Search This Blog

Wednesday, December 8, 2010

Polis kenal pasti suspek kes tembak di Batu Gajah





2010/12/08

IPOH: Polis sudah mengenal pasti salah seorang daripada dua suspek yang menembak tiga lelaki di Taman Sri Wangsa, Batu Gajah, kelmarin dan dia dijangka ditahan tidak lama lagi. 

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Najib Mohamad, berkata polis juga mendapat maklumat bahawa motif kejadian itu adalah sebagai membalas dendam.
Dalam kejadian jam 11.45 malam kelmarin, dua daripada tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta cedera ditembak oleh seorang lelaki bersenjatakan pistol.Sebelum kejadian itu, dua kumpulan yang dianggotai suspek dan mangsa dilaporkan bergaduh. 

Mangsa yang cedera ialah pemandu kereta berkenaan K Raja, 31, dari Taman Sri Wangsa, Batu Gajah; M Paramsivan, 24, dari Taman Desa Ria, Petaling Jaya, Selangor sementara seorang lagi yang berumur lingkungan 20-an yang duduk di bahagian tempat duduk belakang tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Ia berlaku semasa kereta yang dinaiki tiga lelaki berkenaan dihampiri oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal yang salah seorang daripadanya telah melepaskan 11 das tembakan ke arah mereka yang berada di dalam kereta itu di Taman Sri Wangsa. 

Najib berkata, Raja yang bekerja sebagai pengimpal besi mengalami kecederaan di bahu kanan manakala Paramsivan yang bekerja sebagai pemandu lori cedera di paha kiri. 
"Kedua-dua mangsa masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan keadaan mereka adalah stabil," katanya sambil menambah seorang daripada mangsa mempunyai rekod jenayah lampau. - BERNAMA 

3 sekawan kena sembelih





GEORGE TOWN – Entah apa motif sebenar tragedi tiga sekawan dibunuh kejam di sebuah rumah sewa di di Menara 1C Lorong Semarak Api, Ayer Itam di sini, semalam. 

Mayat mereka yang ditemui orang ramai dalam keadaan yang sangat mengerikan dengan kesan kelar, disembelih dan ditikam. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, tiga lelaki warga Myanmar itu dijumpai mati di rumah sewa, dipercayai berlaku pergaduhan antara ketiga-tiga mangsa dan suspek. 

“Ditikam, disembelih dan dikelar dalam kejadian kira-kira jam 9.25 pagi. Mangsa dikenali sebagai Tin Maung Lwin, 44; Htoo Kyan, 31 dan Naga, 40an, ditemui mati di dua lokasi berasingan iaitu dua di dapur dan seorang di bilik tidur. 

“Kesemua mangsa dipercayai terlibat dalam pergaduhan bersama seorang rakan senegara yang turut menghuni rumah itu sebelum dibunuh dengan kejam. Kita sudah menahan rakan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya kepada media di tempat kejadian, semalam. 
Menurutnya, mereka bekerja di kawasan berhampiran manakala seorang daripadanya ialah pekerja penyelenggaraan di perumahan itu.

“Polis menerima laporan daripada orang awam selepas setengah jam kejadian berlaku. Hasil siasatan di dalam rumah itu mendapati mayat ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan ngeri dan banyak kecederaan di bahagian badan.

“Polis turut menjumpai sebilah pisau potong sayur dan pisau pemotong daging di atas lantai berhampiran mayat-mayat yang mempunyai kesan darah. Salah seorang daripada mangsa adalah penghidap asma,” katanya.

Kong Meng berkata, polis sedang menyiasat punca kejadian dan kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181822 atau balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Bhupinder Singh yang ditemui di tempat kejadian berkata, ketiga-tiga mangsa dipercayai mati akibat dikelar dan ditikam kerana mempunyai banyak kesan kecederaan di tubuh mereka.

Semua mayat dihantar ke HPP untuk bedah siasat.

Bunuh diri hadapan anak





SEREMBAN – Seorang wanita berusia 37 tahun bertindak nekad membunuh diri di hadapan anak lelakinya yang berusia 10 tahun, di rumah pangsa Taman Tun Dr Ismail, dekat sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 3.10 petang itu, wanita berkenaan berpaut pada tali ampaian di tingkat 13 rumah pangsa itu. 

