Search This Blog

Saturday, December 11, 2010

Mencuri buat kali ke-327




LONDON - Sekali lagi, pencuri 'paling prolifik' di Britain akan menyambut perayaan Krismas di dalam penjara selepas didapati bersalah bagi kesalahan jenayahnya yang dilakukan buat kali ke-327.

Penjenayah, David Archer, 55, dilaporkan mula mencuri semasa berumur 10 tahun dan tabiat itu berterusan menjadi satu ketagihan sehingga dewasa.

Tempoh penjara yang telah dijalani Archer sepanjang 'kerjayanya' itu bersamaan dengan dua hukuman penjara seumur hidup di Britain.

Dia tidak dapat menyambut 15 daripada 16 perayaan Krismas sepanjang 16 tahun lalu bersama anak perempuannya kerana terpaksa meringkuk di dalam penjara.

Archer mengaku mencuri sebilah pisau cukur dan sebotol arak bernilai 20 pound (RM100) daripada sebuah pasar raya, kelmarin - hanya dua hari selepas dibebaskan dari penjara atas kesalahan melanggar perintah kelakuan antisosial.

Archer yang telah menghabiskan 30 tahun hidupnya dalam penjara pernah disabitkan bersalah atas 252 kesalahan termasuk mencuri kotak derma semasa perayaan Krismas.

3,326 ditahan jual VCD, DVD haram dan lucah





AYER KEROH - Seramai 3,326 orang ditahan pihak berkuasa dari 2005 hingga November lalu kerana menjual video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) haram serta lucah. 

Jumlah itu adalah daripada 12,509 serbuan dilakukan, membabitkan rampasan sebanyak 2.7 juta VCD dan DVD haram bernilai hampir RM22 juta. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman berkata, sebanyak RM1.8 juta denda dikenakan terhadap pesalah mahkamah membabitkan kesalahan mengikut Akta Penapisan Filem 2002 sejak Januari hingga November lalu. 

Menurutnya, penubuhan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) jelas menunjukkan komitmen kerajaan membasmi kegiatan tidak beretika itu. 

“Hukuman maksimum RM50,000 dan tiga tahun penjara masih tidak memadai buat pesalah yang memberi impak negatif besar terhadap industri perfileman tanah air serta tatasusila rakyat. 

“Pihak KDN dalam proses melihat dan mengkaji akta sedia ada untuk memperketat lagi supaya ia lebih berkesan dengan keadaan semasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Pendidikan Pencegahan di Kompleks KDN, di sini, semalam. 

Program sulung itu turut mendidik masyarakat memainkan peranan membantu pihak penguat kuasa bersama-sama berganding bahu menghapuskan kegiatan haram itu. 

Beliau turut menyarankan penguat kuasa perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti dan adil kerana kerajaan tidak boleh berkompromi sekiranya undang-undang mahupun keselamatan negara dicabuli.

Pemandu teksi derita terkena tembakan liar




KUALA LUMPUR – Seorang pemandu teksi bukan saja kerugian kira-kira RM6,000, malah terpaksa menanggung kesakitan akibat kecederaan di kedua-dua kakinya, akibat terkena tembakan.

Mangsa, Yeow Leong Kang, 42, ditemani Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.

Leong Kang, ketika ditemui berkata, laporan itu dibuat kerana sepanjang dia terlantar sakit sejak 23 September lalu, dia tidak mendapat pembelaan sepenuhnya dan mahu menuntut pampasan setimpal dengan kecederaan yang dialaminya.

Menurutnya, dalam kejadian berdekatan Pejabat Pos Jalan Pudu itu, dia sedang berehat dalam teksi, sebelum terdengar bunyi letupan seperti mercun.

“Kedua-dua kaki saya berasa sakit dan saya lihat darah mula mengalir.

“Saya buka pintu dan nampak seorang lelaki berbadan gempal menghampiri dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis. Dia melarang saya daripada berdiri, sementara menunggu ambulans tiba,” katanya semalam.

