Search This Blog

Thursday, December 9, 2010

Kereta Aminulrasyid ditembak bertubi-tubi: Saksi





2010/12/09

SHAH ALAM: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah ditembak bertubi-tubi dari arah belakang. 

Konstabel Mohd Izham Mahayadin berkata, sebelum itu beliau bersama seorang lagi rakan setugasnya mengejar kereta yang dipandu mangsa dari Bulatan Kayangan sehingga ke Jalan Tarian, sebelum melepaskan beberapa tembakan ke arah tayar dan rim bagi menghentikan kenderaan itu yang dilihat berbahaya kepada pengguna jalan lain.
Beliau berkata, kereta itu kemudian dilihat terhuyung-hayang namun masih mampu bergerak dengan kelajuan sederhana iaitu antara 60 hingga 70 kilometer sejam."Saya telah menembak ke arah belakang kereta itu yang menyebabkan bahagian tayar kanan depan kempis...saya kemudian mengekori kereta itu dengan beranggapan kereta itu akan terbabas dan untuk menangkap pemandu itu," katanya yang mengaku menghentikan tembakan ketika kereta Aminulrasyid membelok masuk ke Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11. 

Bagaimanapun, Mohd Izham berkata beliau terkejut apabila mendengar bunyi tembakan dari arah belakang keretanya. 

"Saya terkejut kerana bunyinya kuat. Waktu itu tingkap kereta saya terbuka. Bunyi tembakan datang dari arah belakang. Saya tidak menyangka tembakan akan dilepaskan sebab kereta itu tidak akan berupaya pergi jauh dan pemandu itu tidak boleh melarikan diri lagi kerana tayar sudah pecah," katanya. 

Beliau yang bertugas di cawangan kereta peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, memberi keterangan pada perbicaraan Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lalu. 
Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Mohd Izham berkata, selepas itu beliau menoleh ke belakang dan melihat sebuah kereta peronda "Selangor 614" berada di situ, namun tidak mengetahui siapa yang melepaskan tembakan atau siapa yang berada dalam kereta tersebut. 

Katanya, akibat tembakan bertubi-tubi itu, kereta yang dipandu mangsa telah terbabas sebelum melanggar tembok sebuah rumah di kawasan tersebut. 

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar mengenai tindakan yang akan diambilnya, Mohd Izham menjawab: 

"Jika saya berada dalam kedudukan itu, saya tidak akan lagi melepaskan tembakan kerana apa yang saya lihat kereta tersebut sudah lemah dan tidak boleh bertindak agresif lagi." 

Saksi pendakwaan ke-28 itu juga mengaku tidak menerima sebarang arahan untuk melepaskan tembakan ke arah kereta yang dipandu mangsa, sebaliknya tindakan tersebut diambil atas inisiatif sendiri. 

"Tembakan dilepaskan di Bulatan Kayangan kerana dilihat posisi itu selamat dan kedudukan untuk menembak tayar adalah lebih dekat dan senang," katanya sambil menambah rakan Aminulrasyid iaitu Mohd Azamuddin Omar yang berada bersama mangsa dalam kereta itu, berjaya melarikan diri. 

Mohd Izham berkata, beliau melihat Jenain melakukan pemeriksaan badan terhadap Aminulrasyid yang ketika itu berada dalam keadaan tertiarap. 

"Kemudian Jenain dilihat menghubungi bilik gerakan Shah Alam untuk memaklumkan kejadian yang berlaku dan meminta bantuan ambulans. Sementara itu saya dan Azhar terus memasang garisan kuning untuk melarang mana-mana orang daripada memasuki tempat kejadian," katanya. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung esok. - BERNAMA 

Kilang memproses tayar terpakai terbakar


09/12/2010 6:52pm

IPOH – Sebuah kilang memproses tayar terpakai di Kawasan Perindustrian Ringan Tasek di sini, menanggung kerugian besar setelah sebahagian besar tayar di kilang berkenaan musnah dalam kebakaran tengah hari ini.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Nazri Zakaria berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kebakaran setelah menerima panggilan pada 12.42 tengah hari.
Lima jentera bomba iaitu tiga dari Ipoh, masing-masing satu dari Simpang Pulai dan Sungai Siput dengan kekuatan 28 anggota, berjaya mengawal kebakaran dan api dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4 petang.
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan bomba masih menyiasat punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, kebakaran tersebut turut memusnahkan sebahagian besar kediaman milik warga Nepal serta Bangladesh yang bekerja di kilang seluas 1.4 hektar itu. – Bernama

