Search This Blog

Tuesday, December 14, 2010

Dua bebas tuduhan pecah amanah syarikat pengiklanan

KUALA LUMPUR: Dua orang termasuk seorang bekas pengarah urusan syarikat pengiklanan Ganad Media Sdn Bhd dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, daripada tuduhan pecah amanah terhadap syarikat itu, 11 tahun lalu.
Hakim Rosenani Abdul Rahman membuat keputusan itu terhadap Cho Sing Koo, 59, dan bekas pengarah akaun syarikat itu, Tay Lee Fung, 44, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir kes pembelaan. “Selepas meneliti hujah dan keterangan saksi, mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh daripada pertuduhan,” katanya. Mengikut pertuduhan, Sing Koo sebagai pengarah urusan syarikat Ganad Media didakwa melakukan pecah amanah membabitkan suatu papan iklan di persimpangan Jalan Tebrau dan Jalan Datuk Sulaiman, Johor Bahru. Lee Fung pula sebagai tertuduh kedua didakwa bersubahat dengan bekas pengarah urusannya itu bagi kesalahan yang sama. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ganad Media Sdn Bhd di Jalan Bukit Bintang, antara 16 Jun 1999 dan 31 Mac 2000.

Sing Koo didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala Lee Fong yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan denda serta sebatan jika sabit kesalahan. Terdahulu, Rosenani dalam penghakimannya berkata, terdapat banyak keraguan yang ditimbulkan pihak pembelaan yang tidak dijawab pihak pendakwaan. Menurutnya, Sing Koo hanya bertanggungjawab untuk mengawal selia unit di bawahnya saja. Bagaimanapun, segala keputusan syarikat dibuat sepenuhnya bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ganad Group Company, Gan Kok Beng.

“Sehubungan itu, Sing Koo tidak mempunyai hak eksklusif mengenai segala urusan berhubung papan iklan itu kerana hanya CEO yang boleh membuat keputusan itu. “Selain itu, bagi pertuduhan terhadap Lee Fung yang didakwa bersubahat pula, ia tidak dapat dibuktikan kerana berdasarkan keterangan saksi tidak menyatakan pembabitan wanita itu dalam urusan papan iklan itu,” kata hakim itu. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, S Devanandan manakala pihak pembelaan yang diwakili peguam, Hanif Khatri Abdullah dan N Sivanesan.

ASP nafi liwat remaja

KLANG: Seorang anggota polis berpangkat asisten superintendan (ASP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan meliwat seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di dalam sebuah tandas, di sini, akhir tahun lalu.
Bagaimanapun, Ruslan Ibrahim, 52, yang bertugas di Pasukan Gerak Am (PGA), Ulu Kinta, Perak, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Slamat Yahya. Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan di luar tabii di tandas dewan makan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, kira-kira jam 10.05 malam, 27 Disember 2009. Bagi pertuduhan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada Alwi menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin atas alasan kesalahan yang dilakukan manakala usia mangsa yang terbabit dalam kes itu masih muda. Siti Syuhada berkata, ikat jamin tinggi perlu diberikan kerana dakwaan itu membabitkan anggota pasukan keselamatan negara. Slamat kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

Najmi trauma

SEREMBAN: “Sakit mak...Najmi sakit mak”. Itulah rintihan kanak-kanak malang yang kemaluannya ditoreh bapa dalam satu kejadian di Taman Desa Dahlia, Senawang, dekat sini, Jumaat lalu.
Kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Mohd Najmi masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HJTS) mengalami trauma berikutan kejadian itu.

Ibu mangsa hanya ingin dikenali sebagai Ana, 26, berkata, anaknya sering memberitahu mengalami kesakitan di bahagian kemaluan kesan daripada kecederaan dialaminya.

“Saya percaya Mohd Najmi mengalami kesakitan yang amat teruk menyebabkannya merintih kesakitan kerana sebelum ini dia seorang anak yang lasak.

“Malah, saya sukar mempercayai suami tergamak melakukan perbuatan ini terhadap Mohd Najmi kerana dia anak kesayangan abahnya,” katanya ketika ditemui di HJTS, di sini, semalam selepas lawatan Skuad Sayang Wanita Umno Bahagian Rasah diketuai Ketua Wanitanya, Habsah Hamid.

