Search This Blog

Monday, December 13, 2010

Ditetak akibat salah faham




KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja warga Myanmar, dikenali sebagai Abdul Munaf Abdul Shukur, 39, mati dipercayai ditetak menggunakan parang, manakala dua lagi termasuk seorang wanita cedera dalam satu pergaduhan di tapak projek Bukit Telekom, Kampung Pak Sabah, Dungun, malam kelmarin. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, ketika kejadian, kira-kira jam 8.30 malam, mangsa, 32, bersama saudaranya, 35, dan seorang wanita yang juga rakan saudaranya itu, 21, diserang sekumpulan lelaki dipercayai rakan senegara di rumah kongsi di tapak projek berkenaan. 

“Mangsa bersama dua yang lain diserang kumpulan lelaki terdiri daripada empat orang kesemuanya dengan menggunakan senjata tajam termasuk pisau, parang dan kayu. 

“Mangsa yang cedera parah pada bahagian kepala mati di tempat kejadian manakala dua lagi yang lain hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Besar Dungun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam. 

Menurutnya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan gaji antara mangsa dan empat suspek: yang berjaya melarikan diri selepas kejadian. 

“Difahamkan, empat suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang juga merupakan penyelia (mandor) di tapak projek itu,” katanya. 

Menurutnya, empat suspek sedang diburu dan diharapkan penahanan tiga individu iaitu seorang daripada mereka ditahan di Dungun, pada 10.30 malam hari kejadian, manakala dua lagi ditahan di kampung Besut, Kemaman sekitar jam 11.50 malam hari sama, dapat membantu siasatan.

Puteri mungkin berada di Indonesia




SHAH ALAM – Polis tidak menolak kemungkinan wanita warga Indonesia dikenali sebagai Puteri yang dicari berhubung kejadian bunuh teman lelakinya, November lalu, di sini, berada di negara asalnya. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, sebelum ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan Interpol bagi menjejaki wanita yang nama sebenarnya Zulfa Ismail, 20. 

“Kita tidak menolak kemungkinan dia berada di Indonesia dan begitu juga di dalam negara. Siasatan kita masih diteruskan. 

“Jika benar dia berada di negara asalnya, dia pasti akan diberkas kerana sebelum ini kita telah memaklumkan statusnya yang dikehendaki PDRM kepada Interpol berhubung kes tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Dalam kejadian 14 November lalu, Rashidi Mohd Saman, 27, seorang kerani institut pengajian tinggi (IPT) dibunuh selepas menghantar teman wanitanya itu pulang ke rumahnya di Padang Jawa. 

Ketika kejadian, dua lelaki menaiki motosikal datang menyerangnya dengan menggunakan celoret semasa mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seksyen 20. 

Mangsa ditemui terbaring berhampiran motosikalnya di tepi Jalan Muhibah, Padang Jawa, dengan kesan kecederaan lengan kiri hampir putus dan perut terburai. 

Kedua-dua suspek melarikan diri termasuk Puteri yang sehingga kini gagal dikesan selepas polis mendapati rumahnya kosong tidak berpenghuni. 

Polis juga mengenal pasti kejadian itu bermotifkan dendam dan cemburu kerana Puteri yang bekerja di IPT sama sebagai tukang cuci, adalah isteri orang serta mempunyai seorang anak. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kendong mayat bayi perempuan




KUALA LUMPUR – Seorang pengumpul barangan kitar semula tidak menyangka beg plastik dikendongnya sejauh lebih satu kilometer mengandungi mayat bayi perempuan. 

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Sooy Soon Loong, 47, hanya menyedari beg plastik dikutipnya mengandungi mayat ketika sedang memunggah dan mengasingkan sampah dikutip dari tong sebuah stesen minyak di Jalan Klang Lama. 

Dia membawa semula mayat bayi tersebut ke stesen minyak tersebut sebelum pekerja di situ menghubungi polis. 

“Beg plastik hitam itu memang sejuk dan saya sangka ada daging ayam, tetapi bila buka (plastik), ada bayi di dalamnya,” katanya ketika ditemui di sini. 

Sumber polis berkata, mayat bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai dibuang dalam tempoh 24 jam.

“Bayi tersebut dipercayai dilahirkan ditempat lain sebelum dibuang di tong sampah stesen minyak tersebut. 

"Polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut," katanya. 

Mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat. 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan akan dijalankan bagi mengesan ibu bapa bayi malang itu.