Pemandu lori cuba jual besi diberkas


09/12/2010 7:10pm

JOHOR BAHRU – Polis Johor telah menumpaskan percubaan oleh satu kumpulan untuk mencuri besi yang dibawa sebuah lori ketika ia sedang dalam perjalanan dari Kajang ke Pekan Nanas, Pontian.
Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd Shariff berkata, kejadian yang berlaku dua hari lepas itu melibatkan seorang pemandu lori berusia 31 tahun.
"Muatan lori itu dianggarkan bernilai RM250,000 dan berdasarkan kepada pengesanan yang dibuat, polis mendapati kenderaan itu telah bergerak ke Pontian, Senai dan Kulaijaya,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori itu telah membuat laporan di Balai Polis Kulaijaya kononnya dia tersilap membuat penghantaran muatan besi itu tetapi siasatan mendapati pemandu itu telah membuat rundingan dengan dua lelaki untuk menjual besi itu di Kota Tinggi.
Pemandu berkenaan akan diserahkan kepada polis Kajang untuk siasatan lanjut, manakala kedua-dua lelaki itu pula sedang dikesan, kata Mokhtar. – Bernama

Pelajar IKM mati lemas semasa berkelah


09/12/2010 7:12pm

PADANG BESAR – Seorang pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) mati lemas semasa berkelah di tasik Timah Tasoh, dekat sini semalam.
Mohd Azfar Md Ghani, 18, pelajar IKM Alor Setar, Kedah, lemas semasa cuba berenang ke arah abangnya, Mohd Afiq, 19, yang ketika itu mendayung bot bersama-sama empat rakannya di bahagian tengah tasik itu kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Mayat Mohd Azfar ditemui pada pukul 11.25 pagi ini oleh pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak jauh dari tempat dia dilaporkan tenggelam.
Mohd Afiq berkata dia hanya mampu melihat adiknya yang bakal meraikan hari lahir ke-18 Sabtu ini, terkapai-kapai sebelum tenggelam.
"Saya menjerit meminta dia supaya jangan datang ke arah bot kerana air dalam dan angin kuat menyebabkan bot yang kami naiki semakin bergerak jauh dari adik saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini. – Bernama

Wanita Zambia cuba bawak masuk syabu ditahan

GEORGE TOWN: Seorang wanita rakyat Zambia, dipercayai agen sindiket dadah antarabangsa, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini semalam.
Pengarah Kastam Pulau Pinang Datuk Matrang Suhaili berkata pihaknya turut
merampas dua kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM500,000 yang dibawa
wanita terbabit.

Dadah itu dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini untuk diedar di sekitar Pulau Pinang, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Beliau berkata ketika ditahan dalam operasi mengejut yang dilakukan pada jam 7.30 petang di lapangan terbang itu, wanita berusia dalam lingukungan 30-an itu membawa tiga bagasi.

Hasil pemeriksaan mendapati satu daripada bagasi terbabit mempunyai dua ruang tersembunyi.

"Kami menemui dua bungkusan plastik mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu atau lebih dikenali sebagai 'ice' dalam ruang tersembunyi itu," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita yang bekerja sebagai pendandan rambut di negara asalnya itu menaiki pesawat dari Johannesburg Selasa lalu dan tiba di Hong Kong pada hari yang sama sebelum menaiki pesawat ke Malaysia.

Matrang berkata wanita itu direman selama 10 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. - Bernama

Selangor paling banyak kes rogol - Hishammuddin


09/12/2010 2:53pm

KUALA LUMPUR 9 Dis.— Selangor mencatat jumlah kes jenayah rogol tertinggi dari Januari hingga Ogos tahun ini dengan 456 kes daripada keseluruhan 2,426 kes yang dilaporkan di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bilangan terendah pula dicatatkan di Perlis iaitu 18 kes.
"Kes jenayah seksual seperti rogol, sumbang mahram dan mencabul kehormatan adalah satu jenayah yang tidak berperikemanusiaan.
"Pihak polis memandang serius kes-kes seumpama ini kerana majoriti mangsa yang terlibat adalah dari kalangan kanak-kanak yang masih mentah dan lemah,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) di Dewan Rakyat hari ini. — Bernama