Menurutnya, berdasarkan apa yang diceritakan Mohd Najmi pada hari kejadian, suaminya itu dipercayai ingin melakukan upacara khatan terhadap mangsa.

Katanya, suaminya dipercayai melakukan perbuatan itu secara tidak sedar kerana sekiranya dia berada dalam keadaan normal, pasti perkara itu tidak berlaku.

Malah, dia juga dapat melihat perubahan sikap yang ditunjukkan suaminya setahun lalu iaitu selepas anak kedua mereka dilahirkan.
“Suami ada memberitahu saya bahawa dia ingin berubah dan saya memang nampak perubahan dirinya termasuk tidak meninggalkan solat. Namun, pada masa sama dia kerap meracau dan bercakap perkara yang bukan-bukan,” katanya.

25 maut dalam kebakaran kilang di Bangladesh

BANGUNAN kilang pakaian 10 tingkat terbakar, dekat ibu negara Bangladesh, lewat malam tadi, menyebabkan 25 orang maut dan 100 yang lain cedera. - Foto AP




2010/12/14

DHAKA: Kebakaran besar di kilang pakaian berbilang tingkat dekat ibu negara Bangladesh hari ini, menyebabkan 25 orang maut dan 100 yang lain cedera. 

Pegawai bomba, Golam Mostafa, berkata bangunan kilang 10 tingkat itu milik usahawan tempatan, Kumpulan Hameemm, di zon perindustrian Ashulia industrial. Punca kebakaran masih disiasat.
Wartawan tempatan, Rafiqul Islam memberitahu The Associated Press menerusi telefon bahawa beliau melihat sekurang-kurangnya 25 mayat dimasukkan ke dalam ambulas.

10 parah kemalangan bas kilang, treler di Nibong Tebal




2010/12/14

NIBONG TEBAL: Lebih 10 cedera parah dalam satu kejadian kemalangan membabitkan sebuah bas kilang dan treler di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kilometer 153.2, dekat sini, sebentar tadi. 

Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 8 malam tadi.

Bayi rupanya

KOTA TINGGI: Seorang kaki pancing menangis teresak-esak apabila objek disangka sampah terlekat pada tayar depan keretanya ketika hendak menurunkan bot di pelantar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di tebing Sungai Johor, di sini, pagi semalam, rupa-rupanya mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Lim Kin Chee, 58, mengundurkan kereta Datsun Wagon miliknya ke gigi air apabila tayar depan kenderaannya tersekat.

“Saya ingatkan sampah dan turun untuk membuangnya, tetapi terkejut apabila mendapati objek yang menyekat pergerakan kereta saya mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat.

“Mayat itu tersembul keluar dari beg plastik hitam di bawah tayar kereta. Hampir separuh tubuh bayi itu terhimpit di bawah tayar dan saya menangis kerana kesedihan melihat keadaan itu.

“Saya sedih, marah dan kecewa sikap individu yang tidak berperikemanusiaan kerana membuang zuriat sendiri,” katanya.

Ketua Balai Polis Kota Tinggi, Cif Inspektor Mohd Azizi Abd Razak bersama pegawai dan anggotanya bergegas ke lokasi penemuan bayi itu sebaik menerima panggilan telefon daripada Lim.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot mengesahkan penemuan mayat bayi lelaki berkenaan.

“Kami meminta bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk membantu siasatan dan mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Kota Tinggi.
“Setakat ini, siasatan masih berjalan dan tiada tangkapan dibuat. Keterangan Lim juga sudah diambil dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi 07- 8837222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Rakyat Malaysia terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Songkhla

BANGKOK:Seorang rakyat Malaysia terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Sadao, Songkhla hari ini.
Ketua Polis Sadao, Kolonel Pramot Lerdboworn berkata Nordin Ahmad Razali dari Kedah mati di tempat kemalangan selepas pikup yang berdaftar di Thailand yang dipandunya terlanggar tiang lampu.