3 maut dalam tunjuk perasaan di Bangladesh




2010/12/13

CHITTAGONG: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan lebih 250 lagi cedera apabila polis melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan beribu-ribu pekerja tekstil yang menunjuk perasaan semalam. 

Pegawai kanan polis di Chittagong, Reza Al Masud berkata, kira-kira 150 pekerja cedera dalam tunjuk perasaan di bandar pelabuhan Chittagong, 50 lagi dalam keganasan di Dhaka manakala 50 yang lain cedera ketika bertempur dengan polis di bandar Narayanganj.
Beliau berkata berkata, kira-kira 4,000 pekerja menyerang polis dan memusnahkan sekurang-kurangnya 20 kenderaan, termasuk membakar sebuah daripadanya di Chittagong.“Pihak polis mengambil masa beberapa jam sebelum berjaya mengawal keadaan dan setakat ini kami mengesahkan sekurang-kurangnya seorang pekerja lelaki terbunuh,” katanya. 

Seorang saksi berkata, pekerja kilang pakaian bertempur dengan polis dan memecahkan kenderaan di daerah Kuril di Dhaka. – Reuters 

Anak jutawan skim cepat kaya jerut diri




2010/12/13

pix_gal0
NEW YORK: Mark Madoff (atas), anak sulung Benard Madoff, jutawan yang terbabit dengan skandal menipu pelabur menerusi skim Ponzi (skim cepat kaya) bernilai berbilion-bilion dolar dua tahun lalu, ditemui mati tergantung di pangsapurinya di New York pagi semalam, dipercayai membunuh diri, kata pegawai.

Jurucakap jabatan polis New York berkata, Mark, 46, ditemui bapa mentuanya tergantung di saluran paip siling pangsapurinya, manakala anak lelakinya berusia dua tahun, tidur di bilik bersebelahan.
Jiran berkumpul di luar kawasan pangsapuri beliau di Lower Manhattan ketika pihak berkuasa membawa mayatnya ke dalam van untuk dibedah siasat.“Mark Madoff membunuh diri hari ini. Kami amat terkejut dan dukacita dengan apa yang berlaku,” kata peguam keluarga beliau, Martin Flumenbaum dalam satu kenyataan.

Mark bertindak membunuh diri, dua tahun selepas bapanya ditahan kerana menganjurkan satu skim pelaburan piramid yang menipu pelabur berjumlah berbilion-bilion dolar di seluruh dunia dalam tempoh satu dekad kerjayanya.

Madoff dijatuhi hukuman penjara 150 tahun dan sejak itu hanya beberapa dakwaan jenayah kecil dikenakan ke atasnya.

Walaupun tiada dakwaan difailkan terhadap Mark, beliau disaman pemegang amanah raya Amerika dalam usaha mengembalikan semula wang kepada mangsa. – Agensi 

17 korban bom kereta Iraq




2010/12/13

ANGGOTA keselamatan memeriksa kesan  letupan bom kereta di luar bangunan pejabat kerajaan di Ramadi, wilayah Anbar di barat Iraq semalam,
ANGGOTA keselamatan memeriksa kesan letupan bom kereta di luar bangunan pejabat kerajaan di Ramadi, wilayah Anbar di barat Iraq semalam,
Serangan terbaru kumpulan pemisah di pejabat kerajaan Ramadi 

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 17 orang, enam daripadanya anggota polis terbunuh dalam satu letupan bom kereta di luar bangunan pejabat kerajaan di Ramadi, wilayah Anbar di barat Iraq semalam, serangan terbaru disyaki dilakukan kumpulan pemisah, kata polis.
Timbalan Gabenor Anbar, Saadoun Obeid, berkata sekurang-kurangnya 23 orang lagi cedera dalam kejadian itu. Bagaimanapun, kesesakan lalu lintas menghalang penyerang daripada menghampiri pagar bangunan itu.Beliau berkata, Gabenor Qasim al-Fahadawi yang putus sebelah tangan dalam serangan sama tahun lalu, bersama beberapa pegawai kanan kerajaan di Anbar tidak berada di dalam bangunan ketika letupan berlaku. 

“Serangan ini didalangi kumpulan al-Qaeda dan kami sudah menjangka tindakan seperti ini dilakukan ke atas bangunan kerajaan selepas penahanan pemimpinnya yang paling kanan di Anbar. Mereka mahu membalas dendam. 

