Search This Blog

Friday, December 10, 2010

Terima padah beri rasuah





KUANTAN - “Saya memohon supaya tidak dijatuhkan hukuman berat, lagipun saya ada dua anak yang perlu dijaga selepas mendiang isteri meninggal dunia akibat bunuh diri kerana minum racun,” itu rayuan seorang pemandu lori, K.Murugan, 38 di Mahkamah Sesyen 1, di sini, semalam. 

Menurutnya, dia perlu menjaga dua anaknya yang berusia 8 dan 10 tahun selepas pemergian mendiang isterinya dan merayu supaya Hakim Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman setimpal. 

Namun Hakim Noradidah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayarnya selepas menyatakan ia kesalahan itu demi kepentingan awam. 

Tertuduh yang berasal dari Port Dickson itu tenang ketika membuat pengakuan bersalah atas kesalahan memberikan satu suapan iaitu wang tunai RM5,000 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu seorang Penolong Pegawai Penguat kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). 

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinaz Shabudin mengendalikan kes itu. 

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku pada 10 November 2010 lalu kira-kira jam 4.50 pagi bertempat di sebuah stor Jalan Feri Lama Kampung Tanjung Gemok, Endau Rompin. 

Dalam satu operasi bersama KPDNKK, Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Cawangan Kluang bagi mengesan aktiviti penyelewengan diesel subsidi di sekitar lokasi Endau-Rompin. 

Kira-kira jam 4.30 pagi, pengadu mendapat isyarat memaklumkan lori yang dipandu tertuduh telah memasuki ke kawasan kejadian dan mendapati tertuduh sedang melakukan kerja-kerja pemindahan diesel subsidi daripada tangki minyak ke dalam lori tangki. 

Selepas pemeriksaan, tertuduh meminta perbincangan dan meminta tolong supaya tidak diambil tindakan terhadap pengadu dan selepas pengadu memberi amaran perbuatan memberikan suapan adalah salah di sisi undang-undang namun tertuduh masih mendesak. 

Tertuduh kemudiannya menyerahkan wang tunai RM50 sebanyak 100 keping yang turut dikemukakan ke mahkamah sebagai bahan bukti daripada tangan kanannya dan menghulurkan kepada pengadu sambil berkata wang RM5,000 yang diperhatikan pegawai SPRM terlibat. 

Pegawai itu kemudiannya terus memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM terhadap tertuduh dan menangkapnya atas kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam atas kesalahan berkaitan barang kawalan diesel di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Telan 19 biji pil



SETIU – Gara-gara kecewa dan takut gagal kali kedua dalam peperiksaan akhir semester, seorang penuntut perempuan berusia 20 tahun di sebuah kolej swasta di sini mengambil jalan mudah menelan 19 biji Selasa lalu. 

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, ASP Abdul Hamid Che Ahmad berkata, penuntut itu yang berasal dari negeri ini terpaksa dibawa ke Hospital Setiu kerana tidak sedarkan diri selepas menelan pil berkenaan akibat tertekan dengan peperiksaan akhir yang dihadapinya baru-baru ini. 

“Menurut rakannya, sebelum ini penuntut terbabit mengambil kursus Kejururawatan dan tinggal di asrama, tetapi setelah gagal dalam peperiksaan kali pertama, dia tukar kepada kursus Sains Komputer. 

“Akibat tekanan untuk menjawab soalan peperiksaan, dia dipercayai menelan pil itu yang berada dalam simpanannya bagi menyelesaikan masalah,” katanya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada rakan sebiliknya sejurus penuntut itu mendapat rawatan di Hospital Setiu dan setakat ini tiada sebarang unsur lain boleh dikaitkan dalam kes ini.

“Ini sebab, berdasarkan keterangan penuntut itu, dia turut mengakui tindakannya itu berpunca daripada tekanan untuk menghadapi peperiksaan dan takut gagal sekali lagi.

“Selain itu, dia juga takut kegagalan kali kedua ini akan menyebabkan pelbagai tanggapan negatif dilemparkan kepadanya terutama dari ahli keluarga dan rakan di kolej itu,” katanya.

Menurutnya, bagi memulihkan semangat dan keyakinan diri penuntut terbabit, dia dirujuk kepada pakar kaunseling di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan pihak pentadbiran kolej bagi mengikuti sesi kaunseling.

“Sehubungan itu, orang ramai terutama pelajar dinasihatkan tidak mengambil jalan mudah dengan mencari jalan penyelesaian singkat sehingga memudaratkan diri,” katanya.

