Search This Blog

Sunday, December 12, 2010

2 kali kena pecah

MELAKA: Kejadian pecah masuk Masjid Al-Ehsan di Kampung Limbongan yang berlaku dua kali berturut-turut dalam tempoh selang sehari mengejutkan Ahli Jawatankuasa Lembaga masjid berkenaan yang menganggapnya tindakan keji dan tidak menghormati kesucian rumah ibadat.
Ini kerana penyamun terbabit bertindak biadab dengan meninggalkan besi tungku dipercayai diambil dari stor dalam ruang solat sebagai alat mengumpil besi jeriji tingkap serta memecahkan mangga tabung kutipan derma masjid.

Imam 2 masjid berkenaan, Shaudin Jalil, berkata kejadian itu disedari ahli jawatankuasa Lembaga Masjid, Zakaria Tamby, 60, ketika membuka masjid jam 5 pagi sebelum solat Subuh, awal pagi Jumaat lalu.

Menurutnya, sebaik memasuki ruang solat utama masjid, Zakaria terkejut melihat dua tabung derma diumpil sebelum menjumpai besi tungku di tepi peti besi yang kunci mangga dirosakkan ketika meninjau sekitar masjid.

“Sejurus itu dua lagi jemaah tiba untuk bersolat Subuh menemui kesan besi jeriji tingkap hadapan terbuka dan mengesyaki penjenayah memasuki melaluinya.

“Kami percaya selepas menceroboh masuk penjenayah terbabit cuba memecahkan mangga peti besi derma tetapi gagal membukanya berikutan seorang AJK masjid menyimpan kunci utama peti berkenaan,” katanya.


Shaudin berkata, selepas gagal memecahkan peti besi berkenaan penjenayah dipercayai memecahkan mangga pada dua tabung derma.

Katanya, wang derma dalam peti besi masjid itu dianggarkan lebih RM100 dan kebiasaannya jumlahnya meningkat RM250 hingga RM300 selepas solat Jumaat.

“Kami kesal terhadap kejadian ini malah tidak menyangka rumah ibadat dijadikan sasaran penjenayah semata-mata memuaskan nafsu mereka mendapatkan hasil dengan cara mudah.

“Kejadian ini menunjukkan mereka yang melakukan jenayah seumpamanya langsung tidak menghormati rumah Allah sekali gus menggambarkan mereka yang bertanggungjawab tidak takut hukum Allah,” katanya.

Beliau berkata, kali kedua masjid berkenaan dicerobohi awal pagi Sabtu lalu sehari selepas kejadian pertama dan laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Malim bagi kedua-dua kejadian itu.

Luna Maya sedih Ariel jadi tumpuan melampau




2010/12/12

JAKARTA: Aktres Luna Maya, teman wanita penyanyi Nazril Ariel Irham yang kini ditahan, berkata beliau sedih bahawa perbicaraannya bertukar kepada sarkis media. 

“Jika anda lihat teman lelaki atau suami anda dilayan seperti dia satu tarikan umum, tidakkah itu membuatkan anda sedih?” kata Luna ketika sidang media kelmarin di pejabat peguamnya.
“Sebelum perbicaraan bermula, dia diletakkan dalam sel kecil dan banyak kamera merakamkan setiap pergerakannya. Ia menjadikan saya sedih,” katanya.

Penyanyi kumpulan Peterpan itu atau lebih dikenali sebagai Ariel, dipenjarakan sejak Jun lalu kerana didakwa merakam video seks, satu bersama Luna dan satu lagi bersama selebriti Cut Tari. 

Dia berdepan dakwaan mengikut Undang-undang Anti-Pornografi 2008, Undang-undang Urus Niaga Maklumat dan Elektronik 2008 (ITE) serta Artikel 56 Kanun Jenayah kerana ‘terbabit dalam satu jenayah’. 

Luna berkata kes itu menjejaskan dirinya dan Ariel dalam banyak perkara termasuk kerjaya mereka. 

Ariel sepatutnya melancarkan sebuah album baru bersama kumpulan yang baru dinamakan beberapa bulan lalu dan Luna terpaksa meninggalkan kerjayanya sebagai hos rancangan muzik popular Dahsyat di RCTI. 
“Sebelum dan ketika perbicaraan, kami amat bekerjasama. Ariel dan saya mengikut undang-undang. Kami juga menerima hukuman masyarakat. Masalah sebenarnya bukan Ariel. Kami menjadi mangsa,” kata Luna. 