Bagaimanapun, usaha orang ramai yang menyedari kejadian itu untuk memujuk wanita itu tidak berhasil apabila mangsa bertindak melepaskan tali tersebut lalu terjatuh. 

Saksi kejadian, Mohd Asri Ahmad, 35, yang tinggal di tingkat 11 bangunan itu berkata, dia sedang menonton televisyen bersama anaknya ketika kejadian berlaku. 

“Saya mendengar bunyi bising dari luar rumah seperti ada orang bergaduh dan saya terus keluar dan melihat tiada apa perkara pelik berlaku. 

“Saya terus ke balkoni dan melihat ke bawah tiada apa yang berlaku. 

“Apabila saya mendongak ke atas, saya melihat seorang wanita sedang berpaut pada tali ampaian di tingkat 13,” katanya kepada Sinar Harian, di lokasi kejadian semalam. 

Mohd Asri berkata, dia kemudiannya terus berlari ke tingkat 13 dan melihat dua orang awam sedang memujuk wanita itu supaya tidak melepaskan genggaman tali itu. 

“Anak mangsa yang berumur 10 tahun yang turut berada di tingkat 13 juga cuba memujuk ibunya sambil menangis dan meminta agar tidak melepaskan tali tersebut. 

“Namun, wanita tersebut terus melepaskan genggaman tali itu dan terus jatuh ke bawah,” katanya. 

Sementara itu jurucakap polis berkata, mangsa tinggal di Seremban 2, dekat sini dan sengaja datang ke rumah pangsa itu dengan tujuan untuk bunuh diri. 

“Mangsa yang berpakaian baju-T serta berseluar pendek datang ke rumah pangsa ini dari Seremban 2 dengan menunggang motosikal bersama anaknya berusia 10 tahun. 

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan mati serta-merta di tempat kejadian dan polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut," katanya. 

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tunku Ja'afar (HTJ) di sini untuk bedah siasat.

Buruh maut ditetak dengan parang




SHAH ALAM – Seorang buruh maut setelah ditetak bertubi-tubi di seluruh badan oleh empat lelaki bersenjatakan parang, di luar rumahnya di Kampung Melayu Subang, kelmarin. 

Sebelum kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, mangsa yang hanya dikenali Shamsul berusia 30-an, warga Indomesia, sedang bersembang dengan dua rakannya di hadapan rumah itu. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, empat lelaki, yang juga warga Indonesia, terus menyerang dan menetaknya. 

“Tangan kanan mangsa hampir putus. Dia juga cedera di seluruh badan, muka dan leher. 

“Mangsa yang tinggal di premis itu bersama ibu dan isterinya sejak 10 tahun lalu, mati di tempat kejadian,” katanya, semalam. 

Beliau berkata, empat lelaki itu melarikan diri, manakala dua rakan mangsa tidak dicederakan. 

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat. 

Arjunaidi berkata, polis sedang memburu empat penjenayah itu dan mereka mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi talian 03-7956 2222 bagi membantu siasatan. 

Tiga suspek sindiket culik direman seminggu




SHAH ALAM – Tiga lelaki diperca:yai anggota sindiket culik yang mempunyai rangkaian di seluruh negara yang ditahan kerana menculik dan mengurung seorang pelajar kolej swasta selama empat hari dan meminta tebusan RM30,000 baru-baru ini, direman seminggu untuk siasatan. 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, maklumat daripada tiga suspek itu penting bagi membantu polis menjejaki dalang dan baki sindiket. 

“Siasatan awal menunjukkan sindiket culik yang dianggotai tiga suspek itu sudah bergiat lama dan mempunyai rangkaian di seluruh negara,” katanya, semalam. 

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat terperinci berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961. 

Katanya, setakat ini, polis berpuas hati dengan kerjasama diberikan tiga suspek terbabit. 

“Reman semua suspek akan tamat Jumaat ini. Kita berharap dapat petunjuk baru, sekali gus, menumpaskan sindiket culik ini dalam tempoh terdekat,” katanya. 

Dalam kejadian minggu lalu, tiga suspek lelaki berusia 19 hingga 22 tahun diberkas, selepas polis mengekori mereka dari Bukit Bintang sehingga ke Rawang, Selangor. 

Sebelum itu, ketiga-tiga suspek membebaskan mangsa iaitu pelajar kolej swasta di kawasan Bukit Bintang selepas menerima tebusan RM30,000. 