Pelajar IKM mati lemas di Tasik Timah Tasoh


09/12/2010 4:35pm

PADANG BESAR 9 Dis. – Seorang pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) di Alor Setar, Kedah mati lemas ketika mandi bersama dua saudara dan lima rakan di Tasik Timah Tasoh di sini, petang semalam.
Mohd. Azfar Md. Ghani, 17, lemas ketika cuba berenang ke arah abangnya, Mohd. Afiq, 19, yang ketika itu sedang mendayung sebuah bot bersama-sama empat rakannya di bahagian tengah tasik tersebut, kira-kira pukul 6.30 petang.
Mayat Mohd. Azfar yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-18 Sabtu ini ditemui pukul 11.25 pagi ini tidak jauh daripada tempat dia tenggelam pasukan penyelam Bomba dan Penyelamat. – Utusan.

Polis bongkar kegiatan seludup simen kampit


09/12/2010 4:24pm

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Tindakan sembilan lelaki memindahkan simen kampit dari sebuah rumah ke atas sebuah treler dalam keadaan tergesa-gesa di Jalan Merdeka, Ampang di sini membawa kepada pembongkaran sindiket penyeludupan bahan binaan itu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kegiatan penyeludupan itu dihidu sepasukan polis ketika membuat rondaan keselamatan di kawasan berkenaan petang kelmarin.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui 1,800 kampit simen yang dipercayai cuba diseludup manakala pembekalnya gagal dikesan sehingga kini,” katanya. – Utusan.

Twitter Samy Vellu palsu

KUALA LUMPUR: Tiga hari selepas berundur dan menyerahkan jawatan yang dipegangnya selama 31 tahun, bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu mendapati beliau diserang di alam siber disebabkan seorang penyamar twitter.
Samy Vellu berkata beliau menerima panggilan daripada rakan-rakan dan anggota parti bertanyakan mengenai satu akaun twitter di bawah nama 'ybsamyvellu' dan menyamar sebagai beliau.
"Individu yang menyamar sebagai saya menghantar mesej yang bersifat perkauman dan komen-komen yang menghina. Banyak orang menelefon dan bertanya jika saya ada satu akaun twitter. Saya tidak ada kena mengena dengan twitter ini," katanya di sini, hari ini.

Samy Vellu berkata beliau akan membuat satu laporan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung perkara itu.


Bekas Menteri Kerja Raya itu, yang tewas dalam pilihan raya umum Mac 2008 itu berharap SKMM akan mendedahkan identiti individu di sebalik usaha untuk memburuk-burukkan namanya dan membawa mereka ke mahkamah.

Satu tinjauan pada akaun twitter 'ybsamyvellu' menunjukkan bahawa ia mempunyai 559 pengikut manakala komen-komennya kebanyakannya menentang kerajaan Barisan Nasional.

Samy Vellu dilantik sebagai pemangku presiden parti itu berikutan kematian Tan Sri V Manickavasagam pada 13 September 1979, dan meletakkan jawatan Presiden parti itu, Isnin lalu.

Timbalannya Datuk G Palanivel mengambil alih jawatan itu. - Bernama

Bekas jurugambar akhbar dipenjara 9 bulan


09/12/2010 5:27pm

KUALA LUMPUR: Seorang bekas jurugambar sebuah akhbar tempatan dihukum penjara sembilan bulan dan denda RM6,000 setelah mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan mencabul tiga remaja di sini, Jun lalu.
Majistret Nor Azah Kasran menjatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Chen Yu, 53, dan memerintahkan tertuduh menjalani ketiga-tiga hukuman secara berasingan mulai hari ini.
Mengikut pertuduhan, Chen, yang kini bekerja sebagai pengendali laman web didakwa telah mencabul ketiga-tiga remaja lelaki berusia antara 14 tahun dan 15 tahun.
Kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di ruang tamu di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Taman United, Off Jalan Klang Lama, Brickfields di sini, antara 12 tengah malam sehingga 3 pagi, pada Jun lepas.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad memohon hukuman berat terhadap tertuduh.
"Perbuatan tertuduh memberi kesan trauma kepada remaja terbabit sehingga mereka dewasa dan kepercayaan masyarakat terhadap rumah amal itu akan terjejas, sekiranya tertuduh tidak dikenakan hukuman yang berat dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Chen, yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon supaya hukuman yang ringan dikenakan terhadapnya kerana dia mengalami masalah sakit jiwa dan berjumpa dengan pakar di Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan bagi penyakit yang dihidapinya. - Bernama