Leong Kang berkata, dia tidak mengetahui apa yang berlaku sehinggalah dikejarkan ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) dan menerima rawatan selama dua hari.

Katanya, sepanjang berada di PPHUKM terdapat enam anggota polis yang tidak memakai pakaian seragam datang mengambil keterangan dan memaklumkan bahawa kejadian yang berlaku ke atas saya itu tidak disengajakan.

“Saya diberitahu, ketika kejadian polis sedang mengejar sebuah kereta dan tembakan yang dilepaskan oanggota polis itu tersasar sebelum terkena betis kanan dan menembusi kaki kiri saya,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia terlantar di rumah selama dua bulan kerana tidak mampu bergerak dan tidak dapat bekerja menyebabkan kerugian kira-kira RM6,000 dalam tempoh itu kerana terpaksa menggunakan wang simpanan untuk belanja dan rawatan harian.

Leong Kang berkata, ada seorang anggota polis yang mengaku tidak sengaja menembaknya dan dia datang meminta maaf dan membantunya membuat rawatan luka di klinik berdekatan.

“Itu tidak cukup kerana kecederaan dialami sangat teruk. Saya terpaksa bawa teksi dalam keadaan sakit sejak Jumaat lalu kerana perlu mendapatkan wang untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap laporan dibuat dapat disiasat segera oleh pihak polis dan tindakan tegas dikenakan ke atas anggota yang cuai dalam menjalankan tugasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menambah tempoh latihan, terutamanya yang membabitkan pengendalian senjata kepada anggota berpangkat rendah.

“Tempoh latihan enam bulan yang diberikan itu dilihat tidak mencukupi. Kita harap aspek ini dapat diperbaiki agar polis dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka dan mengelak kejadian seperti ini berulang,” katanya.

Mayat ketiga kejadian lemas di Cendering ditemui, dua masih hilang


KUALA TERENGGANU - Mayat seorang lagi pemuda yang lemas ketika mandi di Pantai Pandak, Cendering petang semalam, ditemui sekitar 25 meter dari tempat kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

Mayat S.Reymond, 26, dijumpai terapung di kawasan itu oleh Unit Skuba pasukan Bomba dan Penyelamat, yang menyambung semula operasi mencari hari ini seawal pukul 7 pagi.

Reymond adalah adik beradik kepada dua pemuda yang mati lemas dalam kejadian semalam, S.Kumutha, 28, serta Roshini, 16, dan operasi mencari dua lagi yang masih hilang, S.Moghan, 21 dan A.Vijay Kumar, 18, diteruskan.

Seorang lagi yang yang terlibat dalam kejadian semalam, G.Mathevii, 19, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, dan keadaannya kritikal.

Kejadian semalam berlaku pada kira-kira pukul 2 petang semasa enam bersaudara yang berasal dari Kampung Jawa, Klang, Selangor itu sedang berkelah di pantai berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Jamil ketika ditemui di tempat kejadian berkata tragedi itu bermula apabila salah seorang daripada mereka dihanyutkan ombak besar.

Beliau berkata, keadaan ombak besar dan pasir jerlus di pantai itu adalah antara faktor kejadian berlaku, dan menurutnya pihak berkuasa tempatan juga ada letakkan tanda amaran melarang pengunjung mandi di pantai kerana kawasan itu berbahaya.

Katanya mayat Reymond dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat, dan operasi mencari oleh pasukan bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dengan bantuan penduduk tempatan di kawasan berkenaan, diteruskan.

Sementara itu bapa kepada tiga beradik yang lemas dalam kejadian itu, V.Shanmugan, 47, berkata beliau ada melarang anak-anaknya itu daripada turun ke laut semasa menerima panggilan telefon daripada mereka.

"Setengah jam kemudian saya terima panggilan telefon yang memberitahu ketiga-tiga mereka sudah hilang," katanya.

Tiga parah bas terbabas dekat Gua Tempurung





2010/12/11

IPOH: Tiga pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, Melaka parah apabila bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik di Kilometer 304.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Gopeng hari ini. 