“Kami berlari meninggalkan bangunan berkenaan dan melihat ramai mangsa cedera dan maut, terbaring di tepi jalan. Saya juga melihat dua orang wanita mati dan tubuh mereka rentung,” kata Obeid yang berada di dalam bangunan ketika kejadian. 

Polis menemui bom kedua yang disembunyikan berhampiran sebuah tempat letak kereta beberapa minit kemudian dan berjaya mematikannya. – AP 

Dua letupan bom gegarkan Stockholm




2010/12/13


  • Foto
    ANGGOTA bomba cuba memadamkan kereta yang terbakar dalam kejadian letupan di Stockholm, kelmarin.
  • Foto
    POLIS mengambil gambar mangsa yang mati dipercayai suspek.
Polis Sweden siasat kes diklasifikasi jenayah keganasan, syak babit pengebom bunuh diri

STOCKHOLM: Polis Sweden berkata siasatannya berhubung letupan dua bom di sini malam kelmarin mendapati ia adalah kes jenayah keganasan dan mengesyaki mangsa korban tunggal adalah pengebom bunuh diri.
Bagaimanapun, pengarah operasi polis Sweden Anders Thornberg berkata pihaknya masih belum mahu mengesahkan mangsa korban adalah pengebom bunuh diri atau mendedahkan identitinya kerana keluarga terdekat belum dimaklumkan.“Kami sedang menyiasat kes ini sebagai jenayah keganasan di bawah undang-undang Sweden. Bagaimanapun kami belum lagi meningkatkan paras ancaman keselamatan,” kata jurucakap polis Anders Thornberg.

Antara kemungkinan punca serangan itu ialah kemarahan terhadap pembabitan tentera Sweden di Afghanistan dan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW dilukis oleh pelukis Sweden.

Seorang lelaki terbunuh dan dua lagi cedera dalam dua letupan bom terbabit di sebuah kawasan membeli belah yang sibuk di Stockholm.

Seorang lagi jurucakap polis, Kjell Lindgren berkata letupan berlaku, sejurus selepas satu emel dihantar ke sebuah agensi berita mengancam tindakan balas berikutan kehadiran tentera Sweden di Afghanistan. 
“Kami tidak menolak kemungkinan lelaki yang terbunuh itu meletupkan bom yang dibawanya. Bagaimanapun andaian ini belum disahkan pegawai penyiasat,” katanya.

Beliau berkata polis juga masih menyiasat kemungkinan masih ada bom yang tidak meletup di lokasi.

Menteri luar Sweden, Carl Bildt Bildt dalam kenyataannya mengulas kejadian itu melalui akaunnya di laman sembang Twitter berkata: “Perkara paling membimbangkan ialah serangan itu dilakukan di kawasan sibuk di tengah Stockholm. Walaupun gagal, ia boleh memberi akibat buruk.”

Agensi berita Sweden TT berkata pihaknya menerima satu emel amaran kepada Sweden dan rakyatnya kira-kira 10 minit sebelum letupan yang berlaku pada jam 5 petang waktu tempatan.

TT berkata amaran sama menggunakan bahasa Sweden dan Arab, dihantar kepada Polis Keselamatan Sweden (SPO) dengan merujuk kepada karikatur Nabi Muhammad yang dilukis pelukis Sweden Lars Vilks.

“Tindakan yang dilakukan adalah kenyataan pendirian kami iaitu selagi anda tidak menghentikan perang terhadap Islam dan menghina Rasulullah atau menyokong ‘si babi Vilks,” kata TT, memetik kenyataan seorang lelaki dalam kenyataan yang dirakam.

Jurucakap polis, Petra Sjolander berkata letupan pertama berlaku di sebuah kereta yang mengandungi tabung gas. Lelaki yang mati itu ditemui di lokasi letupan kedua, kira-kira 300 meter dari situ.

Mac lalu, seorang rakyat Amerika yang menggelar dirinya ‘JihadJane’ didakwa merancang pembunuhan Vilks menggunakan internet untuk menyenaraikan mereka yang akan membantunya. Pada Mei lalu, penyerang tidak dikenali cuba membakar rumah Vilks.

Sementara itu seorang pakar perubatan berkata daripada keadaan lelaki itu beliau mengesyaki sesuatu meletup di perutnya.

“Saya cuba membuka skaf di mukanya agar dia boleh bernafas tetapi sudah terlambat. Beliau tidak mengalami kecederaan di muka atau tubuhnya manakala kedai berhampiran juga tidak rosak,” kata pakar berkenaan dipetik laman web DN.se. – Reuters 

Hotel pusat pelacuran warga asing diserbu




2010/12/13

IPOH: Bayaran yang dikenakan adalah RM160 dan jika inginkan perkhidmatan lebih menarik, pelanggan boleh memilih pelbagai pakej yang disediakan dengan kadar bayaran tertentu. 