Nordin dikatakan sedang menuju ke bandar raya Sadao apabila kemalangan berlaku.

Butiran lanjut mengenai dirinya belum diketahui.- Bernama

Juruterbang helikopter terhempas dikenal pasti

TIMBALAN Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof (dua dari kanan), meninjau keadaan helikopter Robinson 44 (R-44) yang musnah terbakar selepas terhempas ketika juruterbangnya, Inspektor Mohd Shukri Osman, 31, menjalani latihan di kawasan lombong tinggal berdekatan Kampung Seri Malim, Malim Nawar dekat Kampar 3 petang tadi. Mohd Shukri meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Ikhwan Munir



2010/12/14

IPOH: Mangsa nahas helikopter yang terhempas di Malim Nawar, petang tadi dikenal pasti sebagai Inspektor Mohd Shukri Othman, 31, dari Unit Latihan Polis Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Allahyarham yang sedang mengikuti kursus latihan penerbangan di Integrated Training And Services berpusat di Terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, maut apabila helikopter yang dipandunya terhempas sebelum terbakar di sebuah kawasan lombong di Malim Nawar jam 3 petang.
Beliau berasal dari Permatang Tok Gelam, Seberang Perai, Penang meninggalkan seorang balu berusia 28 tahun anak lelaki berumur setahun lebih.Ketika kejadian, Allahyarham sedang mengendalikan penerbangan solo dengan pesawat pelatih milik syarikat penerbangan swasta itu. 

Helikopter jenis Robinson 44 (R-44), dengan empat tempat duduk itu dipercayai hilang kawalan ketika berada di ruang udara lalu terhempas dan terbakar.

Kastam serbu kedai jual rokok seludup




2010/12/14

PETALING JAYA: Berikutan penjualan rokok seludup yang semakin berleluasa, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini mengambil inisiatif mempergiatkan usaha dengan menumpukan operasi ke atas kedai runcit bagi membanteras kegiatan itu. 

Penolong Ketua Pengarah JKDM, Datuk Ismail Ibrahim, berkata jabatan itu giat mengatur gerakan anggotanya dengan membuat serbuan ke atas kedai terbabit secara kerap bagi mengekang aktiviti penyeludupan rokok haram di seluruh negara.
"Jika sebelum ini kita banyak menahan kontena atau lori yang disyaki membawa rokok seludup, tetapi kini fokus kita bertumpu kepada kedai di negara ini."Melalui cara ini, kita akan dapat mengesan peruncit yang menjual rokok terlarang, sekali gus dapat mencari dari sumber mana rokok itu diperolehi," katanya kepada pemberita pada program bersama media di sini hari ini. 

Beliau berkata, strategi yang diatur pihak kastam sejak awal tahun ini ternyata memberi kesan yang positif apabila seramai 12 orang peruncit telah dihadapkan ke mahkamah ekoran menjual rokok seludup kepada orang ramai. 

"Di seluruh Malaysia terdapat kira-kira 90,000 outlet dan sejak awal Januari lepas sehingga hari ini, JKDM telah membuat serbuan ke atas 8,700 outlet yang mana 12 daripada outlet itu dikesan menyimpan serta menjual rokok seludup. 

"Dalam operasi ini, tidak kira walau dalam nilai (rokok seludup) yang kecil sekalipun, apabila ada bukti kita akan hadapkan pesalah ini ke mahkamah dan kita harap dengan cara ini sekurang-kurangnya ia dapat menyedarkan mereka bahawa perbuatan mereka itu adalah salah," katanya. 
Selain itu, beliau berkata individu yang disyaki terbabit dalam penyeludupan rokok juga boleh disiasat mengikut Akta Pembersihan (Pengubahan) Wang Haram yang membolehkan harta mereka dirampas atau dibekukan sekiranya terbukti mereka menjalankan kerja penyeludupan. 

Ismail berkata, sepanjang tempoh Januari sehingga 2 Disember 2010, JKDM telah berjaya merampas rokok seludup bernilai RM 85.7 juta dengan melibatkan cukai tidak berbayar hampir RM304.3 juta. 