Ketiga-tiga pelajar berusia antara 19 dan 23 tahun itu kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.
Kejadian pada 6 petang itu membabitkan bas yang dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas menghadiri majlis makan tengah hari Jawatankuasa Perwakilan Pejalar (JPP) di Cameron Highlands.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Aminuddin Abdul Rahim, ketika dihubungi di sini berkata bas terbabit membawa 41 penumpang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan anggota keluarga mereka serta lima pemandu. 

"Mereka hanya mengalami luka ringan," katanya. 

Beliau berkata, bas itu dipercayai terbabas ketika mengelak sebuah bas lain ketika menuruni kawasan Gua Tempurung dalam keadaan hujan lebat. 

"Kemungkinan brek yang tidak berfungsi dengan baik menyebabkan pemandu bas gagal mengawal kenderaan itu menyebabkannya terbabas ke dalam longkang dan terbalik," katanya. - BERNAMA

Tanah runtuh: Budak perempuan terselamat


11/12/2010 3:55pm

TUARAN - Seorang budak perempuan terselamat daripada maut
apabila rumah papan yang didiami keluarganya di lereng bukit ranap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Loku Lama Kiulu, dekat sini awal hari ini.
Bagaimanapun, kanak-kanak berusia empat tahun yang dikenali sebagai Therasa Tulaexia Singki, tersepit di bahagian tiang rumah dalam kejadian 4 pagi itu.
Ibunya, Anih Mohd. Salleh berkata, semasa kejadian, Therasa dan abangnya, Raski Saputra, 5, serta Safira Tulaliah satu tahun enam bulan sedang tidur bersama bapa mereka Singki Billan, 30.
Anih berkata, beliau mendengar bunyi kuat menghempap rumah mereka dan dalam sekelip mata, ia ranap akibat tanah runtuh.
Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Tuaran, Mohd. Fadizal
Abdullah berkata, sebuah jentera operasi dengan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.49 pagi.
Katanya, selepas diperiksa didapati tidak ada mangsa yang masih terperangkap dalam rumah itu. - Bernama

5 warga asing tanpa dokumen ditahan


11/12/2010 5:06pm

KUALA LUMPUR - Lima warga asing ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di sekitar Brickfields di sini, malam tadi.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Brickfields, Asisten Supritenden Suzalani Shafie berkata, mereka yang diserahkan kepada Jabatan Imigresen kemudiannya adalah antara 32 orang termasuk lima wanita yang berusia 13 hingga 50 tahun yang ditahan secara rambang kerana berkelakuan mencurigakan, termasuk melepak secara berkumpulan.
Beliau berkata, selain itu 10 pelajar yang berusia antara 13 dan 17 tahun turut ditahan dalam operasi yang disertai lapan pegawai, 70 anggota bermula pukul 10 malam sehingga 1 pagi.
"Kesemua pelajar terbabit dibebaskan selepas maklumat mereka direkodkan, malah ibu bapa masing-masing juga sudah dihubungi," katanya.
Seorang lelaki berusia 50 tahun yang positif dadah turut ditahan dalam operasi tersebut. - Bernama

Dua maut digilis kereta api


11/12/2010 10:09pm

KULAIJAYA – Dua pemuda yang berasal dari Sabah maut selepas digilis keretapi ketika cuba melintas landasan di Km 727 Johor Baharu-Kulaijaya di sini awal hari ini.
Berdasarkan penemuan beberapa botol minuman keras di tempat kejadian, kedua-dua mangsa iaitu Marius Michael, 22, dan Maisoh Nangut, 24, dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika dirempuh keretapi barang yang dalam perjalanan ke utara pada 3.25 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya DSP Mohd Kamil Sukarni ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.
Bagaimanapun beliau berkata: “Siasatan akan dijalankan sama ada kedua-dua mangsa di bawah pengaruh alkohol ataupun tidak semasa kejadian, dan sama ada botol-botol minuman itu kepunyaan mangsa ataupun tidak”.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk bedah siasat.
Mohd Kamil berkata keterangan pemandu keretapi terbabit telah diambil bagi membantu siasatan. - Bernama

19 korban kereta api laju bertembung




DHAKA - Sekurang-kurangnya 19 penumpang terbunuh dan berpuluh lagi cedera selepas sebuah kereta api laju melanggar kereta api yang bergerak perlahan di sebuah stesen di Bangladesh timur, menurut pegawai stesen kereta api itu, kelmarin. 