Itu adalah tawaran yang disediakan kepada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan pelacur warga China di sebuah hotel tiga bintang di bandar raya ini.
Kegiatan itu yang dipercayai beroperasi sejak lebih sebulan lalu dan setiap pelacur akan ditempatkan di bilik berasingan bagi memudahkan pelanggan berurusan.Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu tumpas selepas sepasukan polis daripada Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mengadakan operasi menangkap pelacur terbabit. 

Operasi bermula jam 7.45 malam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian, menahan lapan wanita warga China berusia 20 hingga 30 tahun bersama dua lelaki berusia 30-an dipercayai penjaga kumpulan pelacur terbabit. 

Pegawai polis dari Bukit Aman yang mengetuai pasukan itu, Asisten Superintendan Khairul Anuar Rosli, berkata serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat awam dan risikan dibuat mendapati wujud kegiatan pelacuran warga asing di hotel berkenaan. 

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan di setiap bilik di tingkat tujuh dan sembilan hotel berkenaan menemui lapan pelacur warga China yang sedang menunggu pelanggan. 
“Kesemua mereka gagal melarikan diri dan hasil pemeriksaan lanjut, polis menahan dua lagi lelaki yang dipercayai penjaga kumpulan pelacur itu,” katanya, malam kelmarin. 

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki pelacur terbabit sudah melayan pelanggan sebelum serbuan dibuat berikutan penemuan banyak kondom terpakai dalam bilik. 

“Kes berkenaan disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen. Kesemua wanita yang ditahan memiliki pasport dan visa lawatan yang dipercayai disalahgunakan,” katanya. 

Polis tahan tiga warga Myanmar




2010/12/13

KUALA TERENGGANU: Polis menahan tiga lelaki warga Myanmar untuk membantu siasatan kes pembunuhan seorang penyelia tapak pembinaan warga negara itu yang terbunuh selepas diserang di tapak pembinaan di Bukit Telekom, Jalan Pak Sabah, Dungun, malam kelmarin. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata seorang daripada lelaki terbabit ditahan di Dungun, manakala dua lagi di Kemaman kira-kira jam 11.50 malam bagi membantu siasatan.
Mereka yang berusia antara 18 dan 26 tahun ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan warga Myanmar berusia 35 tahun selepas diserang empat lelaki kira-kira jam 9 malam kelmarin.“Berdasarkan penahanan itu dan maklumat daripada majikan, kita sudah mengenal pasti identiti keempat-empat suspek dan polis kini menjalankan operasi untuk mengesan mereka,” katanya. 

Dalam serangan itu, anak saudara mangsa dan seorang wanita yang berada di tempat kejadian cuba membantu mangsa, namun masing-masing cedera selepas diserang. 

'Bas dipandu tak seimbang sebelum masuk longkang'




2010/12/13

IPOH: "Dalam keadaan bising dengan jeritan dan tangisan rakan lain, kami terpaksa merangkak melalui pintu kecemasan untuk menyelamatkan diri. 

“Sebelum kejadian, saya sudah dapat merasakan brek bas tidak berfungsi dengan baik ketika ia sedang menuruni jalan licin. Sejurus kemudian, saya terdengar bunyi kuat dan bas yang kami naiki sudah terbalik dalam longkang bahu jalan,” kata Nurul Asmah Harun, 22.
Pelajar Sijil Lukisan Mekanikal Institut Kemahiran Mara (IKM), Jasin, Melaka itu adalah antara penumpang yang cedera selepas bas mereka naiki terhumban di Kilometer 304.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Gua Tempurung, dekat sini, petang kelmarin.Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin itu, seramai 21 pelajar dan pensyarah dari IKM Jasin, Melaka bersama anggota keluarga masing-masing, cedera termasuk seorang parah apabila bas mereka naiki terhumban ke dalam longkang di tepi lebuh raya berkenaan. 

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan. 

Nurul Asmah yang patah tulang rusuk kiri dan dirawat di HRPB berkata, dia dapat merasakan bas itu dipandu laju dan tidak seimbang ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke dalam longkang. 