"Statistik ini menunjukkan peningkatan kerana pada tahun lepas kita hanya dapat merampas rokok seludup bernilai RM70.9 juta dengan membabitkan duti kastam sebanyak RM250.5 juta," katanya. - BERNAMA 

KL hantar nota bantahan kepada Singapura berkaitan WikiLeaks




2010/12/14

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar sudah menghantar nota bantahan kepada Singapura berhubung dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai kanan kementerian itu terhadap pemimpin negara ini yang didedahkan menerusi laman web, WikiLeaks. 

Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia T. Jasudasen ke pejabatnya di Parlimen pagi ini bagi menjelaskan ketidakpuasan hati negara terhadap perdedahan berkenaan.
"Ini adalah adat diplomasi dan saya pagi ini telah panggil pesuruh jaya Singapura ke Malaysia untuk hantar nota bantahan dan saya katakan kenyataan ini tidak sepatutnya.


"Oleh itu saya bertanya kerajaan Singapura apakah manfaat ataupun dari segi perhubungan dua hala yang telah terjalin sekian lama ditambah pula dengan peningkatan hasil daripada usaha yang dilakukan oleh kedua-dua Perdana Menteri antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan (Lee Hsien Loong)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini. 

Anifah mengulas mengenai pendedahan yang dibuat oleh WikiLeaks, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat pada November 2008, terhadap beberapa pemimpin negara ini. 

Kabel itu, mencatatkan pada 2008 dan 2009, menunjukkan kenyataan yang mengutuk Malaysia, Thailand, Jepun dan India oleh para pegawai kanan Singapura dalam pertemuan dengan para pegawai kanan Amerika Syarikat. 

Anifah berkata hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura ketika ini begitu akrab, justeru kenyataan yang dibuat oleh pegawai kanan Kementerian Luar Singapura tidak membantu ke arah usaha mengeratkan lagi hubungan kerjasama sedia ada. 
Katanya, penilaian yang dilakukan terhadap pemimpin Malaysia menerusi pendedahan laman web tersebut adalah menghairankan kerana pengurusan proses pembangunan Malaysia dan Singapura adalah berbeza. 

Beliau berkata ini kerana negara ini menerusi konsep gagasan 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan," yang lebih menekankan kebajikan rakyat berbanding negara republik itu. 

"Kita mempunyai tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India...Kalau tidak silap ada 214 kumpulan etnik di negara ini. Apa yang dipanggil tidak kecekapan " daripada penangan Singapura, sebenarnya kita turun ke bawah berjumpa dengan rakyat dan kemungkinan Singapura menganggap apa yang kita buat ini adalah remeh temeh walhal ia adalah kepentingan rakyat. 

"Disebabkan itu, saya katakan pengurusan Singapura adalah berbeza dengan Malaysia," kata Anifah. 

Beliau berkata sebagai jurucakap kerajaan Malaysia, menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahankan warga negara Malaysia termasuklah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Katanya, selaku Menteri Luar sudah tentu ada pihak dari negara luar akan bertanya mengenai pendedahan tersebut sama ada ia benar atau tidak, namun terpulang kepada individu yang dituduh untuk mempertahankan diri mereka. 

"Saya tidak dapat mengulas atau tidak mempertahankan apa yang diperkatakan pemimpin negara jiran sama ada betul atau tidak...saya cakap sebagai menteri luar kerana orang yang dituduh itu adalah warga negara Malaysia," katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata ada keperluan bagi parti pembangkang untuk mempertahankan pendiriannya berikutan mereka sering kali dituduh kerana: "Tiada sangkut paut dengan Malaysia, ini adalah tuduhan yang dilemparkan oleh negara jiran dan bekas pemimpin, jadi tiada sangkut paut dengan konspirasi politik di Malaysia". - BERNAMA 