Semasa kejadian itu berlaku, kereta api laju itu dilaporkan dari Dhaka dan sedang menuju ke pelabuhan bandar selatan Chittagong manakala kereta api yang terlibat dalam pelanggaran di daerah Narsingdi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari timur Dhaka itu dalam perjalanan pulang. 

Media tempatan melaporkan punca kemalangan itu adalah kerana kesilapan pekerja stesen kereta api tersebut memberikan isyarat. 

Jurucakap Stesen Kereta api Bangladesh, Shirina Dilhur berkata, pasukan tentera dan anggota polis serta penyelamat bekerjasama dalam operasi mencari mangsa yang terperangkap di dalam kejadian itu.

Terdahulu, sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam kejadian di mana sebuah kereta api merempuh dua bas di persimpangan di Dhaka, September lalu.

Karisma Kapoor mohon cerai




2010/12/11

Karisma Kapoor
Karisma Kapoor
MUMBAI: Rumah tangga pelakon Bollywood, Karisma Kapoor dilaporkan kembali bergolak dan terbaru, kakak kepada aktres Kareena Kapoor itu akan memfailkan tuntutan cerai daripada suaminya, jutawan Sunjay Kapur. 

Anak sulung pelakon era 60-an, Randhir dan Babita Kapoor itu memberikan alasan tiada persefahaman dan kegagalan menyelesaikan pelbagai masalah dengan suaminya, sebagai sebab dia menuntut perceraian.
Akhbar The Times of India melaporkan, selepas sekian lama membuat pertimbangan, Karisma memutuskan dia tidak dapat hidup bersama Sunjay lagi.“Karisma enggan kembali kepada suaminya dan dalam sedikit masa lagi peguam akan menyediakan kertas perundangan tuntutan perceraian. 

“Masanya sudah sampai bagi Karisma meninggalkan perkahwinannya yang tidak bahagia. Dia benar-benar kecewa dan tertekan. 

“Malah Karisma juga sudah menjadi seorang yang murung,” kata akhbar Times of India memetik sumber rapat dengan pelakon filem Raja Hindustani itu. – Agensi 
Rakan Karisma berusaha menghiburkan pelakon itu dengan membawanya menyaksikan satu pertunjukan fesyen di bandaraya itu baru-baru ini. 

Bekas suami Ayu kemuka sapina





2010/12/11

Ayu Azhari
Ayu Azhari
JAKARTA: Salah seorang bekas suami bersama dua orang anak penyanyi dan pelakon Ayu Azhari mengemukakan sapina terhadap aktres berkenaan selepas dikatakan gagal menangani konflik dalam keluarganya. 

Bekas suami Ayu, Teemu Yusuf Ibrahim, anak lelakinya Axel, 20 dan Sean, 16, melalui peguam Dwi Ria Latifa, mengemukakan sapina terhadap Ayu atas alasan tidak dapat melindungi anaknya.
“Saya mengemukakan sapina, mewakili bekas suami Ayu, berdasarkan surat kuasa yang dihantar kepada saya 14 November lalu meminta saya melindungi anak beliau secara perundangan dan membuat laporan terhadap Ayu, berikutan tindakan yang dilakukan ke atas mereka,” kata Dwi Ria ketika ditemui wartawan di Jakarta Pusat.Laporan media Indonesia sebelum ini menyatakan Ayu mengusir Sean dan Axel dari rumah mereka di Simprug, Jakarta Selatan, kerana berlaku salah faham. 

“Pada 26 November lalu, Axel dan Sean dikatakan datang untuk menemui Ayu di pangsapurinya, tetapi diusir dan dimaki hamun,” katanya. 