“Sejak mula, Ariel dan saya merasa kami menjadi mangsa, namun kini kami merasakan lebih banyak dimonopoli. 

“Saya mahu menjelaskan ini dan menuntut keadilan di mahkamah,” katanya sambil menambah bahawa polis sepatutnya memfokuskan untuk melihat siapa yang membocorkan video seks itu kepada umum. – Agensi 

Wanita ditahan bayinya mati dalam pangkuan


12/12/2010 3:52pm

PASIR PUTEH 12 Dis. - Seorang wanita berusia 31 tahun dari Kampung Gaal Tengah dekat sini, ditahan untuk membantu siasatan kematian bayi perempuannya berusia enam bulan yang ditemui tidak sedarkan diri dalam pangkuannya awal pagi ini.
Bayi malang itu, Alia Miazara Mohd. Azim kemudiannya disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Hospital Tengku Anis di sini.
Kejadian itu disedari oleh bapa wanita berkenaan, Che Muda Salleh, 60, yang dikatakan mendengar jeritannya dan mengesyaki sesuatu yang pelik telah berlaku.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Kamal Zainal berkata, polis yang menerima aduan daripada bapa suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kira-kira pukul 6 pagi, telah bertindak menahan suspek di rumah pengadu.
Menurutnya, bapa suspek dikatakan melihat anaknya sedang memangku cucunya itu yang sudah tidak bergerak dan menyambut bayi malang tersebut daripada suspek yang sedang menangis dan menjerit.
"Bapa suspek membawa mangsa ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut tetapi disahkan telah meninggal dunia. Dia kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini. - Utusan

Anak mangsa bunuh nafi bapa ada hubungan sulit dengan suspek


12/12/2010 4:55pm

KOTA BHARU 12 Dis. – Anak kedua mangsa pembunuhan kejam di Kampung Lubuk Tapah, Pasir Mas dekat sini Selasa lalu menafikan bapanya mempunyai hubungan sulit dengan pembantu rumah mereka yang menjadi suspek utama kes tersebut.
Lee Chee Fu, 28, seorang jurutera, sebaliknya mendakwa laporan media sebelum ini tidak tepat dan ia hanya siasatan awal serta berdasarkan cerita rekaan yang dibuat oleh suspek selepas ditahan polis.
Dia yang mewakili keluarganya mendakwa, pihaknya percaya pembantu rumah warga Indonesia berusia 21 tahun itu telah merancang lebih awal untuk membunuh ibunya, Yeop Seok Pen, 60, untuk mencuri barangan berharga.
"Kami sekeluarga berasa amat tertekan dan tersinggung dengan laporan ini kerana kami yakin bapa saya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pembantu rumah ini, siapa yang kenal bapa saya tahu dia tidak akan buat seperti ini.
"Suspek tahu bagaimana untuk memotong talian telefon dan sembunyikan telefon bagi mengelak ibu saya meminta pertolongan malah dia juga telah menyembunyi dan membersihkan pisau yang digunakan dan menguatkan bunyi radio bagi mengelak jiran mendengar bunyi pergelutan," dakwanya pada sidang akhbar di Pejabat MCA Kota Bharu di sini hari ini. - Utusan

Ejen judi haram taruhan RM96j tumpas


12/12/2010 5:29pm

KULAIJAYA 12 Dis. - Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman berjaya menumpaskan ejen judi haram melibatkan pertaruhan bernilai RM96 juta sejak beroperasi di sini setahun lalu.
Dalam serbuan yang dilakukan serentak pada pukul 6.45 petang semalam, seorang lelaki dan dua wanita ditahan di sebuah rumah di Taman Sungai Emas, manakala tiga lagi termasuk dua wanita diberkas di sebuah rumah di Taman Inderapura di sini berkaitan aktiviti yang dipercayai turut didalangi warga Singapura itu.
Mereka yang berusia antara 17 hingga 49 tahun dan dipercayai pekerja sindiket, ditahan bagi membantu siasatan polis.
"Dua rumah tersebut dijadikan pusat penjumlahan judi bagi pertaruhan loteri awam secara haram di Johor dan Singapura, yang membabitkan wang pertaruhan bernilai RM8 juta sebulan, yang bersamaan RM96 juta setahun.
"Sekali pertaruhan boleh membabitkan sehingga RM400,000 daripada pelanggan tempatan dan S$60,000 dari Singapura," kata Supt Maszely Minhad yang mengetuai operasi kepada pemberita.
Maszely berkata, pihaknya percaya kedua-dua rumah disewa sindiket itu untuk dijadikan tempat mengendali, mengurus serta merekodkan pertaruhan yang dihantar oleh ejen di sekitar Johor dan Singapura. - Bernama

Polis cedera motosikal ditendang remaja





MUAR – Tindakan berani dua remaja menyebabkan kecederaan kepada anggota polis ketika menjalankan tugas akhirnya mengundang padah apabila mereka ditahan polis lewat malam kelmarin. 