Bayi ditemui di lorong tandas hospital


14/12/2010 4:00pm

KLANG 14 Dis. - Seorang bayi lelaki yang dibalut badannya dengan kain tuala dan kain batik lusuh ditemui di lorong tandas Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof berkata, bayi berusia kira-kira dua bulan itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan HTAR pada pukul 4 pagi.
"Bayi berkulit cerah seberat 3.85 kilogram dan tidak diketahui bangsanya itu ditemui dalam keadaan sempurna tubuh badan dan tiada kecederaan pada tubuh.
"Tiada nota atau dokumen ditemui pada bayi yang tidak mempunyai parut suntikan BCG itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad berkata, bayi itu dimasukkan ke HTAR dan keadaannya dilapor stabil. - Bernama

Penghakiman saman fitnah Raja Petra 26 Januari


14/12/2010 4:30pm


KUALA LUMPUR 14 Dis. - Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah pada 26 Januari depan untuk mendapatkan penghakiman terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin dalam saman fitnahnya terhadap penulis blog berkenaan.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norazlin Othman menetapkan tarikh itu dalam kamar hari ini setelah menemui peguam Muhammad Shafee, S.Ravindran apabila kes tersebut dikemukakan untuk pengurusan kes.
Raja Petra diwakili peguam J. Chandra.
Chandra memberitahu bahawa permohonan Muhammad Shafee akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara.
Beliau berkata, Muhammad Shafee membuat permohonan itu mengikut Perintah 14A Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 untuk melupuskan saman tersebut berdasarkan perkara undang-undang yang mendakwa bahawa perkataan dalam artikel dan komen yang disiarkan dalam laman web Malaysia-Today adalah memfitnah.
Chandra berkata, beliau memberikan hujah bahawa kertas mahkamah berkaitan pendengaran hari ini, sementara plaintif (Muhammad Shafee) akan memberikan hujah esok. - Bernama

Enam pekerja carigali Petronas cedera dalam kebakaran pelantar

KUALA LUMPUR: Enam orang cedera dalam kebakaran pagi ini di pelantar Bekok C, 200 km di luar pantai Terengganu yang dikendali oleh Petronas Carigali Sdn Bhd.
Kebakaran bermula sejurus selepas tengah malam dan dapat dikawal oleh Pasukan Respons Darurat pelantar tersebut sejurus selepas itu. "Terdapat sejumlah 108 personel di pelantar itu ketika kejadian. Enam cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Nur Zahirah. "102 personel yang lain dipindahkan ke pelantar berdekatan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini. Syarikat itu berkata Bekok C sedang menjalani proses penutupan berjadual untuk aktiviti penyenggaraan ketika berlaku insiden itu. Petronas Carigali sudah memberitahu pihak berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca kejadian itu. - Bernama

Dua rumah teres dan dua kereta musnah dalam kebakaran di Kuantan

KUANTAN: Sebuah rumah teres setingkat di Taman Inderapura di sini musnah manakala sebuah lagi separuh musnah dalam kebakaran kira-kira 2.50 pagi tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba Taman Tas, Shaari Majid berkata seramai lapan anggota dengan sebuah jentera bomba dari balai itu bergegas ke lokasi kejadian pada jam 3 pagi. "Ketika pihak kami sampai, api merebak begitu cepat memusnahkan rumah pertama manakala rumah sebelahnya telah merebak ke bahagian siling," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Katanya pihak bomba sempat mengawal api daripada merebak ke bahagian lain pada rumah kedua dan api dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa sejam. Shaari berkata, kebakaran itu turut memusnahkan dua kereta yang berada di dalam garaj kedua-dua rumah berkenaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kedua-dua keluarga berkenaan sempat menyelamatkan diri. Katanya, jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM300,000 manakala punca kejadian masih dalam siasatan.- Bernama

Mayat pekerja kolam ikan ditemui


14/12/2010 5:12pm

KUALA LUMPUR - Mayat seorang penjaga kolam ternakan ikan keli rakyat Indonesia ditemui dengan kesan tikaman di perut dan leher berhampiran sebuah kolam di Kuala Kerling, Kuala Kubu Baharu dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritenden Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mayat pekerja lelaki yang dikenali sebagai Idham, 41, itu ditemui oleh pekerja kolam pada pukul 7.30 malam.
"Polis yang tiba kemudian menemui mayat terperosok di bawah tebing kolam dan pemeriksaan lanjut mendapati ada kecederaan pada mulut, hidung serta bahu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Penyelia kolam itu berkata, lelaki itu telah setahun bekerja di kolam terbabit dan dia selalu membawa beg berisi wang hasil jualan kad tambah nilai.
Norel berkata, mayat lelaki di hantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat. - Bernama

