai permit kerja yang sah. 

Andry berkata, kawasan sekitar Bukit Tinggi sememangnya agak terkenal dengan rumah urut dan setakat ini, hanya premis refleksologi sahaja dibenarkan beroperasi. 

“Operasi dan pemantauan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. 

“Pada masa yang sama, saya mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jika mendapati terdapat mana-mana premis rumah urut yang beroperasi tidak sah,” katanya.

7 premis judi diserbu





SERI KEMBANGAN – Tindakan segelintir pengusaha pusat siber yang menjalankan aktiviti perjudian secara ‘curi-curi’ kononnya untuk mengelakkan kegiatan itu diketahui pihak berkuasa tumpas apabila ia diserbu, petang kelmarin. 

Dalam Ops Dadu yang dilaksanakan cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, tujuh premis perjudian bertopengkan pusat siber lumpuh ketika belum sempat memulakan perniagaan seperti biasa. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, hasil risikan anggota selain maklumat awam, pihaknya menyerbu premis di sekitar Seri Kembangan dan Jalan Pasar di sini. 

Menurutnya, anggotanya terpaksa memecah masuk pintu utama premis sebelum menemui puluhan set komputer yang mempunyai perisian perjudian. 

“Kami menerima maklumat daripada orang awam yang menyatakan pengusaha menjalankan perniagaan berkenaan secara ‘curi-curi’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa. 

“Dengan bantuan 15 anggota, operasi ‘membersihkan’ premis dijalankan bermula jam 5 petang dan berakhir 11 malam,” katanya kepada Sinar Harian yang memberitahu 64 set komputer berjaya dirampas dalam operasi itu. 

Abd Razak berkata, serbuan akan dibuat dari masa ke semasa dalam usaha membanteras tempat perjudian di daerah ini. 

“Saya memberi amaran kepada pengusaha supaya tidak mengulangi kesalahan kerana pemantauan akan dijalankan berterusan. 

“Bagi pemilik premis yang masih berdegil, kami tidak akan teragak-agak bertindak mengusulkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya bekalan elektrik dipotong,” katanya yang memaklumkan pihaknya akan mengulangi membuat pemantauan ke premis yang diserbu berdasarkan rekod.

Sarjan terima padah rasuah





KUANTAN- Seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan dihukum penjara 36 bulan dan didenda RM50,000 selepas dia disabitkan bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM1,000 daripada pemilik lori pasir di sini, tahun lalu. 

Tertuduh, Mahir Epandi Ahmad, 48 dari Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu turut berdepan hukuman penjara 16 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda RM25,000 yang dihadapinya bagi setiap tuduhan. 

Lebih memeritkan, hukuman diputuskan Hakim Nor Adidah Ahmad itu bakal mengelapkan masa depannya apabila dia juga berkemungkinan dikenakan tindakan tatatertib oleh jabatan dan mungkin terpaksa melupakan kerjayanya sebagai anggota polis yang disertai sejak 31 tahun lalu. 

Hukuman penjara 18 bulan bagi setiap tuduhan dan berjalan secara berasingan itu bagaimanapun ditangguhkan selepas mahkamah membenarkan permohonan tertuduh melalui peguamnya, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima RM500 daripada seorang pemilik lori pasir sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan ke atas lorinya yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kafe sebuah hotel di sini kira-kira jam 5.16 petang, 10 Julai 2009. 

Sementara itu bagi tuduhan kedua dia didakwa menerima wang sogokan RM500 daripada pemilik lori itu bagi tujuan sama kira-kira jam 11.20 pagi, 6 Ogos tahun lalu. 

Berikutan kesalahan itu, tertuduh yang ditahan 19 Januari 2010 dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada 10 Februari 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama. 

Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali nilai suapan. 

Syed Azimal ketika mewakili anak guamnya merayu supaya tertuduh dikenakan hukuman ringan memandangkan dia tiada rekod kesalahan lampau. 

Menurutnya, sepanjang berkhidmat, bapa kepada empat anak berusia 4 bulan hingga 24 tahun itu mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan tidak pernah terlibat dalam kes pelanggaran disiplin. 

“Saya mohon supaya tertuduh dikenakan hukuman penjara dalam tempoh singkat memandangkan dia juga bakal berdepan tindakan tatatertib daripada jabatannya dan berkemungkinan akan kehilangan pekerjaan,” katanya. 

Sementara itu, Nor Adidah dalam hujah ringkasnya bersetuju dengan pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Syed Termizi Syed Musa apabila beliau berpendapat kesalahan tertuduh itu amat serius. 