Mangsa ajak cuti sebelum lemas





BESERI – Seorang ibu, Rosminah Baharom, 43, tidak menyangka permintaan anak keduanya, Mohamad Azfar Md Ghani, 18, untuk bercuti jauh adalah ajakan yang terakhir sebelum mangsa dijumpai lemas di Empangan Timah Tasoh di sini, kelmarin. 

Mangsa yang dikatakan lemas pada jam 5.30 petang ketika berkelah di tasik berkenaan bersama dua abang dan adiknya serta lima rakan mereka. 

Rosminah berkata, pada malam Selasa lalu, dia menghantar Azfar ke Institut Kemahiran Mara (IKM) Alor Setar untuk mengambil peperiksaan. 

Menurutnya, pada malam berkenaan, Azfar mengajaknya untuk pergi bercuti jauh setelah selesai peperiksaan selepas lima bulan melanjutkan pelajaran peringkat Sijil Teknologi Awam Lukisan Struktur di IKM terbabit. 

“Pada masa itu, saya tidak menyangka apa-apa sehingga dikejutkan dengan berita dia lemas ketika sedang berkelah pada petang kelmarin. 

“Azfar yang turut ditemani abangnya, Mohamad Afiq, 19, dan adiknya Mohamad Aqil, 15, ketika kejadian itu adalah seorang yang pendiam dan serba boleh dalam keluarga,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Ketika kejadian itu, Rosminah berada di Pulau Pinang untuk menghadiri mesyuarat Jabatan Pelajaran Perlis. Beliau yang bekerja sebagai pegawai di jabatan berkenaan tidak mengetahui rancangan anak-anaknya untuk berkelah di tasik terbabit. 

Sementara itu, abang mangsa, Afiq berkata, sebelum kejadian, dia bersama tiga lagi rakannya mengambil sebuah sampan di kampung nelayan berhampiran manakala Azfar dan Aqil serta dua lagi rakan menunggu di tepi tasik. 

Menurutnya, apabila sampan berkenaan menghampiri tepi tasik, Azfar bertindak berenang ke arah sampan walaupun dihalangnya. 

“Saya tidak membenarkan Azfar berenang ke arah kami kerana pada waktu itu angin kuat sehingga ada arus dalam tasik. 

“Namun begitu, Azfar tidak mengendahkan larangannya dan terus berenang ke arah sampan sehingga dia hampir lemas kerana kekejangan berikutan kawasan terbabit dalam dan berarus. 

“Apabila melihat keadaan Azfar yang tenggelam timbul, Aqil segera berenang untuk menyelamatkannya. Namun, cubaan itu gagal apabila Aqil turut mengalami kekejangan. 

“Dalam keadaan kelam kabut, kami hanya sempat menyelamatkan Aqil yang ketika itu berada berdekatan dengan sampan sebelum mendarat di tepi tasik dan menghubungi polis,” katanya. 

Afiq berkata, pada petang kejadian itu, Azfar sempat menyuruhnya membawa bekalan nasi untuk dimakan selepas selesai mandi. 

“Apa yang menyayat hati, sebelum berenang ke arah sampan, Azfar sempat menyuruh rakan kami, Azrul Helmi, 17, untuk menjaga saya dan seorang lagi rakan baiknya,” katanya. 

Azfar dikatakan tenggelam di tasik itu selepas 70 meter berenang dari daratan ke arah sampan berkenaan. 

Mayat Azfar dijumpai di dasar tasik pada jam 11.25 selepas 18 jam operasi mencari yang dilakukan Unit Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat pada jarak 30 meter dari tebing tasik berkenaan. 

Ketua Unit Penyelam Bomba, Abdul Rahim Baharom berkata, walaupun pencarian yang bermula sejak jam 8 malam kelmarin tidak mendatangkan hasil, namun pihaknya tidak berputus asa dan terus berusaha mencari mayat mangsa. 

“Operasi yang turut dibantu anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) membuahkan hasil apabila kami menjumpai mayat mangsa di dasar tasik selepas memulakan operasi pada hari ini (semalam). 

“Mayat Azfar ditemui kira-kira 4 meter di dasar tasik dalam keadaan tertiarap sebelum dibawa naik,” katanya ketika ditemui. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Deputi Superintendan, Md Rafae Hassan, berkata, polis dimaklumkan tentang kejadian itu oleh abang mangsa dan mengadakan operasi mencari dan menyelamat bermula jam 6 petang kelmarin sehingga pagi semalam. 

“Seramai 42 anggota terlibat dalam operasi itu melibatkan 21 bomba termasuk unit penyelam, 14 Jabatan Pertahanan Awam dan tujuh anggota polis,” katanya.