Polis trafik dipenjara 36 bulan kerana rasuah


14/12/2010 5:14pm

KUANTAN - Seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan dihukum penjara 36 bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan menerima rasuah daripada seorang pemilik lori pasir, tahun lepas.
Hakim Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Mahir Epandi Ahmad, 48, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung pertuduhan itu.
Mahir Epandi didakwa menerima suapan RM500 daripada Teoh Ting Keong sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap lori-lori angkut pasir milik Teoh yang dikatakan melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 di kafe Hotel Seri Malaysia pada pukul 5.16 petang pada 10 Julai tahun lepas.
Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang juga didakwa menerima amaun untuk tujuan dan di tempat yang sama daripada Teoh pada 6 Ogos tahun lepas pada pukul 11.20 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, bagi setiap kesalahan. - Bernama

Remaja OKU dipotong mati kerana radang paru-paru


14/12/2010 5:17pm

KUALA LUMPUR - Punca kematian remaja wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mayatnya dipotong dan disumbat dalam dua buah beg yang dijumpai Sabtu lepas di Gohtong Jaya, Genting Highlands disebabkan penyakit radang paru-paru.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supritenden Rosli Abdul Rahman berkata, ia merupakan hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) Kuantan, Pahang petang semalam.
” Kita masih menyiasat punca lain memandangkan mayat ditemui dalam keadaan anggota badannya dipotong. Kita juga masih mencari kaitan kenapa mayat dipotong dan diperlakukan sebegitu,” katanya di sini hari ini.
Mayat remaja itu ditemui di kawasan gaung berhampiran tokong Cina di Gohtong Jaya, Genting Highlands oleh pemburu cicak Gecko dalam dua buah beg, satu beg berisi tangan kanan dan kaki kiri mangsa manakala beg kedua mengandungi kepala dan badan.
Polis percaya terdapat satu lagi beg yang mengandungi anggota kaki kanan dan tangan kiri mangsa yang belum ditemui.
Rosli bagaimanapun enggan mendedahkan mengenai cara pembunuhan itu dilakukan termasuk cara mana mangsa ditetak ataupun dipotong.
Katanya, siasatan kini turut dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bagi mengesan identiti sebenar mangsa. - Bernama

Che Zambil ceraikan Assdayanti talak satu


14/12/2010 3:03pm

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Bekas pemain bola sepak Kedah, Che Zambil Ahmad melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, pelakon drama bersiri Opah, Assdayanti Daut di Mahkamah Rendah di sini hari ini.
Pasangan tersebut bersetuju untuk bercerai secara baik setelah mencapai persetujuan bersama di luar mahkamah. - Utusan

Bekas hakim dipenjara 19 tahun kerana rasuah

BEKAS Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hasan Basri Shapie, 56, dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini setelah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM210,000 selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah. - Foto Ikhwan Munir

14/12/2010 4:03pm

IPOH 14 Dis. - Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shapie hari ini dihukum penjara 19 tahun dan denda RM210,000 selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan rasuah. - Utusan

Gempar buaya tembaga muncul di Teluk Chempedak

ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan orang awam berjaya menangkap seekor buaya tembaga yang tersesat di pantai Teluk Chempedak, malam tadi. - Foto Shahrul Nizam Mohamad (berita lanjut)

14/12/2010 2:27pm


KUANTAN 14 Dis. - Orang ramai yang berkunjung ke Pantai Teluk Chempedak di sini gempar dengan kemunculan seekor buaya tembaga seberat 200 kilogram yang terdampar di persisiran pantai itu malam tadi.
Reptilia sepanjang lebih tiga meter yang tersesat dari habitatnya itu ditemui terdampar di di kawasan berbatu di tebing pantai tersebut.
Penolong Pegawai Pertahanan Awam (JPAM) Kuantan, Mohamad Irwanis Seni berkata, seramai lapan anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 8 malam tadi. - Utusan