“Sedar-sedar, bas kami sudah terbalik dan saya terasa sakit di bahagian rusuk kiri sehingga dibantu rakan keluar dari kenderaan itu menerusi pintu kecemasan bas,” katanya ketika ditemui di HRPB, di sini, semalam. 
Katanya, dia dimaklumkan seorang rakannya, Nor Izrin Abd Hamid, 23, patah tangan kiri dan sedang dirawat di Hospital Tapah. 

Seorang lagi saksi kejadian, Abdul Rahman Md Salim, 17, berkata, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan pemandu bas dikatakan cuba mengelak sebuah bas sekolah yang berada di hadapan. 

Bas itu dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Jasin membawa bersama 38 penumpang selepas selesai meraikan satu majlis di pusat peranginan itu. 

"Pemandu bas cuba menekan brek dan mengubah haluan ke kiri jalan bagi mengelak merempuh bas sekolah itu. Bagaimanapun usaha itu gagal sebelum bas hilang kawalan dan terhumban di dalam longkang, " katanya. 

Kejadian berlaku apabila sistem brek bas berkenaan dipercayai gagal berfungsi ketika menuruni bukit, menyebabkan kenderaan itu terbabas dan masuk ke dalam longkang. 

Bas itu dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Jasin membawa bersama 38 penumpang selepas selesai meraikan satu majlis di pusat peranginan itu. 

Ahli perniagaan dakwa hospital cuai



2010/12/13

Khairul Anwar bersama arwah isteri, Norliza Shariff.
Khairul Anwar bersama arwah isteri, Norliza Shariff.
SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan mendakwa isteri dan anaknya meninggal dunia ketika proses kelahiran akibat kecuaian doktor serta jururawat sebuah hospital swasta di sini, pada 6 Disember lalu. 

Khairul Anwar Abdul Halim, 40, mendakwa isterinya, Norliza Shariff, 40, diberikan gas nitrus oksida dan oksigen berterusan selama lebih dua jam sehingga menyebabkannya berada dalam keadaan separuh sedar.
“Isteri saya baru selesai makan pada jam 1.45 petang dan mula terasa sakit hendak bersalin kira-kira jam 3 petang lalu jururawat memakaikan topeng gas nitrus oksida dan oksigen untuk mengurangkan sakit.“Saya menegur kerana bimbang isteri memuntahkan kembali makanan, tetapi tidak dipedulikan. Doktor kemudian mendapati bukaan serviks sudah empat sentimeter (sm) walaupun tidak memecahkan air ketuban. 

“Doktor memecahkan air ketuban jam 4.15 petang dan beredar. Kira-kira 15 minit kemudian bukaan serviks sudah lapan sm dan isteri saya mengalami kontraksi setiap setengah minit dan berlanjutan selama 20 minit, namun jururawat tidak memaklumkan doktor sebaliknya menyuruh isteri saya meneran. 

“Selepas itu isteri saya muntah dalam topeng gas dan berada dalam keadaan separuh sedar dengan mata terbeliak. Pada waktu sama doktor tiba dan panik melihat keadaan isteri saya,” katanya di sini, semalam. 

Beliau berkata, doktor terbabit bagaimanapun tidak berusaha menyelamatkan isterinya, sebaliknya sibuk menggunakan telefon bimbit menyebabkan beliau sendiri mengambil inisiatif memanggil isterinya bagi mengelakkan pengsan. 
Katanya, beliau kemudian menggesa doktor membuat pembedahan menyelamatkan isteri dan anaknya, namun pihak hospital mengambil masa setengah jam menyediakan dewan pembedahan. 

Beliau berkata, lebih dikesalkan, isteri dan anaknya disahkan meninggal dunia pada jam 6.35 petang, tetapi beliau hanya dimaklumkan mengenainya sejam kemudian. 

“Saya hairan sikap doktor terbabit yang mengelak untuk menyambut kelahiran secara caesarean walaupun diminta sejak beberapa bulan lalu. 

“Sejak awal saya meminta doktor melakukan pembedahan kerana memikirkan usia isteri saya dan sehingga pagi hari kejadian saya masih mendesak, namun doktor terbabit berkeras melakukan secara normal,” katanya. 

Khairul berkata, beliau sedang berbincang dengan peguamnya untuk menyaman hospital serta doktor terbabit sebagai peringatan kepada semua hospital swasta supaya tidak mengambil mudah keadaan setiap pesakit. 

Sementara itu, seorang pakar perbidanan dan sakit puan hospital terbabit, berkata siasatan dalaman sudah dilakukan dan mendapati tidak ada sebarang kecuaian berlaku kerana semua dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.