Ayu memberi alasan pengusiran itu berkata, dia mahu anaknya belajar berdikari kerana mereka terlalu bergantung kepadanya dan banyak membazir wang. – Agensi 

Keluarga mangsa tembak mahu kes segera diselesai




2010/12/11

TUMPAT: Keluarga Pengawal Istana Diraja Kelantan, Ramli Mohamad, 50, yang ditembak empat das pada 1 Mei lalu dan meninggal dunia beberapa hari kemudian, mahu polis segera menyelesaikan kes pembunuhan itu. 

Balu Allahyarham, Maznah Mustapha, 50, berkata kes pembunuhan itu sudah enam bulan berlalu tapi sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan terhadap siasatan dan yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu.
“Allahyarham ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, sebelum beliau meninggal dunia, sempat memberi keterangan kepada polis.“Namun yang menghairankan, mengapa keputusan kes pembunuhan itu belum dapat dikeluarkan, sedangkan kejadian sudah enam bulan berlalu. 

“Kes berkenaan dilihat bagaikan tiada pembelaan, malah ia turut menimbulkan tanda tanya, bagaikan ada sesuatu disembunyikan,” katanya ketika di kediamannya, di Kok Keli, dekat sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12.25 tengah malam pada 1 Mei lalu, Ramli yang sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah, ditembak suspek yang tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat. 

Mangsa yang bertugas dengan Istana Kelantan sejak 17 tahun lalu, dikejarkan ke HRPZ II, namun meninggal dunia selepas 19 hari. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima anak. 
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mazlan Lazim berkata, kertas siasatan mengenai kes berkenaan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya. 

“Kami berharap keluarga Allahyarham bersabar. Ia sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Lubuk diceroboh nelayan asing




2010/12/11

MIRI: Kawasan perairan Beting Jarum dan Beting Petinggi Ali terletak kira-kira 120 batu nautika dari Miri di utara Sarawak dikenal pasti menjadi lokasi paling popular diceroboh nelayan asing dari China dan Vietnam. 

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit, berkata dua lokasi itu kaya dengan sumber ikan sehingga sering menjadi sasaran pencerobohan nelayan asing tanpa mengira waktu, termasuk pada musim tengkujuh.
“Apa yang penting bagi mereka kawasan berkenaan ada sumber ikan banyak dan mampu memberikan pulangan lumayan. Situasi ini berbeza dengan nelayan tempatan yang sering memilih untuk tidak keluar menangkap ikan waktu ombak besar kerana bimbang keselamatan mereka.“Sebaliknya, bagi nelayan asing musim tengkujuh adalah masa paling sesuai menangkap ikan di kawasan itu kerana yakin tidak banyak rondaan dilakukan penguat kuasa,” katanya kepada pemberita, di sini semalam. 

Ismaili berkata, tanggapan nelayan asing berkenaan tidak tepat kerana pihaknya tetap melakukan rondaan terutama pada Disember hingga Februari. 

Sejak awal tahun ini, katanya, sebanyak 12 kapal nelayan asing kebanyakannya dari Vietnam ditahan di kedua-dua lokasi berkenaan yang mensasarkan hasil laut dari spesies bernilai tinggi di pasaran seperti kerapu, jenahak dan tenggiri. 

“Mereka menggunakan pelbagai kaedah untuk menangkap ikan dan paling popular ialah pukat tunda serta pancingan rawai,” katanya. 
Terbaru sebelas awak-awak termasuk tekong warga Vietnam ditahan di kawasan itu minggu lalu dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perikanan 1985. Sejak awal tahun ini, APPM berjaya menahan 183 nelayan asing yang menceroboh perairan Sarawak berbanding 165 nelayan tahun lalu. 

Kerani buat tuntutan palsu ditahan

SIBU: Seorang kerani wanita di sebuah kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu bagi mendapatkan keuntungan mudah dengan menggandakan jumlah tuntutan pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu. 