Ahadiat diperintah bayar nafkah anak RM400 sebulan


14/12/2010 3:52pm

GOMBAK TIMUR 14 Dis. - Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini memerintahkan penulis novel Ahadiat Akashah Kahrudin Akashah membayar nafkah anaknya sebanyak RM400 sebulan selepas meluluskan tuntutan bekas isterinya.
Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad yang membut keputusan itu, turut menolak permohonan Ahadiat untuk mengubah perintah mahkamah sebelum ini yang menetapkan dia membayar RM300 sebulan kepada anaknya. - Utusan

Enam mangsa kebakaran pelantar cari gali kini stabil

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (kiri) melawat dan bertanya khabar dengan mangsa letupan paip gas di Pelantar Minyak Bekok C milik Petronas, Alias Abdullah, 52 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini. - Foto Nazdy Harun

14/12/2010 4:35pm


KUALA TERENGGANU 14 Dis. – Enam pekerja cari gali yang cedera dalam kebakaran pelantar Bekok C di luar pantai Terengganu pagi ini, kini dilaporkan stabil.
Keenam-enam mangsa terbabit iaitu Alias Abdullah, Hamzah Abdullah, Fauzi Ibrahim, Rishaudin Ismail, Ariff Farimi dan Zamri Wagiman kini dirawat di Unit Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.
Mereka tiba di hospital itu kira-kira jam 9 pagi dengan seorang daripada mereka dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, seorang di Unit Kecemasan manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar. - Utusan

Skim cepat kaya: Lebih 3,000 orang terpedaya


14/12/2010 6:32pm

KUALA LUMPUR 14 Dis. — Kerana terpedaya dengan janji pendapatan yang lumayan dalam tempoh singkat melalui pelbagai skim pelaburan, lebih 3,000 orang kerugian berjuta-juta ringgit dalam masa enam bulan lepas.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah berkata, kes terbaru yang dilaporkan ialah RM40,000 untuk perniagaan rumpai laut menggunakan mesin serba guna, Mat Kiosk yang menjanjikan pulangan sebanyak RM2,000 setiap bulan.
“Syarikat terbabit telah membayar RM2,000 selama tiga bulan seperti yang dijanjikan dan selepas itu gulung tikar, hilangkan diri dan akhirnya mangsa-mangsa yang terlibat dalam pelaburan ini menderita dengan kerugian lebih RM100 juta,” katanya pada sidang media aduan Skim Cepat Kaya di Ibu Pejabat MIC di sini hari ini.
Katanya, syarikat tersebut telah mendapatkan pinjaman daripada pihak bank untuk mendapatkan mesin yang diimport dari luar negara dan selepas kejadian itu, mereka menghilangkan diri dengan mesin tersebut sekali.
Justeru, beliau meminta orang ramai menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan nasihat melabur seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Bank Negara dan Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri. - Bernama

Pegawai polis terbunuh dalam nahas helikopter


14/12/2010 6:41pm

KAMPAR 14 Dis. — Seorang pegawai polis terbunuh apabila helikopter jenis Robinson 44 (R-44) yang dipandunya ketika dalam latihan terhempas dan terbakar di kawasan lombong, Malim Nawar di sini, hari ini.
Kejadian berlaku pada pukul 3 petang tadi ketika mangsa Inspektor Mohd Shukri Othman, 31 yang bertugas di Bahagian Latihan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sedang menjalani latihan memandu solo dari sebuah pusat latihan penerbangan swasta di Ipoh.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt. Abdul Aziz Salleh berkata, Insp. Mohd Shukri yang mengendalikan helikopter R-44, dengan empat tempat duduk itu, dipercayai hilang kawalan ketika berada di ruang udara lalu terhempas dan terbakar.
Mangsa yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang mengalami kecederaan dengan kesan kebakaran di bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Aziz berkata, mayat mangsa di hantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.
Shukri yang telah beristeri dan mempunyai seorang anak dikatakan menjalani latihan memandu helikopter sejak pertengahan tahun ini.
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran. - Bernama

Lelaki nyaris dihempap pokok





MUAR – Seorang lelaki terselamat selepas bertindak terjun daripada motosikal apabila sebatang pokok kelapa tumbang secara tiba-tiba dan nyaris menghempapnya semasa melalui Jalan Salleh di sini. 