Santai bertukar tragedi





TANJUNG BIDARA - Kegembiraan sekumpulan enam remaja bersantai di pantai ini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas ketika mandi berseorangan di pinggir pantai itu, petang semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, mangsa, Md Shahrul Ab Gani, 23, dikatakan mengajak lima rakannya yang lain untuk berehat di kawasan berdekatan dengan pantai. 

Bagaimanapun, dia dikatakan mandi berseorangan di tepi laut sebelum lemas beberapa minit selepas itu yang turut disaksikan rakan mangsa. 

Berikutan kejadian itu, rakan mangsa dikatakan cuba mencarinya dalam laut, bagaimanapun gagal sebelum bertindak melaporkan kejadian itu kepada polis. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, R.Bajiyen berkata, bomba menerima panggilan kira-kira 4.30 petang dan memulakan operasi mencari mangsa dengan bantuan anggota skuba Jalan Kubu, Melaka Tengah yang tiba sejurus selepas itu. 

Seramai lima anggota bomba dan sembilan anggota dari unit skuba Melaka Tengah memulakan operasi mencari mangsa sebelum menemui mayat mangsa terapung kira-kira 10 meter dari pinggir pantai, pada pukul 6.45 petang.

19 korban kereta api laju bertembung




DHAKA - Sekurang-kurangnya 19 penumpang terbunuh dan berpuluh lagi cedera selepas sebuah kereta api laju melanggar kereta api yang bergerak perlahan di sebuah stesen di Bangladesh timur, menurut pegawai stesen kereta api itu, kelmarin. 

Semasa kejadian itu berlaku, kereta api laju itu dilaporkan dari Dhaka dan sedang menuju ke pelabuhan bandar selatan Chittagong manakala kereta api yang terlibat dalam pelanggaran di daerah Narsingdi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari timur Dhaka itu dalam perjalanan pulang. 

Media tempatan melaporkan punca kemalangan itu adalah kerana kesilapan pekerja stesen kereta api tersebut memberikan isyarat. 

Jurucakap Stesen Kereta api Bangladesh, Shirina Dilhur berkata, pasukan tentera dan anggota polis serta penyelamat bekerjasama dalam operasi mencari mangsa yang terperangkap di dalam kejadian itu.

Terdahulu, sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam kejadian di mana sebuah kereta api merempuh dua bas di persimpangan di Dhaka, September lalu.

Isu yuran ujian getir Kerajaan Britain




2010/12/10

Parlimen undi kenaikan caj universiti 

LONDON: Kerajaan campuran Konservatif-Liberal Demokrat berdepan dengan ujian getir semalam apabila Parlimen Britain dijadual membuat pengundian semalam berhubung kenaikan tiga kali ganda yuran universiti di negara itu yang sudah mencetuskan bantahan pelajar.
Cadangan kontroversi itu yang akan menyaksikan yuran dikenakan ke atas pelajar meningkat kepada £9,000 (RM44,617.53) setahun, menyebabkan ketegangan di dalam kerajaan Konservatif-Liberal Demokrat.Walaupun beberapa siri perbincangan saat akhir diadakan, ahli Parlimen Liberal Demokrat dijangka membantah cadangan itu berikutan penghapusan yuran universiti adalah sesuatu yang dijanjikan parti itu pada pilihan raya umum Mei lalu. 

Walaupun saiz majoriti kerajaan dalam dewan rendah parlimen bermakna cadangan itu mudah diluluskan, namun isu berkenaan memberi tekanan hebat kepada kerajaan campuran itu. 

Liberal Demokrat diketuai Timbalan Perdana Menteri, Nick Clegg, membuat jaminan untuk menghapuskan secara berperingkat yuran tuisyen dalam manifestonya pada pilihan raya umum lalu. 

Namun dalam persetujuan membentuk campuran dengan parti lebih besar Konservatif yang diketuai Perdana Menteri, David Cameron, parti itu membuat ‘pusingan-U’ dalam isu itu, menakutkan pelajar, kesatuan universiti dan ramai anggota dalam parti sendiri. 
Cadangan itu mencetuskan demonstrasi ganas dan meletakkan polis dalam keadaan berjaga-jaga di peringkat tertinggi semalam ketika ribuan pelajar, pensyarah dan murid sekolah dijangka berhimpun di jalan raya di ibu kota ini. 

Cadangan untuk menaikkan yuran maksimum daripada £3,290 (RM16,325.94) ketika ini muncul berikutan pemotongan besar-besaran ke atas pembiayaan pendidikan tinggi di Britain, sebahagian pengurangan utama bajet untuk mengatasi defisit negara yang berada pada paras rekod tertinggi. – AFP 

Salma Hayek mengaku ‘pendatang haram’ di AS





2010/12/10

LOS ANGELES: Salma Hayek mengaku beliau memasuki Amerika Syarikat sebagai seorang pendatang haram. 