Terdahulu, mangsa berusia 22 tahun itu diculik dua lelaki menaiki kereta, ketika menunggu rakannya di hadapan rumah di Selayang Baru kira-kira jam 5.45 pagi, Rabu lalu. 

Mangsa dikurung selama empat hari di kawasan berhampiran tempatnya diculik, sebelum suspek menghubungi bapa mangsa meminta tebusan RM30,000.

Dua rumah di Kampung Gum-Gum musnah akibat arus deras banjir


SANDAKAN -- Dua rumah di tebing sungai Gum-Gum musnah dihanyutkan arus deras akibat banjir di Kampung Gum-Gum dekat sini semalam.

Tiada insiden tidak diingini berlaku kerana dua keluarga yang tinggal di rumah tersebut telah pun meninggalkan rumah mereka selepas menyedari struktur rumah mereka menjadi tidak kukuh.

Salah seorang pemilik rumah itu, Hassan Selamat, 64, yang tinggal seorang diri di rumahnya, berkata dia bersyukur kerana sempat membawa keluar semua barangan dari rumah itu yang didudukinya sejak 20 tahun lepas.

Akibat kejadian itu, katanya dia mengalami kerugian kira-kira RM50,000. Sudin Ugara, 70, pemilik sebuah lagi rumah yang musnah, berkata hujan lebat pada malam sebelum itu menyebabkan air sungai Gum-Gum naik secara mendadak dan menyebabkan banjir.

Katanya mereka sekeluarga sedih kerana kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menumpang tinggal di rumah saudara mereka di kampung itu namun dia bersyukur semua mereka terselamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Gum-Gum Datuk Zakaria Edris yang ditemui ketika Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Gum-Gum dekat sini hari ini berkata dua keluarga terbabit akan diberi bantuan segera termasuk menduduki rumah di Projek Perumahan Rakyat Gum-Gum.

Katanya perkara itu akan dirujuk kepada Majlis Perbandaran Sandakan bagi membolehkan urusan perpindahan ke taman perumahan itu dapat dilakukan dengan segera. -- BERNAMA

Wanita maut rempuh treler berhenti




2010/12/08

KANGAR: Seorang wanita maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah treler yang berhenti di tepi jalan di KM14 Jalan Kangar-Alor Setar, di sini hari ini.

Che Nab Hassan, 51, dari kampung Permatang Pianggu, Sanglang cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.
Mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat.Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata nahas berlaku pada jam 7 pagi ketika Che Nab dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah restoran di Kangar.

"Polis telah mengambil keterangan daripada pemandu lori yang berusia 51 tahun itu bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini. - BERNAMA 

Doktor klinik swasta mati dibunuh

TAWAU: Seorang doktor sebuah klinik swasta di sini ditemui mati dibunuh di kediamannya di Taman Bunga Tulip di sini, hari ini.
Mayat Dr Lim Tow Kiat, 49, ditemui dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah oleh seorang pekerja kliniknya yang ke rumah doktor itu kira-kira pukul 9 pagi.
"Terdapat kesan luka di bahagian belakang kepala dipercayai akibat pukulan senjata tumpul," kata Ketua Polis Daerah Tawau ACP Ibrahim Chin.

Beliau berkata berdasarkan keadaan mayat, polis percaya doktor itu dibunuh

kira-kira lapan jam sebelum mayatnya ditemui.
"Tidak ada harta benda mangsa yang hilang sama ada wang ringgit atau barang
bernilai lain. Satakat ini, kami percaya kejadian itu berpunca daripada
perselisihan faham dengan orang yang dia kenal memandangkan tiada tanda rumah
itu dipecah masuk," katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu
supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Seorang maut, empat cedera 4WD terbabas


08/12/2010 4:11pm

REMBAU– Seorang terbunuh manakala empat lagi cedera setelah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mereka naiki terbabas dan terbalik ke dalam longkang di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi dekat sini malam tadi.
Polis berkata, penumpang Perodua Kembara itu Mahawa Ab Rani, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Mereka yang cedera dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.
Mereka dikatakan dalam perjalanan ke utara apabila kemalangan itu berlaku kira-kira 9.20 malam apabila kereta mereka dipercayai bergesel dengan sebuah kereta Proton Saga BLM menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas.
Kereta Proton itu melanggar penghadang lebuh raya sebelum sebuah kereta Honda City merempuhnya dari belakang.
Pemandu dan penumpang kedua-dua buah kereta itu terselamat. – Bernama