Wanita berusia 40 tahun yang ditahan Rabu lalu itu dikatakan menjalankan kegiatannya sejak dua tahun lalu dengan dipercayai mengaut keuntungan lebih RM200,000.
Bagaimanapun, kegiatan suspek terbongkar selepas pegawai atasan menjalankan siasatan terhadap jumlah tuntutan meragukan.Menurut sumber, wanita terbabit yang sudah berkahwin dikatakan bertanggungjawab memproses tuntutan pegawai dan anggota PGA di kem terbabit dan suspek mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menggandakan nilai setiap tuntutan dan memasukkannya ke dalam akaun peribadi. 

"Jika pegawai atau anggota membuat tuntutan berjumlah RM1,000 kerani wanita terbabit akan membuat tuntutan palsu dalam jumlah sama," katanya di sini, semalam

Gudang simpan petrol haram diserbu

TUMPAT: Sekumpulan lapan lelaki dipercayai penyeludup, terpaksa terjun ke dalam Sungai Golok dan berenang ke Thailand, untuk menyelamatkan diri apabila gudang haram di Kampung Simpangan, dekat sini, yang menyimpan minyak petrol untuk diseludup ke negara jiran diserbu tentera, pagi semalam. 

Dalam kejadian jam 8.35 pagi itu, 25 tong berisi 750 liter petrol dan sebuah lori serta lima kereta yang sudah diubahsuai tangkinya yang digunakan untuk menyeludup minyak, dirampas.
Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja (RRD), Leftenan Kolonel Jafri Sulaiman, berkata sebelum serbuan dilakukan, beberapa anggotanya yang diketuai Leftenan Firdaus Rosli membuat rondaan di kawasan terbabit, kira-kira jam 6.30 pagi.Katanya, ketika memantau kawasan berkenaan, anggotanya ternampak sebuah gudang dalam keadaan pintu utamanya terbuka luas dan mengesyaki ada kegiatan mencurigakan berlaku di situ. 

"Anggota terbabit membuat intipan dan mendapati ada sekumpulan lelaki sedang melakukan kegiatan menyedut minyak petrol daripada tangki sebuah lori ke dalam tong yang sudah disediakan di situ. Tong yang sudah penuh diisi itu, kemudian dipunggah ke dalam bot enjin galah yang sudah tersedia di tebing sungai berkenaan. 

"Menyedari kumpulan berkenaan adalah penyeludup minyak, anggotanya bertindak menyerbu gudang itu, namun sempat disedari sekumpulan dipercayai lapan lelaki itu, yang terus terjun ke Sungai Golok untuk menyelamatkan diri dengan berenang ke negara jiran, Thailand," katanya. 

'Aku tak ada dah esok, nak masuk syurga'

MAYAT  Nor Hidayu dibawa turun daripada   rumah kedai dua tingkat selepas terperangkap dalam kebakaran yang turut mengorbankan ibunya di Kampung Batu Enam, Manir, kelmarin.
MAYAT Nor Hidayu dibawa turun daripada rumah kedai dua tingkat selepas terperangkap dalam kebakaran yang turut mengorbankan ibunya di Kampung Batu Enam, Manir, kelmarin.

Kata akhir gadis kepada kawan sebelum rentung bersama ibu 

KUALA TERENGGANU: "Aku tak ada dah esok.. aku nak berhenti kerja.. aku nak mati dan masuk syurga," itu kata-kata terakhir Nor Hidayu Kauzi, 19, kepada rakan sekerjanya, Norain Harun, 16, ketika kali terakhir mereka berbual petang kelmarin, sebelum beliau dan ibunya, Nor Laila Yaacob, 44, maut dalam kebakaran di Kampung Batu Enam, Manir, di sini, malam kelmarin.
Norain berkata, dia tidak menyangka kata-kata itu menjadi kenyataan apabila rakan sekerjanya itu ditemui dalam keadaan rentung bersama ibunya dalam kebakaran kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, yang memusnahkan rumah kedai sewa milik Nor Laila.Dalam kebakaran kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, dua beranak berasal dari Kubang Kerian, Kelantan itu yang sedang nyenyak tidur ditemui dalam keadaan rentung apabila rumah kedai sewa yang juga kedai dobi milik Nor Laila yang terletak bersebelahan stesen minyak terbakar. 