Rasuah: Pemandu dipenjara, denda RM25,000


09/12/2010 5:31pm

KUANTAN — Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 terhadap seorang pemandu lori yang didapati bersalah kerana cuba merasuah seorang penolong pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Hakim Nurdadidah Ahmad ketika menjatuhkan hukuman itu berkata K.Murugan, 38, didapati bersalah kerana cuba memberi suapan berjumlah RM5,000 kepada penolong pegawai KPDNKK pada jam 4.30 pagi dalam satu operasi membanteras penjualan diesel subsidi di sebuah stor di Jalan Feri Lama, Endau, Rompin pada 10 November lepas.
Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Shafinaz Shahbudin.
Murugan didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. — Bernama

Kampung di Tawau dilanda banjir lagi

KEADAAN Kampung Pasir Putih dekat Tawau yang sekali lagi dilanda banjir awal pagi tadi. Penduduk kampung terbabit merayu pihak berkuasa mengambil langkah bagi mengelak banjir daripada terus berulang. - Foto BERNAMA



2010/12/09

TAWAU: Setiap kali hujan lebat, Kampung Pasir Putih di sini dilanda banjir, dan yang terbaru berlaku awal hari ini. 

Hujan lebat semalam menyebabkan kampung itu dinaiki air sehingga 1.5 meter pada 3 pagi tadi.
Seorang penduduk, Asis Badde, 55, merayu agar kerajaan segera mengambil langkah menyelesaikan masalah yang sering berlaku itu."Mujurlah rumah saya di kawasan tinggi, jika tidak barang-barang kami akan musnah," katanya. 

Tinjauan mendapati beberapa penduduk sibuk membersihkan lumpur di rumah masing-masing. - BERNAMA

Tiga lelaki maut kereta terhumban ke gaung




2010/12/09

BATU PAHAT: Tiga lelaki maut selepas Toyota Vios yang mereka naiki terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di Kilometer 124.6 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Pagoh, dekat sini, 10.30 pagi tadi. 

Mangsa terbunuh adalah Sulaiman Besah, 46, beralamat di Bukit Antarabangsa, Ampang; Mohd Ranoorsyam Ab Razak, 27, berasal dari Tumpat, Kelantan dan seorang lagi mangsa dikenali sebagai Md Fu'at Ahmad,53, dari Petaling Jaya, Selangor.

4 maut helikopter polis Mexico terhempas




2010/12/09

VERACRUZ, Mexico: Sebuah helikopter polis persekutuan Mexico yang menghantar dua banduan ke penjara di Veracruz terhempas, membunuh empat orang dan mencederakan dua yang lain. 

Pejabat Peguam Negara Mexico, dalam satu kenyataan, berkata tiga pegawai polis dan juruterbang pesawat itu terbunuh dalam nahas selepas menghantar banduan terbabit ke penjara.
Dua lagi penumpang helikopter itu, seorang pegawai penyiasat unit jenayah terancang dan seorang pegawai polis, dikejarkan ke hospital.Nahas berlaku pada jam 5 petang di kawasan bergunung ganang. 

Pegawai penyiasat percaya angin kencang dan jarak penglihatan yang terhad menyumbang kepada nahas itu. - AP 

Leher dikelar dengan pisau

Maut langgar tiang di putrajaya

3 warga Myanmar terbunuh dalam pergaduhan

Kemalangan maut dilebuhraya dekat Rembau

Akibat mengantuk

DENGKIL- Seorang pelajar kolej swasta maut dalam satu kemalangan awal pagi semalam apabila kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu.

Kemalangan berlaku di susur keluar Dengkil dari arah Cyberjaya mengakibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu melekat di tiang lampu.

Mangsa dipercayai mengantuk menyebabkan kereta yang dipandu terbabas hingga melanggar tiang yang berada di tepi jalan.

Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Inspektor Azrul Nazarudin berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira jam 7.20 pagi.

“Mangsa, K.Ravi, 21 seorang pelajar kolej yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Dengkil meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala,”katanya.

Mangsa dikatakan baru pulang dari kerja gagal mengawal kenderaan lalu kereta kancil yang dipandu merempuh tiang lampu.

Mangsa yang tinggal di Kampung Ampar Tenang Dengkil dikatakan bekerja sambilan sebagai juru ukir di Puchong.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

26 terkorban letupan lombong arang batu




BEIJING - Sekurang-kurangnya 26 pekerja terbunuh selepas satu letupan berlaku di dalam lombong arang batu di bahagian tengah China, kelmarin, walaupun arahan untuk menghentikan operasi pengeluaran sudah dikeluarkan, menurut pegawai negara itu, semalam.

Pegawai Pusat Pentadbiran Keselamatan Arang batu, Li berkata, angka kematian yang dicatatkan meningkat sebanyak dua kali ganda selepas penemuan 13 mayat lagi semasa operasi menyelamat yang dilakukan di lombong arang batu tersebut. 

Bagaimanapun, laporan awal menyatakan terdapat hanya 33 pelombong yang bekerja di dalam lombong milik Syarikat Perindustrian Arang Batu Juyuan semasa kejadian itu. 

Agensi Berita Xinhua melaporkan bahawa polis juga sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. 

Dalam kejadian berasingan, seramai empat pelombong dilaporkan maut selepas sebuah lombong arang batu yang sedang menjalankan pengubahsuaian yang terletak di wilayah Liaoning runtuh secara tiba-tiba

Cucu pemimpin junta desak beli MU





2010/12/09

Than Shwe tak setuju, takut rakyat marah 

BANGKOK: Cucu kepada pemimpin junta Myanmar Jeneral Than Shwe, mahu ketua rejim tentera itu membuat bidaan AS$1 bilion (RM3.14 bilion) bagi membeli kelab bola sepak gergasi Britain, Manchester United (MU), kata satu kabel diplomat Amerika yang didedahkan laman web pembocor maklumat, WikiLeaks.
“Than Shwe yang juga peminat Red Devils yang tidak setuju sebaliknya menubuhkan liga bola sepak kebangsaan kerana takutkan langkah membeli kelab Inggeris itu akan menimbulkan kemarahan rakyat,” lapor satu kabel dari Yangon ke Washington bertarikh Jun 2009.“Satu sumber dipercayai menyatakan, cucu Than Shwe mahu pemimpin itu menawarkan AS$1 bilion untuk membeli MU,” kata kabel yang didedahkan WikiLeaks. 

“Than Shwe berpendapat, perbelanjaan sebesar itu boleh mendapat reaksi buruk, berikutan itu beliau memilih untuk menubuhkan liga bola sepak Burma sendiri,” kata WikiLeaks yang menggunakan nama lama Myanmar. 

Laporan menyatakan pada Januari 2009, rejim Than Shwe mengarahkan kroni dan ahli perniagaan negara itu menjadi pemilik pasukan profesional bola sepak tempatan dengan beberapa insentif termasuk pemberian konsesi lombong permata dan jed. 

“Tidak dapat dipastikan sama ada wujud motif politik di belakang Liga Bola Sepak Kebangsaan Myanmar (MNL) walaupun ramai ahli perniagaan Burma membuat spekulasi bahawa rejim itu berbuat demikian untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah politik dan ekonomi,” kata kabel itu. 
Cucu Than Shwe sendiri adalah pemain bola sepak dengan pasukan Delta United kepunyaan ahli perniagaan Myanmar, Zaw Zaw, yang termasuk dalam senarai dikenakan sekatan oleh Amerika. 

Zaw Zaw yang juga pengerusi Persekutuan Bola Sepak Myanmar disifatkan sebagai ‘satu daripada kroni kelas pertengahan yang berusaha mendapatkan kelebihan hubungan dengan kerajaan bertujuan meluaskan perniagaannya’. – AFP 

Ratusan ikan Tasik Kenyir mati akibat suhu tinggi




2010/12/09

KUALA BERANG: Selepas gempar dengan berita berhubung air Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli, Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) mendedahkan sejak lebih sebulan lalu, sekurang-kurangnya ratusan ikan di tasik berkenaan mati akibat peningkatan suhu air tasik berkenaan. 