Menurutnya, kesalahan rasuah sesuatu kesalahan yang serius apatah lagi melibatkan seorang anggota polis . 

Tertuduh kemudiannya dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin sementara permohonan rayuannya disebut di Mahkamah Tinggi.

11 Januari sebutan semula kes judi



SETIU – Mahkamah Majistret di sini, semalam menetapkan tarikh 14 Januari depan untuk sebutan semula perbicaraan kes judi terhadap lima lelaki berumur antara 25 hingga 58 tahun. 

Tarikh itu ditetapkan ketika kes berkenaan disebut di hadapan Majistret Mahkamah Setiu, Ahmad ‘Adha’ Amir Yasser Amri setelah kelima-lima lelaki tersebut mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan kepada mereka. 

Pada prosiding itu, kelima-lima lelaki terbabit yang bekerja sendiri dan petani di dapati bersalah pada 20 November lalu jam 12.30 tengah malam dan ketika itu sedang bermain judi di rumah yang tidak bernombor di Kampung Tasek, Bandar Permaisuri. 

Ketika serbuan dilakukan oleh anggota polis yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, ASP Idris Mohamed semuanya sedang leka bermain judi sehingga berjaya di tahan. 

Semua tertuduh di dakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM 5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

Mahkamah telah menetapkan semua tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,000 seorang dengan seorang penjamin sebelum hadir semula ke mahkamah bagi mendengar keputusan perbicaraan Januari depan. 

Pertuduhan bagi kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis IPD Setiu, Inspektor Mohd Musa Ali.

Buruh asing jadi mangsa samun lelaki Orang Asli





KUANTAN- Seorang buruh warga Pakistan berputih mata apabila wang gaji RM700 dan pasport miliknya disamun sekumpulan lelaki dipercayai berketurunan orang Asli dalam satu kejadian di rumah kongsi berhampiran sebuah sekolah dekat Pos Betau, Kuala Lipis, kelmarin. 

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu dipercayai berlaku ekoran satu pergaduhan melibatkan salah seorang daripada kumpulan lelaki terbabit dengan beberapa rakan mangsa yang tinggal di rumah kongsi itu. 

Pergaduhan dipercayai tercetus gara-gara perasaan tidak puas hati lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu yang mendakwa pekerja terbabit menghalang laluan berhampiran dengan paip air. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Risikan dan Operasi) Superintendan Nordin Mustapha berkata, lima suspek lain yang turut serta dalam pergaduhan itu kemudiannya bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukan ke arah mangsa sebelum mengarahkan lelaki berusia 45 tahun itu menyerahkan wang dan pasport. 

Menurutnya, mungkin bimbang dicederakan, mangsa menyerahkan wang gaji dan pasportnya kepada suspek. 

“Selepas mendapat habuannya, kumpulan itu bertindak melarikan diri manakala mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tidak lama kemudian. 

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dalam siasatan bagaimanapun polis berjaya mengenal pasti semua suspek terlibat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Sementara itu dalam kejadian berasingan, dua remaja kerugian kira-kira RM600 selepas telefon bimbit milik mereka disamun empat lelaki bermotosikal ketika berada melalui di Jalan Kampung Batu 5, dekat Jalan Gambang di sini, malam. Kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, dua rakan berusia 15 dan 16 tahun itu difahamkan sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah sebelum didatangi empat lelaki tidak dikenali menaiki dua buah motosikal. 

Nordin berkata, salah seorang suspek turun dari motosikal dan memegang mangsa sambil mengacah-acah kayu serta mengugut akan mencederakan mereka. 

“Suspek kemudian bertindak merampas telefon bimbit mangsa bernilai kira-kira RM600 sebelum melarikan diri. 

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti suspek terlibat dan kes turut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Seludup rokok, pemuda didenda RM230,000





MARANG - Seorang pemuda dari Johor didenda RM230,000 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas didapati bersalah menyeludup 1010 kartun rokok kretek dan rokok putih bernilai RM20,400 tiga tahun lalu. 

Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu ke atas Yap Chin Ngiap, 28, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu. 

Tertuduh didapati melakukan perbuatan itu ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang di Kampung Cherang Cina, Bukit Payong di sini pada 2.30 petang, 1 Julai 2007. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 kerana membawa barang larangan tanpa permit yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum 10 kali ganda daripada nilai harga barang jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Koh Joo Kai dan tertuduh diwakili peguambela, Wan Zainuddin Wan Musa.