Sementara itu, seorang saksi yang juga jiran mangsa, Mohd Faizal Rashid, 26, berkata, sebaik menyedari kebakaran itu bersama tiga lagi rakannya, mereka berusaha memanjat ke tingkat dua bangunan itu untuk menyelamatkan mangsa, tetapi gagal. 

“Ketika itu api sudah mula marak dan kami memanjat ke tingkat atas untuk menyelamatkan mangsa, tetapi pintu dan tingkap terkunci rapat, selain dikelilingi jeriji besi yang menyukarkan usaha kami untuk masuk. Kami tidak dapat berbuat apa-apa selepas itu selain menunggu ketibaan bomba memadam kebakaran tidak lama kemudian,” kata peniaga di Pasar Batu Enam itu. 

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd Fauzi Muda, yang ditemui di tempat kejadian berkata, mayat kedua-dua mangsa yang ditemui berdekatan hanya dapat dikeluarkan kira-kira jam 1.30 pagi dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. 
Dalam pada itu, anak sulung mangsa, Mohd Badrul Kauzi, 23, ketika ditemui berkata, dia tiada di rumah ketika kejadian dan berada di Kota Bharu, Kelantan sebelum menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan mengenai kejadian itu. 

Katanya, jenazah ibu dan adiknya kemudian dituntut keluarga dan dibawa pulang ke Kubang Kerian untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Demit, petang semalam. 

Beliau juga membuat keputusan untuk melupakan hasrat meneruskan pengajiannya ke peringkat lebih tinggi kerana harus menjaga dua adiknya yang masih bersekolah. 

Suami tampar isteri, teman dalam serbuan




2010/12/11

ALOR SETAR: Seorang suami yang mengikut pihak berkuasa agama memberkas isterinya yang berada di rumah bersama lelaki lain, naik berang lalu bertindak menampar isteri dan teman lelakinya dalam serbuan mencegah maksiat di Kuah, Langkawi, awal pagi semalam. 

Lelaki terbabit berang dengan perbuatan isterinya kerap membawa lelaki lain pulang ke rumah sejak tiga bulan lalu, hilang sabar dengan perbuatan isterinya bermain kayu tiga hingga sanggup membawa teman lelaki masuk ke bilik tidur mereka.
Akhirnya, lelaki berusia 40-an itu hilang sabar lalu menampar isterinya yang berusia 36 tahun dan teman lelaki ketika serbuan dibuat.Jurucakap Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi (PADAL), berkata pihaknya menerima maklumat daripada suami wanita terbabit pada kira-kira jam 4 pagi sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati rumah dalam keadaan gelap serta pintu berkunci. 

Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki berusia 50 tahun yang berseluar panjang dan tidak berbaju membukanya lalu membenarkan pegawai membuat pemeriksaan. 

“Lelaki terbabit memberi alasan terpaksa membuka baju kerana basah kuyup akibat hujan ketika dalam perjalanan ke rumah wanita itu dengan menunggang motosikal. 

“Wanita terbabit yang memakai baju dan seluar ketat ditemui dalam rumah itu. Dia ditemui ketakutan selepas mendapati suaminya juga turut serta dalam pemeriksaan itu,” katanya di sini, semalam. 
“Ketika serbuan dibuat, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dipercayai anak pengadu dan wanita terbabit turut berada dalam rumah berkenaan dan sedang nyenyak tidur,” katanya di sini, semalam. 

Jurucakap itu berkata, lelaki dan wanita terbabit gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat. 

“Lelaki yang ditahan memberi alasan dia hanya menganggap wanita itu sebagai adik sendiri dan kerap menghantar makanan serta memberi wang kepadanya. 

“Bagaimanapun, alasan itu tidak diterima kerana ketika serbuan dilakukan, pintu rumah itu berkunci dari dalam sehingga menimbul syak mereka melakukan khalwat," katanya. 

Jurucakap itu berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 9(1)dan(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.