Pengarah AKUATROP Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Faizah Shahrom, berkata lonjakan suhu air di tasik itu yang sangat jarang berlaku selain di tasik beberapa negara seperti Afrika, Amerika Selatan dan Rusia, dipercayai membunuh ratusan spesies ikan di situ.
Beliau berkata, peningkatan kadar suhu air Tasik Kenyir yang tidak seimbang menyebabkan keadaan tidak selesa untuk ikan hidup."Kita mendapati suhu air di beberapa bahagian tasik ini tidak berubah sepanjang hari. Contohnya, jika suhunya setinggi 31 darjah selsius pada jam 6 pagi, suhu sama dicatatkan pada jam 10 pagi. 

"Ini menyebabkan ikan tidak selesa hidup dan akhirnya mati kerana kadar suhu air yang tinggi, tetapi ia tidak memberi kesan kepada manusia," katanya ketika ditemui selepas pelancaran pertandingan memancing Kenyir Cup di Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini, semalam. 

Pelancaran pertandingan tangkap dan lepas yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dilakukan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Awang dan menerima penyertaan kira-kira 80 peserta dari China dan Hong Kong. 

Dr Faizah berkata, disebabkan peningkatan suhu air di tasik berkenaan termasuk di Sungai Comor, pengusaha ikan sangkar disaran memindahkan lokasi ternakan ke kawasan suhu airnya lebih sejuk bagi mengelak kejadian ikan mati.
Sementara itu, beliau berkata, kajian dilakukan AKUATROP di Tasik Kenyir menjurus kepada kualiti air tasik berkenaan dengan mengambil sampel air daripada Sungai Comor dan mendapati banyak ikan di situ mati kerana suhu air panas sehingga mencecah 31 darjah Selsius. 

Dua wanita bergaduh depan IPD didenda RM150




2010/12/09

KUANTAN: Mahkamah Majistret di sini, semalam, menjatuhkan hukuman denda RM150, masing-masing kepada dua wanita yang mengaku bersalah bergaduh di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini sehingga menarik perhatian orang ramai dan menyebabkan kesesakan di Jalan Mahkota pada 30 November lalu. 

Tertuduh, Nurul Hidayah Mohamad Yadi, 24, dari Jengka 14, Bandar Jengka dan Nor Siti Idayu Nasaruddin, 18, dari Kampung Genting Penjam, Kuala Lipis membuat pengakuan itu di depan Majistret Adibah Abdul Kadir selepas memahami pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Adibah berkata, kedua-dua tertuduh juga boleh dipenjara dua hari jika gagal membayar denda yang dikenakan.Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana mengganggu keamanan dengan bergaduh di tempat awam iaitu di tepi jalan di depan IPD, Jalan Mahkota, di sini, kira-kira jam 2.45 petang, 30 November lalu dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000. 

Kedua-dua wanita berkenaan bagaimanapun membayar denda itu. 

Lelaki berburu maut ditembak adik ipar




2010/12/09

KENINGAU: Seorang lelaki tempatan maut terkena tembakan adik iparnya sendiri ketika memburu di kawasan hutan di Nabawan, dekat sini, jam 4 petang, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan (DSP) Zahari Mohamed, berkata mangsa dikenali Jainol Wot 45, cedera parah dihantar ke Hospital Keningau dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.20 malam.
Katanya, hasil bedah siasat pihak hospital mendapati ada lima kesan tembakan pada bahagian paha kanan, paha kiri, kemaluan dan perut mangsa.Beliau berkata, ketika kejadian mangsa keluar memburu bersama seorang lagi adik iparnya dan pada masa sama sepupunya dan suspek turut memburu di hutan sama. 

“Suspek dipercayai melepaskan satu das tembakan kerana menyangka abang iparnya seekor babi hutan menyebabkan mangsa cedera parah,” katanya di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daerah, semalam. 

Zahari berkata, siasatan turut mendapati suspek menggunakan senjata api buatan sendiri dikenali ‘bakakuk’. 

Katanya, polis menahan suspek bersama dua rakannya berusia 25 dan 27 tahun untuk siasatan lanjut.