Dalam kejadian kelmarin, kira-kira jam 10.45 malam, mangsa, Konstabel Firdaus Yusri, 19, berasal dari Melaka, bersendirian membuat rondaan di sekitar kawasan di Jalan Timbalan, di sini. 

Menurutnya semasa membuat rondaan, dia ternampak dua remaja menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar. 

“Menyedari kesalahan remaja berkenaan, saya mengarahkan mereka supaya menghentikan motosikal untuk pemeriksaan. 

“Namun, kedua-dua remaja ini ingkar dan terus melarikan diri bagi mengelakkan saya menahan mereka,” katanya kepada Sinar Harian. 

Bagaimanapun, mereka menendang motosikalnya apabila dia berjaya menghampiri motosikal remaja terbabit. 

“Akibat tendangan ini, saya hilang kawalan lalu terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian bawah lengan, muka, mulut, lutut kaki kanan dan retak tulang belakang kerana dihempap motosikal. 

“Selepas mengasari saya, remaja ini terus melarikan diri tetapi berjaya ditahan anggota polis lain yang sama membuat rondaan di kawasan berhampiran tempat kejadian,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, beliau mengesahkan insiden berkenaan. 

Menurutnya, kedua-dua remaja yang berumur 15 tahun itu telah ditahan polis untuk siasatan lanjut. 

“Mangsa kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini dan keadaannya dilaporkan stabil. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang anggota polis menjalankan tugas dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM1,000 dan tiga bulan penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Remaja terbunuh





PARIT - Seorang remaja terbunuh apabila motosikal yang dinaikinya terlibat dalam satu kemalangan di KM26 jalan Parit-Ipoh awal pagi, kelmarin. 

Ketua polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Muhamad Fakri Che Sulaiman berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Sukri Abdullah, 20, dari Tanjung Belanja, Parit meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Changkat Melintang. 

Menurutnya, kemalangan berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa hendak ke tempat kerja di sebuah kilang, di Bemban, Batu Gajah. 

“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa terlanggar seorang pemandu sebuah kereta Dutson yang ketika itu sedang menolak keretanya mengalami rosak. 

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke tengah jalan dan dilanggar pula oleh sebuah kereta kancil yang datang dari Ipoh menghala ke Parit," katanya. 

Muhamad Fakri berkata, akibat rempuhan itu, mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan dan dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk mendapatkan rawatan kecemasan. 

“Walau bagaimanapun mangsa meninggal dunia tiga jam selepas menerima rawatan di hospital itu,” katanya. 

Katanya, manakala, pemandu Dutson, Mohd Adib Osman, 55, mengalami patah kaki akibat dilanggar manakala pemandu kereta kancil tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dua lelaki ditangkap





TAIPING – Dua lelaki yang terlibat dalam kegiatan jenayah samun berjaya ditangkap di sebuah pondok kosong di dalam hutan berhampiran Taman Damai di sini. 

Ketua Polis daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata, suspek melakukan jenayah itu antara Mei hingga November lalu. 

Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek itu, sebanyak 16 kes samun berjaya diselesaikan. 

"Seorang daripada suspek pernah mempunyai 14 kes jenayah lampau manakala seorang lagi memiliki enam rekod jenayah. 

“Suspek yang berusia 28 dan 40 tahun juga disyaki penagih dadah dan di reman," katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Yusof berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas sebilah pisau pemotong daging, seluar track, dua topi keledar dan 24 telefon bimbit. 

“Suspek dipercayai menyamun individu, kedai telefon bimbit dan stesen minyak,” katanya. 

Beliau berkata, daripada rekod, suspek yang berusia 28 tahun pernah dibuang daerah ke Kelantan pada 3 Oktober 2008 atas kesalahan jenayah. Walau bagaimanapun suspek tidak mematuhi arahan sekatan itu. 

Katanya, pihaknya masih melengkapkan siasatan bagi kes itu sebelum suspek dibawa ke muka pengadilan. 