Aktres itu yang kini dianggap seorang daripada bintang Latin paling berpengaruh di Hollywood, mengakui beliau dikelaskan sebagai haram ‘untuk satu tempoh pendek.’
Bintang kelahiran Mexico itu tidak mendedahkan pada usia bila beliau dianggap sebagai pendatang haram atau butiran lain, namun memberitahu sebuah majalah Sepanyol: “Saya adalah pendatang haram di Amerika.”“Ia adalah satu tempoh yang pendek, namun saya mendapat gelaran itu.” 
Ulasannya dibuat kepada majalah V dengan aktres itu berpakaian mengghairahkan pada kulit muka depan bertajuk A Woman's Weapons. 

Aktres itu yang kini diberi kerakyatan Amerika, juga berkata beliau mengalami diskriminasi perkauman ketika cuba membina kerjayanya. 

“Saya terpaksa melalui masa terburuk dari segi diskriminasi perkauman di Hollywood ketika mula berlakon,” kata Hayek. 
“Ia tidak dapat diterima di kalangan pengarah Amerika dan produser bahawa seorang wanita Mexico mendapat peranan utama.” 

Hayek, 44, dilahirkan di Vera Cruz, Mexico, anak perempuan seorang penyanyi opera dan eksekutif minyak. 

Pada usia 12 tahun beliau dihantar untuk belajar di Academy of the Sacred Heart, Grand Coteau, di Louisiana. 

Beliau kemudian menyambung pengajian di peringkat kolej di Bandar Raya Mexico, di mana beliau belajar dalam bidang Hubungan Antarabangsa sebelum melancarkan kerjaya sebagai pelakon. 

Hayek menempatkan dirinya di Hollywood dalam filem seperti Fools Rush In bersama bekas bintang Friends, Matthew Perry dan filem pontianak From Dusk to Dawn. – Agensi 

Oprah nafi lesbian




2010/12/10

OPRAH bercakap kepada media ketika melawat pusat santuari beruang koala di Pulau Hamilton, wilayah Queensland, Australia kelmarin.
OPRAH bercakap kepada media ketika melawat pusat santuari beruang koala di Pulau Hamilton, wilayah Queensland, Australia kelmarin.
Menangis dituduh ada hubungan rapat dengan seorang wanita 

LOS ANGELES: Oprah Winfrey yang berlinangan air mata menafikan beliau seorang lesbian, menyatakan khabar angin berterusan mengenai hubungan rapatnya dengan seorang rakan wanita amat menjengkelkan ‘kerana ia bermaksud seseorang fikir saya menipu.’
Hos rancangan televisyen amat berpengaruh itu bercakap mengenai hubungan selama 20 tahun dengan Gayle King dan perkongsian berterusan bersama kekasihnya Stedman Graham, dalam satu temuramah penuh emosi dengan wartawan Barbara Walters disiarkan dalam televisyen ABC semalam.“Beliau adalah ibu yang saya tidak pernah ada. Beliau adalah kakak yang mana semua orang mahu. Beliau adalah rakan yang berhak diterima semua orang. Saya tidak mengenali orang yang lebih baik daripadanya,” kata Winfrey mengenai King, sambil menahan tangisan.

“Ia menyebabkan saya menangis kerana saya memikirkan betapa banyak yang saya mungkin tidak pernah memberitahunya. Tolong ambilkan saya tisu,” beliau menambah.

King dan Winfrey, 56, bertemu ketika bekerja dengan sebuah stesen televisyen tempatan Baltimore TV pada 1980-an dan tidak dapat dipisahkan dari segi profesional mahu pun peribadi, mencetuskan spekulasi media bahawa mereka adalah pasangan lesbian.

“Saya bukan seorang lesbian. Malah bukan jenis yang memilih hubungan lesbian,” kata Winfrey kepada Walters dalam petikan temuramah dikeluarkan kelmarin. “Alasan mengapa ia menjengkelkan saya ialah kerana ia bermaksud seseorang fikir saya menipu. Itu perkara pertama. 
Perkara kedua, mengapa anda perlu menyembunyikannya? Ia bukan caranya saya menguruskan kehidupan.”

Winfrey yang mana rancangan bual bicara harian televisyennya ditonton jutaan orang di Amerika Syarikat dan 145 negara lain, berkata ahli perniagaan Stedman Graham masih kekasih dan pasangannya selepas lebih 20 tahun bersama, walaupun hakikat mereka kini jarang dilihat bersama di khalayak.