Hubungan sulit punca majikan dibunuh


08/12/2010 4:14pm

PASIR MAS – Kes membabitkan pembantu rumah Indonesia yang disyaki membunuh majikannya, Yeap Siok Pen, 60, di Kampung Lubuk Tapah dekat sini semalam, dipercayai berpunca daripada hubungan sulit antara pembantu rumah itu dan suami mangsa, kata polis hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC, Mazlan Lazim berkata, siasatan awal mendapati pembantu rumah berumur 21 tahun itu mempunyai hubungan sulit dengan suami mangsa yang berumur 64 tahun, dan ini menyebabkan berlaku pergaduhan antara mangsa dan pembantu rumah itu.
"Mangsa juga dikatakan cemburu dengan layanan suaminya terhadap suspek yang dikatakan malas bekerja tetapi suami mangsa tetap memberi layanan yang baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mazlan berkata, ketika pergaduhan itu, suspek yang tidak tahan dengan sikap Siok Pen, mengambil sebilah pisau lalu menikamnya bertubi-tubi di bahagian muka.
Suspek yang berjaya ditahan oleh polis semalam, dikenakan reman selama tujuh hari bermula hari ini. – Bernama

Mercun seludup RM50,000 dirampas


08/12/2010 5:06pm

PENGKALAN KUBOR – Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubor merampas 80 kotak mercun pelbagai jenis bernilai RM50,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini di Batu 30, Jalan Machang-Kuala Krai-Machang, awal hari ini.
Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, rampasan itu dibuat pada pukul 3 pagi hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori yang dinaiki dua individu.
"Anggota kami mengekori lori terbabit tetapi ia disedari pemandu dan kelindan lori itu menyebabkan mereka segera memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua mercun itu dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina akan datang.
Mazlan berkata, kesemua barang rampasan diserah kepada Kastam Bahagian Penguatkuasaan Pengkalan Kubor untuk siasatan dan tindakan lanjut. – Bernama

Gajah liar: Jauhi Hutan Bring di Kelantan


08/12/2010 6:35pm

KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menasihatkan orang ramai supaya menjauhi Hutan Bring, Gua Musang berikutan insiden kematian seorang lelaki akibat dipijak sekumpulan gajah semalam.
Pengarahnya, Pazil Abdul Patah berkata, pihaknya telah menempatkan beberapa renjer jabatan itu untuk membuat pemantauan di kawasan terbabit bagi mengesan kumpulan haiwan liar berkenaan.
"Kita yakin, gajah yang dipercayai menyerang mangsa masih berlegar di kawasan terbabit bersama beberapa ekor lain dalam kumpulannya kerana ia merupakan kawasan laluan haiwan itu,” katanya di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan susulan jabatan itu selepas seorang lelaki Muhamad Adnan Iberahim, 26, pencari buah keranji, dari Kampung Bertam Lama, dijumpai mati dalam keadaan ngeri selepas dikatakan dipijak gajah liar di hutan itu semalam.
Sehubungan itu, Pasil meminta orang ramai tidak keluar sama ada memburu atau berjalan bersendirian bagi mengelakkan kejadian sama. – Bernama

Suami isteri bercucu empat positif dadah


08/12/2010 6:36pm

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita berusia 44 tahun yang mempunyai empat cucu merupakan antara 154 orang yang ditahan kerana positif dadah dalam Ops Tapis Bersepadu di sini semalam.
Wanita itu dan suaminya yang berumur 37 tahun, adalah penagih pil khayal, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Supt Roslan Abdul Wahid.
Yang turut dicekup dalam operasi di sekitar pusat bandar ini dan di daerah Marang itu ialah seorang penjawat awam dan dua pelajar tingkatan lima yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Roslan berkata, mereka yang ditahan berumur antara 17 dan 47 tahun kerana kesalahan penyalahgunaan pelbagai jenis dadah.
Katanya, 12 biji pil khayal dan dadah jenis heroin seberat satu gram turut ditemui dalam operasi berkenaan. – Bernama