"Jika didapati bersalah, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

8 keluarga terputus hubungan





TAPAH - Lapan keluarga di Kampung Seberang Surau, Batu 3, Jalan Pahang di sini, terputus hubungan dengan kawasan luar apabila satu-satunya jambatan yang menjadi laluan utama keluar masuk ke kampung berkenaan runtuh akibat rempuhan air sungai yang kuat, malam kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, jambatan yang dibina hampir sepuluh tahun lalu runtuh akibat benteng sungai yang merekah selain dibawa air Sungai Cheroh. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Pahang, Abdul Malik Dahala berkata, kejadian bermula apabila hujan lebat hampir sejam melanda menyebabkan air Sungai Batang Padang menjadi deras. 

Menurutnya, air sungai itu melimpah keluar dan turut menyebabkan beberapa kampung di kawasan berhampiran mengalami banjir kilat. 

“Air sungai yang kuat menghakis benteng tanah di sekeliling jambatan. 

“Akibatnya, jambatan ini runtuh dan menyebabkan penduduk di dalamnya terputus hubungan dengan kawasan luar serta menimbulkan pelbagai masalah,” katanya kepada Sinar Harian. 

Abdul Malik berkata, keadaan menjadi semakin baik selepas beberapa jam banjir kilat melanda kawasan kampung ini namun, beberapa rumah rosak teruk dan air lumpur memasuki kawasan dalam rumah. 

“Kini penduduk bertungkus-lumus membersihkan kawasan rumah dan diharap agar bantuan segera dapat dihulurkan kepada mereka,” katanya. 

Katanya, pihaknya memohon pihak berkenaan agar dapat membaiki atau membina jambatan baru di kampung itu. 

“Kini penduduk yang terputus hubungan hanya mampu berjalan kaki dengan menyeberangi sungai menggunakan serpihan jambatan yang runtuh,” katanya. 

Air paras pinggang 

SEORANG mangsa di Kampung Baru, Kampung Pahang, R Mageswari, 35, berkata, sewaktu kejadian kira-kira jam 9 malam itu, dia dan tiga anaknya sedang berehat di dalam rumah. 

Menurutnya, tiba-tiba sahaja dia dikejutkan dengan kejadian air masuk melalui pintu rumah sehingga membasahi rumahnya dalam tempoh yang singkat. 

“Saya terkejut dan segera membungkus beberapa barangan penting namun, segalanya berlaku begitu pantas apabila air paras pinggang memasuki rumah dan semua barangan di dalam rumah musnah ditenggelami air,” katanya. 

Mageswari berkata, kejadian itu adalah banjir paling teruk pernah dialaminya kerana keseluruhan barangan miliknya musnah. 

Katanya, barangan keperluan sekolah anaknya a turut musnah ditenggelami air yang disertai lumpur. 

Sementara itu, mangsa, N Krishnan Nair, 55, berkata, rumah yang diduduki sejak 20 tahun lalu hampir musnah dalam kejadian itu apabila sebahagian dinding rumahnya runtuh dirempuh air deras. 

Menurutnya, dia kini runsing memikirkan keadaan keluarganya yang tidak mempunyai tempat tinggal akibat rumah yang rosak dalam kejadian itu. 

“Dinding rumah kami runtuh akibat dirempuh air deras dan menyebabkan barangan di dalam rumah turut musnah dan dipenuhi lumpur,” katanya. 

Bantuan bakal diberikan 

MANAKALA, Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan segera kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu. 

Menurutnya, sementara menunggu bancian dilakukan pihak bertanggungjawab bagi menetukan jumlah sebenar mangsa banjir, pihaknya akan menyediakan bantuan sewajarnya. 

“Kita dimaklumkan bahawa kerja pembersihan kawasan yang terlibat sedang giat dilakukan oleh Majlis Daerah Tapah dan beberapa agensi lain. 

“Pihak kami turut akan menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa yang benar-benar terjejas dengan kejadian banjir ini dan diharap penduduk yang terlibat dapat bersabar dengan kejadian yang menimpa ini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke kawasan banjir yang terlibat. 

Bagi Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Batang Padang, Noraini Ibrahim berkata, pihaknya menyediakan pusat pemindahan banjir sementara di Dewan Merdeka Tapah, di sini. 

Menurutnya, pada malam kejadian, sebanyak dua keluarga melibatkan 10 ahli dipindahkan ke pusat pemindahan sementara itu. 

“Dua keluarga ini mula dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kira-kira jam 10 malam kelmarin. 