“Saya membuat usaha sendiri sekitar 2003, 2004 untuk mengelak kemunculan umum bersama Stedman,” katanya.

Namun menafikan spekulasi bahawa pasangan itu sudah berpisah, beliau memberitahu Walters beliau adalah, “cintanya, kekasihnya, lelaki pilihan, rakan kongsi, rakan hidup sepanjang hayatnya.”

Winfrey sedang melancarkan satu rangkaian televisyen kabel barunya OWN, Januari ini hasil kerjasama dengan Discovery Commu-nications. Beliau akan menamatkan rancangan bual bicaranya dengan ABC TV Mei 2011 selepas 25 tahun. – Reuters 

Bayi diculik ditemui semula di taman bunga




2010/12/10

MADINAH: Pihak berkuasa Arab Saudi menemui seorang bayi yang baru lahir ditinggalkan di sebuah taman bunga di sini, selepas bayi itu dilaporkan diculik Ahad lalu. 

Bayi lelaki bernama Anas itu dilaporkan di dalam keadaan sihat dan dibawa ke Hospital Bersalin dan Kanak-kanak Madinah.
Sumber memberitahu laman web Arab News bapa bayi itu menerima mesej pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbitnya yang memaklumkan anaknya itu berada di taman Azizia Baeejan di sini.“Seorang saudara bayi itu kemudian bergegas ke taman itu dan menemui bayi itu di situ,” kata seorang sumber. 

Polis kini sedang menyiasat penghantar SMS berkenaan dalam usahanya memburu penculik terbabit. 

Bayi itu sekarang di bawah jagaan ibunya di hospital. 

Anggota pasukan keselamatan melarang wartawan daripada memasuki hospital terbabit bagi mendapatkan kenyataan keluarga berkenaan. 
Jurucakap perkhidmatan kesihatan Abdul Razak Hafiz, mengesahkan pihak berkuasa sudah menemui bayi itu yang diculik daripada hospital berkenaan. 

Pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NSHR) Muhammad Al-Oufi berkata kawalan keselamatan yang lemah membolehkan bayi itu diculik. – Agensi 

Warga asing ditembak mati ketika cuba pecah rumah




2010/12/10

SEREMBAN: Seorang lelaki warga asing yang menyerang polis dengan sebilah parang, mati ditembak dalam satu kejadian di Taman Desa Ros, Ampangan dekat sini, hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh, berkata ketika kejadian 4 pagi tadi, lelaki berkenaan bersama dua lagi yang berjaya melarikan diri, sedang memecah masuk ke sebuah rumah.
Beliau berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis negeri dihantar ke kawasan perumahan tersebut selepas menerima maklumat awam."Dalam kejadian ini, pasukan polis telah berpecah dua yang mana pasukan yang
di belakang sebuah rumah di situ telah terserempak dengan sekumpulan tiga orang lelaki sedang memotong pagar rumah tersebut.

"Apabila menyedari kehadiran polis, mereka telah berpecah untuk melarikan diri walaupun telah diberi amaran oleh polis. Seorang daripada mereka kemudian cuba menyerang polis dengan sebilah parang," katanya.

Beliau berkata, lelaki tersebut yang memakai topeng ski dan sarung tangan juga tidak mengendahkan amaran supaya berhenti, menyebabkan polis melepaskan dua das tembakan yang mengenai kepala dan dadanya.
"Dua lagi melarikan diri ke arah semak di belakang kawasan perumahan tersebut. Selepas diperiksa, selain sebilah parang di sisi mayat lelaki yang ditembak, polis juga menemui sebilah lagi parang, satu alat pemotong dan satu pemutar skru di kawasan berhampiran," katanya.

Katanya, polis juga yakin lelaki yang ditembak mati itu adalah ketua kumpulan penjenayah warga asing yang dikenali "Kumpulan Gemuk" dan dipercayai terbabit dengan 26 kes samun bersenjata di negeri itu.

Tahun ini saja, katanya, sebanyak tujuh kes dipercayai dilakukan kumpulan tersebut di sekitar Paroi dan Rahang.

"Modus operandi kumpulan ini selalunya memecah masuk menerusi bahagian belakang rumah. Setiap kali melakukan pecah rumah, mereka selalunya membeli alat baru seperti parang, pemotong dan pemutar skru. Selepas saja digunakan, alat baru ini akan dibuang terus.

"Pihak polis telah memantau kumpulan ini yang didapati aktif sejak dua tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, polis kini mengesan tiga lagi anggota kumpulan itu termasuk seorang dipercayai bertindak sebagai pemandu kenderaan yang diguna bagi melarikan diri selepas menyamun. - BERNAMA