Nordin Kassim, 49, dari Parit Othman, Bukit Pasir berkata, akibat insiden tersebut dia mengalami kecederaan pada bahagian siku dan kaki semata-mata cuba menyelamatkan diri dalam kejadian pada jam 4.40 petang, kelmarin. 

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah selepas membeli belah di bandar itu. 

“Setelah tiba di Parit Benting, Jalan Salleh, tiba-tiba angin bertiup kencang. 

“Kemudian, saya lihat sebatang pokok kelapa melayang menyeberangi parit dengan tiba-tiba jatuh di bahagian kanan saya dan saya mengambil keputusan melompat daripada motosikal,” katanya kepada Sinar Harian. 

Katanya lagi, dia terjatuh di atas jalan raya dan motosikalnya terseret sejauh lima meter sebelum masuk ke dalam longkang di jalan terbabit. 

“Saya bersyukur kerana terselamat apabila bahagian bawah pokok ini dihalang oleh dua pokok kelapa yang lain. 

“Jika bukan kerana dua pokok kelapa ini pastinya keadaan saya menjadi lebih teruk kerana dihempap oleh pokok kelapa yang tumbang ini,” katanya. 

Nordin berkata, pokok tersebut menghalang lalu lintas di jalan itu buat seketika sebelum pasukan bomba tiba untuk memotong dan membersihkan jalan tersebut. 

“Sejurus kejadian ini, saya menghubungi rakan untuk meminta pertolongan bagi menyelamatkan motosikal yang tergelincir dalam parit berhampiran. 

“Beberapa kerosakan terjadi di bahagian hadapan dan belakang motosikalnya akibat daripada insiden ini,” katanya. 

Katanya, kecedera penunggang motosikal lain supaya lebih berhati-hati semasa menunggang motosikal di jalan yang mempunyai pokok terutamanya ketika angin kencang,” katanya. 

Justeru, dia berharap supaya pihak bertanggungjawab dapat menebang pokok besar yang ada di tepi jalan supaya kejadian tersebut tidak berulang serta mengelakkan insiden lebih buruk terjadi.

Pengawal keselamatan cabul adik tiri



JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tiga kesalahan berasingan mencabul adik tirinya. 

Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan sekitar Ogos tahun lalu di sebuah rumah di Kampung Melayu Majidee, di sini. 

Tertuduh terbabit telah dituduh mencabul kehormatan adiknya sebanyak tiga kali iaitu kesalahan secara meraba dan mencium payu dara mangsa. 

Mengikut fakta kes, lelaki itu melakukan kesalahan pertama dengan meraba payu dara mangsa kira-kira jam 3 hingga 4 petang di dapur rumah itu. 

Kemudian, dia mengulangi kesalahan kedua di dalam bilik rumah berkenaan sekitar 7 hingga 8 malam seterusnya, mangsa dicabul sekali lagi kira-kira jam 3 hingga 4 petang pada hari yang berlainan. 

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda atau sebatan atau dua dari hukuman itu jika sabit kesalahan. 

Majistret Hafizah Johor Ariff Johor memerintahkan tertuduh membayar RM5,000 bagi setiap kesalahannya menjadikan jumlah keseluruhan RM15,000. 

Jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan, hukuman penjara lima bulan bagi setiap kesalahan akan dikenakan kepadanya. 

Sementara itu dalam bilik berasingan, seorang penganggur diminta membayar RM2,500 atas kesalahan menceroboh sebuah rumah. 

P Gunalan, 30, melakukan kesalahan itu pada 29 November kira-kira jam 3.30 petang di Taman Munsyi Ibrahim, di sini. 

Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin dan kes dibicarakan atas kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. 

Kes di bacakan Pendakwa raya Chuab Shyue Chien dan Gunalan tidak diwakili peguam.