Pelajar SPM gempar lihat tukang kebun mati


08/12/2010 12:53pm

KUALA LUMPUR 8 Dis. — Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist Sentul di sini yang sedang bersiap-sedia untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) awal pagi tadi gempar apabila tukang kebun sekolah berkenaan mati selepas terjatuh di atas lantai simen.
Difahamkan, ekoran kejadian kira-kira 8 pagi itu, para pelajar diberikan masa untuk menenangkan diri mereka sebelum memulakan kertas peperiksaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata tukang kebun itu K. Thagaraj, 58, dilaporkan terjatuh ketika berjalan berhampiran bangunan kelas menyebabkan kepalanya terhantuk di lantai dan mati di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita. — Bernama

Google bertindak banteras lanun siber

KHIDMAT jentera cari yang ditawarkan Google amat berkesan sebagai alat membantu kajian di pejabat dan di rumah.
Namun, kemudahan yang ditawarkannya itu juga menjadikannya wadah yang amat sesuai kepada 'si lanun siber' memperluas kawasan lanunannya.Sebab itulah gergasi IT, Google, mengumumkan baru-baru ini ia akan mengubah khidmat enjin carinya itu dalam usaha membanteras kegiatan lanun dalam talian.Langkah tersebut bukanlah sesuatu yang diambil secara sukarela, menurut pakar industri. Ia diambil menyusuli gesaan industri muzik.Perubahan yang dimaksudkan itu merangkumi empat perubahan seperti menghapuskan kekata yang sering dikaitkan dengan kegiatan lanun daripada muncul dalam ciri auto-lengkap; sesuatu ciri yang melengkapi ruang cari setelah anda menaip beberapa huruf daripada sepatah perkataan.Walau bagaimanapun, Google tidak akan melarang laman yang mengandungi bahan hak milik terpelihara yang haram daripada muncul dalam hasil pencariannya.Sebab itulah, industri muzik masih menuduh Google sebagai tidak menerapkan ciri-ciri secukupnya untuk membanteras pelanunan.'Langkah Google itu menggalakkan kerana ia merupakan langkah permulaan menyusuli gesaan kami terhadapnya supaya bersikap lebih bertanggungjawab tentang kandungan haram,' ujar seorang jurucakap Industri Fonografi Britain (BPI) yang memberitahu bahawa artis-artis kehilangan jutaan dolar setiap tahun kerana kegiatan lanun dalam talian.'Dan, walaupun kami mengalu-alukan langkah Google yang terkini itu, ia masih tidak mengendahkan punca masalah sebenar - jentera cari Google masih mengarahkan pengguna yang mencari muzik dan wadah hiburan digital lain ke laman haram,' katanya lagi.Pendapat pertubuhan perdagangan industri muzik Britain itu disetujui Pertubuhan Penerbit Britain, yang mewakili industri cetak dan buku negara itu.'Kami berharap langkah-langkah yang telah diumumkan itu dapat berkuatkuasa dalam masa terdekat dan Google mungkin boleh mengambil langkah selanjutnya dengan menyekat laman-laman haram itu daripada muncul dalam hasil pencarian bebas awam di Internet,' kata ketua pertubuhan itu, Encik Richard Mollet.PERUBAHAN PERMULAANWalaupun ia sebuah syarikat swasta, Google, sebagai pemilik jentera cari paling meluas digunakan, dilihat sebagai bertanggungjawab menawarkan kandungan yang tidak mengancam pemilik hak cipta sesuatu produk.Jurucakapnya, Encik Simon Morrison, berkata ia sentiasa mendapat maklum balas daripada pemilik hak cipta dan langkah itu akan membantu mereka 'membuat duit' di dalam talian dan membantu pengguna mencari kandungan yang rasmi.Langkah-langkah yang dijanjikan Google itu dijangka diterapkan dalam beberapa bulan mendatang ini. Ia termasuk komitmen Google tidak akan mengiklankan produknya di laman yang menawarkan kandungan haram - sesuatu tindakan yang akan menghalang pemilik laman tersebut daripada mengaut keuntungan haram.Selain daripada itu, langkah-langkah itu juga akan menerbitkan pratonton kandungan rasmi secara menonjol, seperti lagu-lagu dan dokumen lain dalam hasil pencariannya.'Strategi ini berfungsi dalam bentuk serampang dua mata dengan masalah pelanunan dikurang sementara khidmat dalam talian yang rasmi dikembangkan,' kata Encik Morrison.Perubahan yang dimaksudkan itu tidak bermaksud 'hasil mencari diubah' dan laman yang menawarkan kandungan hasil pelanunan dihukum secara automatik.Sebaliknya, Google memberitahu ia akan mengumumkan ciri-ciri baru yang memberi jaminan kepada pemilik hak cipta bahawa laman yang menawarkan kandungan haram dan menggunakan khidmat Google akan ditiadakan daripada hasil pencarian dalam tempoh 24 jam selepas permohonan dibuat oleh pemilik sah kandungan tersebut.Menurut Encik Morrison, ciri itu juga dapat memudahkn proses menuntut pengadilan.Perkataan-perkataan yang sering mengiringi beberapa kata kunci juga akan ditiadakan.Sebagai contoh, seseorang yang menaip 'Siti Nurhaliza MP3' dalam ruang cari Google akan melihat beberapa cadangan automatik seperti Free Download atau 'muat turun percuma' atau torrent.Torrent adalah fail yang biasa digunakan untuk berkongsi bahan rasmi dan hasil lanun di Internet. Ia mempermudah proses melanun kerana seseorang yang memiliki sofwe BitTorrent boleh berkongsi atau memuat turun kandungan lanun dengan mudah dan percuma.Sofwe ini boleh dimuat turun dengan percuma daripada Internet.Semua cadangan yang dikemukakan kepada Google akan diambil kira dalam penilaian Google sekarang.Namun, proses 'pembersihan' itu diakuinya sebagai sesuatu yang mungkin dirundung pelbagai kerumitan.Satu cabaran adalah menentukan kekata atau frasa yang perlu ditiadakan kerana perkataan-perkataan yang digunakan pengguna untuk mencari sesuatu di Internet biasanya mempunyai pelbagai makna.Isu itu diketengahkan pihak-pihak yang menggunakan khidmat torrent untuk mengedarkan kandungan rasmi mereka, seperti Open Rights Group yang mewakili penghasil sofwe kecil-kecilan dan pengarah filem bebas.'Kami khuatir perubahan-perubahan itu akan merumitkan lagi usaha peniaga dan penghasil karya kecil-kecilan mengedarkan kerja-kerja mereka secara sah.'Tiada sebab mengapa mereka perlu dirumitkan sebegini,' kata seorang jurucakapnya. -- BBC, Agensi.