“Mangsa yang dipindahkan ini bagaimanapun sudah pulang ke rumah pada jam 3 pagi semalam kerana air banjir semakin surut,” katanya.

Rugi besar kilang tayar musnah terbakar





TASEK - Sebuah kilang memproses tayar terpakai di sini, menanggung kerugian besar setelah sebahagian besar tayar musnah dalam kebakaran tengah hari semalam. 

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Nazri Zakaria berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan jam 12.42 tengah hari. 

Menurutnya, sebanyak lima jentera iaitu tiga dari Ipoh, satu dari Simpang Pulai dan Sungai Siput dengan kekuatan 28 anggota tiba ke lokasi. 

“Bilik Kawalan Bomba di sini, menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.42 tengah hari berhubung kebakaran itu. Api begitu marak dan hanya dapat dikawal serta dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.50 petang. 

“Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan masih menyiasat punca sebenar kebakaran termasuk jumlah kerugian yang dialami oleh kilang berkenaan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. 

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kebakaran itu turut memusnahkan sebahagian besar kediaman milik warga Nepal serta Bangladesh yang bekerja di kilang seluas 1.4 hektar itu. 

Seorang pekerja, Shahidullah, 32, berkata, ketika kejadian, seramai 12 pekerja sedang tidur di kediaman berkenaan. 

Katanya, mereka semua bertempiaran menyelamatkan barangan masing-masing sebelum bersama-sama membantu menyelamatkan peralatan-peralatan lain di kilang berkenaan. 

“Saya bersyukur kerana saya dan rakan-rakan lain tidak cedera dalam kejadian kebakaran itu,” katanya

Rayu anak pulang





FELDA NITAR DUA - Seorang bapa merayu kepada orang ramai supaya dapat membantunya mencari anak anak lelakinya yang hilang tanpa berita sejak tiga minggu lalu. 

Abdul Karim Shafie, 53, dan isterinya, Siti Aishah Abd Salam, 53, mohon agar anaknya, Muhamad Firdaus Abdul Karim, 21, itu kembali ke pangkuannya kerana terlalu merindui dan menyayanginya. 

Muhamad Firdaus yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik dikatakan tidak pulang sehingga kini selepas keluar memandu kereta milik bapanya untuk ke Kota Tinggi. 

Menurut Abdul Karim, Muhamad Firdaus ada memaklumkan kepadanya untuk ke bandar Kota Tinggi dan ingin berjumpa dengan kawannya selepas mendapat panggilan daripada seorang lelaki. 

“Ketika kejadian, kira-kira jam 3 petang, dia bergegas keluar ke bandar selepas menerima panggilan telefon. Sejurus selepas itu, dia terus hilang sehingga kini. 

“Puas kami cuba menghubunginya, namun tidak dapat. Malah, saya cuba menghubungi kawannya yang lain, tetapi tiada siapa pun yang tahu ke mana pergi,” katanya. 

Abdul Karim berkata, kehilangan anaknya bersama kereta miliknya itu menjadi tanda tanya kerana anak lelakinya itu tidak mempunyai sebarang musuh atau perselisihan faham sebelum hilang. 

“Dia seorang pendiam, tidak banyak bercakap. Malah, dia seorang anak yang baik. Setahu saya, dia tidak ada musuh. Berkawan baik sahaja dengan semua orang. 

“Dia selalu menggunakan kereta itu untuk pergi bekerja di Kampung Semaloi, Endau. Yang peliknya, kereta jenis Persona kelabu dengan plat JLC 5746 yang dipandunya sehingga kini tidak dijumpai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Katanya, anaknya yang bekerja sebagai pekerja kontak itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kehilangan dan bersikap seperti biasa, malah sering bermanja dengan ibunya. 

“Muhamad Firdaus sering bermanja dengan ibunya dan minta mengurut badannya seperti biasa,” katanya yang bimbang akan keselamatan anak lelakinya itu. 

Sementara itu, Siti Aishah berkata, anaknya itu kini membuat persiapan untuk bertunang pada tahun depan, malah cincin tunang dan baju untuk majlis itu sudah ditempah. 

“Tetapi sekarang, dia pula hilang tanpa berita. 

“Perasaan sedih dan risau sentiasa menghantui fikiran apabila teringat perihal makan minumnya. Selama 21 hari ini, hati saya tidak tenang memikirkannya di mana dia berada dan dengan siapa,” katanya sebak. 

Sehari selepas kehilangannya, Abdul Karim bergegas ke balai polis terdekat untuk membuat laporan mengenai kehilangan anak lelakinya itu. 