Lelaki dijel tiga bulan kerana tumbuk, serang amah dengan pemutar skru

SINGAPURA
SEORANG penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan setelah menyerang pembantu rumahnya menggunakan pemutar skru dan berkali-kali menumbuk matanya.
Yap Yian Bee, 52 tahun, mengaku mencederakan Cik Sinewi, ketika itu berusia 20 tahun, di rumahnya di Bedok North Street 3 pada Ogos 2003.Mahkamah diberitahu semalam bahawa Yap turut bersetuju membayar ganti rugi sebanyak $4,000 kepada Cik Sinewi yang kini berusia 27 tahun.Dalam kejadian pada 7 Ogos 2003 itu, Yap meminta amahnya membaiki mainan anaknya antara 2 pagi dengan 3 pagi.Namun Cik Sinewi tertidur kerana kepenatan.Yap kemudian menggunakan pemutar skru memukul dahi pembantu rumahnya itu.Cik Sinewi kemudian bangun untuk ke dapur bagi mencuci pinggan mangkuk yang kotor.Yap dengan tiba-tiba memukul mata Cik Sinewi beberapa kali.Dia juga memberitahu amahnya agar tidak membuat bising kerana anak-anaknya sedang tidur.Yap, yang telah berpisah dengan isteri warga Filipinanya, boleh dipenjara sehingga 18 bulan dan/atau didenda hingga $15,000 bagi setiap kesalahan.

Kejadian langgar lari, lima remaja terbunuh



BEIJING - Seorang pegawai kerajaan China disyaki memandu dalam keadaan mabuk telah menyebabkan kematian lima orang remaja, Ahad lalu, sekaligus menjadikan kejadian langgar lari itu adalah yang terbaru melibatkan pegawai kerajaan di negara tersebut.

Suspek yang dikenali sebagai Gu Qingyang adalah ketua di Pejabat Pos daerah Luoning yang terletak di wilayah Henan dan dia dikatakan memandu secara mengundur seterusnya melanggar sekumpulan remaja yang terdiri daripada tujuh pejalan kaki dan menyebabkan tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di hospital. 

Laporan yang dikeluarkan oleh agensi berita Xinhua mendapati mangsa paling muda yang terkorban berumur 13 tahun. 

Qingyang kini berada di dalam tahanan polis dan siasatan masih dijalankan oleh Jabatan Polis Luoning untuk mengetahui punca sebenar suspek memandu dalam keadaan meluru dan secara mengundur. 

Kerajaan China baru-baru ini berusaha untuk mengambil tindakan keras terhadap pemandu mabuk yang berpotensi menyebabkan kejadian kemalangan langgar lari di negara itu.

Pesara jururawat ditemui mati ditikam




PASIR MAS - Polis menahan seorang suspek kes bunuh kira-kira lima jam selepas seorang bekas jururawat klinik pergigian, ditemui dengan kesan tikaman di Kampung Kekabu, di sini tengah hari, semalam. 

Suspek itu, dipercayai seorang pembantu rumah berumur dalam lingkungan 20-an, ditahan di To' Uban pada kira-kira jam 5.15 petang. 

Yeap Seok Pen, dalam lingkungan 60-an, ditemui terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumah oleh suaminya, Lee Lai Wing, 64, pada jam 2 petang. 

Lai Wing, seorang peniaga, berkata dia terkejut mendapati isterinya tidak sedarkan diri dan darah banyak di muka dan leher. 

Katanya, dua minggu lalu mereka menggaji seorang pembantu rumah untuk menjaga Seok Pen yang menghidap Parkinson. 

Saksi kejadian, Che Noh Harun berkata, dia melihat kelibat seorang wanita lingkungan umur 20-an, berkemeja T putih dan berseluar jeans paras lutut, meluru keluar ke jalan besar dengan membawa beg galas. 

“Ketika itu, saya lihat mukanya pucat dan tergesa-gesa keluar untuk ke jalan besar, namun saya tidak menyangka dia adalah pembantu rumah berkenaan,” katanya. 

“Jirannya ada beritahu mereka terdengar bunyi bising dari arah rumah mangsa yang mengesyaki ada berlaku pergaduhan, sebelum anak lelakinya yang berniaga di bandar ini pulang,” katanya.

Seorang maut konvoi kenderaan Ketua Menteri Baluchistan diserang




2010/12/08

SEORANG mangsa serangan pengebom bunuh diri dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
SEORANG mangsa serangan pengebom bunuh diri dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
QUETTA: Seorang pengebom bunuh diri menyerang konvoi kenderaan Ketua Menteri Baluchistan, Nawab Aslam Raisani semalam tetapi beliau terselamat daripada cubaan serangan itu. 

Kejadian itu mencederakan sembilan mangsa lain selepas pengebom meletupkan bahan letupan di Quetta, ibu kota wilayah barat laut Pakistan itu di mana pemisah dan keganasan Taliban berterusan tahun ini.Seorang maut dalam serangan itu tetapi identiti mangsa tidak diketahui dan polis berkata mereka masih menyiasat sama ada ia membabitkan pengebom bunuh diri berkenaan.“Ia adalah kejadian pengeboman bunuh diri. Konvoi ketua menteri terbabit dalam kejadian itu,” kata pegawai Quetta, Nasim Lehri kepada Samaa TV. 

“Sasaran adalah ketua menteri, kebanyakan mereka yang cedera adalah pegawai polis,” katanya. 

Nawab, seorang pemimpin Baluchistan yang kaya daripada parti pemerintah kerajaan, Parti Rakyat Pakistan (PPP) dibawa dari rumahnya ke satu mesyuarat rasmi. 

“Satu daripada kereta pengiring musnah dan beberapa pegawai cedera,” kata seorang pegawai polis. 
Saksi berkata pengebom berjalan kaki dan mereka secara tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat sebaik saja kumpulan kereta terbabit melepasi kawasan berkenaan sehingga menyebabkan kepulan asap. 

Seorang pemberita AFP menyaksikan sendiri cebisan daging manusia di tempat kejadian dan sebuah kereta Toyota Landcruiser putih yang musnah di tepi jalan. – AFP