Bakal tunangnya, Nurul Naliya Mohamad Sailan, 21, ketika dihubungi berkata, panggilan terakhir diterima adalah ketika hari kehilangannya dan sehingga kini masih tiada panggilannya. 

Nurul Naliya berkata, dia berharap sangat dengan kepulangan bakal tunangnya itu secepat mungkin dan hanya mampu berdoa keselamatannya. 

“Kami semua berharap agar dia pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga. Kami semua amat bimbang dan sentiasa menantikan kepulangannya secepat mungkin,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden, Mohd Nor Rasid ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima laporan berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat dapat menghubungi balai polis terdekat atau menghubungi di talian 07-7962085 atau 017-7116733 di alamat No 191, Jalan Mawar, Felda Nitar Dua, Mersing.

Penunggang motosikal maut




PADANG MEHA - Seorang lelaki berusia 33 tahun berasal dari Sungai Kob putus kaki kanan manakala perutnya terburai apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios yang datang dari arah bertentangan di jalan Baling Kulim berhampiran Padang Meha petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa dikatakan datang dari arah Baling menuju ke Kulim sebelum bertembung dengan kereta berkenaan dari arah bertentangan dan mengalami kecederaan parah.

Selain itu, mangsa juga mengalami kecederaan patah kaki kiri dan tangan kanan.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, pada mulanya mangsa berada dalam keadaan stabil dan dimasukkan ke Pusat Rawatan Rapi (ICU) setelah menerima rawatan kecemasan, namun mangsa meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

“Dalam kemalangan yang berlaku di jalan Baling Kulim petang kelmarin, mangsa merupakan seorang lelaki Melayu. Dia dilaporkan bertembung kereta yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu berusia 23 tahun bersama isterinya.

"Pemandu kereta dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. Polis akan menyiasat kes ini mengikut seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyiasat punca kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha bas sekolah, Mohamad Fauzi Abdul Rahman yang berada di tempat kejadian berkata, apabila dia sampai di tempat kejadian, dia hanya nampak mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan perutnya terburai.

Menurutnya, dia kemudiannya mengambil kain dan menutup bahagian luka mangsa.

“Ketika saya sampai di tempat kejadian saya hanya nampak mangsa terbaring di atas jalan. Oleh kerana terlalu ramai yang melihat kejadian itu, saya meminta kerjasama mereka untuk memberi ruang kepada mangsa dan menghadang mukanya daripada sinaran matahari.

"Dalam keadaan cemas saya menghubungi ambulan dan meminta orang ramai yang berada di sekitar tempat kejadian mencari kaki kanan mangsa yang putus," katanya.

Kemalangan libat tiga kenderaan



TAMPIN – Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang dapat disimpulkan apabila Rahman Md Noh, 47, terselamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer satu, Jalan Tampin-Seremban, petang kelmarin. 

Rahman berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari kediamannya di Chengkau, Rembau ke Pekan Tampin untuk membeli ubat ibunya dan keperluan lain untuk keluarganya. 

:Bagaimanapun, menurutnya, setibanya di tempat kejadian, dia berasa agak terperanjat apabila melihat kenderaan dari arah sama di hadapan yang dipandu laju berlanggar dengan sebuah kenderaan lain jenis Perodua kancil dari arah bertentangan. 

“Saya tidak sempat mengelak dan hanya berserah nasib pada yang maha Esa sahaja. Bahkan, saya juga tidak putus-putus beristighfar memohon perlindungan agar tidak berlaku perkara buruk susulan daripada kemalangan itu. 

“Malah, saya rasa tidak sampai 20 minit saya keluar dari rumah untuk ke Pekan Tampin membeli ubat untuk ibu. Syukur, saya hanya cedera ringan, walaupun van saya remuk di bahagian hadapan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin. 

Sinar Harian difahamkan, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 5.00 petang itu menyebabkan kereta kancil yang dipandu dari arah Pekan Tampin terhumban ke longkang beberapa meter dari tempat kejadian. 

Rahman berkata, dia hanya cedera di kaki dan berharap agar semua pengguna jalan raya dapat lebih berhemah dalam menggunakan kemudahan berkenaan bagi mengelak terjadinya perkara yang tidak diingini. 

“Saya berasa amat bersyukur dan bernasib baik kerana tiada perkara buruk berlaku kepada saya susulan kemalangan berkenaan,” katanya yang telah membuat laporan polis sejurus selepas kemalangan berkenaan berlaku.